NIRMALA
PERAWAN MALAM
Indah nian istana bunian
Puteri bunian manis menawan
Berat rasa nak kutinggalkan
Kerna hati dah tertawan
Bagai bulan jatuh ke tangan
Wahai puteri seri bunian
~ Seri Bunian
(Allahyarham P.Ramlee)
~
*** ~
Kampung
Semambu Kuning
3.15
pagi
Tuhan
sengaja menduga kita
Di
mana kesabaran manusia
Engkau
isteri yang kusanjungi
Lambang
semangat cinta dunia
Jaafar bersiul dengan irama lagu Nash dalam
perjalanan pulang. Kerja mengait kelapa sawit bukan semudah yang ramai
sangkakan. Kalau buah yang rendang boleh ditebak dengan pahat bruning.
Istilah bruning memang tidak wujud di dalam
kamus. Istilah yang dimelayukan daripada perkataan Inggeris pruning. Maknanya mencantas.
Pahat dengan batang besi berukuran lebih kurang dua meter itu memang dikhususkan
untuk mencantas pelepah sawit yang mula mencapah dan menyukarkan kerja-kerja
memetik buah sawit. Pelepah dan tangkai buah sawit boleh tahan liatnya jika
tidak kena gaya menghayun pahat bruning.
Itu belum termasuk buah yang sayup di
atas pokok. Sabit yang disambung pada batang kayu yang menggalah panjangnya.
Cara menyauk kena betul. Silap haribulan boleh jadi arwah, seperti yang pernah
berlaku pada pekerja seberang yang malang. Bayangkan setandan buah sawit dengan
berat berkilo-kilo itu jatuh menghempap dengan ketinggian bermeter-meter
tinggi. Ditambah pula dengan tandan buah yang berduri tajam.
Luka
yang tak terasa
Mengalir
darah yang tak berwarna
Bagai
jeritan tanpa suara
Jaafar beralih pula kepada lagu Damasutra.
Irama karaoke tadi terngiang-ngiang di kepala dan terus menjadi bahan
siulannya.
Seharian mengait sawit memang memenatkan.
Sebab itu pada waktu malam minggu dia keluar berkaraoke di warung Sameon. Puas
layan lagu rock, dia bertukar selera dengan lagu pop. Kemudian dangdut dan
jiwang karat.
Ada sekali Si Jefri cabar dia menyanyi lagu
nasyid. Selamba dia bawa lagu Alhamdulillah oleh Too Phat dan Yasin. Berterabur
apabila sampai bahagian rap. Pecah perut geng dia ketawa dengan rap gagap sampai
ke laut.
Hampir jam tiga baru dia berhenti karaoke.
Memang sudah selalu kena sembur dengan orang kampung sebab melalak pagi-pagi
buta. Namun semuanya dianggap macam angin lalu. Bak kata pepatah, masuk telinga
kiri keluar telinga kanan. Selagi warung Sameon masih teguh berdiri dengan set
karaoke yang berfungsi bersama CD dan DVD karaoke, selagi itu ia akan jadi
tempat bersanggah Jaafar dan yang lain.
Umpama
mimpi dalam mimpi
Umpama
mimpi dalam mimpi
Umpama
mimpi dalam mimpi
Siulannya makin galak apabila sampai ke
bahagian korus lagu kegemarannya semasa karaoke. Ramai yang memuji suaranya
seperti Bagio.
Cuma Kamal selalu tersalah sebut. "Fuh!
Suara kau sebiji macam Bagero."
Semua ketawakan dia.
"Mal, bukan Bagero, Bagio!" Jefri
membetulkan setelah mengalir air mata mengetawakan Kamal.
Jalan kampung sudah mula bertar semenjak
sekolah baru dibuka di kampung. Dulu jalan hanya laluan tanah merah. Apabila
hujan turun, lopak jingga putih muncul di sana sini.
Kampung ini masih belum menjadi buruan
projek pembangunan. Hutan yang terletak di seberang sungai masih belum
disentuh. Bukan kerana tidak berpotensi, tetapi hutan itu menyimpan pelbagai
kisah misteri.
Salah satu daripadanya adalah kejadian
misteri yang menimpa Wak Parjo bomoh ular kampung. Cerita itu menjadi perbualan
hangat. Apatah lagi setelah kisah tersebar tentang dua orang budak kampung anak
Pak Jiman yang terlihat kelibatnya seperti manusia yang masih hidup. Begitu
juga dengan ular dan kucing peliharaannya.
Bagi Jaafar, semua itu tidak menjadi
masalah. Seharian dia melewati jalan di tepi sungai ini untuk pergi dan pulang
dari kebun kelapa sawit. Hinggakan pada pagi buta seperti inipun tidak menjadi
halangan. Sekadar bunyi deruan air, apalah sangat!
Tiada
terfikir terlintas
Engkau
akan tiba membawa perangsang
Tiada
terfikir terlintas
Engkau
kan membuka sempadan perasaan
Dia bertukar kepada lagu Aan pula.
Motosikal yang digunakan Jaafar adalah
pemberian arwah datuknya. Honda EX5 ini telah banyak berjasa. Jaafar pernah
bekerja di kedai motor Pak Sarip semasa di sekolah menengah dulu. Kerja-kerja
membaiki dan menyelenggara motor dia buat sendiri. Sebab itu motosikal buruk
ini jarang buat masalah.
Tanpa dijangka motosikal mula meragam pada
waktu sebegini. Rumahnya hanya beberapa puluh meter dari situ.
"Motor, motor... kau pilih masa macam ni
nak buat hal ya? Hmm... alamatnya menyorong motorlah aku pagi-pagi buta ni."
Seharum
bunga yang menggoda
Sekadar dipandang usah dipuja
'Apa kejadah pagi-pagi buta aku bersiul
dengan lagu ni?'
Serta-merta bulu romanya meremang. Lagu
Pulangkan oleh Misha Omar itu tidak pernah terlintas dalam senarai karaoke.
Lagu tema filem Pontianak Harum Sundal Malam.
"Tak macholah nyanyi lagu perempuan!"
Kutuk Jefri apabila dia cuba menyanyi lagu artis perempuan.
Ada sesetengah lagu yang sesuai dengan vokal
lelaki kalau kena gayanya. Namun Jaafar malas bercakap banyak. Terus dia tukar
lagu lain.
Jaafar mula perasan kelainan malam itu.
Suasana agak dingin berbanding biasa. Angin berhembus menyebabkan pokok buluh
kuning melambai-lambai berlatarkan
langit cerah dengan sinaran bulan purnama.
'Hish... kenapa aku rasa lain macam malam
ni?' Bulu tengkuk Jaafar mula mencucuk di kolar baju.
"Indah nian istana bunian...
hmmmmmmm...." Suara merdu yang kedengaran berlatarkan deruan air sungai.
'Adoi... suara siapa pulak merdu bangat
malam-malam buta ni?' Jaafar cuba menepis rasa seram yang singgah.
Suara itu bertukar menjadi tawa yang seksi.
'Mintak nyawa... mintak nyawa... aku nak
balik rumah, esok nak kerja.' Hati Jaafar merayu-rayu.
Tawa bertukar menjadi tangisan yang
merenggut perasaan. Bulu roma Jaafar sudah tegak setegaknya.
"Abang... jangan tinggalkan Mala
bang... abang..." suara itu begitu mendayu dan sayu.
Entah mengapa perasaan seram telah bertukar
menjadi kasihan dengan serta-merta.
Jaafat tercegat. Setelah beberapa lama
mengamati suara itu, dia berpatah balik dan mencari punca suara itu. Sedu-sedan
yang didengar datang dari rumpun buluh bersama bonggolan batu di tepi sungai.
Jaafar sukar menerangkan perasaannya ketika
ini. Dia terasa seperti dikuasai tenaga yang luar biasa dan perasaan ingin tahu
yang meluap-luap.
Tiada cahaya lampu jalan di kawasan itu.
Namun terang bulan menjadikan kawasan itu benderang.
Seorang gadis sedang bertenggek di bonggol
batu. Kain batik menjadi kelubung buat menutup wajahnya. Esakan tangisnya masih
bersisa.
"Cik adik buat apa tepi sungai pagi
buta macam ni?" tanya Jaafar sambil mengambil tempat di sebelah insan yang
begitu asing bagi dirinya.
Gadis itu mengintai dari celah kain batik
yang hanya mendedahkan matanya. Tiada jawapan.
"Adik dalam kesusahan?"
"Mala," jawabnya.
"Apa kata cik adik?"
"Nirmala. Nama hamba Nirmala."
'Wah, bukan main berhamba-hamba dengan aku.
Macam drama pendekar pulak dah.' Menyeringai gigi Jaafar dengan semarak
semangat macam minyak tersambar api.
"Adik dalam kesusahan? Biar abang
tolong." Jaafar menawarkan diri.
Kain batik dikuak. Buat pertama kali Jaafar
dapat melihat wajah gadis bernama Nirmala.
'Aduh... cantik bangat! Bikin penasaran
aku!' Hati Jaafar melonjak. Dia terikut-ikut lirik lagu dangdut yang selalu
menjadi bahan karaoke.
"Betul tuan hamba nak tolong?"
tanya gadis itu.
"Betul. Nak tolong apa tu?" tanya
Jaafar.
Gadis itu bangun dan melangkah beberapa
kaki berhampiran gigi air. Kemudian dia mula berdendang irama lagu asli.
"Indah nian istana bunian...
hmmmmmm..."
Sukar untuk Jaafar terangkan perasaannya
ketika itu. Setiap kali lagu itu dialunkan, rasa nyaman dan tenang meresap ke
sanubarinya. Seolah-olah mantera sihir yang menguasai dirinya. Umpama dadah
yang meniti di dalam salur nadi.
Gadis bernama Nirmala berpaling. "Tuan
hamba pasti takkan dapat ubati kesakitan hamba. Kerana sakitnya di sini."
Dia menunjuk ke arah dada di mana terletaknya jantung.
"Nirmala telah dikecewakan? Oleh
siapa?" Jaafar menebak.
Nirmala berpaling semula ke arah sungai
semula. Esakan tangisnya mula kedengaran. "Hamba ditinggalkan kekasih
hati. Dia sudah ada yang lain. Hamba membawa hati nan lara di sini. Tiada siapa
dapat menghiburkan hati yang telah luka ini."
Jaafar bangun dan menghampiri Nirmala. Dia
menyentuh lembut bahu gadis itu. Dadanya berombak bersama degup jantung yang
begitu kencang. Desiran darahnya bagai air terjun yang menjunam turun.
'Aduh... tidak pernah aku rasakan sebegini
ketika bersama seorang perempuan.' Keluh Jaafar dalam diam.
"Abang ada. Biar abang ubati luka
Nirmala." Kata Jaafar. Jika diturutkan hati, mahu rasanya dia merangkul
pinggang Nirmala. Tetapi dia perlu berhati-hati. Jangan disangka sotong sudah
dicandat sebelum disentap dan tersangkut pada umpan.
"Benarkah tuan hamba sudi menemani
hamba?" tanya Nirmala.
"Benar. Abang akan setia dengan
Nirmala." Janji yang dilafazkan Jaafar tanpa dia pasti sama ada mampu
ditunaikan atau tidak.
"Tuan hamba akan bersama hamba walau
apapun yang terjadi?" tanya Nirmala lagi.
"Sungguh!" sumpah Jaafar tanpa
niat untuk mengotakan janji. Hanya satu perkara yang bermain di fikirannya.
"Kalau begitu, hamba sudi serahkan
segalanya kepada tuan hamba." Nirmala menguntum senyum yang amat manis.
Bergetar tubuh Jaafar melihat kecantikan
wajah Nirmala dalam sinaran purnama. Kain batik yang menjadi kerudung kepala
Nirmala sudah jatuh ke tanah.
Malam gelap pekat bermandi sinaran purnama itu menyaksikan noda yang
terpalit di pinggir sungai Kampung Semambu Kuning.
***
Berminggu-minggu Jaafar terlantar di hamparan
leca di rumahnya. Mak Endon sudah mula risau memikirkan keadaan anaknya. Selera
makan Jaafar hilang. Mak Endon terpaksa memaksa suapan bubur ke mulut Jaafar
agar dia tidak lapar. Tubuh Jaafar juga sudah susut hingga tulang mula
kelihatan di wajah dan dadanya.
Hari ini Mak Endon memanggil Pak Unggal yang mahir dalam
perubatan tradisional. Setelah menyediakan pengeras yang diminta, Pak Unggal
datang ke rumah.
Bomoh kampung itu mula membuat analisa
dengan caranya sendiri. Kemudian Pak Unggal memberi keputusan seperti doktor
selepas memeriksa pesakit.
"Jaafar ada ceritakan apa-apa pada
kau?" tanya Pak Unggal.
"Tak ada pulak. Kenapa? Dia ada kena
penyakit?" tanya Mak Endon.
"Dia bukan kena penyakit. Dia terkena
buatan makhluk halus."
“Hah!” Serta-merta Mak Endon memegang
dadanya dalam keadaan terkejut. "Macam mana boleh jadi sampai macam tu?"
"Kau ada dengar apa yang terjadi pada Mat
anak Pak Abas dan ramai lagi pemuda dalam kampung ni?" Pak Unggal berteka-teki.
"Dengar macam tu aje. Kena sampuk kan?"
Mak Endon kurang arif dengan khabar angin yang dia dengar.
"Bukan setakat sampuk. Semuanya ada
hubungan sulit dengan makhluk yang bukan manusia."
"Astaghfirullahalazim..." Tubuh
Mak Endon terasa lemah.
"Semuanya dengan lembaga yang sama.
Panjang ceritanya. Cerita ini disampaikan dari satu generasi ke satu
generasi hinggalah sekarang. Semuanya bermula suatu masa dulu, selepas Kampung
Semambu Kuning dibuka." Pak Unggal memulakan cerita.
***
Kampung
Semambu Kuning
Beberapa
Tahun Selepas Penerokaan
Bersambung di grup LAMAN INSPIRASI PENA VR…
Nota:
Ini adalah siri kedua dalam novel/novelet
yang masih belum bernama. Buat masa ini ia disiarkan sebagai cerpen
bersiri.
Cerpen ini disiarkan di blog PENA VR hingga setakat ini saja.
Konklusi kisah ini hanya disiarkan di grup Facebook LAMAN INSPIRASI PENA VR
Mula2 baca macam kelakar je. Pertemuan siap nyanyi...hiji
BalasPadamHehe... terima kasih sudi singgah dan komen ^__^
PadamDok bayang Mala tu cakap macam film melayu tahun 50-an,.
BalasPadamKan? ^__^
Padam