PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Rabu, 25 Disember 2013

Cerpen Majalah Mingguan Wanita : Catatan Dari Kota London

MINGGUAN WANITA  
27 DIS 2013 - 2 JAN 2014 
(BIL: 1571)


Singgah ke kedai majalah hari ni setelah ternampak majalah MINGGUAN WANITA dengan cover gambar Rozita Che Wan dan Zain Saidin. Hati tertanya-tanya, siapakah penulis yang cerpennya tersiar minggu ini? 


Terus selak ke mukasurat 132. Rasa pelik sebab tajuknya hampir sama seperti cerpen CORETAN OLEH HENRY MITCHELL yang saya hantar. Setelah lihat gambar gadis bertudung, pemuda mat saleh bermata biru dan bas double decker merah, saya mula syak. Rupa-rupanya cerpen ini diberi judul baru. 

Alhamdulillah...


Khamis, 19 Disember 2013

Sambungan KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI - Bab 19


Setelah agak lama merehatkan kisah ini, akhirnya dapat juga update bab baru di ILHAM KARANGKRAF.
Jemput singgah untuk tahu apa yang terjadi pada Anisah setelah pemergian Ustaz Hairi dan terbongkarnya rahsia gelap Farizah.


Selasa, 17 Disember 2013

Isnin, 16 Disember 2013

Fantasia Izara Bab 7

BAB 7




Suasana suram di majlis pengkebumian Sameon. Izara tidak henti-henti mengalirkan air mata.

Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Dia baru saja kehilangan Kelana dan anak-anaknya, Andika dan Arjuna. Kini dia terpaksa menghadapi kematian ayahnya buat kali yang kedua.

'Apa yang sedang aku alami sekarang ini seperti satu mimpi yang ngeri dan tak masuk akal. Tapi perasaan ini terlalu menyakitkan.'

Rubiah, Hayati dan Karmilah begitu giat melampias tangisan di tanah perkuburan Sameon yang masih basah. Izara hanya memerhatikan. Sukar untuk dia memastikan sama ada ini sekadar satu lakonan mereka yang hebat atau tidak.

'Ini kali kedua aku berada dalam situasi seperti ini. Mungkin aku kena perhatikan gerak-geri mereka. Sekarang aku sudah tahu rancangan Mak Cik Rubiah nak kahwinkan aku dengan Pak Jabar.' Izara mengatur rancagan dalam diam.

Bergilir-gilir para tamu bertemu Izara untuk mengucapkan takziah selepas majlis pengkebumian. Izara sugul bersimpuh memerhatikan tanah perkuburan ayahnya yang masih merah dan basah dengan siraman air mawar. Kelopak bunga bertaburan di atas hamparan tanah yang membukit itu.

'Izara percaya ayah mati dibunuh. Izara berjanji, Izara akan cuba cari siapa yang telah membunuh ayah. Dia akan pasti menerima balasan yang setimpal atas perbuatannya. Biarpun manusia itu adalah Mak Cik Rubiah.' Getus hati Izara penuh semangat.

Ketika itu kata-kata orang tua berjanggut putih terlintas di fikirannya.

Rabu, 4 Disember 2013

Fantasia Izara Bab 6

BAB 6



Izara memerhatikan gelagat Arjuna dan Andika yang sedang berkejaran di laman rumah. Adakala keriuhan mereka menguji kesabaran Izara. Dia sering terasa lelah selepas melayan kerenah mereka berdua.

Sebenarnya bukan itu yang mengganggu fikirannya.

'Semakin lama aku tinggal di sini, semakin terasa kebosanannya. Tak ada internet. Tak ada Youtube. Tak ada Facebook, Twitter.' Izara melayan apa yang terlintas di fikiran.

Izara mula terasa cabaran tinggal di tempat yang berlainan dari tempat asalnya.

'Apa agaknya yang ada di balik kabus?' Izara teringat apa yang dilihat berhampiran pokok kayu yang telah kering.

'Kalau aku melintas ke dalamnya, apa yang akan terjadi? Adakah aku akan kembali ke tempat asal? Apa yang Kelana maksudkan dengan keadaan mungkin tak akan sama seperti yang sebelumnya?' Izara tertanya-tanya.

Ketika itu dia disentak oleh tangisan Andika yang diusik oleh Arjuna.

'Arjuna, kenapa usik Andika?' Izara menghampiri untuk meleraikan pasangan kembar itu.

Perkara yang mengganggu fikirannya terus lenyap buat sementara.

Ahad, 24 November 2013

Fantasia Izara Bab 5

BAB 5




"Dah elok kaki Izara?" Tanya Mak Kasturi semasa mereka bersantai di pangkin petang itu.

"Dah kurang sakitnya. Tapi masih susah nak berjalan lagi." Jawab Izara sambil memicit-micit di bahagian yang terasa sengal. Urat kelihatan timbul di bahagian itu.

"Mari mak cuba urutkan kaki Izara tu." Pelawa Mak Kasturi.

"Eh, tak apalah mak. Lama-lama baiklah ni." Izara rasa tidak sedap hati kakinya disentuh oleh wanita itu. Dia rasa seperti biadab membiarkan orang yang dihormati menyentuh kakinya.

"Mari sini. Apa yang kamu nak takutkan. Mari." Akhirnya Izara akur dengan pelawaan Mak Kasturi yang bersungguh-sungguh.

"Tahan sikit." Suara Mak Kasturi apabila dia melihat Izara terkejip-kejip matanya dengan suara berdesis seperti ular.

Hampir mengalir air mata Izara ketika urat yang tersimpul itu ditonyoh oleh Mak Kasturi. Naik tegang urat di kepala menahan kesakitan yang amat sangat, diikuti rasa panas di muka.

"Dah. Cuba berjalan." Arah Mak Kasturi. Izara masih terpinga-pinga dengan pengalaman menahan sakit tadi.

Izara berdiri. Dia sudah mampu berdiri tegak. Dia mencuba beberapa langkah, nampaknya tiada rasa sengal seperti tadi.

"Dah elok. Terima kasih mak." Izara rasa lega.

"Ubat yang Kelana buat tu untuk tahan sakit. Tapi urat yang tersimpul kena diperbetulkan." Mak Kasturi menerangkan.

"Pandai mak mengurut." Puji Izara.

"Bolehlah kalau terseliuh sikit-sikit macam ni." Mak Kasturi tersenyum.

