Sebuah cerpen sempena ketibaan bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.
AZAN subuh mula berkumandang.
Sayup kedengaran di langit yang gelita dengan hanya taburan bintang yang
berkerlipan. Purnama sudah mula menghilangkan diri, menandakan penghujung bulan
semakin hampir. Kedengaran salakan anjing di sana-sini melatari laungan azan.
Setelah selesai azan, suasana kembali sunyi. Insan masih enak terlena
berkelubung selimut masing-masing dalam kedinginan. Hanya beberapa kerat saja
yang bergegas menuju ke rumah Allah untuk menunaikan kewajipan mereka.
Sebuah pub masih meriah dengan
muzik yang berkumandang, walaupun hanya tinggal beberapa orang pengunjung
sahaja.
"Eh, kalau tak silap aku tak lama lagi puasa kan?" Tanya Don, lelaki berkemeja putih. Tali
leher sudah dilonggarkan dengan bahang cairan kekuningan yang diteguk dari
gelas dengan air batu.
"Alah, tak ada bezanya bulan
puasa dengan bulan biasa. Kita sama saja macam tahun-tahun lepas." Jawab
lelaki berjambang bernama Ben.
"Betul kata korang berdua.
Cuma yang tak syok kalau bulan puasa, susah nak cari makan tengah hari. Aku
terpaksa suruh drebar aku cari nasi bungkus. Leceh betul!" Sampuk lelaki
bertubuh gempal dan cerah bernama Jazrel. Nafasnya begitu ketara dengan bau
cairan yang sudah berbotol-botol diteguk.
"Korang bertiga ni tak
pernah terfikir nak insaf? Makin hari umur kita makin meningkat. Kubur dah
semakin dekat. Tunggu masa nyawa kena cabut malaikat." Sampuk Faizol.
Hanya dia seorang saja yang tidak mabuk. Kehadirannya sekadar meneman rakan
bertiga.
"Eh, kau ulang sekali lagi.
Macam pantun ah!" Don tergelak diikuti derai tawa rakan berdua. Faizol
hanya menggeleng.
"Buat apa kau makan nasi
bungkus. Lebih baik ikut macam aku, makan kedai Cina. Lagi sedap." Ben menyambung
perbualan mereka.
"Aku tak beranilah. Kalau
kedai tu jual binatang kaki pendek macam mana? Lagipun sekarang ni isu makanan
ada DNA benda tu. Haram." Jazrel menambah.
"Habis yang korang bertiga
teguk benda ni tak haram?" Sindir Faizol.
"Ha'ah. Betul juga
kan?" Jazrel termalu diikuti derai tawanya bersama Don dan Ben.
"Kalau ikut hati aku, tak
ingin aku ikut korang bertiga tau tak. Tapi bila aku memikirkan tanggung jawab
aku, terpaksa aku temankan. Manalah tahu kalau hati korang terbuka nak berubah
malam ni."
"Malam apa bro? Dah
pagilah." Kata-kata Ben disambut tawa rakan berdua.
"Hah! Sebut pasal malam ni
kan, aku teringat mimpi aku dua hari lepas." Jazrel bersuara dalam keadaan
khayal.
"Apa mimpi kau?" Tanya
Don.
"Aku mimpi aku jumpa doktor.
Dia kata aku ada tiga hari saja lagi untuk hidup. Apa punya bangang mimpi macam
tu. Orang tak puas enjoy lagi, dia
kata aku ada tiga hari lagi. Nonsense!" Jazrel menyambung.
"Itu tanda Tuhan sayangkan kau
Rel. Dia nak kau berubah." Faizol menyampuk.
"Tak nak lah! Buat apa aku
berubah? Hidup jadi orang baik ni membosankan. Semua tak boleh buat. Minum tak
boleh. Makan suap tak boleh. Main judi haram. Tukar perempuan lagilah. Susah
nak maju beb. Macam mana nak bersaing dengan orang Barat?" Jazrel
meluahkan pendapat sesuka hati.
"Astaghfirullah... Aku
bersimpati dengan kau Rel. Aku harap Tuhan tetap akan beri kau peluang untuk
berubah. Bahaya kata-kata kau tadi tu!" Faizol menggeleng dengan riak
penuh kerisauan.
"Hoi! Dah pagi da... Tunggu
apa lagi. Jom balik!" Ben memintas perbualan Faizol dan Jazrel.
"Aku pun nak balik."
Don sudah bangkit dalam keadaan terhoyong-hayang.
"Biar aku tolong hantar
korang semua. Bahaya memandu mabuk-mabuk macam ni." Faizol menawarkan
diri.
"Korang berdua balik dengan Faizol.
Aku nak drive sendiri." Selamba
jawapan Jazrel.
"Bahaya beb!" Sampuk
Don.
"Aaah!" Jazrel menunjuk
isyarat tangan, seperti tidak mahu dinasihati lagi.
Rakan bertiga hanya memerhati
Jazrel meninggalkan mereka dengan cara berjalan yang bengkang-bengkok.
Jazrel menghidupkan enjin kereta
BMW Sports miliknya. Dia terasa lebih bebas memandu sendirian daripada ditemani
pemandu peribadinya.
"Aku dah biasa memandu dalam
keadaan macam ni. Okey je. Sampai juga ke rumah." Jazrel mendabik dada.
Jalan agak lengang pagi itu.
Dengan tidak semena-mena kata-kata Faizol terngiang di telinga.
"Astaghfirullah... Aku
bersimpati dengan kau Rel. Aku harap Dia tetap akan beri kau peluang untuk
berubah. Bahaya kata-kata kau tadi tu!"
"Huh, bahayalah
sangat!" Spontan kata-kata Jazrel.
Secara tiba-tiba muncul seseorang
di depan mata dengan suluhan lampu kereta. Jazrel sempat melihat rupa manusia
itu. Seorang lelaki tua berjanggut putih panjang memakai jubah dan serban serba
putih. Di tangannya ada sebatang tongkat.
"What the ...!" tempik Jazrel sambil memulas stereng. Kereta
BMW terbabas dan terus menghentam pokok beringin di tepi jalan dengan kuat.
Dalam sekelip mata Jazrel sudah tidak sedarkan diri.
***
Jazrel terlantar dalam keadaan
koma di hospital. Kepalanya berdarah dengan banyak akibat merempuh cermin depan
hingga berderai. Tulang di beberapa bahagian tubuhnya patah. Mukanya bengkak
dan lebam hingga sukar untuk mengenali wajah asalnya.
Di luar bilik wad, seorang wanita
bertudung bersandar di kerusi dengan air mata yang tidak henti-henti mengalir.
Seorang pemuda berjalan mundar-mandir dalam keadaan resah. Wanita itu adalah
Marhaini, isteri Jazrel. Dia ditemani Taufiq, anak sulung mereka.
Marhaini melayan perasaan. Bukan
keadaan Jazrel saja yang menyebabkan dia resah, tetapi perbualan di telefon
sebentar tadi.
"Abang, Jazrel kemalangan.
Dia koma kat hospital sekarang ni." Suara Marhaini ketika menghubungi
abang Jazrel, Nordin.
"Ya? Apa yang dah jadi?"
"Dia balik lewat pagi tadi.
Dia memandu sorang-sorang."
"Dari mana?"
"Entahlah bang."
Marhaini serba-salah hendak menjawab.
"Tak tahu? Isteri apa kau
ni? Tak tahu atau kau sengaja nak sembunyikan perangai setan laki kau tu?"
"Tak baik abang cakap macam
tu. Abang tak nak tengok dia kat hospital ni?"
"Nak tengok buat apa? Manusia
macam tu sepatutnya dah lama terima balasan!"
"Astaghfirullah. Mengucap
bang."
"Dah lama aku sakit hati
dengan dia. Berita hari ni menyebabkan aku rasa puas."
"Abang.... abang..." Suara
Marhaini, tetapi talian telah diputuskan oleh Nordin.
Kemudian dia menelefon Adibah,
kakak Jazrel. Jawapan wanita itu juga cukup merenggut perasaan.
"Jadi kenapa kau telefon aku
ni?" Jawapan Adibah setelah mendengar perkhabaran Marhaini.
"Kak, adik akak kemalangan.
Takkan tak nak datang tengok dia?"
"Adik? Aku ada adik satu masa
dulu. Tapi sekarang dah tak ada lagi. Kau ingat senang-senang aku nak lupakan
apa yang dia dah buat pada mak. Kau tak ingat apa yang dia dah buat pada arwah
ayah sampai orang tua tu meninggal? Aku lebih rela mengaku tak ada adik
daripada menjadi sebahagian daripada manusia tak berhati perut macam tu. Rupa
manusia, tapi nafsu binatang!"
Talian juga diputuskan secara
tiba-tiba.
"Mama, bila papa nak sedar?" Suara Taufiq yang nampak resah menyedarkan Marhaini dari lamunan.
"Sabarlah Taufiq. Yang asyik
mundar-mandir ni kenapa? Patutnya duduk berdoa untuk papa. Apa sebenarnya yang
kau risaukan sangat?"
"Taufiq nak dapatkan
tandatangan papa. Ada projek besar sekarang mama. Kalau lambat takut terlepas
nanti."
"Papa terlantar dalam
keadaan nyawa-nyawa ikan, tapi kau masih risaukan urusan perniagaan? Apa kena
dengan kau ni?" Marhaini mula membebel.
"Alah, susahlah cakap dengan
mama ni. Dari dulu Taufiq dah beritahu papa, suruh letak nama Taufiq sebagai
pengarah syarikat. Tapi dia degil sangat." Rungut Taufiq.
"Sebab dia tahu niat kau. Dia
dah masak sangat dengan perangai kau yang suka ambil kesempatan. Silap
haribulan habis semua harta syarikat kau jual." Selamba jawapan Marhaini.
"Malaslah Taufiq nak melayan
mak. Taufiq nak balik."
"Taufiq! Tunggulah dulu.
Taufiq!" Kata-kata Marhaini tidak berkesan. Anaknya sudah menapak di
koridor hospital, beredar meninggalkannya.
***
Jazrel tersedar dengan lirih
alunan bacaan al-Quran. Sudah berpuluh-puluh tahun dia tidak merasa nikmat
bacaan seperti itu. Kali terakhir adalah semasa dia mengaji bersama arwah
datuknya dulu.
Dia memerhati keadaan sekeliling.
Gelap-gelita, tetapi dia tahu kawasan itu terlalu lapang dan luas berdasarkan
nalurinya. Hanya pancaran cahaya seperti lampu jalan tanpa sumber lampu dan
tiang. Cahaya putih yang menerangi seorang lelaki yang sedang membaca al-Quran.
Lelaki yang muncul di jalan raya dan Jazrel cuba mengelak daripada melanggarnya
tadi.
"Aku di mana? ... Kau
siapa?" fikiran Jazrel kucar-kacir.
Lelaki itu terus menghabiskan
ayat yang dibaca sebelum mengakhirinya dengan bacaan penutup. "Sadaqallahulazim."
"Apa tempat ni? Kau... kau
yang menyebabkan aku jadi macam ni. Apa makna semua ni?" fikiran Jazrel
semakin bercelaru.
"Kau berada di alam
perantara dua dunia. Aku adalah utusan yang dihantar untuk berbicara dengan
kau. Tentang hidup kau."
"Kenapa dengan hidup
aku?" Jazrel masih keliru.
"Dalam terang kau sudah
tersesat. Dalam mewah kau telah ketandusan. Dalam nyaman kedinginan kau
sengsara dan terpenjara." Kata-kata lelaki itu penuh puitis dengan makna
tersirat.
"Apa maksud kau orang tua?
Aku tak faham!" Kesabaran Jazrel sudah tercabar. Rambut kusut semakin
ditambah kekusutannya.
"Kau sedang menuju satu alam
yang indah dan jauh. Kehidupan di sana terlalu indah dan abadi. Tetapi kau
telah terpesona dengan najis yang bersepah di tepi jalan. Darah dan nanah kau
jilat penuh selera. Semakin lama kau terhenti di dalam perjalanan, semakin kau
lupa kewujudan alam yang tiada bernoktah."
"Jangan sakitkan kepala aku
dengan kata-kata macam teka-teki kau tu boleh tak? Aku dah tak tahan
lagi." Bentak Jazrel. Matanya kemerahan melihat lelaki tua yang nampak
terlalu tenang itu.
Lelaki itu hanya tersenyum.
"Kau akan faham apa maksud kata-kata aku. Kau akan faham. Tetapi
masalahnya bukan sama ada kau faham atau tidak. Tapi sama ada kau sempat faham
atau tidak. Dan sama ada apa yang kau faham akan menyelamatkan kau atau
tidak."
Jazrel terdiam.
"Bila kali terakhir kau
mampu menjawab apabila ditanya apa yang berlaku pada malam Isra' Mikraj dan
mengambil iktibar daripada kejadian yang telah berlaku? Bila kali terakhir kau
dapat menjawab pabila ditanya apa yang berlaku semasa Nisfu Syaaban? Bila kali
terakhir perkataan Ramadan begitu bermakna dalam hidup kau? Bila kali terakhir
perkataan Lailatulqadar memberikan rasa ingin berlumba-lumba dalam diri
kau?"
Jazrel terdiam. Kali ini dia
tunduk.
"Bila kali terakhir kau
mendengar nama ALLAH dengan rasa manis dalam diri kau? Bila kali terakhir nama
MUHAMMAD menimbulkan rasa kasih dan
rindu dalam diri kau? Bila kali terakhir perkataan MAUT menimbulkan rasa insaf
dalam diri kau?"
Jazrel mendongak, "Tapi...
tapi... ini semua bukan salah aku. Aku dibesarkan dalam keadaan suka bersaing.
Aku... tak ada masa untuk mendalami semua itu." Dia berdalih.
"Adakah kau sedar akan tiba
hari di mana mulut kau yang fasih berkata-kata itu akan tertutup rapat? Pada
hari itu hanya anggota tubuh badan kau dan segala yang ada di sekeliling akan
berkata-kata bagi pihak kau. Mereka mungkin akan jadi peguam bela atau pendakwa
raya ketika kau berhadapan dengan zat Allah subhanahu wa taala. Untuk
diperhitungkan dengan segala amal perbuatan kau."
Jazrel memegang kepala. Dia
terasa seperti pernah tahu itu semua. Cuma fikirannya terlalu mementingkan apa
yang akan menjamin kehidupannya seharian. Wang, kehormatan dan kesenangan.
Bukan perkara sebegitu.
Dia beredar jauh dari orang tua
itu. Fikirannya sudah terlalu kacau dengan kata-kata orang tua yang penuh makna
yang tersirat.
***
Taufiq tiba di banglo mewah milik
keluarganya. Mukanya masih menampakkan kerisauan yang belum padam.
"Macam mana keadaan papa
bang?" Tanya Tasya, anak bongsu Jazrel.
"Dia koma."
"Hish! Liat betul nyawa
orang tua tu." Suara Tajul yang sedang bersandar di sofa.
"Abang rasa papa dah siapkan
wasiat untuk kita semua atau belum? Atau mungkin semua akan dibahagikan bila
mama dah tak ada nanti?" Tanya Tasya.
"Entahlah. Susah abang nak
cakap. Sebab papa tak nak berkongsi dengan kita tentang hal ni." Jawab
Taufiq.
"Menyusahkan betullah orang
tua tu. Macamlah semua harta dia nak bawa masuk dalam kubur." Celah Tajul.
"Tapi susah juga sekarang
ni. Sebab papa ada bini muda. Si Syafinaz tu mesti dapat sekali. Silap
haribulan bahagian dia lebih banyak daripada kita." Kata Taufiq.
"Itu kalau ada sorang bini
muda aje. Kalau ada lagi yang mengaku lepas dia meninggal macam mana?"
Kata Tasya.
"Hish! Payah kalau macam tu."
Rungut Taufiq.
"Macam mana mama boleh tahan
dengan lelaki macam papa? Kalau aku jadi mama, dah lama aku berambus!"
Bentak Tajul.
Suasana mula sepi. Masing-masing
tenggelam dalam fikiran sendiri.
***
Baru beberapa langkah Jazrel
beredar, dia dipanggil lelaki tua itu. "Kau nak ke mana?"
"Pergi.. jauh dari sini...
aku pun tak tahu." Jazrel buntu.
"Aku belum habis berbicara
dengan kau."
Sekonyong-konyong langit cerah
dengan cahaya seperti aurora borealis berwarna kehijauan. Perkataan Muhammad
dalam tulisan jawi kelihatan.
"Kau boleh baca ini?"
"Boleh."
"Siapa dia?"
"Muhammad."
"Apa tugas dia?"
"Dia nabi yang dihantar
untuk membawa manusia kepada kebenaran." Jazrel masih ingat pelajaran
agama semasa kecil dulu.
"Apa perasaan kau terhadap
dia?"
Jazrel terkedu. Selama ini nama
itu hanya terpampang di ruang tamu, sebagai satu seni khat. Hakikatnya dia
tiada masa untuk mendalami kehidupan insan itu.
Orang tua itu menyambung. "Dia
adalah sebaik-baik kejadian. Dia adalah penghulu segala nabi. Tetapi apa yang
telah dia korbankan semata-mata untuk umatnya? Kau tahu apa yang telah berlaku
semasa dia bersemuka dengan pembesar Banu Thaqif di Taif satu masa dulu? Pakaiannya
telah kotor hingga dipenuhi debu semata-mata untuk menyampaikan syariat Tuhan. Dia
telah dihina, dimaki dan dicerca dengan kata-kata yang tidak layak untuk
seorang manusia yang paling mulia di sisi Tuhan. Darah telah mengalir dari tubuhnya
yang mulia akibat perbuatan mereka. Dia lakukan semua ini semata-mata untuk
menyelamatkan umatnya yang masih belum mendapat hidayah. Sedangkan malaikat
sudah bersedia untuk menurunkan kehancuran seandainya setitis darah yang mulia
itu gugur ke bumi. Malaikat boleh hancurkan penduduk di situ dengan melagakan
gunung-ganang di kiri kanan kota itu. Tetapi apa yang telah dia lakukan?
Dia tetap memohon hidayah dan petunjuk untuk umatnya. Dia masih mengharapkan
hidayah untuk umatnya yang ingkar, biarpun untuk generasi mereka yang akan
datang. Bukan kehancuran. Apa yang telah dia lakukan pada waktu malam? Dia telah
tinggalkan tempat tidur semata-mata untuk merayu kepada Tuhan, memohon
keampunan dan hidayah untuk umatnya. Kau boleh bayangkan bagaimana raja segala
raja dan penghulu segala nabi dan rasul tidur di atas kain hamparan sebagai
tilam?"
Jazrel terdiam. Sememangnya dia
tidak pernah terfikir seperti itu, lantaran kejahilan yang menyeliputi kehidupannya
selama ini.
"Kasih sayangnya terhadap
umat sukar dibayangkan. Saban hari dia risau dan sentiasa memikirkan keadaan
umat akhir zaman seperti kau. Dapat kau bayangkan perasaannya apabila
dihadapkan dengan segala amalan umat akhir zaman? Betapa hancurnya hati dia.
Betapa sedihnya dia melihat keadaan kau dan umat yang lain."
Jazrel hanya mampu tunduk.
"Tiada lagi nabi atau rasul
yang akan diutuskan sekarang. Tanggung jawab kenabian kini ditanggung oleh kau
dan umat akhir zaman yang lain. Tapi apa yang kau buat selama ini? Kau jadi
seperti manusia jahiliyah yang tidak ada kalimah dalam diri mereka. Malah
kehidupan kau lebih teruk daripada sebahagian mereka."
Jazrel terduduk. Serangan
psikologi ke atas dirinya mula meninggalkan kesan.
***
Marhaini bersandar dalam keadaan
lemah. Sudah kering air matanya menitis. Kini hanya matanya yang bengkak kemerahan
bersama rasa hangat yang masih bersisa.
Dia memikirkan nasib Jazrel.
'Suatu masa dulu kau dikelilingi ramai teman dan saudara. Tetapi kini tiada
siapa yang sudi menemani kau. Ke mana perginya sahabat-sahabat yang menyanjung
tinggi pangkat Dato' kau dulu. Ke mana perginya saudara-mara yang kau bantu
dengan harta dan kekayaan. Hinggakan anak-anak sendiri pun tak sanggup berada
di sisi. Anak-anak yang kau besarkan dengan kemewahan.'
Marhaini ingin menangis, tetapi
tiada air yang keluar.
'Ke mana perempuan-perempuan yang
duduk berkeliling dengan kau dulu? Ke mana bini muda kau? Aku perempuan yang
kau campak ke tepi, tetapi perempuan inilah yang menemani kau ketika ini.
Perempuan yang saban hari berdoa agar kau kembali ke jalan yang lurus. Tapi
terlalu banyak masa yang telah kau habiskan Jazrel. Adakah masih ada sisa-sisa
lagi yang dapat memberi manfaat untuk kau perbaiki kesilapan silam?'
Marhaini terus bersandar dengan
keadaan tubuh yang lesu lemah kerana perut yang masih belum dialas sejak dari pagi
tadi.
***
Jazrel sudah mula terasa rimas
terperangkap di dalam dunia yang gelap gelita bersama lelaki tua itu.
"Aku dah tak tahan lagi.
Hantar aku balik!"
"Balik? Balik ke mana?"
"Ke tempat asal aku. Ini
bukan tempat aku."
"Kenapa kau nak balik? Apa
yang ada di sana?"
"Keluarga aku. Perniagaan
aku. Rumah aku. Hidup aku."
"Kau rasa bahagia kalau kau
kembali ke sana?"
"Ya. Aku ada banyak tanggung
jawab yang perlu aku selesaikan."
"Sampai bila? Sampai nyawa kau
tercabut?"
Jazrel tergamam.
"Mungkin kau sudah lupa apa
yang kau telah lalui selama ini."
Seketika kemudian satu alam
terbentang luas dan terang. Jazrel seolah-olah dibawa ke masa silamnya.
Seolah-olah tayangan apa yang pernah berlaku dalam hidupnya.
Lelaki tua itu mula berbicara
bersama tayangan yang terpampang.
"Kau dibesarkan dengan
kefahaman tentang kepentingan wang dan persaingan. Setelah kau berjaya, kau
mula melupakan orang tua kau. Kerana kealpaan kau, Tuhan telah hantar
peringatan untuk menyedarkan kau. Tapi apa yang kau buat? Kau tipu ayah kau dan
menjual tanah pusaka. Perbuatan kau menyebabkan dia sakit hingga menghembuskan
nafas terakhir. Semenjak itu kau telah menjauhkan diri dari saudara-mara kau,
termasuk ibu dan adik-beradik kau sendiri."
Rasa sayu mula singgah di hati
Jazrel melihat keadaan ayahnya sebelum meninggal.
Kemudian paparan berubah kepada
kehidupan sekarang Jazrel.
"Perbuatan kau itu telah
menyebabkan hidup kau kucar-kacir. Kau hidup dengan kemewahan dan sanjungan
orang, tetapi hakikatnya hidup kau tidak berkat. Lihat siapa yang sedang
menunggu kau di hospital. Ke mana perginya anak-anak yang kau manjakan dengan
kesenangan? Semasa kau terlantar, mereka sibuk memikirkan harta yang akan kau
agihkan dalam surat wasiat. Di mana bini muda
bertubuh gebu dan mongel yang menemani kau di katil? Di mana
sahabat-sahabat yang memeriahkan hidup kau dengan gelak tawa?"
Jazrel hanya memerhati insan yang
tersandar lesu di kerusi hospital.
"Kau nampak siapa yang
menemani kau sekarang? Manusia yang kau selalu caci maki, tetapi dialah yang
tetap setia bersama kau. Selama ini kaca kau sangka permata, permata kau kata
kaca."
'Maafkan abang, Marhaini.' Air
mata Jazrel mula tiris.
"Kembalikanlah aku ke tempat
aku. Aku dah nampak semuanya. Aku ingin berubah." Suara Jazrel sebak.
"Siapa kata tayangan sudah
selesai? Kau tak ingin tengok apa yang akan berlaku selepas kau tiada?"
Jazrel terkedu. Setelah melihat
apa yang telah berlaku, dia mula cuak. Namun paparan diteruskan.
Lelaki tua itu bersuara.
"Selepas kematian kau, empayar perniagaan kau musnah. Anak-anak kau
bertelagah sesama sendiri kerana merebut harta. Marhaini telah dipinggirkan
oleh anak-anak kau berdua. Dia meninggal dunia di rumah orang tua tanpa
dipedulikan anak-anak. Ibu kau meninggal dalam keadaan tidak mengaku kau sebagai
anak. Kawan-kawan kau tidak seorang pun yang menghadiri pengkebumian kau,
kecuali Faizol. Begitu juga adik beradik kau dan ibu kandung sendiri."
Jazrel melutut dengan raungan
yang amat merenggut perasaan.
"Tolonglah... tolonglah...
kembalikan aku semula... aku nak perbaiki kesilapan aku."
"Telah banyak kali kau
diberi peluang. Segala musibah yang kau terima adalah peringatan untuk kau.
Hinggalah kepada mimpi kau yang terakhir. Tapi apa kau buat? Kau terus dibuai
keasyikan. Dan sekarang kau inginkan peluang lagi? Kau pasti kau tak akan lupa
lagi seperti sebelum ini?"
"Tak... aku janji.... aku
ingin bertaubat."
Lelaki tua itu ketawa kecil.
"Permintaan kau ini sama seperti permintaan ramai lagi setelah mereka melihat
kebenaran. Tapi sayang, semuanya telah terlewat."
Lelaki itu mengundur beberapa
langkah. Kemudian dia berpaling dan mengatur langkah meninggalkan Jazrel.
Cahaya yang mengiringi orang tua itu semakin lama semakin malap hinggalah
akhirnya dia ditinggalkan dalam kegelapan.
"Orang tua!.... Tunggu!...
Aku nak kembali ke tempat aku!... Aku ingin perbaiki kesilapan ini!"
Raungan Jazrel bertukar menjadi
tangisan meratap yang pasti akan meruntun perasaan sesiapa yang mendengar.
Tetapi tiada apa yang berlaku. Hanya kegelapan yang menyelubunginya bersama
dengungan tangisnya yang berterusan.
***
Marhaini cemas. Doktor dan misi
bergegas ke wad Jazrel. Dia dapat dengar bunyi yang nyaring dari mesin elektrokardiografi
di sebelah tubuh Jazrel yang terlantar. Dia masuk untuk melihat, tetapi seorang
misi menahannya. Dia hanya mampu melihat dari jauh.
Bahagian dada Jazrel didedahkan.
Alat defibrilator digunakan di dadanya. Tubuh Jazrel terkujat seperti terkena
genjatan letrik. Mesin di sebelah katil menunjukkan bacaan mendatar dengan
bunyi dengungan yang berterusan.
“Ya Allah!” Marhaini terus
menjadi lemah dan terjelepuk ke lantai.
Azan maghrib mula berkumandang
dari masjid berdekatan hospital. Sayup kedengaran di langit senja dengan
lembayung jingga kemerahan yang semakin menghilang. Purnama sudah tidak
kelihatan, menandakan permulaan bulan baru yang semakin hampir. Kedengaran riuh
hon kenderaan bersahutan di jalan sesak menenggelamkan laungan azan. Setelah
selesai azan, manusia masih sibuk di jalan raya dan kompleks membeli belah. Mereka
masih leka menyelesaikan keperluan hidup masing-masing dalam kesibukan. Hanya
beberapa kerat saja yang bergegas menuju ke rumah Allah untuk menunaikan
kewajipan mereka.
~ SEKIAN ~
Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh
Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian
kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang
berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu
dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan
mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka
kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik;
sesungguhnya kami sekarang telah yakin".
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah
Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan
beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari
masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah
petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab
di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku
akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa
hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".
(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka
rasalah azab seksa kerana kamu melupakan pertemuan hari ini. Sesungguhnya Kami
pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah
azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
Sesungguhnya yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami
hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan
ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat
patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan
mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
Terjemahan Surah As-Sajdah Ayat 11-15
Sumber: surah.my
Nota penulis:
Tulisan ini adalah sekadar peringatan
untuk diri sendiri dan sesiapa yang memerlukannya.
Segala yang baik dan mulia adalah
milik Allah, dan segala puji dan syukur adalah untuk Dia. Sebarang kekurangan
dan kesilapan adalah atas kelemahan diri saya sendiri, dan semoga Dia
mengampunkannya.
Wallahua’lam…
Bagus ceritanya ..tahniah novelist Salleh Kausari..
BalasPadamAlhamdulillah.. terima kasih
Padamsubahanallah..sungguh terasa mesej yang hendak disampaikan..berdebar rasanya mcm sendiri berada di tempat jazrel...tahniah S.K..moga allah sudi mengampunkan dosa-dosa hamba-hambaNya
BalasPadamAlhamdulillah... terima kasih Nur. Lepas menulis pun masih terus dihantui nasib Jazrel.. Huhu
PadamMudah-mudahan.. amin