BAB 2
Ada beberapa
perkara yang menjengkelkan Mona ketika bekerja di Master Creative Media.
Pertama, adalah
sikap bossy Azli, pengurus dan anak
kesayangan Dato' Harriz. Berlagak mengalahkan CEO syarikat. Setiap kali
dipanggil ke pejabatnya, Mona rasa meluat tahap 200 juta. Tapi kerana
mengenangkan dia masih sayangkan kerja ini, dia terpaksa. Langkah diatur dengan
rasa hati yang berat dan dipenuhi bebelan yang hanya boleh didengar dirinya
sendiri. Kadang-kadang sumpah-seranah pun ada.
Kedua adalah
Amirul. Kalau ikut hati, memang sudah lama dia pecat pereka grafik yang kuat
mengampu bos. Yang peliknya hanya bos lelaki, dan bukan bos perempuan seperti
Mona. Kalau arahan daripada Azli, suruh kutip sampah pun dia sanggup.
Perkara ketiga
jarang berlaku. Tetapi kalau ia terjadi, memang lebih teruk daripada perkara
pertama dan kedua. Dan pagi ini nampaknya Mona terpaksa berhadapan dengan yang
ini.
Apa yang
dimaksudkan adalah kunjungan di pejabat oleh Juanita, isteri kedua Dato' Harriz
atau yang selalu mereka rujuk sebagai Mem (Ma'am) Muda.
Pagi itu ada perbincangan
di bilik mesyuarat Master Creative Media. Mona ada bersama Dato' Harriz, Azli
dan beberapa orang kakitangan yang terlibat secara langsung dengan sebuah
projek besar.
Dato' Harriz
sedang bercakap ketika Sharon, pembantu peribadinya mengetuk pintu dan masuk.
Belum sempat Sharon bersuara, seorang wanita lagi masuk tanpa diundang. Dia
bukan kakitangan syarikat, atau klien, atau kontraktor syarikat. Dia adalah
Juanita.
"Darling!" Suaranya lantang sambil
melangkah dengan gaya model ke arah Dato' Harriz yang sedang mengepalai mesyuarat.
"Sayang,
kan abang dah kata jangan ke ofis sesuka hati. Nanti apa staff kata." Dato' Harriz serba salah. Dia cuba merendahkan
suara, namun dalam keadaan lengang begitu semua yang ada boleh mendengar
kata-katanya.
"I rindu
pada you sayang. Dah berapa hari you tak balik rumah." Juanita
bersuara seksi. Persis drama Sepanyol yang dialih bahasa.
Mona menahan
perasaan meluat. Kalau ada baldi, sudah pasti sarapan sandwich pagi tadi akan
keluar bersama green tea yang
dibancuh tanpa gula.
Pada masa yang
sama dia rasa kasihan melihat Dato' Harriz yang dimalukan sebegitu. Walaupun
baginya, Dato' Harriz 'mencari pasal' dengan berkahwin dengan perempuan seperti
itu, tetapi jauh di sudut hati dia bersimpati dengan nasib yang diterima lelaki
itu dek angkara isteri keduanya, juga emak tiri Azli.
'Malang sungguh
Dato' dapat perempuan macam tu. Walaupun dia spesis yang sama macam aku, tapi
aku malu sebab dia memberi nama buruk kepada kaum hawa. Tapi salah Dato' juga.
Entah macam mana dia boleh terpikat dengan perempuan gedik macam tu.
Entah-entah kena mandrem agaknya.'
Mona melayan perasaan dengan harapan rasa 'loya' dapat dikurangkan.
"Sayang. I
nak ajak you pergi lunch." Suara
Juanita seksi. Entah-entah ada pekerja lelaki yang turut jatuh cinta dengan
suaranya yang menggoda.
"Kenapa tak
call aje? SMS pun boleh."
"Habis dari
pagi tadi you tak jawab telefon. I
takut juga kalau you dah berubah
hati. Entah-entah dah mula nak pasang tiga." Juanita menjeling ke arah
staff perempuan yang ada di situ, termasuk Mona.
