PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Rabu, 13 Mac 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 20


Bab 20


Qiarra membuka mata. Pandangannya masih samar dengan kepala yang berdenyut-denyut. Bau pada kain yang ditekupkan pada hidungnya masih berkesan pada dirinya.

Dia memandang sekeliling. Kelihatan suasana di dalam bangunan tinggal itu suram tanpa cahaya elektrik, hanya cahaya yang mengintai dari tingkap yang tidak berdaun di sekitar kawasan itu. Berdasarkan keluasan ruang itu, ini mungkin sebuah gudang atau kilang yang ditinggalkan.

Tangan dan kaki Qiarra diikat dengan ketat. Mulutnya juga ditutup dengan kain yang diikat ketat.

Perasaan kesal mula menguasai dirinya. Tetapi tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Dia terpaksa menerima akibat kedegilannya walaupun setelah dia ditegur oleh Sara dan Mimi.

***

Sejurus selepas kejadian Qiarra diculik, Sara menelefon Datuk Hafizudin memberitahu Qiarra diculik. Tanpa membuang masa ibu bapa Qiarra terus menuju ke lokasi mereka berdua berada bersama Beetle kuning Qiarra. Sara masih menggigil dengan kejadian yang menimpa mereka. Mimi sedang menghubungi keluarganya dengan suara seperti menahan tangisan.

Hampir sejam kemudian lelaki itu tiba di lokasi bersama Datin Maznah.

“Macam mana boleh jadi macam ni Sara?” Suara Datuk Hafizudin. Dia cuba menyembunyikan rasa cemas dan kekalutan perasaannya.

“Saya dan Mimi dah tegur dia uncle. Tapi dia degil. Saya dah kata jangan keluar tolong orang yang tercedera tepi jalan, tapi dia keluar jugak.” Sara menerangkan. Mimi sudah keluar untuk bersama mereka.

“Lepas tu?” Datin Maznah tidak sabar mendengar sambungan cerita Sara.

“Rupa-rupanya ini semua taktik. Mulut kami kena tekup dengan kain berbau alkohol, terus pengsan. Bila saya sedar, Qiarra dah tak ada. Motor dengan van Unser yang ada kat sini pun dah hilang.” Terang Sara dengan ketakutan yang masih bersisa sambil menunjuk ke arah tompokan darah palsu yang terpalit di tepi jalan.

“Jom ikut uncle buat laporan polis. Kereta Beetle kita kunci dan biarkan sini.” Arah Datuk Hafizudin.

Rabu, 6 Mac 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 19


Bab 19


Kenapa kamu buat Dayana macam tu semalam?” Tegur Aishah semasa dia memerhatikan Eddie menjamah nasi goreng pagi itu.

Eddie hanya berdiam diri. Dia serba salah hendak menjawab. Hanya peristiwa semalam yang bermain di fikirannya.

“Marilah duduk Ruzaidi. Boleh kita berbual dengan Dayana sambil minum air.” Pelawa ibu angkatnya. Dayana hanya memerhatikan Eddie sambil dia asyik memerhatikan lekuk lesung pipit gadis itu yang amat comel.

“Eddie nak berehat sekejaplah mak. Malam tadi tak cukup tidur. Nasib baik tak tertidur masa naik motor tadi.” Jawab Eddie memberi alasan secara spontan.

“Err, tak apalah mak cik. Dayana pun dah lama sangat kat sini. Nanti Mak Long bising pulak. Baru balik dari U dah merayap tak lekat di rumah.” Dayana memberi alasan. Mungkin benar apa yang dikatakan atau dia juga perasan Eddie seperti membuat alasan.

Eddie sebenarnya serba salah dan dia dilanda kebuntuan. Sudahlah dia merasa rendah diri dengan hidupnya, sekarang ada dua gadis yang berada dalam hidupnya.

Dengan tidak semena-mena mimpi malam tadi datang menyinggah di benak.

Apa maksudnya mimpi itu? Hati Eddie musykil.

Khamis, 28 Februari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 18


BAHAGIAN 5 : PUCUK DI CITA

Bab 18



Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, pelbagai perkara bermain di benak Eddie. Umpama sebuah tayangan kisah hidupnya tentang segala peristiwa yang mewarnai hidupnya dengan duka dan ria.

Bertahun-tahun dia memendam perasaan kerana tertanya-tanya siapa ibu dan bapanya yang sebenar. Perasaan itu datang setiap kali dia dihambur dengan kata-kata cemuhan, sama ada oleh ayah angkatnya di rumah atau oleh murid-murid nakal di sekolah terutamanya Arshad dan gengnya. Kata-kata dan tawa sinis dan mengejek menjadi makanan harian sehingga hatinya sudah kematu dengan rasa kecil hati dan sedih.

Jauh di sudut hatinya ada rasa terkilan apabila melihat anak-anak yang gembira bersama ibu dan bapa mereka.

Tentu seronok rasanya jika ada ibu dan ayah sendiri, bisik hati Eddie semasa melihat keluarga seperti itu. Adakala ada titis yang mengalir tanpa dijemput.

Kepedihan dan kesengsaraan itu menjadikan dia seorang yang cekal dan bercita-cita tinggi. Adakala dia menyalahkan takdir kerana dugaan hidup bersama arwah bapa angkatnya menjadikan dia keciciran dalam pelajaran. Tetapi akhirnya dia pasrah bahawa ini semua adalah kehendak Tuhan dengan hikmah yang tersirat.

Entah kenapa, satu pelajaran bersama Dayana masih kekal hingga kini. Pepatah ‘Every cloud has a silver lining’  begitu sinonim dengan hidupnya.
                                            
Cuba awak lihat awan.” Kata Dayana satu masa dahulu ketika mereka duduk di tepi padang sekolah memerhatikan langit.

“Awan mendung menandakan hari akan hujan. Tapi di balik awan ada matahari yang bersinar terang. Pada setiap awan yang mendung dan gelap, ada garis sinar yang terlakar pada lekuk-lekuk awan.” Terang Dayana.

“Apa maksud awak?” Tanya Eddie sambil melihat wajah gadis yang berlesung pipit manis di pipi.

“Dalam setiap kepayahan dan kesukaran hidup, sentiasa ada sinar cahaya yang menanti. Macam matahari. Walau bagaimana lama sekalipun kita menunggu ia muncul, akhirnya ia tetap akan muncul.” Jawab Dayana.

Pandangan Eddie kemudian beralih ke arah kepulan awan.

Ya, memang benar kata Dayana. Setiap awan ada garis sinar yang menggarisi keluk rupa awan. Fikir Eddie.

“Sebab tu pepatah Inggeris ada sebut... ”

Every cloud has a silver lining.” Suara lirih Eddie sambil menunggang motosikal, seolah-olah menyambung kata-kata Dayana suatu masa dahulu. Dia tersenyum sendirian dengan memori bersama Dayana dan maksud yang tersirat di sebalik pepatah Inggeris itu.

Wajah Dayana muncul di mata Eddie. Gadis itu pernah bertakhta di hatinya, dengan kisah hidup yang menyayat hati dan wajah manis berlesung pipit. Kini setiap kali wajah itu muncul hati Eddie diselubungi rasa bersalah. Kekusutan fikiran menyebabkan jiwanya rasa bercelaru.

Khamis, 21 Februari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 17


Bab 17


Hoi Eddie! Bangunlah. Dah pukul berapa ni. Kau tak kerja ke?”

Eddie duduk di katil sambil menggosok-gosok mata yang kelat setelah dia dikejutkan oleh suara lantang Mail.

“Aku tak kerja hari ni.” Jawab Eddie yang masih dikuasai rasa mengantuk.

“Kenapa tiba-tiba kau cuti? Mak kau sakit?” Mail kehairanan.

“Taklah.”

“Habis kenapa kau ambil cuti?” Mail masih menagih jawapan.

“Kau ni banyak tanyalah. Pergilah kerja. Nanti lewat baru padan muka kau.” Eddie cuba mengelak.

“Oh... kau gaduh dengan Qiarra lagi ya?” Pertanyaan Mail tidak dijawab oleh Eddie. Eddie hanya tunduk membisu.

“Aku dah agak dah... mesti ada problem dengan awek tu lagi.”

“Eh Mail. Kau ni penyibuk betul. Kau nak campur urusan aku buat apa?” Eddie bengang.

Mail yang berdiri di muka pintu tadi terus duduk di tepi katil Eddie.

“Aku tengok kau dan Qiarra memang sesuai. Kau jagalah hati dia baik-baik. Janganlah kau ikut perasaan kau saja.” Nasihat Mail.

‘Kerana memikirkan masa depan dialah aku buat macam ni.’ Hati Eddie mengeluh.

“Dah jangan kau nak berleter dengan aku pagi ni. Baik kau pergi kerja lagi bagus.”

Eddie menolak bahu Mail. Mail hanya menggeleng melihat telatah teman serumahnya.

***

Farouk tiba di rumah Datuk Hafizudin dengan Volvo S40 berwarna perak miliknya. Datin Maznah telah merancang makan tengah hari bersama Qiarra dan Farouk di Pavilion Kuala Lumpur.

Qiarra tidak banyak bersuara. Dia masih dilanda gundah akibat perubahan mendadak Eddie. Puas dia memikir kata-kata atau perbuatannya yang mungkin telah menyinggung perasaan Eddie, tapi masih buntu.

Apa sebenarnya punca perubahan mendadak pada diri Eddie? Kenapa dia tak mahu berbincang secara bersemuka dengan aku? Kenapa mesti dia hamburkan kata-kata sebegitu? Qiarra terus ditujah soalan demi soalan yang masih belum ada jawapan walaupun samar-samar.

Rabu, 20 Februari 2013

Saat Aku Lafazkan Akad Nikah





Naim duduk bersila di pangkin bersama tangan dihulurkan seperti bersedia untuk bersalam dengan seseorang. Dahinya berkerut. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum melafazkan perkataan yang ada di skrip yang tertulis di mindanya.

“Aku terima nikahnya Tuhfatun .... Aku terima nikahnya Tuhfat.... Aku terima nikahnya Tuhfatunnisa binti Mukhrizzu.... Aku terima nikahnya Tuhfatunnisa binti Mukhrizurrahman dengan mas ....”

“Apa kau buat bercakap sorang sorang tu Naim?” Suara wanita yang mengganggu tumpuan Naim.

“Alah... nenek ni potong stim lah! Bukan main seksa Naim nak sebut yang betul. Tapi bila dah elok sebutan nenek kacau pulak.” Wajah Naim menunjukkan rasa kurang senang dengan kehadiran neneknya.

“Nenek minta maaf. Nenek tak sangka susah bebenor kamu nak sebut lafaz akad nikah tu.” Ujar neneknya sambil duduk di muka pintu. Mulutnya asyik mengunyah sirih yang kelihatan merah apabila wanita berumur lebih separuh abad itu membuka mulut untuk bersuara.

“Tak susah kata nenek? Nenek tak dengar macam mana punya panjang nama bakal isteri saya tadi.” Kata Naim.

“Salah kamu juga. Pergi cari perempuan nama panjang sampai berbelit lidah kamu nak menyebut tu siapa suruh?” Neneknya mengusik sambil ketawa kecil. Sinis.

“Amboi. Sedapnya nenek cakap. Mana saya tahu nama dia macam tu. Lainlah kalau saya dah tanya awal-awal. Helo cik, boleh tahu nama cik. Saya nak pastikan panjang ke pendek. Nanti masa akad nikah senang saya nak sebut. Boleh ke macam tu nek?” Jawab Naim dengan gayanya sekali.

Neneknya ketawa lagi. Kali ini lebih jelas warna merah di dalam mulutnya akibat sirih yang dimakan.

“Nenek gurau aje. Itupun kamu nak sentap. Lagipun apa yang kamu nak takutkan sangat kalau buat silap masa akad nikah nanti. Lalukan aje.”

“Ewah ewah... sedapnya nenek cakap. Bukan nak bagi semangat. Makin melemahkan adalah. Naim kalau boleh nak sebut sekali saja. Taklah sampai kena ulang lebih tiga kali. Buat malu nanti!” Naim tidak pernah menjawab kata-kata neneknya seperti itu. Mungkin kerana tekanan memikirkan hari yang semakin hampir itu.

Neneknya ketawa lagi melihat Naim tiba-tiba jadi perengus.

“Ah! Malaslah cakap dengan nenek. Naim ke warung lagi bagus!”

“Naim! Nanti dulu! Ada benda nenek nak cakap ni!”

Kata-kata neneknya sudah tidak dihiraukan oleh Naim lagi. Dia sudah menghidupkan enjin motosikal untuk ke warung Pak Abas.

Rabu, 13 Februari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 16


Bab 16


Eddie memandang sayu wajah Qiarra. Perkara yang baru didengar tadi memang telah lama dia jangka akan berlaku. Siapakah dirinya untuk menolak takdir? Takdir yang menentukan jodoh dan kehidupan yang dilalui sekarang ini.

“Apa awak nak buat sekarang?” Tanya Eddie.

Qiarra hanya berdiam diri. Eddie tahu kecamuk fikiran gadis itu dengan apa yang sedang dilalui.

“Kalau ikut hati saya, memang saya nak lari dari rumah. Tak sanggup lagi nak ikut cara papa saya yang suka mengongkong. Semua nak ikut kata dia.” Jawab Qiarra dengan nada tidak puas hati.

“Tak baik buat macam tu Qiarra. Walau macam mana sekalipun mereka tetap orang tua awak. Sekurang-kurangnya awak masih ada ibu bapa. Orang macam saya terpaksa harapkan belas ihsan orang lain.” Eddie cuba memujuk Qiarra dengan lembut.

“Saya kena usahakan supaya perkahwinan dengan Farouk ini dibatalkan. Sampai bila Eddie? Sampai bila saya kena ikut telunjuk mereka berdua? Saya rasa awak lebih beruntung daripada diri saya. Tak ada sesiapa yang tentukan hidup awak. Awak bebas buat keputusan.” Qiarra meluahkan perasaan.

“Kita selalu terlepas pandang sesuatu benda bernilai yang kita ada. Biasanya kita akan sedar setelah perkara itu bukan milik kita lagi.” Eddie bersuara.

“Apa maksud awak?” Qiarra tidak mengerti.

“Kita selalu lihat apa yang orang lain ada. Sedangkan sesuatu yang bernilai pada diri kita, kita tak perasan. Bila sudah terlambat baru kita sedar, tapi perkara yang lepas tak boleh diulang.” Jawab Eddie sambil memandang Qiarra.

Qiarra tunduk tidak bersuara.

“Buat masa ni awak jangan buat apa-apa. Biar saya dengar pendapat Farouk dulu. Saya rasa dia pun berfikir macam awak. Dia mungkin tak mahu teruskan rancangan perkahwinan ini.” Eddie cuba menenangkan Qiarra.

Qiarra hanya mengangguk sambil tersenyum. Melihat senyuman itu Eddie semakin gusar. Kemungkinan bahawa Qiarra akan menjadi milik orang lain menggamit kerisauan jauh di lubuk hatinya.

Rabu, 6 Februari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 15


Bab 15



Eddie membersihkan meja yang baru sahaja ditinggalkan oleh pelanggan. Sambil mengutip tisu dan peralatan lain ke dalam dulang, matanya menjeling ke arah lelaki yang sedang duduk di sudut kafe. Telah hampir sejam lelaki itu duduk di situ. Dari ketika kafe itu dipenuhi pelanggan hinggalah ke waktu sekarang dengan hanya dua orang yang tinggal. Dia hanya minum secawan kopi, tetapi tidak berganjak sehingga sekarang.

Apa hal dengan lelaki ni? Dari tadi asyik pandang aku saja. Macam ada sesuatu yang tak kena. Bisik hati Eddie.

Lelaki itu berumur dalam lingkungan lima puluhan. Dia hanya duduk di meja sambil memerhatikan Eddie dengan ekor matanya. Apabila Eddie melihat ke arahnya, dia segera mengalihkan pandangan.

Selesai dengan tugas, Eddie membuat keputusan untuk berjumpa lelaki itu.

Ada apa-apa lagi yang encik nak?” Lelaki itu menggeleng dengan pertanyaan Eddie. Raut wajahnya menampakkan keresahan.

“Kamu Eddie?” Tiba-tiba terpacul perkataan dari mulut lelaki itu.

“Ya.” Jawab Eddie ringkas.

“Nama penuh kamu?” Tanya lelaki itu lagi.

Apa ni? Tak pasal-pasal tanya nama aku. Eddie serba salah untuk menjawab.

“Kenapa encik nak tahu?”

“Nama kamu Ruzaidi Minhad?”
Biar betul dia ni? Dah tahu tapi tanya lagi. Gerutu hati Eddie.

Khamis, 31 Januari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 14


Bab 14


Qiarra melihat jam tangan Bonia. Sudah jam 12.17 pagi.

“Mati aku kalau papa dan mama tahu!” Suara cemas Qiarra sambil menunggu pintu pagar terbuka luas.

Bilik orang tuanya jauh dari bahagian hadapan rumah, tetapi malang tidak berbau. Mungkin kebetulan mereka menjenguk ke garaj dan mendapati Beetle kuning tiada di sebelah Mercedes hitam bapanya dan Honda CRV putih ibunya.

‘Masaklah aku kalau kena kantoi. Aku harap Sara dan Mimi akan cakap benda yang sama. Kalau dia orang salah cakap siap!’ Qiarra masuk ke pekarangan rumah dan terus menuju ke garaj.

Setakat ini nasib masih menyebelahinya.

Malam itu memang malam yang mendebarkan. Dia tidak dapat bayangkan sekiranya lelaki itu dan kumpulan motosikalnya berjaya memasuki kereta. Lekas-lekas ditepis bayangan yang mengerikan itu dari benaknya.

‘Siapa lelaki itu? Namanya pun aku tah tahu.’ Tiba-tiba Qiarra terfikir.

Dengan hati-hati Qiarra membuka pintu belakang. Hanya lampu jalan menyinari kawasan belakang rumah dengan simbahan cahaya jingga.

Nasibnya masih baik. Tiada sesiapa di kawasan dalam rumah yang gelap. Hanya lampu kecil dipasang dengan cahaya putih yang suram.

Qiarra berjalan berhati-hati menuju tangga untuk naik ke atas. Rasa lega mula terasa kerana dia sudah berjaya sampai ke peringkat itu. ‘Fuh! Selamat. Semua sudah tidur. Lepas ni aku nak mandi air panas. Lepas tu masuk ti...’

“Dari mana?” Satu suara mengejutkan Qiarra dari belakang. Dia dapat rasa jantungnya seperti berhenti berdegup beberapa saat. Dia berpaling melihat kepada sumber suara itu.

Rabu, 23 Januari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 13


BAHAGIAN 4 : KONSPIRASI 

BAB 13


Watak yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata dan pendapat yang disuarakan tidak semestinya sama dengan pendapat penulis.


Eddie dan Qiarra tiba di lokasi yang dimaksudkan oleh Sara. Lokasinya agak pelik. Sebuah warong yang terletak di tepi jejambat. Dari tepi jejambat boleh dilihat kenderaan lalu lalang di bawah. Keadaan malam yang hanya dihiasi suram lampu jalan dan dipuput bayu yang melintasi jejambat itu menghidupkan nuansa di situ.

Kelihatan beberapa buah meja plastik bersama bangku-bangku plastik memenuhi kawasan tepi jalan itu. Sebuah trak berwarna putih dengan tulisan TRUCKER CHEF terpampang di sisi trak.

Sara, Mimi, Ravi dan Mail sudah memilih tempat duduk masing-masing. Dua meja dicantumkan untuk keselesaan yang lebih.

“Cuba tengok mereka berempat. Dah siap dengan couple masing-masing.” Usik Eddie apabila melihat Mimi duduk di sebelah Ravi dan Sara duduk di sebelah Mail. Qiarra hanya ketawa sinis.

Rabu, 16 Januari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 12


BAB 12



Qiarra cuba mengumpul sisa keberanian dan tenaga yang ada. Dengan pantas dia bertindak menuju ke pintu dan meninggalkan bangunan 7 Eleven. Dia tidak menoleh ke belakang, hanya berjalan dengan laju menuju Volkswagon Beetle kuning. Tumpuannya hanya untuk masuk ke kereta, mengunci pintu dan memandu pulang dengan segera. Pelbagai peristiwa yang mengerikan singgah di benak, tetapi lekas-lekas ditepis. Dia perlu fokus jika mahu keluar dengan selamat dalam situasi yang amat berbahaya ini.

Dia berjaya masuk ke dalam kereta. Setelah mengunci pintu dia menarik nafas lega, sekurang-kurangnya rancangannya berjaya setakat ini. Sekarang dia perlu memandu agar dapat pulang secepat mungkin. Dia menghidupkan enjin kereta.

Qiarra hairan kerana lelaki itu sudah tidak kelihatan. Dia tidak mengekori Qiarra atau datang mengganggu. Sebaliknya dia hilang begitu sahaja.

Ke mana dia pergi? Pelik! Hati Qiarra berdetik.

Rasa cemas mula reda walaupun tangannya masih menggigil dan seram sejuk selepas pertemuan yang mengejutkan tadi. Fikirannya masih tertanya-tanya ke mana menghilangnya lelaki itu.

Qiarra mencari papan tanda yang menunjukkan haluan menuju jalan yang biasa dilalui untuk pulang ke rumah. Malam ini dia rasa bebas kerana dapat keluar malam tanpa dieskot oleh sesiapa, walaupun Mimi dan Sara.

Kalau macam ni boleh aku buat selalu. Tapi kalau papa dan mama tahu nanti macam mana? Kalau aku dihukum tak boleh ke mana-mana dengan Beetle ni? Silap haribulan ke kolej pun kena dihantar dan dijemput. Parah kalau macam tu! Qiarra melayan perasaan.

Untuk menuju ke jalan yang biasa dia lalu, dia terpaksa melalui satu jalan yang lurus dan panjang dengan beberapa selekoh. Tidak banyak kenderaan lalu di situ. Lampu di kawasan itu juga banyak yang tidak berfungsi,  terutamanya di kawasan selekoh yang agak gelap. Hanya papan tanda kuning menandakan selekoh di hadapan yang akan bercahaya apabila disuluh dengan lampu hadapan.

Jantung Qiarra dilanda debaran yang kencang secara tiba-tiba. Hatinya jadi tidak keruan apabila lalu di situ, seperti ada sesuatu yang buruk menantinya.

Rabu, 9 Januari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 11



BAB 11


Tidak semua perkara yang kita rancang akan menjadi kenyataan seperti yang kita inginkan. Itu lumrah kehidupan, kerana kita masih berstatus hamba walau bagaimana hebat sekalipun.

Eddie duduk bersandar di katil. Peristiwa di kafe kembali menjengah fikiran. Rasa marah masih bersisa, sebagaimana rasa kesal kerana meluahkan kata-kata kepada gadis itu. Segala peluang sudah tertutup selepas apa yang berlaku.

Sebenarnya ada perkara lain juga yang menghantui minda Eddie.

Mimpi malam tadi Eddie anggap sebagai satu petanda, walaupun ia banyak berkisah tentang fantasi dongengan. Dia bermimpi sang puteri di menara kristal diculik oleh ahli sihir.

Apa sebenarnya maksud mimpi malam tadi? Adakah ia ada kaitan dengan apa yang telah berlaku? Tapi macam ada sesuatu yang tak kena. Hati Eddie bermonolog.

Ini semua kerana terlalu banyak mendengar kisah dongengan Inggeris yang dibacakan oleh Dayana semasa dia kecil dahulu. Hati Eddie berdetik bersama senyum di bibir.

Wajah Dayana muncul kembali. Eddie jadi keliru.

Khamis, 3 Januari 2013

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 10

BAB 10



“Kenapa kau biar Qiarra tanggalkan topeng tu?” Pandangan Farouk tajam menusuk mata Eddie yang terpinga-pinga di sofa.

“Macam mana aku nak halang dia? Mati-mati aku ingatkan dia nak pitam. Kalau aku tahu, awal-awal aku dah elak, sebelum dia sempat capai topeng tu!” Eddie cuba membela diri.

Eddie serba-salah. Dia duduk memegang rambut yang telah kusut, sebagaimana kusutnya fikirannya pada masa itu. Keadaan sepi seketika. Masing-masing melayan emosi sambil memikirkan perkara yang mungkin akan berlaku selepas ini, sambil melihat dari perspektif masing-masing.

“Aku akan terus berdiam diri, sampai Qiarra bawa hal ni pada pengetahuan ibu bapa dia. Bila mak dan ayah aku tahu baru aku akan ceritakan hal sebenar. Aku pun dah tak tahu macam mana nak tangani masalah ni. Aku tak sangka langsung boleh jadi macam ni.” Keluh Farouk dengan nada kesal.

“Aku minta maaf Farouk. Aku pun tak sangka cerita dongeng di majlis tadi boleh berakhir dengan tragedi macam ni.” Suara Eddie sambil bersandar di sofa.

“Nak buat macam mana. Perkara dah berlaku. Aku pun bersalah juga sebab cadangkan kau pergi ke majlis tu. Tak apa. Kita tunggu saja apa yang akan berlaku nanti. Sementara tu kau kena fikirkan apa yang akan kau katakan bila jumpa Qiarra di kafe nanti. Aku rasa dia tentu akan buat sesuatu. Kau kena hati-hati. Sekarang ni kau baliklah dulu sebelum mak ayah aku sampai. Lain pula jadinya nanti.” Pesan Farouk.

Eddie hanya bersandar di sofa buat seketika melayan fikiran yang sudah bercelaru, sebelum dia menukar pakaian dan meninggalkan rumah Farouk.

Khamis, 27 Disember 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 9




Kereta limousin yang dinaiki Qiarra, Mimi dan Sara meluncur deras menuju pekarangan rumah duta Amerika Syarikat yang tersergam indah malam itu. Hiasan air terjun dan rimbunan daun yang digarap dengan pelbagai bentuk menambahkan lagi dramatik suasana bersama cahaya lampu yang menyinari kawasan itu.

Apabila Qiarra, Mimi dan Sara melangkah ke pekarangan rumah, mereka umpama tiga orang puteri yang dijemput menghadiri sebuah majlis Di Raja dengan busana merah-hitam, putih dan perak. Keanggunan mereka memakai gaun pilihan masing-masing cukup mempesonakan sesiapa yang memandang, terutamanya gaun merah Qiarra yang diserikan dengan warna hitam.

Qiarra begitu teruja dan berdebar untuk menghadiri majlis itu beberapa hari lepas, tetapi kini wajahnya jelas menunjukkan rasa tawar hati yang kian menguasai diri. Mujurlah ada topeng yang dapat menyembunyikan riak di wajahnya.

Dia masih belum boleh menerima tindakan kedua orang tuanya yang membuat rancangan pada malam itu tanpa mengambil kira perasaannya. Berjumpa dengan Farouk malam itu bukanlah kehendak hatinya, tetapi dia akan terus mencari peluang untuk menzahirkan perasaan sebenar kepada ibu dan bapanya.

Masa akan tiba satu hari nanti. Bisik hati kecil Qiarra.

Selasa, 18 Disember 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 8


BAB 8



"Kenapa aku tengok kau macam ada masalah saja?" Suara Ravi setelah dia puas mengamati tingkah laku Eddie semenjak mereka mula bertugas dari pagi tadi di kafe.

"Tak ada apa-apa Ravi. Janganlah kau risau" Jawab Eddie sambil lewa.

"Kalau orang lain bolehlah kau tipu. Ini Ravi. Aku dah kenal dengan perangai kau. Kalau muka macam sherbet cair, memang sah kau ada problem."

"Aku kata tak ada apa-apa, maknanya tak ada apa-apalah." Jawab Eddie tanpa memalingkan wajah ke arah Ravi.

"Okeylah. Kalau kau tak nak beritahu aku tak apa. Tapi jangan menyesal, sebab mungkin aku boleh tolong." Ravi mula membuka langkah meninggalkan Eddie yang sedang duduk termenung sambil menunggu pelanggan di kaunter.

"Kalau macam tu mungkin aku boleh ceritakan dengan kau." Dengan tidak semena-mena wajah Eddie berseri dan bersemangat memandang Ravi.

"Oh, bermakna kau memang menunggu aku tanya soalan itulah ya? Dan kau tunggu peluang keemasan inlah untuk minta pertolongan aku? Memang hebat lakonan kau Eddie. Kalah Remy Ishak!" Ravi rasa terperangkap dengan taktik Eddie yang hanya tersengih bagaikan kerang busuk.

"Please Ravi. Aku betul-betul perlukan pertolongan kau ni." Suara Eddie sambil membuat muka seperti watak kucing Puss in Boots.

"Cakaplah. Apa halnya?"

"Hujung minggu aku ada err ... temu janji. Tapi aku kena kerja malam tu. Jadi aku terpaksa cari orang ganti shift aku. Kalau tak aku tak boleh tinggalkan kafe. Kau pun tahu aku sudah banyak kali elak shif malam sebab aku kena hadiri kelas." Eddie masih malu-malu untuk memberitahu Ravi tentang parti masquerade yang akan dihadiri. Tambahan pula rahsia itu melibatkan identiti Farouk.

"Jadi akulah mangsa yang kau cari tu?" Eddie tersengih lagi melihat Ravi yang sudah menjegilkan matanya.

Ravi terdiam seketika seperti mengatur jadual di dalam fikirannya.

Sabtu, 15 Disember 2012

Rentas Masa : Putrajaya 2050


Entri kali ini bukan cerpen, tetapi sekadar luahan perasaan bersyukur saya kepadaNya kerana memberi peluang kepada saya yang masih setahun jagung di dalam dunia penulisan novel, cerpen dan puisi ini untuk tersenarai di kalangan para pemenang. Walaupun sekadar hadiah saguhati, tetapi itu adalah satu anjakan paradigma bagi saya.

Bagi saya tugas ini agak mencabar kerana banyak kriteria yang perlu diserapkan di dalam jalan cerita. Secara jujur, masih terasa-rasa kepenatan semasa mengumpul dan menganalisa maklumat semasa research dahulu. Usaha sekadar mencabar diri sendiri ini langsung tidak saya sangka akan membuahkan hasil (kerana terlalu baru dalam dunia penulisan ini.)

Saya memilih tema alam sekitar di mana pada tahun 2050, Putrajaya sudah menjadi bandar hijau dengan pelbagai teknologi futuristik dan kemudahan yang mesra alam. Rentas masa itu adalah sesuatu yang dialami oleh Daniel (watak utama) di dalam mimpi, tetapi seperti benar-benar berlaku. Apa sebab dan implikasi mimpi tersebut? Kalau ada peluang untuk anda membaca cerpen ini, semuanya akan terjawab. :)

Teguran rakan-rakan penulis di Geng Urban, carian maklumat di google dan kamus online DBP memang banyak membantu saya dalam menyahut cabaran ini.

Selagi termampu saya akan terus menulis dan menggunakan medium penulisan ini untuk kebaikan, insya-Allah.


Isnin, 10 Disember 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 7


BAHAGIAN 3: HIDUP INI MASQUERADE

BAB 7

Eddie bergegas meninggalkan kelas malam itu. Hanya setelah sampai di tangga baru dia terdengar suara memanggil dirinya dalam riuh suara pelajar-pelajar Kolej Preston meninggalkan bangunan.

"Eddie! Eddie! Eddie!" Eddie menoleh sambil cuba mencari sumber suara itu. Akhirnya dia nampak pemanggil namanya itu, seorang pemuda yang sedang melambai dengan beberapa helai kertas di tangan. Suara itu milik Farouk rakan sekelasnya dalam subjek Pengurusan Perniagaan.

Selesai menjauhkan diri mereka daripada gerombolan pelajar yang umpama sekumpulan lebah menuruni tangga itu, Farouk bersuara sambil menghulurkan helaian kertas yang dilambaikan tadi..

"Eddie, ini aku pulangkan nota yang aku pinjam hari tu. Terima kasih banyak-banyak."

"Sama-sama." Sahut Eddie ringkas.

"Kau sudah banyak tolong aku dalam subjek ni. Apa kata aku belanja kau malam ni?" Pelawa Farouk.

"Tak payah susah-susahlah Farouk. Aku tolong ikhlas, bukan mahukan balasan." Eddie cuba menolak. Tambahan pula lebih lekas dia dapat siapkan tugasan malam itu, lebih cepat dia boleh berehat untuk bangun dan pergi bekerja esok.

"Alah, sekejap saja Eddie. Kau pun tahu kan? Rezeki jangan ditolak. Kau nak pergi mana? Mc D? Pizza Hut? Kenny Rogers?" Farouk memberi Eddie pilihan.

"Tak payah susah-susahlah Farouk. Kalau kau beria sangat nak belanja aku, kat warong mamak sebelah kolej tu pun tak apa." Eddie memberitahu pilihannya.

Sambil mereka menikmati mi goreng mamak dan teh tarik halia, Eddie memulakan perbualan dengan perkara yang sudah lama bersarang dalam fikirannya tentang teman sekelasnya itu.

"Farouk, aku tanya sikit kau jangan marah ya? Dah lama aku nak tanya, tapi belum ada masa yang sesuai."

Spontan Farouk menjawab, "Amboi.. cara kau tanya macam ada soalan panas. Takut aku nak jawab ni!" Farouk berseloroh.

Selasa, 4 Disember 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 6


BAB 6



Volkswagon Beetle kuning model terkini itu meluncur laju di jalan raya dalam perjalanan menuju ke Kafe Strawberry Fairyland. Qiarra sedang memandu keretanya sambil Sara duduk di sebelahnya. Mimi sedang duduk di belakang sambil membaca mesej di telefon bimbit iPhone miliknya.

"Kau pasti ke mamat clumsy tahap gaban tu dah kena buang?" Tanya Qiarra sambil matanya memerhatikan jalan raya di hadapan dengan penuh tumpuan.

"Betul. Masa aku settle kan bayaran lepas kita celebrate birthday kau semalam. Aku nampak dan aku dengar depan mata aku sendiri. Bos dia cakap depan aku, sekali imbas macam Donald Trump versi wanita bertudung Malaysia. Eddie, you are fired."

"Bagus. Baru padan dengan muka dia. Aku rasa kalau dia kerja lama kat situ, ramai yang jadi mangsa jejaka gabra macam tu. Harapkan muka saja handsome macam Afiq Muiz, tapi tak ada karisma langsung. Aku rasa memang malanglah siapa yang jadi makwe dia nanti." Qiarra melepaskan das-das tembakan mengutuk pemuda yang menumpahkan sherbet strawberi di baju dan skirtnya. Kerana itu dia terpaksa ketinggalan satu kelas semata-mata untuk pulang ke rumah dan menyalin pakaian. Lebih membengangkan lagi ibunya turut ketawa melihat keadaannya yang comot.

"Amboi amboi, sedapnya mulut kau mengutuk mamat tu. Untuk pengetahuan kau, aku sedia jadi girlfriend dia tau, walaupun kau kata dia clumsy ke, gabra ke..." Sampuk Sara, tetapi belum sempat dia menghabiskan kata-kata, sudah dicantas oleh Qiarra.

"Please lah Sara. You can do better than that. Ramai lagi jantan berhemah yang sesuai untuk kau. Daripada kau sengsara dapat lelaki yang harapkan rupa saja macam tu." Kata-kata Qiarra sambil dia memarkir kereta berhampiran kafe yang mereka tuju.

Sara hanya menggeleng dengan jawapan Qiarra. Dia malas mahu bertekak lagi. Tambahan pula mereka telah tiba di destinasi.

Khamis, 29 November 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 5


BAB 5



Qiarra menyarungkan baju dengan rona biru bersama taburan labuci bagaikan bintang mengerlip di langit. Rambutnya sudah didandan rapi dan dielus lembut sambil memandang ke cermin. Wajahnya didandan dengan rona pembayang mata biru kehijauan yang sesuai dengan pakaiannya, bersama bibir yang merah bagai strawberi ranum baru dipetik.

Malam ini adalah malam yang istimewa baginya. Sambutan yang tidak pernah ketinggalan menjadi agenda keluarganya semenjak 19 tahun yang lalu. Hari yang menandakan kelahirannya sebagai seorang insan di muka bumi ini. Hari yang begitu bermakna bagi dirinya.

Hari ini juga menandakan hari dia kehilangan seorang saudara kembar. Adakala dia akan duduk berangan mengenangkan hidup bersama seorang saudara kandung. Bagaimana rupanya agaknya? Adakah kami kembar seiras atau kami berlainan rupa? Atau mungkin kami memiliki personaliti yang bercanggah walaupun wajah kami serupa. Tentu segalanya lebih meriah kerana disambut bersama.

Hari ini adalah hari yang istimewa bagi Qiarra, tetapi wajahnya tidak menggambarkan keceriaan itu.

Kalau ada saudara kembar tentu lebih seronok. Sekurang-kurangnya aku ada tempat untuk meluahkan perasaan yang terlalu banyak dan terlalu lama terbuku ini. Getus hati Qiarra sambil menyapu pemerah pipi menyerlahkan penampilannya malam itu.

Keluarga mereka tidak besar, hanya ayah, ibu dan dirinya sendiri. Menurut ayahnya, sepatutnya keluarga mereka ada lima orang, tetapi mereka kehilangan abang dan saudara kembarnya yang telah meninggal. Ayah atau ibunya tidak pernah memberitahu di mana arwah abang dikebumikan. Setiap kali dia cuba membangkitkan isu itu, dia lihat ayah dan ibunya kelihatan serba salah dan cuba mengubah topik perbualan.

Menjadi anak tunggal adalah idaman sesetengah orang, kerana tumpuan dan kasih-sayang diberikan sepenuhnya. Tetapi tidak bagi Qiarra.

Masih dia ingat perbualan dengan ibu dan ayahnya beberapa hari lepas.

"Please mama. Sekali ni saja Qiarra nak ajak kawan-kawan kolej Qiarra."

"Sayang, dah berapa kali mama cakap, tak boleh! Kita tak tahu latar belakang mereka. Mama tak nak menyesal kemudian hari kerana biarkan Qiarra bergaul sesuka hati. Mama buat ni pun semata-mata untuk kebaikan Qiarra."

"Betul kata mama Qiarra. Qiarra adalah satu-satunya anak mama dan papa. Papa tak sanggup kehilangan Qiarra kerana kesilapan kami. Cukuplah kami kehilangan dua orang anak kami."

"Papa, kehilangan dua orang anak papa bukan kerana salah papa dan mama. Itu kehendak Tuhan. Dah takdir. Takkan lah kerana itu mama dan papa nak kongkong Qiarra macam ni. Qiara bosanlah!"

"Papa tak mahu bertengkar dengan Qiarra lagi pasal ini. Papa yakin satu hari nanti Qiarra akan lihat kebaikan dalam apa yang papa dan mama buat ni."

Qiarra tidak dapat menahan amarahnya lagi. Dia terus naik ke tingkat atas dan masuk ke bilik sebelum menghempas daun pintu dengan kuat semahu hatinya.

Rabu, 21 November 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 4


BAHAGIAN 2: QIARRA

BAB 4:

Untuk makluman:
Kisah yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa sahaja (yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia) atau apa jua organisasi. Sebarang persamaan adalah sekadar kebetulan. Harap maklum.




19 Tahun Yang Lalu

Suasana di ruang menunggu itu agak lengang dan tenang. Kerusi-kerusi biru dan hijau muda yang memenuhi ruang lantai di luar wad bersalin Hospital Seri Pantai banyak yang masih kosong, hanya beberapa buah sahaja yang diduduki mereka yang setia menunggu di situ.

Suasana sunyi dan damai itu tidak menggambarkan perasaan Hafizudin ketika itu. Jantungnya berdegup pantas. Mindanya tidak mampu ditenangkan walau apapun yang cuba dilakukan. Duduk, bersandar, berjalan mundar-mandir, atau melihat ke luar tingkap. Semuanya tidak dapat melegakan perasaan gundah, risau, cemas dan takut. Semuanya berbaur menjadi satu sehingga menjemput kenangan silam untuk datang bertamu.

“Encik Hafizudin, kami minta maaf. Kami sudah cuba sedaya upaya tapi ... kami tak dapat selamatkan anak encik. Isteri encik dalam keadaan stabil, walaupun dia banyak kehilangan darah.”  Kata-kata doktor lebih kurang empat tahun yang lepas yang membuatkan Hafizudin terduduk di kerusi sebelum sempat doktor yang bertugas menghabiskan kenyataan yang dibuat.

Walaupun empat tahun sudah berlalu, kenangan itu masih segar di dalam ingatan yang menjemput rasa cuak dan was-was yang dialami hari ini.

Kata-kata wakil pihak hospital selepas itu yang menambahkan kerisauan Hafizudin.

“Encik Hafizudin, kami minta maaf. Ada berlaku sedikit kekeliruan. Pihak kami sedang berusaha untuk membetulkan keadaan.” Kata-kata pihak atasan ketika dia dibawa untuk berbincang di bilik khas, jauh daripada orang ramai.

Rabu, 14 November 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 3





Deruman motor kapcai Suzuki Best RR110 berwarna hitam itu jelas kedengaran di hadapan rumah kayu beratap zink di Kampung Seludang. Rumah kayu yang sudah berpuluh tahun mengharung hujan ribut dan panas terik, tetapi masih teguh berdiri walaupun sudah kelihatan agak lusuh dan terbiar. Pokok-pokok bunga raya, kemboja kuning dan pokok renek termasuk puding kubur juga tegak memagar laluan tanah merah menuju ke pekarangan rumah itu.

Eddie menanggalkan helmet putih yang sudah dimakan usia, tetapi masih terus setia melindungi kepalanya semasa meredah jalan raya.

"Assalamuaalaikum. Mak. Eddie dah balik." Suara Eddie di hadapan pintu rumah kayu itu.

Sejurus itu kedengaran engsel pintu dibuka dan seorang wanita yang sudah berumur bersama kulit berkedut dan rambut sudah memutih dengan uban.

"Wa'alaikumsalam." Ujar wanita itu. "Eh Ruzaidi, awal kamu balik. Kamu cuti ke?"

Eddie serba-salah untuk menjawab. Sekurang-kurangnya dia mahu menunggu masa yang lebih elok untuk menerangkan dahulu apa yang telah berlaku.

Rabu, 7 November 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 2




Eddie tergamam memandang pinggan yang telah berderai di lantai. Serpihan kaca pinggan putih bercorak bunga merah jambu itu sudah bersepai bersama serpihan yang bercampur baur dengan nasi putih.

Matanya sudah berkaca bersama jantung yang berdegup dua atau tiga kali lebih laju daripada biasa. Rasa cemas sudah menyelinap ke segenap inci tubuh dan memacu adrenalin ke mindanya. Mahu rasanya dia lari. Tapi mahu lari ke mana? Lambat-laun pasti dia akan ditemui dan menerima balasan seperti biasa. Parut lama masih lagi bersisa di tubuh menjadi tugu penanda kehidupan yang dia jalani. Nasib seorang anak pungut yang entah dari mana asal-usulnya, seperti dalam kata-kata ayah angkatnya.

"Hah! Pecah lagilah tu. Lama-lama habis pinggan-mangkuk dalam rumah ni. Dahlah menyusahkan aku nak mengisi tembolok kau! Sekarang apa yang ada dalam rumah ni pun habis kau nak jahanamkan." Suara jantan yang parau dan kasar dari serambi rumah jelas kedengaran di cuping Eddie dari dapur.

Sejurus itu Aishah bergegas ke dapur. Mukanya sudah cemas dan tidak tentu arah. Setelah berfikir sejenak dia mendekati Eddie yang berdiri terpinga-pinga dan kelu tanpa suara.

"Engkau memang anak yang tak mengenang budi! Aku dah ambil kau tinggal dalam rumah ni, habis semua benda kau nak punahkan!" Suara Aishah nyaring sambil tangannya memiat telinga budak berumur lapan tahun itu. Mata Eddie terkejip-kejip menahan sakit pada telinganya yang sudah memerah dipiat.

"Sekarang kau kutip semua ni, kau bersihkan sebelum aku belasah kau cukup-cukup. Cepat!" Aishah bercekak pinggang sambil menuding jari ke arah serpihan kaca dan nasi yang berselerak.

Rabu, 31 Oktober 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 1


BAHAGIAN 1: EDDIE

BAB 1



20 Tahun Yang Lalu

Malam itu angin bertiup begitu kencang. Atap zink rumah kayu di Kampung Seludang bagaikan menjerit di atas bumbung apabila bahagian yang longgar menghentak-hentak rangka beluti, bersama deru angin yang sayu dan nyaring.

Aishah tidak dapat lena malam itu. Bukan angin ribut yang merisaukannya. Ada yang jauh lebih merisaukannya daripada itu. Dia memikirkan masa depan hidupnya bersama lelaki bernama Jamil. Perbualannya selepas suaminya pulang dari kerja petang tadi benar-benar menghiris kalbu wanitanya.

"Apa salah Esah abang buat Esah macam ni?" Suara Aishah tersedu-sedu selepas nasi dan lauk yang dimasak sedikit pun tidak dijamah. Walhal semasa baru selesai menuruni jinjang pelamin dahulu, masakan itulah yang dipuji bersama kata-kata sayang yang diucapkan.

"Kau tanya aku apa salah kau? Tak ada apa-apa. Bukan salah kau. Tapi salah aku. Salah aku sebab aku kahwin dengan perempuan mandul macam kau ni!" Bentak Jamil.

Hati Aishah begitu luka dengan kata-kata itu. Pedih bagaikan dihiris, dicincang, dilapah kemudian dicampak ke tanah untuk menjadi habuan anjing kurap yang kelaparan. Air matanya sudah berjuraian bersama dada yang sempit menyesakkan nafas.

"Sampai hati abang buat Esah macam ni. Ini semua dah takdir bang. Nak buat macam mana." Suara Aisha yang sebak tersedu-sedu. Sedikit pun dia tidak menyangka mahligai indah yang dibina bersama lelaki bernama Jamil itu boleh goyah kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

"Itu takdir untuk diri kau. Bagi aku masih ada peluang lagi. Aku boleh cari perempuan lain yang tak mandul macam kau!" Suara lantang Jamil yang begitu berlainan jika dibandingkan dengan lelaki yang cuba memenangi hatinya satu masa dahulu.

Isnin, 29 Oktober 2012

Pabila Hud berjumpa Hantu




Kantin Kolej Sains MAJU sudah sesak pada waktu tengah hari apabila semua pelajar dan pensyarah berpusu-pusu bagi mengisi perut masing-masing. Kebanyakan meja telah pun penuh. Antara meja yang masih belum digunakan sepenuhnya adalah meja di penjuru kantin. Meja itu menghadap ke bahagian belakang kolej yang masih bertanah merah. Kawasan yang masih belum dibangunkan sepenuhnya di kolej yang baru beberapa bulan beroperasi.

"Betul ke kau tak mahu pindah bilik lain?" Suara Ikmal dengan nada risau. Dia dan dua rakan lagi sedang duduk di meja hujung itu.

"Apasal aku nak pindah pulak?!" Hud menjawab soalan Ikmal dengan soalan juga.

"Yalah, kau kan mangsa seterusnya." Ikmal menjawab kembali.

"Aku pun setuju dengan Ikmal. Baik kau pindah bilik lain. Kalau tak kekal pun, sampai semua dah selesai." Danny menyampuk.

Hud yang sedang berselera menyuap nasi berlauk ayam kurma terus berhenti makan sambil matanya tertancap kepada dua rakan di seberang meja. Peha ayam yang sedang dijamah telah diletakkan semula ke dalam dulang makan biru muda dengan petak-petak berasingan yang terisi dengan nasi, lauk kurma, sambal belacan dan buah limau.

"Masalahnya aku tak tahu sama ada benda tu nak cari penghuni bilik itu atau pun nak cari aku. Kalau dia nak cari aku, tak kira aku sembunyi kat mana sekalipun, dia mesti jumpa aku punya!" Hud meluahkan pendapat setelah Ikmal dan Danny begitu beriya-iya mahu dia merubah fikiran.

Ikmal dan Danny terdiam. Mungkin mereka sedar Hud sudah nekad dengan keputusannya.

Jumaat, 26 Oktober 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Prolog




Sebuah ladang strawberi luas yang sayup mata memandang, bersama bukit-bukau dengan rona merah jambu bertekstur halus seperti sherbet strawberi. Langit pula membiru dengan warna pastel, bersama kepulan awan bagai gula-gula kapas.

Itulah pemandangan di sekeliling pada ketika itu. Kelihatan sebuah menara tinggi bagaikan dibuat daripada kristal dengan warna berkemilau, tersergam indah mencapai langit. Nun sayup di atas menara tinggi kristal itu kelihatan seorang gadis ayu berambut panjang sedang memandang ke bawah dari balkoni.

Di kaki menara itu kelihatan seorang pahlawan perkasa berdiri dengan pakaian satria melayu dengan kain bersulam emas. Segak dan sasa dia berdiri bersama keris tersemat di pinggang. Wajahnya tampan dan pastinya akan memikat siapa saja gadis yang melihat.

Nama pahlawan itu adalah Adi Wira. Dia ke sini untuk menyelamatkan seorang puteri rupawan yang terkurung di atas menara.. Puteri yang bakal menjadi permaisuri istana hatinya, sekiranya dia berjaya.

"Bagaimana harus aku memanjat menara tanpa tangga ini? Bagaimana harus aku meluahkan perasaan apabila bertemu dengan puteri yang cantik bagai bidadari kayangan itu nanti?" Pahlawan itu sedang mencari ikhtiar untuk menyelamatkan puteri tersebut.

Dia tidak dilahirkan dalam keluarga bangsawan atau diraja, tetapi sekiranya dia berjaya menawan hati puteri ini, dia boleh merasa kebahagiaan hidup bersama puteri itu. Dia tahu menyelamatkan puteri ini bukanlah perkara yang mudah, tetapi dia sanggup melakukan apa saja supaya dapat bertemu puteri itu.

"Eddie." Kedengaran sayup suara memanggil. Suara yang diharapkan adalah suara puteri itu.

Tetapi kenapa suaranya garau? Adakah puteri ini ...? Soalan-soalan yang bermain di fikiran Adi Wira.

"Eddie!" Suara itu makin lantang dan makin garau.

Hati Adi Wira semakin goyah. "Kalau itu suara puteri di menara kristal ini, baik aku cabut sebelum terlambat."

"Eddie....!" Suara itu semakin lantang dan kasar, sungguh berlawanan dengan rupa puteri yang cantik menawan itu.

Sabtu, 15 September 2012

Laluan Cinta Ke Lebuhraya Merdeka

Alhamdulillah. Pembakar semangat untuk terus berkarya di bidang penulisan. Langkah pertama di bidang penulisan cerpen. Harap-harap akan berterusan hingga ke penulisan novel pula. :)

Majalah Mingguan Wanita Isu 14-20 september 2012

Cerpen saya yang telah tersiar



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?