BAB 11
Mona tidak
habis-habis meratap malam itu. Satu kotak tisu habis kosong. Katil dan lantai
bersepah dengan kertas tisu basah dek air mata dan air hidung Mona. Seperti
salji yang turun di dalam rumah, kelihatan putih di sana-sini.
Munira dan
Monique setia menemankan Mona dari cermin meja solek. Mereka hanya memerhatikan
Mona dengan gelagatnya yang persis orang 'mati laki'.
"Waaaa!"
Raungan Mona. Sekali imbas seperti dibuat-buat atau mengada-ngada. Atau mungkin
dia terlalu kesal hingga berkelakuan seperti ini.
"Sudahlah
tu Mona. Jangan dilayan perasaan kau." Pujuk Munira.
"Macam mana
aku tak sedih. Aku dah terlepas peluang dapatkan Mister Right yang aku impikan
selama ini."
"Salah kau
juga kan? Terlalu cepat buat konklusi. Sampai kau tak teliti kata-kata dia yang
penuh maksud tersirat tu. Walaupun sebenarnya dia bercerita tentang kerjaya
kau."
"Kau ni
Monique. Mona tengah frust kau lagi
nak tambah siksa dia." Tegur Munira.
"Waaaaaaa!"
Makin kuat dan mendayu raungan Mona. 'Salji' yang turun pun nampaknya semakin
lebat.
"Mungkin
memang Rushdi bukan ditakdirkan untuk kau. Buat apa kau nak kesalkan perkara
yang memang bukan milik kau." Munira cuba memujuk.
"Betul kata
Munira tu. Maybe he was not meant for you
in the first place." Tambah Monique.
"Waaaa! Aku
nak Rushdi jugak! Waaaaaaaaaaa!" Makin galak suara Mona. Kalau dia ada
teman serumah, mungkin sudah dipelangkung dengan botol kicap.
"Be strong Mona. Kau kena kuatkan
semangat demi kerjaya dan misi kau." Monique membakar semangat.
"Kau tahu tak.
Mister Right aku dah betul-betul depan mata. Tapi disebabkan kebodohan aku,
kelalaian aku, kebongkakan aku, dia berlalu macam tu aje." Mona menghembus
hingus. Bunyinya seperti trumpet tersumbat.
"Tak ada
gunanya meratap lagi. Sekarang masa untuk melangkah ke depan. Jangan pandang
masa silam kau tu. Walaupun Rushdi tu sebenarnya lelaki yang budiman, berhemah,
berakhlak mulia dan menepati citarasa kau." Munira seperti meratap bersama.
"Waaaaaaaaaaaa!"
Mona menyambung drama semula.
"Kau ni
Munira, bukan nak menenangkan Mona. Makin menambahkan sedih dia pulak.
Hish!" Tempelak Monique.
Mona galak
menyalahkan dirinya sendiri. "Kenapalah aku bodoh sangat sampai percaya
bulat-bulat kata-kata dia. Memanglah lepas SPM dia kerja, tapi lepas tu dia
sambung belajar semula. Tapi bukan salah aku. Mana ada anak orang berada yang
sanggup buat macam dia. Bermula kerja
dari bawah. Sampai aku percaya kata-kata mak dia. Yang dia ni sekadar pegawai
syarikat. You are so stupid Mona! Stupid!
Stupid!"
"Sudah-sudahlah
tu," Munira sudah kehabisan idea untuk menenangkan Mona.
"Daripada
kau meratap macam ni, baik kau fikirkan peluang kerjaya yang kau baru dapat.
Mungkin ini masa yang sesuai untuk career
move."
Percubaan
Monique berjaya. Mona mengesat air mata.
"Kau rasa
aku patut terima tawaran tu?" Tangisan Mona mula reda.
"Kenapa
tak? Tempat baru. Jawatan pengurus. Cabaran baru. This is really exciting." Monique begitu positif.
"Aku pun
setuju. Macam kata Rushdi...," Kata-kata Munira dipintas Mona.
"Waaaa!
Kenapa kau sebut nama dia? Waaaaaaaaaa!"
"Kau ni kan
Munira. Baik tutup aje mulut kau. Merosakkan programlah!" Monique menjegil
Munira yang dihantui rasa bersalah.
Beberapa minit
kemudian, tangisan Mona reda semula.
"Tapi...
aku rasa tak sampai hati nak tinggalkan Dato' Harriz." Mona bersuara
dengan pandangan kosong dilempar keluar tingkap.
"Apasal
dengan dia?" Tanya Monique.
"Dia dah
banyak bantu aku dalam kerjaya ni. Takkan aku nak tinggalkan syarikat dia macam
tu aje." Mona serba-salah.
"Betul juga
tu. Sekurang-kurangnya inilah cara kau balas jasa dia." Munira setuju.
"Hei, kau
lupa ke pasal Azli? Dengan budak Amirul tu. Dah lupa?" Menjengkit-jengkit
bibir Monique.
"Aku tak
lupa. Tapi aku..."
"Berapa
lama lagi kau nak mengadap muka dia orang tu? Kau sanggup semua kerja kau kena
sabotaj? Mona, kau boleh salurkan kreativiti kau tu pada benda-benda yang lebih
produktif. Bukan untuk menyelamatkan nama kau daripada agenda sulit mamat
berdua tu!" Monique menyelar Mona.
Mona terdiam.
Dia masih rasa terhutang budi dengan Dato' Harriz.
"Aku
cadangkan kau pergi tengok tempat baru tu. Kau survey dulu. Kalau naluri kau kata tempat tu bagus, baru kau terima
tawaran. Sekurang-kurangnya kau dapat day
off. Tenangkan fikiran kau." Munira memberi pendapat.
"Betul juga
kan? Manalah tahu kalau Encik Norman Mirza tu handsome orangnya. Mungkin dia single
lagi." Senyuman tiba-tiba terukir di bibir Mona.
"Wah!
Cepatnya sembuh luka kau?" Sindir Monique.
Mona buat muka
selamba dengan senyuman kerang busuk.
"Jangan-jangan
Mona dah...," Munira buat muka cemas.
"Mona,
Rushdi. Rushdi. Rushdi!" Monique menduga. "Betul juga kan?
Jangan-jangan Mona dah... say well."
Monique membuat isyarat jari dipusingkan di sisi kepala.
"Hoi!
Selisih malaikat 44. Aku okey lagi lah!" Sergah Mona.
"Habis, aku
tengok kau lain macam aje." Munira menjawab.
"Aku
sebenarnya dah sedar. Semua ni berlaku ada sebabnya. Yalah, katakanlah aku dah steady dengan Rushdi. Tiba-tiba dia
suruh aku berhenti kerja lepas kahwin. Tak ke haru? Aku masih belum puas
mendaki tangga kerjaya dalam bidang ni."
"Pulak."
Monique bertukar pandangan dengan Munira.
"Okey, esok
aku akan pergi kerja macam biasa. Lusa baru aku ke Johor. Selamat malam Munira,
Monique."
Minah berdua
dalam cermin saling berpandangan dengan rasa pelik. Begitu cepat Mona berubah
fikiran.
Beberapa minit
kemudian Mona sudah lena di sebalik penutup mata polka dot.
***
"Assalamualaikum
Dato'," suara Mona di pintu pejabat CEO Master Creative Media.
"Waalaikumsalam.
Ya, Mona. Duduk." Suara Dato' Harriz dengan mood yang baik.
Mona
serba-salah. "Tak apalah Dato'. Saya sebenarnya nak minta cuti esok.
Ada... err... urusan di Johor."
'Kenapa setiap
kali aku nak menipu aku rasa gugup. You're
not good at lying Mona!'
Janganlah Dato'
tanya banyak. Please... please...' Omel Mona dalam diam. Terasa
peluh dingin mula tiris di dahi.
"Hmm...
awak tak payah beritahu. Saya tahu sebab apa awak ambil cuti."
Bagai disentap
jantung Mona mendengar kata-kata majikannya.
'Alamak! Dato'
dah tahu? Siapa beritahu? Rushdi? Macam mana ni?' Mona makin gelabah. Peluh
sudah menjengah dari dalam blaus yang berselindung jeket.
"Awak nak
berehat kan? Yalah, lepas stres selesaikan kes Mawar Cosmetics tu. Kalau saya
pun, mungkin saya akan ambil leave
juga macam awak." Jawab lelaki itu bersahaja sambil menandatangan surat
mohon cuti Mona.
Mona rasa lega
tahap 500 juta. Kalau ikut hati mahu rasanya dia duduk di kerusi sambil
bersandar macam ular sawa.
'Fuh! Selamat!
Rahsia aku masih belum pecah rupanya.'
"Duduk dulu
Mona. Ada perkara yang saya nak terangkan sikit."
Mona duduk
bersama tanda tanya menerjah benak.
"Selepas
apa yang berlaku, saya nak buat rombakan di syarikat."
'Rombakan? Macam
serius bunyinya. Dia nak naikkan pangkat aku ke?' Hati Mona berbunga dengan
rasa gembira.
"Saya akan
beri awak jawatan baru. Senior executive. Semua projek syarikat akan
awak pantau."
"Encik Azli
macam mana?"
"Dia masih
pengurus. Skop dia akan saya kecilkan, supaya tak ada masalah macam ni
lagi."
'Amboi! Kerja
anak dia makin senang. Kerja aku makin bertambah. Adil ke macam tu? Semata-mata
untuk menyelamatkan nama baik syarikat dia.' Gerutu Mona.
"Buat masa
ini tak ada perubahan pada organisasi syarikat, tapi kita akan tengok kalau
perlu dibuat perubahan lain."
'Ini yang aku
dapat lepas selamatkan keadaan? Azli mesti tersenyum tengok aku merengkok nak handle semua projek.' Rasa geram Mona
seperti lahar gunung berapi yang terpendam. Hanya menunggu masa untuk meletus.
"Baiklah
Dato'. Saya ikut saja, asalkan untuk kebaikan syarikat." Mona cuba
mengawal perasaan.
'Mula-mula tadi aku
nak tanya pasal gaji. Tapi baik tak payah. Cukuplah aku anggap segala ilmu yang
dia curahkan dulu sebagai ganjaran atas segala titik peluh aku di syarikat ni.'
"Saya minta
diri Dato'." Manis senyuman yang Mona ukirkan, namun lahar kemarahannya
bergelodak di sebalik tabir sifat kewanitaannya.
***
Mona mengacau
air sirap limau dengan straw. Kiub-kiub ais menari seperti perenang berirama
dalam air. Renungan kosong dilemparkan keluar restoran.
"Sudahlah
Mona. Yang lepas tu biarkan lepas. Seperti kapal cruise yang sedang meredah lautan. Entah bila ia akan pulang
lagi." Samantha bersuara persis pendeklamasi sajak.
"Kau
membebel tentang apa ni? Merepek tak tentu pasal." Mood Mona agak ke laut
tengah hari itu.
"Tentang
buah hati kau yang dah pergilah. Mula-mula Remy. Lepas tu Rushdi. Macam burung
yang terlepas dari sangkar, tak akan pulang semula."
"Lain kali
kalau tak tahu, tanya dulu! Jangan main serkap jarang!"
"Itu pun
kau nak marah. Apasal ni? Aku tengok kau lain macam. Ada yang tak kena?"
Tersentap Samantha ditempelak Mona.
Mona terus
mengacau air dengan straw. Tarian kiub ais begitu ligat dan lancar.
"Aku dapat
tawaran di Johor. Wilayah Iskandar."
"Oh, tempat
yang baru buka tu kan? Ish, mesti best.
Boleh kau pergi Legoland selalu. Nak ke Singapore
pun senang."
"Kau ni...
ke situ pulak! Aku tengah tension
ni."
"Berita
gembira, tapi kau bad mood. Apa
sebenarnya masalah kau ni?" Samantha mula bosan.
"Mula-mula
aku nak tolak tawaran tu, sebab aku nak berkhidmat lagi dengan Dato' Harriz.
Kau tahu, hari ni dia nak jadikan aku senior
executive. Tapi langsung tak cerita pasal gaji. Bertambah kerja aku adalah.
Si Azli tu pulak, skop kerja dia makin sikit!" Mona berang.
"Tak patut
dia buat macam tu. Bukan nak hargai kerja kau selama ni. Kalau aku jadi kau,
aku sambut aje tawaran di Johor tu." Samantha menyemarakkan lagi semangat
Mona.
"Aku pun
fikir macam tu. Memang eloklah aku ambil cuti esok. Dapat tenangkan fikiran dan
survey tempat baru. Kalau betul-betul
elok, chow lah!"
"Amboi Sam...
kau ni macam seronok aje dengar aku nak tinggalkan syarikat. Mesti dah bosan
mengadap muka aku hari-hari, kan?" Mona mengusik.
"Hei, bukan
macam tu. Kalau boleh aku tak nak kau pindah. Tapi ini tentang hidup kau Mona. This is about your future. Your dream.
Takkan kau nak stuck dengan orang
yang tak tahu menghargai penat lelah kau."
Mona tersenyum.
Kata-kata Samantha ada kebenarannya.
***
Mona membancuh
kopi petang itu. Mata sudah mula layu dengan semangat kerja yang kian pudar.
Tambahan pula dia sibuk memikirkan tentang tempat baru di Johor.
'Agaknya suasana
kerja kat sana lebih baik atau lebih teruk daripada sini? Bos syarikat tu sporting macam Dato' Harriz atau jenis cerewet?
Cabaran kerja macam mana pula ya? Agaknya lebih besar atau kurang berbanding
Master Creative Media?'
Fikiran Mona
menerawang semasa membancuh kopi. Namun semuanya sirna setelah mendengar derap tapak
kasut di lantai jubin pantry.
"Eh, berjumpa
lagi kita di sini ya?" Suara menjengkelkan yang memang Mona kenal.
Mona diam. Dia
malas melayan lelaki yang banyak menyusahkan dirinya di syarikat itu.
"Ai, baru
dapat tawaran kerja dah sombong."
Muka Azli
ditenung Mona bagaikan singa lapar. Senyuman Azli membuatkan Mona rasa begitu
meluat.
"Dari mana
Encik Azli tahu?"
"Lain kali
kalau nak berbual di telefon tentang perkara macam ni, pergi tempat lain. Bukan
dalam ofis." Azli bersandar di kabinet pantry
sambil meneguk air kosong.
"Dato' tahu
tak?" Mona resah.
"Dato'?
Huh, dia tu tahu apa. Aku gunakan nama syarikat untuk lobi duit pun dia tak
tahu. Kalau bukan disebabkan SMS hantu hari tu, sampai sekarang dia tak tahu.
Siapalah agaknya yang beritahu Dato' tu ya?" Provokasi Azli tajam.
Mona tunduk.
"Aku rasa
memang patut apa yang dia buat pada kau. Sekarang kerja kau dah makin bertambah.
Aku pulak makin bersenang-lenang. Yalah, jadi anak bos ni memang ada kelebihan
tersendiri. Lainlah kalau jadi... K.U.L.I."
Mahu rasanya
Mona menyimbah kopi ke muka Azli. Kemudian kepalanya dihempuk dengan mug sampai
benda tembikar itu bersepai.
'Sabar Mona,
sabar....' Mona memujuk dirinya sendiri.
"Kenapa?
Encik Azli ingat saya nak terima tawaran tu?" Mona bersuara tenang.
"Kenapa
tidak? Kalau aku jadi kau, dah lama aku belah."
"Encik Azli
takut saya ada di syarikat ni ya? Sebab saya lebih menyumbang kepada kejayaan
syarikat. Begitu?" Giliran Mona pula memprovokasi Azli.
"Hei,
perempuan tak sedar diri. Kau ingat aku senang-senang akan biarkan kau tunjuk
kehebatan kau dalam syarikat bapak aku ni? Kau ingat kau boleh jatuhkan aku
dengan SMS hantu yang kau hantar? Kau jangan lupa. Apa yang aku buat hari tu
cuma sedikit. Masalah macam kempen minyak wangi Mawar tu kecil aje. Kalau kau
berani teruskan bekerja di tempat ni, kau akan rasa yang lebih mengancam."
Mona enggan
menjawab.
'Kau ingat
ugutan kau boleh melemahkan semangat aku? Makin bersemangat untuk aku kerja di
tempat ini adalah. Tapi aku masih ingat nasihat Monique. Lebih baik aku
salurkan kreativiti aku ke arah yang lebih positif dan menguntungkan, daripada
melayan tindakan lelaki seperti kau Azli.'
"Bye Encik Azli. Nice meeting you here." Mona menapak keluar pantry tanpa mengendahkan kata-kata
Azli.
"Takutlah
tu," suara Azli di belakang Mona.
'Whatever.' Segala yang berlaku Mona
biarkan aura negatifnya keluar. Umpama sungai yang sedang menghilir, membawa
sampah-sarap pergi jauh.
***
Malam itu Mona
begitu cepat masuk tidur. Hatinya bagai melonjak-lonjak untuk melihat suasana
di tempat kerja yang baru.
Dia menelefon
Norman Mirza sebentar tadi. Dia akan ke Johor esok dengan flight awal pagi. Jika sempat, dia akan balik pada hari yang sama.
Kalau tidak, urusan penginapan di hotel akan diuruskan oleh Norman.
Rasa serba-salah
untuk meninggalkan Master Creative Media semakin hilang. Setelah apa yang dia
dengar dari mulut Dato' Harriz sendiri, segalanya memudahkan dia membuat
keputusan. Aura negatif Azli hanya akan merosakkan good vibe Mona. Lebih cepat dia meninggalkan lelaki itu, lebih aman
hidupnya.
'Siapa dapat
menyangka? Perbuatan buruk Azli sebenarnya adalah rahmat yang tersembunyi untuk
aku. Dengan masalah yang dia buat, aku dapat jumpa lelaki yang seluhur Rushdi.
Kerana Rushdi, aku sedar sikap buruk aku yang memandang rendah orang lain.
Projek Mawar yang Azli screw up
menyebabkan aku dapat tunjuk kemampuan aku. Hinggakan aku dapat tawaran kerja
sebagai pengurus di tempat baru.' Refleksi Mona dalam diam sebelum tidur.
"A new day. A new challenge. A new me."
Bisikan lirih Mona sebelum lena datang menjemput.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan