Kelas fesyen Kolej Urban Arts memang
tidak pernah sunyi sebelum pensyarah tiba. Hanya seorang pelajar lelaki yang duduk
di penjuru bilik itu yang berada dalam dunianya sendiri.
"Pelik mamat tu kan?" Suara
gadis bertudung yang duduk di ruang tengah. Namanya Zubaidah.
"Aku tak pernah terfikir lelaki
berkopiah macam dia berminat dengan fesyen." Jawab Sofea yang duduk di belakang
Zubaidah.
"Aku rasa dia ni mesti peminat
Yuna atau Hana Tajima. Yalah, nak memperjuangkan fesyen Islamik. Mungkin juga nak
buka butik busana muslimah." Usikan Mona yang berbau sindiran sinis.
"Tak baik kau cakap macam tu.
Kalau betul pun apa salahnya. Dulu orang pelik dengan lelaki yang pandai masak.
Tapi kau tengoklah sekarang ni. Ramai chef lelaki tau. Semuanya hebat-hebat belaka.
Tak mustahil kalau designer macam dia tu nanti bakal menggegarkan tanah air."
Marissa seperti membela.
"Siapa nama dia?" Tanya Zubaidah.
"Kalau tak silap aku... Suhaimi."
Jawab Sofea sambil Zubaidah memerhatikan pemuda berkopiah itu dengan rasa pelik.
Ketika itu pintu dibuka. Bukan pensyarah
subjek fesyen yang masuk, seballiknya seorang pelajar senior lelaki.
"Hai dan assalamualaikum semua.
Minta perhatian sekejap. Nama saya Aiman. Nak panggil Abang Aiman pun boleh. Abang
nak beritahu tak lama lagi ada pertandingan Talentime. Maklumat lanjut ada di main notice board kolej."
"Persembahan apa yang boleh masuk
Talentime tu bang? Menyanyi saja ke?" Tanya Zubaidah.
"Apa-apa pun boleh. Nak menari,
melawak, stand up comedy pun boleh."
"Nasyid boleh tak bang?"
Sindir Mona sambil memandang ke arah Suhaimi.
"Boleh. Nak deklamasi sajak atau
puisi pun boleh. Juri-juri memang pensyarah seni dan sastera di kolej ni. Pemenang
akan dipilih berdasarkan kreativiti dan idea yang fresh dan tak klise atau ciplak."
"Apa hadiahnya bang?" Tanya
Sofea.
Fikiran Zubaidah sudah menerawang
jauh. Dia sudah tidak dengar lagi jawapan yang diberikan oleh pelajar senior itu.
Seolah-olah ada mentol yang besar dan terang-benderang di atas kepalanya.
Setelah senior bernama Aiman meninggalkan
kelas, Zubaidah berpaling ke arah rakan-rakan di meja belakang.
"Aku nak masuk talentime tu dengan
korang semua." Suara Zubaidah penuh semangat.
"Kau nak buat persembahan apa?"
Tanya Sofea.
"Kita buat tarian k-pop."
"Hah? Kau nak kita semua menari
macam minah-minah Korea tu?! Tolonglah..." Mona seperti tidak setuju.
"Kau jangan risaulah. Aku dah
hafal koreografi dia."
"Kau nak guna lagu apa?"
"Nobody."
"Lagu Wondergirls tu. Iih! Aku
tak sanggup!" Mona masih membantah.
"Tapi Wondergirls ada lima orang
kan? Kita ada empat orang aje." Marissa menambah.
"Itu kau jangan risau."
Suara Zubaidah sambil tersengih. Penuh makna.
***
"Tolonglah Elly..." Rayu
Zubaidah.
Gadis bernama Suhaili tetapi lebih
mesra dipanggil Elly itu tidak menjawab. Sebaliknya dia menarik muka 'ketat' sambil
memandang dinding di bilik mereka. Poster artis pop Korea memenuhi ruang dinding
berhampiran katil Zubaidah. Poster Girls Generation, Super Junior, Beast, 2NE1,
T-ara dan Kara adalah antara yang ada di situ.
"Sudahlah hari-hari aku terpaksa
memandang semua poster-poster K-pop kau ni, Bedah. Sekarang kau nak aku menari macam
diorang pulak. Siksalah aku macam ni bah!" Suara Elly, gadis kelahiran negeri
di bawah bayu.
"Alah... tolonglah Elly. Lagipun
bukan susah sangat koreografi tu." Pujuk Zubaidah.
"Aku pernah tengok tarian tu.
Tapi... entahlah, aku tak confident lah.
Lagipun kau tak rasa janggal ke awek bertudung macam kau ni menari tarian macam
tu. Aku rasa macam tak sesuailah bah!" Kritik Elly.
"Kalau tak nak dahlah... tak
payahlah nak kutuk aku macam tu!" Zubaidah terasa.
"Okeylah... aku minta maaf. Bukan
aku sengaja nak sakitkan hati kau."
"Maknanya kau setujulah ya?"
Wajah Zubaidah yang ditarik panjang tadi sudah berseri semula.
"Nantilah aku fikir dulu."
Jawapan ringkas Elly.
***
"Kau dah booking ke studio tu
Zu?" Tanya Marissa.
"Kena booking dulu ke?"
Tanya Zubaidah. Naif.
"Mestilah! Kalau ada orang guna
macam mana kita nak praktis?"
Sofea mengeluh. Mona hanya merengus
kesal.
"Aduh! Kalau ada orang guna studio
macam mana bah?!" Elly pula mencelah.
"Cuba kau orang semua tengok.
Studio ni kosong. Maknanya bolehlah kita pakai." Zubaidah bersuara dengan penuh
yakin setelah mereka tiba di ruang studio. Elly hanya menggeleng dengan tingkah
laku teman sebiliknya.
Zubaidah menyambung iPad ke dock speaker. Lagu Nobody bergema di ruang
studio. Video koreografi Nobody terpapar di skrin.
I want nobody nobody but you
I want nobody nobody but you
How can I be with another
I don't want any other
I want nobody nobody
Nobody nobody
"Tarian ni memang susah nak ingat
masa mula-mula. Tapi kalau dah hafal step, senang saja." Zubaidah memulakan
kelas tarian.
"Nanti kita kena gilir-gilir
ke depan bila sampai pada line nyanyian masing-masing. Ada apa-apa soalan?"
Tanya Zubaidah kepada empat rakannya yang masih kekok dengan tarian Wonder Girls
itu.
"Kena menyanyi juga ke?"
Elly risau.
"Tak payah. Miming cukup. Yang penting hafalkan step. Mula-mula..."
"Assalamualaikum," suara
dari muka pintu mengganggu sesi latihan mereka berlima. Suhaimi tercegat bersama
dua orang rakannya. "Studio ni kami dah booking sampai pukul sebelas pagi."
"Kalau dah booking kenapa tak
gunakan? Kami tengok orang tak ada, sebab tu kami guna." Zubaidah cuba berhujah.
"Kami keluar minum sekejap. Tengok,
tu beg kami." Suhaimi cuba mempertahankan haknya.
"Tak apalah. Awak guna studio
sebelah sana, kami guna sebelah sini." Arah Zubaidah. Selamba.
"Mana boleh! Awak pasang lagu
kuat. Kami pun nak praktis lagu persembahan nasyid kami." Suhaimi menunjukkan
tanda-tanda kesabarannya mula hilang.
"Sorry ya. Lain kali kalau nak guna studio, buat cara nak guna. Kalau
booking tak gunakan kemudahan, lebih baik
tak payah booking. Ramai lagi yang tahu
hargai studio ni. Lagipun, kalau setakat lagu nasyid tu, praktis kat asrama pun
boleh." Jawab Zubaidah dengan kasar.
"Awak ni memang tak tahu adab
ya? Perangai dahlah buruk. Lepas tu terlalu mengagungkan budaya K-pop dengan tarian
yang gedik macam tu. Sia-sia pakai tudung!" Selar Suhaimi.
Tanpa disedari oleh Zubaidah dan Suhaimi,
Sofea sedang merakam perbalahan mereka.
"Saya tahulah saya bukan warak
macam awak. Tapi janganlah hina orang lain sesuka hati."
"Sedar pun diri kau tu kan? Sudah-sudahlah
mengagungkan budaya K-pop yang tak sesuai dengan budaya Melayu dan budaya Islam
ni."
"Saya tak sangka orang yang alim
macam awak ni tergamak keluarkan kata-kata macam tu. Tak boleh nasihat orang elok-elok
ke?" Marissa pula menyampuk.
"Tak guna nasihatkan orang yang
tak tahu adab macam dia ni. Buang masa! Jomlah. Lebih baik kita pergi daripada layan
orang macam ni!" Suhaimi sudah hilang sabar.
***
Pagi itu asrama lelaki gempar dengan
video baru yang tersebar di laman sosial Kolej Urban Arts. Video rakaman kata-kata
Suhaimi terpampang di Urbanface dan Urbantweet, laman facebook dan twitter kolej
itu.
Bersama video yang telah diedit itu,
terpapar komen.
Inikah imej yang sesuai untuk seorang lelaki yang berkopiah?
Berkata-kata tanpa berhikmah, tak tahu menahan sabar.
Amat menyedihkan... :p
"Itulah Suhaimi... kau terlalu
ikutkan perasaan kau semalam. Sekarang tengok apa dah jadi!" Kata Saufi yang
ada bersamanya semasa kejadian semalam.
"Aku tak sangka dia orang rakam
semua ni!" Suhaimi bengang.
"Zaman ni kau jangan ambil ringan.
Kebanyakan telefon dah ada kamera hi-resolution.
Benda-benda lebih teruk daripada ni pun orang boleh rakam." Fandi pula mencelah.
"Ini tak boleh jadi. Awek tu
belum kenal aku lagi. Memang salah langkah dia cuba memburukkan nama aku."
Suhaimi menggetap bibir.
"Kau nak buat apa Suhaimi? Jangan
ikut sangat perasaan kau tu."
"Kau tunggu sajalah..."
Jawab Suhaimi dengan selamba.
***
Tring!....
Nada dering telefon Zubaidah memekakkan
telinga. Kepalanya berdenyut kerana tidur lewat semalam untuk menyiapkan tugasan.
"Siapa yang sibuk telefon pagi-pagi
buta ni!" Bentak Zubaidah dengan mata yang masih kelat.
"Helo!"
"Zu! Kau dah tengok video mamat
kopiah tu post pasal persembahan kita?" Suara Marissa kelam-kabut.
Kelat mata Zubaidah dengan serta-merta
hilang. Dia dapat rasa torpedo serangan balas mamat kopiah itu sudah dilepaskan.
Dari skrin laptop Zubaidah melihat
rakaman video curi semasa dia dan rakan-rakan sedang beraksi dengan lagu Nobody.
Komen bersama video itu membuatkan
darah Zubaidah menggelegak seperti cerek dengan air yang mendidih. Hatinya panas
seperti udang panggang di atas grill.
"Aaaah!... Tak guna punya Mat
Surau!" Jeritan sekuat hati Zubaidah menyebabkan Elly terbangun sambil mengesat
mata yang kelat. Cermin mata di atas meja segera dicapai dan dipakai. Dia turut
menonton video dan membaca komen yang tertera di skrin.
Pakai tudung, tapi seluar ketat. Joget terkinja-kinja mengalahkan
perempuan Korea. Apalah nak jadi dengan perempuan-perempuan Islam sekarang ni?!
Astaghfirullahal'azim...
***
Suhaimi sedang berjalan di koridor
selepas menunaikan solat di surau. Dia rasa pelik apabila pelajar-pelajar kolej
memandangnya dengan pandangan sinis. Ada yang senyum mengejek. Tidak kurang juga
yang berbisik-bisik sambil tergelak.
"Bla bla bla bla bla... bla bla
bla bla bla bla..." Usik seorang pelajar yang berselisih dengan Suhaimi.
"Apa kena dengan diorang ni?!"
Bisik Suhaimi dalam perjalanan pulang ke asrama.
Setibanya di bilik, Saufi sedang menonton
sesuatu di laptop. Irama lagu Bosan oleh Stacy kedengaran dari speaker.
Suhaimi dapat lihat video yang sedang dimainkan di youtube. Gambarnya dijadikan animasi seperti seseorang yang sedang berleter dengan irama lagu Stacy.
Bla bla bla bla bla
Bla bla bla bla bla bla
Kedengaran asrama riuh dengan gelak
tawa penghuni di situ. Suhaimi tahu, video viral itu telah tersebar dan menjadi
bahan ketawa pelajar-pelajar di kolej.
Suhaimi sudah hilang sabar. Dari status
Zubaidah, dia tahu gadis itu sedang berada di perpustakaan.
Dia mengatur langkah pantas menuju
ke perpustakaan. Dari pintu dia sudah nampak kelibat Zubaidah di sebuah meja.
"Hei Zubaidah! Kau tak ada otak
ke hah?! Post video yang bukan-bukan pasal aku." Suhaimi menyerang Zubaidah
yang kelihatan tenang duduk di meja.
Berpuluh-puluh biji mata sedang memerhatikan
adegan mereka berdua. Begitu juga beberapa lensa kamera di telefon bimbit.
"Aku tak ada otak? Bermakna kau
pun sama. Sebab kau pun post video yang entah apa-apa kan?"
"Shh...," kedengaran suara
mereka yang ada di situ. Tetapi langsung tidak diendahkan oleh Zubaidah dan Suhaimi.
"Kau ni memang kurang ajar kan?
Dahlah guna studio tak ikut prosedur. Lepas tu tak tahu malu nak buruk-burukkan
orang dalam internet. Sia-sia bertudung." Selar Suhaimi.
"Sekurang-kurangnya aku bukan
manusia yang pakai kopiah, tapi tak tunjukkan akhlak yang baik kepada orang lain.
Baik tanggalkan aje kopiah tu. Taklah merosakkan nama baik orang Islam!" Kata-kata
laser Zubaidah.
"Kalau ikut hati aku memang aku
dah tampar muka kau tahu tak?!" Suhaimi cuba menahan marah.
Sedikit pun mereka tidak sedar bahawa
Encik Farouk, pengetua kolej sedang memerhatikan perbalahan mereka berdua.
"Apa masalah kamu berdua ni?
Terjerit-jerit dalam library. Tak malu
ke? Ikut saya ke pejabat. Sekarang!" Suara tegas Encik Farouk membuatkan mereka
berdua tergamam.
***
"Saya rasa teramat malu. Saya
malu sebab pelajar kolej berkopiah dan bertudung seperti kamu berdua ni berkelakuan
buruk sehingga sanggup memburukkan satu sama lain di internet. Ada orang luar pun
dah tahu apa yang kamu berdua post dalam facebook dan twitter. Saya tak kira siapa
yang bersalah dalam hal ini, tapi memburukkan pelajar lain dalam laman sosial bukan
jawapannya. Kamu pelajar Islam yang bertudung dan berkopiah, tapi sanggup buat perkara
yang tak senonoh macam ni."
Zubaidah hanya tunduk dan diam. Suhaimi
melemparkan pandangan ke luar tingkap.
"Saya memang dah rancang untuk
jumpa awak berdua. Tapi saya tak sangka saya akan lihat awak berdua bertengkar dalam
library. Dengan mata kepala saya sendiri.
Saya tahu ini semua berpunca daripada Malam Talentime kan? Saya boleh lepaskan awak
berdua, tapi dengan satu syarat."
Pandangan Zubaidah dan Suhaimi segera
berkalih kepada wajah Encik Farouk.
"Awak berdua kena berkolaborasi
untuk persembahan pada malam itu."
"Mana boleh Encik Farouk! Saya
buat persembahan nasyid. Dia buat tarian K-pop. Mana boleh digabungkan." Suhaimi
cuba berhujah.
"Itu saya tak kira. Saya nak
awak berdua berbaik semula dan bekerjasama. Apa yang awak nak buat pada malam itu,
itu bukan urusan saya. Sekarang awak berdua boleh pergi."
"Tapi Encik Farouk..."
"Tak ada tapi tapi lagi! Lebih
baik awak berdua keluar sebelum saya ubah fikiran saya." Sergah pengetua.
Zubaidah dan Suhaimi beredar dengan
hati yang berat dan langkah yang lesu.
***
"Ini semua salah kau! Kalau tak,
tak ada jadi macam ni tau tak?!" Bentak Suhaimi sambil berpeluk tubuh di studio.
Saufi dan Fandi juga ada di situ.
"Aku pulak?! Kalau tak kerana
mulut kau yang tak tau bertapis tu, semua ni takkan berlaku!" Balas Zubaidah
yang ditemani oleh anggota Wonder Girls versi Kolej Urban Arts yang lain.
"Sudah! Sudah! Kalau korang berdua
bertengkar, sampai bila pun tak habis!" Tegur Saufi dengan suara yang nyaring.
"Habis sekarang macam mana ni?
Kita terpaksa cari idea baru untuk persembahan." Keluh Mona.
"Tak logik kalau kita nak combine lagu K-pop dengan lagu nasyid. Nak
mash up pun tak sesuai." Tambah Sofea.
"Kita kena cari sesuatu yang
boleh mengaitkan kedua-duanya." Marissa membuahkan fikirannya.
Suasana hening seketika. Masing-masing
tenggelam dalam fikiran sendiri, cuba mencari idea dalam masa yang sudah semakin
suntuk.
Ketika itu wajah Elly berubah seolah-olah
ada cahaya inspirasi yang memancar dari wajahnya berseri-seri.
"Betul kata Marissa. Kita kena
cari sesuatu yang boleh menghubungkan kedua-dua persembahan kita. Dan aku rasa satu-satunya
cara yang ada adalah dengan kata-kata. Aku ada idea..." Elly berteka-teki.
Rakan-rakan yang lain saling berpandangan.
***
Zuraidah rasa begitu berdebar-debar
malam itu. Sebentar lagi tiba giliran mereka pula membuat persembahan. Jubah dan
tudung yang dipakai dirapikan. Kostum yang dipakai adalah rekaan Suhaimi denga tema
berwarna putih dan diserikan dengan kain chiffon berwarna perak. Begitu juga kostum
tiga ahli lelaki kumpulan itu. Semuanya hasil rekaan Suhaimi.
Jauh di sudut hati Zubaidah ada rasa
bangga kerana memperagakan busana muslimah yang kreatif sebegitu. Tiada siapa yang
dapat menduga ia direka oleh seorang mamat yang berkopiah dan low profile seperti Suhaimi.
Suara emcee yang membuat pengumuman
membuatkan Zubaidah rasa kecut perut.
"Persembahan seterusnya adalah
hasil garapan luarbiasa lapan pelajar kolej yang menggelarkan diri mereka sebagai
Urban Arts Serenades. Dipersilakan!..."
Lampu dipadamkan dan pentas gelap
buat seketika. Kemudian cahaya lampu difokuskan kepada lima pelajar perempuan di
bahagian belakang.
Mereka mengalunkan melodi lagu Nobody
secara acapella tanpa muzik dengan suara yang begitu harmoni.
Engkaulah Allah Tuhan Yang Satu
Tiada lagi selain dari-Mu
Hanyalah kepada-Mu
Ku pohon doa restu
Engkaulah Tuhan Yang Satu
Tiada beribu
Kemudian melodi lagu Nobody diteruskan
dengan gema humming mereka berlima, tanpa
lirik.
Cahaya lampu menerangi bahagian hadapan
ke arah pelajar lelaki bertiga.
Dengan irama humming yang melatari,
Saufi mendeklamasi bait-bait pertama sajak.
Tuhan
Aku tenggelam dalam kegelapan
Mencari sinar hidayah dan petunjuk-Mu
Dari lorong yang hanyir dan kotor
Aku datang
Mengharapkan setitis sinar pengharapan dari-Mu
Fandi menyambung bait-bait yang seterusnya.
Tuhan
Aku hanyut dalam arus kedurjanaan
Mengejar jelaan mimpi yang tak pasti
Menggapai sinar yang hanya ilusi
Lalai dengan belaian hawa nafsu
Tewas dalam hembusan bayu kepalsuan
Terkulai oleh bujukan iblis yang penuh pedaya
Suhaimi mengakhiri bait-bait puisi
itu dengan penuh emosi dan suara yang lantang.
Tuhan
Di sini aku berdiri
Aku takkan berganjak lagi
Biarpun Kau berpaling
Lantaran dosa dan noda keji
Yang aku lakukan dalam sepi
Setelah segala perintah-Mu aku ingkari.
Aku akan tetap menagih simpati
Biar aku melutut dalam lirih rintih
Aku akan tetap di sini
Sehingga Kau kutip aku
Dari lembah yang jijik dan berlumpur ini
Biarpun hanya setitis nur hakiki
Buat menghilangkan dahaga kasih yang abadi
Lampu kini hanya difokuskan kepada
pelajar yang berada di belakang.
Engkaulah Allah Tuhan Yang Satu
Tiada lagi selain dari-Mu
Hanyalah kepada-Mu
Ku pohon doa restu
Engkaulah Tuhan Yang Satu
Tiada beribu
Setelah lampu pentas dipadamkan, suasana
hening dan syahdu seketika sebelum dewan riuh rendah dengan suara para hadirin yang
begitu teruja.
Seperti yang dijangka oleh ramai,
persembahan Urban Arts Serenades mendapat hadiah utama pada Malam Talentime itu.
***
"Tahniah," ucapan Suhaimi
kepada Zubaidah.
"Tahniah juga untuk awak."
Jawab Zubaidah sambil tunduk. Kali ini begitu sukar untuk dia menatap mata Suhaimi.
Walaupun sebelum ini dia rasakan seperti mahu mencungkil kedua-duanya sekali.
Rakan-rakan lain hanya memerhatikan
dari jauh. Seperti ada percikan api halimunan yang melonjak-lonjak antara mereka
berdua.
"Itulah.. dulu bergaduh macam
nak rak. Sekarang?..." Sindir Mona.
Adegan drama Love Story mereka berdua terbantut dengan kemunculan Encik Farouk.
"Syabas saya ucapkan kepada awak
berdua. Memang sebuah persembahan yang mantap. Siapa yang ubah lirik lagu dan tulis
puisi tu?"
"Zubaidah." Jawab Elly setelah
mereka semua mengerumuni Encik Farouk.
"Hebat! Saya tak sangka awak
ada bakat terpendam. Terpaku saya mendengarnya. Terkesan di hati sampai tegak bulu
roma saya." Puji pengetua.
"Ini semua kerana idea gila Encik
Farouk juga." Zubaidah tersipu-sipu.
"Idea gila?" Dahi Encik
Farouk berkerut.
"Tak...err...maksud saya idea
awesome, superb, bergeliga, quattro,
mamma mia Encik Farouk!" Zubaidah
seperti melatah membuatkan semua yang ada di situ tergelak.
"Saya bangga ada pelajar-pelajar
yang kreatif macam awak semua di kolej. Saya akan terus menanti kejutan demi kejutan.
Semoga awak semua terus sukses." Kata-kata perangsang pengetua sebelum dia
beredar.
***
Lima tahun kemudian
Suhaimi kelihatan gugup. Air di dalam
gelas di depannya segera diteguk. Sekali. Dua kali. Dia memejamkan mata buat seketika
sambil menarik nafas sedalam-dalamnya. Sambil nafas dilepaskan, dia memerhatikan
wajah-wajah yang ada di depannya.
NOTA PENULIS:
Cerpen ini dihasilkan dengan tema 'berdasarkan kisah dalam novel, drama atau filem'
Ada sesiapa tahu kisah apa yang saya gunakan untuk cerpen ini?
Cubalah teka... ^_^
Cerpen ini telah dimuatkan ke dalam antologi cerpen
KEMBARA MENCARI CINTA
Sila kunjungi laman FB Kembara Mencari Cinta
untuk perkembangan terbaru tentang
antologi cerpen solo ini.
KLIK DI SINI
wah .. nice cerpen .. cerpen nie dari telemovie arahan Liyana Jasmay kan .. :) ,, gd luck erk ,. jemput singgah ke blog sy ..
BalasPadamhttp://fynazshamz.blogspot.com
Ya, tepat sekali... ^_-
PadamBaru lepas singgah ke sana...
tersenyum2 saya membaca...teringat kisah zubaidah dan suhaimi dlm telemovie si tudung tweet....hehehe~~~
BalasPadamHihi.. terima kasih Hannah sudi singgah.. ^_-
PadamHahaha. Masa nampak nama Zubaidah tu pun dah agak2. Bila nampak nama Suhaimi terus boleh tangkap. Kekekekeh. Liyana Jasmay n Izzue.
BalasPadamNice story :)
Yeah.. tepat sekali Pena Tumpoi. Terima kasih sudi singgah ^_^
PadamBagus nye cite nie Taniah (y)
BalasPadamTerima kasih miss/mr anonymous.. ^_^
Padamxpernah tgk cite 2.. tpi blh agak mesti kecohnya sama hehehehe.. tq cerita yang best.. terselit juga supaya tak burukkan orang lain..
BalasPadamOh, cerita tu jauh lebih best drpd cerpen ni..
PadamSaya memang suka 'menyelit'.. haha
TQ sudi singgah mengomen.. ^_-
Jjang! Cerita ni memang best...hebat sbb pena VR buleh mndapat idea sebegini. Sye pula bru je memulakan prjalanan sbagai penulis. Tahniah kak. Jmput2 juga singgah ke blog sye gurlzisme.blogspot.com
BalasPadamT.kasih Shin, alhamdulillah... saya sudah singgah ke blog anda yang comel tu ^_~
Padam