DINGIN suasana di perkuburan
begitu terasa. Embun masih lagi menitip di dedaunan hijau yang bergenang dengan
cahaya kekuningan mentari pagi.
Aina Batrisya tidak mampu menahan
sebak. Air mata sudah bercucuran dan dibiarkan tidak berseka.
"Selamat hari jadi mama,"
Aina meletakkan kad ucapan bersama sekuntum ros merah di tepi nisan putih.
"Aina tahu apa yang Aina
beri ini tak dapat mama gunakan di sana. Hanya doa dan bingkisan nurani yang
Aina hantar saja yang berharga. Tapi... Aina rasa seperti mama masih berada di
sisi sekarang ni."
Akhirnya air mata di pipi diseka.
"Semenjak mama pergi Aina
seperti hilang tempat bergantung. Aina tak tahu pada siapa Aina nak berkongsi
masalah. Dengan kawan-kawan Aina bercerita juga, tapi tak sama kalau dengan mama.
Aina rindukan mama. Papa macam tak pedulikan Aina. Dia selalu marah-marah. Aina
tak tahu sama ada dia bencikan Aina atau dia sengaja menyibukkan diri selepas
kehilangan mama. Kadang-kadang Aina rasa macam dia bencikan Aina. Apa salah
Aina pun Aina tak tahu. Sebab itu Aina memilih untuk menjauhkan diri dari
papa."
Angin bertiup lembut. Pipi Aina
yang masih basah terasa dingin disapa bayu pagi. Dia memejamkan mata sambil
membayangkan ibunya ada di sisi. Sedikitpun dia tidak sedar, hembusan angin itu
hanya berlegar di sekitarnya. Dedaun pokok di sekeliling kelihatan kaku tidak
bergerak.
"Aina balik dulu mama.
Semoga mama berbahagia di sana. Nanti Aina akan hantar bingkisan buat mama seperti biasa." Dia mengusap lembut batu nisan, sebelum meninggalkan pusara
dengan hati yang berat.
***
"Kenapa ni Aina? Dari tadi
aku tengok muka kau masam aje. Senyumlah sikit." Pujuk Rossa.
"Betul tu. Kami nak bincang
pasal assignment pun tak ada mood
bila tengok kau macam ni. Kau... ada masalah dengan ayah kau lagi?" Tanya
Rafiqa.
Aina tidak menjawab. Sebaliknya
dia terus melayan Facebook di telefon bimbit sambil bersandar di katil. Rakan
berdua duduk bersila di lantai dengan laptop, buku nota dan bahan rujukan.
"Kau nak kita bincang
kemudian?" tanya Rossa.
"Sambung ajelah. Aku dengar
ni. Kalau ada apa-apa nanti aku berilah cadangan." Rungut Aina dengan muka
masam.
Rafiqa geleng, sambil bertukar
pandangan dengan Rossa.
Rossa melihat jam dengan wajah
terkejut. "Eh! Lagi lima belas minit nak pukul 12 tengah malam."
"Ya ke? Lamanya kita bincang
sampai tak sedar masa berjalan kan?" Rafiqa menambah.
"Aku nak baliklah."
Rossa mula mengemas.
"Buat apa susah-susah nak
balik. Tidur aje kat rumah aku ni. Lagipun esok kan ada masa lagi. Boleh kita
sambung bincang."
"Tak nak lah. Aku tak bawa
apa-apa. Lagipun mak aku bising nanti kalau aku tidur rumah kau tak beritahu
dia awal-awal. Nanti dia fikir yang bukan-bukan." Jawab Rafiqa.
"Aku pun sama. Esok kita
sambung bincang kat Cutie's Cafe. Pukul sepuluh boleh?" Rossa sudah memangku
buku yang dia bawa.
"Okey, set." Jawab
Rossa.
"Hmm..." Aina menjawab
dengan malas.
"Bye Aina." Suara Rossa di muka pintu.
"Jumpa esok tau."
Tambah Rafiqa.
"Yalah," Aina terus
melayan Facebook.
Setelah ditinggalkan Rossa dan
Rafiqa, Aina mula meniarap dan menumpukan sepenuh perhatian pada newsfeed akaun Facebook.
Matanya terpaku melihat status
seseorang yang tidak dikenali tetapi ditag dengan nama Rossa dan Rafiqa.
Farez:
Sesuatu yang berharga hanya akan benar-benar kita rasakan setelah ia
sudah tiada atau bukan menjadi milik kita lagi.
Kata-kata itu begitu berharga
bagi Aina. Terus dia menekan butang LIKE.
Entah mengapa dia terasa dingin
setelah berbuat demikian. Terus dia menutup tingkap. 'Sejuk betul angin malam
ni.'
Dia sempat menjeling jam yang
menunjukkan tepat pukul 12 malam.
Telefon bimbit berdenting.
"Siapa pulak yang add friend dengan aku ni?" Bebel
Aina. Dia membaca notification yang
baru masuk.
"Farez? Ini mesti sebab aku like status dia tadi. Alah, approve ajelah."
Telefon bimbit berdenting lagi.
Satu mesej masuk.
Farez:
Terima kasih sudi app saya.
Aina menaip.
Sama-sama. Salam perkenalan.
Maka bermulalah sesi perbualan
maya mereka.
Farez:
Selamat berkenalan juga.
Aina:
Pandai awak tulis kata-kata tu. Sungguh menyentuh jiwa saya.
Farez:
Terima kasih. Apa yang saya tulis sangat dekat di hati saya.
Aina:
Apa maksud awak?
Farez:
Maaf. Tak ada apa-apa.
Aina terasa seperti Farez sedang
menyembunyikan sesuatu.
Aina:
Awak ada kehilangan sesuatu atau seseorang?
Farez:
Ya. Yang terlalu hampir dengan diri saya.
Aina:
Siapa?
Tiada jawapan. Lama juga Aina
menunggu.
Aina:
Maaf sebab saya tanya soalan macam tu. Tak payah jawab pun tak apa.
Kemudian dia mendapat jawapan.
Farez:
Saya kehilangan ayah saya. Ironinya, saya tak pernah rasa bersama
seorang ayah. Jadi bagaimana saya nak rasa kehilangan sesuatu yang tak pernah
saya miliki.
Aina:
Saya tak faham.
Farez:
Ayah saya meninggalkan kami berdua masa saya masih bayi. Saya tak tahu
macam mana rupa dia.
Aina:
Mak awak tak ada simpan gambar dia?
Farez:
Memori itu cukup pahit bagi dia. Sebab itu semua gambar ayah saya
dibuang. Atau simpan. Saya pun tak tahu.
Aina:
Saya bersimpati dengan awak.
Farez:
Awak pun ada masalah seperti saya?
Aina tergamam. 'Bila masa aku
beritahu pasal diri aku? Atau dia sekadar meneka lepas aku like status dia?'
Aina:
Memang ada. Ibu saya baru meninggal beberapa bulan lepas. Ayah saya
macam tak pedulikan saya. Kalau bercakap pun macam marah-marah. Saya tak tahu
apa salah saya.
Farez:
Saya bersimpati dengan awak. Saya yakin ayah awak sayangkan awak. Cuma
cara dia mungkin tak seperti yang awak harapkan.
Aina:
Awak tinggal berdua dengan mak awak sekarang?
Lama Aina menunggu jawapan.
Akhirnya mesej baru muncul.
Farez:
Mak saya kahwin lain. Ayah tiri saya garang. Kerana silap sikit saya
dipukul teruk.
Aina:
Kesian awak. Saya harap awak bersabar.
Farez:
Memang saya sabar. Tapi adakala saya memberontak juga. Pernah saya kena
marah sampai dia halau saya keluar. Dia tak izinkan saya balik rumah. Saya terpaksa
menumpang tidur di rumah saudara dan kawan.
Aina:
Awak seorang yang tabah.
Farez:
Terima kasih. Tapi sekarang masalah itu dah selesai.
Aina:
Awak dah berbaik semula dengan ayah tiri awak?
Farez:
Tak juga. Eh, kita asyik cerita tentang masalah saya. Apa awak nak buat
dengan krisis awak dan ayah awak?
Aina:
Tak tahulah. Awak ada cadangan?
Farez:
Hmm... apa kata kalau awak ambil hati dia.
Aina:
Macam mana?
Farez:
Buat sesuatu untuk dia. Satu kejutan. Contohnya sediakan sarapan
walaupun dia tak minta. Mungkin buatkan satu kad ucapan istimewa untuk luahkan
perasaan awak. Minta maaf dan sebagainya.
Aina:
Wah, bagus cadangan awak tu. Awak ni menasihat macam pakar.
Farez:
Ada ketika kita belajar dari kesilapan. Walaupun kadang-kadang dah terlambat
untuk mengubah sesuatu. Nanti awak cuba apa yang saya cadangkan.
Aina:
Baiklah. Saya akan beritahu awak esok hasilnya. Nanti kita chat lagi
ya?
Farez:
Selamat malam.
Aina:
Selamat malam.
Aina masih tertanya-tanya tentang
Farez. Seperti ada sesuatu yang tersirat dalam respons Farez tadi. Dia tidak
terus tidur. Sebaliknya dia memeriksa akaun Facebook lelaki itu. Gambar profail,
cover dan album lelaki itu.
"Hmm.. boleh tahan juga dia
ni. Berdasarkan firasat aku, dia ni ramai kawan. Minat motor dan suka main
futsal." Aina tersenyum nakal.
"Tentu seronok kalau aku
boleh berkenalan dengan dia lebih lanjut. Mungkin juga boleh bersemuka dengan
dia." Aina merebahkan diri ke katil dengan perasaan yang lapang.
"Tentang cadangan dia tu,
bagus juga kan? Mungkin aku boleh buat sesuatu untuk papa pagi esok."
Aina bingkas bangun dan mencapai
sesuatu dari dalam laci meja.
***
"Hai kawan-kawan
semua." Aina begitu ceria pagi itu. Reaksinya menimbulkan tanda tanya
kepada rakan berdua.
"Hai! Rossa, kau nampakkan langit
hari ni. Cerah betul." Usik Rafiqa
"Ha'ah. Siap ada pelangi
lagi di celah taman flora dengan rerama berterbangan." Jawab Rossa.
"Hamboi! Metafora sindiran
korang memang superb." Aina
menjawab.
"So, apa yang berlaku semalam? Sampai aku tengok kau jalan macam tak
jejak ke bumi hari ni." Rossa berteleku menunggu jawapan.
"Ceritalah cepat." Rafiqa
tidak dapat menahan sabar.
"Okey okey, aku nak
ceritalah ni. Malam tadi aku jumpa seseorang."
"Siapa nama dia?" Tanya
Rossa.
"Mana boleh beritahu lagi. Kau
dengar cerita aku dulu."
"Macam-macamlah minah
ni." Rafiqa geleng.
"Malam tadi aku dapat rakan
FB special yang baru. Kau berdua
memang kenal, sebab dia pun friend
korang."
"Lepas tu." Rossa
memberi tumpuan penuh.
"Aku like status dia malam tadi dan kami pun terus berkawan dan chat. H.I.S.I."
Aina berteka-teki.
"Ini yang aku malas kalau
sengal kau tu datang. Boleh tak kalau jangan guna short form yang orang lain tak faham. Hish!" Rafiqa naik
angin.
"Apa tu?" Tanya Rossa.
"He is so intelligent."
"Cakap dia tu bijak kan
senang. Menyusahkan betullah kau ni." Rafiqa tarik muka.
"Kenapa kau kata dia bijak?"
Tanya Rossa lagi.
"Dia bagi aku nasihat
tentang krisis dengan ayah aku. Pagi tadi aku ikut apa yang dia cadangkan. Kau
pun tahu kan? Biasanya kalau aku nampak muka ayah aku, aku rasa tension aje. G.R.R.R."
Rafiqa mengeluh panjang. "Dia
buat lagi."
"Pagi tadi aku buatkan
sarapan untuk dia. Penkek mentega dan madu. Resepi yang aku google malam tadi.
Dan aku buatkan kad special untuk
dia. Aku luahkan segala perasaan aku yang terbuku selama ini."
Berseri-seri wajah Aina bercerita.
"Macam mana penerimaan
dia?" Tanya Rossa.
"Buat pertama kali aku dapat
baca perasaan dia. Selama ni rupa-rupanya dia juga macam aku. Dia rasa
kehilangan mama. Tapi dia hendak tunjukkan yang dia kuat semangat untuk melalui
segala dugaan. Kata-kata aku menyebabkan dia sedar, dia tak boleh hadapinya
sendirian. Mulai sekarang kami akan lebih terbuka dalam berkongsi suka duka.
T.I.A.N.B."
“Aaargh!” Rafiqa lepas geram.
"Apa tu?" Tanya Rossa.
"This is a new beginning. Inilah permulaan baru bagi kami. Untuk
menghadapi kehilangan besar dalam hidup."
"Lepas tu apa kau buat
dengan ayah kau? X.O.X.O?" Usik Rafiqa.
"Hoi! Tak ada makna nak XOXO
dengan bapak sendiri. Lepas tu kami bersarapan bersama sambil berbual tentang
kerja dia, pelajaran aku, arwah mama dan hidup. Buat pertama kali selepas
kehilangan mama."
"Wah, bagusnya. Seronok aku
dengar kisah kau ni. Touching."
Rossa terharu.
"Memang. Aku berterima kasih
pada Farez." Aina tersenyum simpul.
"Ulang sekali lagi nama
tu." Rafiqa merapatkan muka.
"Farez. Farez Ridwan. Kawan
FB korang berdua."
Rafiqa dan Rossa saling
berpandangan.
"Kau jangan main-main
Aina." Rafiqa nampak resah.
"Apa kena korang berdua ni?
Muka macam nampak hantu. Pucat semacam!"
"Kaulah cerita." Rossa
memandang Rafiqa.
"Kaulah!" Kening Rafiqa
berkerut.
"Apa ni? Nak cerita pun
susah? Hish! I.A.S.I"
"Let me guess, I am so irritated?" Rafiqa bercakap dengan gaya head bobbing.
"Y.G.I.R. Girl."
Terjengkit kening Aina.
"You got it right.... Aina, stop
it!" Rafiqa mula rimas dengan cara percakapan Aina.
"Cepatlah cerita. Aku tunggu
ni." Aina resah menunggu.
"Ceritanya macam ni...
Farez... dia...." Tergagap-gagap Rossa mencari perkataan.
"Dia apa?" sergah Aina.
"Dia dah tak ada kat
sini."
"Dia pergi mana? London? New
York? Paris? Rome? Sri Lanka? Planet Marikh?" Bebel Aina melihat telatah
rakannya.
"Dia dah tak ada lagi."
"Yalah, dia ke mana?"
"Dia dah meninggal."
Kata-kata Rossa membuatkan Aina terkedu seketika.
"Jangan main-main boleh
tak?"
Rafiqa menghela nafas panjang.
"Ceritanya macam ni. Tahun
lepas dia bergaduh dengan ayah tiri dia. Dia nak balik rumah tapi dia tak
dibenarkan masuk. Dalam keadaan marah dia pecut motor dengan kawan dia yang
membonceng. Cerita ni mak dia yang sampaikan pada kami."
"Lepas tu."
"Dia kemalangan. Dia kena
langgar dengan lori air batu. Dia dan kawan dia mati mengejut. On the spot." Rafiqa mengakhiri
cerita.
"Aku tak percaya!" Aina
jadi tidak tentu arah.
Rossa segera membuka Facebook di
laptop. Dia menunjukkan sesuatu kepada Aina. "Ini kan akaun Facebook yang
kau tengok semalam?"
Aina mengamati gambar dan nama
yang tertera. "Betul. Dialah."
"Cuba kau baca status
terakhir."
Aina mula membaca.
Rafiqa:
Sahabat kita Farez Ridwan sudah pergi meninggalkan kita. Dia telah
terkorban dalam satu kemalangan. Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke
atas rohnya. Akaun ini tidak dapat ditutup kerana tiada siapa di kalangan kami
yang tahu password akaun Farez. Harap maklum.
"Korang bohong! Ini prank kan? Aku tahu, korang semua nak
kenakan aku!" Aina beremosi.
"Tak ada sebab kami nak tipu
kau, Aina. Memang kami tak bohong. Farez dah meninggal tahun lepas."
Aina mula mengimbau segala yang
telah berlaku. Tentang angin yang bertiup di pusara semasa dia menziarahi kubur
ibunya. Dingin malam ketika dia terbaca status Farez. Cara Farez memberi
respons semasa chat di Facebook. Semuanya seperti kepingan jigsaw puzzle yang akhirnya bercantum menjadi satu.
‘Bermakna malam tadi aku chat
dengan…’ Aina cuba membuat deduksi dalam diam.
Aina memeriksa laptop Rossa. Tiada
status Farez yang menyebabkan dia menekan like.
Apa yang dia lihat malam tadi seolah-olah tidak wujud. Dia memeriksa telefon
bimbit. Tidak ada rekod tentang Farez sebagai rakan baru di Facebook. Tiada
chat antara dia dan Farez.
‘Apa yang berlaku sekarang ni?
Aku pasti aku bukan tertidur dan bermimpi semua ni. Aku benar-benar chat dengan
Farez.’ Aina mula curiga.
Lama juga dia berdiam diri sambil
diperhatikan oleh Rafiqa dan Rossa.
Akhirnya seperti orang hilang
akal, Aina berbisik. "C.H.A.T."
"Apa dia Aina?" Rafiqa
menghampirkan wajahnya.
"Chat hantu... aku
terkena."
~ Sekian ~
Nota Penulis:
Apa pendapat anda tentang apa
yang berlaku kepada Aina? Dengan siapa sebenarnya dia chat malam tadi? Roh
Farez? Roh ibunya? Atau sesuatu yang hidup di dunia ini bersama kita semua?
Kalau ini berlaku kepada anda
bagaimana? Adakah anda berani untuk add
friend dan chat tepat pada jam 12 tengah malam. Beranikah anda melayan
Facebook bersendirian tengah malam selepas ini?
Sila komen. Saya ingin mendengar
dengan hati yang terbuka. ^_-
~ Salleh Kausari
Kadang2 dok on9 sampai pukul 2 pagi tak ada pulak org add,..hahaha,.menarik cerita ni,..chat dgn hantu,..zaman siber hantu pun pandai on9 ya??,.ok,.rasa terhibur membacanya ;)
BalasPadamTq sudi singgah, baca & komen szaza..
PadamMakhluk ni pun ikuti perkembangan semasa tau.. hehe
Lepas ni nak add new friend malam2 kena tengok jam dulu.. haha
Hari tu saye chat ngan kawan lame sampai pukul 3 setengah pagi.. :3
BalasPadamHehe.. takpe, yang masih hidup okey je.. ^_-
PadamNk try
BalasPadamHihi.. silakan ^__^
Padam