MALAM TUJUH LIKUR
Sebuah cerpen tentang
Ramadan dan keinsafan oleh Salleh Kausari
Shamrel tercabar. Dia benar-benar
tercabar.
"Kurang hajaq punya Ghazi. Habis dia post
status lebih mengancam daripada aku."
Shamrel skrol newsfeed
Facebook. Kenalan FB bernama Ghazi baru saja memuat naik pelbagai gambar
di Instagram bersama komen yang membakar semangatnya.
Raya tahun ini aku pakai baju Melayu warna gold dengan samping songket
hitam.
Inilah saja yang aku mampu. LOL
Berbuka puasa dengan buddies di Holiday Villa Subang. Habis dekat
RM300. Lepas tu shopping di Subang Parade. I can't help it! Sangkut Dr Martens
satu untuk raya. Tak mahal bro... RM500 aje. Hiu hiu
Esok birthday girlfriend aku. Tak tau nak beli apa. Beg Gucci limited
edition pun dah kira okey lah kan. Ngeee.....
Siapa share dengan GF aku, aku unfriend. Aku nak surprise dia okey!
GRRR...
Gua ingat nak tukar keretalah. GF gua segan nak naik sebab BFF dia
dapat pakwe pakai kereta sport. Apa ada hal... Mastercard Gold gua boleh bayar
deposit.
My future car, here I come... Ihiks
Shamrel sukar bernafas. Seperti
ada tenaga luar biasa dalam dirinya yang ingin meledak. Dia rasa begitu kecil dengan status-status
yang ditulis oleh Ghazi. Apa yang telah dia post
dirasakan malap. Seperti lampu meja dipasang ketika mentari sedang menyinar
terik di tengah hari.
"Aku kena buat sesuatu. Mana
boleh aku biarkan Ghazi menang. Mesti ada yang sindir aku sebab status Ghazi
lebih mengancam. Tak boleh jadi. Aku kena buka puasa di hotel eksklusif.
Setakat buffet Ramadan harga diskaun lima puluh hengget tak main ah." Omel
Shamrel sendirian.
***
Shamrel puas hati. Dia
benar-benar puas hati.
Dia baru selesai menghantar teman
wanitanya pulang. Selepas berbuka puasa di hotel lima bintang bersama gadis
itu, mereka pergi membeli-belah.
"Puas hati aku. Kau makan buffet, aku makan ala carte. Udang kara kukus. Haha." Shamrel melayan perasaan
sambil memandu.
"Tak mainlah setakat beg
Gucci limited edition. Aku bagi
cincin berlian 24 karat tau. Berseri-seri awek aku raya yang tinggal beberapa
hari lagi ni." Shamrel ketawa sinis.
"Lepas ini aku akan post gambar kereta baru aku. Raya ni
sakanlah. Kau nak berlagak dengan Mastercard Gold kau tu. Aku bayar cash bro. Duit saving aku. Hehe." Shamrel kembang dengan rasa bangga yang
memuncak. Kejayaan mengalahkan status Ghazi di Instagram dan Facebook.
Shamrel dan Ghazi mungkin sekadar
kenalan di Facebook, tetapi semangat bersaing mereka begitu luar biasa.
Masing-masing memiliki peminat dan pengikut yang tersendiri. Status mereka
mampu mengundang ribuan like dalam
sekelip mata. Kehebatan realiti hidup mereka menyebabkan ramai yang kagum.
Namun itu hanya menambahkan rasa bersaing satu sama lain. Untuk menjadi juara
dalam bidang yang mereka pelopori di media sosial.
Setibanya di sebuah jalan agak
lengang, Shamrel sedar dia diekori. Sebuah motorsikal dengan pembonceng asyik
berubah posisi. Sekejap di belakang. Kemudian di sisi. Adakala di depan.
Gayanya seperti budak liar yang berfoya-foya di jalan raya.
"Samseng mana pulak
ni?" Shamrel serba-salah hendak memecut. Pergerakannya dihalang motorsikal
dengan dua orang penunggang bertopi keledar.
Ketika motorsikal itu cuba
bergerak dari depan ke sisi, Shamrel nekad untuk memecut. Belum sempat dia
menekan minyak, sejenis cecair disimbah ke cermin depan. Pandangannya
serta-merta menjadi kabur. Puas dia menekan air dan mengelap dengan wiper, tetapi kotoran itu begitu tebal
dan sukar dibersihkan.
Shamrel tiada pilihan lain. Dia
terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan.
"Apa masalah kau hah?"
Shamrel berang setelah dia bersemuka
dengan kedua penunggang motorsikal itu.
Mereka berdua tidak berkata
apa-apa. Sebaliknya Shamrel dibelasah bertubi-tubi. Dia tergamam dengan
serangan yang tidak dijangka. Walaupun dia cuba melawan, akhirnya dia tumbang
juga. Segala-galanya gelap pekat. Dia sudah tidak sedarkan diri lagi.
***
Shamrel buka mata. Pedih. Teramat
pedih. Kepala dan sekujur tubuh berdenyut dengan kesakitan yang teramat. Darah
mengalir di bibir yang pecah. Kepala terasa bengkak.
Hilang. Semuanya hilang. Kereta,
jam tangan, dompet dan telefon. Yang ada hanya apa yang dia pakai, sehelai sepinggang.
Shamrel cuba berdiri. Sengal.
Berdengkot dia berjalan di jalan yang hanya disimbah suram cahaya lampu jalan.
Entah pukul berapa, sukar dia mengagak. Yang pastinya suasana damai dan dingin.
Tidak terlalu sejuk dan tidak hangat. Nyaman.
Tiada apa di tepi jalan. Yang ada
hanya tiang lampu, pokok dan rumput. Suara cengkerik samar-samar kedengaran.
Tiada angin yang bertiup.
Damai.
Langkah diorak walaupun sukar.
'Aku mesti cari orang. Aku kena
minta tolong.' Itu saja yang mampu dia fikirkan dalam keadaan yang belum pernah
dia terfikir akan dialami. Sebelum ini segala-galanya mudah dan ringkas.
Dari kejauhan dia terlihat tong
besi besar berwarna hijau, tempat pembuangan sampah. Dia pasti. Dia benar-benar
pasti terlihat kelibat seseorang di situ. Langkah dipercepatkan walaupun sakit
makin terasa.
Seorang lelaki berambut putih
dengan janggut putih duduk di situ. Seolah-olah sedang beristirehat di atas
hamparan kadbod daripada kotak besar yang dikoyak. Pakaiannya lusuh dan koyak
di sana sini. Rambut dan janggutnya tidak bersikat. Kasar dan berserabut. Namun
wajahnya tenang ketika dia melihat Shamrel.
Shamrel buntu memikirkan apa yang
hendak ditanya kepada lelaki itu.
"Pak cik ada nampak kereta
putih lalu kat sini?"
Lelaki itu menggeleng.
"Motor?"
Dia geleng lagi.
"Pukul berapa
sekarang?"
Dia jongket bahu pula.
Shamrel kehabisan soalan. Dia
membongkok menahan sakit. Lelaki tua itu menarik sebuah hamparan kotak dan
meletakkan di sebelahnya. Dia memberi isyarat supaya Shamrel duduk.
Dalam keadaan buntu, Shamrel
terus duduk. Lelah berjalan dengan keadaan luka begitu terasa.
"Pak cik tinggal mana?"
"Sini." Tenang jawapan
lelaki itu.
"Rumah kat mana?"
"Sini."
"Kat belakang sana?"
Shamrel rasa pelik kerana tiada kawasan perumahan di situ.
"Sini." Lelaki itu
menunjuk kadbod yang menjadi alas duduknya.
Akhirnya baru Shamrel faham.
Lelaki itu tinggal di sebelah tong pembuangan sampah yang besar itu.
Minda Shamrel memproses data yang
begitu aneh. Dia dirompak dalam bulan Ramadan dengan beberapa hari lagi
menjelang raya. Dia ditinggalkan sehelai sepinggang dengan keadaan tidak tahu
pukul berapa ketika itu bersama seorang lelaki tua. Seorang pengemis. Manusia
gelandangan.
Shamrel memerhati keadaan di
sekeliling orang tua itu. Di sebelahnya ada buntil kain pelikat lusuh. Deretan beberapa
biji botol berisi air. Mungkin air paip. Bungkusan makanan yang masih berisi
sisa makanan. Dan sebuah basikal hitam yang sudah uzur. Dapat dia lihat logo
Jaguar dalam suram cahaya lampu jalan. Di belakangnya ada bakul rotan yang
biasa dilihat berisi durian oleh penjaja di tepi jalan.
"Pak cik tinggal sorang?"
Lelaki tua itu angguk.
"Keluarga pak cik
mana?"
Dia merenung jauh, seperti
membongkar kotak memori tua yang telah usang. Soalan Shamrel dibiarkan tidak
berjawab.
Tiba-tiba dia mengomel dengan
kata-kata yang sukar didengar Shamrel.
"Apa dia pakcik?"
"Kau banyak tanya."
Suara lelaki itu menyentap Shamrel.
Shamrel tersenyum tawar. Dia baru
perasan selama ini dia yang asyik bertanya. Dia buat keputusan berdiam diri
kali ini, menunggu kata-kata keramat lelaki itu yang seterusnya.
"Kau ada duit?" Tanya
lelaki itu.
'Kalau dah pengemis tu, pengemis
juga. Pantang ada peluang nak minta duit aje kerjanya.' Rungut hati Shamrel.
"Tak ada."
Lelaki tua itu mencapai sesuatu
dalam kocek. Dia mengeluarkan sekeping duit syiling dua puluh sen dan
diserahkan kepada Shamrel. "Nah."
Shamrel tergamam dengan tindakan
yang langsung tidak diduga itu.
"Ambil!" tegas lelak
itu.
Teragak-agak Shamrel mengambil
duit itu dan dimasukkan ke dalam kocek.
"Kenapa... pak cik bagi saya
duit ni?" Shamrel terasa pelik. Benar-benar pelik.
Lama lelaki itu berdiam sebelum
menjawab.
"Kita sedekah, Tuhan akan
balas sepuluh kali ganda. Aku bagi kau 20 sen, esok Dia akan ganti balik dua
ringgit. Lepas makan aku esok."
Shamrel tergamam kerana banyak
sebab. Pertama, lelaki tua yang tiada apa-apa ini sanggup memberikan duit
kepadanya. Walaupun nilainya terlalu kecil tetapi begitu berharga bagi dirinya.
Kedua, lelaki gelandangan ini begitu yakin dengan janji Tuhan. Ketiga, dia
sedar lorong kehidupan yang dipilih selama ini. Lorong yang begitu berlainan
berbanding dengan lelaki ini. Tetapi hari ini dia diberi peluang untuk meneroka
laluan yang sama bersama lelaki ini.
Rasa sayu dan sesal mula bertamu
di hati Shamrel. Matanya terasa hangat dengan rasa insaf yang sukar
digambarkan.
'Apa yang telah aku buat selama
ini ya Allah.' Rasa hening begitu memenuhi dada Shamrel.
Air mata hangat mula melimpah dan
dengan segera diseka sebelum lelaki tua itu perasan.
"Kau tahu malam apa
ini?"
Shamrel geleng.
"Ini malam tujuh likur. Kau
tahu maksudnya?"
Dia geleng lagi.
"Malam kedua puluh tujuh
bulan puasa. Hari raya dah dekat. Sepuluh terakhir adalah hari berlumba-lumba.
Untuk mencari lailatulqadar. Mungkin malam ni. Mungkin dah lepas. Tak ada siapa
yang tahu hari yang mana."
Shamrel diam. Sudah lama dia tidak
mendengar tentang perkara itu. Di newsfeed
Facebook ada status yang berkongsi perkara itu, tetapi dia buat tak endah. Dia
sibuk mencari status orang yang bermegah-megah tentang kehidupan mereka.
Tentang persiapan menjelang raya. Tentang juadah dan pakaian. Tentang hidup
yang lebih gah di mata orang lain. Status seperti ini dia akan like laju-laju. Apabila sampai ke status
ilmu dan peringatan seperti itu, dia akan skrol laju-laju.
"Kau dah bersahur?"
Shamrel geleng.
Lelaki tua hulur bungkusan dengan
makanan bersisa. "Nah, hari ini ada orang sedekah makanan pada aku. Biasa
aku makan makanan dalam tong sampah ni aje." Berseri-seri wajah lelaki tua
itu. Bersungguh-sungguh dia menghulurkan makanan kepada Shamrel.
"Tak apa. Pak cik ajelah
makan." Shamrel menolak.
Lelaki itu mengunjukkan pula
botol berisi air.
"Sunnah nabi bersahur,
walaupun dengan minum seteguk air."
Kali ini Shamrel tidak menolak.
Air itu diteguk, tanpa mengiraukan sumbernya. Mungkin air paip atau sumber lain
yang tidak dimasak.
"Macam mana pak cik boleh
jadi macam ni?" Shamrel memberanikan diri bertanya.
Sambil menyuap makanan dengan
berselera, lelaki itu menjawab. "Dulu aku ada keluarga. Tapi semua dah
meninggal. Bini aku. Anak aku. Aku dah tak ada saudara-mara." Selamba
jawapannya.
Lelaki itu makan nasi dengan lauk
ikan kering bersama kuah. Biasanya di rumah Shamrel nasi dan lauk seperti itu
hanya layak untuk makanan kucing. Tetapi lelaki itu makan begitu berselera.
Shamrel mula rasa sayu melihat keadaan lelaki tua itu.
"Pak cik tak nak ubah nasib
hidup pak cik?"
"Semua orang tanya aku macam
tu. Semua orang kata aku kena usaha ubah nasib aku. Memang betul, usaha
penting. Tapi jangan lupa, semua yang berlaku ada sebab. Kenapa ada orang kaya?
Kenapa ada orang miskin? Kenapa semua tak kaya? Kenapa semua tak miskin? Baru adil."
Dia berhenti seketika untuk mengunyah.
"Kenapa bukan macam tu ya
pak cik?" Shamrel tertarik dengan kata-kata lelaki itu.
"Supaya yang kaya boleh
tolong yang miskin. Yang miskin boleh jadi sumber ujian pada yang kaya. Manusia
selalu lupa. Bukan dia pilih dia nak jadi apa. Rezeki dah ditentukan. Dari sumber
mana. Semuanya ujian. Semuanya dugaan. Kat sana nanti semua kena tanya."
Shamrel mula melihat satu sisi
lelaki tua itu. Meskipun hidupnya mengemis dan menyelongkar hasil buangan orang
lain, tetapi ada ketenangan terpancar di wajahnya. Ketenangan yang tidak ada
pada wajah manusia yang hidup dalam keadaan keluh-kesah. Yang sentiasa tidak
puas hati dengan kehidupan masing-masing. Yang sentiasa berlumba-lumba ingin
menjadi lebih baik daripada orang lain dari segi duniawi. Termasuk dirinya
sendiri.
Shamrel tersenyum sambil
berbaring di atas hamparan kadbod. Tidak pernah dia terfikir untuk berbuat
seperti ini. Selama ini dia sibuk dengan selfie
di tempat yang mewah dan gah, agar dicemburui orang lain.
Rasa damai dan nyaman berbaring
di kawasan lapang seperti itu memang terasa. Pada waktu dinihari di bawah
langit berbintang dan bulan yang semakin mengecil.
'Esok lepas aku kembali kepada
kehidupan asal aku, aku akan berubah. Aku dah tak mahu berlumba-lumba dengan
benda sia-sia macam dulu. Dengan Ghazi. Lantak dialah. Aku adalah Shamrel yang
baru. Aku akan hargai Ramadan seperti yang sepatutnya. Tahun ini yang tinggal
beberapa hari saja lagi. Dan tahun-tahun yang akan datang kalau diizinkan Tuhan.'
Dia memejamkan mata dengan lamunan yang singgah.
'Yang penting aku akan tolong pak
cik ni. Eh, aku belum tanya nama dia lagi.'
"Nama pak cik siapa
ya?" tanya Shamrel selepas mata dibuka.
"Sapie." Selamba
jawapannya diikuti sendawa panjang. Shamrel tersengih dengan gelagat orang tua
itu.
'Esok aku akan bawa pak cik Sapie
ke tempat bantuan insan gelandangan macam dia ni. Wang gaji aku pun akan aku
khaskan untuk membantu insan macam dia.' Rasa hening malam itu seperti membuai
perasaan Shamrel dengan perubahan dirinya.
Tanpa dia sedar lena sudahpun
singgah dan dia hanyut dibuai rasa mengantuk.
***
Shamrel disedarkan dengan bunyi
deruman motorsikal. Matahari sudah meninggi dan menyilaukan mata dari
celah-celah dedaunan pokok rimbun di situ. Dia memerhati keadaan sekeliling.
Tong besi besar berwarna hijau masih ada di situ. Begitu juga kadbod yang
dihamparkan sebagai tempat pembaringannya. Hamparan kadbod di sebelahnya
kosong. Botol-botol air kosong berderet bersama bungkusan makanan yang sudah
digumpal. Basikal buruk Jaguar berwarna hitam masih tersandar di tepi tong.
"Encik buat apa kat
sini?" tanya lelaki yang baru tiba di situ. Matanya melingas melihat
pakaian Shamrel yang berserabai dengan darah luka di sana sini.
Shamrel tidak mengendahkan
pertanyaan lelaki itu.
"Mana orang tua yang duduk
kat sisi?" Shamrel kelam-kabut.
"Orang tua mana?"
Berkerut dahi lelaki itu.
"Yang tinggal kat sini.
Orang gelandangan. Pengemis. Siapa nama dia? ... Hah! Sapie. Pak cik Sapie."
"Sapie? Bila jumpa
dia?" Muka lelaki itu berubah.
"Malam tadi. Saya duduk sini
dengan dia. Pak cik Sapie."
"Hiii... jangan main-main. Seram
sejuk saya dibuatnya." Kata lelaki itu sambil menggosok-gosok kedua lengan
bajunya.
"Apasal?" Shamrel pula
yang berkerut dahi.
"Kat sini memang ada lelaki yang
encik cakap tu. Rambut putih dengan janggut putih kan?"
"Ha'ah. Mana dia?"
"Dia baru lepas meninggal.
Dua hari lepas. Masa saya datang nak bersihkan kawasan ni, saya nampak dia
terbaring kaku. Dia meninggal dalam kesejukan agaknya."
"Mustahil! Saya baru jumpa
dia malam tadi."
"Kalau encik tanya saya,
saya rasa yang encik nampak tu bukan pak cik Sapie."
"Habis siapa? Hantu?
Setan?"
"Susah saya nak jawab soalan
tu. Bulan puasa ni benda yang encik cakap tu kena rantai. Tapi tak tahulah
kalau yang kecik-kecik ni masih berkeliaran. Tapi rasa-rasanya saya tahu
siapa."
"Siapa? Roh dia?"
"Yang itu saya tak berani
cakap. Tapi untuk pengetahuan encik, malam tadi malam tujuh likur. Mungkin
malaikat turun untuk cari orang yang beribadat malam tadi. Mungkin juga
lailatulqadar tapi saya pun tak pasti. Wallahua'lam."
Lelaki itu beredar meninggalkan
Shamrel yang tercegat seperti orang hilang akal. Pengalaman malam tadi
sememangnya begitu mengelirukan.
‘Mungkin juga aku bermimpi.
Mungkin apa yang berlaku semalam hanya mimpi.’
Ketika itu dia teringat duit
syiling dua puluh sen yang diberi oleh pak cik Sapie. Tangan diseluk ke dalam
kocek. Dia mengeluarkan sesuatu yang terselit di situ. Sekeping duit syiling dua
puluh sen.
"Bermakna yang aku jumpa
semalam..."
~ SEKIAN ~
Tulisan ini adalah sekadar
peringatan untuk diri sendiri dan sesiapa yang memerlukannya.
Segala yang baik dan mulia adalah
milik Allah, dan segala puji dan syukur adalah untuk Dia. Sebarang kekurangan
dan kesilapan adalah atas kelemahan diri saya sendiri, dan semoga Dia
mengampunkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan