PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Sabtu, 3 Mei 2014

CERPEN : MAWAR SEPULTURA



BAHANG Pesta Buku Kuala Lumpur begitu terasa. Kiosk pelbagai syarikat penerbitan tidak henti-henti menerima pengunjung. Di salah sebuah meja yang ada, seorang wanita sedang asyik menulis sesuatu. Di hadapannya kelihatan deretan panjang peminat yang menunggu giliran beramah mesra dengan novelis pujaan mereka.

Tangan wanita itu ligat memainkan pen di mukasurat awal naskhah, umpama tarian yang menitip bait-bait bersama tandatangan.

Selamat Mengembara dalam dunia penuh enigma Mawar Sepultura
~ Adelina Zulkiflie

Bait-bait sama dititip atas naskhah demi naskhah berkulit hitam berkilat bersama gambar sekuntum mawar merah. Tulisan putih MAWAR SEPULTURA terpampang di bahagian atas buku itu.

"Tahniah Adelina. Dah sepuluh novel awak akak simpan. Semuanya siap dengan tandatangan. Bangga akak." Suara wanita bertudung tiga tingkat dengan roma ungu dan jingga.

"Terima kasih kak. Jangan jemu beri sokongan pada saya ya?" Senyuman lebar wanita yang tidak henti-henti menurunkan autograf di atas naskhah demi naskhah berwarna hitam dengan gambar mawar merah.

“Insya-Allah.” Berseri-seri wajah pengunjung yang memeluk novel penulis pujaannya sebelum beredar.

***

Adelina membuka mata. Matanya seperti memberontak mencari cahaya dalam ruang gelap tanpa walau sebulir sinar. Segala-galanya gelita.

Suatu masa dulu tubuhnya lencun dengan peluh dalam ruang tidak berangin itu. Tapi kini tubuhnya sudah dapat menyesuaikan diri dengan kepayahan sebegitu. Bau meloyakan juga sudah lali baginya. Aroma memualkan najis dan urina.

Sukar untuk dia membezakan antara mimpi dan realiti dalam keadaan sebegitu. Tidur dan jaga sama saja baginya. Hanya ketika pintu dibuka baru dia pasti itu adalah realiti. Kerana mata yang pedih cuba menahan silau cahaya yang mengintai masuk dari luar.

Namun adakala dia mempertikaikan bahawa ini juga adalah mimpi. Mimpi dalam mimpi yang mengelirukan. Menguji kewarasan hingga dia rasakan mati adalah lebih baik daripada siksaan sebegini.

Dia cuba menggerakkan tangan dan kaki, tetapi sudah terpasung pada kerusi yang entah berapa lama menjadi tempat duduk dan tidur.

'Ini semua cuma mimpi. Mimpi yang aku tak tahu bila akan berakhir.' Adelina cuba memujuk dirinya agar kewarasan masih sabar bertamu dalam keadaan yang cukup menguji itu.


***

Pentas di Pesta Buku dibanjiri penonton yang begitu ramai umpama ulat-ulat sedang menghurung bangkai. Mereka berpusu-pusu untuk menyaksikan sesi temubual bersama novelis tersohor tanah air. Sebuah poster besar melatari pentas dengan gambar seorang wanita dan novel hitam bersama gambar bunga mawar merah. Nama Adelina Zulkiflie dan judul Mawar Sepultura terpampang di atas kain rentang itu.

Sesi temubual sudahpun bermula.

"Boleh Adelina terangkan rahsia di sebalik pemilihan nama Mawar Sepultura untuk novel terbaru ini?" Suara lelaki berkaca mata yang mengacara majlis.

"Nama Mawar Sepultura ini memang sungguh simbolik. Sepultura dalam bahasa Sepanyol bermakna kubur. Mawar Sepultura bermakna bunga mawar yang tumbuh di atas kubur. Ia melambangkan sesuatu yang indah tetapi hakikatnya amat jijik. Keindahan dan kemegahan mawar merah yang sebenarnya subur dengan bangkai atau mayat yang mereput. Ia boleh dijadikan satu simbolisma yang buruk. Jangan jadi seperti mawar sepultura yang nampak cantik dan menarik, tetapi sebenarnya hidup subur dengan zat benda yang jijik. Daging mereput yang memualkan."