Ada yang
tersenyum sinis mendengar, namun cuba disembunyikan daripada Dato' Harriz. Lelaki
itu juga nampaknya sudah mula rimas. "Memanglah tak jawab. Sebab abang dalam meeting. Jom kita bincang kat
luar." Dia menarik lembut tangan Juanita.
"Kita break sekejap. Nanti kita sambung
lagi." Suara Dato' Harriz sebelum meninggalkan bilik mesyuarat.
Mona cuba
mengagak perasaan Azli setelah melihat kerenah ibu tiri muda itu, namun Azli
terlalu bijak menyembunyikan perasaan. Dia melayan sesuatu di telefon iPhone
miliknya. Mungkin Facebook atau Twitter, tapi Mona malas hendak ambil pusing.
***
Usai mesyuarat,
Mona berjalan ke petak tempat dia bekerja. Ruang luas pejabat itu dibahagikan
dengan dinding paras dada untuk memberi privasi kepada para kakitangan dengan
petak-petak berasingan.
Semasa melintas
di hadapan pantry, dia ternampak Arie
sedang terhendap-hendap, seperti sedang bersembunyi daripada seseorang.
"Kenapa
awak ni Arie?" Dahi Mona berkerut.
"Eh, err...
tak ada apa-apa Cik Mona." Arie menggelabah.
"Tak
payahlah awak nak cuba rahsiakan dari saya. Nampak cara awak ni pun saya dah
tahu ada yang tak kena."
Arie mengintai
ke kiri dan kanan koridor. Kemudian dia menutup pintu pantry.
"Saya dah
buat salah Cik Mona. Pagi tadi masa hantar Mem Muda ke sini, kereta bos accident." Arie mula bersuara.
"Macam mana
boleh accident?"
"Saya pun
tak tahu. Masa tu Mem Muda tengah bising berborak dalam telefon. Agaknya saya
rimas sangat sampai tak sempat brek. Entahlah susah saya nak agak sebabnya."
"Habis tu,
apa masalahnya?"
"Mem muda
tak kasi saya claim. Dia suruh saya
bayar sendiri."
"Teruknya!"
Mona beremosi.
'Kalau dengan staff bukan main berkira. Yang dia
menghabiskan duit laki dia joli sana joli sini tu boleh pulak!' Mona melepas
geram dalam hati.
"Saya nak
beritahu bos, tapi rupa-rupanya Mem Muda dah beritahu dulu. Cik Mona pun
tahulah bos kita tu kan. Kalau Mem Muda cakap apa, semuanya betul. Sekarang dia
suruh saya bayar sendiri kos kerosakan tu. Memanglah tak teruk sangat rosaknya.
Tapi ini kereta Volvo! Mana saya ada duit banyak tu Cik Mona. Kalau kereta
kancil bolehlah."
"Awak biasa
hantar servis kereta bos kat mana?"
"Tempat Ah
Seng."
"Eh, bukan
kat pusat servis Volvo?"
"Cik Mona
ni macam tak kenal bos. Ikut sangat cakap bini. Agaknya kalau jimat kos servis
kereta tu, boleh dia berjoli lebih sikit." Sindir Arie.
Mona terdiam
seketika, cuba mencari ilham.
"Saya ada
idea. Awak hantar kereta ke Ah Seng macam biasa, tapi bil tu biar atas nama
saya. Tapi atas bil tu letak nama awak. Nanti biar saya deal dengan Ah Seng."
"Eh, apa ni
Cik Mona? Ini masalah saya, bukan masalah Cik Mona."
"Tak apa.
Nanti biar saya slow talk dengan
Dato'. Kalau dia tak setujupun, tak apalah. Biar saya yang tanggung kos
tu."
"Eh, tak
boleh macam tu. Saya tak nak libatkan Cik Mona dalam hal ni."
"Habis awak
nak buat macam mana? Nak tolak gaji awak? Awak nak bayar sendiri?"
Arie terdiam.
Sedikit sebanyak dia termakan kata-kata Mona.
"Terima
kasih Cik Mona. Saya tak sangka ada juga orang macam Cik Mona yang sanggup
tolong saya dalam keadaan terdesak macam ni. Kalau tak, tak tahulah apa ikhtiar
saya lagi."
"Dah,
jangan difikirkan sangat lagi. Pergi hantar kereta ni cepat."
"Baik Cik
Mona. Terima kasih." Arie tersengih-sengih meninggalkan Mona di bilik pantry.
Dada Mona terasa
lapang selepas menghulurkan bantuan kepada seorang insan lagi. Bukan dia
inginkan balasan, tetapi perasaan yang istimewa ini yang menyebabkan dia tidak
berkira tentang wang.
'Hari ini hari
dia. Entah esok lusa, hari aku pulak.' Mona tersenyum simpul ketika
meninggalkan tempat itu.
***
Tengah hari itu
Azli memanggil Mona ke pejabat.
"Meeting dengan Mawar Cosmetics dah
reschedule Isnin depan." Kata-kata Azli umpama kilat memancar ke jantung
Mona. Ia terhenti seketika kemudian berdegup kencang.
"Bukan lagi
dua minggu ke Encik Azli? Kenapa tak minta tangguh?" Mona mencuba nasib.
"Awak dah
lupa pesanan Dato'. Customer always right.
Terutamanya dalam bidang pengiklanan macam kita." Bidas Azli.
'Kau cakap
senanglah. Bukan kau yang buat. Aku yang kena siapkan proposal ni!' Bentak Mona
dalam diam.
"Klien kita
kena pergi overseas. Sebab tu dia nak
percepatkan tengok proposal yang kita buat."
"Takkan tak
boleh guna telekonferens. Zaman ni dah ada internet, boleh berhubung guna
Skype, Facebook atau emel."
"Sekarang
ni siapa bos? Siapa yang buat keputusan? Awak atau saya?" Azli merenung
tajam muka Mona.
Mona terdiam.
Mahu rasanya dia mencungkil biji mata Azli yang tidak berhati perut itu.
"Tapi saya
terpaksa siapkan proposal D'Ferns dulu. Saya kena submit sebelum hujung minggu ni."
"Projek
D'Ferns tak siap lagi? Apa yang awak buat? Makan gaji buta kat ofis ni?"
Selar Azli.
Mona terkedu.
Kalau ikut hati mahu rasanya dia menempelak lelaki itu. Tetapi kerana dia masih
seorang pekerja, dia menyimpan hasrat itu.
"Amirul
lambat siapkan storyboard. Kak Rose emergency leave hari tu. Banyak kerja
saya terpaksa cover."
"I'm so disappointed with you Mona. Awak
tergamak salahkan orang lain semata-mata nak tutup kesilapan awak sendiri. Dan
sifat malas awak tu. Saya dah tak ada masa nak layan kerenah awak lagi. Baik
awak pergi siapkan semua proposal tu. Hari Isnin ni, pastikan proposal Mawar
Cosmetics dah ada atas meja saya. Faham?" Suara Azli meninggi tanpa
menghiraukan keadaan Mona yang terpinga-pinga.
Mona berjalan
keluar dari pejabat Azli. Satu ledakan bom telah berlaku dalam dirinya. Hanya
terzahir pada matanya yang merah berair, dan wajahnya yang merah padam.
***
Mona masih mampu
mengekalkan kesiuman ketika berhadapan dengan Amirul.
"Saya nak
awak overtime dengan saya malam ni untuk siapkan proposal Mawar
Cosmetics." Suara Mona tenang, walaupun tidak menggambarkan apa yang
bersarang dalam hatinya.
"Alamak Cik
Mona. Saya minta maaf banyak-banyak. Saya kena siapkan kerja yang Encik Azli
bagi."
"Tapi yang ini
penting. Kena hantar Isnin depan. Saya perlukan kemahiran awak untuk tolong
saya." Mona cuba bertegas.
"Kalau Cik
Mona betul-betul perlukan saya, pergilah jumpa Encik Azli sendiri. Saya tak
berani bantah arahan dia." Amirul buat muka seposen macam biasa.
Mona mengeluh
panjang sebelum meninggalkan Amirul. Dia tidak berjumpa dengan Azli kerana dia
sudah tahu jawapannya.
'Bukan aku tak
tahu. Mereka berdua memang dah berkomplot. Silap haribulan aku yang kena balik
sebab cuba libatkan Amirul. Tak apa, aku akan buktikan yang aku mampu siapkan
proposal ni seorang diri. Aku akan tunjukkan pada Dato'. Masa tu aku nak tengok
macam mana muka Azli.'
Mona menggetap
bibir.
***
Mona cuba
menahan perasaan yang bercampur baur ketika itu. Sedih, kesal, kecewa, marah dan
macam-macam lagi. Banyak perkara yang perlu dibuat berkaitan dengan projek
Mawar Cosmetics. Dalam keadaan tertekan ini, minda kreatif yang biasanya
mengalir bagai air terjun yang deras seperti sedang dilanda kemarau. Kontang
dan gersang. Air mata sahaja yang masih segan dan silu untuk keluar. Hanya
berpaut di tubir, menunggu masa yang sesuai untuk melimpah keluar.
'Inikah harga
yang aku perlu bayar untuk mendaki tangga kerjaya yang aku idamkan? Kenapa
impian tidak semudah yang aku sangkakan? Kenapa mesti ada manusia seperti Azli?
Yang hanya tahu menyusahkan orang lain, tanpa ada rasa simpati atau tolak
ansur.' Mona melayan perasaan.
Entah mengapa
wajah tua ibunya singgah.
"Buat apa
kau kejar sangat kerjaya kau tu? Kita ni orang perempuan. Macam mana hebat
sekalipun, akhirnya ke dapur juga." Pesan ibunya suatu masa dulu.
"Itu zaman
dulu, mak. Zaman sekarang ni perempuan pun dah mampu bersaing dengan
lelaki." Mona cuba mengubah pendirian ibunya.
"Memanglah
zaman dah berubah. Tapi tanggung jawab orang lelaki sebagai suami, bapa dan
pemimpin keluarga tak berubah. Begitu juga tanggung jawab orang perempuan
sebagai isteri dan ibu. Zaman berubah, tapi tuntutan agama tak lapuk dek zaman.
Tak akan berubah dari zaman nabi hingga ke hari kiamat nanti." Nasihat ibunya
yang penuh maksud tersirat yang mendalam.
Mona sememangnya
tidak dapat menyangkal bahawa dia dibesarkan dalam keluarga yang memberati hal
agama. Ayahnya seorang yang warak dan ibunya mengajar mengaji di kampung.
Tetapi dia terpaksa menerima hakikat bahawa zaman sudah berubah. Dan dia perlu
menyahut seruan agar wanita bersaing merebut peluang yang ada pada masa ini.
Perasaan
berbelah bagi inilah yang selalu menyebabkan Mona buntu dalam membuat
keputusan. Kerana mengejar cita-cita dia terpaksa ketepikan isu perkahwinan.
Peluang yang ada di depan mata terlalu berharga untuk disia-siakan.
Sehinggalah
perbualan bersama enam rakan semasa majlis hari jadi yang lepas merubah
pendirian Mona.
'Jodoh atau
kerjaya? Kedua-duanya ada cabaran yang tersendiri. Mahu atau tidak, aku
terpaksa terima bahawa aku terpaksa memilih salah satu. Mustahil seorang wanita
dapat mencapai kemuncak kerjaya impian tanpa mengabaikan yang satu lagi.
Mampukah seorang wanita betul-betul berjaya dalam kerjaya yang dia impikan
setelah menjadi seorang isteri dan ibu?'
Mona buntu. Dia
benar-benar buntu. Apa yang berlaku sekarang benar-benar merupakan petanda
untuk dia berpatah balik. Ini adalah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh wanita
seperti dirinya.
Kebuntuan ini
telah menyebabkan setitis air melimpah dari tubir.
"Cik Mona
belum balik lagi?"
Suara itu
menyebabkan Mona segera menyeka air mata yang tumpah. Riak wajah suram
serta-merta diceriakan dengan senyuman.
"Belum
lagi. Kena siapkan kerja." Suara ceria Mona yang dibuat-buat apabila
melihat wanita bertudung yang tercegat di situ.
"Sorang
aje? Staff lain tak tolong?" Dahi Rosesita berkerut. Mungkin dia rasa
pelik melihat Mona terpaksa melakukan tugasan itu seorang diri.
"Nasib saya
Kak Rose. Mungkin ini cabaran saya sebagai bos perempuan. Pekerja pun ambil
kesempatan." Keluh Mona.
"Cik Mona
nak buat apa malam-malam macam ni? Kenapa tak buat kat rumah? Guna laptop."
"Entahlah,
saya rasa kalau buat di ofis ni ada suasana. Kalau balik rumah silap haribulan
terus mengantuk. Satu apa pun tak jadi nanti."
"Ada
apa-apa yang saya boleh tolong?"
"Eh, ini
tak ada kaitan dengan Kak Rose. Sepatutnya staff saya yang tolong."
"Cik Mona
dah lupa ya? Saya kan masih berhutang kerja copywriting
yang saya tak sempat siapkan hari tu. Lepas tu Cik Mona dah tolong langsaikan
hutang Along anak saya."
Mona terdiam.
Senyuman terukir di bibirnya, sebagaimana dia berjaya mengembalikan senyuman
Rosesita beberapa hari yang lalu.
***
Mona merebahkan
tubuh ke katil. Rasa penat menyelinap ke setiap inci tubuhnya. Ini bukan
pertama kali dia bekerja lewat sebegitu, tetapi keletihan malam ini memang
terlampau.
Bukan kerana dia
terpaksa menghantar Rosesita lewat malam itu. Bukan juga kerana kerja-kerja
untuk menyiapkan proposal Mawar
Cosmetics. Dia sudah dapat rangka kempen yang ingin dijalankan. Cuma perlu brainstorm beberapa perkara sebelum
menghitamputihkannya di atas kertas.
Rosesita banyak
membantu kerja-kerja menaip tadi. Kertas kerja proposal sudah hampir empat
puluh peratus siap dengan bantuannya.
Sebenarnya apa
yang disampaikan oleh Rosesita tadi yang membuat Mona tidak senang duduk.
"Cik Mona
ada perasan apa-apa yang pelik di tempat kerja kita ni?" Soalan Rosesita
dengan tidak disangka-sangka.
"Tak ada.
Kenapa?"
"Saya bukan
nak jadi kepochi, tapi saya syak
macam ada sesuatu yang tak kena?"
"Kak Rose
dengar dari siapa?" Mona cuba memastikan berita yang Rosesita berasal dari
sumber yang sama seperti Sam.
"Memang ada
dengar khabar angin di pejabat ni. Tapi... yang ini saya alami sendiri."
Mona diam tidak
menjawab. Dia hanya menunggu sambungan kata-kata Rosesita.
"Tugas saya
pastikan fail-fail klien dikemaskini. Tapi ada beberapa fail ni yang saya dah
lama tak tengok. Bila saya tanya Encik Azli, dia marah-marah. Katanya jangan
nak sibuk-sibuk ambil tahu pasal fail tu. Katanya biar dia yang handle. Tapi susah saya nak menjawab
kalau Dato' tanya. Saya pun serba salah dibuatnya. Masa auditor datang hari tu jenuh saya nak menjawab. Akhirnya saya suruh
dia orang rujuk pada Encik Azli. Tak tahulah apa yang jadi lepas tu."
"Saya
setuju dengan apa yang Kak Rose buat tu. Buat setakat yang mampu. Selebihnya
biar orang atasan yang uruskan."
"Tapi saya
peliklah. Fail-fail tu semua berkaitan dengan projek Astaka Aksara. Apa yang
dia nak buat dengan semua fail-fail tu?"
Mona terdiam.
Entah mengapa dia sudah mula syak skandal yang dimaksudkan oleh Samantha ada
berkaitan dengan Astaka Aksara.
'Aku kena tanya
Sam. Mungkin dia boleh dapatkan maklumat lanjut.'
Hati Mona
berbelah bahagi. Sebagaimana dia resah memikirkan sama ada untuk meneruskan
kerja yang penuh cabaran di Master Creative Media atau mencari tempat yang
lebih tenang dan mudah. Begitu juga dengan misi mencari Mister Right. Dia harus
memikirkan masa yang perlu dibahagikan untuk kerjaya dan keluarga. Apa yang
harus dia korbankan dan bertolak ansur.
Tetapi masalah
yang baru dia hadapi ini lebih mencabar daripada yang lain. Dia terpaksa
memikirkan risiko menyiasat skandal yang berlaku di syarikat Dato' Harriz.
'Kalau aku
tersalah langkah, semuanya hancur lebur. Kerjaya aku, reputasi aku. Silap
haribulan tak ada siapa lagi yang nak ambil aku bekerja.' Mona merenung kosong
siling. Kepalanya terasa hangat memikirkan perkara itu, walaupun hawa dingin
jelas terasa.
Dia cuba
mengalihkan fikiran kepada projek Mawar Cosmetics.
'Aku dah dapat
idea untuk kempen minyak wangi terbaru mereka. Ada tiga jenis wangian yang
disasarkan untuk tiga jenis karakter wanita. Mawar Berduri untuk wanita yang
inginkan sensualiti, bergaya seksi dan berani. Mawar Suci untuk mereka yang
mementingkan kesucian dan bau lembut yang sesuai untuk dibawa dalam solat dan
majlis keagamaan. Dalam erti kata lain wanita yang Islamik. Mawar Lestari untuk
mereka yang aktif dan lasak. Sama ada untuk wanita berkerjaya atau yang
bersukan.'
Mona membuat brainstorm di atas katil.
'Aku akan pilih
tiga watak wanita dengan wajah yang sama. Setiap satu menepati ciri-ciri yang
sesuai untuk tiga jenis minyak wangi Mawar.'
Mindanya
tiba-tiba melencong dari landasan.
'Macam aku. Ada
tiga watak dalam diri aku. Aku adalah Mawar Lestari yang sibuk dengan kerjaya
hingga kadang-kadang tak ada masa untuk kehidupan peribadi. Kalaulah aku boleh
asingkan sisi berani dan sisi berhati-hati aku dan menjadikan mereka sebagai confidante, senang untuk aku rujuk kalau
ada apa-apa masalah.'
Mona terus
dengan angan-angan pelik yang datang bertamu di minda.
'Mawar Berduri
adalah sisi berani aku. Yang tak takut dengan cabaran. Tak gentar dengan
masalah dan ugutan. Penampilannya mungkin lebih berani dan seksi... macam
Zetty.'
Mona ketawa
sendiri dengan idea yang datang menyinggah.
'Mawar Suci
adalah yang bertudung, ayu dan bersopan santun. Ala perempuan Melayu terakhir
gitu. Pakaiannya putih dengan tudung bermanik labuci. Perwatakan lembut macam
Siti Nurhaliza.'
Mona memeluk
bantal dengan senyuman meleret.
'Mawar Lestari?
Itu macam aku sekarang ni. Perwatakan dan pakaiannya sama. Wah, ini memang idea
bagus untuk kempen Mawar Cosmetics. Cuma perlu cari model yang lebih muda dan
sesuai. Kalau aku yang jadi model, alamatnya kempen ni terus ke laut. Silap
haribulan Mawar Cosmetics cari syarikat lain untuk jayakan kempen
mereka.'
Mona tergelak
seorang diri.
Tidak lama
kemudian dia terlena dan dijemput sebuah mimpi. Mimpi yang sungguh pelik.
semakin baca seamakin menarik cerita ni...hee
BalasPadam