MEGALOMANIA
Ziela bergegas
keluar dari kereta. Tidak sabar rasanya untuk dia memastikan berita yang amat
mengejutkan itu. Kawasan itu masih hangat dan hangit dengan bau benda terbakar.
Getah, petrol dan plastik. Beberapa orang lelaki segak beruniform sibuk
meneliti bangkai kereta yang hitam hampir keseluruhannya.
"Muka dia
hancur. Mungkin kena hentak dengan benda berat." Kata salah seorang
daripada mereka.
"Kalau ada
tanda pengenalan mungkin sudah hangus dijilat api."
Seorang lelaki
beruniform cuba menahan Ziela.
"Bagaimana
keadaan suami saya?" Ziela menggelabah.
"Bertenang
puan," suara polis yang cuba menenangkan Ziela.
"Suami saya
mana?" Ziela hilang sabar. Dia merempuh masuk ke kawasan yang dirintangi
tali plastik kuning.
Alangkah
terkejutnya apabila dia lihat sebatang tubuh terbujur kaku di atas saki-baki
kerusi pemandu yang tinggal. Rupanya tidak ubah seperti sebatang kayu yang
rentung dijilat api. Hitam dan hilang rupa seorang manusia.
"Kami tak
dapat pastikan sama ada mayat ini suami puan atau tidak, tapi kami jumpa ini tidak jauh dari tempat kejadian."
Polis itu
menyerahkan sebuah dompet kepada Ziela.
"Ini dompet
suami saya."
"Puan
pasti?" Tanya polis itu.
Ziela mengeluarkan
sesuatu dari dalam dompet. "Ini... ini kad pengenalan suami saya."
Rasa sebak
menghurung dada Ziela. Rasa itu bercampur baur dengan rasa bersalah dan
menyesal. Juga rasa ngeri dalam keadaan yang sukar digambarkan.
Bersama air mata
yang mula menghambur keluar, Ziela hanya mampu mengangguk.
Ziela hilang
suara. Dia ingin menjerit tetapi suara tersekat di kerongkong. Puas dia mencari
suara yang terbenam entah di mana.
Setelah puas dia
cuba, akhirnya dia terjelepuk dengan raungan yang menghambat jiwa.
"Abaaaaaaaang!"
***
Enam bulan yang lalu
Malik pulang ke
rumah dengan lelah yang masih bersisa. Memandu bas kilang bukan sesusah mana.
Namun waktu shift yang tidak menentu
menyebabkan dia terpaksa bertugas di luar waktu biasa. Ditambah pula dengan
lokasi kediaman pekerja yang agak jauh.
Baginya itu semua
tidak sepayah menghadapi apa yang berlaku di rumah.
Malik menghempaskan
tubuh di sofa. Sofa ini lebih lembut dan selesa berbanding dengan yang ada yang
ada di situ beberapa minggu lepas. Rasa nyaman dan selesa menggamit kantuk yang
sudah lama bergayut di mata semasa memandu tadi.
"Lambat balik
bang," suara yang menyahkan kantuk. Seperti pengelap cermin depan kereta
yang membuang habuk dan kotoran yang terlekat di cermin.
"Hmm..."
jawab Malik, cuba menjemput kantuk yang sudah malu-malu ingin bersanggah
semula.
"Barang dapur
bila abang nak beli? Beras dah nak habis. Budak-budak nak makan nugget dan
sosej. Aiskrim pun." Kata wanita yang sedang menggilap kuku. Sesekali dia
membelek untuk melihat kilauan yang terpancar dari permukaan licin kuku jemari.
Namanya Ziela.
Kali ini kantuk
Malik sudah lenyap terus, walaupun rasa penat masih bersisa. Melekat seperti
daki di baju yang dipakai.
Malik duduk tegak.
"Awak
belilah. Gaji saya jadi pemandu bas tak sampai dua ribu. Sudahlah macam tu,
awak suruh bayar bil dan sewa rumah. Tinggal baki untuk isi minyak kereta dan
makan. Kereta tu dah lama tak servis. Nak harapkan gaji awak? Hmm... memang tak
merasalah!" Malik bersungut.
Ziela yang sedang
asyik menggilap kuku kini memandang tepat ke wajah Malik.
"Abang jangan
lupa. Abang tu suami, ada tanggungjawab. Kena bayar nafkah saya dan anak-anak.
Gaji saya hak saya. Abang tak boleh nak masuk campur!" Ziela mula meninggi
suara.
'Mula dah..'
Gerutu Malik dalam diam.
"Memanglah
itu hak awak. Tapi apa salahnya kita kongsi dalam hal rumahtangga. Lagipun gaji
awak sekarang dah lima ribu." Malik cuba menenangkan diri sambil bersandar
dan memejamkan mata.
"Abang, saya
sekarang pengurus agensi. Bukan macam dulu. Saya terpaksa jaga ketrampilan
saya. Rupa dari hujung rambut hingga hujung kaki kena jaga. Sebab tu saya beli kereta
baru supaya dapat jaga status saya. Rumah ni pun... huh! Tak layak tau pengurus
macam saya tinggal di rumah sewa macam ni. Sebab tu saya tengah kumpul duit
untuk beli rumah teres. Baru sesuai!" Ziela membebel.
"Oh... tak
sesuai... bermakna laki drebar bas macam abang ni pun tak sesuailah ya...
hmm... tak apalah... kalau ada laki yang sesuai, Ziela beritahu abang."
Jawab Malik dengan selamba. Namun jauh di lubuk hatinya ada rasa terkilan dan
kecil hati.
"Abang! Apa
abang merepek ni? Ziela sayang abang, sebab tu Ziela tak nak berpisah dengan
abang. Lagipun kesian anak-anak kita kalau rumahtangga porak-peranda."
Jawab Ziela.
'Sayang? Huh! Tapi
cara kau layan aku macam anjing kurap. Bukan macam suami.'
Kemudian dia
bersuara, "Bukan apa Ziela, abang tengok kawan-kawan abang tu ramai juga
isteri mereka yang bergaji lebih besar daripada suami. Tapi tak ada keluh kesah
nak berkongsi dalam hal urusan perbelanjaan."
"Itu diorang!
Ziela orang penting dalam syarikat. Kena jaga status. Silap haribulan orang bawahan
hilang respek nanti."
'Itu pendapat kau.
Yang sebenarnya kau tu yang lupa diri. Jangan-jangan dah terkena penyakit
megalomania.' Hati Malik membebel.
"Dalam zaman
ni, kita tak boleh ketinggalan bang. Kena ikut trend. Teknologi semakin maju.
Dulu pakai telefon Nokia sabun. Sekarang dah macam-macam teknologi canggih ada.
Kalau kita tak ikut peredaran zaman malu bang. Kalau anak buah saya pakai yang
lagi canggih daripada saya macam mana? Malu saya bang..." Leteran Ziela
terhenti dengan bunyi dengkuran yang kedengaran.
"Abang...
abang! Abang dengar tak? Hish… kita bercakap, dia tidur. Tak sporting langsung." Ziela tarik
muka panjang. Terus dia angkat punggung dan masuk ke bilik.
Malik membuka
sebelah mata sedikit. Setelah pasti Ziela sudah beredar, dia menarik nafas
panjang.
'Apa agaknya cara
supaya dia sedar perbuatan dia selama ini?' Malik berfikir.
'Aku ingat bila
dia dah naik pangkat keadaan ruamahtangga aku makin baik. Makin selesa. Dalaman
rumah memang makin selesa. Sofa baru. TV baru. Ada aircond. Tapi Ziela bukan
macam yang dulu. Wang sudah merubah dia jadi orang lain. Macam megalomaniak.'
Malik mula
mengimbau kehidupan silamnya yang malang. Semenjak dia hilang pekerjaan pada
usia yang agak lewat, dia sukar mencari kerja lain sebagai perunding kewangan.
Entah mengapa dia terlalu sukar mencari kerja lain dalam keadaan ekonomi yang
sedang meruncing. Akhirnya dia buat keputusan menjadi pemandu bas, dengan
harapan peluang lain akan datang. Malangnya keadaannya masih belum berubah
hingga kini.
"Kenapa
sampai begini dugaan yang Tuhan beri kepada aku? Aku tak tahu sampai bila aku
mampu bertahan."
Ibunya pernah
berpesan suatu masa dulu. "Dugaan yang Tuhan bagi bukan sia-sia atau
suka-suka. Dia nak naikkan taraf kita di sisi dia. Yang penting kita dekatkan
diri dengan dia. Pergi solat masjid. Syaitan memang pandai cari peluang. Silap
langkah ujian boleh jadi bala kepada kita."
Kata-kata itu
selalu terngiang di telinga Malik. Malangnya tidak berkesan di hati. Mungkin
nalurinya cuba mengubah pendirian dia selama ini. Namun seperti mencurah air ke
daun keladi.
Semakin hari
dugaan ini semakin membebankan. Keadaan dirinya belum berubah menjadi lebih
baik. Begitu juga sikap megalomania Ziela yang makin ketara.
Perasaan ini
seperti bara yang semakin menyala dalam hati Malik. Bahangnya semakin terasa.
Detik demi detik. Hari demi hari. Memakan naluri dan kesiumannya.
***
Tiga bulan yang lalu
"Abang! Ini
apa ni? Bil api dan lebih dua bulan tak bayar! Tuan rumah dah bising sewa dah
tertunggak!" Bentak Ziela di ruang tamu.
Malik hanya dapat
melelapkan mata beberapa minit sebelum Ziela tercongok di ruang tamu, apabila isterinya
sedar dia sudah pulang.
Malik membuka mata
dalam keadaan jalu. Fikirannya masih berselerak, belum dapat difokuskan.
"Jangan jadi
laki yang tak tahu tanggungjawab! Sudahlah makan minum aku yang tanggung!
Sekarang bil-bil pun nak lepas tangan." Ziela menyinga.
Fikiran Malik
sudah dapat dipusatkan semula.
'Amboi... dah
pandai mengherdik aku sekarang ni. Ke mana hilangnya perkataan saya selama ni?
Dah mula membahasakan diri dengan aku.' Rungut Malik.
"Kereta abang
dah mula meragam sekarang. Sudah berapa kali masuk keluar bengkel. Yang awak
tu. Nama je gaji lima ribu. Tapi habis untuk diri sendiri." Malik lepas
geram.
"Duit aku
urusan aku! Kau nak sibuk buat apa?" Kasar nada suara Ziela.
Malik tidak
bersuara. Bukan kerana dia tunduk kepada isteri yang berpendapatan jauh lebih
besar daripadanya. Sebenarnya dia kesal dengan perubahan Ziela. Wang ringgit
telah mengaburkan mata perempuan itu sehingga dia lupa siapa dirinya yang
sebenar dan tuntutan dalam agama.
Ziela bukan lagi
seorang isteri yang taat seperti dulu. Sebagaimana kegagalan Malik menjadi
ketua keluarga yang baik. Pesanan ibunya terngiang lagi.
"Sebagai
ketua keluarga kita kena dekatkan diri dengan Tuhan. Baru dia mudahkan urusan
kita. Suami macam pemandu bas. Kalau dia terlalai atau alpa, bas akan
melencong. Mungkin masuk gaung. Habis penumpang yang lain terpaksa terima
akibat yag sama. Anak dan isteri adalah penumpang dalam bas yang kau
pandu."
Seperti dulu,
kata-kata itu seperti ceramah dalam bahasa asing yang tidak dia fahami.
Sedikitpun tidak berkesan dalam hati.
"Aku tak
kira. Kau cari duit walau dengan cara apa sekalipun. Walaupun kau terpaksa
pinjam dari Ah Long. Aku nak kau selesaikan semua hutang ni. Faham?" Ziela
sudah hilang kewarasannya sebagai seorang isteri.
"Menyusahkan
dapat laki macam ni!" Sergah Ziela dengan biadab sebelum beredar ke bilik.
Pintu dihempas dengan kasar.
Malik mengusutkan
rambut yang sudah sememangnya tidak terurus.
Dia buntu. Sudah
habis ikhtiar yang dibuat untuk mengubah Ziela mengikut caranya sendiri.
Malangnya segala usaha menemui jalan mati. Ziela masih tidak berubah, malah
semakin teruk sikap dan keadaannya.
Malik sedar bahawa
dia terpaksa mengambil tindakan drastik. Mungkin itu jalan akhir untuk
menyedarkan Ziela, walaupun dia terpaksa berkorban.
***
Malik keluar dari
bilik dengan pintu kaca bersama tulisan di plak aluminium yang bertampal.
DR RIDWAN
PAKAR PSIAKIATRI
Dia tercegat seketika
di luar setelah menutup pintu. Perbualan dengan doktor tadi bermain di minda.
'Ini keputusan
drastik yang terpaksa aku buat.' Dia cuba menguatkan semangat.
'Hanya ini saja
jalan yang aku nampak. Ziela tak boleh dibiarkan dengan kegilaannya. Gila kuasa.
Rasa diri dia penting dan berkuasa. Sedangkan dalam realiti dia tak sehebat
itu. Sampai aku terpaksa terima bahangnya. Aku tak mahu jadi lelaki dayus.
Kalau aku tak mampu berkuasa, biar dia rasa akibat perbuatan dia selama ini.'
Malik menggenggam erat tangan bersama semangat yang hadir.
'Sudah tiba
masanya aku lakukan sesuatu.'
Malik beredar.
Hanya derap langkahnya yang kedengaran di koridor lengang dan sunyi itu.
Cerpen ini tidak disiarkan sepenuhnya. Sekadar preview di blog.
Harap maklum...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan