Menu sarapan yang disediakan
Bibik Rusila pagi ini adalah penkek dengan jem strawberi. Biasanya Qiarra akan
menjamahnya walaupun sedikit disebabkan jem strawberi. Tetapi hari ini Qiarra
tidak berselera makan. Jus oren segar pun masih belum diteguk.
Datuk Hafizudin dan Datn
Maznah saling berpandangan melihat keadaan anak tunggal mereka.
"Kenapa tak sarapan
Qiarra? Qiarra tak sihat ke?" Tanya Datin Maznah.
Qiarra masih berdiam diri.
"Tak elok di meja makan
termenung macam ni," tegur Datuk Hafizudin dengan suara yang rendah.
"Qiarra fikir pasal
Eddie?" Tebak Datin Maznah. Qiarra mengangguk.
"Kenapa tak call saja dia?" Dia bertanya lagi.
"Dah nak masuk beratus
kali. Tapi dia tak jawab, mama."
"Takkanlah tak jawab
langsung. Dah nak masuk sebulan dia bercuti ni." Datin Maznah musykil.
"Memang dia tak beritahu
berapa lama dia nak cuti. Ibunya tak sihat katanya." Datuk Hafizudin
mencelah.
"Tapi takkanlah tak
telefon langsung. Sekurang-kurangnya jawablah telefon." Qiara mengeluh.
"Eh, jangan-jangan dia
ada masalah agaknya?" Datin Maznah membuat telahan.
"Apa kata kita pergi ke
kampung Eddie, papa? Boleh juga kita ziarah mak dia." Qiarra memberi
cadangan.
"Papa tak boleh ke mana-mana
sekarang. Ada business deal penting
papa nak close dengan sebuah syarikat
dari Sweden. Ini antara projek terbesar syarikat. Qiarra pergi dengan mama
sajalah."
"Seelok-eloknya biar
kita pergi sebagai satu keluarga. Kita tunggu urusan papa selesai dululah."
Cadang Datin Maznah.
"Habis macam mana ni?
Takkanlah Qiarra nak pergi sorang-sorang?" Rungut Qiarra.
"Sabarlah Qiarra. Dah settle nanti kita pergilah...,"
pujuk Datuk Hafizudin.
Qiarra tidak menjawab.
Eddie menjinjing bakul berisi
bebotok menuju ke warung Wak Leman. Semenjak dia ada di kampung, tugas itu
diambil alih olehnya. Tiada lagi Si Salam, pekerja warung yang singgah ke rumah
untuk mengambil bebotok dari rumahnya.
"Eh macam aku kenal
mamat tu," suara lelaki yang duduk di hujung warung.
"Bukan ke dia dah pergi
KL dulu? Kenapa balik semula ke kampung?" Tambah seorang lagi.
"Alah... biasalah. Kalau
nak bercita-cita tinggi, cermin diri dulu. Ingat senang ke nak duduk KL. Kalau
dah nama orang kampung, macam mana pun mesti balik kampung punya. Dah nama pun
anak pungut."
Kata-kata itu membuatkan
Eddie berpaling untuk melihat siapa yang melafazkan kata-kata sesedap rasa itu.
Dia nampak pemuda-pemuda kampung yang mengganggu anak dara di kampung itu tidak
lama dulu. Arshad tega menghembuskan asap rokok berkepul-kepul seperti cuba
memprovokasi Eddie.
"Sibuk-sibuk nak cari
awek kat KL, sampai awek kat kampung dah kena sambar orang lain. Bukan setakat
sambar aje, ..." Kata-kata lelaki itu terbantut apabila lengannya disigung
Arshad yang duduk di sebelah.
Mendengar kata-kata itu,
Eddie terus menuju ke arah tempat mereka duduk.
"Eh Arshad. Yang ku
merepek pagi-pagi ni apa hal? Kalau betul anak jantan, cakap depan-depanlah.
Bukan main sindir-sindir kat belakang."
"Yang kau perasan apa
hal. Aku ada sebut nama kau? Geng, aku ada sebut nama dia ke?" Kata-kata
Arshad menyebabkan darah Eddie menyirap.
Ketika itu Eddie rasa
tangannya ditarik.
"Dahlah Eddie, jangan
cari pasal dengan dia orang tu. Nanti kecoh pulak warong ni. Tolonglah
Eddie." Kata Salam yang menarik tangan Eddie.
Muka Eddie sudah merah padam.