"Saya pergi jalan-jalan ya mak. Rasa bosan pulak asyik terpengap tadi."

"Yalah. Jangan pergi jauh-jauh. Kamu tu baru baik."

Izara mengangguk.

"Mana Kelana, mak?" Izara sempat bertanya ketika mula menapak meninggalkan pangkin.

"Tadi katanya nak cari kayu api. Adalah kat belakang rumah tu."

"Izara pergi dulu mak," Izara berkata sambil menguakkan rambut ke belakang telinga.

"Hati-hati." Pesan Mak Kasturi sebelum masuk ke dalam.

Selasa, 5 November 2013

Fantasia Izara Bab 4

BAB 4






Malam di perkampungan yang berada di tengah-tengah hutan benar-benar mendamaikan, dengan suasana yang tidak terlalu hangat atau terlalu dingin. Langit begitu indah dengan taburan bintang yang gemerlapan.

Kelana sedang berlengging di pangkin. Dia berbaring sambil mendepakan tangan dan mengalas kepala dengan tangan yang dijadikan seperti bantal. Susuk tubuhnya hanya samar-samar kelihatan dalam limpahan cahaya bulan. Ingin rasanya dia bersantai di sana bersama Kelana, tetapi dia sedar batas-batas bersama lelaki yang tiada sebarang pertalian dengan dirinya.

Mak Kasturi sedang menganyam tali yang dibuat daripada dedaun kering menjadi tikar. Tangannya pantas menari dalam liang-liuk api pelita yang menyala terang di sebelahnya. Izara duduk di sisi sambil asyik memerhatikan aksi Mak Kasturi.

"Sudah lama mak dan Kelana tinggal di sini?" Izara memecahkan kesunyian antara mereka.

"Kami memang berasal dari tempat ini. Keturunan kami memang sudah lama bermastautin di sini. Hanya ayah Kelana..." Kata-kata Mak Kasturi terhenti.

"Kenapa dengan ayah Kelana?"

Jemari Mak Kasturi berhenti menari. Garis-garis di wajahnya semakin jelas dalam sinaran lampu pelita. Matanya merenung kosong ke arah tingkap yang terlopong. Pemandangan langit dan bintang menerobos masuk melaluinya.

Khamis, 26 September 2013

Jumaat, 6 September 2013

CERPEN PSIKO-THRILLER: BUAYA DI DANAU KESUMAT




AMARAN:


Kisah ini memaparkan adegan yang agak eksplisit dan mengerikan.

Dilarang baca sekiranya anda tidak suka paparan sebegitu.
Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang kesan negatif selepas membaca cerpen ini.

Kepada adik-adik, jangan lakukan aksi seperti ini di rumah.


 I nspektor Zaki melangkah keluar dari kereta polis yang membawanya ke kawasan perumahan dengan tragedi pembunuhan yang menggemparkan. Seluruh penghuni di sebuah rumah teres dua tingkat ditemui bergelimpangan dalam keadaan yang mengerikan.

Inspektor Zaki melintas di bawah tali plastik kuning yang merentangi kawasan di pekarangan rumah bernombor 13 itu. Kelihatan darah terpercik di lantai bersimen menuju ke ruang tamu.  

Matanya menangkap seorang lelaki yang memegang bahagian lengannya yang berbalut kain. Darah merah sudah membasahi kain itu. Bahagian baju, seluar dan lantai juga sudah dibasahi cairan yang likat dan melekit itu. Berdasarkan darah yang tumpah, luka itu tentunya agak parah. Pasukan paramedik yang dipanggil masih lagi belum sampai kerana kesesakan lalulintas.

Lelaki itu berada dalam trauma yang begitu teruk sekali. Dia menggigil dengan ekspresi wajah yang menggambarkan perasaan takut yang luar biasa.

'Apa yang terjadi pada lelaki itu?' Inspektor Zaki menyimpan perihal lelaki itu untuk diketahui kemudian. Dia perlu melihat tubuh-tubuh yang dikatakan bergelimpangan di ruang tamu.

Apabila Inspektor Zaki memandang ke ruang tamu, nafasnya bagaikan terhenti buat seketika.

Isnin, 12 Ogos 2013

SANGKAR CINTA : I HATE YOU, BUT I LOVE YOU!



 Fareed melemparkan pandangan ke luar tingkap kaca yang memenuhi ruang dinding tingkat atas rumahnya. Hamparan rumput hijau yang lapang tidak dapat meluaskan sesak fikirannya ketika itu.

Peristiwa yang berlaku sebentar tadi kembali menjengah di benak.

"Kenapa you buat semua ni pada I? Apa salah I?" Suara wanita bernama Sandra. Wajah ayu itu tetap jelita walaupun dalam ledakan perasaan yang dialami.

"Siapa kata ini semua salah kau? Kau hanya jambatan untuk aku laksanakan rancangan yang lama aku pendam." Fareed menjawab tanpa ekspresi pada wajahnya.

"Sanggup you kurung I dalam sangkar cinta ini semata-mata kerana kepentingan diri you sendiri!" Air sudah mula tiris dari wajah Sandra. Suara sebaknya menghambat rasa sayu di hati Fareed. "Jadi sekarang dah puaslah hati you?! Apa lagi yang you nak buat dengan I?"

Fareed hanya berdiam.

Pada mulanya perkahwinannya dengan Sandra begitu memberikan rasa puas di hatinya. Sekurang-kurangnya dia berjaya mengatasi saingannya sejak kecil. Sudah beberapa kali dia tewas, tetapi kali ini dia berjaya.

Sesungguhnya kejayaan ini terasa begitu manis. Namun hanya pada permulaannya.

Fareed tidak dapat menafikan kelainan dalam perasaannya terhadap Sandra. Dahulu dia anggap Sandra sebagai objek untuk dia laksanakan pembalasan dendam yang sudah berbuku di hati. Tetapi sejak kebelakangan ini dia seolah-olah dapat merasakan kepedihan yang dilalui oleh Sandra. Segala keperitan akibat perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan. Mengurung wanita itu jauh daripada cinta sejatinya. Seorang lelaki yang pernah menjadi kawan karibnya sejak kecil. Lelaki itu bernama Zaharin.

"You memang manusia yang kejam dan tak berhati perut! I hate you! I hate you!" Jerit Sandra sekuat-kuat hatinya sebelum menghempas pintu kamar peraduan mereka berdua.

Fareed tidak mengendahkan semua itu. Dia asyik melayan perasaan yang baru dialami.

Sabtu, 29 Jun 2013

Cerpen : Listrik Cinta Andromeda




11.00 AM, 29 Jun 3013
Kemuncak Persidangan Para Saintis dan Pejuang Kemanusiaan
Menara Metropolis (Podium AZ-104)
Bandar Angkasaraya Kuala Lumpur

Sidang yang berlangsung selama hampir sebulan itu kini telah tiba ke kemuncak dengan keputusan yang akan menentukan kewujudan makhluk bergelar Andromeda di atas muka bumi, selepas hampir sepuluh tahun kewujudannya di tengah-tengah tamadun manusia. Ucapan akhir pengerusi menggemparkan seluruh dunia yang menyaksikan siaran persidangan itu secara langsung.

"Kewujudan kaum Andromeda adalah ancaman kepada tamadun manusia. Mereka memiliki tubuh badan dan fizikal yang sama seperti manusia, tetapi mereka tidak memiliki roh dan hati seperti manusia biasa. Kebijaksanaan mereka yang jauh lebih baik berbanding dengan manusia adalah merbahaya tanpa naluri dan nilai-nilai kemanusiaan, walaupun ia boleh disimulasi dengan parameter yang ditetapkan oleh manusia.

"Mereka memiliki ciri-ciri DNA seperti manusia biasa, tetapi mereka sukar dijangka kerana memiliki akal yang jauh lebih bijak berbanding klon. Filem-filem fiksyen sains mungkin adalah rekaan kreatif manusia tertentu, tetapi mesej yang ingin diterapkan adalah berdasarkan realiti dan hakikat sebenar kehidupan kita.

"Kewujudan humanoid dengan artificial intelligence, kecerdasan tiruan atau AI boleh menjadi ancaman kepada manusia sejagat sekiranya mereka bebas menggunakan kuasa yang direka oleh manusia untuk memastikan kewujudan spesis mereka dan mendominasi bumi ini. Penciptaan mereka adalah untuk memudahkan kehidupan dan tamadun manusia. Tetapi tidak mustahil mereka mungkin akan menjadi sebab kemusnahan kita semua, seperti yang dipaparkan dalam filem Terminator lebih seribu tahun lepas, ketika teknologi ini masih lagi mentah dalam pemikiran manusia.

"Kita semua bersetuju untuk memberi laluan kepada projek ini pada asalnya kerana naluri ingin tahu dan keterujaan kita semua. Tetapi semakin lama kita membiarkan kaum Andromeda terus menjadi sebahagian daripada hidup kita, risiko kehancuran tamadun manusia semakin besar dan menakutkan.

"Kejadian yang melanda kita sekarang ini adalah testimoni kepada bahaya dan ancaman kehadiran mereka. Kebijaksanaan yang luar biasa dan kesedaran bahawa mereka adalah spesis yang berlainan daripada manusia menyebabkan timbul keinginan menguasai bumi ini. Mereka boleh berfikir dengan baik, tetapi tanpa hati dan naluri kemanusiaan, hasilnya adalah sia-sia tanpa bimbingan manusia. Lebih bahaya lagi apabila manusia menerima mereka dan bergaul seperti manusia biasa yang lain.

"Dengan ini sidang sebulat suara bersetuju dengan pemansuhan spesis kaum Andromeda berdasarkan penelitian kepada pelbagai aspek kewujudan mereka di kalangan kita. Mereka adalah semata-mata mesin dan komputer yang berselindung di sebalik fizikal tubuh manusia yang sempurna, malah mungkin lebih sempurna berbanding dengan manusia biasa."

***

6.00 AM, 1 Julai 3013
Genelab Corporation
Proses penyahaktifan spesis Andromeda bermula.

Awal-awal pagi lagi Doktor Farisha telah ke makmal di podium yang menjulang tinggi seperti buah catur yang dikelilingi oleh air laut. Podium itu juga menempatkan beberapa bangunan lagi milik Genelab Corporation, yang bertanggung jawab membawa spesis humanoid bergelar Andromeda ke dalam tamadun manusia.

Kenderaan angkasa Mercedez CZX500i berwarna biru metalik itu meluncur ke puncak podium Genelab Corporation dan mendarat di kawasan parkir yang dikhaskan.

Langkah Doktor Farisha lebih pantas daripada biasa. Dia tidak seceria selalu dengan senyuman yang dilemparkan kepada mereka yang ada di situ.

Dia terus menuju ke Cryolab di mana humanoid Andromeda akan menjalani proses penyahaktifan, yang akan dilupuskan satu persatu.

Hatinya terasa lapang dan tenang apabila berada di sisi sekujur tubuh lelaki yang terbaring di balik silinder kaca. Wajah itu kelihatan tenang dan begitu sempurna. Jumpsuit lycra berwarna perak membaluti tubuh itu dan mengekalkan kontor susuk tubuh yang begitu ketara.

Khamis, 6 Jun 2013

Fantasia Izara Bab 3

BAB 3


Izara cuba membuka mata. Silau matahari membuatkan dia sukar membuka mata dari tempat dia berbaring. Kain tebal dijadikan hamparan dan gulungan kain menjadi bantal.

Kelihatan seorang pemuda sedang duduk di tepi sungai sambil memancing. Apabila dia melihat Izara sudah sedar, dia bersuara. "Tuan hamba sudah sedar nampaknya."

'Tuan hamba? Macam kisah Melayu lama yang aku selalu tengok di TV pula.' Getus hati Izara.

"Saya di mana sekarang?"

"Tuan hamba berada di Hutan Kabus Melintang." Jawab lelaki itu sambil terus memegang joran dengan tenang. Batang jorannya sekadar kayu yang raut menjadi lurus dan licin.

"Saya belum pernah dengar nama tu." Izara musykil.

"Hutan ini hanya ditemui sesiapa yang layak atau berhajat. Tidak semua makhluk terpilih untuk berada di dalamnya."

"Kamu siapa?" Izara melihat lelaki yang asyik memancing di tepi sungai.

"Hamba penghuni hutan ini. Membantu sesiapa yang memerlukan pertolongan. Berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran atau habuan." Jawapan lelaki itu membuatkan rasa pelik semakin menghantui fikiran Izara.

"Apa nama tuan hamba?" Izara sudah mula terikut cara percakapan seperti lelaki itu.

"Nama hamba Kelana. Tuan hamba?" Jawabnya.

"Izara."

Masih banyak soalan yang ingin ditanya oleh Izara, tetapi rasa lapar sudah menguasai apabila melihat hidangan ubi rebus bersama ikan bakar yang telah terhidang.

"Makanlah dulu. Tentu tuan hamba lapar."

Izara tidak membuang masa selepas dipelawa oleh lelaki misteri itu.

'Tahun apakah ini? Di mana laluan berkabus tadi? Apa asal-usul lelaki ini? Kenapa tempat ini tiba-tiba muncul?' Pelbagai soalan menujah benak Izara, tetapi semuanya dibiarkan tidak berjawab sedang dia asyik mengisi perut yang sudah berkeroncong.

Selasa, 28 Mei 2013

Si Tudung K-Pop Vs Mamat Kopiah


Kelas fesyen Kolej Urban Arts memang tidak pernah sunyi sebelum pensyarah tiba. Hanya seorang pelajar lelaki yang duduk di penjuru bilik itu yang berada dalam dunianya sendiri.

"Pelik mamat tu kan?" Suara gadis bertudung yang duduk di ruang tengah. Namanya Zubaidah.

"Aku tak pernah terfikir lelaki berkopiah macam dia berminat dengan fesyen." Jawab Sofea yang duduk di belakang Zubaidah.

"Aku rasa dia ni mesti peminat Yuna atau Hana Tajima. Yalah, nak memperjuangkan fesyen Islamik. Mungkin juga nak buka butik busana muslimah." Usikan Mona yang berbau sindiran sinis.

"Tak baik kau cakap macam tu. Kalau betul pun apa salahnya. Dulu orang pelik dengan lelaki yang pandai masak. Tapi kau tengoklah sekarang ni. Ramai chef lelaki tau. Semuanya hebat-hebat belaka. Tak mustahil kalau designer macam dia tu nanti bakal menggegarkan tanah air." Marissa seperti membela.

"Siapa nama dia?" Tanya Zubaidah.

"Kalau tak silap aku... Suhaimi." Jawab Sofea sambil Zubaidah memerhatikan pemuda berkopiah itu dengan rasa pelik.

Ketika itu pintu dibuka. Bukan pensyarah subjek fesyen yang masuk, seballiknya seorang pelajar senior lelaki.

Khamis, 23 Mei 2013

Fantasia Izara Bab 2

BAB 2




Hari Ahad adalah hari yang ditunggu-tunggu Izara. Namun hakikatnya dia masih belum boleh merehatkan diri sepenuhnya. Pelbagai kerja rumah menanti. Mengemas ruang tamu, menyapu laman dan macam-macam lagi.

"Yati, Milah. Cuba tolong Izara buat kerja rumah. Dahlah kat kedai dia yang uruskan jahitan. Takkan kat rumah pun Izara yang kena buat semuanya." Tegur Sameon.

Hayati segera mengangkat kaki meninggalkan rumah, seolah-olah tidak menendahkan kata-kata bapa tirinya. Karmilah masih bergayut di telefon. Dia asyik dengan perbualan dan tidak sepatah pun kata-kata Sameon dia dengar.

Sameon hanya menggeleng.

"Alah, biarkanlah Izara yang buat. Dia ni teliti sikit orangnya, tak macam Si Yati dengan Milah. Tak sama kalau budak-budak tu buat. Abang nak kopi, biar saya pergi buatkan, ya?" Rubiah memegang lembut bahu suaminya.

Izara hanya tersenyum sinis. 'Itu nak ambil hati bapak aku lah tu. Mak dengan anak sama aje.' Izara melayan perasaan.

Sebenarnya Izara tidak kisah jika dia yang mengemas setiap minggu. Walaupun tidak disuruh dia akan menjalankan tugas itu.

'Dapat juga buang peluh dengan buat kerja rumah. Seminggu duduk memerap depan mesin jahit.' Izara menyedapkan hati.

Cuma satu perkara yang membuatkan Izara tidak selesa dengan kerja mengemas ruang tamu. Bahagian itu dipenuhi dengan pebagai koleksi tembikar Rubiah. Pernah Izara tersinggung sebuah ukiran tembikar hingga pecah. Berhari-hari Izara dilayan dengan buruk.

'Mak Cik Rubiah sayang sangat dengan koleksi tembikar dia. Harganya tidak seberapa.' Rungut Izara.

Sameon cuba membela Izara selepas barang tembikarnya dipecahkan Izara. "Apa yang awak nak kisahkan sangat kalau pecah pun. Boleh beli lagi."

"Amboi, sedapnya mulut awak. Kalau asyik nak kena beli lagi, taukeh balak pun boleh bankrap. Abang nak saya tolak gaji Izara kerja i kedai." Terjengkit-jengkit bibir Rubiah menjawab.

Sambil menyapu, Izara melayan perasaan. 'Kalau aku bukan main berkira. Yang anak-anak dia makan gaji buta tu, apahal? Lagipun ini asalnya kedai mak aku. Dia yang pandai-pandai tukar nama dia. Helo... cuba sedar diri tu sikit.'

Dalam Izara begitu berhati-hati hari itu, penyapu yang digunakan untuk membersihkan bahagian bawah sofa terlanggar pasu tinggi yang terletak di situ. Batang penyapu tersauk pasu itu yang sememangnya tidak stabil dan terus tumbang.

Praang!...

Rabu, 1 Mei 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 27


BAB 27



Menu sarapan yang disediakan Bibik Rusila pagi ini adalah penkek dengan jem strawberi. Biasanya Qiarra akan menjamahnya walaupun sedikit disebabkan jem strawberi. Tetapi hari ini Qiarra tidak berselera makan. Jus oren segar pun masih belum diteguk.

Datuk Hafizudin dan Datn Maznah saling berpandangan melihat keadaan anak tunggal mereka.

"Kenapa tak sarapan Qiarra? Qiarra tak sihat ke?" Tanya Datin Maznah.

Qiarra masih berdiam diri.

"Tak elok di meja makan termenung macam ni," tegur Datuk Hafizudin dengan suara yang rendah.

"Qiarra fikir pasal Eddie?" Tebak Datin Maznah. Qiarra mengangguk.

"Kenapa tak call saja dia?" Dia bertanya lagi.

"Dah nak masuk beratus kali. Tapi dia tak jawab, mama."

"Takkanlah tak jawab langsung. Dah nak masuk sebulan dia bercuti ni." Datin Maznah musykil.

"Memang dia tak beritahu berapa lama dia nak cuti. Ibunya tak sihat katanya." Datuk Hafizudin mencelah.

"Tapi takkanlah tak telefon langsung. Sekurang-kurangnya jawablah telefon." Qiara mengeluh.

"Eh, jangan-jangan dia ada masalah agaknya?" Datin Maznah membuat telahan.

"Apa kata kita pergi ke kampung Eddie, papa? Boleh juga kita ziarah mak dia." Qiarra memberi cadangan.

"Papa tak boleh ke mana-mana sekarang. Ada business deal penting papa nak close dengan sebuah syarikat dari Sweden. Ini antara projek terbesar syarikat. Qiarra pergi dengan mama sajalah."

"Seelok-eloknya biar kita pergi sebagai satu keluarga. Kita tunggu urusan papa selesai dululah." Cadang Datin Maznah.

"Habis macam mana ni? Takkanlah Qiarra nak pergi sorang-sorang?" Rungut Qiarra.

"Sabarlah Qiarra. Dah settle nanti kita pergilah...," pujuk Datuk Hafizudin.

Qiarra tidak menjawab.

Khamis, 25 April 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 26


BAB 26


Qiarra tidak keluar bilik semenjak pagi tadi. Fikirannya kusut memikirkan maklumat terbaru yang diterima. Rahsia itu masih disimpan tanpa berkongsi dengan sesiapa termasuk Sara atau Mimi. Dia mahu membuat keputusan berpandukan nalurinya sendiri, bukan dipengaruhi oleh orang lain.

Dua sisi dalam dirinya sedang hebat bertarung untuk mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Sisi yang baru telah muncul semenjak kes dia diculik tempoh hari.

'Adakah ini satu lagi konspirasi untuk memerangkap aku? Dalang penculikan aku dulu masih bebas dan dia mampu melakukan semua ini.' Sisi pesimistik Qiarra cuba berhujah.

'Tapi bagaimana kalau mesej ini dihantar oleh orang yang jujur? Kalau aku lepaskan peluang ini, belum tentu aku akan dapat peluang kedua. Apa yang dikatakan skandal hospital itu sampai bila-bila aku tak akan tahu. Mungkin ada jawapan bagi kes yang melanda keluarga aku sekarang ini. Mungkin juga jawapan yang papa cari selama ini. Tapi perlukah aku kongsi maklumat ini dengan papa dan mama? Bagaimana kalau mereka takut ini satu lagi helah dan aku tak dibenarkan keluar dengan bebas, takut-takut aku akan jadi mangsa lagi?' Pelbagai persoalan bermain di fikiran Qiarra bertubi-tubi.

'Kalau Eddie ada boleh juga aku berkongsi maklumat ini dengan dia? Tapi dia tak jawab telefon langsung. Aduh... pening kepala dibuatnya!' Keluh Qiarra.

'Apa yang aku nampak satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan aku pergi ke sana. Kalau ini konspirasi lagi macam mana? Kali ni walau apa pun yang berlaku aku tak akan keluar. Tapi kalau mereka nampak aku macam mana?' Sisi pesimistik Qiarra cuba memujuk Qiarra lagi supaya melupakan rancangannya malam nanti.

'Aku rasa satu kebodohan besar kalau aku sia-siakan rancangan ini kerana takut menjadi mangsa lagi. Aku perlu lebih berhati-hati kali ini. Sampai bila aku nak biar diri aku dihantui trauma. Aku mesti kuat. Aku mesti tabah, macam yang papa katakan.'

Dalam diam Qiarra sudah dapat kekuatan yang dicari-cari. Mahu tak mahu, sisi pesimistiknya terpaksa menyerah kalah.

Khamis, 18 April 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 25


Bab 25



"Kenapa dengan kau ni?" Kata Sara sambil memerhatikan Qiarra mencolek-colek sherbet strawberi di dalam gelas kristal berkaki tinggi dengan sudu.

Qiarra diam seribu bahasa.

"Sepatutnya kau happy sekarang. Eddie dah jadi milik kau. Parents kau pun dah boleh terima dia. Apa lagi yang kau nak?"

Qiarra masih berdiam diri.

"Cakaplah Qiarra. Kau tak sihat ke?" Mimi pula mencelah.

"Aku nak tanya. Apa perasaan korang berdua kalau orang yang kau cinta, yang korang sayang rupa-rupanya adalah darah daging sendiri?" Suara Qiarra sambil terus mencolek sherbet di dalam gelas.

"Apa kena dengan kau ni? Pelik sangat soalan kau tu." Sara mengerutkan dahi.

"Aku tanya ni, jawablah..." Qiarra tidak sabar.

"Okey, kalau aku... mestilah aku frust, keliru, risau. Sebab tak sepatutnya aku ada perasaan macam tu." Jawab Mimi.

"Itu kalau kau memang dah tahu dia tu darah daging kau sendiri. Tapi kalau kau baru tahu dia ada pertalian darah dengan kau?" Tambah Qiarra.

"Pelik betul soalan kau ni! Kenapa kau tanya macam tu?" Reaksi Sara dengan pertanyaan Qiarra.

"Tak ada apa-apa." Qiarra masih belum bersedia untuk berkongsi perkara yang masih samar-samar itu. Segalanya akan terjawab setelah ujian DNA itu diketahui keputusannya.

Khamis, 11 April 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 24


Bab 24


Eddie menyibukkan diri semenjak awal pagi lagi. Dia membersihkan rumput yang sudah mula meninggi di luar rumah. Daun-daun kering dikumpulkan di satu sudut laman. Setelah menghidupkan api menggunakan ranting-ranting kayu, dia membakar daun-daun kering sehingga marak sebelum menindihnya dengan rumput-rumput. Asap putih berkepul-kepul mula keluar dari celah-celah rumput yang masih hijau.

Keringat sudah membasahi tubuh dan muka Eddie. Setelah diseka dia memerhatikan asap yang naik seperti kabus tebal bersama bau rumput yang masih segar. Ketika itu segala yang berlaku mula bermain semula di kepalanya seperti rakaman video.

Pelbagai spekulasi mula hadir di mindanya tentang apa yang bakal berlaku dalam hidupnya.

