PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Selasa, 1 April 2014

MISI MONA : MENCARI MISTER RIGHT (BAB 9)


BAB 9

  



Panggilan yang Mona terima adalah daripada seorang wanita.

"Boleh saya bercakap dengan Cik Mona Rissa Effendi?" Suaranya agak tegas walaupun masih berhemah.

"Ya, saya. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?" Mona dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya Datin Marnila, CEO Mawar Cosmetics. Awak tahu ini kali keberapa saya call syarikat awak? Kali ketiga. Mula-mula saya bercakap dengan Azli. Lepas tu Amirul. Sekarang dia pass pada awak pulak. Macam mana awak semua ni buat kerja hah? Kalau saya tak puas hati dengan jawapan awak, lepas ni saya akan call Dato' Harriz terus. Memalukan kaum sendiri kalau macam ni berniaga!"

Mona jadi tak tentu arah. Kalau Dato' Harriz menerima panggilan selepas ini daripada Datin Marnila, pasti akan huru-hara keadaan syarikat.

"Saya akan cuba sebaik mungkin untuk bantu Datin. Apa masalahnya Datin?" Nada suara Mona cuba dilembutkan semampu mungkin.

"Memang masalah besar! Pegawai saya mengadu syarikat awak buat kerja main-main. Proposal kempen lain, hasilnya lain. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam kempen ni?"

'Kalau aku kata Azli dan Amirul, nanti makin menyirap Mak Datin ni. Biarlah aku yang berkorban, demi nama baik syarikat.'

"Saya, Datin."

"Sekarang saya tak kira, saya nak kempen minyak wangi Mawar disiapkan dalam masa tiga hari sebagaimana dalam proposal. Saya nak exactly macam yang dibincangkan dengan pegawai saya tempoh hari. Saya tak kisah kalau awak terpaksa tanggung kos tu. Kalau saya tak puas hati, saya akan saman Master Creative Media. By hook or by crook saya nak iklan tu siap dalam masa tiga hari. Faham?"

Mona tersentak disergah Datin Marnila. Hampir bingit telinga Mona dek suara lantang wanita itu menjerit.

"Saya faham Datin." Dada Mona berombak-ombak ketika itu. Nafasnya tersekat-sekat dek rasa risau dan cemas pada masa yang sama.

Kedengaran telefon dihempas kuat tanpa sebarang ucapan selamat tinggal atau salam.

Selama dia bekerja dalam bidang ini, inilah kali pertama Mona mengalami masalah sebegini besar dengan klien. Biasanya dapat ditangani dengan penuh diplomasi sebelum mereka meninggikan suara seperti ini.

'Ini semua kerja Azli dengan Amirul. Dia orang sengaja nak kenakan aku.' Perasaan Mona berubah menjadi kemarahan yang mula menular.

Reyhan dan Mahfeez hanya berdiam, menunggu Mona membuka mulut.


"Aku minta maaf Reyhan. Aku terpaksa balik KL secepat mungkin. Ada masalah kerja."

"Apa hal?" Mahfeez ingin tahu.

"Aku rasa ada orang sabotaj kerja aku. Aku terpaksa selesaikan. Kalau tak kerjaya aku ke laut lepas ni."

"Siapa punya kerja?" Reyhan mengerutkan dahi.

"Panjang ceritanya. Lain kali kalau dah settle aku ceritakan pada kau." Mona mencapai sesuatu dari dalam beg. "Ini kad aku. Nanti kau call. Kalau aku tak jawab, kau mesej aje. Aku minta maaf banyak-banyak Reyhan."

"Majlis aku nanti kau datang tak?"

"Aku tak berani janji. Kalu dah betul-betul settle aku akan balik. Kalau tak...," Mona sukar menghabiskan ayat. Kepalanya sudah berserabut.

"Okey, Mahfeez. Aku balik dulu. Aku ucapkan selamat bertunang kepada korang berdua." Mona serba-salah.

Sesuatu terlintas di fikiran Mona. "Kau kata kau ada buat bisnes online kan? Ada contact? Manalah tahu kalau ada job untuk kau." Mona sudah bersedia untuk beredar.

Mahfeez mengeluarkan sesuatu dari dalam dompet. "Nah! Ini kad aku."

