NOT
FOR SALE : THE UNTOLD STORY
Sebuah
cerpen versi interaktif oleh Salleh Kausari
Nota: Karya interaktif bermakna pembaca
diberi pilihan menentukan jalan cerita
berdasarkan alternatif yang ada.
Penghujung yang elok atau tidak bergantung kepada keputusan yang dibuat
berdasarkan fakta atau klu yang diberi dalam cerita. Walaupun tersalah pilih,
pembaca masih berpeluang meneroka alternatif lain, dan memberikan pembacaan
satu pengalaman yang luar biasa dan tidak dapat dirasai dalam teknik penulisan
biasa.
BAHAGIAN
5B
"Siapa
pulak yang telefon ni?" Omel Junita bersama telefon di tangan. Rancangan
menggali laman belakang dibatalkan.
"Helo,"
Junita tertanya-tanya dalam hati.
"Junita,"
suara di talian.
"Ya. Ini
siapa?"
"Ini Dato'
Refqal. You apa khabar?"
"Okey."
Junita cuba memikirkan sebab lelaki itu menelefonnya.
"Macam mana
dengan rumah yang I carikan untuk you. Okey?"
"Ooo...
dato' yang carikan rumah ni untuk saya dan Karina. Terima kasih. Cantik dan...
selesa." Junita terasa selesa dengan serta-merta. Mimpi malam tadi semakin
dilupakan.
"Selagi you
tinggal di rumah tu, no worries. Semua I tanggung. You nak apa-apapun cakap
saja. I boleh belikan."
"Err... dato'
ni. Baik hati sungguh. Ada apa-apa yang dato' nak dari saya ke?" Junita
sekadar menguji.
"Eh, mana
ada. Saya tolong dengan ikhlas. Cuma... kalau you free nanti I nak ajak you
keluar. Kita pergi shopping."
Aku dah agak
dah. Dia memang ada sebab tersendiri. Dasar jantan pantang tengok perempuan
dahi licin. Sorry okay, I am not for sale! Gumam hati Junita, bengang.
"So macam
mana? Boleh?" Suara lelaki itu di talian setelah Junita membisu.
"Err...
hari ni tak bolehlah dato'. Saya kurang sihat. Lain kali ajelah ya."
"Okay, no prob. For Junita, I'll wait." Kata lelaki itu.
Junita buat
muka, seperti hendak termuntah.
"Bye."
"Bye."
Junita menamatkan panggilan.
Seperti
kebetulan yang aneh, dia menerima panggilan lagi selepas itu. Kali ini Junita
tersenyum lebar, manis.
"Assalamualaikum,"
suara lelaki di talian.
"Waalaikumussalam.
Jip, kenapa sekarang baru nak telefon?" Junita cuba menyembunyikan rasa
rindu, walaupun mereka tidak berjumpa hanya beberapa hari. Rindu kepada lelaki
bernama Razif.
"Saya
sibuklah Ju. Awak okey? Tempat baru macam mana? selesa? Model-model ada yang
buli awak? Ada model lelaki yang cuba pikat awak? Kalau ada..."
Bertalu-talu soalan Razif.
"Jip, saya
okey. Awak ni risau sangatlah."
Kedengaran suara
ketawa di talian. "Mestilah risau. Awek saya tu cun orangnya. Model pulak
tu. Kalau ada yang kacau, terpaksalah saya ada di sisi awak. Jadi bodyguard pun
takpe."
Junita terasa
dadanya kembang. Razif memang begitu mengambil berat tentang dirinya. Itulah
sebabnya dia suka dengan Razif.
"Kalau ada
apa-apa, telefon tau." Kata Razif.
"Okey Jip.
Bye. Assalamualaikum.'
"Waalaikumsalam."
Junita senyum
meleret selepas itu. Dia asyik terkenang detik-detik manis bersama lelaki
bernama Razif yang kini berada jauh di mata.
Entah mengapa
berada di rumah itu berseorangan memberikan suatu aura yang luar biasa,
walaupun pada waktu siang. Dia terasa hidup ini begitu menyeronokkan, tetapi
dia masih belum puas. Seolah-olah ada sesuatu yang dia inginkan dalam hidup.
