“Sandwich
yang ayah buat tadi dah masukkan dalam beg Lisa?” tanya Taufiq kepada anak
tunggalnya yang berbaju uniform merah jambu kotak-kotak
“Dah” jawapan ringkas budak perempuan yang masuk ke dalam
kereta Nissan Sentra berwarna perak.
“Barang-barang semua dah bawak? Jangan ada yang tinggal.”
Tanya Taufiq lagi.
“Alah ayah... Lisa kan
dah besar. Lisa tahulah ayah. Ayah janganlah risau sangat pasal Lisa, ya ayah”
jawapan budak berumur enam tahun dengan pipi tembam itu.
Taufiq hanya tersenyum mendengar jawapan Lisa. Amboi-amboi,
menjawab macam orang dewasa. Hatinya berbisik dengan celoteh anak tunggalnya.
Hasil perkongsiannya bersama Laila, isteri tersayang.
Tuhan lebih sayangkan dia lebih daripada aku. Hatinya selalu
memujuk bila dirinya terasa kosong kerana kehilangan wanita yang pernah
menyerikan hidupnya. Kini kenangan yang ditinggalkan Laila hanya pada anak
tunggalnya yang memiliki mata arwah ibunya.
“Tengah hari nanti ayah balik lewat sikit ya sayang. Ayah
nak tengok projek ayah di Seri Austin”
lelaki berbaju kemeja biru itu bersuara lagi.
“OK” jawapan ringkas budak perempuan bernama Lisa. Dalam
hatinya ada sedikit keluhan yang terpendam. Tunggu di tadika lagi hari ini.
Kalaulah ada mama, tak payah tunggu ayah.
Kereta Nissan itu tiba di pekarangan Tadika Nuri lebih
kurang sepuluh minit kemudian. Kelihatan berderetan kereta pelbagai jenis
diparkir di sepanjang jalan yang sempit.
***
Haniza bergegas keluar dari Tadika setelah meninggalkan Hanif
di situ. Anaknya hari ini pagi-pagi lagi sudah buat hal. Di rumah dia sudah
meragam, dan di tadika dia tidak mahu melepaskan ibunya pergi.
“Hanif janganlah buat mama macam ni. Mama dah lewat sayang.”
Haniza cuba
memujuk lembut anak tunggalnya.
“Tak nak. Hanif nak mama tunggu Hanif jugak”
“Kesianlah mama Hanif. Ada
orang nak jumpa mama pagi ni”
“Tak nak!” Hanif berkeras. Mujurlah penjaga tadika sama-sama
memujuk Hanif. Akhirnya dia mengalah juga. Haniza akhirnya berjaya melepaskan
dirinya untuk pergi bertugas.
Dahulu semasa suaminya Elyas masih ada, tugas memujuk Hanif
adalah tugas rasmi Elyas. Tapi semuanya berubah bila Elyas sudah tiada.
Semuanya angkara perempuan pemburu suami orang bernama Syazana. Begitu ramai
lelaki bujang yang lebih eligible dan
vacant, laki aku juga yang kau cari.
Dasar perempuan ... . Hati Haniza selalu merungut sebegitu. Tetapi bila marah
mula menguasai, cepat-cepat dia menepis fikiran itu dan beristighfar. Dia tidak
mahu dikuasai emosi. Biarlah yang berlalu itu terus menjadi sejarah yang tidak
mahu digenggam hingga menjadi segumpal dendam yang memakan diri. Biarlah Elyas
bahagia bersama Syazana si perampas suami orang.. Astaghfirullahalazim..
Hatinya berdetik lagi.
Selesai urusan meninggalkan Hanif yang membuat ragam pagi
itu, dia ditegur oleh penjaga tadika. Ada
pemandu yang marah kerana kereta Haniza menghalang keretanya. Pemandu lelaki
yang tidak sabar itu membunyikan hon bertalu-talu.
“Awak tak pergi sekolah memandu ke? Parking sampai block
jalan ikut suka hati. Lain kali buat signboard
besar-besar. Jalan ni bapak awak yang punya.” Kata-kata lelaki itu tidak
beralas. Memang benar salah Haniza. Pagi ini dia kelam-kabut dengan perangai Hanif
sehingga dia tidak terfikir kereta yang diparkir di situ akan membawa masalah.
Disangkanya dia akan turun sekejap sahaja ke tadika itu, tapi Hanif pula
membuat hal.