BAB 18
Sebuah kereta limousine menjalar di pekarangan deretan
bangunan kedai. Balikan cahaya lampu jalan berwarna jingga jelas kelihatan pada
permukaan kereta yang berkilat itu.
Lelaki berkaca
mata hitam tadi membuka pintu limousine
dan berdiri menunggu Mona masuk. Mona menjengah ke dalam. Seorang perempuan
sedang duduk di hujung seat belakang.
"Masuk,"
suara lelaki yang berdiri menunggu Mona. Intonasinya antara arahan dan pelawaan
yang sukar Mona pastikan.
"Cik Mona
Rissa?" Suara wanita yang duduk di depan Mona. Mereka duduk bersetentang
seperti seat dalam gerabak kereta
api.
Mona angguk. Dia
asyik mengamati pakaian wanita itu. Bukan calang-calang wanita yang mampu
memperagakan busana seperti itu. Jeket lengan pendek kulit dihiasi dengan kolar
dan hujung lengan bulu binatang warna putih salju. Mungkin mink atau chincila
mengikut imaginasi Mona yang dia sendiri tidak pasti.
Mona dapat
mengecam wajah itu, walaupun dia masih belum pasti dari mana.
"Saya
Rafina. Masih ingat?" Suara lunak wanita itu sambil menyalakan rokok
dengan alat pemegang yang panjang dan halus.
'Rafina?' Mona
menggeledah kotak simpanan memori benaknya. Nama itu terasa biasa dia dengar.
"Gemala
Kalbu. Rintik Listrik Cintamu. Jejaka Lara." Bersahaja kata-kata wanita
itu bersama asap halus yang dihembus.
"Rafina
Asfar." Mona bersuara spontan.
'Baru aku ingat.
Dia penyanyi jazz termuda yang terkenal di negara dan nusantara. Tapi dah lama
tak dengar cerita pasal dia. Rupa pun dah lain sekarang.'
"Dah lama
tak dengar pasal Cik Rafina." Mona cuba berbahasa dengan wanita itu.
"Bukan cik.
Puan. Tapi semua tu tak ada makna." Rafina tega menghembuskan asap tanpa
menghiraukan tetamu yang ada bersamanya.
"Saya tak
faham." Mona berterus-terang.
"Dah lama
kenal Zamarul?" Rafina tidak memandang Mona. Dia melemparkan pandangan
keluar melihat cahaya yang silih berganti di tepi jalan.
"Baru lagi.
Saya baru pindah ke Johor. Zamarul klien syarikat."
"Klien?
Klien saja?" Rafina berpaling melihat Mona.
"Ya. Klien.
Kenapa?"
"Hmm...
tentu besar deal dengan Ultra Vue
kan?. Sampai dapat private and exclusive
meeting dengan dia. Atas yacht."
"Saya tak
tipu. Dia memang klien. Tak lebih dari itu. Kami berbincang pasal kempen
Chameleon. Mungkin itu cara dia bekerja."
Rafina ketawa
sinis. "Huh.... kempen.... bekerja...."
Asap dihembus
lagi. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangan kulit Gucci putih
yang kelihatan begitu eksklusif. Beberapa keping gambar dicampakkan ke sebelah
Mona.
Hampir terbeliak
Mona melihat gambar-gambar dia dan Zamarul. Gambar itu kelihatan begitu intim
dengan zoom jarak dekat. Mona sedar Zamarul begitu merapatinya di yacht, tetapi gambar-gambar itu jelas
menunjukkan aksi Zamarul. Dia seperti sedang menikmati lambaian rambut Mona
yang singgah di wajahnya dengan mata yang tertutup. Seperti sedang khayal
dengan impian gelapnya.
"Tak ada
apa-apa antara kami. Saya tak anggap dia sebagai...," Mona serba-salah.
"Aku
tahu." Selamba jawapan Rafina.
'Apa kena dengan
dia ni? Dia tuduh aku, lepas tu dia kata dia tahu apa yang berlaku. Pelik.'
Mona semakin keliru.
"Bukan foto
saja yang ada. Video pun aku dah tengok." Rokok dipadamkan dan diletakkan
ke dalam ashtray.
"Sebab tu
aku panggil kau ke sini. Kau bukan macam perempuan lain yang aku tengok bersama
Zamarul."
"Apa
hubungan… Rafina dengan dia?"
"Aku isteri
dia. Entah isteri keberapa. Tapi dilayan seperti mistress. Gundik halal yang sah dari segi agama." Ada wajah
sendu terukir.
Mona keliru
tetapi dia buat keputusan untuk mendengar saja.
"Semasa
populariti aku tengah melonjak, dia menyunting aku. Aku terpaksa korbankan career untuk hidup mewah seperti ini.
Tapi aku jadi macam burung kenari yang terkurung dalam sangkar emas."
Pengakuan jujur wanita itu.
"Dia
bertukar teman wanita seperti menukar baju. Wanita yang bertaraf isteri dia
ambil dan lepaskan sesuka hati. Dari segi itu aku beruntung kerana masih kekal
bersama dia. Tapi hanya pada status dan kemewahan yang aku ada. Malam hari aku
hanya seperti pungguk yang menunggu bulan muncul dalam keadaan cuaca yang tak
menentu. Hilang bila ditunggu. Muncul bila tak dijangka." Rafina merenung
kosong lampu suram yang berada di bumbung limousine.
Matanya berkaca seperti cuba menahan tangis.
"Apa kaitan
semua ini dengan saya?" Mona bertanya naif.
"Kau masih
belum faham atau buat tak faham? Kau masih belum sedar? Kau benar-benar fikir
dia rasa prestasi syarikat kau bagus sangat hingga dia perlukan khidmat. Kau
benar-benar fikir dia ingin berbincang tentang bisnes di atas yacht?"
Kata-kata Rafina
umpama tamparan ke muka Mona, menyedarkan dia tentang realiti yang tidak dia
nampak sebelum ini.
"Setelah
lihat kau bersama dia, aku simpati. Kau bukan perempuan murahan yang mengejar
kemewahan dan rupa yang dia ada. Aku tak mahu kau terperangkap dalam jalan mati
yang tiada patah balik lagi." Rafina memandang tepat ke wajah Mona. Entah
mengapa, Mona dapat rasakan keluhuran dalam kata-kata wanita itu.
Mona
serba-salah. Ingin rasanya dia berterima kasih kepada Rafina. Tetapi masih ada
rasa curiga. 'Mungkin dia ada maksud yang tersirat di sebalik pertemuan ini.'
"Kau tak
perlu percaya kata-kata aku bulat-bulat." Kata-kata Rafina seperti dapat
membaca apa yang bersarang di fikiran Mona. "Kau pulang dan fikir
baik-baik apa yang aku katakan. Keputusan di tangan kau. Ini hidup kau. Maruah
kau. Hanya kau yang dapat menentukan pilihan yang kau rasa baik."
Suasana sunyi di
dalam limousine selepas itu. Hanya
kedengaran deruman perlahan enjin kereta. Mereka berdua memerhatikan
pemandangan di luar yang silih berganti sebelum kereta itu berhenti di tempat
ia diparkir.
"Fikir
masak-masak apa yang aku cakap." Pesan terakhir Rafina sebelum Mona
ditinggalkan.
Mona masih
berdiri kaku semasa limousine itu
meluncur laju dan hilang dalam suram cahaya jalan malam itu.
***
"Aku memang
dah agak. Dari cara dia tu, memang aku tahu ada yang tak kena." Munira
begitu yakin malam itu.
"Hei! Bukan
semudah itu Mona nak percaya dengan perempuan tu. Kau pasti dia tu isteri
Zamarul? Entah-entah ini helah dia supaya jauhkan diri dari kekasih dia
tu." Bidas Monique.
"Kalau tak
ada angin masakan pokok bergoyang." Munira pantas menjawab.
"Kau tak
perasan macam mana perempuan tu intip Zamarul? Sampai pasang spy lagi. Dia memang ada agenda
tersendiri. Dia rasa Mona adalah saingan dia."
"Saingan
apa? Zamarul tak pernah anggap perempuan sebagai sesuatu yang berharga. Dia
hanya gunakan mereka untuk sementara waktu. Yang dia suka dia simpan. Yang
membosankan dia lepaskan." Jawapan Munira menambahkan kusut kepala Mona.
Tanpa berkata
apa-apa, dia mencapai earplug.
Kedua-dua telinga disumbat sebelum mata dikatup rapat malam itu.
***
Apa yang Mona
buat serba tak kena di pejabat. Sukar untuk dia fokus dengan kerja. Dia
memandang skrin laptop dengan pandangan kosong. Perbualan yang dia dengar di
pejabat seperti bunyi langau yang membingitkan.
Amanda adalah
orang yang pertama perasan perubahan Mona. Karakter Mona yang bersemangat dan
ceria seperti selalu sudah lenyap.
"What's wrong?" Amanda bersandar di
bingkai pintu pejabat Mona.
"Nothing." Mona cuba menepis.
"Kau ingat
aku tak perasan? Walaupun belum lama kau kat sini, aku dah boleh baca air muka
kau."
"Really, nothing."
"Okey, aku assume perkara tu terlalu besar untuk
kau kongsi, atau mungkin juga kau tak percaya dengan aku. Never mind." Amanda buat muka sentap dan berpaling untuk
beredar.
"Amanda, wait!"
Amanda memandang
Mona.
"Tutup
pintu. Duduk."
Amanda akur.
"So, what's the big secret?" Amanda
sudah bersedia.
"I don't know where to start." Mona
cuba mengatur ayat.
Dia diam
seketika.
"Kau
percaya tak kalau aku kata Zamarul tu pilih syarikat kita kerana ada
kepentingan? Ada sesuatu yang dia nak dari kita?" Mona membuka cerita.
Amanda berfikir
sejenak.
"Tapi apa
yang dia nak? Apa yang special sangat
dengan kita?"
"Cuba kau
fikir balik. Macam mana Norman boleh dapat projek Ultra Vue?" Tanya Mona.
"Masa aku
pergi function dengan Norman. Aku
rasa pelik dengan cara dia tengok gaun strapless
aku. Aku rasa macam dia tengah ratah bahu aku."
Mona diam
seketika.
Kemudian dia
bertanya lagi. "Kemudian cuba kau fikir sebab apa dia cerewet sangat
dengan proposal kita."
"Entah,
mungkin idea yang dia nak sampaikan tak tercapai dengan kempen yang kita
buat?" Amanda masih belum dapat mengagak arah tuju soalan Mona.
"Ada tak
dia ajak kau keluar? Atau bagi hint
tentang niat dia?"
"Hmm.. ada
sekali dia ajak. Tapi aku banyak kerja masa tu. So, dia keluar dengan Norman
ajelah."
"Bingo!"
Mona seperti detektif yang berjaya menyelesaikan kes.
"Aku rasa
firasat aku terhadap Zamarul benar belaka." Kata-kata Mona dengan gaya
skema.
"Mona, please... tolonglah terangkan pada aku.
Apa yang kau nak sampaikan sebenarnya?" Amanda teruk dilanda ribut tanda
tanya.
"Zamarul
gunakan khidmat Ad-Vantage kerana perempuan seperti kita. Dia bukan pilih kita
sebab reputasi kita. Dia sebenarnya beri kita projek untuk dapatkan balasan.
Kau masih tak faham lagi?"
Amanda
terlopong. Mungkin dia sedang mencernakan maklumat yang Mona sampaikan mengikut
kefahamannya sendiri.
"Oh my god!" Hanya itu yang mampu
dizahirkan oleh Amanda.
***
Lama juga Norman
merenung borang cuti yang diserahkan oleh Mona.
"Seminggu?"
Norman seperti teragak-agak untuk melepaskan Mona.
"Nak release tension." Selamba jawapan
Mona.
"Sebab
Zamarul?" Norman cuba menduga.
Mona angguk. Dia
puas hati kerana telah meluahkan isi hati kepada Norman. Apa yang dia beritahu
Amanda telah disampaikan kepada Norman juga.
"Kalau dia
tarik balik projek ini macam mana?" Norman nampak risau.
"Soalannya
bukan sama ada dia akan tarik balik atau tidak. Tapi you. You sanggup tengok
staf syarikat digunakan sebagai objek oleh lelaki seperti dia? You tergamak buat macam tu?"
Norman terdiam.
Kata-kata Mona nampaknya cuba dia perhalusi.
"Okay, we'll just wait and see. Kita tunggu apa
percaturan dia selepas ini." Suara Norman dengan nada serius.
"Hmm..
percaturan. Suddenly you sound like the
prime minister." Usik Mona.
Wajah Norman
berubah menjadi relaks. "Orang tengah serius, dia main-main pulak."
Mona tergelak.
"Bukan apa. You kalau serius
nampak seksi. I rasa macam rimau yang nak terkam you. Aum!" Mona tiba-tiba dalam mood bergurau. Mungkin dia
cuba menghilangkan stres memikirkan masalah Zamarul.
"Amboi!
Dengan bos pun berani nak terkam. Nanti kena terkam balik, terus hilang suara
nanti." Balas Norman.
"Okeylah, I
nak sambung kerja. Nak siapkan apa yang patut." Mona bangkit.
"Sekejap!"
Norman membuka laci. Dia menghulurkan beberapa brochure kepada Mona. "Nah! Ni ada pamphlet pasal lokasi percutian. Johor ada. Singapore ada. Itupun kalau you
belum ada idea nak pergi mana lagi."
Mona
memerhatikan beberapa kertas glossy yang
dilipat dua dan tiga. "Hmm... macam menarik. Nanti I tengok. Thanks."
Sebelum meninggalkan
pejabat Norman, dia sempat berseloroh lagi. "You sure you tak nak ikut? Nanti kalau I sangkut dengan orang lain
macam mana?" Mona seperti ingin membalas gurauan Norman. Tentang bilik
hotel sebelum seminar di Singapura.
"Hajat hati
memang nak ikut. Tapi kalau I pergi, siapa nak handle kerja kat ofis ni? Lagipun kalau I ikut, takut sampai
sebulan dua-dua tak masuk ofis nanti." Norman ketawa nakal.
"Amboi.
Boleh tahan nakal juga Mister Control
Freak ni ya?"
Norman tidak
menjawab. Sebaliknya dia terus ketawa dan menyambung kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan