Sayang
Mustika
Sebuah
cerpen oleh Salleh Kausari
ADHAM termenung
di salah sebuah bangku logam yang berderet di platform itu. Derum enjin bas dan
hiruk-pikuk suara manusia berbaur dalam bahang dan bau asap. Sesekali matanya
menjeling jam di tangan. Kadang-kadang dia membelek tiket yang tersemat di
dalam poket baju. Keresahan menanti ketibaan bas yang akan membawanya pulang ke
kampung.
Sebenarnya bukan
bas itu yang menjadi punca keresahannya. Banyak lagi. Segulung ijazah yang baru
dimiliki. Tempoh beberapa bulan yang dihabiskan kerana menganggur dan gagal mendapatkan
kerja yang sesuai. Lelah naik turun bangunan dan masuk keluar pejabat untuk
temuduga masih terasa. Namun belum ada satu pun yang menyangkut.
'Apa lagi yang
boleh aku buat? Apa guna ijazah kalau tak boleh digunakan? Bukan aku memilih
sangat. Tapi kalau boleh biarlah yang menjanjikan masa depan yang baik dengan
apa yang aku ada. Sayang kalau aku terpilih yang bukan dalam bidang aku.'
Celoteh hatinya setelah apa yang berlaku.
Setelah
penantian belum membuahkan hasil, dia buat keputusan untuk pulang ke kampung.
'Baik aku
tenangkan fikiran sekejap sebelum menyambung usaha mencari kerja. Mudah-mudahan
ada kekuatan untuk fikirkan strategi baru memikat hati bakal majikan. Manalah
tahu kali ni ada yang berminat ambil aku.' Dia menyedapkan hati.
Dia melihat jam.
Bas sudah hampir tiba.
"Nak, nak
beli gambar. Cantik. Pak cik jual murah je." Suara lelaki dalam separuh
abad di sebelahnya. Wajahnya kusam dibakar mentari. Baju kemeja lusuh yang dipakai
tidak bergosok dan nampak sudah dimakan usia. Songkok hitam yang dipakai juga
nampak lusuh. Jambang putih yang mengintai keluar dari dagu jantannya nampak
selekeh.