Apa yang kita impikan, apa yang
kita angankan, dan apa yang kita mahukan semuanya ada dalam pengetahuan-Nya.
Sebagaimana yang berlaku kepada seorang gadis di dalam dunia Fantasia Izara.
***
Kedai Jahit Rubiah memang
terkenal di Kampung Embun Seri. Kedai itu asalnya bernama Kedai Jahit Samirah
sebelum kematian pemilik asalnya.
Samirah adalah isteri kepada Sameon.
Mereka dikurniakan seorang anak bernama Izara. Samirah ada berdarah kacukan
orang Australia di sebelah datuknya.
Izara nampaknya mewarisi darah
kacukan itu dengan kulit yang putih mulus bersama mata yang coklat keperangan.
Disebabkan itulah, Izara sering menjadi mangsa manusia yang iri hati semenjak
kecil hinggalah dia sudah muda remaja sekarang.
Izara mewarisi minat ibunya.
Semenjak kecil dia mula mereka pakaian untuk anak patung Barbie yang dimiliki.
Minat itu berterusan hinggalah kini, dengan menjadi tukang jahit tetap di kedai
jahit warisan ibunya. Ramai yang memuji hasil jahitannya yang teliti dan kemas.
Jarang yang menghantar hanya sekali di kedai itu setelah melihat hasil jahitan
Izara.
Samirah pergi meninggalkan Sameon
dan Izara pada usia yang agak muda. Izara sempat berguru dengan ibunya hanya
beberapa tahun apabila wanita itu menghidap kencing manis. Kemudian melarat
menjadi buah pinggang dan darah tinggi, seperti yang biasa digelar orang
penyakit tiga serangkai.
Izara meneruskan legasi ibunya
seorang diri sehinggalah ayahnya jatuh hati dengan seorang perempuan kampung
seberang bernama Rubiah. Janda itu sudah beranak dua. Kedua-dua anaknya bernama
Hayati dan Karmilah.
Rubiah pernah membuka kedai
jahit, tetapi tidak bertahan lama kerana jahitannya selalu tidak memuaskan hati
pelanggan. Anak-anaknya juga membantu di kedainya selepas kematian suami tetapi
masing-masing seperti melepas batuk di tangga. Hayati berperwatakan tomboy dan
tidak minat dengan kerja-kerja menjahit yang perlu berhalus. Karmilah kuat
berangan sehingga hasil kerjanya selalu lambat siap.
Adakah Rubiah cuba memikat Sameon
kerana ingin mengambil alih kedai jahit dengan tukang jahit yang disenangi
ramai pelanggan? Mungkin juga.
Selepas berkahwin dengan Sameon,
dia terus menukar nama kedai itu bersempenakan namanya. Hayati dan Karmilah
juga bekerja di situ.
***
"Apa ni Rubiah?! Kau tengok
jahitan ni. Aku beli kain mahal-mahal tapi jahitan macam ni! Patut ke?!"
Rohayu membebel sambil menunjuk-nunjuk baju kebaya yang terletak di atas meja.
Izara hanya berdiam diri. Dia
tahu sejarah jahitan baju itu. Rubiah menyuruh Hayati dan Karmilah menjahit
baju itu kerana Izara terpaksa menyiapkan baju seorang Mak Datin. Hayati memang
tak suka kerja-kerja berhalus dan Karmilah banyak bergayut di telefon. Apabila
sudah suntuk baru dia menyiapkan dengan tergesa-gesa.
"Izara! Mari sini!"
Suara Rubiah memanggil.
"Ada apa Mak Cik?"
Izara memang tidak mahu memanggil perempuan itu dengan panggilan ibu atau mak.
Baginya panggilan itu hanya layak untuk ibu kandung juga. Mungkin juga dia ada
sebab-sebab yang tersendiri.
"Kau boleh perbetulkan
jahitan ni?"
"Ini bukan jahitan
saya."
"Aku bukan tanya sama ada
kau yang jahit atau tak. Aku tanya kau boleh perbetulkan atau tak?"
"Boleh, tapi ..." Izara
tidak sempat menghabiskan ayat.
"Tak apa Kak Ayu. Biar Izara
perbetulkan. Esok boleh datang ambil."
Izara terpinga-pinga.
'Esok? Cepatnya!' Bentak hati
Izara.
"Kalau aku tahu bukan Izara
yang jahit, tak ingin aku nak hantar kat sini. Huh!" Wanita itu
memuncungkan mulut sebelum meninggalkan kedai.
Hayati mengejek dengan mengajuk
kata-kata Rohayu selepas perempuan itu beredar. Kemudia dia menyepak kerusi
dengan kasar.
Karmilah tidak mengendahkan
mereka semua. Dia masih di telefon dengan suara manja. Tentunya bersama salah
seorang daripada teman lelakinya yang ramai seperti koleksi kasut dan beg
tangan yang dia miliki. Cenderahati yang dia dapat setiap kali pergi membeli
belah bersama mereka.
Rubiah langsung tidak bertanyakan
sama ada Izara mampu menyudahkan atau tidak segala kerja jahitan yang ada.
Kemudian dia menyambung membaca majalah yang baru dibeli.
Perkara yang sama selalu berlaku.
Izara terpaksa memperbaiki jahitan Hayati dan Karmilah. Rubiah tidak pernah
memarahi kedua anaknya, sebagaimana dia tidak pernah mengambil tahu bebanan
kerja Izara. Dia menetapkan tarikh siap sesuka hatinya. Kalau ada pelanggan
marah kerana janji tidak ditepati, dia akan menyerahkannya kepada Izara.
'Sampai bila aku nak dilayan
macam ni? Rasanya macam hamba abdi pulak!' Izara merungut dalam diam. Apabila
sudah tidak tertanggung lagi, hanya air mata yang dapat meredakan marah yang
berbuku.
"Eh, dah tengah hari. Jom!
Mak nak ajak korang berdua shopping.
Kat pekan ada tawaran separuh harga. Lepas tu kita pergi makan kat Pizza
Hut."
Kemudian mereka bertiga keluar
dengan selamba, tanpa berkata apa-apa kepada Izara. Izara dibiarkan
terkapai-kapai seorang diri menangani bebanan tugas dan kerenah pelanggan yang
datang. Jauh sekali untuk membelikan makanan atau buah tangan untuk gadis itu.
Seperti biasa Izara akan makan
bekal yang dibawa pagi tadi sebelum ke kedai. Dia tidak pernah mengadu dengan
ayahnya atas apa yang berlaku.
'Biarlah segala kepahitan aku
tanggung sendiri. Kalau aku mengadu, silap haribulan makin teruk aku dibuli di
kedai. Entah apa pulak yang nak dibuat anak-beranak bertiga tu.' Izara cuba
memujuk hati.
Rubiah dan anak-anaknya jarang
masuk ke kedai pada sebelah petang. Hanya apabila ada pelanggan penting yang
rapat dengan mereka. Selalunya mereka telah menelefon lebih awal untuk berjumpa
di kedai. Biasanya Mak Datin atau golongan VIP yang sudah tahu hasil kerja
tangan Izara. Pelanggan-pelanggan inilah yang akan dilayan oleh Izara. Dari
awal mengambil tempahan hinggalah siap jahitan. Kehadiran Rubiah hanya sebagai
alasan supaya dapat bermesra dengan mereka.
'Kalau aku boleh kumpulkan segala
teknik Mak Cik Rubiah tiga beranak ni, dah boleh siap satu buku.' Izara melayan
kemarahan apabila perkara itu terlintas di fikiran.
Izara meregangkan otot-otot yang
sedang lenguh. Dia memerhatikan lambakan kain yang perlu dijahit untuk tempahan
yang akan diambil esok.
"Mana nak siapkan jahitan
Mak Datin dua helai. Nak betulkan kebaya Mak Cik Ayu lagi." Keluhan lirih
Izara.
Dia mengenepikan pakaian buat
sementara dan mengeluarkan bekal yang dibawa. Sambil itu dia melayan facebook
dan video youtube. Ada drama yang dia terlepas sebab terlalu lama di kedai.
Itupun dia dapat menonton beberapa minit sahaja selepas selesai makan dan
terpaksa menyambung kerja semula.
"Hmm... dia orang keluar
sedap-sedap makan pizza. Aku makan ajelah nasi dengan lauk malam tadi. Nasib,
nasib." Izara melayan perasaan.
***
Izara melihat jam. Sudah pukul
enam petang.
'Macam mana nak balik ni? Kerja
banyak tak siap lagi.' Izara mengeluh.
Sedang dia melayan lamunan,
telefon berbunyi.
"Izara? Kamu kat mana?"
Suara ayahnya di telefon.
"Kat kedai lagi ayah."
"Eh, dah nak malam ni.
Kenapa tak balik lagi?"
"Banyak kerja lagi yang nak
disiapkan."
"Takkan kamu nak buat
sorang-sorang. Ni Mak Cik Rubiah, Yati dengan Milah dah berehat tengok TV kat
rumah. Kenapa tak minta tolong dia orang?" Sameon seperti tidak puas hati.
"Nak buat macam mana, ayah.
Ini permintaan pelanggan. Dia orang nak Izara juga yang buat." Izara
berdalih.
"Hmm... anak ayah ni. Kerja
keras betul. Sebelum tu, ayah nak tanya dulu. Ada tak kawan ayah datang dengan
isterinya. Katanya nak menempah baju dengan kamu. Nama dia Pak Nasir."
"Tak ada pulak. Nama isteri
dia?" Izara terfikir mungkin wanita itu datang tanpa suaminya.
"Kasmah. Ada tak?"
"Tak ada pulak ayah.
Kenapa?"
"Ayah berkenan dengan anak
lelaki dia. Khairul nama dia. Manalah tahu kalau-kalau sesuai dengan citarasa
kamu." Usik Sameon.
"Ayah ni... ke situ pulak
perginya."
"Bukan apa. Ayah ni bukannya
hidup selama-lamanya. Nak juga merasa menimang cucu sebelum menurut jejak arwah
ibu kamu."
"Ayah jangan risau okey.
Sampai masa nanti mesti Izara jumpa calon yang sesuai. Yang pastinya bukan
macam Pak Jabar."
Izara mendengar suara ayahnya
tertawa. Kata-kata itu cukup menggeletek hatinya.
"Macam-macamlah anak ayah
ni. Izara nak makan apa malam ni? Nanti ayah tolong hantarkan."
"Apa-apa pun boleh ayah.
Asalkan nasi. Nanti ayah tolong bawakan kopi kaw dalam termos. Izara kena
berjaga malam ni."
"Yalah. Nanti pastikan semua
pintu kunci. Grill pastikan bermangga. Tak ada maknanya ayah pasang grill kalau
tak bermangga. Hah, solat jangan lupa jaga. Benda-benda pelik ni suka orang
yang tak jaga solat." Pesan Sameon.
"Ayah ni buat saspens Izara
ajelah! Yalah, Izara tahu. Lagipun kawasan ni sibuk. Ada warung kat
sebelah." Rungut Izara.
"Itu ayah tahu. Tapi kamu
jangan merayau ke situ pulak malam-malam ni. Kalau ada orang tegur atau kacau
jangan buka pintu. Buat tak tahu aje. Nanti kejap lagi ayah datang."
Sameon begitu prihatin dengan anak kandung tunggalnya.
"Yalah," Izara
mengakhiri panggilan.
***
Izara melihat jam. Sudah hampir
dua pagi. Kedengaran suara sumbang di warung dengan set karaoke yang digunakan
oleh pengunjung.
'Kalau masuk Akademi Fantasia ni
dah gerenti penuh kad merah.' Sindir Izara sambil menjahit dengan tangan di
bahagian leher.
Tangannya terasa lenguh kerana
terpaksa menjahit labuci di bahagian depan baju seperti yang diminta oleh Mak
Datin yang datang menempah. Labuci berbentuk titisan air mata itu bergemerlapan
dengan balikan lampu kalimantang.
"Nasib baiklah tinggal
bahagian leher aje. Kalau nak suruh Si Yati dengan Milah, baiklah tak payah.
Tambah menyakitkan hati aku kena betulkan. Lepas ni dah boleh tidur."
Izara membebel sendirian.
Entah mengapa matanya terasa
terlalu berat.
'Alahai mata, kenapa kau tak
boleh sabar. Sikit lagi ni.' Keluh Izara.
Dia meregangkan otot-otot lengan.
'Alah, tidurlah sekejap. Dah
penat sangat ni.'
***
Izara tersentak dengan bunyi besi
berlaga apabila mangga grill dibuka dari luar. Dia melihat jam. Sudah jam
sembilan pagi.
"Ya Allah! Dah terlajak aku
tidur. Subuh pun dah terlepas." Izara merungut.
Dengan segera dia menyiapkan
jahitan tangan di bahagian leher.
"Dah siap semua
jahitan?" Tanya Rubiah apabila dia melihat Izara tekun dengan jahitan
tangan.
"Dah. Tinggal yang ini
satu." Jawab Izara tana menoleh.
"Kebaya Mak Cik Ayu?"
"Dah. Dalam beg plastik
merah tu." Izara menunjuk ke arah hujung meja sebelum menyambung kerja.
Usai kerja dia terus mencapai
beg.
"Bila nak masuk
semula?" Tanya Rubiah.
"Tengah hari. Mungkin
petang." Jawab Izara selamba.
"Jangan lambat sangat. Malas
aku nak melayan kerenah pelanggan." Jawab ibu tirinya itu.
"Yalah," jawab Izara
ringkas.
'Setakat itu pun tak boleh handle. Aku menjahit sampai pagi pun tak
kecoh.' Gerutu Izara melepas geram.
Hamba terpegun. Tahniah Bro Salleh. Cerita yang klasik juga penuh maksud serta misteri di sebaliknya :)
BalasPadamTerima kasih tuan hamba.
PadamWah, dah macam orang zaman dulu-dulu ya? :D
Tahniah tuan hamba..plotnya menarik. .hamba sudah tidak sabar menunggu kisah selanjutnya...
PadamTahniah tuan hamba..plotnya menarik. .hamba sudah tidak sabar menunggu kisah selanjutnya...
PadamTerima kasih. Bahagian 2 dah disiarkan. Sudi-sudikan baca.. ^_^
Padam