BAHAGIAN 5 : PUCUK DI CITA
Bab 18
Sepanjang perjalanan pulang
ke kampung, pelbagai perkara bermain di benak Eddie. Umpama sebuah tayangan
kisah hidupnya tentang segala peristiwa yang mewarnai hidupnya dengan duka dan
ria.
Bertahun-tahun dia memendam
perasaan kerana tertanya-tanya siapa ibu dan bapanya yang sebenar. Perasaan itu
datang setiap kali dia dihambur dengan kata-kata cemuhan, sama ada oleh ayah
angkatnya di rumah atau oleh murid-murid nakal di sekolah terutamanya Arshad
dan gengnya. Kata-kata dan tawa sinis dan mengejek menjadi makanan harian
sehingga hatinya sudah kematu dengan rasa kecil hati dan sedih.
Jauh di sudut hatinya ada
rasa terkilan apabila melihat anak-anak yang gembira bersama ibu dan bapa
mereka.
Tentu seronok rasanya jika
ada ibu dan ayah sendiri, bisik hati Eddie semasa melihat keluarga seperti itu.
Adakala ada titis yang mengalir tanpa dijemput.
Kepedihan dan kesengsaraan
itu menjadikan dia seorang yang cekal dan bercita-cita tinggi. Adakala dia
menyalahkan takdir kerana dugaan hidup bersama arwah bapa angkatnya menjadikan
dia keciciran dalam pelajaran. Tetapi akhirnya dia pasrah bahawa ini semua
adalah kehendak Tuhan dengan hikmah yang tersirat.
Entah kenapa, satu pelajaran
bersama Dayana masih kekal hingga kini. Pepatah ‘Every cloud has a silver lining’ begitu sinonim dengan hidupnya.
“Cuba awak lihat awan.” Kata Dayana satu masa dahulu ketika
mereka duduk di tepi padang sekolah memerhatikan langit.
“Awan mendung menandakan hari
akan hujan. Tapi di balik awan ada matahari yang bersinar terang. Pada setiap
awan yang mendung dan gelap, ada garis sinar yang terlakar pada lekuk-lekuk
awan.” Terang Dayana.
“Apa maksud awak?” Tanya
Eddie sambil melihat wajah gadis yang berlesung pipit manis di pipi.
“Dalam setiap kepayahan dan
kesukaran hidup, sentiasa ada sinar cahaya yang menanti. Macam matahari. Walau
bagaimana lama sekalipun kita menunggu ia muncul, akhirnya ia tetap akan
muncul.” Jawab Dayana.
Pandangan Eddie kemudian
beralih ke arah kepulan awan.
Ya, memang benar kata Dayana.
Setiap awan ada garis sinar yang menggarisi keluk rupa awan. Fikir Eddie.
“Sebab tu pepatah Inggeris
ada sebut... ”
“Every cloud has a silver lining.” Suara lirih Eddie sambil
menunggang motosikal, seolah-olah menyambung kata-kata Dayana suatu masa
dahulu. Dia tersenyum sendirian dengan memori bersama Dayana dan maksud yang
tersirat di sebalik pepatah Inggeris itu.
Wajah Dayana muncul di mata
Eddie. Gadis itu pernah bertakhta di hatinya, dengan kisah hidup yang menyayat
hati dan wajah manis berlesung pipit. Kini setiap kali wajah itu muncul hati
Eddie diselubungi rasa bersalah. Kekusutan fikiran menyebabkan jiwanya rasa
bercelaru.
Aku beria-ia mahu menjauhkan
diri dari Dayana kerana perbezaan tahap pencapaian dalam pelajaran antara kami
berdua. Tapi akhirnya aku terpikat dengan gadis yang berbeza darjat dalam
kehidupan. Eddie menyelar dirinya sendiri.
Wajah Dayana dan Qiarra silih
berganti di mata Eddie. Dua gadis yang berbeza, tetapi memiliki persamaan
kerana kedua-dua jauh lebih baik daripada dirinya dari perspektif yang
berlainan.
Jika diberi pilihan, siapa
yang akan aku pilih antara mereka berdua? Kebuntuan melanda benak Eddie.
Ah! Lupakan semua itu.
Mungkin aku tidak akan dapat memiliki hati kedua-dua mereka. Aku siapa? Anak pungut
yang tak tahu asal usulnya. Harta tak ada! Keturunan? Entah dari mana, aku pun
tah tahu! Eddie begitu galak merendahkan dirinya sendiri.
Yang aku ada sekarang
hanyalah Mak Cik Aishah yang aku anggap sebagai mak aku sendiri. Dialah
matlamat aku sekarang. Aku perlu gembirakan hati dia, sebagaimana dia bersusah
payah menegakkan pendirian untuk menjaga aku walaupun dibantah suaminya. Aku
terhutang budi pada dia, sebab dia meletakkan diri dia dalam keadaan bahaya
semata-mata kerana aku. Rasa sayu tiba-tiba hadir di dada Eddie.
Aku perlu balas jasa mak.
Sama ada aku berjaya kerana usaha aku sendiri atau setelah aku dapat maklumat
tentang keluarga aku yang sebenar, aku mesti balas jasa dia. Itu tekad aku.
Janji Eddie pada dirinya sendiri.
Dengan tidak semena-mena
peristiwa dia berjumpa Rostam terimbas kembali di ingatan.
Siapa Rostam? Benarkah dia
seorang yang boleh aku percayai? Bagaimana kalau tujuan dia hanya ingin
mendapatkan dokumen yang ada pada aku? Apakah caranya untuk aku pastikan niat
dia jujur dan bukan ada kepentingan sendiri? Kenapa Guntor begitu berdendam
dengan keluarga aku? Apakah kisahnya di masa silam bersama keluarga aku?
Bagaimana kalau Qiarra dan keluarganya menjadi mangsa semata-mata kerana aku?
Soalan demi soalan menujah benak Eddie. Satupun tidak dapat dijawab dengan
pasti, seperti teka-teki yang masih belum cukup petunjuk atau clue.
Aku terpaksa percayakan
Rostam sekarang ini. Dia saja cebisan teka-teki yang ada untuk aku jejak siapa
orang tua aku. Walau apapun yang berlaku, aku tak akan serahkan dokumen
padanya. Aku kena pastikan mak juga tak akan terlibat dalam perkara ini. Kalau
tak mungkin sesuatu yang buruk akan menimpa dirinya. Fikir Eddie.
Eddie
akhirnya tiba di jalan menuju masuk ke rumahnya di kampung. Papan tanda
‘Kampung Seludang’ seakan-akan menyambut ketibaannya ke tempat yang menyimpan
1001 peristiwa pahit dan manis dalam hidupnya.
Sebelum
masuk ke simpang, Eddie sempat memerhatikan beberapa orang pemuda sedang
melepak dengan motosikal tidak jauh dari simpang. Wajah-wajah itu memang dia
kenal semenjak masih di bangku sekolah. Mereka sedang mengusik seorang gadis kampung yang sedang menunggu bas.
Eddie
memberhentikan motosikal di simpang masuk apabila melihat seorang lelaki
berumur tiba di pondok menunggu bas. Setelah lelaki itu marah-marah, Arshad dan
gengnya bertempiaran lari. Mungkin lelaki berumur itu adalah ayah gadis yang
diusik. Dia menunggu bas berhadapan dengan rumahnya. Apabila ayahnya melihat
anak gadisnya diusik oleh geng Arshad, dia segera datang.
Entah
apalah yang dah dibuat oleh Arshad dengan geng dia di kampung ni? Dari kecil
sampai sekarang kerja asyik mengacau anak orang saja. Suara hati Eddie sambil
dia menggeleng. Dia kemudian menyambung perjalanan menuju masuk ke simpang.
Adakala
Eddie menyalahkan dirinya sendiri kerana sering melepaskan Arshad daripada
menerima hukuman akibat perbuatannya di sekolah, seperti peristiwa dia ditumbuk
di sekolah dahulu. Bagi Eddie nasib budak seperti Arshad akan lebih buruk
sekiranya dia dibuang sekolah kerana terlalu banyak membuat kes. Tetapi pada masa
yang sama ia menyebabkan budak seperti itu mua dengan tabiatnya. Sama seperti
apa yang terjadi pada Arshad sekarang.
Satu
hari nanti kau akan terima juga pengajarannya Arshad. Fikir Eddie dengan tidak
semena-mena.
Hati
Eddie bagai melonjak gembira apabila tiba di pekarangan rumahnya. Dia tidak
dapat menafikan ada rasa rindu untuk bertemu dengan insan bergelar ibu,
walaupun bukan ibu kandungnya sendiri. Mencium tangan wanita itu membangkitkan
rasa damai di hati.
Apa
khabar ibu agaknya? Harap-harap dia sihat seperti yang dia beritahu di telefon.
Bisik Eddie apabila menghampiri rumah kayu yang sudah nampak uzur tetapi masih
tegap.
Apabila
Eddie tiba di rumah, pintu rumahnya terbuka dan ada motosikal di hadapan rumah.
Eh,
siapa pula yang datang ke rumah? Hati Eddie tertanya-tanya.
Di
depan rumah ada selipar. Berdasarkan selipar berbunga-bunga itu, tentu tetamu
itu seorang perempuan.
“Assalamualaikum,”
suara Eddie sambil masuk ke dalam.
“Waalaikumsalam.”
Jawab Aishah.
Eddie
melihat seorang gadis duduk bersama ibunya. Gadis itu memang dia kenal, tetapi
penampilannya jauh berbeza. Dahulu dia kerap menocang atau mengikat rambut yang
panjang dan ikal. Kini gadis itu sudah manis bertudung labuh. Tetapi wajahnya
tetap manis berseri dengan lesung pipit di pipi.
“Dayana?”
Suara Eddie seperti terkejut. Sama ada dia terkejut melihat Dayana ada di rumah
ketika itu, atau dia terkejut melihat perubahan pada diri gadis yang membesar
bersamanya sejak kecil.
“Apa
khabar Eddie? Eddie sihat?” Suara Dayana bersama senyuman yang menampakkan lesung pipitnya yang manis. Soalan Dayana hanya dibalas dengan anggukan oleh Eddie. Dengan tidak semena-mena suaranya hilang dengan rasa terkejut yang
menyinggah.
***
“Berapa
kali aku nak cakap Qiarra. Aku tak nak!” Suara Sara tegas. Beberapa pelanggan
di kafe turut berpaling melihat ke arah mereka bertiga.
“Aku
pun tak sanggup Qiarra. Eh, kau tak serik ke hah? Baru lepas kena dengan geng
mamat motor di jalan gelap hari tu. Aku pun tak fahamlah dengan kau ni. Degil
sangat. Aku rasa ada batu dalam kepala kau tulah!” Mimi pula menambah.
Qiarra
bersandar sambil mengeluh dan berpeluk tubuh.
“Macam
ni ke kawan? Bila aku susah semua tak nak tolong.” Gerutu Qiarra.
“Buka
tak nak tolong Qiarra. Ini kes... ih, aku pun tak tahu nak cakaplah. Janganlah excited sangat nak mengejar ‘cinta’ kau
tu sampai lupa diri.” Kata Sara sambil membuat isyarat tangan inverted comma apabila menyebut
perkataan cinta.
“Aku
pun tak pernah jumpa perempuan yang degil macam kau ni. Keras kepala macam batu
gunung!” Selar Mimi pula dengan harapan Qiarra akan mengubah pendiriannya.
“Okey,
fine. Cuma ada dua perkara aku nak
pesan dengan kau orang berdua. Pertama, lepas ni aku dah tak ada kawan bernama
Sara dan Mimi. Apa guna kawan kalau tak boleh tolong masa kita sesak. Kedua, by hook or by crook, aku tetap akan
pergi ke kampung Eddie. Sama ada kau orang ikut atau tidak, aku tetap akan ke sana. Jangan salahkan aku kalau apa-apa jadi pada aku. Bye.” Qiarra membuat taktik untuk
mengubah keputusan kawan berdua. Dia bangun perlahan-lahan seperti ingin
meninggalkan kafe.
Satu,
dua, tiga. Bisik hati Qiarra seperti membuat countdown seolah-olah menunggu jawapan rakan berdua.
“Okey,
okey! Iiih.. geram betullah aku dengan kau ni Qiarra.” Rungut Sara seperti
kesal kerana terpaksa menyerah kalah.
Qiarra
memberi senyuman sinis sebelum duduk semula.
“So, apa rancangan kau?” Tanya Mimi. Kini
dia pula berpeluk tubuh. Mungkin geram kerana terpaksa akur lagi dengan Qiarra
seperti yang biasa berlaku.
“Plan
aku macam ni. Kita beritahu parents kita, kolej ada buat trip. Hari tu kan ada pekeliling dengan tanda tangan pengetua. Kita
buat surat pekeliling trip ni dengan gunakan surat itu.” Terang Qiarra.
“What?!
Itu kerja gila Qiarra. Kalau kolej tahu nanti macam mana?!” Sara bengang.
“”Uurgh!...
Oh God, kenapalah aku dapat kawan
macam Qiarra ni?” Rungut Mimi yang benar-benar menunjukkan rasa kesal gadis
cina itu.
“Well...
kalau kau orang tak mahu pergi. Aku boleh pergi sorang-sorang...” Suara lembut
Qiarra sengaja memprovokasi kedua rakannya.
Sara
dan Mimi saling berpandangan. Sara menggetap bibir manakala Mimi mengecilkan
matanya. Qiarra tersenyum sinis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan