WAK PARJO BOMOH ULAR
Kampung Semambu Kuning
3.15 Pagi
Musa terkejut. Peluh dingin
mengalir di seluruh tubuhnya macam hujan.
"Alhamdulillaaah... Mimpi
rupanya!" Mukanya disapu dengan tangan yang baru lepas ditadah dengan gaya
berdoa.
Mengenangkan mimpi itu semula menyebabkan
tubuhnya terasa seram sejuk. Mimpi yang terasa begitu jelas, seolah-olah
benar-benar telah dia alami.
‘Apa maksud mimpi itu? Adakah aku
yang akan mengalaminya? Atau mungkin orang lain?’ Musa dilanda pelbagai soalan
yang bertubi-tubi. Mindanya mula letih memikirkan hal itu, hinggalah dia
tertidur semula.
Sebelum terlena dia sempat
menjeling adiknya Haron yang sedang tidur berdengkur macam serombong kereta api
yang sudah tiba masa untuk diservis.
Akhirnya kantuk datang menjengah
macam gadis pingitan yang memagut ciuman di pipinya. Musa terlena sampai ke
siang.
***
Cuti sekolah tiba lagi. Rutin
budak Kampung Semambu Kuning musim cuti ini adalah mengaji di rumah Pak Andak
Dolah. Isterinya Mak Munah memang pandai mengaji. Masa muda-muda dulu kalau dengar
dia mengaji, memang cair jantung jejaka kampung yang kemaruk cinta dengan dengan
testosteron sedang meracau. Kalau hendak dibandingkan dengan zaman ini, lebih
kurang macam suara Siti Nurhaliza masa anak dara dulu. Selepas Siti sudah berkahwin
suaranya pun sedap juga, tapi berlainan sedikit.
Berbalik semula kepada cerita
Musa dan Haron, mereka terbangun lewat pagi itu. Biasanya Musa yang mengejutkan
si Haron, tapi disebabkan mimpi malam tadi dia terbabas. Lintang pukang budak
berdua ke rumah selang beberapa rumah di sebelah rumah mereka. Hinggakan Musa
terlupa tentang mimpi awal pagi tadi.
Pulang dari kelas mengaji, mereka
tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya mereka pergi ke tepi sungai. Ketika itu
baru Musa teringat semula mimpi malam tadi.
"Haron, kau nak dengar tak pasal
mimpi aku malam tadi?" kata Musa sambil mencangkung di gigi air.
"Alah abang ni! Kan kita dah
beritahu jangan panggil nama tu lagi. Mulai sekarang panggil Aaron. Macam Aaron
Aziz."
Musa mengejek. "Muka macam ikan
kering yang Mak Lijah jemur depan rumah dia, ada hati nak panggil Aaron." Dia
ketawa terbahak-bahak hingga meleleh air mata.
"Nama Haron tak best ah!
Aaron lagi sedap."
"Suka hati kaulah Aaron ikan
kering Mak Lijah." Musa ketawa lagi.
Haron bengang. Matanya melilau
melihat ke tanah. Dia mencapai sesuatu.
Kelekuk!
Musa ketawa sampai terkejip-kejip
matanya hinggakan dia tidak perasan ada batu melayang dan hinggap di dahinya. Kepalanya
terasa berdenyut-denyut. Terus dicapai dengan tangan dan dia nampak cairan
likat merah melekit pada jari telunjuk dan jari hantu.
"Kau kenapa Haron? Kan dah luka
kepala aku!" Musa berang.
"Ketawalah lagi." Cabar
Haron sambil bercekak pinggang.
Musa lekas-lekas mencuci luka
dengan air sungai. Dia berkira-kira ingin mencapai batu sebesar penumbuk untuk
membalas dendam. Biar kepala Aaron dengan muka macam ikan kering Mak Lijah pun
berdarah juga.
Hasratnya terbantut apabila pandangannya
dilemparkan ke seberang sungai. Beberapa ekor kucing sedang memerhatikannya
tanpa bergerak-gerak.