Aku membuka mata. Pandanganku berbalam, silau dengan cahaya
matahari dari jendela di ruang kamar itu. Perlahan-lahan pandangan samarku
menjadi jelas dan aku dapat melihat ruang litup di sekelilingku. Sebuah wad di
hospital dengan katil dan sofa panjang. Aku lihat isteriku sedang tidur dengan
anakku di sebelahnya. Sudah lama juga aku tertidur. Perlahan-lahan mindaku mula
memutarkan semula kejadian yang telah berlaku. Hatiku kecut dan ngilu
mengenangkan peristiwa itu. Peristiwa yang tidak aku duga sama sekali. Mataku
terpaku melihat jari yang sedang berbalut.
Aku tersentak apabila pintu dibuka dan seorang misi hospital
berbaju merah jambu masuk. Isteri dan anakku masih nyenyak tidur. Misi itu
tersenyum kepadaku. Setelah menulis sesuatu pada papan klip di hujung katil,
dia pun berlalu keluar meninggalkan aku dengan satu simpulan senyum. Sedikit
demi sedikit peristiwa yang lepas mula bermain di ingatan. Jika bukan kerana
ayahku yang membiayai kos peru batan,
tentu kami tidak akan berada di dalam wad seperti ini.
Aku melihat isteriku dengan sayu. Pandangan yang tidak
pernah aku lemparkan selama ini. Sebelum ini aku melihat dia sebagai masalah
dalam hidupku. Satu penyatuan melalui perkahwinan yang tidak menepati
citarasaku.