Hari Ahad adalah hari yang
ditunggu-tunggu Izara. Namun hakikatnya dia masih belum boleh merehatkan diri
sepenuhnya. Pelbagai kerja rumah menanti. Mengemas ruang tamu, menyapu laman
dan macam-macam lagi.
"Yati, Milah. Cuba tolong
Izara buat kerja rumah. Dahlah kat kedai dia yang uruskan jahitan. Takkan kat
rumah pun Izara yang kena buat semuanya." Tegur Sameon.
Hayati segera mengangkat kaki
meninggalkan rumah, seolah-olah tidak menendahkan kata-kata bapa tirinya.
Karmilah masih bergayut di telefon. Dia asyik dengan perbualan dan tidak
sepatah pun kata-kata Sameon dia dengar.
Sameon hanya menggeleng.
"Alah, biarkanlah Izara yang
buat. Dia ni teliti sikit orangnya, tak macam Si Yati dengan Milah. Tak sama
kalau budak-budak tu buat. Abang nak kopi, biar saya pergi buatkan, ya?"
Rubiah memegang lembut bahu suaminya.
Izara hanya tersenyum sinis. 'Itu
nak ambil hati bapak aku lah tu. Mak dengan anak sama aje.' Izara melayan
perasaan.
Sebenarnya Izara tidak kisah jika
dia yang mengemas setiap minggu. Walaupun tidak disuruh dia akan menjalankan
tugas itu.
'Dapat juga buang peluh dengan
buat kerja rumah. Seminggu duduk memerap depan mesin jahit.' Izara menyedapkan
hati.
Cuma satu perkara yang membuatkan
Izara tidak selesa dengan kerja mengemas ruang tamu. Bahagian itu dipenuhi
dengan pebagai koleksi tembikar Rubiah. Pernah Izara tersinggung sebuah ukiran
tembikar hingga pecah. Berhari-hari Izara dilayan dengan buruk.
'Mak Cik Rubiah sayang sangat
dengan koleksi tembikar dia. Harganya tidak seberapa.' Rungut Izara.
Sameon cuba membela Izara selepas
barang tembikarnya dipecahkan Izara. "Apa yang awak nak kisahkan sangat
kalau pecah pun. Boleh beli lagi."
"Amboi, sedapnya mulut awak.
Kalau asyik nak kena beli lagi, taukeh balak pun boleh bankrap. Abang nak saya
tolak gaji Izara kerja i kedai." Terjengkit-jengkit bibir Rubiah menjawab.
Sambil menyapu, Izara melayan
perasaan. 'Kalau aku bukan main berkira. Yang anak-anak dia makan gaji buta tu,
apahal? Lagipun ini asalnya kedai mak aku. Dia yang pandai-pandai tukar nama
dia. Helo... cuba sedar diri tu sikit.'
Dalam Izara begitu berhati-hati
hari itu, penyapu yang digunakan untuk membersihkan bahagian bawah sofa
terlanggar pasu tinggi yang terletak di situ. Batang penyapu tersauk pasu itu
yang sememangnya tidak stabil dan terus tumbang.
Praang!...
Izara tergamam. Dia terus
membongkok dan mengutip serpihan kaca pasu yang bersepah. Rasa gelabah mula
menguasai dirinya. Sejurus itu telinganya terasa panas dan pedih.
"Engkau ni kalau satu hari
tak menyakitkan hati aku memang tak sah." Suara berbisik di belakangnya
sambil telinganya masih lagi dipiat. "Kalau kaki aku terpijak kaca, nahas
kau aku kerjakan."
Izara menahan keperitan itu
seperti hari-hari sebelumnya semenjak bapanya berkahwin dengan wanita itu. Dia
dan anak-anaknya tidak pernah mengendahkan perasaan Izara. Izara dilayan
seperti budak hingusan walaupun dia sekarang seorang gadis.
'Sampai bila agaknya aku dapat
bertahan dengan semua dugaan ini? Dahlah
kerja di kedai dan rumah semuanya aku yang kena buat. Itu masa ayah ada. Kalau
ayah tak ada macam mana agaknya nasib aku?' Bisik hati Izara ketika air mata
sudah berjuraian seperti selalu.
Usai memastikan tiada lagi
serpihan kaca yang masih bersisa di lantai, Izara ke laman untuk menanam
serpihan kaca yang dikutip.
Dia terus melayan perasaan dengan
menyapu dedaun kering untuk dibakar. Ketika itulah banyak peluh bertoksin yang
keluar. Selepas membakar sampah dia akan terasa lebih segar.
Biasanya Izara akan menyejukkan
badan di bawah pohon mangga di atas bangku yang ada di situ. Masa santainya
terganggu hari ini dengan teriakan dari bahagian dapur.
"Abang!... Abang!... Yati!
Milah! Izara! Cepat tengok apa dah jadi pada ayah kamu ni!... Abang! Bangun
bang! Abang!..." Suara Rubiah meraung dari dalam.
Izara segera masuk dan terus
menuju ke meja makan. Dia melihat ayahnya menggelupur bersama mulut yang
mengeluarkan buih putih seperti sedang menggelegak.
"Ayah! Apa dah jadi
ayah?!..." Pertanyaan Izara tidak berjawab hinggalah lelaki itu
menghembuskan nafas yang terakhir.
***
Hari in ada tetamu di rumah
Izara. Lelaki itu belum pernah Izara lihat. Mungkin lelaki dari kampung
seberang. Izara hanya memasang telinga mendengar perbualan yang sedang rancak
di ruang tamu.
"Saya bukan apa Pak Jabar.
Semenjak pemergian arwah Meon, saya kesian tengok Izara tu. Sekurang-kurangnya
bila dah kahwin dengan Pak Jabar nanti, taklah dia asyik teringatkan arwah
sebab sibuk dengan tanggung jawab sebagai isteri. Itupun kalau Pak Jabar
sanggup bayar macam yang kita bincang dulu." Rubiah mengatur rancangan
bersama lelaki yang sudah berumur dalam tujuh puluhan itu. "Kalau Pak
Jabar setuju, nanti kita tetapkan tarikh perkahwinannya. Tak payah
bertunanglah, lagi cepat selesai lagi bagus."
Izara tergamam mendengar.
Pak Jabar pernah datang merisik
anak-anak dara di rumah ini. Setelah melihat mereka bertiga, hatinya terpaut
dengan Izara. Rubiah beria-ia mempromosi anak-anaknya.
Pak Jabar bukanlah lelaki yang
muda dan tampan, sebaliknya seorang duda yang berharta. Kerana itulah Rubiah
bersungguh ingin bermenantukan lelaki yang lebih tua daripada dirinya. Akhirnya
segala usaha yang dibuat menemui jalan buntu.
Mujurlah Sameon menolak
permintaan Pak Jabar. Kalau tidak, sudah tentu Izara bersuamikan lelaki yang
jauh lebih tua daripada dirinya. Namun selepas pemergian Sameon, Rubiah
meneruskan rancangannya menggunakan Izara.
Malam itu Izara sukar melelapkan
matanya. Tidak lama lagi dia terpaksa mengakhiri zaman bujangnya dengan menjadi
isteri kepada lelaki yang selayaknya dipanggil ayah.
'Tergamak Mak Cik Rubiah rancang
perkahwinan aku tanpa minta buah fikiran aku dulu. Adakah ini semua helah dia
untuk menyingkirkan aku dari rumah ni?' Izara sudah mula sebak. 'Kalaulah ayah
masih ada. ada juga tempat aku mengadu. Sekarang aku dah tak ada sesiapa lagi.'
Air mata Izara sudah mula
menitik. Lekas-lekas dia mengelapnya dengan hujung lengan baju. Dia memeluk
bantal dengan erat. Dadanya terasa terhimpit dengan keadaan yang dia alami.
'Apa ikhtiar aku untuk
menyelamatkan diri. Aku tak sanggup lagi menjadi alat Mak Cik Rubiah dengan
rancangannya yang memetingkan diri sendiri. Sudah cukup apa yang dia buat
selama ini. Aku tak sanggup menjadi keldai tunggangannya.' Satu semangat baru
muncul dalam diri Izara.
Setelah air matanya kering dalam
kelesuan, matanya dapat juga lena.
***
Izara tersedar awal pagi itu. Dia
sempat mengerjakan solat tahajud dua rakaat menjelang waktu subuh.
"Ya Allah, hambamu ini
memohon agar Kau ubah perjalanan hidupku ke arah yang lebih baik. Aku bimbang
jika aku tak mampu menanggung beban yang sedang aku galas ini. Dengarlah
permintaan hamba ini wahai Tuhan yang Maha Mendengar keluhan hamba-Mu."
Ratapan sayu Izara di waktu pagi yang masih gelap bersama dingin yang berembun
di luar.
Usai mengerjakan solat subuh,
hati Izara digerakkan untuk melakukan satu tindakan drastik. Dia ingin lari
dari rumah. Barang-barang dikemas ke dalam beg yang akan dibawa. Segala
dokumen, sijil dan barang peribadi dibawa bersama. Dia sudah nekad untuk ke
Kuala Lumpur tanpa pengetahuan ibu dan adik-beradik tirinya. Mungkin dia akan
pergi tanpa menjejakkan kaki ke rumah ini lagi.
Dengan perlahan-lahan dia
meninggalkan rumah agar tidak mengejutkan ahli rumah yang lain.
'Dah tak apa lagi yang tinggal
untuk aku di sini. Hanya memori duka yang menghancurkan hati.' Izara menguatkan
semangat.
Dia menarik nafas lega apabila
sudah meninggalkan pekarangan rumah tanpa disedari oleh sesiapa.
'Kalau berjalan kaki ke jalan
besar, sekurang-kurang dah ada bas yang lalu bila aku sampai nanti.' Bisik hati
Izara.
Suasana gelap sudah mula berbalam
setelah dia mula menapak sepanjang jalan tanah merah bersama hutan di kiri
kanan jalan. Rasa takut sudah hilang apabila dia memikirkan perbualan yang
didengarnya semalam.
'Sampai hati Mak Cik Rubiah nak
jodohkan aku dengan lelaki tua bangka macam tu. Dahlah aku disiksa macam hamba
abdi di rumah, sekarang dia nak seksa hidup aku lepas aku kahwin pula.'
Jalan dari rumah Izara ke jalan
besar lurus dan tiada berbelok-belok. Walaupun tiada lampu yang menerangi
jalan, dia tetap akan sampai ke jalan besar jika dia berjalan terus.
Tetapi Izara mula cuak apabila
tiba di kawasan yang berkabus. Dia melewati kabus yang menutup pandangan
daripada apa yang ada di hadapan.
Pemandangan selepas dia melewati
kabus itu terlalu asing. Seolah-olah dia sudah tersesat dan tiba di tempat yang
lain, sedangkan dia masih lalu di jalan yang sama untuk ke jalan besar.
Dia mengambil keputusan untuk
berpatah balik, tetapi pemandangan di belakangnya juga sudah berubah.
Seolah-olah jalan untuk pulang ke rumah sudah hilang dengan tiba-tiba. Rasa
cemas bersama bulu roma yang mula merinding menambah debar di hati Izara.
Matahari sudah mula berbalam
dengan cahaya kekuningan mengintai di celah-celah dahan pokok yang sayup
meninggi. Izara mula sedar tiada talian elektrik atau telefon di kawasan itu.
Izara tiba di kawasan jeram yang
jernih airnya. Kehausan berjalan menyebabkan Izara meneguk air jeram itu dengan
tangannya. Airnya terasa manis dan segar.
'Di mana aku? Suasana di sini
nampaknya terlalu asing dan jauh dari pembangunan. Seperti hutan yang masih
belum ditemui oleh sesiapa.' Izara berfikir sambil dia terus menapak mencari
jalan keluar.
"Enak air itu bukan?"
Suara lelaki yang parau dan tenang di belakang Izara menyebabkan dia tersentak.
Izara dapat rasa degupan jantungnya bagai terhenti seketika. Darahnya juga
bagaikan berhenti mengalir sejenak dengan suara lelaki yang muncul secara
tiba-tiba itu.
Lelaki itu agak berumur dan
kurus. Rambut dan janggutnya sudah putih dengan kulit yang mula cekung dan
berkedut. Namun air mukanya tetap berseri dan tenang, seperti ada pancaran
dengan aura yang mendamaikan jiwa.
Izara tergamam. Dia masih
membongkok di tepi jeram sambil matanya tertancap pada lelaki itu. Dia tidak
mampu bersuara. Malah dia tidak tahu apa yang ingin dia bicarakan.
"Air jeram ini telah lama
mengalir, dan ia akan terus mengalir dan mengalir selagi wujudnya Hutan Kabus
Melintang ini."
Izara masih belum mampu bersuara
kerana terlalu terkejut.
"Hutan ini adalah anugerah
daripada Yang Satu. Ia adalah sebuah jambatan yang menghubungkan dunia ini dan
pelbagai alam kejadian Tuhan. Semuanya bergabung menjadi satu dengan
laluan-laluan yang berbeza. Ramai yang datang ke sini mencari jawapan kepada
soalan yang bersarang dalam diri mereka. Ada yang berjaya dan menemui
penyelesaian yang hakiki. Ada yang gagal dan datang ke sini semula. Segalanya
berkemungkinan selagi pintu gerbang ke sini masih lagi dibuka. Selagi mereka
masih boleh menemui jalan masuk dan keluar... melalui kabus.
"Adakah semua orang boleh
lihat laluan berkabus ini?" Tanya Izara setelah semangatnya sudah mula
pulih.
"Hanya untuk yang mencari
jawapan kepada soalan yang tertentu. Selagi dia masih belum berjumpa jawapan
yang pasti, laluan ini masih akan terus terbuka. Sehinggalah dia sedar apakah
jawapan sebenar. Jawapan yang hakiki. Jawapan yang tidak dapat disangkal lagi
kesahihannya."
'Semakin lama orang tua ni
menerangkan, semakin aku tak faham apa yang ingin dia sampaikan!' Hati Izara
membentak dalam diam.
"Jangan risau. Sampai
masanya kamu akan faham juga." Jawapan orang tua itu seperti boleh membaca
fikiran Izara, atau ia sekadar kebetulan.
"Pak cik siapa?" Tanya
Izara.
"Aku adalah musafir yang
mengembara dalam alam yang tidak zahir kewujudannya. Menjadi tempat rujuk
kepada yang bertanya. Membawa cahaya kepada yang dilanda kegelapan. Menjadi
penunjuk jalan kepada yang tersesat. Tetapi tidak pernah akan memberikan
jawapan yang sebenar. Kerana jawapan itu jauh tersembunyi di dalam diri yang
bertanya. Hanya akan ketemu bila tiba masanya."
Izara cuba bangun setelah terlalu
lama membongkok di tepi jeram.
"Maksud saya nama
pak...," Izara bersuara setelah matanya beralih dari orang tua itu buat
seketika.
Tetapi orang tua itu sudah tiada
lagi di situ. Dia sudah ghaib. Dia hilang dalam sekilas pandangan, tanpa kesan.
Darah Izara berderau buat
seketika. Mustahil lelaki itu boleh berjalan meninggalkan tempat itu dalam
sekelip mata.
Izara sudah nekad dengan
keputusan yang dibuat. Sekarang sudah tidak ada masa untuk berpatah balik lagi.
Dia perlu dapatkan jawapan yang dicari.
***
Sudah hampir empat jam Izara
berjalan tanpa henti.
Jalan yang ditempuh Izara semakin
sukar. Dia terpaksa mendaki bukit yang curam di kawasan berbatu. Tiada jalan
lain kecuali denai yang menuju ke atas itu.
Kelaparan dan kehausan sudah mula
menguasai hingga Izara terasa lemah. Rasa menyesal timbul kerana masuk ke dalam
kawasan berkabus.
Izara dapat rasakan kakinya
seperti diikat dnegan batu yang berat. Setiap langkah begitu menyiksakan dan
terasa begitu lambat. Sudah begitu lama dia menapak tetapi masih lagi berada di
kaki bukit.
Izara sudah tidak berdaya lagi.
Dia bersandar di tepi batu besar yang ada di tepi denai. Rasa loya kerana
terlalu penat sudah bergayut di tekak. Pandangannya mula kabur dan berbalam.
Hanya beberapa saat selepas dia mula bersandar, Izara sudah tidak boleh
memikirkan apa-apa lagi. Dalam kelesuan bersama silau matahari yang sudah mula
terik, pandangan Izara mula kabur. Akhirnya pandangannya mula gelap dan dia
sudah tidak sedar lagi.
best...ada sambungan lagi kan?..nak tahu juga siapa org tua tu
BalasPadamTQ Nur. ^_^
PadamYa, ada beberapa bahagian. Cuma update 2 minggu sekali, sebab ada 2 mini e-novel jalan sekaligus. Huhu..