PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Memaparkan catatan dengan label seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seram. Papar semua catatan

Isnin, 9 Januari 2023

Ghost Writer Bab 5


BAB 5


Syeqal menghentak meja. Dia tidak pernah mengalami kebuntuan seperti ini. Ini adalah writer's block yang paling teruk dia pernah alami. Entah mengapa dia tidak tahu hala tuju cerita yang sedang ditulis. Dia rasa terdesak kerana perlu menghantar sambungan cerita itu ke laman penulisan atau dia terpaksa berhadapan dengan hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya. Itu termaktub di dalam kontrak yang dia tandatangan. 

"Parahlah macam ni. Memang parah! Macam mana aku nak hantar kalau tak ada idea nak sambung. Mula-mula okey je. Tapi sekarang aku dah tak tahu ke mana arah cerita ni. Apa aku nak buat sekarang?" Dia menggerutu sendirian. 

"Dahlah bila aku tulis cerita ni Covid-19 tiba-tiba muncul. Macam seolah-olah ada kena-mengena. Dulu pun aku selalu kena macam tu. Bila menulis tentang satu perkara, ada je benda yang berkaitan dengan apa yang aku tulis muncul. Tapi takkanlah ada kaitan. Ah, ini satu kebetulan je kot. Hmm… macam mana ni? Aku terpaksa ubah jalan cerita, tapi aku tak tahu ke mana haluannya. Susah betul!" Rungutnya lagi. 

Dia teringat semasa dia mula-mula menulis dulu. Idea datang mencurah-curah dan dia rasa begitu yakin dia dapat menyiapkan cerita ini hingga akhir. Tetapi sekarang dia tidak pasti lagi. 

"Agaknya ini akibat aku terlampau over confident sangat dulu kot? Kalau macam ni, apa yang aku nak hantar pada syarikat tu? Takkan hantar air liur aje?" 

Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Rambutnya kusut sekusut fikirannya sekarang. Dia mengetuk jari di meja sambil memandang skrin putih laptop bersama kursor yang berkelap-kelip. Segelas kopi Super dan empat ketul naget dibiarkan tidak bersentuh. 

"Inilah padahnya kalau cocky sangat. Sekarang macam mana?" Dia menyelar dirinya sendiri. 

Kisahnya tersangkut di bahagian Doktor Asmawi dan Syifa ingin menyelamatkan Mawar dan Iskandar. Entah mengapa tiba-tiba dia tidak tahu cara untuk menyambung cerita itu. Babak di tandas itu tiba-tiba tergantung. 

"Dahlah aku buat cerita zombi yang terlalu klise. Menyesal pulak aku buat cerita ni. Aku terpaksa bagi suntikan idea baru. Sesuatu yang segar… tapi apa ya?"

Overthinking mula melanda. Dia rasa cemas dan terdesak pada masa yang sama hingga jantungnya terasa berdebar kencang dan tangannya mula menggeletar. 

"Aduh.. datang dah… dah macam anxiety pula dah. Apa aku nak buat sekarang ni? Ah, baik aku tidur. Mana tahu bila bangun malam karang idea baru datang. Ataupun bila bangun cerita aku dah siap tulis." Dia sempat berseloroh dengan senyum sinis. 

"Inilah padahnya kalau main sign je kontrak berat sebelah tapi tak baca betul-betul. Sekarang menjawablah sendiri." Bebelnya ketika merebahkan diri di katil. 


SYEQAL tersedar ketika hari sudah mula meninggi. Dia menggosok mata dalam keadaan terpisat-pisat kerana terlewat sedar. 

"Aduh… aku ingat nak sambung malam tadi. Macam ni boleh terbabas tidur ni? Alamak… sempat ke tak aku hantar sebelum deadline ni?"

Dia bingkas bangun untuk mandi dan makan. Setelah mandi dia makan semangkuk Maggi kari bersama bebola ketam dan membancuh secawan kopi Super. Dia sudah bersedia untuk memulakan hari dengan menyambung ceritanya.

Alangkah terkejutnya apabila dia dapati kopi sudah habis diminum dan nugget tidak bersisa di atas piring di sebelah laptop. 

"Siapa yang habiskan semua ni? Setahu aku semuanya tak bersentuh sebelum aku tidur semalam. Ini sudah pelik!"

Hatinya bagi dijentik-jentik untuk melihat skrin laptop seperti mana yang dia tinggalkan semalam. Ia berada dalam mod sleep untuk menjimatkan tenaga pagi itu. 

Alangkah terkejutnya apa dia mendapati cerita itu telah siap ditulis seperti yang dia ingini. Dia juga mendapati hasil tulisan itu sama seperti miliknya sendiri. Bulu romanya meremang. 

"Biar betul! Siapa yang tulis semuanya ni. Jangan-jangan ada yang nak prank aku kot? Tapi siapa? Arifuddin dengan Suhaimi balik kampung. Atau mungkin tuan rumah. Hei, realistiklah sikit. Siapa yang nak tulis cerita ni? Kalau ya pun, takkanlah sama macam tulisan aku? Ini memang pelik! Betul-betul pelik!"

Syeqal mula membaca tulisan itu dari awal. Matanya melingas membaca baris demi baris aksara yang tersusun di skrin laptop. Sekejap matanya terbeliak, sekejap dia tersenyum dan sekejap dia menggaru kepala. Dia terasa aneh kerana tulisan itu betul-betul seperti tulisannya. Cuma yang membezakan adalah jalan cerita yang tidak terlintas di fikirannya. 

"Ini betul-betul kes ghostwriter. Macam ada orang yang tulis untuk aku, tapi guna nama aku. Tapi siapa?" Dia bersandar sambil memegang kepala. 

"Tak boleh… ini tak boleh jadi. Aku tak boleh guna tulisan ni sebab bukan tulisan aku. Kalau tiba-tiba ada yang menuntut di kemudian hari nanti macam mana?"

Tiba-tiba dia teringat jalan cerita yang menuju jalan buntu. Dia tidak pasti ke mana arah tuju cerita yang ditulis. Ditambah pula deadline yang semakin hampir. Dia tiada masa untuk berfikir dan menulis pada masa yang sama. Sekarang rezeki terbentang di depan mata. Umpama orang disorongkan bantal, dia terasa seperti susah untuk menolak. 

Dia terpaksa akui cerita yang ditulis itu lebih baik daripada apa yang dia rancang pada awalnya. Jalan cerita itu lebih mantap dengan aksi bersama babak seram dan ngeri yang lebih menyerlah. 

Dia benar-benar dalam dilema sekarang sama ada untuk menggunakan cerita yang telah siap ditulis itu ataupun untuk merancang sesuatu yang merupakan hasil tulisannya sendiri. Dia duduk sambil merenung laptop. Pelbagai perkara berlegar di fikirannya. Tentang cerita itu, tentang deadline, tentang pembaca yang mengharapkan sesuatu yang hebat daripadanya, tentang masa depannya sebagai seorang penulis dan macam-macam lagi. 

Akhirnya dia buat keputusan untuk menggunakan sambungan cerita itu bagi siaran seterusnya di laman. 


Hospital Seri Purnama


NAFAS Syifa terhenti buat seketika apabila melihat apa yang ada di depan matanya. Dada seorang mangsa wanita terkopak hingga menampakkan organ dalaman tubuhnya. 

Di depannya seekor makhluk dengan tangan yang berlumuran darah pekat. Mulutnya tidak berlumuran darah, bermakna makhluk itu dirobek bukan untuk santapan darah atau daging segar seperti dalam filem zombi yang biasa dilihat. 

Apabila ternampak Doktor Asmawi dan Syifa, perhatiannya segera beralih kepada mereka berdua. Mata makhluk itu putih keseluruhannya. Mungkin kerana dia buta sebelum ini. Makhluk itu seperti sedang cuba mendengar untuk mengesan bunyi bersama hidungnya kembang kempis kerana cuba mengesan bau. Mungkin kerana matanya tidak dapat melihat dengan jelas akibat diselaputi katarak. 

Berpandukan bunyi pintu yang berkeriut, dia menerkam ke arah Doktor Asmawi. Namun lelaki itu sempat mengelak dan menghentak kepala makhluk itu sekuat hati hingga ia rebah ke lantai. Dari kepalanya yang terkopak itu keluar serpihan otak yang bersepai di lantai. 

Syifa hampir termuntah melihat apa yang ada di depan matanya. Dia sudah biasa melihat mayat tetapi tidak pernah dalam keadaan seperti ini. Dia menelan sedikit muntah yang terkeluar dari tekaknya dengan rasa masam. 

Tidak pernah dalam seumur hidup dan kerjayanya dia terfikir akan berhadapan dengan situasi seperti ini. Situasi yang tidak dapat dijangka apa akan berlaku seterusnya. 

Dia melihat dengan rasa sayu mangsa wanita yang terkopak dadanya di lantai tandas. Dia terfikir apa perasaan wanita itu ketika nyawa melayang dari tubuhnya di hadapan makhluk yang tiada belas kasihan. Makhluk yang dikuasai virus yang mengawal fungsi otaknya. 

Kedengaran sayup suara wanita menangis ketakutan di dalam tandas yang berkunci. 

"Siapa kat dalam tu? Boleh keluar sekarang. Keadaan dah selamat." Doktor Asmawi cuba memujuk. 

Suara wanita menangis itu berterusan dan mendayu-dayu dengan ketakutan yang tidak dapat digambarkan. 

Apabila kata-kata Doktor Asmawi tidak dapat menenangkan wanita itu, Syifa pula cuba memujuk. "Siapa kat dalam tu? Kami manusia, bukan makhluk. Keluarlah, tak ada yang nak ditakutkan lagi." Dia bercakap dengan apa saja yang terlintas di fikirannya. 

Kedengaran bunyi engsel pintu tandas dibuka. Kelihatan mata dan sebahagian wajah seorang wanita yang sedang mengintai dari celah pintu yang terbuka sedikit. 

"Keluar la kak. Keadaan dah selamat sekarang." Pujuk Syifa lagi. Perlahan-lahan pintu tandas dibuka dan wanita itu keluar dalam keadaan masih takut-takut. 

Apabila terlihat mayat wanita di lantai dengan dada terkopak, dia hampir rebah ke lantai. Dengan segera Doktor Asmawi dan Syifa memapahnya hingga dia dapat berdiri tegak semula. Dia adalah misi Mawar yang dimaksudkan oleh Mariam. 

"Akak sorang saja kat sini?" tanya Syifa kepada wanita yang berumur dalam lingkungan empat puluhan itu. 

"Ada dua orang lagi tapi…" Tiba-tiba tangisan wanita itu berhamburan keluar. "Mereka dah jadi mangsa benda tu."

Syifa segera mengusap bahu wanita itu dalam usaha untuk cuba menenangkannya. 

"Sabarlah Kak Mawar. Syukurlah sebab kita masih selamat lagi." Kata Syifa. 

"Apa benda yang menyerang tu? Mayat hidup? Zombi?" Mawar keliru. 

"Akak tenang dulu. Nanti saya ceritakan." Kata Doktor Asmawi. 

Lelaki itu mengintai ke luar tandas untuk melihat kalau-kalau ada makhluk yang berkeliaran di situ. 

"Kita belum dapat berkenalan lagi semenjak berjumpa tadi. Saya Doktor Asmawi." Lelaki itu memperkenalkan diri. 

"Saya kenal awak. Saya Syifa, kerja Bahagian Koroner."

"Awak staf yang baru masuk tu kan? Yang asyik pandang saya masa kat restoran dulu tu kan?"

'Alamak dia perasan rupanya. Malunya aku!' Hati Syifa menjerit dalam diam. 

Melihat Syifa tersipu-sipu, Doktor Asmawi tersengih. 

"Saya pun baru kerja kat sini. Lebih kurang dua tahun. Taklah selama Kak Mawar ni." Lelaki itu mengubah topik membuatkan Syifa rasa lega. 

"Apa sebenarnya yang terjadi kat tempat kita ni? Macam mana benda-benda ni boleh ada?" tanya Mawar. 

"Panjang ceritanya. Semuanya bermula pada tahun 2000 di satu tempat di Switzerland bernama Zurich. Sejenis virus telah ditemui oleh saintis dan diberi nama Zurich Disease 2000 atau singkatannya ZD2000. Tapi dalam keadaan sekarang ni patut ditukar nama kepada Zombie Disease." 

Doktor Asmawi ketawa kecil tetapi setelah melihat Mawar dan Syifa tidak memberi sebarang respon, wajahnya kembali serius dan dia menyambung. 

"Menurut kajian di Medical Dark Web, virus itu telah diuji ke atas sekumpulan tikus makmal. Hasil kajian itu sungguh luar biasa. Reaksi tikus-tikus itu berubah-ubah seolah-olah virus itu sedang berevolusi tetapi dalam masa yang sangat cepat."

Syifa mendengar dengan penuh minat. 

Doktor Asmawi meneruskan lagi. "Pada mulanya tikus yang dijangkiti akan menyerang tikus yang lain secara individu. Pada fasa itu ia menganggap tikus lain sebagai organisme yang berbahaya dan perlu dihapuskan. Pada peringkat ini tikus dijangkiti akan menyerang tikus lain secara individu silih berganti. Kemudian pada fasa kedua mereka mula menyerang secara berkumpulan."

"Mereka menyerang sekadar menganggap mangsa adalah ancaman ataupun untuk untuk dapatkan makanan berupa daging atau darah?" tanya Syifa. 

"Mereka menyerang bukan untuk dapatkan makanan sebab virus itu makan organ dalaman organisme. Dalam kes ini tikus yang dijangkiti sehingga tubuh itu akan layu dan mereput dari dalam. Pada peringkat itu ia sudah tidak berguna lagi pada virus itu dan akan ditinggalkan begitu saja." Terang Doktor Asmawi. 

"Bermakna kita sedang berhadapan dengan sesuatu yang berubah mengikut keadaan?" tanya Syifa lagi. 

Doktor Asmawi mengeluh. "Ya, dan lebih menakutkan lagi kita tak tahu apa tindakan yang seterusnya kerana virus ini seperti boleh berhubung sesama sendiri secara telepati. Bermakna mereka boleh bergerak secara berkumpulan untuk menyerang mangsa."

Syifa ternganga mendengar penerangan Doktor Asmawi. 

Keadaan sunyi buat seketika hinggalah mereka dikejutkan oleh suara mangsa dengan tubuh yang terkopak di atas lantai. Makhluk itu bangun dan bersedia untuk menyerang mereka bertiga. Mawar menjerit ketakutan. Syifa berundur beberapa kaki ke belakang. Doktor Asmawi segera menghayun kayu besbol ke kepala makhluk itu. Hentakan berapa kali kayu besbol itu menyebabkan kepala makhluk itu kemek dan darah mengalir bersama cebisan otak makhluk itu. 

Mawar tidak sanggup melihat dan memejamkan mata. Syifa tersandar ke dinding tandas. Doktor Asmawi tercungap-cungap selepas 'senaman ringan' itu. 

"Mari kita pergi cari pesakit bernama Iskandar tu," kata Doktor Asmawi dengan nafas yang masih tercungap-cungap. 

Doktor Asmawi mengintai keluar dari pintu tandas untuk memastikan tiada makhluk-makhluk yang berkeliaran. Kemudian Mawar berjalan di depan bersama Doktor Asmawi di sebelahnya untuk melindunginya daripada sebarang serangan. Syifa pula berjalan di belakang sambil memastikan kalau ada serangan dari belakang. Mereka menuju ke bilik pesakit bernama Iskandar. 

Dalam pada itu minda Syifa giat memproses maklumat yang baru diberikan oleh Doktor Asmawi. Mereka berhadapan dengan virus yang sangat bahaya dan sedang berevolusi, semakin lama semakin ganas. Fikirannya melayang dengan maklumat yang baru diterima hingga rasa cemas mula menular dalam dirinya. Adakala dia terasa seperti tiada harapan lagi untuk mereka hidup dengan ancaman yang begitu dahsyat sedang mereka hadapi. Seolah-olah tiada sesiapa yang dapat membantu mereka untuk menghadapi ancaman dalam masa yang terdekat dan sangat segera ini. Dia tak tahu berapa banyak makhluk yang sedang berkeliaran dan berapa banyak yang telah dihapuskan. Begitu juga dengan populasi manusia ketika itu. Mungkin ini bukan hanya ada di situ saja tetapi sudah merebak ke seluruh dunia. 

Mereka tiba di bilik pesakit bernama Iskandar. Alangkah hampanya apabila mereka dapati Iskandar tiada di situ. Tiada tanda-tanda dia telah tewas kepada makhluk-makhluk yang berkeliaran. 

Tiba-tiba Mawar menunjukkan sesuatu di lantai. "Tengok ni."

Terdapat titisan darah yang berterusan menuju ke pintu keluar. Mereka saling berpandangan. 

"Sekurang-kurangnya kita tak jumpa zombi Iskandar lagi." Kata Doktor Asmawi separa berseloroh.

Mawar dan Syifa saling berpandangan tanpa reaksi. Hanya Tuhan saja yang tahu apa bermain di fikiran mereka berdua. 


Bersambung


Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, siaran kisah GW ini terpaksa dihentikan setakat ini. Ikuti perkembangannya di Facebook penulis Salleh Kausari untuk maklumat lanjut. 

Sebarang kesulitan amat dikesali. Harap maklum.




Ghost Writer Bab 4


BAB 4


Syeqal berjalan sambil menolak motosikal. Hatinya menggerutu dengan pelbagai sumpah seranah yang tidak dizahirkan pada bibirnya. Hakikatnya dia terlalu bengang dengan amarah yang membuak-buak lantaran apa yang sedang dialaminya sekarang. 

"Masa inilah kau nak rosak. Dah tak ada tempat lain ke? Balik-balik tempat ni. Balik-balik tempat ni. Aku dah bosan!" Dia membebel sendirian. 

Suasana malam begitu nyaman dan tenang dengan rasa dingin yang menyelinap ke segenap liang roma. Orkestra cengkerik berlagu tetapi dirasakan seperti cuba memberitahu sesuatu yang tidak diketahuinya malam itu. 

Syeqal menjeling ke arah hutan yang berada di tepi jalan dah entah mengapa rasa dingin tiba-tiba menyelinap ke segenap tubuhnya hingga terasa kesejukan dan seram yang amat sangat. 

Dia menjeling ke langit. Kelihatan bulan purnama bersinar dengan begitu terang sekali. Semuanya umpama satu formula untuk mendapatkan ketenangan malam tetapi hatinya terasa resah gelisah dalam keadaan menolak motosikal yang mati secara tiba-tiba itu. 

Bulu romanya dirasakan terapung dengan nuansa yang sukar untuk diterangkan. Suara cengkerik mendominasi suasana tetapi di telinganya terngiang-ngiang satu suara yang begitu halus yang tidak dapat dipastikan sama ada hanya halusinasinya sahaja atau benar-benar kedengaran. 

"Syeqal…"

Dia memandang ke arah hutan. Entah mengapa dia berharap untuk dapat melihat sesuatu tetapi tiada siapa di situ. Hanya gelap pekat malam bersama  pokok-pokok yang kelihatan samar-samar. 

Syeqal benci perasaan ini. Dia mahu berada jauh dari tempat itu tetapi perjalanannya dalam keadaan menolak motosikal itu dirasakan begitu perlahan sekali. 

Jantungnya mula berdebar dengan begitu kuat hingga terasa menyakitkan bersama peluh dingin yang merenik keluar. 

Hatinya seperti dijentik untuk melihat ke arah hutan. Kali ini kelihatan susuk tubuh milik seorang perempuan memandang ke arahnya. Wanita itu melambai-lambai dengan tarikan yang begitu kuat. Syeqal cuba memalingkan pandangannya tetapi dia seperti dipukau untuk memandang ke arah wanita itu. 

Sekilas pandangannya beralih, wanita itu sedang berada di depannya. Rupanya perlahan-lahan bertukar menjadi bayangan hitam bersama asap yang melingkar seperti tangan sotong yang menjalar di segenap tubuhnya. Matanya merah menyala dengan gigi menyeringai tajam. 

Bau tengik dan hanyir terapung di hidung Syeqal. Dia cuba menjerit tetapi tiada suara yang keluar. Dia cuba lari tetapi kakinya seperti terkunci ke tanah. Dia hanya mampu melihat asap berupa tangan sotong itu melingkar di tubuhnya dan melilit dengan ketat mulutnya. Dia tidak mampu menjerit dan akhirnya hilang di dalam bayangan hitam itu.


SYEQAL tersentak dengan nafas yang tercungap-cungap. Tubuhnya menggigil dengan jari-jemari yang terketar-ketar. Peluh dingin merembes di seluruh tubuhnya. Tangan dan kakinya terasa lemah. 

Dia berada di depan laptop dengan skrin yang memancar cahaya terang bersama beberapa baris tulisan yang sudah ditaip. Entah bila dia terlelap dia pun tidak tahu. 

Dengan tangan yang masih terketar-ketar Syeqal menyapu muka bersama bibirnya tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur. 

Dia bersandar sambil menghela nafas lega. Mimpi ngeri itu dirasakan begitu jelas dan dia seperti berada di alam realiti. 

Dia mula membuat refleksi tentang bagaimana dia mula menulis. Semangat itu datang setelah membaca karya seorang penulis terkenal yang menjentik semangat untuk dia menulis certot atau cerita kontot yang pertama. 

Menulis mungkin senang tetapi untuk memuaskan hati semua pembaca bukan mudah kerana masing-masing ada cita rasa yang tersendiri. Akhirnya dia memilih untuk menulis mengikut apa yang dia inginkan dan cuba buat yang terbaik. 

Baginya sebagai penulis seseorang itu perlukan daya tahan yang tinggi. Ini kerana dia terpaksa berdepan dengan mereka yang tidak menyukai karyanya dan tanpa segan silu mengkritik sesuka hati. Itu bukan masalah bagi Syeqal kerana dia sentiasa positif untuk memperbaiki tulisannya. Masalahnya adalah pembaca yang memberi komen negatif yang tidak membina. Komen pendek tanpa cadangan untuk memperbaiki karya tulisannya adakala menyebabkan dia rasa sedih dan hampa. Namun itu adalah lumrah kehidupan. Tidak semua yang diingini akan berjaya dimiliki. 

Dia bersyukur kerana berupaya mengatasi masalah itu dan akhirnya berjaya menjadi seorang penulis walaupun ramai yang skeptik dengan kerjaya yang dia pilih. 

Peluang yang ada tidak dia sia-siakan. Dia aktif di media sosial untuk mendapat maklum balas daripada pembaca karya tulisannya.

Walaupun menulis adalah mudah, tetapi mencari idea dan membuat kajian tidak semudah itu. Segala kesulitan berjaya dia hadapi dan atasi untuk menjadi penulis. 

Baginya untuk bertahan lama sebagai penulis juga bukan mudah. Tambahan pula dalam keadaan PKP ini, ada penerbit yang tergugat kerana jualan yang tidak memberangsangkan. 

Bagi Syeqal, menghargai pembaca yang menyokongnya adalah sesuatu yang penting. Tanpa pembaca, tulisannya hanya untuk keseronokannya sendiri sahaja. Laman di tempat dia mula menulis ini adalah contoh yang paling baik. Semakin ramai pembaca bermakna semakin lumayan bayaran yang diterima. 

Syeqal tidak dapat menafikan yang dia mula rasa tertekan kerana PKP. Sukar untuk dia bergerak ke mana-mana. Menghabiskan banyak masa di rumah menyebabkan dia mengalami stres. Akibatnya dia dilanda writer's block yang semakin hari semakin teruk.

"Kalau berterusan macam ni makin lama aku boleh jadi gila. Bilalah nak habis PKP ni? Payah aku nak menulis kalau macam ni. Arifudin dan Suhaimi pulak tersangkut kat kampung masing-masing. Nasib betul…" Keluhannya dalam lirih dengan rasa kecewa yang mula mencengkam jiwanya. 

Dia sedar dengan merungut tentang masalah yang dihadapi tidak akan menyelesaikan masalah. Mahu tak mahu dia terpaksa berhadapan dengan masalah yang sedang dihadapi. Walau apapun halangan dia perlu fokus untuk menyiapkan tugasan kali ini. 

Dia terpaksa akui menulis pada waktu malam sunyi dalam gelap berseorangan di tempat keras bukanlah sesuatu yang disukainya. Namun dia tiada pilihan lain. Menulis pada waktu siang bukanlah satu pilihan yang baik kerana tiada rasa seram menyebabkan karya tulisannya terasa hambar. 

Tiba-tiba dia teringat kembali mimpi yang baru dialami. Entah mengapa dia asyik teringat tempat di pinggir hutan dalam mimpinya itu. Rasa takut dan seram berbaur menjadi tarikan gila untuk masuk ke hutan itu. 

Syeqal menggeleng kepala ketika dia cuba menghilangkan idea gila yang singgah di benaknya. Tidak mungkin dia pergi ke tempat itu semula. Apatah lagi untuk masuk ke dalam hutan yang dia tidak tahu apa mendiaminya. 

Dia tersentak keluar dari lamunan apabila telefon berdenting. Ada komen yang baru masuk untuk karya tulisannya. 


Cerita ni best. Saya suka jalan ceritanya. Terasa seram dan debar seperti dialami watak. Tak sabar tunggu sambungan cerita ini. 


Syeqal tersenyum lebar. Komen yang tidak disangka itu menjentik nalurinya. Dia mendapat suntikan semangat baru dan cuba mula menulis semula malam itu. Idea kembali mengalir sederas aliran darah dan adrenalin pada malam itu. Dia mula menaip dengan pantas. 

