BAB 4
Pagi ini Mona
tersenyum di hadapan cermin. Senyuman yang jauh lebih manis dan ceria daripada
biasa.
Bukan kerana
blaus yang baru dihadiahkan oleh Shawna, walaupun pilihan Shawna memang hebat dan sesuai
dengan citarasa Mona. Bukan juga kerana minyak wangi Mawar Lestari, walaupun haruman itu memberikan nuansa kepada Mona dan karismanya sudah ditambah beberapa plus point. Botol sampel yang diberikan
oleh Mawar Cosmetics untuk dijadikan inspirasi kempen bersama dua lagi jenis
wangian yang ada.
Perasaan Mona
begitu luarbiasa hari ini. Keyakinannya juga jauh berbeza daripada biasa. Mood Mona begitu baik sehingga dia
bernyanyi-nyanyi dalam lirih. Munira dan Monique hanya memerhatikan Mona sedang
memperelokkan wajah dengan mekap di cermin.
"Ceria
nampaknya hari ni?" Usik Monique dengan jelingan seorang penggoda.
Munira hanya
diam memerhati.
"Macam
biasa. Cuma hari ni rasanya seperti permulaan baru." Mona memperelokkan
warna di pelupuk mata.
"Permulaan
baru?" Munira pula menyampuk.
"Ha'ah. Aku
sekarang ada kau berdua. Dan yang paling seronok, hanya aku saja yang nampak. Life is so... fabulous right now."
Mona cuba menjelaskan warna kehidupan yang dialaminya ketika itu.
"Itu
saja?" Monique berpeluk tubuh.
"Dan lagi,
aku seolah-olah dapat suntikan semangat baru sekarang. Aku dah siapkan proposal
D'Ferns semalam. Sekarang tengah study
program untuk buat storyboard
sendiri. Tak payah aku gunakan khidmat Amirul yang menyusahkan tu."
"Tahniah!"
Puji Munira.
"Kenapa kau
tak buang aje dia? Kenapa kau susahkan diri kau simpan pekerja macam tu?"
Lancang betul mulut Monique.
"Sebab Mona
masih bertimbang rasa dan masih menaruh harapan Amirul akan berubah. Masalahnya
adalah Azli yang menggunakan Amirul." Munira menjawab bagi pihak Mona.
Semakin lama
berbual dengan kedua-dua watak ini, semakin Mona sedar mereka adalah projeksi
mindanya sendiri. Kewujudan yang ditentukan untuk maksud tertentu. Maksud yang
masih belum mampu Mona pastikan apa.
Dengan tiba-tiba
Mona tersedar bahawa dia sedang bercakap dengan sesuatu yang tidak wujud. Hanya
terzahir oleh pandangannya sendiri.
'Bagaimana
agaknya kalau ada orang ternampak aku bercakap seorang diri dengan cermin?
Kalau aku dituduh gila macam mana?'
"Sebab tu
kau kena kurangkan bercakap, terutamanya bila ada orang lain. Kenapa perlu
bercakap kalau kami tahu isi hati kau." Monique menjawab suara hati Mona.
"Entahlah. Kadang-kadang aku rasa macam berbual dengan manusia betul. Mungkin
aku perlukan masa untuk sesuaikan diri. Nampak kau orang berdua dah cukup sebab
untuk orang kata aku gila. Apatah lagi kalau aku terus melayan berbual macam
ni." Keluh Mona.
"Fokus
Mona. Kau akan temui jawapannya bila sampai masanya nanti." Munira memberi
semangat.
***
Sharon berjumpa
dengan Mona di meja. Ketika itu Mona sedang mencuba program untuk menyiapkan
storyboard kempen Mawar Cosmetics.
"Mona,
Dato' nak jumpa."
Setelah logout dari Windows, Mona terus bangun.
Bukan kerana dia curiga dengan sesiapa di pejabat. Tetapi dia perlu menjaga
kepentingan diri sendiri. Banyak maklumat tentang kempen klien yang ada di
dalamnya. Tersilap langkah mungkin akan mengundang padah.
Dato' Harriz
sedang meneliti dokumen ketika Mona tiba di pejabatnya.
"Dato' nak
jumpa saya?" Suara Mona menyebabkan lelaki itu berpaling.
"Mona,
duduk. Saya nak bincang tentang proposal D'Ferns." Dato' Harriz meletak ke
tepi dokumen yang sedang dipegang. Kemudian dia mencapai dokumen lain di atas
meja.
"Secara
keseluruhannya saya suka dengan idea ni. Wakil D'Ferns akan datang pagi esok
untuk teliti cadangan kita. Saya nak awak siapkan presentation untuk dia."
"Esok?"
Mona agak terkejut.
"Kenapa?
Awak ada urusan lain?"
"Tak. Tak
ada masalah Dato'. Cuma saya terpaksa reschedule
jadual saya. Itu saja." Mona tangkas menjawab, sebelum Dato' Harriz mula
mencurigai kewibawaannya.
"Saya nak
awak present dengan Powerpoint untuk
klien kita. Something short and sweet
. Yang sesuai dengan pitching proposal
kempen ni."
"Boleh
Dato'."
Mona sedar dia
terpaksa menyiapkan persembahan Powerpoint itu dalam masa beberapa jam
berdasarkan storyboard Amirul. Tetapi
itu bukan masalah besar. Masalah utama adalah jika dia gagal memenuhi
permintaan Dato' Harriz. Sama seperti menghantar ajal dengan menjerut leher
sendiri di tali gantung.
Entah mengapa
Mona masih mampu mengekalkan perasaan tenang. Sebagaimana cerianya dia
memulakan hari ini.
***
Mona sempat
menyudahkan storyboard kempen Mawar Cosmetics dengan caranya sendiri. Mungkin
tidah secanggih atau sehebat hasil tangan seorang profesional seperti Amirul.
Tetapi ia cukup jelas dan mampu menangkap perhatian dengan mesej yang ingin
disampaikan.
Mona melepaskan
nafas lega sebelum mula merangka persembahan yang telah dirancang dalam
mindanya.
'Short and sweet.' Mona mengulang semula
kata-kata Dato' Harriz sambil jemarinya mula menaip.
"Hai
Mona!" Suara dari belakangnya hampir-hampir membuatkan Mona terus berdiri
dari kerusi.
"Sam, kalau
ya pun berilah salam. Ops, sorry. Aku
lupa kau bukan Muslim." Mona seperti melatah.
"Aku pun pandai
beri salam tau. Assalamualaikum." Samantha berseloroh.
"Macam-macamlah
kau ni." Mona menggeleng.
"Eh, aku
nak ajak kau keluar lunch. Aku nak catch up cerita semalam. Semalam kau tak
nak cerita sebab kau emergency leave
kan?"
"Aku busy
lah Sam. Esok ada meeting dengan
klien. Lain kali ajelah. Itulah kau, pagi tadi tak nak datang macam
selalu."
"Aku tak
dapat Mona. Bos aku suruh siapkan forecast.
Dia nak sebelum lunch. Sekarang baru
aku free. Jomlah keluar lunch Mona. Please..."
Mona serba-salah.
'Nampaknya
terpaksalah aku siapkan malam ni.'
"Okey, jom.
Tapi jangan pergi jauh-jauh." Mona bingkas bangun.
"Kita pergi
warung depan tu aje."
Hari ini mereka
tidak memesan nasi goreng, mi goreng atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya
mereka hanya makan nasi campur. Sambil menghadap hidangan di sebuah meja hujung
yang terpinggir, Samantha memulakan perbualan. "Apa sebab yang besar
sangat kau cuti semalam?"
Mona serba-salah
hendak menjawab. Akhirnya dia buat keputusan untuk mengelak. "Aku penat sangat.
Aku OT dengan Kak Rose sampai sebelas malam. Lepas tu aku kena hantar dia
balik."
"Sebelas
malam? Kau berdua buat apa? Bergosip heh?"
"Banyaklah
kau punya gosip. Azli kuku besi tu suruh aku hantar proposal Mawar Cosmetics
Isnin depan. Itu yang aku penat sangat. Pagi semalam aku tak tahan pening.
Sebab tu aku cuti. Pagi tadi aku hantar proposal D'Ferns pada Dato'. Jadi dia
pun tak cakap banyak."
"Oh, itu
sajalah sebabnya. Aku ingatkan ada orang datang merisik kau." Usik
Samantha.
"Hei! Tak
ada makna semua tu." Mona tergelak.
Mereka terus
menjamu selera sebelum Mona teringat sesuatu.
"Sam kau
tahu apa-apa tentang projek Astaka Aksara?"
"Astaka
Aksara? Kenapa?"
Mona melihat
sekeliling sebelum menjawab. "Aku dapat maklumat baru. Tapi ni antara kita
berdua. Kak Rose kata Azli pegang semua fail tu. Masa auditor datang hari tu, dia orang deal terus dengan Azli."
"Ya? Hmm...
ini menarik. Kau nak suruh aku siasat?" Gaya Samantha persis seorang
penyiasat persendirian.
"Jangan
sampai kau kantoi cukuplah. Pandai-pandailah kau nak hidup." Pesan Mona.
"Mona, aku
nak tanya sikit."
"Apa
dia?" Mona menjawab selamba.
"Aku tengok
macam ada perubahan pada diri kau. Bukan macam Mona yang dulu. Kau bercakap pun
macam... lain. Apa rahsia anda?" Samantha bertanya dengan gaya berseloroh.
"Entah.
Sebab aku pakai perfume baru agaknya.
Sampel untuk kempen iklan Mawar Cosmetics. Mawar Lestari, serlahkan personaliti
anda." Mona membuat gaya seperti kempen iklan yang dirancang.
"Oh...
mentang-mentang dapat free sample,
kau kebas sorang-sorang. Untuk aku tak ada ke?"
"Kau ni
memang pantang kalau dengar benda free
kan? Kalau dah selesai kempen Mawar Cosmetics aku bagilah kau sebotol. Nanti
masa presentation dah tak ada produk
untuk pitching pada klien."
"Okey,
janji tau! Aku tuntut nanti." Samantha menuding jari.
"Huh,
dasar!" Jawab Mona sambil tertawa.
***
Mona agak kelam
kabut pagi itu. Dengan bantuan kakitangan bawahannya, dia menyiapkan bilik
mesyuarat untuk perjumpaan bersama wakil syarikat D'Ferns. Produk kesihatan
yang menjadi fokus kempen itu juga disusun di hadapan.
Pengiklanan
adalah sesuatu yang persuasif, bukan setakat mencadangkan rangka iklan yang
sesuai. Ia seperti satu seni memujuk pelanggan membeli produk yang ingin
dipasarkan. Sebagaimana Mona ingin memujuk klien supaya menerima idea kempen pemasaran produk mereka. Banyak
faktor yang perlu diambil kira, termasuk mood
dan penyampaian agar klien faham apa mereka dapat melalui kempen itu.
Mona berjaya menyiapkan
fail Powerpoint seperti yang dirancang. Mujurlah ada template kempen yang pernah dibuat sebelum ini. Hanya perlu
diubahsuai mengikut keperluan D'Ferns.
Amirul? Mona
mengambil keputusan untuk tidak melibatkan dia dalam kempen ini. Mungkin juga
dalam kempen-kempen yang akan datang. Dia ingin lihat permainan Azli dan
Amirul. Sejauh mana mereka akan meneruskan percaturan taktik mereka. Atau
mungkin mereka akan terperangkap dalam permainan mereka sendiri.
"Sudah siap
semuanya?" Dato' Harriz tiba di bilik mesyuarat.
"Sudah
Dato'." Mona bersuara yakin.
Sememangnya Mona
menganggap Dato' Harriz sebagai mentor dalam bidang ini. Dia hormat dengan
etika kerja lelaki itu, walaupun kehidupan peribadi majikannya itu tidak sehebat karismanya
di pejabat.
Mona masih ingat
pesanan lelaki itu semasa dia mula menapak dalam bidang ini, "Pangkat
bukan alasan untuk kita tidak tahu kerja-kerja orang bawahan kita. Saya suka
pekerja yang tahu buat banyak perkara sama ada kerja orang bawahan atau orang
atasan. Kita tak tahu bila kita terpaksa ambil alih sesuatu tugas pada masa
tertentu. Jangan jadikan title kita
sebagai batasan. Terutamanya dalam bidang pengiklanan seperti ini. Semuanya
perlu cepat dan kita kena bertindak mengikut kehendak klien."
Dan sememangnya
itulah yang sedang Mona alami. Dia rasa beruntung dapat berkhidmat dengan
seseorang seperti Dato' Harriz.
"Kalau dah
siap bolehlah sedia untuk mulakan." Dato' Harriz mengambil tempat.
"Eh, klien
kita belum sampai lagi Dato'." Mona rasa pelik.
"Dia ke
bilik air. Sekejap lagi sampailah tu."
Sejurus itu
seorang lelaki masuk. "Maaf, saya terlambat sikit."
"Mona, saya
perkenalkan ini Encik Rahimi, wakil dari D'Ferns."
"Apa khabar
Cik Mona?" Lelaki bersuara dalam itu menghulurkan tangan untuk bersalam
dengan Mona.
"... baik,"
Mona jadi gabra dengan tiba-tiba. Mona menyambut tangan lelaki itu. Kasar dan
hangat.
"Okey,
kalau Encik Rahimi dah sedia, kita boleh mulakan. Mona."
Mona rasakan
masa terhenti buat seketika. Mindanya bergerak pantas ketika dia cuba mengumpul
data yang baru dikumpul tentang lelaki bernama Rahimi.
'Orangnya
sederhana tinggi, dengan tubuh athletik. Mungkin dia selalu pergi gym.
Perfume yang dia pakai macam aku pernah hidu. Mungkin Calvin Klein atau Polo.
Ada hint sandalwood dan citrus. Tapi
aromanya agak unik. Mungkin kerana dah bercampur dengan body odour dia.' Refleksi nakal Mona sambil jemarinya rancak
menyiapkan bahan untuk persembahan.
'Muka dia...
wow! Jarang aku jumpa lelaki ada lekuk di dagu. Cheekbone dia... ouch! Tajam! Kulit sawo matang... I like!' Mona terus dengan bebelan sepi
tentang Rahimi.
Tanpa dia
sedari, dia kelihatan terhegeh-hegeh pada pandangan mata Dato' Harriz.
"Mona, tunggu apa lagi?"
Rahimi hanya
tersenyum sambil memerhatikan Mona.
'Kenapa dengan
aku ni? Dah berpuluh presentation aku
buat. Tapi tak pernah berpeluh macam ni. Padahal aircond dah kira sejuk ni!' Rungut Mona. Pandangan Rahimi
membuatkan Mona semakin resah.
'Macam mana ni?
Aku present untuk dia. Takkan aku
asyik nak elak eye contact dengan
dia. Itu peraturan pertama untuk menarik tumpuan orang. Tengok mata dia. Tapi
kalau tengok mata dia aku jadi gugup, macam mana?'
"Mona, awak
okey?" Dato' Harriz perasan perubahan mendadak Mona.
'Saya minta maaf
Dato', Encik Rahimi, saya nak keluar sekejap.' Mona tidak dapat menahan
perubahan pada dirinya.
Dia terus meluru
ke bilik air. "Kenapa dengan aku? Biasa tak macam ni?"
"Gosh! Kau
syok dengan dia?" Suara Monique dari cermin sinki.
"Jangan
tuduh melulu, okey. Aku rasa tak sedap badan. Itu aje." Mona cuba
menyangkal.
"Apa lagi
sebab lain kalau itu reaksi kau lepas jumpa dia. Terima kenyataan Mona."
Monique melepaskan serangan provokasi ke arah Mona.
"No!"
Ketika itu pintu
bilik air dibuka dan seorang kakitangan masuk.
"Kalau
bukan, kenapa perubahan kau bermula selepas Rahimi masuk ke dalam bilik
mesyuarat? Fikir secara logik Mona, dialah punca perubahan kau." Monique
terus dengan serangannya lagi.
Mona cuma
menjegil ke arah Monique. Munira sedikitpun tidak bersuara.
Mona keluar
tanpa berkata apa-apa. 'Aku terpaksa selesaikan tugas aku. Kalau perlu elak
renungan matanya, aku terpaksa buat juga. Aku tak mahu Dato' pertikaikan
kemampuan aku.'
Ketika itu Mona
teringat pesanan seorang coach semasa
satu kursus yang dia hadiri berkaitan dengan ucapan di khalayak ramai.
"Kalau kita rasa susah untuk berkomunikasi dengan seseorang dengan melihat
ke dalam matanya, cuba gunakan tips ini. Pandang di sebelah matanya. Dengan
cara ini awak tidak melihat terus ke dalam mata dia. Tapi ini hanya sesuai kalau
orang yang dimaksudkan berada jauh. Kalau jaraknya terlalu dekat, dia akan
perasan."
'Inilah harapan
terakhir aku. Kalau tak, aku takut mesej kempen ini tak akan sampai seperti
yang Dato' nak. Aku tak boleh kecewakan dia.'
Ternyata tips
itu benar-benar berkesan. Setelah Mona berjaya memulakan penerangan, rasa gugup
terus hilang. Mona memberi penerangan slaid demi slaid dengan lancar dan yakin.
Encik Rahimi pun nampaknya berpuas hati dengan proposal kempen oleh Master Creative Media.
Usai mesyuarat,
Dato' Harriz merapati Mona, "Saya nak ajak awak keluar makan dengan saya dan Encik
Rahimi."
'What? Dato' ni tak perasan ke macam mana
aku gabra tahap gaban disebabkan lelaki tu. Dia nak ajak aku makan sekali?
Memang cari nahas! Silap haribulan kalau makan steak boleh terpelanting daging kat muka dia disebabkan tangan aku
yang tak stabil. Kalau nak jumpa dia lagi cukuplah dalam mimpi aje. Tak sanggup
aku nak berhadapan dengan dia lagi.'
"Mona.
Mona?" Suara Dato' mengejutkan Mona daripada lamunan.
"Err...
saya minta maaf Dato', saya ada tugas yang nak disiapkan. Saya minta maaf
banyak-banyak Dato'."
'Janganlah Dato'
anggap aku tak jaga PR dengan klien. Ini kes kronik. Memang kronik!'
"Okeylah.
Kalau awak tak nak join saya dan Encik Rahimi, nak buat macam mana. Mungkin lain
kali." Dato' hanya tersenyum sebelum beredar.
"Cik Mona, nice meeting you. Saya harap proposal
kempen ini akan berjaya meningkatkan jualan produk D'Ferns nanti." Rahimi
menghulurkan tangan. Segera disambut oleh Mona. Tangan lelakinya kasar dan
hangat seperti masa mula-mula mereka bersalam tadi.
"Kami akan
cuba yang terbaik. Terima kasih atas kepercayaan Encik Rahimi." Mona
menatap wajah lelaki itu buat kali terakhir sebelum dia beredar.
Mona sempat
memerhatikan belakang tubuh Rahimi sebelum wakil D'Ferns itu keluar
meninggalkan bilik mesyuarat. Entah mengapa, sukar untuk dia melepaskan
pandangan.
'Mona, what are you doing?' Dia menyelar
dirinya sendiri dengan angan-angan nakal yang singgah.
Sebelum Mona
meninggalkan bilik mesyuarat, dia terpandang sebatang pen yang tertinggal di meja tempat Rahimi duduk sebentar tadi.
'Encik Rahimi
tertinggal pen! ... Ah, mungkin dia tak perasan benda ni tertinggal di sini.
Biar aku simpankan. Bukan ada orang nampak pun. Hmm... tak dapat simpan tuan
dia, dapat simpan pen ini pun jadilah.' Mona tersenyum simpul.
Pen itu
kemudiannya dicium sebelum keluar dengan keadaan tersipu-sipu.
siapakah rahimi?calon?..errrr...
BalasPadam