Giginya digetap kuat-kuat. Tangannya sudah digenggam hingga timbul urat-urat.
'Kalau ikut hati aku memang
dah pecah mulut kau Arshad,' bisik hati Eddie.
Eddie berlalu bersama derai
tawa yang kedengaran di belakangnya. Usai urusan dengan Wak Leman, Eddie
berlalu ke arah motosikalnya. Dia meninggalkan warung dengan kemarahan yang
masih bersisa.
Semasa dia menyusuri jalan
kampung untuk pulang dia ternampak kelibat wanita yang amat dia kenal.
"Nak ke mana Mak
Tom?" Tanya Eddie selepas memberhentikan motosikalnya di tepi jalan.
"Nak ke warung kejap.
Eh, terlanjur dah jumpa kamu ni, Mak Tom nak beritahu. Dayana dah balik ke
kampung."
"Dayana dah balik? Cuti
kan baru habis." Eddie musykil.
"Itu yang Mak Tom
hairan. Tapi dia macam ada masalah. Mak Tom tengok dia asyik menangis. Mata
sampai merah-merah bengkak."
"Kalau macam tu saya nak
pergi jumpa dia." Eddie sudah mahu beredar.
"Eh, tak payah. Dia tak
ada kat rumah sekarang ni."
"Habis dia ke mana?"
"Mak Tom pun tak tahu.
Pagi-pagi lagi dia dah keluar. Langsung tak beritahu Mak Tom dia nak ke
mana."
Eddie berdiam diri sambil dia
giat berfikir.
"Mak Tom harapkan pada
kamu supaya cari dia. Risau pulak Mak Tom tengok dia. Takut nanti dia buat
benda yang bukan-bukan kalau dah terlalu memendam perasaan. Mak Tom minta
tolong sangat..." Rayu wanita itu.
"Yalah, nanti saya cuba
cari dia. Lagipun saya rasa saya tahu di mana dia sekarang ni."
Qiarra asyik melayan lagi di radio. Lagu "Berdua Bersatu"
nyanyian Foreteen sedang berkumandang.
"Radio ni macam tahu-tahu aku tengah melayan perasaan." Kata Qiarra.
Lagu selepas itu membuat Qiarra seperti tenggelam dalam lamunan. Dia
seperti sedang menonton video klip yang bermain di mindanya dengan segala
kenangan pahit manis bersama Eddie. Alunan lagu "Saat Aku
Mencintaimu" oleh Dadali membuai perasaan Qiarra.
Kenangan bersama Eddie silih berganti bagaikan video klip yang merakamkan segala peristiwa yang dilalui olehnya dan dan
Eddie
Qiarra mengimbas kembali detik dia bertemu dengan Eddie buat pertama
kali di Kafe Strawbery Fairyland. Pelayan lelaki yang gabra itu telah
menumpahkan sherbet ke atas skirtnya. Dia tersenyum mengenangkan wajah Eddie
ketika itu. Dia tega menyangkal hakikat Eddie memang seorang yang menawan
semata-mata kerana pemuda itu hanya seorang pelayan.
Kenangan malam masquerade party di rumah Helena pula singgah. Dia
jatuh hati dengan lelaki bertopeng putih yang kelihatan segak memakai tuxedo.
Kebenaran terbongkar apabila dia menanggalkan topeng itu. Dia rasa tertipu oleh
dirinya sendiri apabila lelaki yang menambat hatinya itu sebenarnya adalah
Eddie.
Dia cuba menepis perasaan cinta dengan menghina Eddie di kafe, walhal
dia sudah mula jatuh cinta dengan Eddie ketika itu. Surat Eddie yang dibawa
oleh Helena mengembalikan perasaan itu. Senyumannya terukir apabila teringat
titipan puisi pada kertas merah jambu bermotif dan beraroma strawberi itu. Puisi "Strawberi Cinta" itu cukup comel dan manis seperti strawberi segar dari Cameron Highland.
"So sweet..." Suara lirih Qiarra apabila kenangan itu membelai
jiwanya.
Kerana ingin menebus kesilapannya, Qiarra telah pergi ke rumah Eddie. Dia hampir-hampir menjadi mangsa Geng Azad. Rasa simpati
muncul apabila mengingatkan bagaimana Eddie dibelasah oleh Geng Azad.
Qiarra cuba menyentuh luka Eddie di dahi, tetapi ditepis. Apabila
Qiarra hendak beredar dalam kekecewaan, Eddie menyambar tangan Qiarra. Saat itu
terlalu indah bagi Qiarra.
