PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:

A. PUISI
1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)
Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR

2. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)
Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.

B. CERPEN
1. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)
Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):
Stanza Cinta, Ros Merah dan Tofi Epal | Bingkisan Sakura Dari Tokyo (versi video) | Cincin Di Jari | Dalam Sup Ekor Ada Cinta | Selamat Hari Jadi Papa | Kerongsang Suasa Bertatah Zamrud (versi video) | Dulu Benci, Sekarang...? | Ku Bisik Rindu Di Angin Lalu | Saat Aku Lafazkan Akad Nikah | Si Tudung K-pop vs Mamat Kopiah | Listrik Cinta Andromeda | Sangkar Cinta: I Hate You, But I Love You! | Kelipop-kelipop Cinta | Manifestasi Cinta Minah Pom-pom dan Mat Berus | Kisah Norman dan Maisara| Sumpahan Cinta Kohinoor | Elle | Raja Shah Jehan, Bunga Dafodil | Kisah Shania dan Amirul | Apabila Kompang Dipalu | Biar Bulan Jadi Pengganti | Sehelai Sapu Tangan, Sebuah Puisi | Mimpi Cinderella Gebu | Black Widow: Awas Racun Cinta! | Bawang Merah, Cili Api | Menjejak Cinta Hakiki | Abang Bouncer vs Party Girl | Penjara Cinta Di Menara Berduri

2. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Antologi 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller
Ramlee Awang Murshid - RAUDHAH | Annur Shanana-PELESIT, MISTERI HISTERIA RAMALAN | Maria Kajiwa -NO! PAPA, NO! | Dhieya Adlynna - JAM 3.00 PAGI | Isha Idiaz - HATI DHIA | Zakri Rahman - MAHAKARYA |Indah Hairani - AKU BUKAN SERIGALA |Amer Mukhlis- ASAD | Naim Tamdjis - SAYAP-SAYAP KE SYURGA, CATATAN UNTUK SANG PUTERI | A. Darwisy -GAMELAN, BURAI | Ayim Rifqi - DALANG |Domi Nisa -DENDAM SEORANG LELAKI | Sauriani - BEBASKAN AKU SAYANG | Jia Ariza - GAUN BERDARAH, RINTIHAN AZRINAH | Syafeza Sauli - SOULMATE, KAU MILIKKU, KAKI | Syasya Bellyna - HUJAN RINTIK-RINTIK |Imanisa Riana - AKU TAK TAHU | Salleh Kausari -ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan) |Reeani Annur - LIANA | Nash Azly - TIGA BALA

3. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)

4. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)
Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.

5. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)
Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)

6. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)
Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


C. NOVEL

1. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)













2. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)


Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative. Alhamdulillah.




Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.
[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11-1] [11-2] [12] [13] [14-1] [14-2] [15-1] [15-2] [16] [17] [18] [19][20] [21-1] [21-2] [21-3] [22-1] [22-2] [22-3] [23] [24][25][26]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT
Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...
[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]



4. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI
Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.
[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]



5. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI
Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.
[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]

6. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.
Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


D. NOVELET

1. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA
[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]

2. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X
Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Ilham Karangkraf.
[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]



E. LAMAN FACEBOOK
1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR
Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

2. Lain-lain:
    Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.
    Selamat membaca ^_^
    Cheerio!
    ~ Salleh Kausari
    25 September 2015

    Saturday, 5 July 2014

    CERPEN: MALAM TUJUH LIKUR


    MALAM TUJUH LIKUR

    Sebuah cerpen tentang Ramadan dan keinsafan oleh Salleh Kausari



    Shamrel tercabar. Dia benar-benar tercabar.

    "Kurang hajaq punya Ghazi. Habis dia post status lebih mengancam daripada aku."

    Shamrel skrol newsfeed  Facebook. Kenalan FB bernama Ghazi baru saja memuat naik pelbagai gambar di Instagram bersama komen yang membakar semangatnya.

    Raya tahun ini aku pakai baju Melayu warna gold dengan samping songket hitam.
    Inilah saja yang aku mampu. LOL

    Berbuka puasa dengan buddies di Holiday Villa Subang. Habis dekat RM300. Lepas tu shopping di Subang Parade. I can't help it! Sangkut Dr Martens satu untuk raya. Tak mahal bro... RM500 aje. Hiu hiu

    Esok birthday girlfriend aku. Tak tau nak beli apa. Beg Gucci limited edition pun dah kira okey lah kan. Ngeee.....
    Siapa share dengan GF aku, aku unfriend. Aku nak surprise dia okey! GRRR...

    Gua ingat nak tukar keretalah. GF gua segan nak naik sebab BFF dia dapat pakwe pakai kereta sport. Apa ada hal... Mastercard Gold gua boleh bayar deposit.
    My future car, here I come... Ihiks

    Shamrel sukar bernafas. Seperti ada tenaga luar biasa dalam dirinya yang ingin meledak.  Dia rasa begitu kecil dengan status-status yang ditulis oleh Ghazi. Apa yang telah dia post dirasakan malap. Seperti lampu meja dipasang ketika mentari sedang menyinar terik di tengah hari.

    "Aku kena buat sesuatu. Mana boleh aku biarkan Ghazi menang. Mesti ada yang sindir aku sebab status Ghazi lebih mengancam. Tak boleh jadi. Aku kena buka puasa di hotel eksklusif. Setakat buffet Ramadan harga diskaun lima puluh hengget tak main ah." Omel Shamrel sendirian.

    ***

    Shamrel puas hati. Dia benar-benar puas hati.


    Dia baru selesai menghantar teman wanitanya pulang. Selepas berbuka puasa di hotel lima bintang bersama gadis itu, mereka pergi membeli-belah.

    "Puas hati aku. Kau makan buffet, aku makan ala carte. Udang kara kukus. Haha." Shamrel melayan perasaan sambil memandu.

    "Tak mainlah setakat beg Gucci limited edition. Aku bagi cincin berlian 24 karat tau. Berseri-seri awek aku raya yang tinggal beberapa hari lagi ni." Shamrel ketawa sinis.

    "Lepas ini aku akan post gambar kereta baru aku. Raya ni sakanlah. Kau nak berlagak dengan Mastercard Gold kau tu. Aku bayar cash bro. Duit saving aku. Hehe." Shamrel kembang dengan rasa bangga yang memuncak. Kejayaan mengalahkan status Ghazi di Instagram dan Facebook.

    Shamrel dan Ghazi mungkin sekadar kenalan di Facebook, tetapi semangat bersaing mereka begitu luar biasa. Masing-masing memiliki peminat dan pengikut yang tersendiri. Status mereka mampu mengundang ribuan like dalam sekelip mata. Kehebatan realiti hidup mereka menyebabkan ramai yang kagum. Namun itu hanya menambahkan rasa bersaing satu sama lain. Untuk menjadi juara dalam bidang yang mereka pelopori di media sosial.

    Setibanya di sebuah jalan agak lengang, Shamrel sedar dia diekori. Sebuah motorsikal dengan pembonceng asyik berubah posisi. Sekejap di belakang. Kemudian di sisi. Adakala di depan. Gayanya seperti budak liar yang berfoya-foya di jalan raya.

    "Samseng mana pulak ni?" Shamrel serba-salah hendak memecut. Pergerakannya dihalang motorsikal dengan dua orang penunggang bertopi keledar.

    Ketika motorsikal itu cuba bergerak dari depan ke sisi, Shamrel nekad untuk memecut. Belum sempat dia menekan minyak, sejenis cecair disimbah ke cermin depan. Pandangannya serta-merta menjadi kabur. Puas dia menekan air dan mengelap dengan wiper, tetapi kotoran itu begitu tebal dan sukar dibersihkan.

    Shamrel tiada pilihan lain. Dia terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan.

    "Apa masalah kau hah?" Shamrel  berang setelah dia bersemuka dengan kedua penunggang motorsikal itu.

    Mereka berdua tidak berkata apa-apa. Sebaliknya Shamrel dibelasah bertubi-tubi. Dia tergamam dengan serangan yang tidak dijangka. Walaupun dia cuba melawan, akhirnya dia tumbang juga. Segala-galanya gelap pekat. Dia sudah tidak sedarkan diri lagi.

    ***

    Shamrel buka mata. Pedih. Teramat pedih. Kepala dan sekujur tubuh berdenyut dengan kesakitan yang teramat. Darah mengalir di bibir yang pecah. Kepala terasa bengkak.

    Hilang. Semuanya hilang. Kereta, jam tangan, dompet dan telefon. Yang ada hanya apa yang dia pakai, sehelai sepinggang.

    Shamrel cuba berdiri. Sengal. Berdengkot dia berjalan di jalan yang hanya disimbah suram cahaya lampu jalan. Entah pukul berapa, sukar dia mengagak. Yang pastinya suasana damai dan dingin. Tidak terlalu sejuk dan tidak hangat. Nyaman.

    Tiada apa di tepi jalan. Yang ada hanya tiang lampu, pokok dan rumput. Suara cengkerik samar-samar kedengaran. Tiada angin yang bertiup.

    Damai.

    Langkah diorak walaupun sukar.

    'Aku mesti cari orang. Aku kena minta tolong.' Itu saja yang mampu dia fikirkan dalam keadaan yang belum pernah dia terfikir akan dialami. Sebelum ini segala-galanya mudah dan ringkas.

    Dari kejauhan dia terlihat tong besi besar berwarna hijau, tempat pembuangan sampah. Dia pasti. Dia benar-benar pasti terlihat kelibat seseorang di situ. Langkah dipercepatkan walaupun sakit makin terasa.

    Seorang lelaki berambut putih dengan janggut putih duduk di situ. Seolah-olah sedang beristirehat di atas hamparan kadbod daripada kotak besar yang dikoyak. Pakaiannya lusuh dan koyak di sana sini. Rambut dan janggutnya tidak bersikat. Kasar dan berserabut. Namun wajahnya tenang ketika dia melihat Shamrel.

    Shamrel buntu memikirkan apa yang hendak ditanya kepada lelaki itu.

    "Pak cik ada nampak kereta putih lalu kat sini?"

    Lelaki itu menggeleng.

    "Motor?"

    Dia geleng lagi.

    "Pukul berapa sekarang?"

    Dia jongket bahu pula.

    Shamrel kehabisan soalan. Dia membongkok menahan sakit. Lelaki tua itu menarik sebuah hamparan kotak dan meletakkan di sebelahnya. Dia memberi isyarat supaya Shamrel duduk.

    Dalam keadaan buntu, Shamrel terus duduk. Lelah berjalan dengan keadaan luka begitu terasa.

    "Pak cik tinggal mana?"

    "Sini." Tenang jawapan lelaki itu.

    "Rumah kat mana?"

    "Sini."

    "Kat belakang sana?" Shamrel rasa pelik kerana tiada kawasan perumahan di situ.

    "Sini." Lelaki itu menunjuk kadbod yang menjadi alas duduknya.

    Akhirnya baru Shamrel faham. Lelaki itu tinggal di sebelah tong pembuangan sampah yang besar itu.

    Minda Shamrel memproses data yang begitu aneh. Dia dirompak dalam bulan Ramadan dengan beberapa hari lagi menjelang raya. Dia ditinggalkan sehelai sepinggang dengan keadaan tidak tahu pukul berapa ketika itu bersama seorang lelaki tua. Seorang pengemis. Manusia gelandangan.

    Shamrel memerhati keadaan di sekeliling orang tua itu. Di sebelahnya ada buntil kain pelikat lusuh. Deretan beberapa biji botol berisi air. Mungkin air paip. Bungkusan makanan yang masih berisi sisa makanan. Dan sebuah basikal hitam yang sudah uzur. Dapat dia lihat logo Jaguar dalam suram cahaya lampu jalan. Di belakangnya ada bakul rotan yang biasa dilihat berisi durian oleh penjaja di tepi jalan.

    "Pak cik tinggal sorang?"

    Lelaki tua itu angguk.

    "Keluarga pak cik mana?"

    Dia merenung jauh, seperti membongkar kotak memori tua yang telah usang. Soalan Shamrel dibiarkan tidak berjawab.

    Tiba-tiba dia mengomel dengan kata-kata yang sukar didengar Shamrel.

    "Apa dia pakcik?"

    "Kau banyak tanya." Suara lelaki itu menyentap Shamrel.

    Shamrel tersenyum tawar. Dia baru perasan selama ini dia yang asyik bertanya. Dia buat keputusan berdiam diri kali ini, menunggu kata-kata keramat lelaki itu yang seterusnya.

    "Kau ada duit?" Tanya lelaki itu.

    'Kalau dah pengemis tu, pengemis juga. Pantang ada peluang nak minta duit aje kerjanya.' Rungut hati Shamrel.

    "Tak ada."

    Lelaki tua itu mencapai sesuatu dalam kocek. Dia mengeluarkan sekeping duit syiling dua puluh sen dan diserahkan kepada Shamrel. "Nah."

    Shamrel tergamam dengan tindakan yang langsung tidak diduga itu.

    "Ambil!" tegas lelak itu.

    Teragak-agak Shamrel mengambil duit itu dan dimasukkan ke dalam kocek.

    "Kenapa... pak cik bagi saya duit ni?" Shamrel terasa pelik. Benar-benar pelik.

    Lama lelaki itu berdiam sebelum menjawab.

    "Kita sedekah, Tuhan akan balas sepuluh kali ganda. Aku bagi kau 20 sen, esok Dia akan ganti balik dua ringgit. Lepas makan aku esok."

    Shamrel tergamam kerana banyak sebab. Pertama, lelaki tua yang tiada apa-apa ini sanggup memberikan duit kepadanya. Walaupun nilainya terlalu kecil tetapi begitu berharga bagi dirinya. Kedua, lelaki gelandangan ini begitu yakin dengan janji Tuhan. Ketiga, dia sedar lorong kehidupan yang dipilih selama ini. Lorong yang begitu berlainan berbanding dengan lelaki ini. Tetapi hari ini dia diberi peluang untuk meneroka laluan yang sama bersama lelaki ini.

    Rasa sayu dan sesal mula bertamu di hati Shamrel. Matanya terasa hangat dengan rasa insaf yang sukar digambarkan.

    'Apa yang telah aku buat selama ini ya Allah.' Rasa hening begitu memenuhi dada Shamrel.

    Air mata hangat mula melimpah dan dengan segera diseka sebelum lelaki tua itu perasan.

    "Kau tahu malam apa ini?"

    Shamrel geleng.

    "Ini malam tujuh likur. Kau tahu maksudnya?"

    Dia geleng lagi.

    "Malam kedua puluh tujuh bulan puasa. Hari raya dah dekat. Sepuluh terakhir adalah hari berlumba-lumba. Untuk mencari lailatulqadar. Mungkin malam ni. Mungkin dah lepas. Tak ada siapa yang tahu hari yang mana."

    Shamrel diam. Sudah lama dia tidak mendengar tentang perkara itu. Di newsfeed Facebook ada status yang berkongsi perkara itu, tetapi dia buat tak endah. Dia sibuk mencari status orang yang bermegah-megah tentang kehidupan mereka. Tentang persiapan menjelang raya. Tentang juadah dan pakaian. Tentang hidup yang lebih gah di mata orang lain. Status seperti ini dia akan like laju-laju. Apabila sampai ke status ilmu dan peringatan seperti itu, dia akan skrol laju-laju.

    "Kau dah bersahur?"

    Shamrel geleng.

    Lelaki tua hulur bungkusan dengan makanan bersisa. "Nah, hari ini ada orang sedekah makanan pada aku. Biasa aku makan makanan dalam tong sampah ni aje." Berseri-seri wajah lelaki tua itu. Bersungguh-sungguh dia menghulurkan makanan kepada Shamrel.

    "Tak apa. Pak cik ajelah makan." Shamrel menolak.

    Lelaki itu mengunjukkan pula botol berisi air.

    "Sunnah nabi bersahur, walaupun dengan minum seteguk air."

    Kali ini Shamrel tidak menolak. Air itu diteguk, tanpa mengiraukan sumbernya. Mungkin air paip atau sumber lain yang tidak dimasak.

    "Macam mana pak cik boleh jadi macam ni?" Shamrel memberanikan diri bertanya.

    Sambil menyuap makanan dengan berselera, lelaki itu menjawab. "Dulu aku ada keluarga. Tapi semua dah meninggal. Bini aku. Anak aku. Aku dah tak ada saudara-mara." Selamba jawapannya.

    Lelaki itu makan nasi dengan lauk ikan kering bersama kuah. Biasanya di rumah Shamrel nasi dan lauk seperti itu hanya layak untuk makanan kucing. Tetapi lelaki itu makan begitu berselera. Shamrel mula rasa sayu melihat keadaan lelaki tua itu.

    "Pak cik tak nak ubah nasib hidup pak cik?"

    "Semua orang tanya aku macam tu. Semua orang kata aku kena usaha ubah nasib aku. Memang betul, usaha penting. Tapi jangan lupa, semua yang berlaku ada sebab. Kenapa ada orang kaya? Kenapa ada orang miskin? Kenapa semua tak kaya? Kenapa semua tak miskin? Baru adil." Dia berhenti seketika untuk mengunyah.

    "Kenapa bukan macam tu ya pak cik?" Shamrel tertarik dengan kata-kata lelaki itu.

    "Supaya yang kaya boleh tolong yang miskin. Yang miskin boleh jadi sumber ujian pada yang kaya. Manusia selalu lupa. Bukan dia pilih dia nak jadi apa. Rezeki dah ditentukan. Dari sumber mana. Semuanya ujian. Semuanya dugaan. Kat sana nanti semua kena tanya."

    Shamrel mula melihat satu sisi lelaki tua itu. Meskipun hidupnya mengemis dan menyelongkar hasil buangan orang lain, tetapi ada ketenangan terpancar di wajahnya. Ketenangan yang tidak ada pada wajah manusia yang hidup dalam keadaan keluh-kesah. Yang sentiasa tidak puas hati dengan kehidupan masing-masing. Yang sentiasa berlumba-lumba ingin menjadi lebih baik daripada orang lain dari segi duniawi. Termasuk dirinya sendiri.

    Shamrel tersenyum sambil berbaring di atas hamparan kadbod. Tidak pernah dia terfikir untuk berbuat seperti ini. Selama ini dia sibuk dengan selfie di tempat yang mewah dan gah, agar dicemburui orang lain.

    Rasa damai dan nyaman berbaring di kawasan lapang seperti itu memang terasa. Pada waktu dinihari di bawah langit berbintang dan bulan yang semakin mengecil.

    'Esok lepas aku kembali kepada kehidupan asal aku, aku akan berubah. Aku dah tak mahu berlumba-lumba dengan benda sia-sia macam dulu. Dengan Ghazi. Lantak dialah. Aku adalah Shamrel yang baru. Aku akan hargai Ramadan seperti yang sepatutnya. Tahun ini yang tinggal beberapa hari saja lagi. Dan tahun-tahun yang akan datang kalau diizinkan Tuhan.' Dia memejamkan mata dengan lamunan yang singgah.

    'Yang penting aku akan tolong pak cik ni. Eh, aku belum tanya nama dia lagi.'

    "Nama pak cik siapa ya?" tanya Shamrel selepas mata dibuka.

    "Sapie." Selamba jawapannya diikuti sendawa panjang. Shamrel tersengih dengan gelagat orang tua itu.

    'Esok aku akan bawa pak cik Sapie ke tempat bantuan insan gelandangan macam dia ni. Wang gaji aku pun akan aku khaskan untuk membantu insan macam dia.' Rasa hening malam itu seperti membuai perasaan Shamrel dengan perubahan dirinya.

    Tanpa dia sedar lena sudahpun singgah dan dia hanyut dibuai rasa mengantuk.

    ***

    Shamrel disedarkan dengan bunyi deruman motorsikal. Matahari sudah meninggi dan menyilaukan mata dari celah-celah dedaunan pokok rimbun di situ. Dia memerhati keadaan sekeliling. Tong besi besar berwarna hijau masih ada di situ. Begitu juga kadbod yang dihamparkan sebagai tempat pembaringannya. Hamparan kadbod di sebelahnya kosong. Botol-botol air kosong berderet bersama bungkusan makanan yang sudah digumpal. Basikal buruk Jaguar berwarna hitam masih tersandar di tepi tong.

    "Encik buat apa kat sini?" tanya lelaki yang baru tiba di situ. Matanya melingas melihat pakaian Shamrel yang berserabai dengan darah luka di sana sini.

    Shamrel tidak mengendahkan pertanyaan lelaki itu.

    "Mana orang tua yang duduk kat sisi?" Shamrel kelam-kabut.

    "Orang tua mana?" Berkerut dahi lelaki itu.

    "Yang tinggal kat sini. Orang gelandangan. Pengemis. Siapa nama dia? ... Hah! Sapie. Pak cik Sapie."

    "Sapie? Bila jumpa dia?" Muka lelaki itu berubah.

    "Malam tadi. Saya duduk sini dengan dia. Pak cik Sapie."

    "Hiii... jangan main-main. Seram sejuk saya dibuatnya." Kata lelaki itu sambil menggosok-gosok kedua lengan bajunya.

    "Apasal?" Shamrel pula yang berkerut dahi.

    "Kat sini memang ada lelaki yang encik cakap tu. Rambut putih dengan janggut putih kan?"

    "Ha'ah. Mana dia?"

    "Dia baru lepas meninggal. Dua hari lepas. Masa saya datang nak bersihkan kawasan ni, saya nampak dia terbaring kaku. Dia meninggal dalam kesejukan agaknya."

    "Mustahil! Saya baru jumpa dia malam tadi."

    "Kalau encik tanya saya, saya rasa yang encik nampak tu bukan pak cik Sapie."

    "Habis siapa? Hantu? Setan?"

    "Susah saya nak jawab soalan tu. Bulan puasa ni benda yang encik cakap tu kena rantai. Tapi tak tahulah kalau yang kecik-kecik ni masih berkeliaran. Tapi rasa-rasanya saya tahu siapa."

    "Siapa? Roh dia?"

    "Yang itu saya tak berani cakap. Tapi untuk pengetahuan encik, malam tadi malam tujuh likur. Mungkin malaikat turun untuk cari orang yang beribadat malam tadi. Mungkin juga lailatulqadar tapi saya pun tak pasti. Wallahua'lam."

    Lelaki itu beredar meninggalkan Shamrel yang tercegat seperti orang hilang akal. Pengalaman malam tadi sememangnya begitu mengelirukan.

    ‘Mungkin juga aku bermimpi. Mungkin apa yang berlaku semalam hanya mimpi.’

    Ketika itu dia teringat duit syiling dua puluh sen yang diberi oleh pak cik Sapie. Tangan diseluk ke dalam kocek. Dia mengeluarkan sesuatu yang terselit di situ. Sekeping duit syiling dua puluh sen.

    "Bermakna yang aku jumpa semalam..."




    ~ SEKIAN ~






    Nota penulis:
    Tulisan ini adalah sekadar peringatan untuk diri sendiri dan sesiapa yang memerlukannya.
    Segala yang baik dan mulia adalah milik Allah, dan segala puji dan syukur adalah untuk Dia. Sebarang kekurangan dan kesilapan adalah atas kelemahan diri saya sendiri, dan semoga Dia mengampunkannya.

    Wallahua’lam…


    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

    Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?