Pada kebiasaannya Mona akan mengusik Mahfeez. Mungkin dengan kata-kata, "Cayalah! Orang bisnes kampung pun ada kad."

Tetapi masalah yang dia hadapi ini membuatkan sense of humor Mona hilang. Lenyap.

"Okey, aku balik dulu." Mona mengatur langkah deras dengan pelbagai perkara menujah benaknya.

'Tiga hari? Sempat ke? Mana nak cari model. Nak arrange shooting. Wardrobe. Skrip. Kalau guna subcon boleh percaya ke? Apa-apapun aku kena bincang dengan Dato'. Kalau kena sembur pun terima ajelah. Ini semua anak kesayangan dia tu punya kerja!'

Mona berlalu denga rasa cuak tentang nasib yang bakal menimpanya.

***

"Mona balik dulu mak," Mona bersalam dengan Mak Lijah. "Mak doakan semuanya selamat ya."

"Mak memang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kau." Suara Mak Lijah tenang. Walaupun ada rasa risau mengenangkan kehidupan anaknya yang sibuk mengejar kerjaya. Hingga terlalu sibuk untuk memikirkan tentang perkahwinan.

Peristiwa dia ternampak Mona bercakap sendirian dengan cermin sedikit-sebanyak menambahkan rasa risau.

"Jaga diri baik-baik. Hal agama jangan ambil ringan. Solat. Baca Quran." Pesan Pak Fendi seperti biasa.

"Insya-Allah. Abah doakan Mona ya."

"Hmm...," gaya Pak Fendi bersahaja. Namun hatinya turut keresahan memikirkan anaknya yang masih membujang ketika usia sedang meniti.

Honda City Mona meluncur keluar ke jalan besar. Debu berterbangan semasa kereta itu meluncur, mengaburkan pandangan. Sebagaimana kaburnya fikiran Mona mencari penyelesaian dengan masalah yang menimpa.

***

Mona sudah bersedia dengan apa jua keadaan, bergantung kepada mood Dato' Harriz. Dia ingin menelefon majikannya terlebih dulu, tetapi hasrat itu dibatalkan. Dia ingin bersemuka dengan Dato Harriz membincangkan masalah itu.

"Assalamualaikum, Dato'," suara Mona di muka pintu.

"Eh, Mona. Awal kamu balik." Bersahaja suara Dato' Harriz.

'Dato' memang tak tahu ke? Nampak sangat Azli nak kenakan aku. Kalau dia prihatin tentang syarikat, tentu dia dah beritahu bapak dia sendiri.' Gerutu Mona dalam diam.

"Kita ada major problem dengan Mawar Cosmetics sekarang ni Dato'.” Mona membuka rahsia.

Dahi Dato' Harriz jelas berkerut.

"Kenapa saya tak tahu-menahu tentang hal ni?"

"Datin Marnila call semalam. Dia ugut nak call Dato' kalau jawapan saya tak memuaskan hati dia."

"Cuba awak ceritakan dari A sampai Z tentang projek ni." Dato' Harriz sudah duduk dengan kedua lengan di atas meja.

"Projek minyak wangi Mawar Cosmetics adalah projek saya. Saya tak tahu kenapa, tapi Azli deal directly dengan wakil Mawar. Masa present proposal dulu pun saya tak dilibatkan dalam meeting. Cuma Azli dengan Amirul yang ada." Mona mengadu.

"Tiba-tiba semalam saya dapat call dari Datin. Dia marah-marah sampai ugut nak saman Master Creative Media. Dia beri tempoh tiga hari untuk siapkan macam dalam proposal."

"Tiga hari." Dato' Harriz tersandar dengan muka fed up. "Kenapa dia tak minta satu hari terus?"

"Itulah masalahnya sekarang ni. Kita terpaksa mula dari scratch, sebab apa yang Azli buat tu dah tak boleh pakai." Mona risau.

Dato' Harriz terdiam. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

"Okey, macam ni. Saya nak awak betulkan keadaan. Tentang kos, jangan risau. Awak boleh gunakan staff kita, atau ambil subcon. But you have to closely monitor this project. Very carefully and very thoroughly. I don't want another screw up!"

Mona sedar, apabila Dato' Harriz mula 'speaking London', perkara itu sudah masuk ke tahap 'antara hidup dengan mati'.

"Okey Dato'. Saya akan buat yang terbaik." Mona cuba meyakinkan majikannya.

Mona beredar dengan seribu satu perkara mengganggu fikiran.

'Sempat ke aku siapkan dalam masa tiga hari? Mana nak cari model. Nak casting lagi. Wardrobe, skrip semua nak fikir. Dah tak ada ruang untuk aku buat silap lagi.'

Rasa resah semakin mengganggu fikiran hingga menyesakkan kepala Mona.

'Buat permulaan aku kena jumpa pegawai yang terlibat. Aku nak kumpul maklumat tentang perbincangan dia dengan Azli dan Amirul.'

***

Sukar untuk menggambarkan perasaan Mona semasa menunggu ketibaan pegawai Mawar Cosmetics. Kelibat Azli dan Amirul masih belum kelihatan semenjak dia mula ke pejabat semula.

'Entah apalah lagi rancangan dia orang berdua tu.' Mona cuba membuat deduksi sendiri.

Telefon berdering. Suara Melissa kedengaran, "Cik Mona, wakil dari Mawar Cosmetics dah sampai."

"Bawa dia ke bilik mesyuarat." Arah Mona sebelum dia turut beredar ke destinasi yang sama.

"Saya Mona," Mona menghulurkan salam.

"Saya Rushdi." Lelaki itu menyambut salam.

Mona mengamati perwatakan lelaki itu. Sebelum ini dia hanya melihat dari jauh semasa dia keluar dari pejabat Azli.

'Orangnya taklah handsome sangat macam Remy. Tapi muka manis. Macam senyuman dia. Not bad!'

Mona perasan sesuatu tentang lelaki ini. Orangnya berketrampilan, walaupun pakaiannya tidak segak dengan suit.

'Gaya dia ni lebih daripada sekadar pegawai, bukan macam yang Datin Marnila katakan hari tu.'

"Awak yang bertanggungjawab dengan projek minyak wangi Mawar sekarang?" Suara lelaki itu tenang dan lembut.

"Ya." Mona fikir ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa. Yang penting masalah ini perlu ditangani dengan penuh diplomasi.

"Jadi, apa yang awak nak tahu dari saya?"

"Saya nak pastikan maklumat yang saya dapat lengkap sebelum meneruskan proposal asal syarikat kami." Mona cuba menjelaskan dengan ringkas.

"Macam yang saya beritahu Azli dulu, kami inginkan yang simple. Tak terlampau banyak mesej tentang produk kami. Yang penting membuatkan wanita rasa diri mereka dihargai dengan minyak wangi ini. Bukan nampak sangat seperti cuba mengeksploitasi wanita dengan innuendo macam dalam iklan yang kami tengok hari tu. Ini tentang feminity, bukan seksualiti." Jawapan Rushdi telus.

Mona sedar, dia lebih memahami kehendak kaum sejenisnya. Bukan menerusi interpretasi kaum Adam seperti Azli dan Amirul berdasarkan proposal yang dibuat.

"Kalau boleh saya nak libatkan Encik Rushdi dalam proses casting dan shooting supaya dapat pilih model yang sesuai...," Mona tidak sempat menghabiskan ayat.

"Tak perlu. Saya yakin dengan kemampuan Cik Mona. Cuma, err... Datin Marnila beri masa tiga hari. Itu yang merisaukan saya. Saya harap Cik Mona dapat siapkan seperti yang kami harapkan."

"Okey, saya akan cuba." Suara Mona penuh yakin, walaupun bukan itu gambaran perasaannya.

***

Mona melihat jam. Sudah hampir sebelas malam. Menyiapkan iklan dalam masa tiga hari sememangnya satu kerja gila. Tetapi dia terpaksa hadapi tugas ini sebagai satu cabaran. Sekiranya dia berjaya, itu adalah satu pencapaian yang besar.

Hari pertama Mona telah gunakan sebaik mungkin. Dia berjaya berbincang dengan Rushdi, wakil Mawar Cosmetics, Dia juga berjaya dapatkan subcontractor  yang sedia mengambil tugas itu walaupun kos agak tinggi kerana faktor masa. Dia ambil keputusan mengawal sepenuhnya projek ini termasuk kerja-kerja copywriting dan skrip. Tiada ruang untuk tergelincir kali ini.