Lebih daripada yang apa telah dia miliki selama ini.
Benarkah
kata-kata Maya pasal rumah ni? Kalau betul, mungkin aku dan Karina dalam
bahaya. Tapi... kalau memang dia nak permainkan aku, mungkin ini peluang terbaik
untuk aku kenakan dia. Kalau betul dia cemburu dengan aku dan cuba singkirkan
aku, mungkin ini jalan terbaik untuk aku tambahkan lagi cemburu dia tu.
Junita berbaring
di sofa. Dia terasa seperti bukan dirinya sendiri. Seolah-olah dia wanita baru.
Bijak, berkarisma, berani dan licik. Jentera mindanya giat digera untuk menempa
sebuah rancangan yang tidak mungkin berani dilakukan selama ini.
~~***~~
Tiga
Bulan Kemudian
KARINA hanya
memerhatikan Junita dengan rasa terkilan dan sedih. Namun tiada apa yang mampu
dia lakukan lagi. "Ju, aku nak balik kampung hari ni."
Junita memalit
gincu di bibir. Bibir yang pudar tadi kini merah menyala warnanya. "Okey."
Katanya sambil melumatkan bibir agar gincu lebih rata dan menyerlah.
"Kau dah telefon
Jip?" tanya Karina.
Junita diam. Dia
menyibukkan diri dengan memastikan wajah yang dimekap sempurna. Hakikatnya dia
sudah bosan mendengar nama itu. Apatah lagi untuk berbual atau bertemu dengan
lelaki bernama Razif.
"Boleh tak
kau jangan sebut nama tu lagi? Aku dengan dia dah tak ada apa-apa. Aku ada
peluang yang jauh lebih besar depan mata sekarang ni. Dengan dia apa aku dapat?"
Karina geleng
mendengar jawapan Junita. Rakannya itu telah berubah sama sekali dengan
mendadak. Seperti bukan gadis yang dia pernah dia kenali beberapa bulan lepas.
Kedengaran hon
berbunyi di luar.
"Okey, aku nak
keluar sekarang. Kau jangan tutup lampu. Senang aku nak masuk nanti."
Pesan Junita sambil menapak dengan kasut bertumit tinggi. Gema derap stileto
itu kedengaran di ruang tamu. Pakaian ketat merah yang bergemerlapan
menyerlahkan susuk tubuhnya yang pasti menggiurkan lelaki yang memandang.
Kenapa kau
berubah dengan mendadak Junita? Sekelip mata kau terpengaruh dengan kilauan palsu
depan mata kau. Jangan sampai kau tercebur ke lembah jijik nanti. Keluhan hati
Karina dalam dia. Dia rasa terkilan. Amat terkilan.
~~***~~
JUNITA pulang
pada jam 2.15 pagi setelah dihantar oleh Dato' Refqal dengan Mercedes hitam.
Berjam-jam mereka habiskan masa berpoya-poya di kelab malam. Gelas demi gelas
berisi cairan koktel diteguk hingga dia berada di antara dua alam. Alam realiti
dan khayalan mindanya.
"Kalau Karina
tak ada, mesti I dah ikut you masuk sama." Gurau lelaki itu.
Junita tersenyum
sinis. Hakikatnya dia jelek dengan lelaki itu. Bukan dirinya yang Junita
inginkan, tetapi apa yang dia miliki. Sengaja dia merahsiakan tentang Karina
agar dia terselamat lagi awal pagi itu.
"Bye darling,"
pamit Junita sambil melepaskan kucupan di angin lalu.
Dato' Refqal
menyembut kucupan halimunan itu dengan isyarat tangan. "Bye sayang."
Mercedes
meluncur meninggalkan pekarangan Villa Seri Avira.
Junita menapak
masuk ke dalam rumah. Dia merasakan suatu aura yang aneh ketika itu. Seperti
tubuhnya disapa bayu halus, sedangkan kipas tidak terpasang dan tiada tingkap
yang terbuka.
"Hehe...
kau termakan umpan aku Refqal. Lihat rumah ini, semuanya hasil daripada tubuh
aku yang kau dambakan tapi masih belum berhasil kau miliki hingga kini. Excuse me, I'm not for sale!" Bebel
Junita sambil menanggalkan kasut Jimmy Choo yang dihadiahkan oleh Dato' Refqal.
Begitu juga rantai dan gelang emas yang sarat di leher dan lengannya.
Ketika itu
telinganya menangkap sesuatu. Bunyi yang halus. Seperti alunan suara falsetto semasa
konsert opera. Suara itu begitu merdu hingga merinding bulu romanya.
Junita mencari
punca suara itu. Dia ke dapur, tetapi suara itu bukan datang di situ. Akhirnya dia
sedar suara itu datang dari tingkat atas.
Dia menapak
naik. Suara itu datang dari kamar tidurnya. Dia menjenguk ke dalam. Tingkap
sudah terbuka selebar-lebarnya dan sepoi angin dari luar mengibarkan langsir
nipis seperti bendera.
Alangkah
terkejutnya apabila dia terlihat sesuatu di siling, seperti lelayang yang
tergantung tanpa tali. Makhluk berupa perempuan itu memakai gaun putih labuh
yang berkibar. Sebagaimana rambutnya yang panjang hingga melepasi buku lali.
Menggerbang dan terapung. Wajahnya hodoh bersama daging mereput. Anehnya mata
lembaga itu bukan merah menyala seperti yang biasa diceritakan, tetapi biru
keunguan. Seperti lampu neon yang sedang menyala. Darah mengalir dari tubir
matanya, seperti tangisan berdarah.
Alunan halus
suara merdu umpama nyanyian falsetto penyanyi opera itu berubah menjadi hilaian
yang membingitkan. Lutut Junita jadi lemah serta-merta. Belum sempat dia
beredar meninggalkan bilik itu, lembaga itu sudah menerpa ke arahnya.
Segalanya
berubah menjadi hitam pekat.
~~***~~
BERITA terkini
di televisyen tengah hari itu begitu menggemparkan. Seperti deja vu yang telah
berulang selama berbelas kali.
"Kejadian ngeri
di banglo Villa Seri Avira berulang lagi dengan penemuan mayat penghuninya yang
terkini pagi tadi. Junita binti Saiman ditemui tidak bernyawa di dalam tab
mandi yang dipenuhi air. Dipercayai dia mati akibat renjatan letrik dengan
penemuan pengering rambut di dalam air.
Pakar forensik
masih mengkaji kejadian aneh itu kerana dipercayai Junita sedang mandi dan
mustahil dia berani mengambil risiko menggunakan pengering rambut pada masa
yang sama.
Kejadian ini
bersama beberapa kejadian lagi sebelum ini masih kekal misteri dan belum
berjaya dirungkai setelah sekian lama. Ramai cuba mengaitkan kejadian aneh ini
dengan penghuni asal banglo ini iaitu wanita berbangsa Inggeris bernama Annavia
Thornton. Semenjak kejadian itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk meroboh
atau menjual rumah itu tetapi masih belum berhasil.
Menurut penjaga
rumah itu, Arpah binti Hashim, pernah berlaku kejadian aneh semasa rumah itu
cuba dijual. Papan tanda yang dipasang dalam Bahasa Inggeris FOR SALE telah
diubah menjadi NOT FOR SALE. Apa yang mengerikan perkataan NOT itu ditulis
dengan darah."
SEKIAN
Anda telah selesai membaca kisah ini versi linear iaitu yang biasa dibaca. Versi interaktif akan memberikan penghujung kisah alternatif yang berlainan dengan dua pilihan yang dibuat oleh Junita dalam cerita. Kisah ini hanya akan disiarkan di grup tertutup Laman Inspirasi Pena VR. Harap maklum.
Sesiapa yang ingin mengetahui penghujung kisah ini dialu-alukan menjadi ahli grup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan