Deruman motor kapcai Suzuki Best RR110 berwarna hitam itu
jelas kedengaran di hadapan rumah kayu beratap zink di Kampung Seludang. Rumah
kayu yang sudah berpuluh tahun mengharung hujan ribut dan panas terik, tetapi
masih teguh berdiri walaupun sudah kelihatan agak lusuh dan terbiar.
Pokok-pokok bunga raya, kemboja kuning dan pokok renek termasuk puding kubur
juga tegak memagar laluan tanah merah menuju ke pekarangan rumah itu.
Eddie menanggalkan helmet putih yang sudah dimakan usia,
tetapi masih terus setia melindungi kepalanya semasa meredah jalan raya.
"Assalamuaalaikum. Mak. Eddie dah balik." Suara
Eddie di hadapan pintu rumah kayu itu.
Sejurus itu kedengaran engsel pintu dibuka dan seorang
wanita yang sudah berumur bersama kulit berkedut dan rambut sudah memutih
dengan uban.
"Wa'alaikumsalam." Ujar wanita itu. "Eh
Ruzaidi, awal kamu balik. Kamu cuti ke?"
Eddie serba-salah untuk menjawab. Sekurang-kurangnya dia
mahu menunggu masa yang lebih elok untuk menerangkan dahulu apa yang telah
berlaku.
"Huh, sejuklah mak. Tadi Eddie kena hujan masa tengah
jalan. Nasib baik tak lebat." Eddie cuba
mengalihkan perhatian ibunya.
"Kamu masuklah dulu. Nanti mak buatkan kopi. Nasi pun
ada lagi, nanti mak hidangkan sekali." Ujar Aishah sambil menutup pintu
setelah Eddie masuk.
Usai makan lewat petang itu sambil menghirup kopi panas,
Eddie duduk di meja makan sambil diperhatikan Aishah.
"Apa sebenarnya yang sudah berlaku Ruzaidi?"
Aishah seperti boleh membaca kelainan pada anak angkat yang telah dua puluh
tahun dijaga itu.
Eddie sudah tidak dapat menangguhkan lagi perkara yang mahu
diceritakan.
"Eddie... dah berhenti kerja mak." Dia serba-salah
untuk menceritakan hal sebenar, bahawa dia telah dibuang kerja. Walaupun dia
sudah mula sesuai dengan kerja di kafe yang tidak jauh dari kolej swasta tempat
dia belajar. Gaji di situ juga agak mencukupi untuk menampung perbelanjaan dan
yuran kursus di samping dapat menghulur sedikit wang belanja untuk ibunya di
kampung.
Aishah hanya menggeleng melihat anak tunggal yang
dibela itu. "Ruzaidi, Ruzaidi. Kenapalah kamu ni tak pernah tetap dengan
kerja kamu..." Dia seperti kesal dengan nasib yang diterima oleh anaknya
itu.
"Entahlah mak. Agaknya dah nasib saya macam ni,
mak." Eddie hanya tunduk sambil menghirup kopi yang masih berasap dengan
wap panas itu. Kopi Kapal Api itu cukup untuk memanaskan badan yang masih
terasa hingga ke tulang dek kesejukan semasa hujan kilat tadi.
"Sebenarnya mak lagi suka kamu tinggal di kampung.
Sekurang-kurangnya boleh juga temankan mak. Tapi kamu yang beria-ia nak ke Kuala
Lumpur." Kata-kata Aishah seakan mengungkit kisah
lama.
Eddie terdiam dengan kata-kata ibunya. Sebenarnya dia ada
sebab yang besar untuk meninggalkan kampung itu walaupun dia lebih suka menemankan
ibunya di kampung. Sebab yang sukar untuk diterangkan kepada sesiapa.
"Di bandar tu macam-macam kerja ada, itupun kalau kamu
tak memilih. Lagipun duit mak ambil upah jual bebotok di warung Wak Leman lepas
arwah ayah kamu meninggal cukup untuk tampung belanja hidup kita di kampung
ni." Aishah menyambung lagi.
Eddie masih lagi mendiamkan diri dengan kata-kata ibunya.
Apabila ibunya menyebut tentang arwah bapanya, dengan serta-merta kenangan
silam singgah di benaknya tanpa dijemput.
Selama hidupnya bersama lelaki bergelar bapa angkatnya itu,
dia sukar untuk mengingat peristiwa indah dan menggembirakan bersama lelaki
itu. Setiap hari ada saja perbuatannya yang membangkitkan kemarahan lelaki itu.
Sekiranya nasibnya baik, dia berjaya menjalani kehidupan seharian tanpa
ditampar atau didebik, atau dicerca dengan kata-kata seperti anak pungut atau
anak penyangak.
Parut-parut di tubuhnya masih setia menyerikan tubuhnya
dengan kenangan pahit dan ngeri bersama lelaki itu. Menatap parut-parut itu
akan mengembalikan memori yang ada kalanya membangkitkan perasaan seram-sejuk
dan menakutkan semasa menerima hukuman. Itulah sebabnya dia mahu pergi jauh
dari rumah kampung yang mengembalikan kenangan silam yang amat menyayat hati
apabila dikenang.
Eddie masih ingat usahanya untuk mengambil hati orang tua
itu dengan menyiapkan sebuah kad hari bapa untuknya, bersama sebuah puisi
pendek.
Bapa,
Terima kasih atas
segala pengorbanan
Untuk membesarkan daku
menjadi manusia berguna
Terima kasih atas
segala didikan
Agar daku tidak
menghabiskan masa dengan sia-sia
Terima kasih atas
segala teguran
Agar daku tidak
tersesat jalan entah ke mana
Terima kasih kerana
sudi memberi daku naungan
Agar daku tidak hidup
merata
Selamat Hari Bapa
Kata-kata itu ditulis bersama Dayana, guru puisi cilik
semasa mereka menghabiskan waktu rehat tengah hari bersama.
Kata-kata itu telah diabadikan di atas kad yang ditulis
dengan krayon pada waktu malam sebelum tidur. Kad itu kemudiannya diletakkan di
atas meja ruang tamu dengan harapan dapat menjemput rasa terharu di hati bapa
angkatnya itu.
Malangnya pagi itu ia hanya menjemput sayu di hatinya
sendiri.
Dia menunggu untuk melihat bapa angkatnya membaca kad itu.
Sebaik sahaja selesai membaca, kad itu direnyukkan dan dicampak di lantai tanpa
ada rasa terkesan di hati.
"Aku bukan bapak kau. Aku pun tak pernah anggap kau
anak aku." Kata-kata itu walaupun pendek tetapi cukup untuk menghiris
hatinya sepanjang hari itu sehinggalah dia sukar melelapkan mata pada malam
itu.
Segalanya berubah menjelang akhir hayat lelaki itu. Semuanya
bermula apabila lelaki itu ditimpa kemalangan apabila lori sawit yang dipandu
terbabas menyebabkan kecederaan pada tulang belakangnya.
Semenjak itu bapa angkatnya tidak boleh bergerak dan
terpaksa duduk seharian di katil. Ketika itu Eddie membuang jauh-jauh kenangan
pahit bersama lelaki itu dan menawarkan khidmat seikhlas hati. Ketika dia
menyuap nasi atau membersihkan najis lelaki itu, perasaan takut kepada lelaki
bengis dan panas baran itu telah hilang, dan diganti dengan perasaan belas dan
simpati tanpa berbelah bagi.
Adakala dia melihat air mata mengalir dari tubir lelaki yang
tidak lagi bengis atau mengeluarkan kata-kata kesat seperti sebelumnya itu.
Kata-kata yang lahir ketika sisa-sisa hidup semakin
meninggalkan lelaki itu yang amat menyayatkan hati Eddie.
"Kamu memang anak yang baik Ruzaidi. Ayah bangga ada
anak seperti kamu." Kata-kata itu umpama hujan yang turun mencurah-curah
di dalam hidup Eddie, setelah segalanya gersang dan kontang dalam hidup bersama
lelaki itu.
Ketika lelaki itu menutup mata bersama nafas terakhir yang
dihembus, Eddie menitiskan airmata terharu.
"Habis apa rancangan kamu sekarang ni?" Suara
Aishah menamatkan memori silam yang bermain di benak Eddie, bagaikan tayangan
drama di kaca televisyen di benaknya.
Setelah sedar dari lamunan itu, Eddie terus menghirup kopi
di dalam cawan di hadapan matanya.
"Mungkin saya nak tenangkan fikiran dua tiga hari dulu.
Lepas tu balik KL cari kerja lain." Eddie menjawab selamba.
Aishah bangun meninggalkan Eddie yang masih berusaha
menghabiskan kopi yang masih panas di dalam cawan. Ada
sesuatu yang bermain di fikiran Aishah petang itu setelah peristiwa yang
menimpa anak angkatnya itu.
Sepanjang pemergian Aishah meninggalkan meja makan di dapur,
kenangan bersama Dayana pula hadir tanpa diundang.
Kehadiran Dayana di kampung itu mewarnakan pelangi dalam
hidupnya yang suram bersama cemuhan sebagai anak pungut oleh bapa angkat dan
budak-budak di sekolah terutamanya Arsyad dan gengnya. Dayana memberinya harapan
bersama keindahan puisi yang menjadi wadah luahan perasaannya yang muram
dirundung malang.
"Dayana dapat tawaran ke UIA." Kata-kata yang
membunuh semangat Eddie semasa mereka bertemu buat kali terakhir di tali air.
"Bila cuti nanti Dayana akan balik kampung. Boleh kita jumpa lagi
nanti." Dayana cuba
menyedapkan hati Eddie. Eddie sudah tidak mampu berkata apa-apa dengan berita
yang amat mengganggu fikirannya.
Eddie sedar, kehidupan mereka berdua tidak akan sama lagi
selepas Dayana tamat pengajian di universiti kelak. Ketika itu nanti, dia dan
Dayana umpama langit dan bumi, sudah tidak setaraf lagi. Dayana seorang yang
bijak dan matang semenjak kecil lagi. Sedangkan dia hanyalah seorang anak
pungut yang tidak tahu asal-usul hidupnya, entah dari keturunan penyangak atau
penjenayah mana, seperti yang selalu diperkatakan oleh mereka yang menghina
dirinya.
Sememangnya dia tidak menaruh harapan untuk bersama Dayana
seperti masa-masa yang lampau. Itu adalah satu lagi sebab untuk dia
meninggalkan kampung ini. Kenangan indah bersama Dayana hanya menambah lagi kepedihan
di dalam hatinya.
Sejurus itu Aishah kembali ke meja makan bersama sesuatu di
tangannya. Sebuah sampul yang telah agak usang dan berlapuk setelah sekian lama
disimpan.
"Apa ni mak?" Tanya Eddie setelah dia menyambut
sampul usang yang dihulurkan oleh ibunya.
"Inilah satu-satunya benda yang boleh membantu kamu
mencari maklumat tentang asal-usul kamu. Jawapan untuk kamu tahu siapa ibu bapa
kamu. Mak rasa inilah masa yang sesuai untuk mak serahkan kepada kau, Ruzaidi."
Eddie baru berkira-kira untuk melihat isi sampul itu dengan
perasaan ingin tahu yang teramat sangat. Rancangannya terbantut apabila telefon
bimbitnya berlagu dengan irama lagu "Move like Jagger" dendangan
Maroon 5.
"Hello Ravi." Suara Eddie
setelah melihat nama yang dia kenal terpampang di skrin telefon bimbit. Aishah
hanya memerhatikan Eddie berbual di telefon sebelum sempat mereka menghabiskan
perbincangan tentang sampul yang baru diserahkan itu.
"Eddie, pagi tadi lepas puan Ainon pecat kau, aku
terangkan pada dia hal sebenar. Aku beritahu yang kau tak sihat tapi kau
teruskan kerja sebab kau tak nak ambil cuti. Aku pun sudah beritahu kau selalu
stay up malam sebab kau study part-time.
Cecilia pun tolong back up. Esok pagi
puan Ainon suruh kau datang jumpa dia. Itupun kalau kau masih berminat kerja di
kafe ni." Suara Ravi di telefon bimbit Eddie.
Semangat Eddie yang pudar itu bagaikan bersinar kembali.
Aishah boleh lihat wajah Eddie berseri dengan serta-merta setelah menerima
panggilan itu.
"Ya ke? Okey, petang ni juga aku balik KL semula."
Suara Eddie yang membuatkan Aishah terpinga-pinga dengan gelagat anak angkat
tunggalnya itu.
"Mak, saya kena balik KL petang ni juga. Esok bos nak
jumpa. Dia kata saya boleh kerja semula esok." Suara Eddie setelah tamat
perbualannya bersama Ravi di talian.
"Alhamdulillah. Lepas ni kamu kerja elok-elok Ruzaidi.
Jangan buat hal lagi. Dokumen dalam sampul tu kamu jaga elok-elok. Jangan
sampai hilang!" Sempat Aishah berpesan kepada Eddie.
"Baiklah mak." Eddie bersalam dengan ibunya. Rasa
penatnya telah hilang kerana tidak sangka dia masih berpeluang bekerja di kafe
itu semula. Begitu juga rasa ingin tahu tentang isi sampul itu. Dia hanya
memikirkan tentang perjumpaannya dengan Puan Ainon esok.
Aishah hanya melihat Eddie meninggalkan pekarangan rumah
bersama derum motor kapcai yang semakin sirna bunyinya, sambil menggeleng. Dia dapat merasakan hidup dia dan Eddie akan berubah selepas dia menyerahkan
dokumen itu kepada Eddie. Tetapi dia juga merasa cuak dengan perubahan yang
bakal mendatang itu, seperti ada sesuatu yang lebih besar menunggu perjalanan
kehidupan pemuda itu. Hatinya tidak dapat menepis kerisauan yang mula melanda
secara tiba-tiba.
adakah eddie anak orang kaya? huhuhuk...
BalasPadamBersedialah untuk lebih bertanda tanya lagi dalam bab 4, tentang Qiarra.. ^_^
Padamsaya tak mampu menulis macam ni sebab saya kurang kreativiti. Tapi saya suka baca karya anda. :)
BalasPadamTerima kasih sudi baca dan komen karya penulis baru spt saya, syah shah.. ^_^
BalasPadamsaya sendiri pun masih baru.. Takde masalah... :D
BalasPadam