"Eh, Cik Mona belum balik lagi?" Hampir gugur jantung Mona mendengar suara lelaki yang memecah kesunyian yang hanya dilatari bunyi aircond.

"Arie! Awak ni... huh, buat saya terkejut aje. Hadoi...," Mona cuba mengumpul nafas semula.

"Lambat balik," tegur Arie.

"Saya nak siapkan projek urgent ni."

"Mawar Cosmetics ya?"

Mona angguk. "Mana Arie tahu? Eh, yang awak ada kat ofis malam buta macam ni apa hal? Dato' belum balik lagi ke?"

"Dia ada kat bawah. Dalam kereta. Tadi ada function kat tempat klien. Dia suruh saya singgah, sebab ada barang dia tertinggal kat ofis." Jawab Arie tergesa-gesa. "Eh! Dah terlanjur saya jumpa Cik Mona ni, ada hal saya nak beritahu."

Arie nampaknya seperti ingin memberitahu rahsia besar, sebab dia tega membiarkan Dato' Harriz menunggu di luar.

"Saya terdengar Encik Azli upah orang suruh track nombor mesej hantu yang Dato' dapat dulu. Tentang skandal syarikat yang melibatkan diri dia."

"Macam mana awak tahu?"

"Masa tu dia tak perasan saya ada kat luar. Saya terdengar masa dia berbual dalam telefon."


“Dah dapat tahu siapa yang hantar mesej tu?”

“Entahlah. Saya tak berani nak sibuk-sibuk.”

Mona cuba membuat deduksi. 'Agaknya dia dapat trace nombor tu aku punya. Sebab tu dia sabotaj projek Mawar Cosmetics. Teruk betul!'

"Okey Cik Mona. Saya balik dulu." Arie pergi meninggalkan Mona.

Apa yang Mona dengar daripada Arie membuatkan dia termenung sejenak. Kejadian ini benar-benar menguji kewibawaannya.

'Selagi Azli ada di syarikat ni, susah untuk aku maju dalam kerjaya. Boleh, bukan mustahil. Tapi soalannya, mampukah aku hadapi tekanan demi tekanan dari dia? Sampai bila?'

Mona mula meragui impian yang ingin dia capai.

Topik di fikirannya bertukar.

'Kenapa semua benda yang aku kejar nampaknya tak semudah yang aku sangka. Nak bina kerjaya dalam bidang pengiklanan dah ada peluang, dengan mentor yang bagus macam Dato' Harriz. Tapi ada pulak anak dia yang tak boleh tengok orang lain lebih daripada dia. Ada agenda sendiri. Dapat staff macam Amirul yang pilih bulu. Nak bos sekaum dengan dia aje.'

Mona bersandar. Otak dan tubuh terasa lenguh setelah sehari suntuk terkejar ke sana sini.

'Misi mencari Mister Right aku... hmm... nampaknya terpaksa aku teruskan walau apa jua yang berlaku. Pilihan pertama aku memang ternyata satu kesilapan. One down, I don't know how many more to go,' Keluh Mona.

Dalam sekelip mata wajah Rushdi terlintas di kepala.

'Orang macam Rushdi pun boleh tahan. Tapi... dia tu eligible bachelor ke? Dan setakat pegawai, sesuai ke dengan eksekutif macam aku?' Sisi sombong Mona mencuri perhatian buat seketika.

"Ah! Tak payah beranganlah Mona. Fokus! Fokus!" Mona kembali duduk tegak dan menyiapkan kerja yang perlu disiapkan sebelum shooting esok.

***

Mona keresahan setibanya di pejabat pagi itu. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Tentang perbualan dengan Munira dan Monique awal pagi tadi. Tentang presentation dengan Rushdi, wakil Mawar Cosmetics sebentar lagi. Tentang iklan yang sudah siap dan akan didedahkan kepadanya semasa presentation nanti.

"Kau pasti kau nak teruskan dengan pencarian kau? Kau pasti Remy bukan lelaki pilihan hati kau?" Monique tega 'membelasah' Mona pagi tadi.

"Ini soal hidup Mona. Dia berhak tentukan yang terbaik untuk dirinya." Munira menyokong Mona.

"Remy ada rupa. Lekuk dagu dia. Cheekbone dia. Kau sendiri yang akui kan? Hidup dia? Lavish lifestyle. Sporty BMW. Berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan...'"

Kata-kata Monique segera dipintas Mona.

"Dia pandai diversify segala pelaburan dia. Sampai teman wanita pun dia nak diversify. Oops, wait. Is that supposed to be a plus or minus point?" Mona menyindir Monique.

Monique hanya melirik mata. Munira tersenyum sinis.

Mona memeriksa bilik mesyuarat sebelum Rushdi tiba. Bilik itu sudah tersedia untuk menerima tetamu pagi tu.

Wajah Melissa tercongok di muka pintu dengan tiba-tiba, "Cik Mona, Encik Rushdi dah sampai."

Rushdi menghulurkan salam, "Tahniah! Kerana berjaya menyiapkan iklan dalam masa tiga hari."

Mona tersipu-sipu, "Jangan ucapkan tahniah lagi Encik Rushdi. Belum tentu kempen ini menepati citarasa Mawar Cosmetics. Saya rasa baik simpan dulu ucapan tahniah tu." Mona begitu merendah diri.

Rushdi tidak menjawab. Dia hanya tersenyum simpul sebelum mengambil tempat.

Setelah memberi penerangan serba ringkas, Mona mula memainkan DVD iklan yang ingin dipaparkan sempena kempen minyak wangi Mawar yang bakal dipasarkan.

Gambaran mimpi Mona seolah-olah direalisasikan oleh iklan itu.

Seorang gadis berpakaian blaus putih polos kelihatan naif di hadapan cermin. Di atas meja solek ada tiga botol minyak wangi dengan botol yang sama bentuk tetapi berlainan warna. Dengan sentuhan kreatif special effect, botol-botol itu kelihatan berkilauan seperti dipenuhi dengan kuasa magis.

Gadis itu mencapai botol berwarna ungu. Kedengaran bisikan suara ketika dia menyemburkan wangian itu, "Mawar Lestari." Dengan serta-merta dia melihat bayangan dirinya di dalam cermin bertukar menjadi seorang wanita berkerjaya dengan jeket dan skirt elegan.

Botol pink pula dicapai. "Mawar Berduri," kedengaran suara bisikan semasa dia menyembur pewangi itu. Dan penampilan sensual dan romantik terserlah dengan gaun berwarna peach untuk pergi majlis makan malam.

Akhir sekali dia menyembur wangian dari dalam botol putih dengan suara halimunan, "Mawar Suci." Penampilannya berubah menjadi gadis berjubah dan tudung putih bersama manik labuci yang berkilauan.

Ketiga-tiga gadis berwajah serupa dengan penampilan berbeza di dalam cermin memberikan pose yang sesuai dengan watak masing-masing.

Mereka bersuara serentak, "Minyak wangi Mawar. Serlahkan personaliti anda."

Rushdi bangun secara tiba-tiba bersama tepukan yang lantang kedengaran di ruang sepi bilik mesyuarat. "Bravo! Bravo!"

Mona rasa pelik, teruja dan malu-malu pada masa yang sama.

"Perfect! This is perfect! Good job!" Hanya itu yang termampu Rushdi ucapkan.

"Besar hati saya sebab Encik Rushdi terima iklan ni." Rasa lega memenuhi dada Mona. Seolah-olah hujan yang membasahkan bumi dek kemarau kerisauannya selama beberapa hari yang lepas.

"Apa kata kita sambut kejayaan Cik Mona dengan lunch?"

Mona mengangguk.


***

Mona memerhatikan perwatakan Rushdi semasa mereka keluar bersama tengah hari itu.

'Aku tengok dia ni macam mysterious sikit. Dia tak macam lelaki yang biasa aku kenal. Dia tak begitu ghairah nak tunjukkan kehebatan diri dia. Macam low profile pun ada.'

"Boleh saya tanya sikit?" Mona membuka mulut semasa mereka menunggu pesanan tiba.

"Boleh. Nak tanya apa?"

"Boleh ceritakan sedikit latar Encik Rushdi?"

"Amboi! Dah macam wartawan pulak Cik Mona ni. Atau boleh saya panggil Mona aje? Dengan saya pun tak payah berencik-enciklah. Panggil Rushdi pun boleh. Rush atau Di pun boleh. Tapi kalau panggil Di, nanti orang terkeliru dengan Lady Di pulak."

Mona tergelak kecil dengan kata-kata spontan Rushdi.

'Amboi boleh tahan dia ni. Pandai berseloroh.' Meleret senyum Mona bersama perkara yang bermain di minda.

"Okey." Jawab Mona ringkas. Hatinya sudah mula terbuka untuk Rushdi, tetapi masih berbelah bagi.

"Saya ni bukanlah berasal dari golongan orang senang. Tapi bila mak saya berjaya sedikit dalam perniagaan, bolehlah kami tumpang senang."

"Niaga apa?"

"Adalah sikit-sikit." Rushdi terlalu merendah diri.

Dia menyambung lagi. "Tapi saya tak mahu gunakan kejayaan mak saya sebagai jambatan untuk saya maju dengan mudah. Saya nak mula dari bawah. Saya nak rasa susah. Sebab dalam kesusahan itu ada pelajaran yang kita boleh ambil."

"Rushdi belajar kat mana dulu?" Mona mengagak mungkin dia akan menyebut tempat seperti London, Perth, Michigan atau yang 'sewaktu' dengannya.

"Lepas SPM saya terus belajar. Belajar dengan bekerja ni lain. Teori dan praktikal elok jalan seiringan." Jawapan Rushdi selamba.

'SPM aje. Apa kelas nak digandingkan dengan aku?' Sisi bongkak Mona menguasai lagi.

"Mona... dah... berpunya?" Rushdi teragak-agak bertanya soalan yang agak sensitif itu.

"Belum. Saya single lagi." Mona menguak rambut ke belakang telinga.

Lebar senyuman Rushdi.

"Saya sebenarnya kagum dengan wanita seperti Mona. Bijak. Berkerjaya. Gigih. Berdiplomasi. Pandai mengawal keadaan tertekan...,"

"Cukup-cukuplah tu. Takut saya tak boleh berjalan nanti. Kembang sangat kena puji." Mona tersipu-sipu. Merah pipinya mula muncul, sebagaimana dia dipuji oleh Rahimi dan Dato' Harriz dulu.

"Pujian saya ikhlas. Bukan kerana ada maksud tersirat. Kejayaan Mona handle masalah yang orang lain buat ni adalah testimoni yang paling jelas."

Mona segera menukar topik. "Tadi Rushdi tanya saya dah berpunya ke belum. Rushdi pula bagaimana?"

"Saya ni cerewet sikit. Dah ramai calon mak saya pilih, tapi semua saya tolak."

'Amboi, memilih juga dia ni. Tak padan lepasan SPM.' Laser kata-kata yang terlintas di fikiran Mona.

"Apa ciri-ciri wanita yang Rushdi cari?" Mona sekadar menguji.

"Merendah diri. Tahan menghadapi tekanan. Kalau ada rupa tu satu kelebihan. Dan sebenarnya... semua ciri-ciri tu ada pada Mona."

'Ai... lain macam aje bunyi ayat dia ni.' Mona rasa kurang selesa.

"Kalau boleh saya inginkan wanita yang terima diri saya seadanya. Bukan kerana pangkat, darjat atau kebendaan. Kerana semua tu bukan jaminan kebahagiaan."

'Hmm... kau cakap macam tu sebab kau memang tak ada semua tu kan?' Mona berceloteh dalam diam.

"Saya harap Mona sudi kalau saya ajak keluar lagi lepas ni?" Rushdi bersungguh-sungguh.

"Boleh. Apa salahnya?" Mona senyum.

'Tapi hanya sebab kau klien syarikat Master Creative Media. Tak lebih dari itu.'

2 ulasan:

  1. menarik tapi mona ni banyak sangat cekadaknya. terlalu tinggi nilai yang diletakanya untuk lelaki idamannya tak padan dengan diri dan latarbelakang keluarga. tak salah mencari mr right tapi biarlah padan dengan diri

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi singgah dan komen... nanti kita lihat apa yang terjadi pada Mona.. ^_^

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?