B.A.R.A.N
Kampung Semabuk gempar dengan kes
pembunuhan di rumah Badron. Tubuhnya ditemui terkulai di kaki tangga awal pagi
dengan leher dikelar. Polis tiba di lokasi kejadian setelah isterinya menelefon
polis sebaik saja dia ternampak mayat suaminya pagi itu.
Munira tersandar lesu di tangga
ketika memberi keterangan. Matanya bengkak dan merah, hingga terasa pedih apabila
air mata yang sudah kekeringan dipaksa keluar.
"Saya mula syak sebab dia
tak balik-balik sampai hampir waktu subuh. Biasanya paling lewat dia balik pukul tiga pagi."
"Suami puan ke mana?"
tanya polis yang menyoal siasat.
Munira tergamam.
"Dia keluar dengan
kawan-kawan."
"Apa dia buat dengan
kawan-kawan?"
Munira cuba menyembunyikan tabiat
suaminya. Nampaknya dia sudah tidak mampu berselindung lagi.
"Dia main judi. Biasanya
balik dalam keadaan mabuk." Tak tergamak rasanya Munira ingin bercerita
tentang aib suaminya. Namun dia tiada pilihan.
"Puan perasan apa-apa yang
pelik berlaku malam itu?"
"Tak ada." Wajah Munira
menggambarkan ketelusan.
"Ada apa-apa yang
mencurigakan sebelum kejadian. Mungkin semalam atau beberapa hari yang
lepas."
Munira menggeledah kotak
memorinya.
"Akhir-akhir ni selalu orang
datang cari dia. Biasanya dua orang. Pasal hutang."
"Boleh puan cam wajah mereka?"
"Boleh. Tapi setiap kali
datang, orang yang berlainan. Saya syak arwah suami saya ada meminjam dengan Ah
Long."
Polis itu galak mencatit dalam
buku rekod.
"Encik rasa dia kena bunuh
dengan Ah Long?"
Polis itu mengeluh. "Mungkin
juga. Apa-apa pun kami akan buat siasatan lanjut."
Munira tiba-tiba beremosi.
Dadanya berombak menahan sebak. "Saya terdengar perbualan dia dengan
lelaki yang datang ke rumah. Mereka suruh gunakan saya untuk langsaikan hutang.
Tapi suami saya tak sanggup libatkan saya. Dia sanggup jadi korban semata-mata
untuk selamatkan saya." Suaranya hampir-hampir meraung.
"Puan bawa bertenang. Kami
akan cuba yang terbaik untuk selesaikan kes ini."
"Terima kasih encik. Saya
harap kematian suami saya akan terbela."
***
Beberapa bulan yang
lalu
"Munira! Munira!" Suara
Badron dari muka pintu.
"Ya bang." Munira bergegas
dari dapur.
"Duduk sini. Aku nak cakap
dengan kau." Badron menghempaskan tubuh ke sofa rotan dengan kusyen empat
segi. Motif bunga ros memenuhi sarung kusyen dengan latar kuning cair.
"Sekejap ya bang. Munira
buatkan air teh O. Munira ada beli kuih."
"Tak payah. Mana handphone kau?" Serius nada Badron.
Munira rasa pelik. Tidak pernah
Badron buat begitu. Dia ke bilik untuk mengambil Samsung Smartphone kepunyaannya.
"Nah. Kenapa ni bang?"
Munira rasa cuak dengan perubahan sikap Badron.
"Apa password Facebook kau?"
"Mari, biar saya
masukkan."
"Tak payah! Biar aku taip
sendiri."
"Kenapa ni bang? Selama ni
abang tak pernah ambil tahu pasal FB saya."
"Itu dulu. Sekarang dah
banyak kes berkaitan dengan benda ni. Kau ingat lagi kawan aku Mail? Dia baru
lepas bercerai dengan Shamsiah gara-gara Facebook. Diam-diam perempuan tu contact pakwe lama dia. Aku takut kau
pun buat benda yang sama. Apa password
kau?"
Munira terpaksa menyebut kata
laluan Facebook kepunyaannya sambil Badron menekan kekunci di skrin.
"Hai, abang dah mula hilang
kepercayaan dengan saya ke? Takkan Shamsiah buat macam tu, abang ingat saya pun
nak buat benda yang sama." Sindir Munira.
"Sebab itu aku nak pastikan.
Manalah tahu kau dah mula bosan dengan aku." Jawab Badron sambil memeriksa
kandungan akaun Facebook Munira.
"Sebab abang sedar saya dah
tahu sikap abang yang sebenar lepas kahwin? Macam tu?" Munira tersenyum
sinis.
Badron menjegil ke arah Munira.
"Selama ini saya setia
dengan abang. Tak pernah pun saya curang selama saya bekerja di pejabat. Hanya
disebabkan Shamsiah buat macam tu, abang dah mula curiga dengan saya."
Badron buat tak endah. Dia
meneliti status, mesej dan chat Facebook Munira.
"Siapa Razlan, lelaki yang
kau layan dalam chat? Bergurau senda bukan main lagi." Telinga Badron mula
panas.
"Dia klien syarikat. Dia
memang macam tu, kuat melawak. Saya bukannya layan dia pun. Kalau tak percaya,
abang baca apa yang saya tulis." Munira membela diri.
"Aku dah agak dah. Dengan
Shahril ex kau pun kau
bertonyeh." Badron jumpa maklumat baru.
"Ya Allah... bang, dia yang add saya. Bukan saya yang
terhegeh-hegeh. Lagipun kami dah bawa haluan masing-masing. Dia pun dah kahwin
bang."
"Itu masa mula-mula. Lepas
ni kau mula menggatal nak jumpa dia. Dah jumpa mula jatuh cinta semula.
Akhirnya minta cerai dengan aku. Betul tak?"
"Astaghfirullah... mengucap
bang. Takkan saya tergamak buat semua tu." Munira mula mempersoalkan sikap
Badron yang tak masuk dek akal.
"Aku tak kira. Aku nak kau
berhenti kerja. Anak-anak jangan hantar ke rumah Kak Timah lagi. Aku nak kau
jaga sendiri. Susah sikit kau nak menggatal dengan lelaki lain."
"Abang! Kenapa abang
tergamak buat macam ni? Anak kita dah masuk empat bang. Macam mana kita nak
bagi makan kalau saya berhenti kerja?"
"Aku ada. Aku boleh bagi dia
orang makan." Selamba jawapan Badron tanpa berfikir panjang.
"Gaji abang jaga kebun Pak
Abas tu berapa sangat. Anak-anak makin membesar. Nak guna duit untuk sekolahkan
mereka, makan lagi, bil-bil lagi." Munira cuba mengubah fikiran Badron.
"Kau pekak ke apa? Aku kata
aku boleh, bermakna aku bolehlah!" Badron bengang.
"Keputusan aku dah muktamad.
Kalau kau degil juga, aku kerjakan kau cukup-cukup. Biar kau tahu penangan
jantan tangan aku ni!" Ugut Badron sebelum meninggalkan rumah.
Munira terjelepuk di lantai
dengan air mata bercucuran. Deruman motosikal nyaring kedengaran di luar.
Kemudian bunyi itu semakin sayup sebelum menghilang.
***
"Munira! Apa yang kau hidangkan
ni?" Lantang suara Badron di meja makan. Tudung saji masih berada di tangan
kirinya.
"Itu sajalah yang ada bang.
Saya dah minta duit belanja, tapi abang tak bagi lagi. Beras pun dah nak
habis." Jawab Munira sambil memerhatikan Badron.
"Ikan masin aje kau hidang.
Aku kerja penat-penat membanting tulang, ini saja yang kau hidang? Memang dah
melampau!" Badron menghentak meja.
Perasaan Munira bercampur baur.
Sebahagian dirinya bimbang Badron akan bertindak lebih ganas. Namun
sebahagiannya geram dengan sikap lelaki itu. "Itulah, dulu saya dah kerja
elok-elok, abang suruh berhenti. Kononnya hasil kerja kebun tu cukup nak
tampung kita dan anak-anak. Sekarang macam mana?" Munira tega memulangkan
paku buah keras.
Dengan sekelip mata pinggan
melayang ke lantai. Bersepai kaca yang berselerak ke merata pelusuk dapur.
"Kau jangan nak salahkan aku! Kalau tak kerana kau yang menggatal dengan
jantan lain, takkan jadi macam ni. Tau tak?" Dalih Badron.
"Oh, jadi semuanya salah
sayalah ya? Salah saya atau cemburu buta abang tu yang tak bertempat? Nak buat
macam mana. Mahu tak mahu, terpaksalah kita tanggung semua ni. Lainlah kalau
abang benarkan saya bekerja semula." Sindir Munira.
"Ah! Sudahlah! Malas aku nak
layan kau. Kau ingat aku tak tahu semua ni helah kau? Aku berambus lagi
baik." Badron angkat punggung dan beredar. Deruman motosikal nyaring
sebelum semakin lama semakin sayup kedengaran dan menghilang.
***
Munira menunggu di ruang tamu.
Jam sudah menunjukkan jam dua pagi. Tidak lama kemudian kedengaran deruman
motosikal di pekarangan rumah.
"Lewat abang balik."
Suara Munira sebaik saja Badron tercongok di muka pintu.
"Sejak bila kau pandai ambil
tahu pasal aku? Aku nak balik ke, aku tak nak balik ke, suka hati akulah."
Badron tercegat di depan Munira dengan bau roti masam yang begitu kuat dan
meloyakan.
"Sejak bila abang pandai
mabuk ni?" Munira mula berang
dengan perubahan sikap suaminya.
"Buat apa kau tunggu aku.
Pergilah masuk tidur. Menyibuk je!" Badron melangkah dengan
terhoyong-hayang. Kesan minuman yang diteguk masih bersisa.
"Saya nak tunggu abang sebab
saya terjumpa benda ni. Ni apa bang?" Munira memegang sekeping kertas di
tangan.
"Nombor ekor. Itupun tak
tahu?" Selamba jawapan Badron.
"Memang saya tahu ini nombor
ekor. Tapi kenapa bang? Kenapa abang terlibat dengan benda haram ni?"
"Benda haram?" Badron
ketawa sinis. "Dengan benda haram itulah aku dah beli macam-macam. Untuk
sumbat perut kau dan budak-budak tu." Badron terus ketawa.
"Astaghfirullah... tergamak
abang. Benda ni jadi darah daging bang." Munira mula sebak.
"Rimas aku dengan kau ni.
Bila tak ada duit sibuk nak duit. Bila dah bagi, bising pulak. Duit haramlah,
darah daginglah. Bosan! Aku nak tidur." Badron menuju ke bilik tidur
dengan gaya berjalan yang bengkang-bengkok.
Munira hilang rasa mengantuk. Dia
bersandar di sofa tanpa sebab. Dia membiarkan fikirannya hanyut dengan
penderitaan hidup yang sedang dialami.
***
Munira bersandar lesu di tangga.
Kepalanya bisa dengan rasa berdenyut-denyut yang amat menguji. Begitu juga dengan
tubuhnya yang terasa lesu dan lemah.
"Kau tak makan Munira?"
tanya Fauziah, kakak iparnya yang baru tiba.
"Tak lalu kak. Bila makan,
muntah. Makan, muntah. Sampai dah tak larat saya ni." Jawab Munira dengan
wajah yang pucat.
"Kau nak ke klinik? Kami boleh
hantarkan." Kata Hamzah.
"Tak payahlah bang. Saya
bukan ada duit. Mana cukup nak bayar kos perubatan nanti."
"Tak apa, kami boleh tolong
bayarkan. Lagipun kita kan adik-beradik." Kata Hamzah.
Fauziah mengeluh. "Kesian
akak tengok kau. Semakin lama kau hidup dengan Si Badron tu, makin banyak
dugaan kau anak-beranak."
"Dah jodoh kak. Dah tersurat
semuanya."
Hamzah ketawa sinis. "Kau
kata jodoh itu sudah tersurat. Kalau begitu, kenapa kau ketepikan restu orang
tua kau? Tentu kau akan berkahwin juga dengan dia akhirnya kalau sudah
jodoh."
"Abang, Munira tengah sakit.
Janganlah cakap macam tu." Fauziah tidak setuju dengan tindakan suaminya.
"Restu ayah dan mak penting
Munira. Tapi dulu kau mabuk dengan arak cinta. Kau khayal dengan dadah asmara.
Sampai lubuk dalam pun kau sangka lopak. Jurang maut kau kata kolam ikan."
Hamzah tega bermetafora dengan sindiran tajam.
Munira tidak beremosi. Kata-kata
itu sudah tidak berkesan lagi dengan apa yang dia alami.
"Sekarang dua-dua dah tak
ada lagi. Bagaimana kau nak minta maaf dengan perbuatan kau yang membelakangkan
mereka dulu? Kau sanggup pergi bernikah di Siam semata-mata kerana nak
berkahwin dengan Badron, buah hati pengarang jantung kau. Kau sanggup tengok
ayah dan mak menanggung malu akibat perbuatan kau!" Nada Hamzah mula
berubah.
"Abang," Fauziah cuba
memujuk.
"Kau ingat kau sorang saja
yang menanggung sikap laki kau tu? Sudahlah memalukan dengan perangai kaki
minum, tahi judi. Mulut lancang pulak tu. Kau ingat aku tahan duduk berjiran
dengan kau?"
"Apa yang abang merepek
ni?" Fauziah cuba meredakan kemarahan suaminya.
"Awak tak ingat apa dia
cakap masa lembu kita terlepas masuk ke kebun dia? Ada ke patut dia kata lembu
tu tak masuk ajar, macam tuan dia. Aku ni pangkat abang, lebih tua daripada
dia. Tak reti hormat orang langsung. Aku ni jenis malas bergaduh. Kalau aku
ikutkan baran aku macam dia, mampus dia aku kerjakan!"
"Bang, bawa mengucap."
Fauziah belum putus asa cuba memujuk.
"Kalau aku tak fikirkan kau
ni adik aku, dah lama aku belah. Cari rumah lain. Aku bimbang kalau aku dah tak
ada kat sini, entah apa yang dia buat dengan kau dan anak-anak. Sepak terajang
agaknya. Kalau jadi apa-apa pada kau, aku tak mahu dipersalahkan nanti. Sebab
tak ambil tahu hal adik-beradik sendiri."
Fauziah sudah tidak berkata
apa-apa lagi.
"Aku ingat lagi Si Siti,
masa dia menumpang rumah kau balik dari asrama dulu. Ada ke patut dia mengutuk budak
tu? Dia kata Siti tu membuta saja tau, tak reti menolong kerja rumah. Budak tu
penat naik bas dari Utara, nak berehat. Tapi mulut dia lancang semacam.
Haish!" Hamzah mula beremosi.
Munira bersandar lesu tanpa
respons. Tiada siapa mengetahui jiwanya yang meraung dan meratap dengan
kata-kata Hamzah sebentar tadi.
***
"Helo!" Suara lelaki
dari pekarangan rumah.
"Helo!"
Munira masih jalu akibat tertidur
di ruang tamu tengah hari itu.
Dia bingkas bangun dan mengintai
dari tingkap. Seorang lelaki Cina gempal dan seorang lelaki Melayu bertubuh
sasa tercegat di laman.
"Ada apa?" Munira
berdiri di muka pintu.
Lelaki cina berwajah serius itu
tadi terus tersenyum. "Hai amoi cantik manis. Ini rumah Badron ka?"
"Ya, ini rumah Badron. Ada
apa hal encik cari suami saya?"
Lelaki cina itu memandang lelaki
yang menemaninya.
"Wah, lu bini Badron ah?
Wa... banyak cantik ooo... Kenapa Badron tak beritahu saya bini dia manyak
cantik."
Kedua-dua lelaki itu ketawa.
Munira mula curiga.
"Kenapa ni encik? Ada
masalah?"
"Tak ada apa-apa. Cuma...
Badron ada pinjam duit dengan saya. Sampai sekarang belum bayar. Sudah berapa
bulan ooo... Tapi tak apa. Kalau dia balik, beritahu dia saya ada baik punya proposal." Lelaki cina itu ketawa
lagi.
"Saya balik dulu ya?"
Lelaki cina itu ketawa lagi sambil memerhati Munira dari hujung rambut hingga
hujung kaki. Berulang-ulang kali.
"Huyooo! Manyak cantik
woo..." suara lelaki Cina itu sebelum dia dan pengiringnya lenyap di dalam
perut kereta BMW biru muda metalik.
***
Munira sukar melelapkan mata awal
pagi itu. Telinganya terngiang-ngiang dengan suara lelaki sedang berbual.
Mungkin juga bertengkar. Dia bingkas bangun dan mengintai dari tingkap. Dia ternampak kelibat tiga orang lelaki dalam
suram simbahan cahaya lampu di laman.
"Aku tak ada duit. Betul!
Aku tak tipu!"
"Itu bukan masalah kami.
Yang penting hutang sampai sekarang kau belum bayar sesenpun. Dah masuk lima
bulan dah. Belum campur bunga lagi."
"Tolonglah. Bagi aku masa
sikit lagi."
"Berapa banyak masa kau nak?
Sampai berjanggut? Sampai kau dah masuk kubur?"
"Tolonglah... A-aku tengah
terdesak ni."
"Yang itu aku tak nak ambil
tahu. Sekarang ni Lim bagi kau kata dua. Sama ada kau bayar penuh dengan bunga
sekali atau kau bawa bini kau jumpa dia.. Kalau tak, kau..." Lelaki itu
membuat isyarat tangan memotong leher.
"Tolonglah... tolonglah...
aku tak sanggup libatkan bini aku. Tolonglah..." Rayu suara lelaki yang
sedang melutut.
Lekas-lekas Munira ke bilik
sebelum ada sesiapa yang sedar perbuatannya.
***
Petang itu Munira menunggu Badron
balik dari kebun.
"Bang, saya nak cakap sikit.
Ada hal yang sangat penting." Kata Munira.
"Apa dia?" Kasar suara
Badron sambil menanggalkan kasut yang dibawa ke kebun. Comot dengan tanah dan
peluh.
"Saya nak minta cerai."
Badron menjegil Munira. "Kau
dah hilang akal?"
"Saya masih waras bang.
Sebab itu saya nak minta abang lepaskan saya. Saya minta dengan cara baik, dan
saya harap abang lepaskan saya dengan cara baik."
Badron ketawa. Lantang. "Kau
ingat senang-senang aku nak lepaskan kau?"
"Cukuplah abang siksa saya
dan anak-anak. Biarlah kami bawa haluan yang berlainan dengan abang. Kalau
abang tak nak buat kerana diri abang, abang buatlah demi anak-anak. Mereka ada
hak untuk hidup dengan cara yang lebih baik. Bukan macam ini." Pujuk
Munira.
"Hei perempuan $^#&@!,
kau ingat aku tak tahu tujuan kau? Kau nak aku lepaskan supaya kau dapat cari
jantan lain kan? Konon-konon untuk anak-anak. Hah! %^<*@# punya perempuan!"
Munira masih mampu menahan sabar.
Dia memeluk kaki Badron dengan erat. "Abang, saya merayu sekali lagi.
Tolonglah lepaskan saya. Saya tak sanggup lihat perbuatan abang pada saya dan
anak-anak lagi. Tolonglah bang!" Teresak-esak Munira.
Badron menolak Munira sebelum
menerajang bahu wanita yang lemah itu sekuat hati.
Badron ketawa seperti orang gila.
"Aku tak akan lepaskan kau! Biarpun aku terpaksa gantung kau tak bertali,
aku akan lakukan. Tapi jangan harap aku akan lepaskan kau macam tu saja."
Ketawa Badron masih kedengaran
setelah dia beredar ke dapur.
Munira hanya mampu merembeskan
air mata sambil mengurut bahu yang terasa sengal dan berdenyut-denyut.
***
Munira tersentak dengan bunyi pintu
kereta polis yang ditutup dengan kuat. Dia hanya memerhati kereta itu berlalu
bersama jip yang membawa mayat suaminya pergi dari situ.
Cerpen ini tidak disiarkan sepenuhnya. Sekadar preview di blog.
Harap maklum...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan