BAB 3
Mona tergelak
besar awal pagi itu. Mengekeh-ngekeh dia ketawa dalam keadaan belum mandi atau
gosok gigi. Semuanya disebabkan mimpi malam tadi.
Mona bermimpi
dia menjadi model kempen Mawar Cosmetics. Iklan minyak wangi Mawar sedang
bersiaran di kaca televisyen.
Mona sedang
bersolek untuk ke pejabat dengan pakaian seorang eksekutif yang elegan. Tiga
botol minyak wangi keluaran Mawar Cosmetics berderet di atas meja dengan warna
putih, ungu dan pink. Kemudian Mona
menyembur sedikit minyak wangi Mawar Lestari berbotol ungu di tubuh.
Selepas itu dia
menyembur minyak wangi Mawar Berduri dalam botol pink, dan bayangannya di cermin berubah menjadi dirinya dengan
penampilan mekap dan blaus yang lebih berani dan seksi. Kedengaran satu suara
berbisik dengan gaya menggoda, "Mawar Berduri."
Akhir sekali dia
menyemburkan minyak wangi Mawar Suci dalam botol putih di tubuh dan penampilan
dirinya di dalam cermin berubah menjadi seorang yang bertudung dengan busana
serba putih. Manik-manik labuci bergemerlapan di hujung tudung yang dipakai.
Suara yang sopan dan malu-malu berbisik, "Mawar Suci."
Iklan dalam
mimpi Mona ditamatkan ketika Mona menghadap cermin bersama tiga bayangan
personaliti berbeza mengikut jenis minyak wangi yang dipakai tadi. Ketiga-tiga
watak itu bersuara serentak, "Minyak wangi Mawar, serlahkan personaliti
anda."
Rasa geli hati
Mona masih bersisa dengan tawa yang belum surut.
"Hadoi!
Memang kelakar betul. Sampai terbawa dalam mimpi proposal kempen minyak wangi
Mawar ni."
Mona bingkas
bangun dengan rasa mengantuk yang sudah sirna. Semuanya lenyap akibat mimpi
yang tidak masuk akal.
"Ada ke
patut boleh muncul tiga wajah aku yang berbeza dalam cermin. Nonsense!" Tawa Mona sudah lenyap.
Namun senyum lebar masih ada.
Mona mencapai
tuala dan menuju ke bilik air sambil mengajuk tagline yang tercipta semasa mimpi tadi, "Minyak wangi Mawar,
serlahkan personaliti anda."
Mona mencapai
berus gigi dan menonyoh ubat gigi di atasnya. Dia menggosok gigi tanpa
memandang ke dalam cermin. Hanya selepas berkumur baru dia melihat wajah di
cermin. Manalah tahu kalau-kalau sudah ada jerawat batu yang muncul. Terpaksa
di-touch up dengan foundation lebih sedikit.
Mona hilang
suara ketika melihat ke dalam cermin. Tubuhnya kaku membeku. Suaranya tersumbat
di kerongkong.
Mona terkejut
tahap 1.5 bilion. Dia bukan melihat wajahnya sahaja, sebaliknya ada tiga wajah
dirinya dengan personaliti berbeza mengikut kempen minyak wangi Mawar. Hanya
selepas beberapa saat baru dia dapat memujuk suara yang bersembunyi di tekak
supaya dapat keluar.
"Aaaaaaaaah!"
Mona tersentak.
Jam loceng sudah beberapa minit berbunyi, tetapi dia masih belum sedar lagi.
Hanya kini dia membuka mata dengan rasa seram sejuk.
Mimpi dalam
mimpi tadi cukup menakutkan. Seperti suara dia dan rakan-rakan semasa sedang
berkaraoke lagu "Umpama Mimpi Dalam Mimpi" dengan suara sumbang dan pitching ke laut.
"Astaghfirullahal
azim," Mona cuba mengembalikan semangat. Mimpi itu betul-betul mencabar
kesiumannya. Hanya selepas beberapa minit baru dia kembali tenang.
"Teruknya
mimpi tu. Tiga wajah aku dalam cermin. Hiiii seram!"
Mona cuba
mengingat semula cebis demi cebis mimpi yang dialaminya. Rententan emosi yang
dia alami - kelakar, terkejut dan seram - silih berganti hinggalah dia tersedar
dari lamunan.
Akhirnya
senyuman terukir di bibir Mona. "Hai... nasib baiklah semuanya cuma mimpi.
Kalau betul, tak tahulah apa yang aku nak buat."
Walaupun apa
yang Mona alami cuma mimpi, dia masih tidak dapat menepis perasaan cuak yang
bersarang. "Baik aku cuba jenguk ke dalam cermin. Manalah tahu kalau
betul-betul ada tiga wajah aku dalam cermin."
Mona mencapai
tuala dan menuju ke bilik air. Dia melihat ke dalam cermin persis seorang pengintip.
Penuh rasa saspens seperti sedang menonton babak cemas filem thriller.
"Fuh,
selamat... memang tak ada macam dalam mimpi aku tadi." Lapang dada Mona.
Rasa geli hati
pula menyinggah. "Apalah aku ni. Itu semua mimpi. Memanglah tak akan
berlaku dalam dunia realiti!" Mona menyelar dirinya sendiri.
Seperti biasa
dia menggosok gigi sebelum memeriksa kontor wajah. Kemunculan gunung berapi
yang mungkin hadir semalam memang tidak dapat diduga dan perlu ditangani
segera.
Mona masih
bermimpi? Atau ini adalah mimpi dalam mimpi?
Atau dia sememangnya sudah kembali ke alam realiti?
Kalau dia sudah
terjaga, kenapa dia terlihat tiga wajahnya di dalam cermin? Di samping balikan
wajahnya yang ada sekarang, dua wajah lagi tercongok di dalam cermin,
seolah-olah sedang berdiri di kiri dan kanan balikan wajahnya yang asal. Satu
berpakaian blaus seksi berwarna merah dengan mekap terang dan berani. Persis
watak penggoda dalam filem. Satu lagi berpakaian jubah putih dan tudung
bermanik labuci putih dengan penampilan gadis bersopan.
"...."
Mona terkedu.
Dia berharap agar dia akan tersedar selepas ini. Pipinya dicubit kemudian
ditampar, tetapi dia masih berada di dalam bilik air. Wajah-wajah di dalam
cermin merenungnya tanpa suara.
Tubuh Mona
menggigil. Dia lari keluar ke ruang tamu. Dia tidak mampu menghadap cermin
lagi. Dia tidak sanggup melihat tiga balikan dirinya dalam cermin.
"Apa yang
dah terjadi ni? Aku dah gila? Atau ada jin dalan rumah ni? Mungkin juga ada
orang yang cuba nak sihirkan aku?" Soalan demi soalan menujah benak Mona
bersama bulu roma yang sudah terpacak.
Mona memilih
pojok yang tersembunyi di rumah. Dia mencangkung sambil mengokol seperti sedang
menggigil kesejukan.
"Apa maksud
semua ni?" Mona sudah tidak mampu berfikir lagi. Mindanya yang biasanya
lancar dengan idea-idea kreatif kini seperti sinki yang tersumbat. Tersekat.
Buntu.
Agak lama juga
dia cuba mengembalikan ketenangan dalam diri. Gigil tubuhnya enggan berhenti.
Debar jantungnya jauh lebih kencang daripada normal. Dia terasa seperti ingin menangis.
"Bagaimana kalau muncul lagi dua wajah tambahan tu dalam cermin? Aku tak
nak dituduh gila? Atau memang aku dah gila? Macam mana ni?"
Mona terfikir
untuk menghubungi Samantha. "Kalau macam ni aku terpaksa ambil emergency leave. Aku tak boleh pergi
kerja dalam keadaan macam ni. Macam mana kalau dalam cermin pandang belakang
kereta aku ternampak mereka berdua? Atau masa di cermin sinki bilik air? Kalau
aku beremosi depan orang ramai macam mana?"
Bergegas Mona
mencari telefon bimbit dalam keadaan kelam-kabut. Cermin yang ada di ruang tamu
tidak sanggup dilihat walaupun dengan hujung mata.
"Hello,"
suara Samantha.
"Sam, aku
tak dapat datang hari ni." Suara Mona menggelabah.
"Kenapa ni
Mona? Kau tak sihat? Kenapa kau tak call
Dato' terus?"
Mona terkedu.
Mulutnya kumat-kamit, tetapi tiada kata yang keluar.
"Mona, kau
okey?" Ada nada cemas dalam suara Samantha.
"Sam, aku
tak boleh cerita panjang sekarang. Aku minta tolong kau sampaikan pada Dato'.
Beritahu dia, aku ambil emergency leave."
Samantha terdiam
sebentar. Ada banyak perkara yang gadis itu ingin tanyakan, tetapi dia terpaksa
akur dengan kehendak Mona.
"Okey,"
jawab Samantha.
Mona mencari
ikhtiar. Dengan tiba-tiba dia teringatkan Kay. Dia mencapai telefon semula.
"Hello,"
suara di talian.
"Kay?"
"Mona, ada
apa hal?"
"Kay, aku
perlukan pertolongan kau." Suara Mona dengan nada yang lain daripada
biasa.
"Mona,
kenapa ni? Kau okey?"
"Kay, boleh
tak kau datang ke apartment aku sekarang? Aku ada hal penting nak cakap dengan
kau. Aku nak jumpa kau face to face."
Suara Mona bertegas.
"Aku...
okey, aku datang sekarang." Suara Kay turut menggambarkan rasa kelam-kabut
setelah mendengar suara Mona.
***
Hampir 45 minit
kemudian, Kay sampai ke apartment Mona.
"Sorry Mona, traffic jam tadi, ramai orang
pergi kerja..." Kay masuk ke rumah dan terus ternampak ruang dinding yang
begitu pelik rupanya dan melihat wajah Mona yang pucat. "Astaghfirullah
Mona, apa dah jadi ni? Kenapa kau tutup semua cermin dengan kain? Apa kena
dengan kau ni?"
"Aku pun
tak tahu Kay. Tolong aku." Suara Mona dengan nada seperti hendak menangis.
Dengan segera Kay memeluk Mona dan membiarkan rakannya melampias tangisan.
Mereka
kemudiannya duduk di sofa.
"Cuba kau
cerita apa yang dah berlaku ni." Kay bersuara selepas melihat Mona sudah
nampak tenang.
"Cermin.
Dalam cermin ada dua muka macam rupa aku." Ketar tangan Mona masih boleh
dilihat oleh Kay.
"Ya Allah.
Macam mana boleh jadi macam tu?"
"Aku tak
tahu. Semalam aku mimpi. Bila aku sedar aku nampak dua muka tu dah ada dalam
cermin."
"Habis, kau
nak buat apa sekarang?" Kay merenung wajah rakannya yang nampak tidak
terurus. Berbeza dengan penampilan biasanya yang ceria dan penuh keyakinan.
"Aku nak
jumpa doktor. Aku nak pastikan aku tak gila. Tapi kalau memang aku dah
gila macam mana?" Kata-kata Mona
jelas menampakkan kecelaruan fikirannya.
Kay mengusap
bahu Mona, cuba menenangkan rakan semenjak kolej dulu.
"Kita pergi
jumpa doktor. Biar dia cek keadaan kau dulu. Mungkin juga kau overstressed. Lepas makan ubat nanti,
semua akan okey. Insya-Allah."
"Kau boleh
temankan aku?"
"Boleh. Kau
pergi bersiap. Kita pergi sama-sama." Pujuk Kay. Riak wajahnya jelas
menunjukkan kerisauan melihat keadaan Mona.
***
Selesai
konsultasi Mona bersama doktor, Kay dipanggil masuk.
"Cik
Kamariah?" Suara doktor sambil memerhatikan laporan yang ada di atas meja.
"Ya,
saya." Kay melabuhkan punggung.
"Saya nak
jumpa cik sebab Cik Mona beritahu dia datang dengan cik tadi. Sebenarnya saya
rasa macam ada yang tak kena dengan Cik Mona. Dia nampak terganggu dan saya tak
dapat pastikan apa masalah dia. Saya rasa dia macam rahsiakan sesuatu dari
saya."
"Dia sakit
ke doktor?" Kay tidak sabar.
"Itu
masalahnya. Saya tak dapat kesan apa-apa yang luarbiasa. Cuma tekanan darahnya
agak tinggi. Dia ada beritahu saya dia ada tekanan di pejabat. Cik Kamariah
tahu apa-apa tentang dia?"
Kay serba-salah
hendak menjawab, namun digagahkan juga. "Saya tak pasti doktor. Dia tak
ada kongsi apa-apa dengan saya."
"Kalau
macam itu, tak apalah. Itu saja yang saya nak tahu. Terima kasih."
"Oh ya!
Terlanjur saya jumpa doktor ni, saya ada soalan. Tapi ini tiada kaitan dengan
Cik Mona."
"Apa yang
Cik Kamariah nak tahu?"
"Saya ada
kenalan yang hadapi masalah tekanan, macam Cik Mona. Dia ternampak beberapa
watak dirinya dalam cermin."
Doktor itu
merenung wajah Kay. Mungkin dia terasa pelik dengan soalan yang seperti
berkaitan dengan pesakitnya, Mona.
"Hmm... ada
banyak kemungkinan. Mungkin pesakit mengalami skizofrenia. Delusi dan
halusinasi adalah simtom penyakit yang dikaitkan dengan masalah mental ini.
Tapi kalau setakat masalah tekanan saja, mungkin tidak sampai ke tahap
skizofrenia. Skizofrenia biasanya dikaitkan dengan masalah sejak kecil atau
pengambilan beberapa jenis dadah tertentu."
Kay hanya
mendengar penerangan doktor itu dengan tumpuan penuh.
"Ada juga
kemungkinan lain. Mungkin ada gangguan makhluk halus yang boleh menyerupai
manusia."
"Makhluk
halus?"
"Ya. Tak
mustahil itu juga satu kemungkinan yang ada." Suara doktor itu begitu
tenang.
"Oh, macam
tu. Terima kasih doktor." Kay mengukir senyum sebelum meninggalkan bilik
konsultasi.
***
"Kita nak
ke mana Kay?" Mona terasa pelik melihat jalan yang diambil Kay. Bukan
jalan yang biasa mereka lalu untuk pulang ke Setia Condominium.
"Aku nak
bawa kau jumpa seorang pakar rawatan Islam."
"Kenapa?
Ada apa-apa yang doktor beritahu kau tadi?"
"Tak. Tapi
aku rasa mungkin ini dapat membantu."
Kay berhenti di
sebuah lot kedai. "Pusat Rawatan Islam Al-Hijrah" tertera di bahagian
hadapan.
"Ini ke
tempatnya? Apa yang dia nak buat pada aku?" Mona musykil.
"Kau ikut
sajalah. Nanti kau akan tahu juga."
Setelah beberapa
minit menunggu, Mona dan Kay berjumpa dengan seorang lelaki berkopiah.
"Assalamualaikum.
Apa yang saya boleh bantu?" Suara lelaki yang berjambang kemas.
Penampilannya seperti seorang doktor dan juga seorang ustaz.
Kay memulakan
bicara, "Waalaikumsalam. Ustaz Ridwan, Mona kawan saya ni ada tanda-tanda
kena gangguan. Dia nampak... ada tiga wajah serupa dengan dia dalam cermin. Ada
kemungkinan tak dia kena gangguan jin?"
Ustaz Ridwan
memulakan sesi rawatan. Selepas memuji Tuhan dan berselawat atas Nabi, dia mula
membaca sesuatu. Mungkin ayat al-Quran atau doa-doa tertentu. Kemudian
tangannya digerakkan persis sedang mengimbas tubuh Mona tanpa menyentuhnya.
"Berdasarkan
firasat saya, Cik Mona ni tak ada kena apa-apa gangguan. Tapi kadang-kadang
susah nak agak sebab benda ni boleh pergi dan datang sesuka hati. Ikhtiar yang
boleh saya cadangkan adalah amalan bacaan ayat-ayat Quran. Nanti saya beri
senarai ayat-ayat yang perlu diamalkan pada waktu siang dan malam selama
beberapa minggu."
"Kalau tak
sembuh juga macam mana ustaz?" Mona risau.
"Setiap
yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Siapalah kita untuk mengubah
keputusan yang Dia buat. Kita hanya mampu memohon simpati daripada-Nya dan merayu
dengan bersungguh-sungguh." Ustaz Ridwan memulakan penerangan.
"Setiap apa
yang berlaku sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi, tak kira sama ada ia
mendatangkan kebaikan atau nampak seperti mendatangkan keburukan kepada kita.
Sebagai hamba, kita kena ada sifat bersyukur. Bersyukur bukan hanya semasa kita
dapat sesuatu yang menyenangkan. Masa ditimpa musibah dan keburukan pun kita
kena bersyukur. Sebab ada orang yang ditimpa sesuatu yang lebih buruk daripada
kita. Bersyukur ni sifat yang penting." Kata-kata lelaki itu penuh maksud
tersirat.
"Sesuatu
yang berlaku ada sebabnya. Kita kena buka mata hati dan fikiran untuk lihat
rahsia di sebalik apa yang kita terima. Hari ni kita banyak bergantung pada
penerangan saintifik dengan berpandukan macam-macam kemudahan sains dan
teknologi. Sehinggakan kita lupa bahawa Tuhan tak perlukan semua itu. Bagi-Nya
semuanya semudah kata-kata Kun fayakun.
Jadi, maka jadilah." Kata-kata itu dilafazkan dengan sinar terpancar dari
wajah tenang Ustaz Ridwan.
Usai sesi
rawatan di Al-Hijrah, Kay menghantar Mona pulang.
"Kau nak
aku temankan?" Kay memegang bahu Mona.
"Tak payah.
Aku ucapkan terima kasih sebab kau bawa aku jumpa ustaz tadi. Banyak juga
membantu aku dalam masalah ini."
"Sama-sama.
Baguslah kalau kau dah berani hadapi masalah ini. Kalau ada apa-apa, kau call aku."
Mona mengangguk.
"Insya-Allah."
***
Mona berjalan
mundar-mandir di ruang tamu. Dia keresahan hingga sukar untuk duduk diam.
Tangan yang berpeluh-peluh digosok-gosok.
'Mahu tak mahu,
aku terpaksa berdepan dengan masalah ini. Kalau betul aku berhadapan dengan jin
atau makhluk halus, dia pun kejadian Tuhan macam aku jugak. Di dunia ni dia
nampak aku tapi aku tak nampak dia. Di akhirat nanti giliran aku pulak nampak
dia.' Mona cuba menguatkan semangat dengan ilmu yang dipelajari dari orang
tuanya semasa kecil.
'Tapi kalau aku
berhadapan dengan halusinasi aku sendiri, aku perlu berhati-hati. Jangan sampai
aku dikuasai dan buat benda-benda yang pelik dan gila. Mungkin sampai masa
semua ni akan hilang.' Mona terus meniup bara semangat yang masih pudar.
Setelah perasaan
berani mula menguasai, Mona berdiri di depan cermin yang diselimuti kain.
Sambil menutup mata dia menarik kain.
Wajahnya
kelihatan di cermin bersama dua lagi lembaga yang menyerupai dirinya.
"Kau berdua
ni siapa?"
"Kau tanya
kami? Kau yang jadikan kami muncul di sini. Dengan kempen Mawar Cosmetics
kau." Suara dirinya yang memakai blaus merah seksi. Maskara tebal dan gincu
bibir menyerlahkan gaya yang menggoda.
"Kami
adalah cebisan imaginasi kau yang terlalu kreatif. Masalah yang kau hadapi
menyebabkan kami muncul. Mungkin ini cara Dia memperkenankan permintaan
kau." Suara watak yang bersopan dengan bertudung putih.
Mona keliru.
Seolah-olah dia memerhatikan sesuatu yang merupakan projeksi mindanya sendiri
dalam bentuk yang boleh didengar dan lihat. Seolah-olah dia sedang berdialog
dengan mindanya sendiri. Cuma kali ini ia dalam bentuk perbualan dengan manusia
biasa.
'Betul ke mereka
berdua ni bukan jin atau makhluk halus?' Bisikan hati Mona yang masih curiga.
Kedua-dua
lembaga di dalam cermin saling berpandangan dan tersenyum sinis.
"Kau boleh
dengar?" Mona melihat kedua-duanya silih berganti.
Mereka
mengangguk.
"Siapa nama
kau?" Mona sudah dapat mengawal perasaan.
Mereka berdua
berdiam.
"Tak ada
nama?" Mona hairan.
Dengan serentak
kedua-duanya menggeleng. Mona masih terasa janggal berbual dengan bayangannya
sendiri di dalam cermin. Tetapi dia lakukan semua ini untuk melawan perasaan
takut. Dengan harapan semuanya akan hilang setelah dia berjaya menguasai
keadaan.
"Baiklah.
Aku bagi nama kau... Munira." Mona memandang ke arah watak dirinya yang
bertudung.
"Dan kau...
Monique."
"Monique?
Aku suka. Nama tu menyerlahkan misteri dan sensasi dalam diri aku. Persis
seorang ejen pengintip rahsia dan penyanyi kabaret yang menggoda." Watak
berblaus merah dan mekap berani itu menjawab dengan jelingan mata dan senyuman
melirik.
"Kau
pergilah berehat. Hari ni pasti mengujakan. Jangan lupa kau kena siapakan
proposal dalam masa yang singkat ni." Pesan Munira.
Mona mula
mempertikaikan kesiuman dirinya kerana berbual dengan watak yang tidak wujud.
Tetapi setiap bait pesanan Ustaz Ridwan disematkan dalam hati sebagai panduan.
Entah mengapa
Mona sudah mula serasi dengan kedua-dua watak yang dia rasakan seperti direka
oleh imaginasinya sendiri. Namun masih ada sekelumit rasa curiga. Mungkin juga
mereka adalah makhluk halus yang menyamar. Kerana itu memang kebolehan golongan
ini, dengan agenda yang tersembunyi. Untuk menipu anak cucu Adam.
'Dalam keadaan
ini aku perlu pasrah. Aku perlu jalani hidup seperti biasa. Mungkin bila tiba
masanya, minah berdua ni akan hilang.'
Mona ke dapur
untuk menyiapkan brunch, gabungan breakfast dan lunch. Sarapan dan makan tengah hari sekaligus. 'Selepas ini aku
perlu teruskan proposal yang
tertangguh dari pejabat semalam. Baki cuti mengejut ini perlu aku gunakan
sebaiknya.' Mona mengatur rancangan.
adehhh..mcm seram jer..apekah makhluk tu yek?..ok..kena baca next n3..ngeee
BalasPadam