Bab 22
"Syukur alhamdulillah,
semuanya dah selesai. Abang dan Qiarra dah kembali ke rumah dengan
selamat." Suara Datin Maznah lega setelah dia menanti di rumah dengan rasa
cemas dan risau.
"Kita bernasib baik
sebab Qiarra belum sempat diapa-apakan. Kalau tidak, mungkin seumur hidup kita
akan rasa bersalah." Kata Datuk Hafizudin ketika dia bersandar di sofa.
Datin Maznah menuang air kopi
yang dihidangkan oleh Bibik Ruslia.
"Abang tahu siapa yang
merancang semua ni?"
"Budak-budak geng motor.
Tapi polis beritahu ada dalang yang rancang semua ni. Sayangnya dia masih bebas
lagi." Keluh Datuk Hafizudin dengan nada kesal.
"Habis kalau Qiarra kena
culik lagi macam mana bang? Ih, risaulah saya macam ni." Air muka Datin
Maznah mula berubah.
"Kita kena hati-hati
lepas ni. Kita tak boleh biarkan Qiarra keluar sembarangan. Ini untuk kebaikan
Qiarra." Datuk Hafizudin mengatur rancangan.
"Hai, cepatnya abang lupa."
"Lupa apa?"
"Abang tak ingat ke? Apa
yang berlaku ni semua kerana sikap kita yang terlalu mengongkong Qiarra. Kita
nak jauhkan dia daripada bahaya, tapi bala lagi besar datang bila dia
memberontak. Abang dah lupa?"
Kata-kata Datin Maznah
membuatkan Datuk Hafizudin terkedu. Dia mula sedar kesilapannya yang lampau.
"Mahu tak mahu kita kena
berikan sedikit ruang untuk Qiarra bernafas. Dalam keadaan kita kawal dia, kita
kena ambil kira pendapat dan perasaan dia juga bang." Kata-kata Datin
Maznah dibalas dengan anggukan oleh suaminya.
Datuk Hafizudin tenggelam
dalam fikirannya sendiri sambil dia menghirup air kopi di cawan.
"Jauh abang termenung.
Apa yang abang fikirkan? Ada masalah lagi ke?" Datin Maznah menyentak
lelaki itu dari lamunannya.
"Tak. Cuma abang
teringat budak lelaki yang bang jumpa tadi."
"Kenapa dengan budak
tu?"
"Dia ada bersama Qiarra
lepas polis serbu kilang buruk tempat Qiarra diculik. Dia bahasakan dirinya
dengan nama Eddie. Nama betul dia abang tak tahu pulak. Katanya dia kawan Qiarra."
"Kenapa dengan budak
tu?" Datin Maznah masih belum dapat menangkap apa yang ingin disampaikan
oleh suaminya.
"Abang kagum sebab dia
sanggup bersama-sama polis sebab nak selamatkan Qiarra. Dia berani kejar ketua
geng penculik sampai tertangkap."
"Ya ke bang? Eh, berani
betul budak tu." Datin Maznah menunjukkan riak wajah terkejut.
"Itulah yang abang
hairan. Abang rasa dia ni lebih daripada kawan Qiarra."
"Maksud abang?"
"Abang rasa dia ada hati
pada Qiarra. Kalau tak, takkanlah sampai sanggup bahayakan diri semata-mata
kerana Qiarra. Itu pendapat abang. Apa-apapun kita tanya Qiarra nanti bila dia
dah pulih."
Datuk Hafizudin terus
menyisip air kopi di cawan sambil diperhatikan oleh Datin Maznah yang masih
tertanya-tanya dengan kisah tentang pemuda bernama Eddie.
***
"Macam mana Encik
Rostam? Ada berita tentang Guntor?" Tanya Eddie semasa mereka menaiki
kereta BMW biru yang dipandu oleh Shah.
"Belum. Itu yang buat
saya risau. Yang saya hairan macam mana dia boleh tahu rancangan kita. Kita terpaksa
lebih berhati-hati lepas ni. Mulai sekarang kita berjumpa dan berbincang semasa
dalam perjalanan. Kita dah tak boleh berjumpa di tempat biasa."
"Saya rasa dia dah patah
kaki sekarang sebab geng Azad dah tak ada. Mungkin dia tengah rancang strategi
seterusnya." Eddie melahirkan pendapatnya.
"Mungkin juga. Kita pun
kena sentiasa berjaga-jaga." Tambah Rostam. "Qiarra macam mana?"
"Nampaknya teruk juga
dia diserang trauma. Saya rasa Azad cuba rogol dia sebelum polis serbu. Kalau
kita lambat sikit, tak tahulah apa akan jadi pada dia." Jawab Eddie.
"Kenapa Guntor pilih Qiarra, Encik Rostam? Adakah kerana saya? Macam yang
dia buat pada ibu bapa saya dulu?"
Rostam terdiam. agak lama
sebelum dia bersuara, "Ada perkara yang kamu akan tahu bila sampai masanya
nanti. Buat masa ni, kejahilan itu adalah satu anugerah. Seperti pepatah
Inggeris, ignorance is bliss."
"Kenapa saya rasa Encik
Rostam macam nak rahsiakan banyak perkara daripada saya? Apa sebenarnya semua
ni Encik Rostam?" Eddie mula memberontak.
"Saya faham awak memang
ada hak untuk marah saya kerana rahsiakan banyak perkara. Saya buat semua ini
kerana saya takut awak masih belum boleh terima hakikat sebenarnya kalau saya
beritahu. Saya memang akan ceritakan segalanya bila masa yang sesuai tiba nanti.
Saya tak mahu awak dilanda kejutan hingga perkara ini mempengaruhi kehidupan
awak. Sukar untuk saya terangkan sekarang ni. Tapi percayalah Eddie, ini semua
adalah untuk kebaikan awak. Tolonglah, saya pinta sekali lagi supaya awak beri
kepercayaan kepada saya." Terang Rostam dengan rasa serba salah.
Eddie masih bengang dan tidak
boleh menerima penerangan Rostam.
Apa yang aku boleh buat? Mahu
tak mahu aku terpaksa percayakan Rostam sebab dia saja pertalian yang masa ada
untuk aku tahu kisah silam aku. Keluhan hati Eddie dengan nada kesal.
***
"Assalamualaikum,"
jerit Eddie semasa berada di depan pintu pagar. "Assalamualaikum."
Kelihatan seorang wanita
keluar dari pintu. "Waalaikumsalam. Nak cari siapa?"
"Ini rumah Qiarra ke?
Datuk Hafizudin ada?" Tanya Eddie.
Sejurus selepas wanita itu
masuk, seorang lelaki yang Eddie kenal keluar.
"Ah, Eddie!" Suara
mesra Datuk Hafizudin ketika pagar terbuka dengan sendiri.
"Maaf datuk, saya datang
nak melawat Qiarra."
"Tak apa. Masuk,
masuk." Pelawa Datuk Hafizudin.
Usai mereka melabuhkan
punggung di sofa ruang tamu, Eddie tidak membuang masa untuk bertanya.
"Qiarra dah okey, datuk?"
"Belum. Dia masih
takut-takut nak keluar bilik. Kadang-kadang tengah malam dia meracau tak tentu
hala. Doktor dah datang ke rumah untuk tengokkan dia. Katanya Qiarra masih
trauma. Bila makan ubat yang doktor bagi nampaknya dah ada perubahan sikit. Dia
kena banyak berehat sekarang." terang Datuk Hafizudin.
Tidak lama kemudian Datin
Maznah datang untuk duduk bersama mereka berdua.
"Eddie kerja di
mana?" Tanya Datin Maznah tanpa berlengah.
"Saya pelayan kafe saja
datin. Saya kenal Qiarra pun masa jumpa dia di kafe. Dia suka sangat dengan
sherbet strawberi." Jawab Eddie.
Datuk Hafizudin ketawa kecil.
"Memang kegemaran dia semenjak dia makan masa majlis hari jadi dia
kecik-kecik dulu."
"Eddie berasal dari
mana?" Tanya Datin Maznah lagi.
"Saya asal dari kampung
aje datin. Saya tinggal dengan mak angkat saya." Jawab Eddie penuh rendah
diri. Hakikatnya dia sendiri tidak tahu asal-usul dirnya yang sebenar.
"Dah lama kerja di
kafe?" Datuk Hafizudin mengubah topik setelah dia melihat air muka Eddie
berubah dengan pertanyaan isterinya.
"Taklah berapa lama
sangat." Jawab Eddie ringkas.
"Kenapa tak cari kerja
lain? Takkan nak kerja kafe sampai bila-bila." Soal Datin Maznah lagi.
"Apa salahnya kerja
kafe? Janji rezeki halal." Datuk Hafizudin menjawab bagi pihak Eddie. Dia
sedar soalan-soalan Datin Maznah agak 'panas'. Mungkin kerana dia memberitahu
isterinya tentang hubungan Eddie dan Qiarra.
"Sebenarnya saya kerja
kafe tu untuk sementara waktu saja Datuk, Datin. Saya tengah belajar part-time
waktu malam. Bila dah habis belajar nanti, saya carilah kerja lain yang sesuai
dengan kelulusan." Jawab Eddie telus.
"Oh... kalau macam tu,
apa kata kamu kerja dengan saya. Esok pagi datang ke ofis saya untuk interview. Bawa resume dan sijil kamu
sekali." Pelawa Datuk Hafizudin.
"Saya sebenarnya tak ada
pengalaman kerja pejabat, datuk." Eddie rasa rendah diri.
"Itu tak jadi masalah.
Lagipun ini sebagai tanda terima kasih saya sebab kamu tolong Qiarra hari tu.
Kalau tak, mungkin penculik tu masih lagi terlepas."
Eddie tersenyum dengan
jawapan Datuk Hafizudin. "Terima kasih datuk."
"Eh, jemputlah minum
Eddie. Nanti kalau lambat sejuk pula airnya." Pelawa Datin Maznah.
***
Pagi-pagi lagi Eddie sudah
bersiap. Sudah lama dia tidak mengenakan pakaian kemeja dengan seluar slack
seperti itu.
Seperti biasa Mail mengambil
peluang itu untuk mengusik Eddie.
"Sejak bila kau kerja di kafe kena pakai macam ni?"
"Aku ada interview lah."
"Kat mana?"
"Syarikat ayah
Qiarra."
"Wah, tahniah!"
Mail teruja sambil menepuk bahu Eddie. "Kerja betul-betul tau! Cerah masa
depan jadi menantu datuk." Usik Mail lagi.
"Apalah engkau ni. Entah
dia nak terima atau tak aku kerja di tempat dia." Kata Eddie beralas.
"Jangan risaulah Eddie.
Aku yakin dia akan carikan kerja yang sesuai untuk kau. Dia dah terhutang budi
dengan kau tu." Mail memberi perangsang.
"Mudah-mudahan."
Jawab Eddie ringkas.
***
Eddie tiba awal di syarikat Datuk
Hafizudin sebelum lelaki itu sampai lagi. Hampir sejam Eddie menunggu sebelum
dia dipanggil untuk berjumpa bakal majikannya.
Datuk Hafizudin mengamati
resume yang disediakan oleh Eddie.
"Buat permulaan ni saya
akan bagi Eddie kerja-kerja kerani untuk sesuaikan dengan urusan di syarikat.
Bila dah tunjuk prestasi nanti, saya akan tambah ikut kemampuan kamu.
Boleh?"
"Boleh datuk. Saya tak
ada masalah." Jawab Eddie.
"Lagipun awak tengah
sambung belajar dalam bidang pengurusan perniagaan. Memang ada potensi untuk
pergi jauh dalam syarikat ni." Puji Datuk Hafizudin.
"Saya akan cuba buat
yang terbaik datuk," kata Eddie penuh semangat.
"Tentang yuran belajar
kamu di kolej, syarikat akan tanggung sampai kamu habis belajar. Itupun kalau
kamu terus berkhidmat di sini."
"Ya ke datuk? Terima
kasih banyak-banyak."
Sebenarnya ada sesuatu
tentang resume Eddie yang menangkap perhatian Datuk Hafizudin semenjak dia mula
meneliti maklumat yang ada.
Nama dia Ruzaidi bin Minhad.
Tarikh lahir sama dengan tarikh arwah anak sulung aku. Bisik hati Datuk
Hafizudin.
"Kamu tak ada tulis
tentang latar keluarga kamu?" Datuk Hafizudin meminta penjelasan.
"Untuk pengetahuan
Datuk, saya diserahkan pada orang lain semasa saya berumur tiga tahun. Sampai
sekarang saya belum tahu latar keluarga saya. Siapa ayah saya, siapa ibu saya,
sama ada mereka masih hidup atau tak, semua saya tak tahu." Jawab Eddie
telus.
Minhad? Fikiran Datuk
Hafizudin cuba membuat pertalian dengan kisah silamnya sendiri.
"Okey, tak mengapa. Esok
kamu boleh mula kerja. Nanti saya suruh setiausaha saya beri penerangan tentang
syarikat." Kata Datuk Hafizudin sambl fikirannya masih giat memproses
maklumat yang baru diterima tentang pemuda bernama Eddie.
"Terima kasih
datuk," ujar Eddie sambil bersalaman dengan majikannya yang baru.
***
"Tahniah Eddie!"
Ucap Ravi ketika Eddie ke kafe untuk menyerahkan surat perletakan jawatan
kepada Puan Ainon.
"Terima kasih Ravi. Aku
mesti rindu dengan masa aku kerja di kafe ni. Terutamanya dengan kau."
"Eleh, rindu konon. Nanti
bila dah kerja kat tempat baru entah-entah nama aku pun kau lupa. Kalau jumpa
tengah jalan buat tak kenal aje." Usik Ravi.
"Aku bukan macam tu
Ravi. Aku mesti datang sini nanti untuk jumpa semua staf kat sini." Jawab
Eddie. "Termasuk harimau jadian Cecilia." Bisik Eddie diikut dengan
tawa Ravi.
"Mula-mula jadi pekerja
bapak Qiarra. Lepas ni jadi menantu dia kot?" Usik Ravi lagi.
"Kau dengan Mail sama
saja, suka sangat nak mengenakan aku." Eddie bengang.
"Apa salahnya. Macam
kata orang melayu, usik-usik bawa bahagia."
"Banyaklah kau punya
bahagia!" Jawab Eddie. Ravi hanya mentertawakan kawannya itu.
***
"Kenapa saya tengok abang asyik termenung semenjak balik dari
pejabat tadi? Macam mana interview dengan budak Eddie tu?" Datin Maznah
bertanya semasa mereka sedang duduk bersantai di katil malam itu.
"Sebenarnya saya tengah fikir pasal dialah ni. Awak tahu tak? Nama
dia Ruzaidi bin Minhad. Lepas tu tarikh lahir dia sama dengan arwah anak kita
yang pertama. Awak nampak tak pertalian semua ni?" Datuk Hafizudin
meluahkan apa yang terbuku di benaknya.
"Maksud abang?" Datin Maznah masih belum mengerti.
"Cuba awak bayangkan kalau bapak Eddie ni adalah Minhad yang kita
kenal, sebelum tiba-tiba dia menghilangkan diri. Macam mana kalau ini semua
perbuatan Si Malaun ynag nak perondak-peranda hidup keluarga saya dengan
Minhad."
"Maksud abang Si ..."
"Dah, jangan awak sebut nama tu! Sakit hati saya kalau dengar nama
dia!" Datuk Hafizudin memintas kata-kata isterinya.
"Saya syak ini semua ada kaitan dengan perbuatan Si Bedebah tu.
Cuba awak bayangkan kalau anak Minhad yang lahir pada hari yang sama dengan
anak kita tu sebenarnya ditukarkan. Macam mana kalau anak kita yang masih hidup
ditukarkan dengan anak Minhad. Entahlah, dah berdenyut kepala saya memikirkannya."
"Abang ni berfikir jauh sangat. saya tahu abang masih belum boleh
terima kematian anak kita selagi belum tengok kubur dia kan?"
"Tapi awak fikirlah. Logik tak kalau hospital kata mayat anak kita
boleh hilang? Hospital apa macam tu? Dah buntu fikiran saya fikir pasal benda
ni. Selagi saya tak dapat kepastian yang anak kita dah mati, saya tak akan
berputus asa mencari anak kita yang hilang tu."
Datin Maznah sudah mula faham apa yang menghantui fikiran suaminya.
"Oh... jadi maksud abang... jangan-jangan..." kata-kata Datin
Maznah cuba membuat deduksi selepas apa yang terjadi.
<< Akhir Bahagian 5 >>
ehh? Jangan kata Eddie dengan Qiarra tu adik beradik pulaakkk
BalasPadamHehe.. kejutan demi kejutan menanti.. ^_-
Padam