Tanpa disedari ada bayangan terapung sedang memerhatikannya di tingkap semasa dia begitu rancak menulis. 


Hospital Seri Purnama


JANTUNG Syifa seperti hendak luruh apabila lif terhenti dengan tiba-tiba. Dia dan Doktor Asmawi saling berpandangan dalam keadaan kaget. Lampu di siling lif berkelip dengan tidak sekata. Mereka membisu dalam keadaan yang tidak dijangka itu. 

Akhirnya Syifa memecahkan kesunyian di dalam lif. "Awak memang biasa bawa kayu besbol ke hospital?"

Soalan itu sudah bermain di benaknya semenjak dia diselamatkan tadi. 

Doktor Asmawi tersengih hingga menampakkan barisan gigi yang putih. Begitu tampan bagi Syifa bersama kumis tipis di wajah lelaki itu. 

Doktor Asmawi menjawab sambil meneliti darah yang terpalit di hujung kayu besbol itu. "Kayu besbol ni banyak nostalgianya. Semenjak sekolah menengah saya memang berminat main besbol. Masa di universiti saya mewakili pasukan. Kami pernah menang, jadi juara. Kayu ni adalah hadiah daripada coach saya semasa habis belajar dulu. Memang banyak nostalgianya."

Syifa tidak sangka dia dapat peluang untuk mendekati lelaki itu di dalam lif ketika sedang menuju ke tingkat di mana dua mangsa terperangkap oleh serangan zombi di hospital itu. Masih banyak soalan yang ingin ditanya tetapi dia hanya berdiam diri. 

"Siapa sangka penyakit yang ditemui di Zurich pada tahun 2000 ini akan datang semula dan merebak dengan cepat. ZD tu bermaksud Zurich Disease. Tapi sekarang sudah jadi Zombie Disease." Doktor Asmawi berseloroh dalam keadaan genting itu. 

Syifa hanya senyum tawar walaupun kata-kata lelaki itu menggeletek hatinya. 

Ada banyak soalan yang ingin ditanya oleh Syifa. 

'Ah, biarlah nanti baru aku tanya. Itu pun kalau ada masa… atau kalau kami masih hidup lagi.' Getus hatinya. 

Dengan tiba-tiba rasa risau menyelubungi dirinya. Keputusan itu menjadikan dia rasa resah gelisah. Soalan-soalan yang ingin ditanya itu terpendam umpama bara api yang membakar di dalam dirinya. Akhirnya dia buat keputusan untuk bertanya kepada Doktor Asmawi.

Baru sahaja dia hendak membuka mulut, lif berfungsi semula dan lampu tidak berkelap-kelip lagi seperti tadi. Syifa mendengus dalam diam. 

Lif bergerak ke tingkat yang ingin mereka tuju. Sekarang hampir, semakin memuncak debaran jantung hingga dirasakan seperti hampir putus. Syifa dapat melihat Doktor Asmawi menggenggam kemas kayu besbol di tangannya. Dengan spontan Syifa juga memperkemaskan genggamannya pada batang besi yang berada di tangannya seperti enggan dilepaskan. 

Syifa sempat memikirkan keadaan dirinya. Entah mengapa rasa menyesal tiba-tiba menjalar dengan perlahan ke segenap pelusuk hatinya. 

'Kenapalah aku bodoh sangat nak ikut Doktor Asmawi. Kerana terlalu sangat ingin tahu tentang diri dia, tengok apa yang terjadi pada aku sekarang ni. Kenapa mudah sangat terpengaruh dengan rupa dia? Padahal apa yang aku hadapi sekarang ni lagi besar dan lagi bahaya. Bodohnya aku!' Rungutnya dalam diam. 

'Betul juga kata dia, aku ni kan perempuan. Aku terlalu ikutkan perasaan tadi. Mudah tercabar kononnya. Ah, sudah terlambat untuk aku berpatah balik.' Fikirnya lagi. 

Dia mula berfikir bagaimana untuk berkonfrontasi dengan makhluk itu. Setakat ini dia hanya melihat bagaimana Doktor Asmawi membelasah makhluk itu sedangkan dia belum pernah berhadapan secara peribadi. Apatah lagi untuk menggunakan batang besi yang panjangnya hampir tiga kaki di tangannya. 

Akhirnya lif terbuka dan mereka tiba di destinasi yang dituju. Doktor Asmadi memandang Syifa. Seperti memahami, Syifa mengangguk. Mereka berjalan perlahan-lahan di koridor yang ketika itu kelihatan lengang. Tiada tanda-tanda makhluk-makhluk berkeliaran di situ. 

Suasana sunyi sepi itu menimbulkan rasa seram sejuk hingga ke tulang sum sum Syifa. Bulu roma yang merinding dengan degupan jantung yang tidak dapat dikawal begitu pantas sehingga terasa di kulit dadanya.

Dia meneguk liur dalam antisipasi terhadap perkara yang tidak diketahui apa. Bila-bila masa sahaja makhluk-makhluk itu boleh muncul dan menerkam ke arah mereka. Penantian itu menyebabkan sendi-sendi di tubuh Syifa terasa lemah. 

Dalam kesunyian itu kedengaran sayup-sayup suara jeritan seorang wanita. Mereka mula mencari dari mana datangnya suara itu. 

Doktor Asmawi berjalan di depan manakala Syifa mengekorinya dari belakang. Mereka membuka satu demi satu pintu di hospital tetapi tidak dapat mencari punca suara itu. Akhirnya suara itu semakin lantang kedengaran. Ia datang dari tandas wanita. 

Doktor Asmawi memberi isyarat mata kepada Syifa seolah-olah menyuruh dia masuk terlebih dahulu. Syifa menjegilkan mata. 

'Dalam keadaan macam ni pun masih nak beradab lagi? Masuk ajelah. Eii dia ni!' Gerutu Syifa dalam diam. Dia sempat meneguk liur sambil menggenggam erat batang besi dalam posisi sedia untuk menghayun. 

Syifa sempat mengelamun tentang makhluk yang sedang mereka hadapi. 'Apa agaknya yang mereka hendak daripada manusia? Adakah macam dalam filem zombi yang mahu meratah otak manusia? Ataupun memamah daging dan menghirup darah manusia? Atau pun… ah, tak sanggup aku nak fikir.'

Suara itu semakin jelas kedengaran bersama suara mengerang yang dalam dan menakutkan. 

Sedang mereka asyik menghadap pintu tandas wanita, mereka tidak sedar seekor makhluk berada di belakang mereka. Makhluk itu menerpa ke arah Doktor Asmawi menyebabkan Syifa terhantar ke belakang dalam keadaan ketakutan. Makhluk itu memaut erat leher Doktor Asmawi sehingga dia tidak mampu bergerak. Apatah lagi untuk memukul atau membelasah makhluk itu. Syifa hanya mampu memandang dengan tubuh yang terasa lemah dan menggeletar. Hampir-hampir besi itu terlepas daripada tangannya. 

"Tunggu apa lagi! Cepat pukul dia!" Jerit Doktor Asmawi, jelas menggambarkan rasa cemas. 

Syifa tergamam. Tubuhnya pegun dengan bibir terketar-ketar. Dia dapat lihat makhluk itu seperti ingin menggigit leher Doktor Asmawi tetapi lelaki itu berjaya menolak kepala makhluk itu dan menahannya. 

Syifa bergelut dengan ketakutan yang menguasai dirinya tetapi dia masih belum sedia untuk mengalah. Dia mengumpulkan semangat yang tinggal sisa dan menggenggam erat batang besi di tangannya. Dengan satu pukulan dia melibas kepala makhluk itu hingga berlaga dengan kepala Doktor Asmawi

"Adoi!" jerit lelaki itu. 

Pukulan itu menyebabkan makhluk itu tidak menyerang Doktor Asmawi buat seketika. Peluang itu digunakan olehnya untuk menarik kepala makhluk itu dan menghempas tubuhnya ke lantai, persis lagak seorang ahli gusti. Kemudian dia memukul kepala makhluk itu hingga ia tidak bergerak lagi. 

Doktor Asmawi tercungap-cungap. Dia dapat rasakan nyawanya hampir melayang buat seketika. Syifa hanya melihat dengan rasa bersalah. 

Akhirnya Doktor Asmawi senyum dengan nafas yang masih tercungap-cungap. 

"Boleh tahan juga berani awak ni." Pujinya. 

Namun Syifa tahu lelaki itu hanya cuba mengembalikan semangatnya yang terasa hilang buat seketika selepas berhadapan dengan situasi genting itu. 

Suara menjerit itu kedengaran lagi dan mereka bergegas masuk ke dalam tandas wanita. 


Bersambung

Jumaat, 30 Disember 2022

Ghost Writer Bab 3


Syeqal menggeliat sambil mendengus setelah selesai satu lagi bab Puaka ZD2000. Dia berpuas hati kerana berjaya menyiapkan bab baharu setelah bertungkus-lumus. Akhirnya siap juga untuk siaran di laman web itu. Gangguan demi gangguan dia hadapi tetapi setakat ini dia berjaya mengatasinya. Dia tidak pasti apa akan berlaku sekiranya dia berhadapan dengan babak yang lebih mencabar terutamanya ketika menulis dalam keadaan malam yang gelap. Mujurlah ada Arifuddin dan Suhaimi untuk menemaninya. Dia berharap keadaan itu akan berterusan hingga dia berjaya menyiapkan tugasan kali ini. 

"Kau tak tidur malam ke?" tanya Arifudin. 

"Tidur sekejap je sebab nak siapkan kerja aku. Nak kena hantar hari ini." Jawab Syeqal dengan kantuk masih bersisa. 

"Kau ni aku tengok terlampau obses sangat dengan kerja kau. Cuba relaks sikit." Nasihat Arifudin. 

"Kau bolehlah. Kau kerja ada waktu. Aku kerja setiap masa." Syeqal membela dirinya sendiri. 

"Nak cuti pun setiap masa. Untunglah." Celah Suhaimi. 

Syeqal tidak menjawab. 

"Sebut pasal cuti ni, aku mula cuti minggu depan. Aku nak balik kampung. Nak tengok orang tua aku." Kata Suhaimi. 

"Kita ni macam rancang je cuti sama. Aku pun nak balik cuti minggu depan seminggu." Balas Arifudin. 

"Cikgu macam kau pun boleh cuti ke?" tanya Suhaimi. 

"Aku guna cuti rehat khas. Sambung sekali dengan cuti umum."

"Kau Syeqal, tak balik bercuti ke?" tanya Suhaimi lagi. 

"Oh aku buat masa ni tak boleh. Aku nak siapkan kerja. Kalau balik nanti mood ke laut."

"Kau tak balik tengok orang tua kau?" Arifudin menunjukkan rasa risau. 

"Kakak aku ada. Dia yang jaga mak aku. Lagipun aku ada hantar duit sikit-sikit setakat yang mampu." Jawab Syeqal dengan selamba. 

"Kena balik juga tengok dia. Ambil tahu keadaan dia walaupun ada orang lain jaga. Jangan dah tak ada nanti baru sibuk nak cari. Masa tu baru menyesal sebab tak sempat beri khidmat pada dia." Nasihat Suhaimi. 

"Itu aku tahulah. Tak payahlah kau nak berceramah dengan aku pulak." Syeqal terasa panas telinga. 

"Kau tak takut ke kena tinggal sorang kat tempat ni?" tanya Arifudin. 

"Nak takut apa hal pulak?"

"Yalah tempat ni kan keras. Lagipun.." Kata-kata Arifudin pantas dipintas oleh Syeqal. 

"Sudah! Cukup, cukup. Jangan kau nak takutkan aku pulak." Syeqal cuba menyembunyikan rasa risau walaupun perasaannya mula berserabut memikirkan kemungkinan dia akan tinggal berseorangan.

"Alah, apa nak takut. Lagipun kat sini kan orang ramai." Dia cuba menyedapkan hati. 


MALAM itu malam pertama Syeqal bersendirian tanpa Ariffuddin dan Suhaimi. Pada mulanya dia tidak merasa apa-apa tetapi semakin lama perasaan diselubungi rasa curiga yang dia tidak tahu kenapa. Rumah terasa sunyi dengan nuansa yang sukar untuk digambarkan. Dia buat keputusan untuk berhenti daripada apa yang sedang dibuat. Dia lantas keluar rumah untuk mengambil angin. Suasana malam begitu tenang dengan sayup-sayup kedengaran bunyi anjing merintih sayu. Dia menghirup udara malam yang segar dan nyaman dengan rasa tenang sebelum masuk semula ke rumah. Semasa memanjat tangga dia berfikir. 'Kalau macam ni setiap malam memang bagus. Confirm menulis dengan idea mencurah-curah dalam keadaan yang begitu selesa macam ni.'


BERITA menggemparkan melanda dunia dengan ketibaan coronavirus atau Covid-19 yang merebak ke seluruh pelusuk dunia tanpa disangka-sangka dan tanpa manusia bersedia untuk menghadapinya. 

Bilangan kes meningkat dengan mendadak di seluruh dunia sehingga banyak aktiviti harian terpaksa dihentikan dan tempat-tempat yang biasanya sibuk kini lengang seolah-olah tiada manusia yang tinggal di sana. 

Tempoh yang digelar lockdown ini menyaksikan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara juga disekat seluruhnya. Begitu juga kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. Insititusi pendidikan ditutup sepenuhnya. Premis kerajaan dan swasta yang dibuka hanyalah yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan awam, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. 

Perintah berkurung kerana PKP mengingatkan kepada zaman darurat di mana manusia tidak dibenarkan keluar dari rumah pada waktu yang tertentu. Kawasan awam lengang umpama padang jarak padang tekukur. Seolah-olah dunia baru saja dilanda malapetaka yang amat dahsyat. 

Malam itu Syeqal mula menulis dengan idea yang datang bertubi-tubi menyebabkan dia menulis dengan lancar sekali. Dengan tidak semena-mena bulu romanya meremang dan rasa tidak sedap hati mula menyelubungi. Idea yang rancak mengalir tadi tiba-tiba terhenti. Dia lantas berfikir untuk keluar mengambil angin. Apabila dia berdiri di luar dia dapati kawasan di sekeliling kedai itu gelap gelita. Yang ada hanya cahaya lampu jalan.

'Biar betul! Takkan aku saja yang ada kat sini.' Hatinya berdetik dengan rasa kecewa yang mula menyelubungi. 

Rasa bersemangat untuk menulis tadi terbang buat seketika. 

Suasana dirasakan begitu sepi dan tidak pernah dia mengalami perasaan seperti ini. Dia masih tidak boleh menerima hakikat bahawa hanya dia sahaja yang ada di tempat itu. Penangan Covid-19 begitu ketara sekali. 

Dengan tidak semena-mena dia teringat kata-kata Arifudin tentang kawasan itu. Tiba-tiba bulu roma meremang setegak-tegaknya. Tanpa membuang masa dia masuk semula ke rumah. 

"Ah! Payahlah macam ni. Makin aku mengejar deadline makin banyak benda-benda yang menghalang. Aku tak boleh tewas dengan perang psikologi ini. Aku mesti terus menulis hingga selesai bab baru malam ini juga." Bisiknya. 

Namun dia tidak dapat mengelak daripada perasaan takut yang mula menjalar di segenap tubuhnya. Rasa cuak mula menjentik hatinya. Mahu rasanya dia terus tidur tanpa menyiapkan kerja yang dirancang. 

Syeqal cuba menguatkan semangatnya. Dia duduk menghadap laptop dan mula menaip. Idea mula datang bertubi-tubi sehingga bulu romanya dirasakan terapung. Dia rasa lega kerana idea mula datang mencurah-curah. Dia mula tersenyum lebar. 

"Kalau macam ni boleh siap kerja aku malam ni." Bisiknya dengan hati berlagu riang. 

Tanpa dijangka anjing mula melolong dengan suara yang mendayu. Idea yang muncul tadi tiba-tiba tersekat dan dia berada dalam kebuntuan. 

Dia cuba memaksa diri dengan cuba menaip beberapa patah perkataan tetapi idea seolah-olah tersekat di dalam benaknya dan enggan keluar hingga menjadi aksara di dalam Microsoft Word. 

Bulu roma mula mencanak dengan tiba-tiba. Dia diingatkan semula bahawa hanya dia ada di situ, berseorangan tanpa Suhaimi dan Arifudin di tempat yang keras itu. 

Mahu rasanya dia menghentak meja dalam keadaan perasaan yang bercampur-baur itu. Idea yang terapung di dalam mindanya begitu payah untuk keluar kerana perasaan seram yang mula menjalar. 

"Adoi, macam mana aku nak siapkan kerja kalau asyik terganggu macam ni." Rungutnya.

Dengan tidak semena-mena dia teringat peristiwa motosikalnya rosak di pinggir hutan berhampiran tempat itu. Perasaan itu mula datang kembali dengan rasa seram yang mencengkam. 

"Eii… serik aku. Memang takkan aku lalu kat tempat tu lagi. Cukuplah pengalaman yang lepas." Katanya sambil bersandar dengan tangan berpaut di belakang kepala. 

Rasa seram itu menggamit idea untuk datang kembali. Perlahan-lahan idea itu turun ke hujung jari-jemarinya dan dia mula menaip. 


Hospital Seri Purnama


SYIFA menuruti Doktor Asmawi masuk ke dalam lif. Dia hanya melihat Doktor Asmawi menekan butang lif untuk menuju ke aras bawah.

Lif terbuka di satu tingkat di bawah dan kedengaran suara menjerit ketakutan. Mereka mengintai keluar dan mendapati seorang mangsa sedang dikepung oleh makhluk-makhluk yang akan menyerangnya pada bila-bila masa sahaja. 

Dia hanya berbekalkan payung dan menghayunnya ke arah makhluk-makhluk yang ada di sekelilingnya. Dia juga menujah mereka hingga terhantar beberapa kaki ke belakang. Apabila ternampak Doktor Asmawi, makhluk-makhluk itu beralih perhatian kepadanya. 

Dengan posisi persis seorang pemain besbol, Doktor Asmawi bersedia untuk menyerang. Seekor makhluk menuju ke arahnya dan dengan segera kepala makhluk itu dipukul dengan kayu besbol. Makhluk itu jatuh dan kemudian bangun semula sementara makhluk lain hanya melihat seolah-olah menunggu giliran mereka untuk menyerang. Doktor Asmawi menyerang bertubi-tubi hingga darah memercik ke lantai. Akhirnya makhluk itu tumbang. Melihat keadaan itu, satu makhluk lagi menyerangnya. Anehnya mereka tidak berani menyerangnya secara berkumpulan. 

Itu menimbulkan kehairanan kepada Syifa. Dia berfikir mungkin itu cara virus mengawal fungsi otak mayat itu.  

Doktor Asmawi menyelesaikan tugas dan satu persatu makhluk-makhluk itu tumbang hingga akhirnya semuanya terlantar di lantai. Mangsa tadi menggeletar dengan suara mengerang ketakutan yang amat sangat. 

Syifa menarik tangan wanita itu dan membawanya ke dalam lif. Misi bernama Mariam itu masih menggigil ketakutan akibat trauma. Akhirnya dia bersuara. "Ada dua orang lagi kat dalam. Seorang nurse bernama Mawar dan seorang lagi pesakit bernama Iskandar. Tak tahu apa nasib mereka sekarang."

"Kita turun bawah dulu untuk pergi ke tempat yang selamat. Nanti saya akan naik semula untuk selamatkan mereka. Bahaya kalau kita pergi ramai-ramai." Kata Doktor Asmawi. 

Syifa cuba menenangkan Mariam yang masih menggigil dengan bibir terketar-ketar. Dia sempat menjeling melihat Doktor Asmawi. Lelaki itu kelihatan tenang bersama kayu besbol yang berlumuran darah. Ada darah merah pekat dan ada juga darah hitam kerana mayat sudah terlalu lama terbiar. 

Dia sempat mengimbau kenangan silam di dalam lif sementara menuju ke tingkat aras bawah. Peristiwa di Restoran Serai Warisan beberapa hati yang lepas kembali menggamit minda. 

Dia dijamu oleh beberapa staf hospital di restoran tersebut. Di restoran itulah dia bertemu dengan Doktor Asmawi buat kali pertama. Dia hanya mampu melihat lelaki itu dari jauh. Dia terasa ingin untuk menatap wajah lelaki itu dengan lama. Namun kerana rasa malu jika ada yang tersedar perbuatannya, dia hanya mencuri pandang sekali-sekala. 

Malangnya Dina perasaan dia memandang lelaki itu. Bukan sekadar pandangan tetapi renungan yang agak lama. 

"Wah, kau dah tersangkut dengan doktor tu ya?" Sindir Dina. 

"Eh, mana ada. Pandai aje kau ni." Syifa cuba mengelak. 

"Aku nampak. Kau ingat aku tak perasan kau pandang dia lama?" Dina menjeling Syifa. 

"Siapa? Doktor Asmawi tu? Kalau dia tak payahlah. Dah ramai yang try. Tapi tak ada yang berjaya." Wani bersuara. 

"Kenapa? Dia jual mahal ke?" Syifa berkata sambil menjeling lelaki itu. Entah kenapa ada sesuatu tentang lelaki itu yang menarik perhatiannya. Tetapi dia tidak tahu apa atau kenapa. 

Dalam hati dia membuat analisa tentang lelaki itu. 'Rambut dia ikal, agak tinggi, berkulit agak cerah. Nampak tegap walaupun tak kelihatan otot berketul. Ada jambang dan misai tipis. Hidung pun boleh tahan mancung. Senyumannya… wow… manis nampak gigi dengan kening yang kemas. Pandangannya tajam hingga turun terus ke hati. Nampak peramah dan mesra, orang mudah suka. Mestilah, dia kan doktor.'

Tanpa disedari lelaki itu memandang ke arahnya. Dengan segera dia mengalih pandangan sambil berpura-pura sibuk menguis makanan dengan sudu. 

"Aku tak pernah dengar dia bercerita tentang hidup dia. Dah ada kekasih ke, tunang ke, atau isteri." Kata Dina sebelum menyuap makanan ke mulut. 

"Aku rasa orang macam tu belum ada yang punya. Nampak macam jual mahal je." Tebak Wani. 

"Tapi kalau kau tanya aku, aku rasa dia ada satu kisah yang gelap yang dia tak mahu cerita dengan kita. Siapa yang dapat korek rasa dia memang terror." Hazila berkongsi pendapatnya pula. 

Entah mengapa Syifa mula rasa teruja untuk mengetahui lebih mendalam tentang lelaki itu. 

Lamunannya terhenti apabila dia disapa oleh Doktor Asmawi. 

"Awak okey?" tanya Doktor Asmawi.

Syifa hanya mengangguk. Hanya Tuhan yang tahu apa yang bergelodak dalam hatinya. Jantungnya berdebar-debar dengan perasaan libang-libu. Dia tidak sangka peluang untuk berkenalan dengan lelaki itu adalah di dalam lif ketika mereka diserang oleh makhluk-makhluk yang beranimasi akibat jangkitan virus ZD2000. 

Doktor Asmawi hanya melihat Syifa mengusap bahu Mariam yang masih tercungap-cungap ketakutan. Walaupun di tangannya kayu besbol yang berlumuran darah, dia nampak tenang dalam keadaan sebegitu.

Lif berdenting dan pintu terbuka di tingkat aras bawah. Mereka segera keluar menuju ke pintu utama. Tiada tanda makhluk-makhluk itu berlegar di kawasan itu. Mariam segera pergi mencari tempat yang selamat untuk berlindung. 

Doktor Asmawi ingin naik semula lif untuk menuju ke tingkat tadi apabila Syifa menahannya.

"Nanti dulu. Saya nak ikut sama." Kata Syifa sambil memandang tepat ke wajah Doktor Asmawi. 

"Awak tahu kan tempat tu bahaya." Doktor Asmawi cuba berhujah. 

"Awak boleh pergi." Balas Syifa. 

"Tapi awak perempuan."

"Apa, awak ingat perempuan tak ada sifat berani?" Syifa rasa tercabar. 

Dia melihat sekeliling dan ternampak sebatang besi yang ditinggalkan oleh kontraktor yang bertugas di tapak kerja yang belum siap. 

Syifa membuat muka selamba tetapi penuh yakin sambil memegang besi itu.

Doktor Asmawi hanya mampu melihatnya sambil menggeleng bersama senyuman sinis.

"Jom," katanya sebelum mereka menuju ke arah lif semula. 

Syifa tidak pasti kenapa dia bertindak seperti itu. Mungkin kerana dia berasa selamat bersama Doktor Asmawi. Atau mungkin kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang lelaki itu. 

Dia hanya mampu melihat nombor di dinding lif bertukar satu persatu dengan nasib yang tidak diketahui menantinya di tingkat itu nanti. 


Bersambung

Rabu, 21 Disember 2022

Ghost Writer Bab 2

BAB 2

Syeqal tersentak. Tubuhnya terasa kaku tidak boleh bergerak. Dia cuba menggerakkan tangannya tetapi terasa seperti telah diikat kuat atau dihempap dengan sesuatu yang berat. Hatta untuk menggerakkan jarinya juga terasa amat payah.

Dia masih berada di depan laptop tetapi tiada lagi lembaga dengan rupa yang menakutkan tadi. Dia terfikir untuk membaca ayat kursi di dalam hati. Ayat terakhir diulang berkali-kali hingga tubuhnya yang terasa amat lemah tadi mula pulih.

‘Aaargh…’ Detik hati kecilnya ketika cuba menggerakkan jari dengan payah. Akhirnya dia dapat menggerakkan tangan diikuti badannya yang tersandar di kerusi. Dia bernafas dengan tercungap-cungap setelah kejadian yang terasa menggerunkan itu. 

Jam menunjukkan pukul 3.13 pagi. Hanya selepas beberapa minit baru dia tersedar yang dia mengalami mimpi buruk tanpa mengetahui bila dia terlelap sebelum ‘ditindih’. Dia menyapu muka dengan rasa lega. Terdetik di hatinya untuk pergi mengambil wudhuk. Namun akhirnya dia menuju ke katil dan merebahkan tubuhnya dengan rasa malas sekali. Tidak sampai beberapa saat dia tertidur semula.


PAGI itu Syeqal bersarapan bersama teman-teman serumahnya. 

"Sedaplah nasi lemak yang kau beli ni Mi." Kata Syeqal sambil menyuap dan mengunyah penuh selera. 

“Aku beli kat gerai Kak Shima depan kilang tu. Sambal dia memang power!” Kata Suhaimi.

“Aku pun macam dah ketagih dengan nasi lemak dia. Dia tak kedekut timun.” Sampuk Arifudin.

Arifudin adalah seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah berhampiran kawasan itu. Dia mula mengajar dua tahun lepas dan berpindah ke kawasan itu beberapa bulan lepas. Suhaimi bekerja sebagai pekerja kilang di sebuah kilang Jepun tidak jauh dari tempat mereka tinggal. 

Syeqal asyik mengunyah hingga terlupa apa yang dia alami malam tadi.

“Aku kalau Kak Shima ni ada adik atau anak perempuan. Memang aku masuk meminang. Boleh makan nasi lemak hari-hari. Lepas tu buka restoran jual nasi lemak ni aje.” Arifudin bercakap sambil mulutnya terus mengunyah.

“Tahan ke makan nasi lemak hari-hari? Kalau aku boleh bosan dibuatnya.” Kata Suhaimi.

“Kalau nasi lemak macam ni, aku memang tak kisah punya.” Balas Arifudin.

Syeqal terus mengunyah sambil mengelamun.

“Yang kau ni apahal? Lain macam aku tengok pagi ni.” Arifudin memandang Syeqal.

Syeqal masih asyik dibuai lamunan.

Arifudin menampar bahu Syeqal. “Hoi! Aku cakap dengan kau tapi buat tak tahu je.”

Syeqal tersentak hingga hampir tersedak. “Apa dia?”

“Kau ni lah. Asyik termenung. Apa dah jadi?” tanya Arifudin.

“Oh, aku? Tak ada apa-apa.” Syeqal malas bercakap banyak.

“Kau menulis lagi malam tadi?” tanya Arifudin.

“Memanglah. Aku tengah mengejar deadline. Takut tak sempat je.” Jawab Syeqal sebelum sambung menyuap.

“Jangan stres sangat. Banyakkan berehat.” Nasihat Arifudin.

“Berehat kau kata? Macam mana kalau aku tak sempat siapkan kerja aku? Lepas tu pembaca bising. Syarikat tempat aku menulis pun bising. Bilangan like aku berkurangan. Cerita aku pun jadi makin hambar. Lama-lama aku hilang pembaca yang dah lama setia bersama aku. Macam mana aku nak relaks. Otak aku ni ada masa dah tak boleh nak off. Asyik fikir pasal hal ni.” Bebel Syeqal.

“Aku rasa kau ni ada kes overthinking. Berfikir pasal benda yang kau tak boleh kawal dan sentiasa rasa bersalah atau menyesal. Tapi tak membantu untuk selesaikan masalah. Kau terlalu banyak berfikir tentang kesilapan kau dan asyik berfikir tentang kalau macam ni, kalau macam tu. Kadang-kadang apa yang orang lain tulis kat media sosial pun kau cuba analisa maksud di sebaliknya, padahal tak ada kaitan dengan kau. Betul tak?” Arifudin menuding jari ke arah Syeqal.

Syeqal berjeda sebelum akhirnya mengangguk lesu.

“Hah, aku dah kata. Kau ni ada masalah overthinking.” Arifudin menepuk meja.

“Jadi apa aku nak buat?” tanya Syeqal.

“Kau kena tetapkan masa untuk berfikir pasal masalah kau pada masa tertentu. Contohnya 15 hingga 30 minit sehari. Fikir tentang masalah yang kau boleh ubah. Yang lain tu di luar bidang kuasa kau. Just let it go. Macam lagu Frozen tu. Let it go… let it go!” Arifudin bernyanyi dengan suara agak sumbang.

Dengan segera Suhaimi mencelah. “Kau jangan fikir sangat pasal like tu. Itu semua dunia. Kalau kau mati masuk kubur, orang yang like kau tu boleh tolong ke? Kau kena risaukan pasal like daripada Allah. Itu menentukan nasib kita nanti kat akhirat.” 

Suhaimi memang terkenal dengan teguran tajam dan pedas walaupun biasanya apa yang dikatakan bernas dan betul. Kerana itulah dia kurang disenangi di tempat kerja dan tiada ramai kawan. Akhirnya dia tinggal di luar asrama kilang bersama Arifudin dan Suhaimi.

Syeqal segera menukar topik. “Kau orang berdua ingat tak macam mana kita mula tinggal kat rumah atas kedai yang kosong dulu ni?”

“Eh! Mestilah ingat. Aku masa tu tengah cari rumah lepas beberapa bulan posting ke sekolah kat sini.” Kata Arifudin.

“Aku masa tu terpaksa cari rumah sewa sebab asrama kilang dah penuh. Rupanya ada kosong, tapi dia orang saja tak nak bagi aku tinggal sana. Tapi aku tetap tak menyesal tinggal dengan korang.” Kata Suhaimi.

“Aku pulak sampai masa korang berdua tengah tercegat depan kedai sambil telefon. Akhirnya rezeki kita tinggal sini.” Kata Syeqal.

“Masa tu sewa murah gila kalau nak banding dengan tempat lain. Rumah kedai pulak tu. Macam tak masuk akal.”

Syeqal berkerut dahi. “Tapi aku rasa Pak Samad ada sembunyikan sesuatu pasal rumah ni.”

“Aku pun rasa macam tu. Cara dia ubah topik masa kita tanya sebab apa sewa murah sangat tu memang pelik.” Arifudin mengusap dagu.

“Alah, tak payah fikir semua tu. Janji rumah selesa dengan sewa murah. Apa lagi yang kau nak?” Kata Suhaimi sambil bersandar.

“Sebenarnya aku ada buat research pasal tempat ni. Aku ada tanya orang yang dah lama tinggal kat tempat ni. Memang agak keras.” Kata Arifudin. 

“Tak payah ceritalah,” Suhaimi seperti kurang berminat.

“Aku nak dengar.” Syeqal duduk tegak dengan rasa teruja.

“Kawasan ni dulu tapak kubur sebelum digali dan pindah ke tempat lain. Malam-malam ada orang nampak perempuan berjalan sambil kendong bayi. Bila kena tegur, muka dia bertukar jadi hodoh. Lepas tu…”

“Ah! Mengarut ajelah kau ni.” Kata Suhaimi sambil memalingkan muka ke tempat lain.

Arifudin meneruskan cerita. “Lepas tu, kat traffic light ada orang nampak pocong tunggu tepi jalan. Bila lampu hijau, dia ada kat seat belakang.”

Syeqal mendengar dengan penuh minat dengan bulu roma di lengan seperti malu-malu meremang.

“Ada satu kes lagi, orang nampak budak kecil tunggu bawah kedai. Bila ditegur di tak jawab. Malam masa tidur, tahu-tahu dia berdiri kat hujung katil. Kau rasa?” Arifudin ketawa sinis.

Syeqal menambah. “Aku pun ada peristiwa hitam kat tempat ni. Kau ingat tak hutan kat belakang kilang hujung tu? Motor aku pernah rosak kat sana. Aku terpaksa tolak dalam keadaan tak ada orang lain kecuali aku kat tempat tu. Aku tak tahu apa, tapi aku rasa ada sesuatu dalam hutan tu. Perasaan tu macam memanggil-manggil aku untuk masuk dalam hutan tu.”

Dia menggosok lengan yang telah mencanak bulu roma. Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu tentang rumah ini setelah selesai perbualan dengan teman serumah yang lain.


MALAM itu Syeqal menyambung tulisan kisah Syifa dalam Puaka ZD2000. Ada beberapa jalan cerita yang masih dia tidak pasti hala tujunya. Sama seperti kemungkinan ada sesuatu yang mendiami rumah sewa itu tanpa diketahui cerita sebenarnya. 


Hospital Seri Purnama

Dengan tubuh menggeletar Syifa berlari ke bahagian terlindung dan suram di tingkat itu dengan lampu yang tidak menyala. Dia terpandang bilik menyimpan alat pembersihan. Dengan segera dia masuk ke dalam dan mengintai melalui cermin di pintu. 

Dadanya turun naik dengan nafas yang tercungap-cungap. Jantungnya berdegup kencang. Bahagian muka pakaian PPE yang dipakai berkabus kerana nafasnya yang tidak henti. 

Akhirnya dia nekad untuk menanggalkan pakaian plastik yang menyaluti tubuhnya. Bernafas dirasakan lebih mudah. Namun degup jantung masih pantas kerana memikirkan keadaan yang sedang dihadapinya.

Dia mengintai keluar. Tiada kelibat makhluk yang dilihat tadi. Walaupun rupa mereka seperti manusia, tetapi dia sedar ada sesuatu yang mendiami tubuh mereka. Mungkin makhluk halus atau mungkin juga ada penerangan saintifik di sebalik itu. Virus yang mampu mengawal jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.

Syifa masih tidak mampu mengerti kesan virus itu kepada mayat yang dijangkiti. Mungkin kesannya berbeza kepada tubuh yang berlainan. Mungkin ada kaitan dengan tempoh dijangkiti untuk virus itu mengawal fungsi otak manusia dan mengawal sepenuhnya. Semakin lama dia menunggu di situ, semakin banyak tubuh yang beranimasi dan peluangnya untuk beredar dengan selamat semakin tipis.

Dia mengintai melalui pintu yang dibuka. Tiada kelibat makhluk-makhluk itu. Dengan segera dia menekan butang lif. Masa dirasakan terlalu untuk menerima respons. Dia buat keputusan untuk keluar melalui tangga. Alangkah hampanya apabila didapati pintu tangga tidak boleh dibuka.

‘Masa inilah kau nak buat hal.’ Dia menghentak pintu dengan emosi yang membuak.

Rasa marah mula tercetus dengan mukanya yang merah padam. Marah pada keadaan yang mendesak itu. Juga marah pada perkara yang tidak diketahui apa. Yang pasti dia perlu mencari jalan lain untuk keluar dari situ. Lif masih tidak tiba untuk membawa dia keluar dari situ.

Dia melihat sekeliling kalau-kalau ada kelibat makhluk yang dilihat tadi.

Dia mendapat idea spontan untuk cuba mengakses jalan keluar di hujung koridor satu lagi. Namun dia terpaksa melalui bilik mayat yang dia tinggalkan tadi. Pada waktu itu entah berapa banyak lagi mayat yang telah beranimasi. Semakin banyak bermakna semakin tipis harapannya untuk keluar dari tingkat itu dengan selamat.

Ketika dia sedang asyik berfikir, lif berdenting. Belum sempat dia masuk ke dalam lif, kelihatan kelibat tadi menuju ke arah itu. Dia sempat berlindung di sebalik tong sampah. Makhluk-makhluk itu terlebih dahulu masuk ke dalam lif.

Fikiran Syifa giat digera. ‘Kalau benda tu dah pergi ke tempat lain, bermakna tingkat lain juga dalam bahaya. Makin berat masalah yang aku hadapi.’

Dia cuba memikirkan apa kesan sekiranya makhluk itu berhubung dengan manusia normal. Adakah seperti filem zombi yang pernah dia tonton yang memamah daging manusia mentah-mentah? Namun dia tidak mahu melihat apa kesannya di depan mata. Matlamatnya hanyalah untuk pergi dari situ dengan selamat.

“Macam mana kalau koridor hujung juga ada masalah yang sama? Benda tu dah ada kat situ. Atau pintu tangga tak boleh buka. Lif memang aku tak nak guna. Risikonya terlalu tinggi sebab aku tak tahu apa ada pada tingkat lain bila pintu lif terbuka. Ah! Fokus, fokus.” Bisik Syifa dalam situasi yang tidak dijangka dan belum pernah dia hadapi segenting itu.

“Walau apapun terjadi aku takkan tunggu di sini. Lebih baik mati berjuang daripada menunggu nasib yang entah apa agaknya.”

Dia bertekad untuk ke hujung koridor satu lagi. Dia merancang untuk bersembunyi di bilik-bilik sepanjang koridor. Apabila keadaan dirasakan selamat, dia akan keluar dan masuk ke bilik seterusnya.

Dengan dada yang berdebar kencang dia memulakan misinya. Dia masuk ke bilik pertama. Setelah pasti keadaan selamat, dia masuk ke bilik seterusnya. Masa dirasakan terlalu lama untuk dia tiba ke hujung koridor.

Nasibnya baik apabila menerusi cermin di pintu dia ternampak makhluk-makhluk seterusnya keluar dari bilik mayat. Mereka berjalan lesu tanpa tujuan. Peluh dingin mula menitip pada dahi Syifa ketika dia menunggu makhluk-makhluk itu hilang dari pandangan.

Setelah meneguk liur dia beredar ke bilik seterusnya. Apabila berjaya dia bersandar ke dinding dengan nafas tercungap-cungap. Perasaan ini dirasakan terlalu menyakitkan. Namun dia pasti itu tidak seteruk melihat nyawa terbang di depan mata apabila berhadapan dengan makhluk-makhluk itu, walau apapun yang akan mereka lakukan terhadapnya.

Hanya tinggal beberapa pintu saja lagi sebelum sampai ke hujung koridor. Cuma cabaran kali ini dia terpaksa melihat ke belakang kerana bilik mayat ada di situ. Jika dia terlepas pandang mayat yang keluar dari bilik itu, dia dalam bahaya sekiranya mereka meluru ke arahnya. Bersembunyi di dalam bilik tidak lagi selamat.

Air liur dirasakan sudah kering dalam ketakutan yang teramat sangat hingga meneguk liur dirasakan terlalu payah.

Semakin hampir ke hujung koridor, perasaan cemas semakin kuat. Tubuhnya dirasakan begitu lemah kerana menggeletar ketakutan. Takut pada perkara yang akan mendatang tanpa diketahui apa. Namun dia mampu menarik nafas lega ketika keluar dari pintu yang terakhir.

Namun rasa lega itu hilang apabila dia menoleh ke belakang dan mendapati ada makhluk yang baru keluar dari bilik mayat. Kali ini dia tidak dapat berselindung dan makhluk itu meluru ke arahnya.

Lutut dirasakan lembik hingga dia sukar untuk melangkah dalam keadaan tergamam. Ketika melihat makhluk itu meluru ke arahnya, dia mengumpul sisa kekuatan yang tinggal. Dia tiba di hadapan lif dan menekan butang tanpa menaruh sebarang harapan. Kemudian dia menuju ke pintu keluar untuk ke tangga.

Alangkah hampanya apabila didapati pintu itu juga tidak boleh dibuka. Ketika itu makhluk itu sudah semakin hampir ke arahnya. Syifa dapat rasakan nyawanya hanya tinggal beberapa saat saja lagi dalam keadaan yang dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia duduk bersandar di dinding menunggu ajal tiba dengan nafas tersekat-sekat. Mahu rasanya dia menangis semahu-mahunya tetapi tiada air mata yang keluar dalam ketakutan yang teramat sangat.

Ketika makhluk itu hendak menerkam ke arahnya, dia memejamkan mata. Yang dia dengar hanya bunyi tubuh rebah ke lantai jubin yang keras.

Dia membuka mata dengan perlahan-lahan. Makhluk itu telah rebah ke lantai dengan mata terbuntang memandang ke arahnya. Di hadapannya berdiri seorang lelaki dengan sebatang kayu besbol di tangannya. Hujung batang kayu itu berdarah sebagaimana kepala makhluk yang terkulai di depan matanya.

Lelaki itu menghulurkan tangan ke arahnya. Mata Syifa berkaca melihat lelaki itu. Dia terasa seperti seorang tuan puteri yang diselamatkan oleh seorang panglima gagah. Buka lelaki biasa tetapi lelaki yang menjadi pujaannya semenjak tiba di hospital itu. Lelaki itu adalah Doktor Asmawi.

Baru saja Syifa ingin mengimbau peristiwa yang berlaku di restoran beberapa hari lalu, angan-angan itu dipadamkan oleh suara lelaki itu.

“Cepat! Kita kena pergi dari sini kalau nak selamat.”

Syifa menyambut tangan lelaki itu dengan sisa angan-angan yang masih bersisa. Rasa takut hilang buat seketika ketika bersama lelaki itu. Namun perasaan itu hilang apabila memikirkan sudah berapa banyak mayat yang mula beranimasi di hospital itu ketika ini.

Bersambung





Ahad, 11 Disember 2022

Ghost Writer Bab 1


BAB 1


Bilik Penyimpanan Mayat

Hospital Seri Purnama

11.45 malam


Udara malam terasa membeku di dalam bilik dengan mayat-mayat berderetan dan berselimut di atas troli. Gabungan angin sejuk pendingin hawa yang terasa hingga ke tulang sumsum dan rasa seram memberikan aura yang luar biasa.

Syifa melirik mayat-mayat di atas troli yang hanya kelihatan bentuknya di bawah plastik putih sambil ayat suci tidak lekang dari mulutnya. Ini shif pertamanya semenjak berpindah ke hospital ini semenjak kes pertama ZD2000 di Malaysia. Dalam sejarah hidupnya, inilah pertama kali dia berhadapan dengan bilangan mayat sebanyak itu di dalam satu bilik simpanan. Kes jangkitan yang membawa maut meningkat secara mendadak hingga kapasiti ruang hospital yang digunakan berada di luar jangkaan. 

Ini bukan kali pertama dia bertugas dengan mayat pada waktu malam. Sebelum ini dia pernah bertugas selama lima tahun di sebuah hospital lain sebelum berpindah ke sini. Prestasi kerja yang cemerlang menyebabkan dia dinaikkan pangkat. Walaupun dia sudah bersedia dengan apa juga cabaran di tempat baharu, dia tidak sangka akan berhadapan dengan jumlah mayat sebanyak ini pada masa yang sama. Tambahan pula kekurangan pekerja yang dihantar untuk operasi menangani virus ZD2000 di tempat lain menyebabkan dia terpaksa menguruskan mayat-mayat itu hingga waktu malam di situ.

Nafasnya kedengaran di dalam topeng muka yang dipakai bersama peralatan perlindungan diri yang lain. Nafas yang tidak sekata menyebabkan emosinya mudah terganggu. Degup jantungnya lebih pantas daripada denyutan normal. Mungkin kerana kekurangan bekalan oksigen atau mungkin kerana berhadapan dengan situasi yang tidak disangka itu.

Bekerja di tempat seperti itu perlukan perlindungan tambahan untuk kekuatan fizikal dan mental akibat gangguan entiti paranormal. Dia ada mengamalkan ayat suci al-Quran sebagai pendinding daripada gangguan makhluk halus. Dia berkemungkinan berhadapan dengan gangguan jin atau makhluk yang tidak kelihatan pada mata kasar. Mereka memang sukakan tempat seperti itu dan peluang untuk menyesatkan keturunan Adam di muka bumi ini.

Dia sedar dia bukan berhadapan dengan makhluk halus ketika ini. Semenjak virus ZD2000 bermutasi beberapa bulan yang lalu, dunia berhadapan ancaman virus yang dapat menguasai jasad mangsa yang terkorban hingga mampu menguasai pergerakannya. Dalam erti kata lain, mayat itu telah mula menjadi zombi. 

Perasaannya bercampur baur ketika itu. Mengendalikan tugas yang berat seorang diri itu terasa mencabar. Mahu rasanya dia meninggalkan semuanya, tetapi tiada sesiapa yang ada untuk menggantikan tugasnya atau menemaninya. Mahu atau tidak dia terpaksa meneruskan tugas walaupun timbul rasa serba salah. Adakala dia terkeliru dengan situasi yang sedang dihadapi. Bagaimana jasad yang sudah tidak bernyawa boleh bergerak? Memang boleh diterima akal sekiranya dalam cerita filem. Tapi ini dalam realiti, segalanya terasa tidak masuk akal.

‘Bagaimana kalau berlaku depan mata aku? Mahu terkencing aku lari agaknya.’ Dia berfikir dengan rasa geli hati bercampur seriau.

Pada kebiasaannya tugas ini dapat diselesaikan lebih awal. Namun bilangan mayat yang bertali arus dan kekurangan kakitangan itu menyebabkan dia terpaksa bekerja hingga lewat malam.

‘Banyak lagi rekod yang aku kena update ni. Alamak, dah nak masuk tengah malam ni. Kalau tak sempat, mahu terlajak sampai tiga pagi ni.’ Hatinya berdetik sambil menjeling jam di dinding. Dia meneguk liur di luar kawalan.

Desas-desus mengatakan mayat yang dijangkiti virus ZD2000 boleh bermutasi menjadi zombi bermain di fikiran Syifa. Setakat ini belum ada kes yang menjadi tumpuan media massa. Atau mungkin telah ada tetapi dirahsiakan kerana tidak mahu serangan panik di seluruh dunia sekiranya berita itu menjadi viral.

‘Macam mana kalau malam ni aku terpaksa mengalami keadaan macam tu? Tak ke haru aku sorang aje. Aduh.’ Dia mengeluh dalam hati sambil tangannya ligat mengisi borang tentang mayat-mayat yang ada di situ.

‘Kalaulah ada cara supaya aku dapat yakinkan pihak atasan supaya aku dapat balik awal. Tapi nanti dia ingat aku saja buat alasan. Lagipun aku masih baru kat tempat ni.’ Fikirnya lagi.

Dia sedar dia tiada pilihan lain ketika ini melainkan untuk meneruskan kerja tanpa memikirkan apa-apa kemungkinan buruk yang akan berlaku.

‘Aku kena fokus walaupun keadaan seperti tak menyebelahi aku. Banyak mayat lagi yang belum direkod. Jam dah nak menunjukkan pukul 12 tengah malam. Aku mungkin terpaksa bekerja sampai tiga pagi seorang diri dalam bilik penuh dengan mayat dan virus yang mungkin menyebabkan…’

“Sudah! Fokus! Fokus!” bisik Syifa, cuba menyedapkan hati walaupun perasaannya libang-libu ketika itu.

Perasaan yang kelam kabut itu menyebabkan beberapa maklumat yang diambil salah dan bercampur-aduk.

‘Masa macam nilah nak ada masalah. Makin nak cepat, makin tergendala kerja aku.’ Rungutnya dalam diam.

Ketika itu matanya ternampak lengan salah satu mayat terjulur keluar dari dalam plastik penutup. Darahnya berderau buat seketika. Jantungnya berdegup kencang dengan nafas yang dirasakan tersekat-sekat. Berita tentang kemungkinan mayat boleh bertukar menjadi zombi terlintas di fikiran.

‘Ah! Mungkin tergelincir tadi sebab kedudukan ada dekat tepi troli. Tunggu masa je nak terkeluar.’ Bisiknya dalam hati.

Tiba-tiba kedengaran suara mengeluh kecil. Tiada sesiapa yang masih hidup di dalam bilik itu kecuali dia saja. Bulu roma Syifa mula meremang. Perasaan ini lebih teruk daripada yang dia alami sebelum ini. Mahu rasanya dia beredar dari situ, tetapi semangatnya masih kuat walaupun sudah tiba di penghujungnya.

‘Bila dah takut tu, mulalah telinga pun main peranan. Dengar bunyi yang bukan-bukan. Sabar ajelah.’ Dia cuba menguatkan semangat.

Lampu tiba-tiba berkelip-kelip. Keadaan seperti sedang berlaku litar pintas. Mungkin sebentar lagi bekalan letrik akan terputus dengan tiba-tiba.

‘Malam ni memang malam aku agaknya.’ Keluh Syifa dengan nasib yang sedang dialami.

Dia menunggu dengan rasa cuak. Lampu berkelip-kelip berterusan selama lima minit. Deru nafasnya semakin pantas. Aliran darahnya mencanak dengan degup jantung yang terasa amat menyakitkan. Hingga tangannya menggigil di luar kawalan.

Bekalan tenaga letrik kembali seperti biasa diikuti hela nafas lega Syifa.

‘Kalau tak ada letrik tadi tak tahu apa aku nak buat. Perkara pertama aku akan buat adalah tinggalkan bilik malang ni.’ Dia mampu tersenyum tipis.

Namun senyuman itu lenyap apabila dilihat satu troli telahpun kosong. Selimut plastik itu telah jatuh ke lantai. Dia melihat sekeliling dengan rasa cemas. Apatah lagi dengan pakaian perlindungan yang menghadkan pandangan di sekeliling. Jantung yang baru hendak berdegup normal itu mula terasa menyakitkan semula. Nafas dirasakan sesak di dalam pakaian PPE ini. Mahu rasanya ditanggalkan supaya dapat bernafas dengan normal. Sekilas pandangannya beralih kerana lampu yang berkelip-kelip tadi, dia sudah terlepas pandang. Kini dia tidak tahu apa terjadi pada mayat itu.

Berita tentang mutasi mayat menjadi zombi itu mula terlintas di fikiran menyebabkan jantung terasa kecut buat seketika.

Syifa nekad. Walau apapun terjadi, dia tidak ingin berada di bilik mayat ini lagi. Lebih baik dia beredar daripada sesuatu yang tidak diingini berlaku. Apatah lagi kalau melibatkan nyawanya. Kini dia terasa ada alasan yang kukuh untuk meninggalkan tugas dan bilik itu.

Dia melihat koridor yang terasa sayup di kiri dan kanan sebelum sampai ke tangga atau lif.

Ketika itu dia terfikir tentang pelbagai filem zombi yang pernah dia tonton, atau baca di media sosial atau melihat sedutan di You Tube. Ada yang mengesot dengan perlahan seperti sudah kehabisan tenaga. Ada yang berjalan dengan tangan didepakan ke depan. Ada juga yang boleh berlari laju persis pemburu yang mencari mangsanya. Air liur diteguk dengan spontan dengan rasa resah yang tidak mampu digambarkan.

Dia berjalan pantas menuju ke koridor di sebelah kanan. Ketika sudah hampir separuh perjalanan, dia menoleh ke belakang. Matanya terbuntang melihat beberapa susuk tubuh yang tidak bersalut walau seutas benang berjalan keluar dari bilik mayat. Mereka melihat ke kiri dan ke kanan dengan malas. Apabila terpandang Syifa, mereka meluru dengan laju ke arahnya.

Syifa terasa lututnya lemah hingga dia hampir terjelepuk ke lantai. Namun nyawanya dalam bahaya dan dia harus lari dari situ. Bunyi plastik bergeser jelas kedengaran ketika dia berlari di dalam pakaian PPE ini.



Kawasan Perindustrian Mengkabau

12.03 pagi


Syeqal berhenti menaip sambil memicit dahinya yang terasa berdenyut. Memerah idea untuk beberapa baris ayat dalam Microsoft Word terasa amat menyakitkan. Kisah berjudul Puaka ZD2000 dengan watak heroine bernama Syifa itu menjadi taruhannya untuk siaran kali ini.

Syeqal baru mula menulis beberapa bulan yang lalu. Dia bermula sebagai blogger sebelum mula berjinak dengan dunia penulisan kreatif. Dia mula memuat naik beberapa bab pertama hasil tulisannya dan mengharapkan maklum balas yang positif. Ternyata ada yang meminati tulisannya dan memberikan komen yang baik.

Dia bermula dengan menulis cerpen cinta sebelum ada pembaca yang mencadangkan supaya dia cuba menulis kisah seram. Ketika dia membaca komen itu dia tertawa sendirian.

“Orang macam aku nak tulis cerita seram? Baru tengok cerita filem seram dah terbawa-bawa dalam mimpi. Aku ni jenis cepat menghayati cerita. Nak lupakan pun lambat. Macam tu nak tulis cerita seram?” Dia tersengih sendirian.

Akhirnya dia mencabar diri untuk mencuba. Setelah beberapa bab, sambutannya agak hambar. Sehinggalah ada penulis berpengalaman cerita seram yang memberitahu kesan berbeza menulis pada waktu malam berbanding siang.

“Jangan-jangan aku kena cuba menulis waktu malam. Baru ada feel!”

Sememangnya aura menulis pada waktu malam agak berbeza. Tambahan pula biliknya yang agak suram dengan hanya cahaya dari laptop. Ia memberikan nuansa yang berbeza. Ada juga pembaca yang bercerita tentang membaca pada waktu malam ada kick yang berbeza walaupun ada kesan sampingan seperti gangguan bunyi dan penglihatan. Tidak kurang juga yang terbawa-bawa hingga demam.

Setelah mencuba, sambutan terhadap tulisannya agak berbeza. Seperti salah satu komen seorang pembaca kisah garapannya.


Seram wehh! Aku nak kencing malam pun takut pergi sorang. Berhantu jugak cerita ni!


Semenjak itu Syeqal mula menulis pada waktu malam. Ketika dia terasa lebih seram, hasil tulisannya juga menjadi lebih hebat.

Pada satu hari dia mendapat tawaran untuk menulis untuk sebuah laman menulis menerusi aplikasi android. Syarikat dari Singapura itu menawarkan bayaran mengikut jumlah bacaan sesuatu cerita. Lebih kurang seperti iklan yang menggunakan pay per click atau bayar setiap klik. Cuma kali ini ia bergantung kepada jumlah bacaan keseluruhan bab-bab sesebuah cerita.

Syeqal dapat ilham menulis kisah ini setelah menonton Train To Busan dan dia menggarap mengikut arah tujunya sendiri.

Beberapa bab pertama agak mudah kerana babak seramnya tidak berapa ketara. Namun apabila tiba di bahagian yang menakutkan, dia terpaksa akui cabarannya agak hebat.

Bukan mudah untuk menggarap cerita dalam keadaan begitu. Semangat boleh terbang buat seketika kerana terlalu menghayati cerita dengan suasana yang begitu mencabar pada waktu malam. Ekor matanya terasa seperti menangkap sesuatu dalam suram cahaya bilik. Bulu roma di tengkuk dan lengan terasa meremang buat seketika. 

Matlamatnya adalah menyiapkan bab itu pada malam itu juga walau apapun terjadi. Keseraman cerita yang ditulis hanya akan terasa dalam situasi sebegini. Jika tidak, dia terpaksa bersedia dengan reaksi pembaca yang suam kuku.

Peluh dingin mula merenik di dahinya. Apa yang dialami Syifa seperti dirasakan sendiri. Perasaan seram dan takut berbaur dalam keadaan terdesak seperti itu.

Fikirannya mula merasakan apa yang boleh dikatakan halusinasi dan delusi. Dia terasa seperti sedang diperhatikan. Telinga seperti mendengar suara memanggil namanya. Kemudian kedengaran anjing menyalak hingga menyebabkan dia tersentak.

Dia lantar bersandar sambil memegang kepala seolah-olah cuba untuk menghilangkan perasaan yang hadir secara tiba-tiba itu. 

"Payahlah macam ni. Bila nak siap kerja aku kalau asyik terganggu macam ni. Cerita taklah berapa seram sangat. Aku je yang lebih-lebih." Dia cuba menguatkan semangat.

Apabila semangat mula pudar, dia mengingatkan tentang bilangan like semenjak dia mula menulis pada waktu malam berbanding dengan pada waktu lain. Dia juga terlalu memikirkan apa yang dikehendaki oleh pembaca hingga ke perkara kecil sekalipun.

‘Mereka adalah nyawa aku. Siapa aku tanpa mereka?’ Bisik hati kecilnya.

Hakikatnya obsesi dengan like dan overthinking itu memakannya dalam diam.

Dia memejamkan mata. Perasaan itu masih belum hilang lagi. Dia terasa ada mata yang memerhatikan dirinya sedang duduk menghadap laptop. 

Sedang dia memikirkan sambungan kisah yang ditulis, dia terasa ada sesuatu melintas di dalam biliknya. Dia cuba meyakinkan itu hanya eye floater yang sering kelihatan di mata walaupun kemungkinan itu berlaku agak mustahil.

Bayangan kisah yang akan disambung di mindanya menyebabkan bulu roma meremang teruk. Ketika itu salakan anjing telah bertukar menjadi lolongan mendayu seperti sedang merintih.

Dia bersandar sambil memejamkan matanya. Agak lama juga dia bermeditasi seperti itu.

Apabila matanya dibuka, kelihatan susuk lembaga berdiri di depannya. Matanya merah berapi dengan tubuh hitam legam bersama asap hitam terapung yang kelihatan seperti tangan sotong melambai-lambai. Giginya tajam menyeringai bersama lendir yang meleleh di sisi bibirnya. Bau tengik bercampur hanyir seperti darah membusuk terapung di ruang biliknya.

Syeqal hanya mampu memandang lembaga itu dengan mata terbeliak dan mulut ternganga. Tubuhnya kaku tidak bergerak dan tidak mampu dia kawal lagi.


Bersambung




Jumaat, 19 Ogos 2022

PATUNG - BAB 1 DAN BAB 2



BAB 1

Suasana di Jeram Batu Putih begitu mendamaikan dengan desiran air terjun dan air sungai yang menghilir. Bau pepohon hutan begitu menyegarkan dengan sayup suara burung dan unggas bersahut-sahutan. Matahari sudah mula tergelincir dengan cahaya jingga mencelah di dedaunan pokok beringin.

Seorang lelaki bertubuh tinggi sedang bersandar di kerusi malas bersama joran yang diikat pada pancang kayu. Telah hampir sejam dia menunggu namun masih belum ada ikan yang memakan umpan.

Bersamanya seorang wanita berkulit putih kemerahan kerana begitu lama terdedah kepada cahaya matahari. Rambut hitamnya beralun umpama ombak ke bawah bahu. Dia duduk di sebelah lelaki tadi sambil mengamati wajah berjambang nipis hingga menutupi tulang pipinya yang agak menonjol. Kemudian dia mencapai tangan lelaki yang tegap dan kasar dengan bulu di lengan.

Pandangan lelaki yang asyik dilemparkan ke seberang sungai beralih kepada wanita itu. Mereka saling berbalas senyuman.

Lelaki bernama Mustafa dengan rambut pendek dan umur dalam lingkungan empat puluhan itu bertanya, “Mana Damia?”

Wanita bernama Laila itu menjawab, “Tu… tengah main air.”

Mulutnya memuncung ke arah gigi air di mana seorang budak perempuan berumur sembilan tahun sedang mencangkung dan bermain dengan anak-anak ikan di bahagian air yang terlindung dan agak tenang.

“Damia! Jangan main dekat sungai!” tegur Mustafa dengan kulit yang agak gelap kerana dibakar mentari. Pekerjaan sebagai jurutera menyebabkan dia sering dibakar mentari yang menggigit.

Damia berpaling melihat ke arah mereka berdua. Rambut di bahagian hadapan yang dipotong lurus dengan gaya ala chinese doll bersama rambut yang panjang melepasi bahu.

“Biarlah dia bermain kat tepi tu. Abang ni risau sangatlah.” Balas Laila yang sudah faham dengan sikap suaminya yang adakala terlalu melindungi anak tunggal mereka itu.

“Bahaya kalau dia main kat sungai tu. Kalau terjatuh nanti macam mana? Pada masa tu pulak kita tak nampak. Tak ke bahaya namanya tu,” omel Mustafa. 

Laila mengusap bahu suaminya. “Bang, jangan risau sangat. Tak ada apa-apa yang akan berlaku.” Laila cuba menyedapkan hati suaminya.

Mendengar kata-kata Laila, Mustafa menarik nafas. Dia sedar sifat terlalu melindungi anaknya itu juga akan menyebabkan dia terlalu mengongkong Damia. Cuma kerisauan itu tidak dapat dia tepis. Akhirnya dia senyum dan mereka sama-sama memandang Damia bermain dengan anak-anak ikan.

Damia kemudian bangun menampakkan gaun pendek berwarna putih bersama reben biru terikat di bahagian bawah leher. Skaf biru muda terikat di kepalanya. 

Hanya mereka bertiga ada di situ dan mereka akan bermalam di kawasan jeram itu. Karavan putih terparkir tidak jauh dari tempat mereka bersantai bersama khemah yang agak besar.

"Macam mana rancangan abang nak mengembara ke seluruh dunia dengan karavan ni? Masih berminat?" tanya Laila. 

"Mestilah. Bukan senang kita nak mengembara untuk lihat negara orang. Kita boleh tengok budaya, cara hidup dan pemandangan tempat orang. Bukan terperap di negara sendiri aje." Jawab Mustafa. 

"Yalah. Tapi negara sendiri pun kita tak habis jelajah lagi. Dari Pulau Pinang sampai ke Johor. Paling kurang pun kita pergi ke negara Asia yang lain. Indonesia, Singapura, Thailand." Jelas Laila. 

"Sayang macam tak suka je. Cuba cerita apa sebenarnya yang bermain di fikiran sayang sekarang ni." Mustafa memandang pipi isterinya yang kemerahan. Meskipun terdedah kepada cahaya mentari, kulitnya masih kelihatan cerah. Mungkin kerana produk kecantikan yang digunakannya. 

"Bukan macam tu. Saya risaukan masa depan Damia. Kita habiskan masa menjelajah tempat orang sampai pelajarannya tercicir. Macam mana pula kalau dia ada adik-beradik nanti. Bukan mudah berada di tempat orang ni bang. Persekolahan dia nanti macam mana?" Laila memautkan tangannya di lengan Mustafa. 

"Jauh sangat sayang fikir tu. Adalah jalannya nanti. Kita buat perancangan dengan betul-betul." Jawab Mustafa. Senyumannya menyerlahkan lesung pipit di pipi diselaputi jambang nipis. 

Angin hangat tiba-tiba menampar pipi Mustafa. Udara dirasakan agak berat dengan degupan jantung yang tidak sekata. Seperti ada alamat tidak baik yang sukar untuk digambarkan. 

Laila masih leka merebahkan kepalanya di bahu Mustafa seolah-olah dia tidak merasakan apa yang dirasakan lelaki itu. 

Hampir gugur jantung Mustafa apabila kelihatan susuk tubuh seorang lelaki tercegat di belakang mereka. 

"Encik ni siapa?" tanya Mustafa. 

Laila dan Damia turut menoleh untuk melihat lelaki berumur itu. Mungkin dalam lingkungan lima puluhan. Kulit kusamnya begitu berlawanan dengan rambut, misai dan janggutnya yang hampir putih keseluruhannya. 

"Apa kau buat kat tempat ni?" tanya lelaki itu. 

"Saya berkhemah dengan keluarga saya. Kami bertiga akan bermalam di tempat ni." Jawab Mustafa. 

“Pergi dari sini," kata lelaki misteri itu dengan nada tegas. Wajahnya begitu ketat seperti askar ketika sedang berkawad. 

"Kenapa pulak? Kami baru sampai sini. Lagipun tak ada perintah pihak berkuasa supaya tak boleh bermalam kat sini. Encik ni siapa? Polis ke?" Mustafa cuma mengekalkan wajah relaks bersama senyuman. 

"Kau pekak atau dah hilang akal? Aku kata pergi dari sini!" Lelaki itu masih bertegas. 

"Ini tempat encik ke? Tak ada tulis pada papan tanda pun." Jawab Mustafa. 

"Aku tak ada masa nak bertekak dengan kau. Nasib kau, kau dan budak tu dalam bahaya kalau tak pergi dari sini. Cepat! Sebelum terlambat." Mata lelaki itu semakin membulat. 

"Sebab apa? Apa yang ada di tempat ni?" Mustafa inginkan penjelasan lanjut. 

Malangnya lelaki itu berlalu tanpa berkata apa-apa. Selang beberapa saat kemudian dia hilang dari pandangan. 

"Bang, saya rasa tak sedap hatilah. Jom kita pergi dari tempat ni." Pujuk Laila dengan wajah yang terlukis riak kebimbangan. 

"Alah… abaikanlah apa yang orang tua tu cakap. Entah-entah orang gila agaknya." Kata Mustafa sambil membetulkan jorannya. 

Laila memandang Damia dengan rasa bercampur-baur. Mentari sudah mula berlabuh di celah-celah dedaun hutan. 

Meskipun Mustafa cuba menepis apa yang dikatakan oleh orang tua tadi, kata-kata itu masih berlegar di mindanya. Pandangannya dilempar ke seberang sungai. 

Dia kaget. Dia pasti terlihat kelibat sesuatu di celah pokok-pokok. Ia seperti susuk tubuh seorang perempuan tua. Rambutnya menggerbang seperti telah lama tidak disisir. Ia kelihatan hanya beberapa saat sebelum hilang entah ke mana. 


PAGI itu Mustafa bangun dengan tubuh yang segar. Meskipun dia tidur lewat malam tadi kerana memikirkan tentang kata-kata lelaki tua dan kelibat perempuan yang dilihat senja semalam, dia berjaya melelapkan mata akhirnya. 

Mustafa dan Laila tidur di satu bahagian khemah manakala Damia tidur di bahagian terasing yang dihubungkan dengan terowong kecil. 

Laila yang berbantalkan lengan Mustafa turut bangun sambil menggosok mata. 

Mustafa tersenyum dengan dada yang lapang kerana berjaya melepasi malam tanpa gangguan seperti yang dikatakan orang tua semalam. 

Laila pergi ke bahagian sebelah untuk mengejutkan Damia. Namun apa yang dilihat menyebabkan dia tergamam. 

"Abang, Damia tak ada." Suara Laila menyebabkan darah Mustafa berderau. 

Mereka keluar dari khemah untuk mencari Damia. 

"Damia!" jerit Mustafa. 

Namun Damia masih tidak kelihatan. Mustafa mencari di bahagian sungai. Dia terfikir kalau-kalau Damia tergelincir dan dibawa arus. 

Laila pula mencari di kawasan berdekatan khemah dan karavan. Sedang asyik mencari, dia terlihat sesuatu di tanah berdekatan tempat mereka bersantai. 

"Abang! Tengok ni!" jerit Laila. 

Mustafa segera mendekatinya. 

Kelihatan di tangan Laila ada anak patung yang disumbat kekabu. Ia memiliki rambut daripada benang bulu. Rupanya seperti rambut Damia. Pakaiannya juga persis pakaian Damia. 

Mereka berpandangan tanpa kata. Tubuh mereka terasa kaku dengan kejutan yang tidak disangka pagi tu. 


BAB 2

Suasana jeram yang sunyi dan damai itu kini riuh dengan kehadiran polis dan pasukan penyelamat. Beberapa penduduk dari kampung berhampiran turut memeriahkan pencarian budak hilang bernama Damia. 

Mustafa dan Laila duduk di kerusi malas dengan rasa resah gelisah. Rasa risau memikirkan nasib Damia menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa. 

"Encik Mustafa, boleh saya nak ambil keterangan?" tanya seorang lelaki sederhana tinggi dengan seragam biru. 

"Boleh," jawab Mustafa. 

"Bila encik sedar anak encik dah hilang?" tanya lelaki itu. 

"Waktu pagi. Lebih kurang pukul lapan setengah pagi." Jawab Mustafa dengan rasa kosong. Kosong selepas kehilangan Damia. 

"Ada apa-apa perkara pelik berlaku sebelum tu?" 

Mustafa berfikir sejenak. "Ada. Ada satu lelaki tua beri amaran kepada kami. Kemudian saya nampak kelibat perempuan tua juga kat dalam hutan. Sekejap dia dah hilang."

Beberapa penduduk kampung mencuri dengar perbualan mereka berdua. 

Setelah menulis di dalam buku catatan, lelaki itu bertanya lagi. "Ada apa-apa perkara lain?"

"Ada. Kami jumpa patung ni dekat kawasan ni." Kata Laila. 

Penduduk kampung itu saling berpandangan sesama mereka. 

Selesai urusan bersama anggota polis itu, mereka menghampiri Mustafa dan Laila. 

"Maafkan kami sebab mengganggu. Kami terdengar tentang patung tadi." Kata lelaki bersongkok. Gigi hadapannya agak tersembul ke depan. 

Mustafa terpinga-pinga. Kemudian dia dan Laila saling berpandangan dalam kebuntuan. 

"Maafkan saya. Terlupa nak perkenalkan diri. Saya Wak Darus. Ini Awang dan yang itu Hadi." Katanya sambil menunjuk ke arah lelaki berambut putih dengan bahagian dahi yang licin. Kemudian kepada lelaki dalam lingkungan dua puluhan dan berkulit agak gelap. 

Mustafa dan Laila hanya mendengar tanpa berkata apa-apa. 

"Sebenarnya kami bukanlah nak menyibuk hal orang. Apa lagi hal berkaitan dengan polis ni. Tapi kes orang hilang dengan jumpa patung ni bukan kali pertama. Dah berpuluh rasanya sejak beberapa tahun yang lepas." Wak Darus menyambung bicara. 

"Apa puncanya?" tanya Mustafa. 

"Tak ada bukti yang kukuh. Tapi semuanya hilang dalam hutan ni." Kata Wak Darus. 

"Ada yang kata, ada puaka dalam hutan ni yang menculik semua orang yang hilang tu." Awang mencelah. 

"Dapat jumpa tak orang yang hilang tu?" Mustafa semakin cemas. 

Laila di sebelahnya mula keresahan. 

"Tak. Semua hilang macam tu aje." Jawab Wak Darus. 

"Angkara siapa sebenarnya? Manusia atau makhluk halus?" Mustafa bertanya lagi. 

"Entahlah. Ada yang kata manusia yang mengamal ilmu hitam. Patung tu sebagai ganti mereka yang hilang. Rupanya sama macam masa orang tu hilang."

"Jadi apa nasib anak saya sekarang ni?" Mustafa mula hilang sabar. 

"Saya harap encik bertenang. Ada yang kata roh anak encik ada dalam patung tu." Kata Awang. 

"Itu pendapat sesetengah orang. Ada yang kata orang hilang tu masih boleh diselamatkan lagi." Kata Hadi. 

"Tapi kenapa tak ada yang dapat diselamatkan sampai sekarang?" Suara Mustafa mula meninggi. 

"Sebab tak ada yang berani masuk hutan tu. Takut terima nasib sama macam orang yang hilang." Kata Awang. 

"Beginilah. Kalau encik nak pertolongan, boleh cuba hubungi bomoh Wak Seman. Dia memang selalu datang ke sini dan cuba halang orang masuk dalam hutan.” Kata Wak Darus.

“Lelaki tu namanya Wak Seman?” Mustafa seperti tidak puas hati.

“Encik kenal dia?”

“Dia tegur saya dulu sebelum anak saya hilang. Err… tak ada orang lain ke yang boleh tolong saya?” Mustafa terasa payah untuk berdepan dengan lelaki itu sekali lagi.

“Dia lebih tahu hal macam ni. Tapi jangan salahkan saya kalau dia tak nak tolong. Encik bukan orang pertama yang minta tolong dengan dia." Kata Wak Darus sebelum menghantar nombor Wak Seman ke telefon pintar Mustafa. 

"Satu pesanan kami. Tinggalkan patung tu kat hutan ni. Ada yang kata benda tu bawa sial." Kata Wak Darus lagi. 

"Tapi inilah saja yang dapat mengingatkan kami pada Damia." Kata Mustafa. 

"Banyak yang encik tak tahu tentang patung tu dan hutan ni. Lebih baik elakkan daripada benda yang boleh bawa masalah. Percayalah cakap kami." Kata Wak Darus sebelum meninggalkan Mustafa dan Laila. 

Mustafa masih belum bersetuju dengan lelaki itu. Patung itu adalah satu-satunya yang dapat mengingatkan dia tentang Damia. Menyimpan patung itu juga dianggap satu ikhtiar yang ada hubungan dengan kehilangan Damia. 

Sejurus selepas lelaki bertiga beredar, seorang anggota polis menghampiri mereka berdua. "Encik dan puan baliklah dulu, berehat."

"Mana boleh saya berehat. Ini anak saya yang hilang." Urat leher Mustafa mula tersembul. 

"Saya faham. Kami akan maklumkan perkembangan usaha mencari anak encik."

Laila mengusap bahu Mustafa. "Kita tunggu aje berita tentang Damia dari rumah."

Meskipun tidak puas hati, Mustafa akur dengan cadangan isterinya. 


MUSTAFA bersandar di kepala katil. Apa yang berlaku menyebabkan dia dalam keadaan serba-serbi tidak kena. Waktu makan dan tidurnya jadi tidak menentu. 

Melihat keadaan Mustafa, Laila turut bersandar di sebelahnya. 

"Abang fikir tentang Damia?" Laila memecah kesunyian mereka berdua. 

"Abang risau keadaan dia sekarang. Entah dia makan atau tidak. Abang risau apa yang dibuat penculik tu pada dia. Itu pun kalau penculik. Kalau macam kata orang kampung tu tentang roh Damia dalam patung tu, macam mana pulak? Apa ikhtiar kita untuk selamatkan anak kita." Celoteh Mustafa. 

"Kita serahkan pada Allah. Segala ni adalah ujian untuk kita, bang." Pujuk Laila. 

"Masalahnya sekarang, apa ikhtiar kita? Takkan nak tunggu berita dari polis aje. Kita tak buat apa-apa." Balas Mustafa. 

"Doa dan solat hajat pun ikhtiar kita juga bang."

Mustafa tidak dapat membendung perasaan ketika ini. 

"Kita kena buat sesuatu sayang. Sama ada kita ke hutan untuk cari Damia atau duduk sini dan terima hakikat Damia dah hilang. Kalau perlu kita cuba hubungi bomoh tu. Mustafa sedar dia terpaksa buat pilihan ketika itu." Mustafa beremosi. 

"Jadi abang nak buat apa sekarang?" tanya Laila. 

Mustafa berfikir sejenak.

Jika Mustafa terima hakikat Damia sudah tiada dan patung itu jadi pengganti, baca BAB 3.1

Jika Mustafa ingin ke hutan untuk mencari Damia, baca BAB 4.1

Jika Mustafa ingin hubungi Wak Seman, baca BAB 5.1


-------------------------------------------------------------

Kisah ini bersambung di Google Play Books. Muat turun di pautan berikut. 

Link ebook:

https://play.google.com/store/books/details/Salleh_Kausari_Patung?id=kDh9EAAAQBAJ



Khamis, 8 Ogos 2019

MISTIQ: SANG PERINDU LAUT BAH.1

MiSTiQ
SANG PERINDU LAUT

BAHAGIAN 1



MANAP masih dihujani pelbagai persoalan tentang sebab Encik Hadi melarang dia menyiasat perkara berkaitan fail sulit yang ditemui di stor. Cara penemuan fail itu juga cukup aneh kerana ia terjatuh dengan sendiri dari rak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?