Benarkah aku anak Datuk Hafizudin? Tapi kenapa aku dilarikan semasa masih kecil? Apa kaitan nama Minhad dengan datuk? Siapa bapa aku sebenarnya?

Soalan-soalan itu hanya mengembalikan Eddie kepada keadaan asal sebelum dia membersihkan laman. Walau bagaimana dia berusaha sekalipun, perkara itu tetap mengganggu fikirannya.

"Ruzaidi, masuk dulu. Sarapan dah siap." Suara Aishah dari tingkap ruang tamu.

"Sekejap mak. Saya nak habiskan kerja sikit lagi. Badan dah sejuk sikit nanti saya masuk." Jawab Eddie.

***

"Kerap sangat kamu ambil cuti," Aishah cuba mencungkil rahsia.

Eddie hanya berdiam diri. Dia masih memikirkan bagaimana untuk menerangkan penemuan terbaru pada ibu angkatnya. Aishah seperti memahami dan membiarkan soalannya tidak berjawab.

"Kalau dah susah sangat hidup di KL tu, duduk saja di kampung. Risau pulak mak tengok kamu selalu sangat balik ke kampung ni kalau ada masalah." Telah Aishah.

"Eddie ambil cuti mak. Eddie ikut peraturan syarikat." Jawab Eddie.

"Yalah. Tapi kalau baru kerja dah ambil cuti, nanti apa pulak kata bos kamu." Nasihat Aishah.

"Dia faham." Eddie rasa serba salah untuk menerangkan bagaimana dia sudah bersemuka dengan Datuk Hafizudin untuk menerangkan sebab dia bercuti.

"Cuba kamu terang pada mak. Mak tahu ada benda yang kamu nak rahsiakan ni." Aishah sudah mula cuak dengan jawapan Eddie.

Eddie berhenti menyuap. Setelah berfikir seketika dia bersuara. "Mak percaya tak kalau saya kata bos saya suruh ambil ujian DNA. Kata dia saya mungkin anak dia."

"Eh, kenapa sampai macam tu?"

"Itu yang saya tak faham. Dia pun macam nak mengelak bila saya minta dia terangkan. Katanya ada kaitan dengan nama ayah dan tarikh lahir saya."

Aisha terdiam. Maklumat yang baru diterima amat mengemparkan.

Rabu, 3 April 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 23

BAHAGIAN 6 : JERANGKUNG DALAM ALMARI

Bab 23



Buat pertama kali Qiarra menghirup udara segar di laman rumah semenjak dia diselamatkan daripada menjadi mangsa Azad tempoh hari. Dia sudah boleh berfikir dengan lebih rasional dan lebih tenang. Tiada lagi bayangan ngeri atau mimpi buruk yang menghantu dirinya.

Datuk Hafizudin dan Datin Maznah duduk di kerusi dengan meja simen ferro yang dibentuk seperti batu-batu sambil memerhatikan Qiarra yang sedang bersantai di buai yang sedang berhayun. Sesekali kedengaran kocakan air apabila kumpulan ikan koi dengan tompokan merah, putih dan hitam melibaskan ekor mereka di dalam permukaan ekor. Desiran air terjun yang lesu mendamaikan suasana di pagi bersama matahari yang baru menyinar kekuningan.

"Lega rasanya mama tengok Qiarra dah pulih." Suara Datin Maznah memecah suasana yang hanya kedengaran bunyi kocakan dan desiran air kolam.

"Semua dah selesai. Qiarra dah tak perlu risau apa-apa lagi. Geng penculik semua dah tertangkap. Eddie yang tangkap ketua penculik tu." Tambah Datuk Hafizudin.

"Eddie? Papa kenal Eddie." Qiarra bersuara terkejut.

"Ya, papa kenal Eddie. Papa jumpa dia lepas Qiarra diselamatkan di kilang buruk dulu. Dia pun ada datang ke rumah. Papa pun ada kejutan untuk Qiarra tentang Eddie."

"Kejutan apa papa?"

"Papa dah ambil dia bekerja di syarikat papa."

Wajah Qiarra berseri mendengar. "Ya ke papa? Kenapa tak beritahu Qiarra masa dia datang ke rumah?"

"Qiarra belum berapa sihat lagi masa tu. Kami tak mahu ganggu Qiarra berehat." Jawab Datin Maznah.

"Mulai sekarang papa dan mama tak akan kongkong Qiarra macam dulu. Kalau ada apa-apa Qiarra perlu berterus-terang dengan kami. Jangan berahsia-rahsia lagi macam dulu. Kalau ada apa-apa perkara yang Qiarra tak puas hati, bawa berbincang dengan kami. Kita akan cari jalan penyelesaian bersama. Jangan buat sesuatu sesuka hati mengikut rasa." Nasihat Datuk Hafizudin.

"Papa dan mama sedar kesalahan kami dulu. Kita bernasib baik sebab tak ada apa-apa yang terjadi pada Qiarra. Biarlah apa yang dah berlaku tu jadi pengajaran pada kita semua." Tambah Datin Maznah.

"Papa tengok Eddie tu betul-betul ambil berat tentang Qiarra. Qiarra dengan dia ada apa-apa ke?" Datuk Hafizudin cuba mencungkil.

Qiarra terdiam. Dia tidak pasti bagaimana hendak menjawab soalan itu.

"Papa tak kisah. Papa tak akan halang kalau Qiarra nak berkawan dengan dia. Lagipun dia dah kerja dengan papa sekarang."

"Kalau dia ditakdirkan jadi jodoh Qiarra macam mana?" Qiarra berseloroh.

Isnin, 1 April 2013

Certot: Kerana Kunci Kereta




Adakala kita cuba membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang kita lihat atau dengar. Tetapi sejauh manakah kebenaran apa yang kita sangka itu?

Sebuah kisah tentang Din dan sangkaannya dalam certot "Kerana Kunci Kereta".

Klik di sini untuk membaca certot "Kerana Kunci Kereta" di Tulisnovel.com.

Nota: Certot ini adalah kuota untuk pemenang tempat ketiga dalam Sayembara Menulis Certot Humor Tulisnovel.com pada tahun 2012.

Khamis, 28 Mac 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 22


Bab 22



"Syukur alhamdulillah, semuanya dah selesai. Abang dan Qiarra dah kembali ke rumah dengan selamat." Suara Datin Maznah lega setelah dia menanti di rumah dengan rasa cemas dan risau.

"Kita bernasib baik sebab Qiarra belum sempat diapa-apakan. Kalau tidak, mungkin seumur hidup kita akan rasa bersalah." Kata Datuk Hafizudin ketika dia bersandar di sofa.

Datin Maznah menuang air kopi yang dihidangkan oleh Bibik Ruslia.

"Abang tahu siapa yang merancang semua ni?"

"Budak-budak geng motor. Tapi polis beritahu ada dalang yang rancang semua ni. Sayangnya dia masih bebas lagi." Keluh Datuk Hafizudin dengan nada kesal.

"Habis kalau Qiarra kena culik lagi macam mana bang? Ih, risaulah saya macam ni." Air muka Datin Maznah mula berubah.

"Kita kena hati-hati lepas ni. Kita tak boleh biarkan Qiarra keluar sembarangan. Ini untuk kebaikan Qiarra." Datuk Hafizudin mengatur rancangan.

"Hai, cepatnya abang lupa."

"Lupa apa?"

"Abang tak ingat ke? Apa yang berlaku ni semua kerana sikap kita yang terlalu mengongkong Qiarra. Kita nak jauhkan dia daripada bahaya, tapi bala lagi besar datang bila dia memberontak. Abang dah lupa?"

Kata-kata Datin Maznah membuatkan Datuk Hafizudin terkedu. Dia mula sedar kesilapannya yang lampau.

Isnin, 25 Mac 2013

Fantasia Izara Bab 1

Cerpen ini telah diubah menjadi novelet dengan beberapa bahagian


BAB 1




Hidup ini adalah sesuatu yang penuh misteri. Pelbagai perkara yang sukar digambar boleh benar-benar berlaku. Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata, tetapi tidak mustahil sekiranya ia berlaku. Kerana Tuhan itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja, sama ada Dia ingin meninggikan atau menjatuhkan seseorang dengan kehendak-Nya.

Apa yang kita impikan, apa yang kita angankan, dan apa yang kita mahukan semuanya ada dalam pengetahuan-Nya. Sebagaimana yang berlaku kepada seorang gadis di dalam dunia Fantasia Izara.

***

Kedai Jahit Rubiah memang terkenal di Kampung Embun Seri. Kedai itu asalnya bernama Kedai Jahit Samirah sebelum kematian pemilik asalnya.

Samirah adalah isteri kepada Sameon. Mereka dikurniakan seorang anak bernama Izara. Samirah ada berdarah kacukan orang Australia di sebelah datuknya.

Izara nampaknya mewarisi darah kacukan itu dengan kulit yang putih mulus bersama mata yang coklat keperangan. Disebabkan itulah, Izara sering menjadi mangsa manusia yang iri hati semenjak kecil hinggalah dia sudah muda remaja sekarang.

Izara mewarisi minat ibunya. Semenjak kecil dia mula mereka pakaian untuk anak patung Barbie yang dimiliki. Minat itu berterusan hinggalah kini, dengan menjadi tukang jahit tetap di kedai jahit warisan ibunya. Ramai yang memuji hasil jahitannya yang teliti dan kemas. Jarang yang menghantar hanya sekali di kedai itu setelah melihat hasil jahitan Izara.

Samirah pergi meninggalkan Sameon dan Izara pada usia yang agak muda. Izara sempat berguru dengan ibunya hanya beberapa tahun apabila wanita itu menghidap kencing manis. Kemudian melarat menjadi buah pinggang dan darah tinggi, seperti yang biasa digelar orang penyakit tiga serangkai.

Izara meneruskan legasi ibunya seorang diri sehinggalah ayahnya jatuh hati dengan seorang perempuan kampung seberang bernama Rubiah. Janda itu sudah beranak dua. Kedua-dua anaknya bernama Hayati dan Karmilah.

Rubiah pernah membuka kedai jahit, tetapi tidak bertahan lama kerana jahitannya selalu tidak memuaskan hati pelanggan. Anak-anaknya juga membantu di kedainya selepas kematian suami tetapi masing-masing seperti melepas batuk di tangga. Hayati berperwatakan tomboy dan tidak minat dengan kerja-kerja menjahit yang perlu berhalus. Karmilah kuat berangan sehingga hasil kerjanya selalu lambat siap.

Adakah Rubiah cuba memikat Sameon kerana ingin mengambil alih kedai jahit dengan tukang jahit yang disenangi ramai pelanggan? Mungkin juga.

Selepas berkahwin dengan Sameon, dia terus menukar nama kedai itu bersempenakan namanya. Hayati dan Karmilah juga bekerja di situ.

Rabu, 20 Mac 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 21


Bab 21


Kau telefon bapak budak perempuan ni untuk dapatkan wang tebusan.” Arah Guntor.

“Aku? Kenapa aku pulak?” Azad seperti tidak setuju.

“Rancangan ini buah fikiran kau. Aku cuma bantu jadikan ia kenyataan.” Jawab Guntor.

“Itu aku tahu. Tapi aku...” Azad cuba berdalih. Dia sangka Guntor akan membuat panggilan itu.

“Dah jangan banyak fikir lagi. Kau telefon. Pastikan sebut jumlah yang betul. Lima ratus ribu ringgit. Lokasi juga pastikan jelas macam yang kita rancang. Kalau dia banyak cakap, ugut dia. Beritahu anak dia mungkin tak akan dapat diselamatkan kalau dia lambat atau cuba libatkan pihak polis. Faham!” Suara Guntor tegas.

Azad mengangguk walaupun hatinya merungut kerana tidak puas hati.

Rabu, 13 Mac 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 20


Bab 20


Qiarra membuka mata. Pandangannya masih samar dengan kepala yang berdenyut-denyut. Bau pada kain yang ditekupkan pada hidungnya masih berkesan pada dirinya.

Dia memandang sekeliling. Kelihatan suasana di dalam bangunan tinggal itu suram tanpa cahaya elektrik, hanya cahaya yang mengintai dari tingkap yang tidak berdaun di sekitar kawasan itu. Berdasarkan keluasan ruang itu, ini mungkin sebuah gudang atau kilang yang ditinggalkan.

Tangan dan kaki Qiarra diikat dengan ketat. Mulutnya juga ditutup dengan kain yang diikat ketat.

Perasaan kesal mula menguasai dirinya. Tetapi tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Dia terpaksa menerima akibat kedegilannya walaupun setelah dia ditegur oleh Sara dan Mimi.

***

Sejurus selepas kejadian Qiarra diculik, Sara menelefon Datuk Hafizudin memberitahu Qiarra diculik. Tanpa membuang masa ibu bapa Qiarra terus menuju ke lokasi mereka berdua berada bersama Beetle kuning Qiarra. Sara masih menggigil dengan kejadian yang menimpa mereka. Mimi sedang menghubungi keluarganya dengan suara seperti menahan tangisan.

Hampir sejam kemudian lelaki itu tiba di lokasi bersama Datin Maznah.

“Macam mana boleh jadi macam ni Sara?” Suara Datuk Hafizudin. Dia cuba menyembunyikan rasa cemas dan kekalutan perasaannya.

“Saya dan Mimi dah tegur dia uncle. Tapi dia degil. Saya dah kata jangan keluar tolong orang yang tercedera tepi jalan, tapi dia keluar jugak.” Sara menerangkan. Mimi sudah keluar untuk bersama mereka.

“Lepas tu?” Datin Maznah tidak sabar mendengar sambungan cerita Sara.

“Rupa-rupanya ini semua taktik. Mulut kami kena tekup dengan kain berbau alkohol, terus pengsan. Bila saya sedar, Qiarra dah tak ada. Motor dengan van Unser yang ada kat sini pun dah hilang.” Terang Sara dengan ketakutan yang masih bersisa sambil menunjuk ke arah tompokan darah palsu yang terpalit di tepi jalan.

“Jom ikut uncle buat laporan polis. Kereta Beetle kita kunci dan biarkan sini.” Arah Datuk Hafizudin.

Rabu, 6 Mac 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 19


Bab 19


Kenapa kamu buat Dayana macam tu semalam?” Tegur Aishah semasa dia memerhatikan Eddie menjamah nasi goreng pagi itu.

Eddie hanya berdiam diri. Dia serba salah hendak menjawab. Hanya peristiwa semalam yang bermain di fikirannya.

“Marilah duduk Ruzaidi. Boleh kita berbual dengan Dayana sambil minum air.” Pelawa ibu angkatnya. Dayana hanya memerhatikan Eddie sambil dia asyik memerhatikan lekuk lesung pipit gadis itu yang amat comel.

“Eddie nak berehat sekejaplah mak. Malam tadi tak cukup tidur. Nasib baik tak tertidur masa naik motor tadi.” Jawab Eddie memberi alasan secara spontan.

“Err, tak apalah mak cik. Dayana pun dah lama sangat kat sini. Nanti Mak Long bising pulak. Baru balik dari U dah merayap tak lekat di rumah.” Dayana memberi alasan. Mungkin benar apa yang dikatakan atau dia juga perasan Eddie seperti membuat alasan.

Eddie sebenarnya serba salah dan dia dilanda kebuntuan. Sudahlah dia merasa rendah diri dengan hidupnya, sekarang ada dua gadis yang berada dalam hidupnya.

Dengan tidak semena-mena mimpi malam tadi datang menyinggah di benak.

Apa maksudnya mimpi itu? Hati Eddie musykil.

Khamis, 28 Februari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 18


BAHAGIAN 5 : PUCUK DI CITA

Bab 18



Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, pelbagai perkara bermain di benak Eddie. Umpama sebuah tayangan kisah hidupnya tentang segala peristiwa yang mewarnai hidupnya dengan duka dan ria.

Bertahun-tahun dia memendam perasaan kerana tertanya-tanya siapa ibu dan bapanya yang sebenar. Perasaan itu datang setiap kali dia dihambur dengan kata-kata cemuhan, sama ada oleh ayah angkatnya di rumah atau oleh murid-murid nakal di sekolah terutamanya Arshad dan gengnya. Kata-kata dan tawa sinis dan mengejek menjadi makanan harian sehingga hatinya sudah kematu dengan rasa kecil hati dan sedih.

Jauh di sudut hatinya ada rasa terkilan apabila melihat anak-anak yang gembira bersama ibu dan bapa mereka.

Tentu seronok rasanya jika ada ibu dan ayah sendiri, bisik hati Eddie semasa melihat keluarga seperti itu. Adakala ada titis yang mengalir tanpa dijemput.

Kepedihan dan kesengsaraan itu menjadikan dia seorang yang cekal dan bercita-cita tinggi. Adakala dia menyalahkan takdir kerana dugaan hidup bersama arwah bapa angkatnya menjadikan dia keciciran dalam pelajaran. Tetapi akhirnya dia pasrah bahawa ini semua adalah kehendak Tuhan dengan hikmah yang tersirat.

Entah kenapa, satu pelajaran bersama Dayana masih kekal hingga kini. Pepatah ‘Every cloud has a silver lining’  begitu sinonim dengan hidupnya.
                                            
Cuba awak lihat awan.” Kata Dayana satu masa dahulu ketika mereka duduk di tepi padang sekolah memerhatikan langit.

“Awan mendung menandakan hari akan hujan. Tapi di balik awan ada matahari yang bersinar terang. Pada setiap awan yang mendung dan gelap, ada garis sinar yang terlakar pada lekuk-lekuk awan.” Terang Dayana.

“Apa maksud awak?” Tanya Eddie sambil melihat wajah gadis yang berlesung pipit manis di pipi.

“Dalam setiap kepayahan dan kesukaran hidup, sentiasa ada sinar cahaya yang menanti. Macam matahari. Walau bagaimana lama sekalipun kita menunggu ia muncul, akhirnya ia tetap akan muncul.” Jawab Dayana.

Pandangan Eddie kemudian beralih ke arah kepulan awan.

Ya, memang benar kata Dayana. Setiap awan ada garis sinar yang menggarisi keluk rupa awan. Fikir Eddie.

“Sebab tu pepatah Inggeris ada sebut... ”

Every cloud has a silver lining.” Suara lirih Eddie sambil menunggang motosikal, seolah-olah menyambung kata-kata Dayana suatu masa dahulu. Dia tersenyum sendirian dengan memori bersama Dayana dan maksud yang tersirat di sebalik pepatah Inggeris itu.

Wajah Dayana muncul di mata Eddie. Gadis itu pernah bertakhta di hatinya, dengan kisah hidup yang menyayat hati dan wajah manis berlesung pipit. Kini setiap kali wajah itu muncul hati Eddie diselubungi rasa bersalah. Kekusutan fikiran menyebabkan jiwanya rasa bercelaru.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?