***

Adelina membuka mata. Mimpi datang lagi. Mimpi yang sama kembali berulang kali. Seperti ulang tayang memori atau mainan semula peristiwa yang mungkin pernah berlaku.

'Benarkah itu hanya mimpi? Atau aku sebenarnya pernah mengalami peristiwa itu sebelum aku tiba ke sini. Tapi mungkin juga aku sedang bermimpi tak jaga-jaga.' Kesiuman Adelina tercabar.

Dalam mimpi itu Adelina pulang dari sesi menandatangani novel terbaru di sebuah gedung buku. Waktu sudah agak lewat setelah dia keluar makan bersama wakil pihak penerbit untuk membincangkan projek novel yang akan datang.

Nasib Adelina berubah setelah kemunculan novel pertamanya yang berjudul "Suara Hati Russelia". Novel itu asalnya adalah sebuah e-novel yang mendapat sambutan hangat di internet. Siaran novel penuh secara online itu telah menimbulkan fenomena luar biasa.

Nama Adelina meniti di bibir peminat novel cinta romantis tanah air. Namun tidak kurang suara-suara sumbang yang mempertikaikan kejayaan Adelina. Segala-galanya dia ambil sebagai cabaran dalam dunia penulisan novel.

Dia sudah mula merasakan sesuatu yang mencurigakan pagi tadi sebelum meninggalkan rumah.

'Kenapa aku rasa tak sedap hati hari ni? Macam ada petanda buruk. Tapi... ah! Tak ada apa-apalah. Ini cuma mainan perasaan agaknya.' Adelina cuma menenangkan perasaan.

Malam itu Adelina tiba di kawasan lengang dan gelap. Tiba-tiba dia terlihat sepotong kayu sebesar peha merentangi jalan. Dia sempat menekan brek mengejut, namun keretanya tergelincir dan terlanggar pokok di tepi jalan.

Dalam keadaan separuh sedar, Adelina dibawa ke hospital. Dia sedar ketika seorang misi menyuntik ubat di lengannya. Kemudian segala-galanya jadi gelap. Mata dibuka ketika dia sudah terikat di kerusi dalam bilik gelap ini.

Adelina sudah lupa bila kali terakhir dia dapat berdiri tegak dan berjalan. Tubuhnya sudah terasa kebas kerana terlalu lama duduk di kerusi ini. Mungkin dia sudah tidak mampu berdiri lagi sekiranya dilepaskan daripada ikatan ini. Mungkin berhari-hari dia dalam keadaan begini. Mungkin juga berbulan-bulan.

***

Usai menandatangani novel dan sesi temu ramah, wanita itu menaiki kereta Mazda hitam untuk pulang ke rumah.

"Amacam? Semua berjalan lancar?" Tanya seorang wanita yang menyambut ketibaannya di ruang tamu.

"Beres Puan Syafrina. Penerbit siap sampaikan cek ini lagi."

Wanita bernama Syafrina menyambut sampul yang dihulurkan. Jumlah beberapa angka di kiri titik perpuluhan di atas cek itu cukup membuatkan senyumannya melebar hingga ke hujung telinga kiri dan kanan.

"Bagus, sekarang giliran tugas dalam rumah pulak." Dia memasukkan semula cek ke dalam sampul.

"Saya penatlah puan. Dahlah tangan lenguh menyain autograf. Lepas tu lama nak tunggu majlis selesai. Perut pun dah berkeroncong ni. Bagi saya rehat..."

"Sekarang ni siapa bos? Aku atau kau?" Tempik Syafrina memintas kata-kata wanita itu. Hingga bergema di ruang rumah yang dihiasi perabot mewah itu.

"Sa... saya... minta maaf.... Saya pergi sekarang."

***

Adelina membuka mata. Silau terasa melihat cahaya terang yang menerjah retina yang cuba mengecil dalam keadaan mengejut. Setelah beberapa lama memicingkan mata, baru dia nampak kelibat manusia yang berada di sebelahnya.

"Kau memang menyusahkan aku! Buka mulut! Buka mulut cepat! CEPATLAH!" Suara kasar menerjah telinga Adelina yang masih jalu.

Sudu berisi nasi dan lauk itu dijolok ke dalam mulut Adelina. Kadang-kadang dia tersedak-sedak kerana disumbat dengan makanan walaupun suapan sebelumnya belum sempat dikunyah habis. Begitu juga dengan air. Sudah menjadi kebiasaan dia tersedak ketika air memasuki rongga hidung kerana dituang terlalu banyak dan terlalu cepat sebelum sempat diteguk.

Adelina belum pernah melihat wajah wanita itu dengan jelas. Dia berada di bilik itu hanya ketika waktu makan dan untuk membersihkan kotoran di bilik. Baju dan kain sarong Adelina ditukar hanya selepas kotoran sudah menebal dengan bau yang tidak mampu ditahan lagi oleh wanita itu.

Adelina hanya dapat melihat dengan jelas wajah seorang lagi wanita. Dia biasanya akan bercerita tentang apa yang berlaku di luar bilik. Kebanyakannya adalah tentang kejayaannya dan bukan untuk memaklumkan berita terkini kepada Adelina.

Muka Adelina dilap dengan kasar selepas ia bersememeh dengan makanan dan air. Tercungap-cungap Adelina kerana ditekup dengan tuala yang berbau seperti muntah.

"Dah kenyang Adelina?" Suara wanita yang baru masuk ke bilik.

'Lepaskanlah aku. Sampai bila kau nak biarkan aku macam ni?' Hanya suara hati Adelina yang mampu diluahkan oleh dirinya dalam keadaan yang begitu dikuasai trauma itu.

"Aku nak ucapkan terima kasih pada kau hari ni. Aku tak akan dapat capai kejayaan ini kalau bukan kerana perbuatan kau pada aku dulu. Sebenarnya aku rasa aku tak akan mampu capai kejayaan ini kalau bukan atas landasan yang kau sediakan." Sinis kata-kata wanita itu.

Adelina cuba meyakinkan dirinya bahawa dia sedang bermimpi, tetapi kata-kata yang dia dengar itu mengingatkan dirinya. Semua ini bukan mimpi, tetapi realiti hidup yang mengerikan. Balasan atas perbuatan yang pernah dilakukan suatu masa dulu.

Minda Adelina menerawang ke suatu malam yang merupakan titik tolak kepada peristiwa hitam ini.

***

Beberapa tahun yang lampau

Adelina menyapu air mata. Kisah yang dibaca di blog seorang penulis itu begitu merenggut perasaan. Kisah isteri yang menghadapi tekanan demi tekanan setelah dijodohkan secara paksa dengan seorang lelaki ternama. Demi untuk melangsaikan hutang yang ditanggung oleh orang tuanya.

'Sedap betul cerita ni. Untung ada penulis yang begitu bermurah hati menulis kisah seperti ini dalam blog.' Adelina mengesat air mata yang masih bersisa.

'Tapi kenapa dia tak terbitkan cerita ni? Kalau terbit mesti bestseller. Agaknya mungkin juga dia cuba kumpul peminat dulu. Atau mungkin dia tak sangka tulisan dia hebat seperti ini.' Adelina mengamati profail penulis e-novel di blog itu.

"Oh... nama penulisnya Syafrina Dahari. Tapi dia ni low profile sangat. Tak nak tonjolkan diri. Personaliti dia tak sehebat hasil tulisan dia."

Ketika itu idea nakal menyinggah di benak Adelina. Idea yang bakal merubah hidupnya.

"Hmm... apa kata..." Adelina memerhatikan skrin komputer dengan bab terakhir e-novel yang baru selesai dibaca.

"Apa kata kalau aku copy bab-bab dalam blog ni. Kemudian aku tukar nama watak-watak yang ada. Aku edit sikit-sikit. Aku tambah subplot. Aku ubah nama tempat. Aku memang berangan nak jadi penulis tapi tak pandai tulis cerita macam ni. Tajuknya pun aku ubah. Nama pena biar guna nama Adelina. Tapi jangan guna nama ayah aku. Nama Zamzuri aku tukar kepada... Zul...kifli. Ejaan ada e kat hujung. Biar nampak glamor sikit. Adelina Zulkiflie." Tersenyum simpul Adelina dengan rancangan gelap yang datang menerjah dengan tiba-tiba.

"Tapi kan berdosa kalau aku buat kerja macam ni? Ini hasil titik peluh orang lain, aku curi dan aku jadikan hak aku." Rasa bersalah pula singgah.

"Alah, aku bukan tiru bulat-bulat. Aku ubah sikit-sikit. Takkan ada orang perasan kan?"

Malam itu Adelina menjadikan realiti rancangan gelap yang berjaya meracun fikirannya.

***

Adelina tersedak-sedak. Tekaknya terasa sakit kerana diasak dengan nasi dan air tadi. Dia kembali semula ke alam realiti yang amat pedih setelah memori silam datang bertamu seketika.

"Kau nak tahu, novel terbaru tulisan aku ni aku dedikasikan untuk kau. Dan semua manusia yang tega berbuat seperti kau. Kau adalah mawar sepultura yang aku maksudkan. Kau menghirup hasil titik peluh orang lain. Keringat yang aku tumpahkan dalam keadaan jerih perih, kau hirup dengan gelojoh dan rakus. Kau tak ubah seperti bunga mawar yang indah dan megah, tapi hakikatnya subur dengan jijik daging mereput yang berulat." Kata-kata Syafrina seperti bayu yang menyapa hati Adelina. Tidak berkesan lagi, setelah segala kepayahan dan derita yang dia alami.

"Pada mulanya aku lakukan semua ini untuk membalas dendam. Tapi lama-lama aku sedar ini adalah peluang terbaik untuk aku. Terima kasih kerana kau telah membuka mata aku. Apa guna kita bersusah payah, kalau kita boleh gunakan hasil titik peluh orang lain kan?" Kata-kata Syafrina menyapa telinga Adelina yang terkulai di kerusi.

"Kalau aku jadi kau, tak guna aku berharap untuk terus hidup lagi. Kau sebenarnya sudah tak wujud lagi. Telah lama aku rancang untuk ambil alih identiti kau. Kartina menjadikan ini satu realiti. Tubuhnya yang hampir sama saiz dan bentuk dengan kau, dan wajahnya yang diubah dengan plastic surgery menjadikan rancangan aku satu kenyataan. Kemalangan yang aku rancang dulu membolehkan aku mengaburi mata manusia. Konon-kononnya Adelina mengalami amnesia dan memakan masa yang lama untuk pulih."

Syafrina mengeluarkan sebatang picagari berisi cecair jernih dari sebuah kotak. Picagari itu diletakkan dalam tangan kanan Adelina yang berikat. Jarumnya begitu hampir dengan urat nadi lengan Adelina. Jari Adelina diposisikan di bahagian penekan.

"Kau sebenarnya sudah lenyap dari muka bumi ini. Diri kau sekarang telah wujud dalam watak yang aku reka untuk menipu manusia. Kalau aku jadi kau, lebih baik aku bunuh diri. Hidup dah tak ada makna lagi. Ini hadiah dari aku. Kalau kau dah rasa bosan hidup dan tak mampu hadapi penyiksaan ini, kau tekan aje. Biar racun ni meresap ke segenap tubuh kau. Itu lebih baik daripada kau hidup dalam keadaan jijik dan menjengkelkan ini."

Kemarahan Adelina membara, tetapi hanya terzahir pada matanya yang merah bergenang.

Syafrina meninggalkan Adelina. Sebelum menutup pintu dia sempat berkata, "Mimpi yang enak-enak Adelina, selagi masih ada nafas dalam tubuh kau yang sudah tak bernilai lagi tu."

Tawa Syafrina bergema di ruang tidak bertingkap itu, sebelum segalanya menjadi gelap gelita. Hanya aroma meloyakan yang kekal dalam bilik hangat itu.

Sekian…


Nota Penulis:
Ada yang menerima pengajaran berharga dalam hidup untuk mengubah kehidupan masing-masing. Ada juga yang menyedarinya setelah terlewat. Malang bagi mereka yang menerima pengajaran di dalam Zon Thriller SK.

Ingat... MENCIPLAK TIDAK BAIK UNTUK KESIHATAN DAN DIRI ANDA!!! ^_-



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?