BAB 16
Semenjak pulang
dari seminar, Mona membuat banyak rujukan tentang beberapa klien baru. Norman
membincangkan beberapa idea baru untuk diketengahkan kepada klien semasa dalam
perjalanan pulang tempoh hari, Tentang strategi kempen. Tentang teknik. Juga
tentang menghadapi perang kempen saingan.
Fokus Mona
sesekali terganggu dengan apa yang berlaku sepanjang seminar dua hari itu.
'Kenapa Norman
nampak risau bila berdepan dengan Sheila Al-Bokhari? Benarkah Sheila merasakan
Norman betul-betul saingan yang hebat? Apa yang dia mampu buat kalau betul
sangkaan Norman?' Mona merenung jauh.
Kemudian
kenangan di Merlion Park singgah. Mona terasa seperti benar-benar berada di
tempat itu. Nuansa berada di kawasan takungan air seperti tasik yang luas.
Suasana suram malam yang tenang dan damai dengan taburan halus bintang di
bumbung langit. Cahaya-cahaya pelbagai warna memagari tempat itu umpama tabir
malam. Duyung singa gergasi yang memancurkan air tanpa henti seperti meraikan
kedatangannya ke negara yang pernah digelar Temasek suatu masa dahulu.
Keindahan itu
begitu terasa kerana ditemani Norman. Entah mengapa Mona dapat rasakan sesuatu
yang misteri tentang lelaki ini.
'Dia nampaknya
begitu romantik orangnya. Kalau tak, takkan dia boleh bawa aku ke tempat macam
Merlion Park malam tu. Tapi dia nampaknya susah nak lahirkan perasaan. Mungkin
sebab cara dia dibesarkan macam yang dia beritahu aku. Atau mungkin juga
seperti yang Amanda katakan. Dia ni workaholik, terlalu mementingkan kerja
semata agaknya. Hmm... entahlah.' Mona jadi buntu memikirkan tentang Norman.
Ketika itu Mona
terpandang dokumen yang bersampul di atas meja. Lekas-lekas dia menghubungi
Zarina. "Zarina, panggil Is ke bilik saya."
Beberapa minit
kemudian Iskandar masuk. Mona tidak dapat menyangkal Iskandar memang seorang
pemuda yang menarik, dengan susuk tubuh yang athletik dan menawan.
'Dia ni suka
sangat pakai t-shirt fit. Buat aku
tergoda tengok body dia yang sasa
pejal tu. Hish.' Keluh Mona dalam diam.
"Ada apa
Cik Mona?" Tanya Iskandar dari muka pintu.
"Awak sibuk
tak pagi ni?" Tanya Mona sambil menulis sesuatu di atas sampul.
"Tak
berapa? Ada benda urgent ke?"
Tanya mamat itu lagi.
"Saya nak
minta awak tolong hantar brochure ni
untuk klien. Encik Norman suruh."
"Itu no hal Cik Mona. Bisa diatur."
Selamba jawapan Iskandar.
Mona ambil
peluang yang telah lama dinanti-nanti.
"Macam mana
isu awak dengan Encik Norman? Dah settle?"
"Pasal hari
tu eh? Nak buat macam mana. Saya ni tetap seorang pekerja. Apa-apapun bos mesti
betul punya." Ada nada kesal dalam kata-kata Iskandar.
"Saya
mungkin baru lagi dalam syarikat ni berbanding awak. Mungkin awak lebih tahu
tentang dia. Cuma saya nak pesan. Niat dia tu baik, walaupun nampak macam
terlalu mengongkong pekerja. Jangan awak ingat awak saja yang kena. Saya pun
kena track dengan GPS tau?"
Iskandar
menggaru kepala. "Betul ke ni Cik Mona? Saya ingat mat despatch macam saya
aje yang kena."
"Yang
penting awak teruskan kerja awak macam biasa. Saya dengar banyak feedback yang baik tentang awak dari
klien dan supplier. Awak teruskanlah
prestasi tu." Mona tersenyum.
Iskandar nampak
tak tentu arah dipuji, macam kera kena belacan. Setelah dokumen dimasukkan ke
dalam beg selempang di bahu, dia bersuara. "Saya pergi dulu Cik Mona.
Nanti terlewat pulak. Kena marah lagi nanti." Iskandar kelam kabut hingga
hampir-hampir terlanggar pintu.
Mona menahan
tawa. Setelah Iskandar beredar dia menggeleng. 'Kelakar jugak mamat ni. Nampak
macho, tapi gelabah bila kena puji.'
***
Usai makan
tengah hari, Mona ingin membancuh secawan kopi. Di pantry dia lihat Amanda sedang rancak berbual dengan Iskandar.
Aizad dan Rozana masih belum pulang ke pejabat lagi.
"Betul ke
macam tu? Dia suruh keluar macam tu aje?" Amanda begitu fokus hingga tidak
sempat menegur Mona.
"Itu yang
buat saya risau sekarang ni. Dia sanggup pulangkan deposit penuh asalkan kami
keluar dari rumah tu. Member lain pun nampak bengang betul dengan dia. Tapi dia
orang dah ada tempat lain nak pergi. Saya sorang yang masih terkial-kial
mencari." Rungut Iskandar.
"Apa
masalahnya?" Mona menyampuk.
Amanda menjawab.
"Is kena keluar dari rumah sewa dia. Tuan rumah nak bagi anak dia yang
baru kawin duduk. Suka-suka dia aje."
"Dah dapat
rumah sewa baru?" Mona meneguk kopi yang baru dibancuh.
"Itulah
masalah sekarang ni. Tinggal beberapa hari lagi ni. Nampaknya tidur bawah
jambatanlah saya. Huaaargh!" Iskandar beremosi dengan gaya dibuat-buat.
"Tapi
kan...," Amanda sedang berfikir, seperti ada mentol sedang cerah menyala
atas kepalanya. "Aizad dulu pernah tanya kalau-kalau ada orang nak duduk
serumah dengan dia. Dia kata semua yang menyewa tak tahan lama. Entah sebab apa
semua pindah."
"Aizad? Tak
naklah!" Respons Iskandar spontan.
"Kenapa
pulak?" Mona musykil.
Dengan nada
berbisik Iskandar menjawab, "Cik Mona tak tengok ke gaya dia tu. Lembut.
Takutlah saya."
Amanda ketawa
nyaring. "Kenapa? You takut kena
P.E.R.K.O.S.A. ya?"
"Hish! Ke
situ pulak Cik Amanda ni."
"Kalau
bukan, sebab apa?" Mona pula bertanya.
"Entahlah.
Saya rasa geli gelemanlah kalau dengar dia panggil nama saya kat ofis. Inikan kena
tinggal serumah dengan dia.Hii… seram!" Luahan jujur Iskandar.
"Tak baik
awak pandang orang lain macam tu. Dia pun manusia juga kan? Saya yakin dia tak
minta dilahirkan macam tu. Apa salahnya kita layan dia macam orang lain
juga?"
Kata-kata Mona
membuatkan Iskandar terdiam.
"Lagipun, you belum dapat tempat tinggal lagi kan?
Mahu tak mahu terpaksalah juga." Amanda menambah.
"Betul juga
kan?" Iskandar menggaru kepala. "Nantilah, saya fikir dulu."
"Jangan
risaulah. I yakin dia takkan perkosa you."
Usik Amanda lagi.
"Janganlah
cakap macam tu Cik Amanda." Jawab Iskandar dengan muka cemas.
***
Norman memanggil
Mona ke biliknya petang itu.
"Nanti kita
pergi sama-sama ya petang ni?" Suara Norman sambil bersandar melihat Mona.
"Pergi
mana?" Mona tertanya-tanya.
"You lupa pasal party Encik Zamarul? Lepas launching
produk terbaru syarikat dia."
Mona kaget.
"Malam ni?"
"Kenapa nampak
macam menggelabah?"
"I tak prepare langsung. Tak sangka pulak hari
ni."
Norman
memerhatikan Moa dari hujung rambut hingga hujung kaki. "Okeylah ni.
Sesuai."
Mona membetulkan
rambut. Respons spontan dengan jawapan Norman.
"Kejap lagi
kita pergi dengan kereta saya."
***
Mereka tiba di
pekarangan hotel Jewel Crown yang menjadi lokasi majlis anjuran Ultra Vue.
"Ada dua
majlis malam ni. Pelancaran produk baru Ultra Vue dan party." Norman bersuara tanpa ditanya Mona.
"Kenapa
buat party lepas product launch?" Mona masih belum faham.
"Mungkin
itu strategi pemasaran syarikat. Nanti you
tanyalah Zamarul."
"Eh, tak
ada makna I nak tanya dia. Silap haribulan kena tanya balik. Kerja bidang advertising takkan tak terfikir
benda-benda macam ni."
Norman ketawa
mendengar jawapan Mona, "Tahu tak apa."
Para tetamu
merupakan wakil dari syarikat yang berpotensi menjadi pengedar produk terbaru
Ultra Vue di samping wartawan dari media massa tempatan dan Singapura. Mona dan
Norman adalah wakil dari syarikat pengiklanan yang menjalankan kempen untuk
produk Ultra Vue.
Majlis dimulakan
dengan ucapan oleh wakil syarikat Ultra Vue., diikuti dengan ucapan oleh
Zamarul. Kemudian dia merasmikan pelancaran produk terbaru Ultra Vue yang
digelar Chameleon, sejenis cermin mata serbaguna yang boleh digunakan untuk
pelbagai tujuan. Sama ada casual atau
formal, di pejabat atau di pantai, malam atau siang. Ciri-ciri istimewa produk
itu begitu versatil.
Majlis
diteruskan dengan persembahan ala fashion
show. Model-model lelaki dan wanita memperagakan produk yang datang dengan
pelbagai bentuk dan warna. Setiap model mewakili satu suasana yang sesuai
dengan ciri-ciri cermin mata Chameleon. Ada yang memakai pakaian suit ke
pejabat. Ada juga yang memakai baju ala Hawaii untuk ke pantai. Pancaran laser
berwarna-warni melatari persembahan dengan muzik ala hip-hop dance.
Usai majlis,
mereka menjamu selera dengan hidangan buffet yang disediakan. Zamarul beramah
mesra dengan mereka yang hadir sebelum akhirnya tiba ke tempat Norman dan Mona.
"I'm glad you guys can make it."
Ujar Zamarul.
"Bagus
produk baru tu. Ada potensi besar dalam market."
Puji Norman.
"Sebab tu I
ajak you berdua ke sini. Supaya dapat
plan kempen untuk Chameleon. Di
Malaysia dan Singapura."
"Hmm... interesting." Norman meneguk jus
oren yang disediakan.
Ketika itu
seorang wanita datang mendapatkan mereka. Berdasarkan tag nama di dada, dia
adalah wakil dari sebuah akhbar Inggeris
tempatan. "Norman?" Suara wanita itu.
"Hei, Sasha! How are you? Fancy meeting you
here. Excuse me, Zamarul."
"That's
alright." Jawab
Zamarul.
Norman dan
wanita itu kemudiannya bergerak agak jauh dari Mona dan Zamarul. Perbualan
mereka begitu rancak hingga Norman seperti tidak mengendahkan Zamarul dan Mona
lagi.
Ditinggalkan
bersama Zamarul membuatkan Mona begitu kekok, walaupun sebelum ini dia memang
begitu ghairah untuk mengetahui lebih lanjut tentang lelaki itu.
"Mona
sebelum ni bekerja di Johor?" Tanya Zamarul dengan nada bersahaja. Bukan
lagi perbincangan antara klien dan wakil syarikat pengiklanan.
"Tak.
Sebelum ni KL." Jawab Mona.
"Oh, jadi
masih baru di sini?" Tanya Zamarul. Lekuk di pipinya membuatkan Mona rasa
geram tahap 500 juta. Ia nampak comel dan tampan pada masa yang sama.
Mona mengangguk.
"Dah pernah
pergi Pantai Lido? Danga Bay? Legoland?" Tanya Zamarul lagi.
"Belum
sempat. Rumah pun tak kemas habis lagi." Mona menguak rambut ke belakang
telinga. Berada bersama Zamarul membuatkan dia rasa resah.
"Apa kata
kalau weekend ni I ajak you jalan-jalan? Kenal Johor Bahru
dengan lebih dekat." Pelawa Zamarul.
Zamarul semakin
hampir dengan Mona. Mona dapat rasa kelainan dengan cara Zamarul memandangnya.
Lelaki itu memandang rambut Mona dengan penuh minat. Sehinggakan Mona terasa
seperti lelaki itu sedang mengelus-elus rambut Mona dengan jemari jantan yang
kasar.
Debaran Mona
semakin kencang. Desiran darahnya sederas air menghilir.
"Boleh
juga."
"Okay, good. I'll call you later."
Suara gemersik Zamarul sebelum meninggalkan Mona seorang diri.
'Wow... he's really something.' Mona cuba
menarik nafas sedalam-dalamnya. Detik bersama Zamarul membuatkan nafasnya
tersekat-sekat dengan debaran yang sukar digambarkan.
'Tapi kenapa
cepat sangat aku kata ya? Belum sempat aku tahu latar dia lagi. Dah kahwin ke
belum?' Mona menyelar dirinya sendiri.
'Jangan-jangan
dia ni macam Remy agaknya? Kaki perempuan.' Rasa curiga mula meresap.
'Ops...
I did it again!'
Mona rasa bersalah.
'Tapi
sekurang-kurangnya untuk tujuan bisnes juga. Mungkin lepas ni mudah berurusan
dengan Ultra Vue. Tak macam yang Amanda dan Norman katakan dulu.' Dia seperti
mencari alasan walaupun nampak kurang kukuh.
"Eh, mana
Zamarul?" Suara Norman memadam lamunan Mona.
"Dia dah
pergi." Jawab Mona.
"Apa you bincang dengan dia?" Norman
ingin tahu.
"Tak ada
apa-apa?"
"Pasal
kempen baru pun tak ada?"
"Tak."
Jawab Mona. "Siapa perempuan tadi tu?"
"Oh, itu ex-colleague lepas belajar dulu."
"Ex-colleague atau ex-girl friend?" Mona berseloroh.
"Ai! Macam jealous bunyinya tu." Jawab Norman
dengan senyum lebar.
"Hmm... tak
ada maknanya nak jealous dengan you." Sangkal Mona.
Mona tertawa
dengan usikan Norman. Namun jauh di sudut hatinya memang ada terselit rasa
cemburu melihat Norman bersama wanita lain.
'Apa kena dengan
aku ni? Adakah ini tandanya... Ah! Tak mungkin, aku baru kenal Norman.
Takkanlah terlalu cepat cinta berputik. Lagipun dia bos. Keadaan akan jadi complicated kalau ada bercinta dengan dia.' Mona seakan
cuba berasional dengan dirinya sendiri.
'Terlampau awal
untuk aku buat komitmen sekarang ni. Kerjaya aku baru saja bermula di Johor.
Banyak yang perlu aku lakukan. Lagipun kenangan pahit dengan Remy dan Rushdi
masih menebal. Biarlah luka in betul-betul sembuh dulu.'
Mona cuba
menepis perasaan yang datang menyinggah. Namun sedikit pun dia tidak dapat
mengagak bahawa perasaan itu bukan dapat dikawal semudah yang disangka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan