BAB 26
Qiarra tidak keluar bilik
semenjak pagi tadi. Fikirannya kusut memikirkan maklumat terbaru yang diterima.
Rahsia itu masih disimpan tanpa berkongsi dengan sesiapa termasuk Sara atau
Mimi. Dia mahu membuat keputusan berpandukan nalurinya
sendiri, bukan dipengaruhi oleh orang lain.
Dua sisi dalam dirinya sedang
hebat bertarung untuk mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Sisi yang baru
telah muncul semenjak kes dia diculik tempoh hari.
'Adakah ini satu lagi konspirasi
untuk memerangkap aku? Dalang penculikan aku dulu masih bebas dan dia mampu
melakukan semua ini.' Sisi pesimistik Qiarra cuba berhujah.
'Tapi bagaimana kalau mesej
ini dihantar oleh orang yang jujur? Kalau aku lepaskan peluang ini, belum tentu
aku akan dapat peluang kedua. Apa yang dikatakan skandal hospital itu sampai
bila-bila aku tak akan tahu. Mungkin ada jawapan bagi kes yang melanda keluarga
aku sekarang ini. Mungkin juga jawapan yang papa cari selama ini. Tapi perlukah
aku kongsi maklumat ini dengan papa dan mama? Bagaimana kalau mereka takut ini
satu lagi helah dan aku tak dibenarkan keluar dengan bebas, takut-takut aku
akan jadi mangsa lagi?' Pelbagai persoalan bermain di fikiran Qiarra
bertubi-tubi.
'Kalau Eddie ada boleh juga
aku berkongsi maklumat ini dengan dia? Tapi dia tak jawab telefon langsung.
Aduh... pening kepala dibuatnya!' Keluh Qiarra.
'Apa yang aku nampak
satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan aku pergi ke sana. Kalau ini
konspirasi lagi macam mana? Kali ni walau apa pun yang berlaku aku tak akan
keluar. Tapi kalau mereka nampak aku macam mana?' Sisi pesimistik Qiarra cuba
memujuk Qiarra lagi supaya melupakan rancangannya malam nanti.
'Aku rasa satu kebodohan
besar kalau aku sia-siakan rancangan ini kerana takut menjadi mangsa lagi. Aku
perlu lebih berhati-hati kali ini. Sampai bila aku nak biar diri aku dihantui
trauma. Aku mesti kuat. Aku mesti tabah, macam yang papa katakan.'
Dalam diam Qiarra sudah dapat
kekuatan yang dicari-cari. Mahu tak mahu, sisi pesimistiknya terpaksa menyerah
kalah.
"Cik Qiarra janganlah
keluar malam ni. Saya takutlah... Kalau jadi apa-apa pada Cik Qiarra lagi macam
mana." Bebel Bibik Rusila selepas Qiarra memberitahu rancangannya malam
itu. Bibik Rusila adalah satu-satunya harapan untuk dia keluar tanpa
pengetahuan orang tuanya.
"Jangan risaulah bibik.
Kali ni saya akan betul-betul berhati-hati. Saya tak ada pilihan lain. Saya tak
boleh lepaskan peluang ni." Qiarra cuba menenangkan pembantu rumah yang
sudah tampak keresahan pada wajahnya.
Wanita itu sudah tidak mampu
bersuara lagi. Dia tidak mampu mengubah pendirian anak majikannya.
"Hati-hati Cik
Qiarra," suara Bibik Rusila ketika Qiarra meninggalkan rumah untuk ke
garaj. Kerisauan masih jelas kelihatan di wajahnya.
Jam menunjukkan pukul 10.57
malam. Sudah lebih sejam Qiarra menunggu. Dia hendak memastikan tiada yang tahu
dia sedang menunggu di dalam kereta. Pelbagai langkah berjaga-jaga sudah
dirancang sekiranya jejaknya dikesan.Tidak pernah dia terfikir akan melakukan perkara
merbahaya seperti ini. Tetapi ini risiko yang terpaksa dia ambil.
'Bagaimana kalau lelaki itu
kenal Beetle kuning aku?' Minda Qiarra cuba mempengaruhinya di saat-saat akhir.
'Aaah! Dah terlambat
sekarang. Sudah tak ada masa untuk aku tukar rancangan. Kalau aku pinjam kereta
Sara sekalipun, aku terpaksa beritahu sebab aku pinjam. Akhirnya aku terpaksa
beritahu hal yang sebenar juga.' Dia cuba menyedapkan hati.
Dalam situasi pertarungan
yang berlaku di dalam mindanya, dia terlihat kelibat seorang lelaki berpakaian
segak bertali leher menuju ke kawasan sampah. Beetle Qiarra diparkir
bersebelahan dengan dua buah kereta di kiri dan kanan. Dia masih berharap dalam
suram cahaya lampu jalan tiada siapa yang akan mengenali kereta dan nombor plat
keretanya.
Qiarra sudah bersedia dengan
kamera Olympus di tangan. Fungsi zoom digunakan untuk mengambil gambar lelaki
itu pada jarak dekat.
'Dah macam penyiasat
persendirian pulak aku ni! Dah ada pengalaman ni boleh buat agensi
penyiasatan.' Gurauan Qiarra ketika hatinya berdebar-debar dengan tugas yang
amat berbahaya malam itu.
Tidak lama kemudian satu
kelibat manusia lagi muncul. Melihat tubuh itu, mata Qiarra terbeliak luas. Dia
tergamam seketika sebelum mula mengambil gambar jarak dekat, klik demi klik.
"Bukankah itu lelaki
yang ada bersama geng Azad masa aku diculik dulu? Aku ada dengar Azad panggil
nama dia dulu. Apa nama dia? Nama dia pelik sikit. Macam nama orang dulu-dulu.
Macam nama mat saleh pun ada. Apa nama dia ya?... Hah! Guntor! Baru aku ingat.
Aku dengar Azad panggil dia dengan nama tu. Aku cukup cam dengan jeket labuh
berkelubung kepala tu." Qiarra berbicara seorang diri.
Qiarra dapat lihat lelaki
bertali leher menyerahkan sekeping sampul kepada lelaki berkelubung. Sambil itu
matanya melingas memandang sekeliling bagi memastikan tiada yang memerhatikan
gerak-geri mereka.
Setelah selesai pertemuan
kedua lelaki itu. Qiarra berdiam diri di dalam kereta buat seketika. Setelah
dia pasti tiada yang syak kehadirannya di situ, Qiarra terus beredar meninggalkan
kawasan parkir.
'Tak sabar rasanya untuk aku tunjuk gambar-gambar ni pada papa. Tentu
ada cerita di sebalik semua ni.' Bisik hati Qiarra sambil Beetle kuning dipecut
laju meninggalkan kawasan hospital.
Pagi itu Qiarra mengambil
peluang keemasan ketika melihat kedua orang tuanya sedang bersantai di ruang
tamu.
"Papa, Qiarra ada
sesuatu nak tunjuk pada papa." Suara Qiarra bersama kamera yang dibawa
semalam ada di tangannya.
"Gambar apa ni?"
Tanya Datuk Hafizudin sambil meletakkan akhbar di atas meja kopi. Kamera itu
lantas dicapai.
"Gambar Qiarra ambil di
belakang hospital malam tadi. Qiarra terpaksa keluar tanpa beritahu papa dan
mama. Qiarra minta maaf. Qiarra terpaksa." Qiarra membuat keputusan
berterus-terang tanpa berselindung.
"Tapi macam mana Qiarra
tahu?" Datuk Hafizudin merenung tajam wajah anaknya.
"Qiarra dapat SMS. Dari
siapa Qiarra tak tahu."
"Qiarra memang tak serik
kan? Baru lepas kena culik hari tu, sekarang buat hal lagi. Nasib baik tak jadi
apa-apa. Qiarra ni memang degil!" Leter Datin Maznah.
Datuk Hafizudin tidak
bersuara sambil dia meneliti satu demi satu gambar pada skrin di kamera Olympus
di tangan. Dahinya juga berkerut.
Pada mulanya dia ingin
menyergah Qiarra kerana terlalu berani mengambil tindakan drastik itu, tetapi
gambar-gambar itu sudah mengalihkan fokusnya.
"Papa kenal lelaki dalam
gambar tu?" Tanya Qiarra. Dia sudah tidak sabar mendapatkan jawapan kepada
pelbagai soalan yang galak menerjah benaknya.
"Yang pakai tali leher
ni papa kenal. Nama dia Hashim. Dia orang penting dan berkuasa di hospital.
Yang satu lagi ni papa tak kenal." Jawab lelaki itu sambil terus meneliti
gambar di kamera.
"Kalau papa dan mama nak
tahu, lelaki berkelubung tulah yang jadi dalang culik Qiarra hari tu. Tapi
Qiarra tak pernah nampak muka dia. Memang itu sebabnya dia pakai macam tu
agaknya, supaya tak ada sesiapa yang dapat cam muka dia."
Datin Maznah juga khusyuk
memerhatikan gambar di kamera.
"Dalam SMS tu dia beritahu
mereka berdua ni terlibat dalam skandal di hospital. Apa yang dia maksudkan
dengan skandal tu papa?" Tanya Qiarra.
"Skandal? Papa tak
pasti. Mungkin juga kes kehilangan Eddie, abang kamu dulu."
"Tapi kenapa sekarang
baru terbongkar? Jangan-jangan ada kaitan dengan keputusan ujian DNA hari
tu?" Qiarra melahirkan pendapatnya.
"Mungkin juga. Eh, ini tak
boleh jadi. Kita kena simpan salinan gambar-gambar ni. Papa akan ke hospital
dan bersemuka dengan Hashim. Dia dah tak ada pilihan lain lagi. Mahu tak mahu
dia kena beritahu hal sebenar atau kita dedahkan gambar ni pada pihak hospital."
Datuk Hafizudin mengatur rancangan.
"Qiarra nak ikut papa,
boleh?" Pinta Qiarra.
Agak lama Datuk Hafizudin
memandang wajah Qiarra sambil berfikir. Akhirnya dia mengangguk.
"Papa akan telefon dia
dulu. Kita set masa untuk dedahkan gambar-gambar ni pada dia." Suara Datuk
Hafizudin sambil melangkah bersama telefon bimbit di tangan.
Hashim tergamam melihat
gambar-gambar foto yang sedang berselerak di mejanya.
"Macam mana datuk dapat
gambar ni?... Apa maksud semua ni datuk?" Hashim cuba menutup pekong yang
sudah pun terdedah. Rintik-rintik peluh sudah mula memercik di dahinya,
walaupun pendingin hawa di hospital sudah dipasang pada tahap yang tinggi.
"Tak payahlah nak
berselindung dengan saya lagi. Tentu awak boleh bayangkan kalau gambar-gambar
ini saya dedahkan kepada pihak hospital. Atau lebih sensasi lagi kalau saya buka
kes ini kepada pihak media. Kes kehilangan bayi lebih dua puluh tahun lepas
tentu akan mendapat liputan muka depan semua akhbar. Arus perdana atau
tabloid." Datuk Hafizudin mengugut dalam sinis.
"Eh, jangan datuk...
Saya... sebenarnya...,"
"Tak payahlah awak nak
mereka cerita lain lagi. Sekarang ni beritahu saya apa yang dah berlaku dan
saya tak akan dedahkan rahsia ni." Pujuk Datuk Hafizudin.
Hashim bersandar sambil
menghela nafas dengan dalam. Sehelai sapu tangan dikeluarkan dari kocek untuk
menyeka peluh di dahi.
"Saya pernah buat
kesilapan masa saya muda-muda dulu. Saya leka berpeleseran di kelab dengan
kawan-kawan. Pada satu malam saya berjumpa seorang gadis yang terlalu cantik
dan seksi pada pandangan mata saya. Saya tak mahu lepaskan peluang keemasan
itu. Tapi saya tersalah langkah sebab
minuman saya dah dicampur dadah." Hashim terhenti untuk menyeka peluhnya.
Atau mungkin dia teragak-agak untuk menceritakan sambungan kisah silamnya.
"Saya jadi mangsa.
Gambar-gambar saya bersama perempuan tu diambil semasa kami..." Hashim
enggan meneruskan cerita dengan harapan Datuk Hafizudin faham apa yang
dimaksudkan.
"Seorang lelaki misteri
datang berjumpa saya dan mengugut akan mendedahkan rahsia saya kalau saya
enggan buat seperti yang dia minta."
"Siapa lelaki tu?"
Datuk Hafizudin mencantas cerita Hashim
"Saya tak kenal. Sampai
sekarang saya tak tahu nama dia. Dia nak saya aturkan penculikan bayi datuk.
Kuasa dan pengaruh di hospital terpaksa saya gunakan demi menyelamatkan rahsia
gelap saya. Tapi bila dia dapat tahu bayi datuk dah meninggal, dia ubah
rancangan."
"Jadi betullah anak saya
dah meninggal? Atau ini satu lagi helah awak?" Pintas Datuk Hafizudin.
"Betul datuk! Anak datuk
memang dah meninggal." Hashim cuba menegakkan kebenaran.
"Kalau macam tu di mana
dia dikebumikan? Saya perlukan kepastian." Datuk Hafizudin masih
ragu-ragu.
"Yang itu saya tak tahu.
Lelaki misteri tu tak beritahu saya apa-apa. Dia terus hilang macam tu
saja."
"Susah saya nak percaya
sekarang ni selagi saya tak tahu di mana anak saya dikebumikan." Jawab
Datuk Hafizudin.
"Tapi kenapa dia muncul
semula selepas lebih dua puluh tahun? Apa yang dia nak?" Tanya Qiarra.
"Dia dapat tahu datuk
minta buat ujian DNA untuk seorang pemuda. Dia datang jumpa saya dan ugut saya
lagi. Dia suruh saya pastikan keputusan ujian tu positif. Bermakna DNA lelaki
tu sama dengan datuk."
"Sekejap. Bermakna
keputusan ujian tu palsu?" Celah Datuk Hafizudin.
"Kami belum buat ujian
tu lagi. Laporan itu saya palsukan."
Datuk Hafizudin menggeleng.
"Awak tahu apa yang saya
takutkan berlaku di dunia ni? Salah satu daripadanya adalah apabila manusia berkuasa
seperti awak ni menyalah gunakan kepercayaan yang diberikan kepada awak. Itu
baru berkuasa di hospital. Bagaimana kalau awak berkuasa mentadbir negara atau
dunia?" Selar Datuk Hafizudin.
"Saya memang dah lama
menyesal dengan apa yang saya telah buat. Sebab itu saya buat keputusan untuk
melepaskan jawatan saya tak lama lagi. Saya dah tak mahu merosakkan hidup orang
lain semata-mata kerana menjaga nama baik saya. Cuma saya yang saya minta dari
datuk."
"Apa dia?" Kata
Datuk Hafizudin.
"Saya minta datuk
rahsiakan perkara ini. Saya mahu turun dengan cara baik. Tolonglah datuk."
Datuk Hafizudin hanya
mengangguk dengan permintaan lelaki itu.
"Terima kasih datuk.
Selepas ni saya nak bawa diri jauh ke luar negara. Saya nak lupakan peristiwa
hitam yang dah berlalu dalam hidup saya."
"Sebelum awak berhenti
saya nak awak lakukan satu perkara lagi," kata Datuk Hafizudin.
"Sebagai menebus
kesilapan saya pada datuk, saya sanggup buat apa saja."
"Saya nak awak jalankan
ujian DNA yang sebenar. Saya nak pastikan keputusannya. Kalau saya dapat tahu
awak cuba palsukan ujian kali ni, saya tak akan teragak-agak untuk dedahkan
rahsia silam awak."
"Baik datuk. Saya akan
pastikan keputusan ini adalah yang sebenar, bukan dipalsukan lagi."
Ketika matahari sudah mula menampakkan jalan dengan jelas, Eddie sudah
keluar rumah. Dia menuju ke pusara arwah ayah angkatnya. Sudah agak lama ia
tidak dibersihkan. Rumput yang sudah meninggi hingga ke paras betis dicabut
dengan tenang.
'Apa khabar agaknya ayah di sana? Semoga ayah sentiasa dalam
perlindungan Allah hendaknya.' Hati Eddie berbicara sendirian.
Usai membersihkan kawasan pusara, Eddie duduk bersila. Lembaran Yasin
dibuka dan damai suasana di perkuburan diserikan dengan lirih alunan suara
Eddie.
'Ya Allah, Kau lindungilah ayah sebagaimana dia mengizinkan aku
berteduh di rumahnya. Kau permudahkanlah urusannya di sana dan aku mohon agar
kau bersimpati dengannya. Sesungguhnya Kau Maha Mengampun dan Maha
Mengasihani.' Titipan doa Eddie pada pagi yang hening itu. Dingin embun masih
terasa menyegarkan dalam redup sinaran mentari pagi.
Suasana damai dan nyaman di pusara itu menyebabkan Eddie berterusan
duduk di atas tikar mengkuang yang dibentang. Kicauan burung sudah mula
kedengaran riuh. Beberapa ekor ciak seperti bergurau senda melompat dari dahan
ke dahan pohon kemboja yang tumbuh di situ.
'Mungkin ada baiknya aku ikut nasihat mak supaya aku tinggal di kampung
ini. Sekurang-kurangnya ada juga yang mengambil tahu keadaan dia. Kalau
ditakdirkan aku dan Qiarra adalah adik-beradik bagaimana? Ah, aku tak mahu
fikir semua tu. Terlalu banyak perubahan yang aku kena buat. Selama ni aku
hidup dalam keadaan hina sebagai anak pungut. Bukan mudah aku nak ubah. Kalau
aku jadi macam tanggang macam mana? Kerana kemewahan aku lupa pada ibu angkat
aku yang dah bersusah-payah membesarkan aku selama ni. Aku tak sanggup jadi
macam tu.' Eddie membiarkan fikirannya menerawang tanpa ada perkara khusus yang
difikirkan.
'Lagipun aku tak puas hati selagi tak berjumpa dengan Dayana. Aku rasa
aku tak akan balik ke KL selagi belum dengar berita pasal dia. Aku akan cuba
dapatkan maklumat terkini tentang Dayana daripada Mak Tom. Selagi aku tak dapat
kepastian yang dia tak apa-apa, aku aku terus tinggal di sini.' Eddie membuat
rancangan.
Kicauan burung yang kuat di dahan tidak jauh dari tempat Eddie duduk
menyebabkan dia tersentak. Dengan segera tikar mengkuang dilipat.
"Eddie balik dulu ayah," suara Eddie sambil memegang batu
nisan yang berada di atas pusara ayahnya. Kemudian dia mengatur langkah menuju
ke motosikal yang berada di tepi jalan.
Ketika Qiarra pulang petang
itu, Datuk Hafizudin sedang minum petang bersama Datin Maznah. Sekeping sampul
surat terletak di atas meja bersama teh beraroma strawberi dari Cameron
Highland yang terhidang di dalam cawan. Puding kastad karamel menjadi juadah
mereka petang itu.
Tanpa membuang masa atau
dipelawa, Qiarra terus mengambil tempat duduk.
"Keputusan ujian DNA
yang sebenar."
"Papa dan mama dah
tahu?"
"Belum. Kami tunggu
Qiarra." Jawab Datuk Hafizudin.
Datuk Hafizudin menghulurkan
sampul itu kepada Qiarra. "Qiarra baca apa keputusannya."
Dengan hati yang
berdebar-debar Qiarra membuka lipatan sampul dan mengeluarkan sekeping kertas
putih A4. Matanya meniti baris-baris surat itu.
Kemudian pandangannya beralih
kepada wajah ibu dan bapanya. Tanpa berkata apa-apa Qiarra tersenyum lebar
dengan wajah yang berseri-seri seperti mentari pagi.
Adehhhh,.dah jadi buku ke belum?
BalasPadamHehe.. harap bersabar ya... dah baca bab bonus di grup?
Padam