Kemudian peristiwa dia diselamatkan setelah menjadi mangsa culik Geng
Azad pula singgah. Kenangan dia mendakap Eddie buat seketika itu akan kekal sampai
bila-bila.
Bagaimana dapat dia melupakan kenangan manis makan malam di pinggir
jejantas bersama rakan-rakan yang lain. Begitu
juga kenangan mereka makan bersama di Kafe Strawberry Fairyland selepas dia
pulih dari pada trauma. Dan Eddie pula mula bekerja dengan bapanya ketika itu.
Hati Qiarra hancur apabila mengenangkan detik dia dapat tahu Eddie
adalah abang kandungnya ketika keputusan ujian DNA palsu dibaca. Ternyata itu
hanya dugaan sementara buatnya apabila keputusan sebenar adalah negatif. dan mereka disahkan tiada pertalian darah.
Bait-bait lagu di radio terus menerbangkan Qiarra ke alam yang jauh dalam
khayalannya.
Eddie memberhentikan
motosikal di tepi parit, tempat yang selalu dia menghabiskan masa semenjak dia
kecil dahulu.
Tanggapannya betul. Dia
melihat seorang gadis bertudung merah jambu sedang duduk di tepi parit. Desiran
air parit jelas kedengaran. Gadis itu melemparkan pandangan ke arah padang yang
luas dengan pokok kelapa di kejauhan.
Eddie tidak berkata apa-apa.
Sebaliknya dia duduk beberapa kaki di sebelah gadis itu.
"Dayana cuti?"
Eddie memecah keheningan.
Dayana tidak menjawab.
"Eddie minta maaf atas
apa yang Eddie katakan pada Dayana masa duduk di sini dulu. Lepas tu Eddie
tinggalkan Dayana macam tu aje, sebab ada hal di KL."
Dayana masih tidak berkata
apa-apa.
"Tak apalah. Kalau
Dayana tak suka Eddie ada di sini, biarlah Eddie balik dulu."
"Bukan salah Eddie. Dan
semua ni pun tak ada kaitan dengan Eddie." Jawab Dayana apabila melihat
Eddie sudah mengangkat punggung.
"Jadi apa masalah Dayana
sebenarnya. Sampai dengan Mak Long pun Dayana tak nak ceritakan."
"Dayana ingat Eddie dah
dapat agak dari surat yang Dayana bagi pada Eddie."
"Sebenarnya Eddie masih
tertanya-tanya apa yang Dayana maksudkan. Terlalu samar isi surat tu."
"Itulah masalah orang
lelaki. Terlalu sukar nak baca perasaan perempuan. Semuanya nak diterangkan
dengan jelas." Sindir Dayana.
Eddie tidak menjawab.
Kata-kata itu seperti tamparan yang singgah di mukanya.
"Tempat ini terlalu
banyak menyimpan kenangan dalam hidup Dayana. Kenangan manis yang ada di sini
sudah dipalit oleh sejarah hitam yang melitupi hidup Dayana seperti awan
mendung yang gelap gelita. Dayana cuba cari kedamaian di tempat lain, tapi di
sinilah satu-satunya sumber damai yang ada. Hinggakan kenangan hitam dan pahit
yang ada di sini pun sudah tidak Dayana hiraukan lagi." Suara Dayana
sebak.
"Sejarah hitam? Apa yang
Dayana maksudkan?" Eddie bertanya naif.
"Dayana bukan seperti
Dayana yang dulu. Dayana bukan lagi gadis yang suci. Kesucian itu telah diragut
dengan paksa tanpa kerelaan Dayana." Kata-kata Dayana membuat darah Eddie
berderau buat seketika. Eddie hanya membisu menunggu Dayana meneruskan
ceritanya. Air mata gadis itu sudah mula tiris.
"Selepas Eddie
meninggalkan Dayana di sini seorang diri hari tu, ada beberapa orang datang.
Dayana cuba lari, tapi kena kepung. Rupa-rupanya mereka memang dah lama tunggu
peluang ni. Dan nasib Dayana terlalu malang hari tu."
"Eddie minta maaf. Eddie
tak tahu pun itu yang dah berlaku pada Dayana."
"Dayana tak tahu nak
ceritakan pada siapa. Pada mulanya Dayana nak berdiam diri supaya peristiwa
hitam tu boleh berlalu begitu saja. Dengan harapan Dayana dapat lupakan satu
hari nanti. Tapi..." Air mata Dayana sudah berjuraian.
"Tapi kenapa?" Eddie
terpaku mendengar penerangan Dayana.
"Dayana dah mengandung,
Eddie! Dayana dah mengandung anak lelaki yang rogol Dayana!" Suara Dayana
seperti meraung kesal.
Akhirnya Eddie faham. Itulah
takbir mimpinya tempoh hari. Dia telah memilih untuk menyelamatkan Qiarra,
sedangkan Dayana juga sedang berhadapan dengan kecelakaan. Disebabkan
pilihannya, Dayana terpaksa menanggung akibat menjadi mangsa nafsu serakah
manusia yang tidak berhati perut.
Apa yang dilalui oleh Dayana
terlalu mencabar kemampuan jiwa gadis itu untuk bertahan. Mahu rasanya dia
memeluk Dayana dan membiarkan gadis itu melampias tangisannya di bahu. Itulah
sahaja yang mampu dia lakukan untuk meredakan gelodak perasaan Dayana ketika
ini. Tetapi apa yang difikirkan itu berlalu sebagai angan-angan sahaja.
"Eddie rasa Eddie tahu
siapa yang bertanggungjawab. Arshad dengan geng dia kan?" Eddie membuat
telahan.
Dayana mengangguk.
Jahanam kau Arshad! Aku dah
agak daripada kata-kata geng dia tadi. Hati Eddie bagai terbakar memikirkan
perkara itu.
"Dayana jangan risau.
Kali ni Eddie tak akan tinggalkan Dayana. Biar apa pun yang berlaku, Eddie akan
bersama Dayana. Walaupun Eddie terpaksa jadi ayah kepada bayi yang Dayana
kandung." Suara Eddie tegas.
"Eddie sedar tak apa
yang Eddie cakap ni?! Hidup Dayana dah hancur sekarang. Takkan Eddie nak
biarkan benda yang sama berlaku pada Eddie. Dayana tak akan biarkan itu
berlaku." Dayana tidak setuju.
"Semasa Eddie jumpa Geng
Arshad di warung tadi, ada kata-kata mereka yang menyedarkan Eddie. Buat
pertama kali Eddie setuju dengan apa yang Eddie dengar dari mulut dia orang.
Selama ini Eddie membiarkan diri Eddie dengan sangkaan yang bukan-bukan tentang
Dayana. Eddie takut kehilangan Dayana kerana perbezaan tahap pendidikan kita. Tapi
semasa di KL perkara yang sama berlaku pada Eddie. Eddie terpikat dengan gadis
yang berbeza dengan Eddie dari segi kedudukan. Sekarang Eddie sedar. Eddie
sia-siakan Dayana kerana takut dengan bayang-bayang sendiri Sedangkan Dayana
sabar menunggu Eddie dan sanggup berkorban apa saja untuk Eddie. Dan sekarang
giliran Eddie pula. Eddie akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada
Dayana."
"Tapi Eddie..."
Dayana cuba membantah.
"Keputusan Eddie
muktamad. Eddie akan melamar Dayana. Tapi sebelum tu Eddie ada perhitungan yang
perlu diselesaikan dengan Arshad.'
"Eddie, jangan!"
Suara Dayana sudah tidak dihiraukan lagi oleh Eddie. Dia telah menuju ke arah
motosikalnya. Dayana hanya mampu memerhatikan Eddie berlalu dengan deruman
enjin yang kuat, sebagaimana kemarahan yang sedang bersemarak di dalam diri
pemuda itu.
BERSAMBUNG...
Terima kasih kerana sudi mengikuti kisah ini. Ini adalah bab terakhir yang bersiaran di blog PENA VR. Sambungannya akan dibuat dalam novel saya jika ia diterima untuk diterbitkan, insya-Allah... ^_^
Bab ini adalah bab terakhir RBSS yang disiarkan di blog ini. Nantikan sambungannya dalam bentuk novel yang bercetak, jika ada rezeki saya untuk melihat novel ini diterbitkan. Harap maklum ^_^
BalasPadamsalam..
BalasPadamnk tanya, novel ni keluaran mana ya? saya nk bace full story =P
Wsalam..
PadamBelum ada lagi... belum pasti sama ada ingin terus cari penerbit atau hasilkan sendiri...
apa-apapun akan dimaklumkan nanti... t.kasih ^_^
Bab 28-34 ada disiarkan di grup FB saya..
PadamLink: facebook.com/groups/penavr/