PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Memaparkan catatan dengan label mini e-novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mini e-novel. Papar semua catatan

Sabtu, 22 November 2014

CERPEN BERSIRI : YASSER PENJEJAK ENTITI

YASSER PENJEJAK ENTITI




Hutan Semambu Kuning
3.15 pagi

Yasser melihat skrin pintar menerusi goggle yang dipakai. Bacaan meter PKE atau tenaga psikokinetik memberikan bacaan turun naik yang tidak sekata. Tiada petanda lain yang dikesan. Pengesan gerakan atau haba memberikan bacaan negatif.

Suasana sunyi dan suram dengan cahaya purnama menghujani bahagian atas pepohon yang tidak berdaun. Umpama jemari gergasi menceracak ke langit. Yasser mengatur langkah pendek dan perlahan meredah kawasan hutan dengan pokok yang jarang.

Hutan Semambu Kuning merupakan kawasan larangan kepada manusia seperti dirinya. Namun kehadiran di sini adalah kerana satu misi. Misi peribadi yang terpaksa dia lakukan untuk menguji kemampuan ciptaan terkini miliknya.

Gajet yang terpasang di matanya disambung ke backpack di belakang. Persis prop dari filem Ghostbusters berpuluh tahun yang lepas. Seragam yang dipakai juga inspirasi dari filem itu. Obsesi yang menjadikannya satu realiti, dengan teknologi terkini yang memungkinkan semua ini.

Masih tiada bacaan pada pengesan pergerakan atau haba. Hanya bacaan tenaga psikokinetik dengan gelombang elektromagnetik yang begitu jelas tetapi nampak ada kekeliruan.

Yasser menguatkan semangat dengan memikirkan segala peristiwa yang memungkinkan teknologi yang sedang dipakai ini. Teknologi canggih untuk penjejak entiti seperti dirinya. Namun segalanya bukanlah satu penemuan yang mudah.

Peristiwa suatu masa dulu bertamu di benak.

***

Tiga Puluh Tahun Yang Lalu

Jumaat, 24 Oktober 2014

CERPEN BERSIRI : KIAI NORDIN IMAM KAMPUNG

KIAI NORDIN IMAM KAMPUNG



Kampung Semambu Kuning
3.15 Pagi


Nordin meredah kawasan paya bakau yang berlumpur. Jubah yang dipakai terpaksa diikat ke paras pinggang. Seluar yang dipakai sudah lecah dengan selut yang menyukarkan perjalanan.

Bulan purnama menerangi umpama lampu jalan yang mengintai di celah-celah dahan yang kelihatan persis tangan makhluk sedia untuk mencakar mangsa di bawahnya.

Zikir dan wirid tidak lekang dari bibir imam Kampung Semambu Kuning.

"Berpatah balik Nordin. Ini bukan tempat kau. Kau hanya menghantar ajal datang ke sini. Pulanglah!" Bisikan suara halus yang bergema di telinga.

'Aku kenal siapa kau. Aku tahu kejadian kau. Kau dan aku sama, walaupun diciptakan daripada unsur berlainan. Tiba masa kau dan aku akan menghadap Dia pada hari perhitungan.' Sedikan hati Nordin yang dia pasti boleh didengar oleh makhluk ghaib yang berbisik di telinganya.

Bunyi tawa yang kasar dan dalam menghentak gegendang telinga.

"Kenapa kau ke sini? Adakah kerana kau benar-benar ingin menyelamatkan budak perempuan itu? Atau kau ada agenda lain yang tersembunyi? Mungkin untuk membuktikan kemampuan kau?" Suara itu cuba menggoyahkan pendirian Nordin.

Nordin terdiam. Kata-kata itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosinya.

"Kau sebenarnya ingin membuktikan kepada mereka yang mempertikaikan masa silam kau. Kau bukan datang dari latar yang suci murni. Kau..."

'Ah! Jangan kau cuba ungkit itu semua lagi. Masyarakat di sini terima aku seadanya. Mereka tahu aku sudah berubah.'

Tawa bergema lagi.

"Kau pasti? Kalau aku tak silap masih ada segelintir mansia yang mempertikaikan kau. Kau yakin kau akan diterima sepenuhnya oleh masyarakat kampung?"

Nordin terdiam. Memori silam pantas bermain di mindanya.

***

Lebih dua puluh tahun yang lalu

Selasa, 14 Oktober 2014

CERPEN BERSIRI : JACK KARIM PEMBURU UPAHAN

JACK KARIM PEMBURU UPAHAN

Kampung Semambu Kuning
3.15 pagi

Deruman motosikal Harley Davidson Dyna Bob berderum lunak dalam kesunyian dan kepekatan malam hingga menenggelamkan nyanyian orkestra cengkerik yang tidak henti-henti berkumandang. Umpama lagu MP3 dengan mod continuous play.

Rimbun pohon buluh di seberang jambatan yang merentangi sungai kelihatan seperti jemari yang menceracak ke langit tanpa daging. Hanya tulang. Umpama manusia yang mati dalam keadaan sedang menadah tangan ke langit. Kemudian mereput hingga tinggal hanya tulang rangka dalam keadaan yang begitu sadis.

Jack Karim memandang ke arah hutan yang disimbah suram cahaya purnama dan lampu depan Dyna Bob miliknya.

Pesanan Pawang Hitam tadi kembali terngiang di telinga.

"Hutan ini bukan hutan biasa. Ini hutan puaka! Kalau kau masuk, belum tentu kau akan keluar dalam keadaan yang sama."
  

Rabu, 1 Oktober 2014

CERPEN BERSIRI : NIRMALA PERAWAN MALAM


NIRMALA PERAWAN MALAM

 



Indah nian istana bunian
Puteri bunian manis menawan
Berat rasa nak kutinggalkan
Kerna hati dah tertawan
Bagai bulan jatuh ke tangan
Wahai puteri seri bunian

~ Seri Bunian
(Allahyarham P.Ramlee)


~ *** ~

Kampung Semambu Kuning
3.15 pagi

Tuhan sengaja menduga kita
Di mana kesabaran manusia
Engkau isteri yang kusanjungi
Lambang semangat cinta dunia

Jaafar bersiul dengan irama lagu Nash dalam perjalanan pulang. Kerja mengait kelapa sawit bukan semudah yang ramai sangkakan. Kalau buah yang rendang boleh ditebak dengan pahat bruning.

Istilah bruning memang tidak wujud di dalam kamus. Istilah yang dimelayukan daripada perkataan Inggeris pruning. Maknanya mencantas.

Pahat dengan batang besi berukuran  lebih kurang dua meter itu memang dikhususkan untuk mencantas pelepah sawit yang mula mencapah dan menyukarkan kerja-kerja memetik buah sawit. Pelepah dan tangkai buah sawit boleh tahan liatnya jika tidak kena gaya menghayun pahat bruning.

Itu belum termasuk buah yang sayup di atas pokok. Sabit yang disambung pada batang kayu yang menggalah panjangnya. Cara menyauk kena betul. Silap haribulan boleh jadi arwah, seperti yang pernah berlaku pada pekerja seberang yang malang. Bayangkan setandan buah sawit dengan berat berkilo-kilo itu jatuh menghempap dengan ketinggian bermeter-meter tinggi. Ditambah pula dengan tandan buah yang berduri tajam.

Luka yang tak terasa
Mengalir darah yang tak berwarna
Bagai jeritan tanpa suara

Jaafar beralih pula kepada lagu Damasutra. Irama karaoke tadi terngiang-ngiang di kepala dan terus menjadi bahan siulannya.

Seharian mengait sawit memang memenatkan. Sebab itu pada waktu malam minggu dia keluar berkaraoke di warung Sameon. Puas layan lagu rock, dia bertukar selera dengan lagu pop. Kemudian dangdut dan jiwang karat.

Ada sekali Si Jefri cabar dia menyanyi lagu nasyid. Selamba dia bawa lagu Alhamdulillah oleh Too Phat dan Yasin. Berterabur apabila sampai bahagian rap. Pecah perut geng dia ketawa dengan rap gagap sampai ke laut.

Hampir jam tiga baru dia berhenti karaoke. Memang sudah selalu kena sembur dengan orang kampung sebab melalak pagi-pagi buta. Namun semuanya dianggap macam angin lalu. Bak kata pepatah, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Selagi warung Sameon masih teguh berdiri dengan set karaoke yang berfungsi bersama CD dan DVD karaoke, selagi itu ia akan jadi tempat bersanggah Jaafar dan yang lain.

Umpama mimpi dalam mimpi
Umpama mimpi dalam mimpi
Umpama mimpi dalam mimpi

Siulannya makin galak apabila sampai ke bahagian korus lagu kegemarannya semasa karaoke. Ramai yang memuji suaranya seperti Bagio.

Cuma Kamal selalu tersalah sebut. "Fuh! Suara kau sebiji macam Bagero."

Semua ketawakan dia.

Rabu, 17 September 2014

CERPEN BERSIRI : WAK PARJO BOMOH ULAR

WAK PARJO BOMOH ULAR



Kampung Semambu Kuning
3.15 Pagi


Musa terkejut. Peluh dingin mengalir di seluruh tubuhnya macam hujan.

"Alhamdulillaaah... Mimpi rupanya!" Mukanya disapu dengan tangan yang baru lepas ditadah dengan gaya berdoa.

Mengenangkan mimpi itu semula menyebabkan tubuhnya terasa seram sejuk. Mimpi yang terasa begitu jelas, seolah-olah benar-benar telah dia alami.

‘Apa maksud mimpi itu? Adakah aku yang akan mengalaminya? Atau mungkin orang lain?’ Musa dilanda pelbagai soalan yang bertubi-tubi. Mindanya mula letih memikirkan hal itu, hinggalah dia tertidur semula.

Sebelum terlena dia sempat menjeling adiknya Haron yang sedang tidur berdengkur macam serombong kereta api yang sudah tiba masa untuk diservis.

Akhirnya kantuk datang menjengah macam gadis pingitan yang memagut ciuman di pipinya. Musa terlena sampai ke siang.

***

Cuti sekolah tiba lagi. Rutin budak Kampung Semambu Kuning musim cuti ini adalah mengaji di rumah Pak Andak Dolah. Isterinya Mak Munah memang pandai mengaji. Masa muda-muda dulu kalau dengar dia mengaji, memang cair jantung jejaka kampung yang kemaruk cinta dengan dengan testosteron sedang meracau. Kalau hendak dibandingkan dengan zaman ini, lebih kurang macam suara Siti Nurhaliza masa anak dara dulu. Selepas Siti sudah berkahwin suaranya pun sedap juga, tapi berlainan sedikit.

Berbalik semula kepada cerita Musa dan Haron, mereka terbangun lewat pagi itu. Biasanya Musa yang mengejutkan si Haron, tapi disebabkan mimpi malam tadi dia terbabas. Lintang pukang budak berdua ke rumah selang beberapa rumah di sebelah rumah mereka. Hinggakan Musa terlupa tentang mimpi awal pagi tadi.

Pulang dari kelas mengaji, mereka tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya mereka pergi ke tepi sungai. Ketika itu baru Musa teringat semula mimpi malam tadi.

"Haron, kau nak dengar tak pasal mimpi aku malam tadi?" kata Musa sambil mencangkung di gigi air.

"Alah abang ni! Kan kita dah beritahu jangan panggil nama tu lagi. Mulai sekarang panggil Aaron. Macam Aaron Aziz."

Musa mengejek. "Muka macam ikan kering yang Mak Lijah jemur depan rumah dia, ada hati nak panggil Aaron." Dia ketawa terbahak-bahak hingga meleleh air mata.

"Nama Haron tak best ah! Aaron lagi sedap."

"Suka hati kaulah Aaron ikan kering Mak Lijah." Musa ketawa lagi.

Haron bengang. Matanya melilau melihat ke tanah. Dia mencapai sesuatu.

Kelekuk!
Musa ketawa sampai terkejip-kejip matanya hinggakan dia tidak perasan ada batu melayang dan hinggap di dahinya. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Terus dicapai dengan tangan dan dia nampak cairan likat merah melekit pada jari telunjuk dan jari hantu.

"Kau kenapa Haron? Kan dah luka kepala aku!" Musa berang.

"Ketawalah lagi." Cabar Haron sambil bercekak pinggang.

Musa lekas-lekas mencuci luka dengan air sungai. Dia berkira-kira ingin mencapai batu sebesar penumbuk untuk membalas dendam. Biar kepala Aaron dengan muka macam ikan kering Mak Lijah pun berdarah juga.

Hasratnya terbantut apabila pandangannya dilemparkan ke seberang sungai. Beberapa ekor kucing sedang memerhatikannya tanpa bergerak-gerak.

Rabu, 2 April 2014

TRAILER: E-NOVELET MUTASI GEN-X DI ILHAM KARANGKRAF


Sebuah karya fiksyen sains thriller futuristik yang dimuatkan dalam 
TRILOGI: MANUSIA, MAKHLUK DAN MASA.

Bab-bab preview di ILHAM KARANGKRAF:
KLIK DI SINI


Bab-bab bonus (akan disiarkan) di LAMAN INSPIRASI PENA VR:
KLIK DI SINI

Selasa, 17 Disember 2013

Isnin, 16 Disember 2013

Fantasia Izara Bab 7

BAB 7




Suasana suram di majlis pengkebumian Sameon. Izara tidak henti-henti mengalirkan air mata.

Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Dia baru saja kehilangan Kelana dan anak-anaknya, Andika dan Arjuna. Kini dia terpaksa menghadapi kematian ayahnya buat kali yang kedua.

'Apa yang sedang aku alami sekarang ini seperti satu mimpi yang ngeri dan tak masuk akal. Tapi perasaan ini terlalu menyakitkan.'

Rubiah, Hayati dan Karmilah begitu giat melampias tangisan di tanah perkuburan Sameon yang masih basah. Izara hanya memerhatikan. Sukar untuk dia memastikan sama ada ini sekadar satu lakonan mereka yang hebat atau tidak.

'Ini kali kedua aku berada dalam situasi seperti ini. Mungkin aku kena perhatikan gerak-geri mereka. Sekarang aku sudah tahu rancangan Mak Cik Rubiah nak kahwinkan aku dengan Pak Jabar.' Izara mengatur rancagan dalam diam.

Bergilir-gilir para tamu bertemu Izara untuk mengucapkan takziah selepas majlis pengkebumian. Izara sugul bersimpuh memerhatikan tanah perkuburan ayahnya yang masih merah dan basah dengan siraman air mawar. Kelopak bunga bertaburan di atas hamparan tanah yang membukit itu.

'Izara percaya ayah mati dibunuh. Izara berjanji, Izara akan cuba cari siapa yang telah membunuh ayah. Dia akan pasti menerima balasan yang setimpal atas perbuatannya. Biarpun manusia itu adalah Mak Cik Rubiah.' Getus hati Izara penuh semangat.

Ketika itu kata-kata orang tua berjanggut putih terlintas di fikirannya.

Rabu, 4 Disember 2013

Fantasia Izara Bab 6

BAB 6



Izara memerhatikan gelagat Arjuna dan Andika yang sedang berkejaran di laman rumah. Adakala keriuhan mereka menguji kesabaran Izara. Dia sering terasa lelah selepas melayan kerenah mereka berdua.

Sebenarnya bukan itu yang mengganggu fikirannya.

'Semakin lama aku tinggal di sini, semakin terasa kebosanannya. Tak ada internet. Tak ada Youtube. Tak ada Facebook, Twitter.' Izara melayan apa yang terlintas di fikiran.

Izara mula terasa cabaran tinggal di tempat yang berlainan dari tempat asalnya.

'Apa agaknya yang ada di balik kabus?' Izara teringat apa yang dilihat berhampiran pokok kayu yang telah kering.

'Kalau aku melintas ke dalamnya, apa yang akan terjadi? Adakah aku akan kembali ke tempat asal? Apa yang Kelana maksudkan dengan keadaan mungkin tak akan sama seperti yang sebelumnya?' Izara tertanya-tanya.

Ketika itu dia disentak oleh tangisan Andika yang diusik oleh Arjuna.

'Arjuna, kenapa usik Andika?' Izara menghampiri untuk meleraikan pasangan kembar itu.

Perkara yang mengganggu fikirannya terus lenyap buat sementara.

Ahad, 24 November 2013

Fantasia Izara Bab 5

BAB 5




"Dah elok kaki Izara?" Tanya Mak Kasturi semasa mereka bersantai di pangkin petang itu.

"Dah kurang sakitnya. Tapi masih susah nak berjalan lagi." Jawab Izara sambil memicit-micit di bahagian yang terasa sengal. Urat kelihatan timbul di bahagian itu.

"Mari mak cuba urutkan kaki Izara tu." Pelawa Mak Kasturi.

"Eh, tak apalah mak. Lama-lama baiklah ni." Izara rasa tidak sedap hati kakinya disentuh oleh wanita itu. Dia rasa seperti biadab membiarkan orang yang dihormati menyentuh kakinya.

"Mari sini. Apa yang kamu nak takutkan. Mari." Akhirnya Izara akur dengan pelawaan Mak Kasturi yang bersungguh-sungguh.

"Tahan sikit." Suara Mak Kasturi apabila dia melihat Izara terkejip-kejip matanya dengan suara berdesis seperti ular.

Hampir mengalir air mata Izara ketika urat yang tersimpul itu ditonyoh oleh Mak Kasturi. Naik tegang urat di kepala menahan kesakitan yang amat sangat, diikuti rasa panas di muka.

"Dah. Cuba berjalan." Arah Mak Kasturi. Izara masih terpinga-pinga dengan pengalaman menahan sakit tadi.

Izara berdiri. Dia sudah mampu berdiri tegak. Dia mencuba beberapa langkah, nampaknya tiada rasa sengal seperti tadi.

"Dah elok. Terima kasih mak." Izara rasa lega.

"Ubat yang Kelana buat tu untuk tahan sakit. Tapi urat yang tersimpul kena diperbetulkan." Mak Kasturi menerangkan.

"Pandai mak mengurut." Puji Izara.

"Bolehlah kalau terseliuh sikit-sikit macam ni." Mak Kasturi tersenyum.

"Saya pergi jalan-jalan ya mak. Rasa bosan pulak asyik terpengap tadi."

"Yalah. Jangan pergi jauh-jauh. Kamu tu baru baik."

Izara mengangguk.

"Mana Kelana, mak?" Izara sempat bertanya ketika mula menapak meninggalkan pangkin.

"Tadi katanya nak cari kayu api. Adalah kat belakang rumah tu."

"Izara pergi dulu mak," Izara berkata sambil menguakkan rambut ke belakang telinga.

"Hati-hati." Pesan Mak Kasturi sebelum masuk ke dalam.

Selasa, 5 November 2013

Fantasia Izara Bab 4

BAB 4






Malam di perkampungan yang berada di tengah-tengah hutan benar-benar mendamaikan, dengan suasana yang tidak terlalu hangat atau terlalu dingin. Langit begitu indah dengan taburan bintang yang gemerlapan.

Kelana sedang berlengging di pangkin. Dia berbaring sambil mendepakan tangan dan mengalas kepala dengan tangan yang dijadikan seperti bantal. Susuk tubuhnya hanya samar-samar kelihatan dalam limpahan cahaya bulan. Ingin rasanya dia bersantai di sana bersama Kelana, tetapi dia sedar batas-batas bersama lelaki yang tiada sebarang pertalian dengan dirinya.

Mak Kasturi sedang menganyam tali yang dibuat daripada dedaun kering menjadi tikar. Tangannya pantas menari dalam liang-liuk api pelita yang menyala terang di sebelahnya. Izara duduk di sisi sambil asyik memerhatikan aksi Mak Kasturi.

"Sudah lama mak dan Kelana tinggal di sini?" Izara memecahkan kesunyian antara mereka.

"Kami memang berasal dari tempat ini. Keturunan kami memang sudah lama bermastautin di sini. Hanya ayah Kelana..." Kata-kata Mak Kasturi terhenti.

"Kenapa dengan ayah Kelana?"

Jemari Mak Kasturi berhenti menari. Garis-garis di wajahnya semakin jelas dalam sinaran lampu pelita. Matanya merenung kosong ke arah tingkap yang terlopong. Pemandangan langit dan bintang menerobos masuk melaluinya.

Khamis, 6 Jun 2013

Fantasia Izara Bab 3

BAB 3


Izara cuba membuka mata. Silau matahari membuatkan dia sukar membuka mata dari tempat dia berbaring. Kain tebal dijadikan hamparan dan gulungan kain menjadi bantal.

Kelihatan seorang pemuda sedang duduk di tepi sungai sambil memancing. Apabila dia melihat Izara sudah sedar, dia bersuara. "Tuan hamba sudah sedar nampaknya."

'Tuan hamba? Macam kisah Melayu lama yang aku selalu tengok di TV pula.' Getus hati Izara.

"Saya di mana sekarang?"

"Tuan hamba berada di Hutan Kabus Melintang." Jawab lelaki itu sambil terus memegang joran dengan tenang. Batang jorannya sekadar kayu yang raut menjadi lurus dan licin.

"Saya belum pernah dengar nama tu." Izara musykil.

"Hutan ini hanya ditemui sesiapa yang layak atau berhajat. Tidak semua makhluk terpilih untuk berada di dalamnya."

"Kamu siapa?" Izara melihat lelaki yang asyik memancing di tepi sungai.

"Hamba penghuni hutan ini. Membantu sesiapa yang memerlukan pertolongan. Berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran atau habuan." Jawapan lelaki itu membuatkan rasa pelik semakin menghantui fikiran Izara.

"Apa nama tuan hamba?" Izara sudah mula terikut cara percakapan seperti lelaki itu.

"Nama hamba Kelana. Tuan hamba?" Jawabnya.

"Izara."

Masih banyak soalan yang ingin ditanya oleh Izara, tetapi rasa lapar sudah menguasai apabila melihat hidangan ubi rebus bersama ikan bakar yang telah terhidang.

"Makanlah dulu. Tentu tuan hamba lapar."

Izara tidak membuang masa selepas dipelawa oleh lelaki misteri itu.

'Tahun apakah ini? Di mana laluan berkabus tadi? Apa asal-usul lelaki ini? Kenapa tempat ini tiba-tiba muncul?' Pelbagai soalan menujah benak Izara, tetapi semuanya dibiarkan tidak berjawab sedang dia asyik mengisi perut yang sudah berkeroncong.

Khamis, 23 Mei 2013

Fantasia Izara Bab 2

BAB 2




Hari Ahad adalah hari yang ditunggu-tunggu Izara. Namun hakikatnya dia masih belum boleh merehatkan diri sepenuhnya. Pelbagai kerja rumah menanti. Mengemas ruang tamu, menyapu laman dan macam-macam lagi.

"Yati, Milah. Cuba tolong Izara buat kerja rumah. Dahlah kat kedai dia yang uruskan jahitan. Takkan kat rumah pun Izara yang kena buat semuanya." Tegur Sameon.

Hayati segera mengangkat kaki meninggalkan rumah, seolah-olah tidak menendahkan kata-kata bapa tirinya. Karmilah masih bergayut di telefon. Dia asyik dengan perbualan dan tidak sepatah pun kata-kata Sameon dia dengar.

Sameon hanya menggeleng.

"Alah, biarkanlah Izara yang buat. Dia ni teliti sikit orangnya, tak macam Si Yati dengan Milah. Tak sama kalau budak-budak tu buat. Abang nak kopi, biar saya pergi buatkan, ya?" Rubiah memegang lembut bahu suaminya.

Izara hanya tersenyum sinis. 'Itu nak ambil hati bapak aku lah tu. Mak dengan anak sama aje.' Izara melayan perasaan.

Sebenarnya Izara tidak kisah jika dia yang mengemas setiap minggu. Walaupun tidak disuruh dia akan menjalankan tugas itu.

'Dapat juga buang peluh dengan buat kerja rumah. Seminggu duduk memerap depan mesin jahit.' Izara menyedapkan hati.

Cuma satu perkara yang membuatkan Izara tidak selesa dengan kerja mengemas ruang tamu. Bahagian itu dipenuhi dengan pebagai koleksi tembikar Rubiah. Pernah Izara tersinggung sebuah ukiran tembikar hingga pecah. Berhari-hari Izara dilayan dengan buruk.

'Mak Cik Rubiah sayang sangat dengan koleksi tembikar dia. Harganya tidak seberapa.' Rungut Izara.

Sameon cuba membela Izara selepas barang tembikarnya dipecahkan Izara. "Apa yang awak nak kisahkan sangat kalau pecah pun. Boleh beli lagi."

"Amboi, sedapnya mulut awak. Kalau asyik nak kena beli lagi, taukeh balak pun boleh bankrap. Abang nak saya tolak gaji Izara kerja i kedai." Terjengkit-jengkit bibir Rubiah menjawab.

Sambil menyapu, Izara melayan perasaan. 'Kalau aku bukan main berkira. Yang anak-anak dia makan gaji buta tu, apahal? Lagipun ini asalnya kedai mak aku. Dia yang pandai-pandai tukar nama dia. Helo... cuba sedar diri tu sikit.'

Dalam Izara begitu berhati-hati hari itu, penyapu yang digunakan untuk membersihkan bahagian bawah sofa terlanggar pasu tinggi yang terletak di situ. Batang penyapu tersauk pasu itu yang sememangnya tidak stabil dan terus tumbang.

Praang!...

Isnin, 25 Mac 2013

Fantasia Izara Bab 1

Cerpen ini telah diubah menjadi novelet dengan beberapa bahagian


BAB 1




Hidup ini adalah sesuatu yang penuh misteri. Pelbagai perkara yang sukar digambar boleh benar-benar berlaku. Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata, tetapi tidak mustahil sekiranya ia berlaku. Kerana Tuhan itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja, sama ada Dia ingin meninggikan atau menjatuhkan seseorang dengan kehendak-Nya.

Apa yang kita impikan, apa yang kita angankan, dan apa yang kita mahukan semuanya ada dalam pengetahuan-Nya. Sebagaimana yang berlaku kepada seorang gadis di dalam dunia Fantasia Izara.

***

Kedai Jahit Rubiah memang terkenal di Kampung Embun Seri. Kedai itu asalnya bernama Kedai Jahit Samirah sebelum kematian pemilik asalnya.

Samirah adalah isteri kepada Sameon. Mereka dikurniakan seorang anak bernama Izara. Samirah ada berdarah kacukan orang Australia di sebelah datuknya.

Izara nampaknya mewarisi darah kacukan itu dengan kulit yang putih mulus bersama mata yang coklat keperangan. Disebabkan itulah, Izara sering menjadi mangsa manusia yang iri hati semenjak kecil hinggalah dia sudah muda remaja sekarang.

Izara mewarisi minat ibunya. Semenjak kecil dia mula mereka pakaian untuk anak patung Barbie yang dimiliki. Minat itu berterusan hinggalah kini, dengan menjadi tukang jahit tetap di kedai jahit warisan ibunya. Ramai yang memuji hasil jahitannya yang teliti dan kemas. Jarang yang menghantar hanya sekali di kedai itu setelah melihat hasil jahitan Izara.

Samirah pergi meninggalkan Sameon dan Izara pada usia yang agak muda. Izara sempat berguru dengan ibunya hanya beberapa tahun apabila wanita itu menghidap kencing manis. Kemudian melarat menjadi buah pinggang dan darah tinggi, seperti yang biasa digelar orang penyakit tiga serangkai.

Izara meneruskan legasi ibunya seorang diri sehinggalah ayahnya jatuh hati dengan seorang perempuan kampung seberang bernama Rubiah. Janda itu sudah beranak dua. Kedua-dua anaknya bernama Hayati dan Karmilah.

Rubiah pernah membuka kedai jahit, tetapi tidak bertahan lama kerana jahitannya selalu tidak memuaskan hati pelanggan. Anak-anaknya juga membantu di kedainya selepas kematian suami tetapi masing-masing seperti melepas batuk di tangga. Hayati berperwatakan tomboy dan tidak minat dengan kerja-kerja menjahit yang perlu berhalus. Karmilah kuat berangan sehingga hasil kerjanya selalu lambat siap.

Adakah Rubiah cuba memikat Sameon kerana ingin mengambil alih kedai jahit dengan tukang jahit yang disenangi ramai pelanggan? Mungkin juga.

Selepas berkahwin dengan Sameon, dia terus menukar nama kedai itu bersempenakan namanya. Hayati dan Karmilah juga bekerja di situ.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?