Pagi-pagi lagi Ringo sudah
bersiap. Beg pakaiannya sudah dikemas. Baju selepas latihan ragbi pagi tadi
telah dibasuh. Sebaik sahaja selesai menyejukkan badannya, dia terus membasuh pakaiannya sebelum mandi membersihkan
badannya yang melekit setelah dibasahi peluh dengan comot tanah dan daun
rumput.
Hari ini hari terakhirnya di
kolej sebelum pulang bercuti sempena Aidilfitri. Walaupun berpuasa, dia masih
sempat menjalani latihan pasukan menjelang kejohanan ragbi antara kolej selepas
cuti nanti.
Dia sudah siap mandi dan menyapu
pewangi pada tubuhnya. Pipi dan dagunya yang baru dicukur disapu kolon dengan
haruman Calvin Klein CK. Dia menyarung baju T putih ke tubuhnya yang berkulit
cerah bersama seluar jeans Levi’s berwarna putih juga. Dia melihat wajahnya
yang mirip seorang pemuda cina di cermin buat kali terakhir untuk memastikan
rambutnya dan misainya tersisir kemas dan rapi. Dia telah sedia untuk meninggalkan
bilik asrama kolejnya.
Ringo menutup pintu biliknya.
Selamat tinggal bilik, dua minggu lagi aku akan kembali, bisik hatinya.
***
Bidin melompat turun dari trak
yang dicoreng dengan corak yang sama seperti celoreng yang dipakainya. Dua
bulan telah dihabiskan bersama anggota pasukannya di hutan, meredah lumpur dan belukar dalam operasi yang
ditugaskan kepada skuad mereka. Menjaga keamanan negara adalah tugas yang tidak
boleh diambil mudah, walaupun negara dalam keadaan aman ketika ini.
Bidin telah bersiap untuk pulang
bertemu isterinya, Zuraidah. Terasa seperti sudah bertahun tidak pulang bertemu
dengan isterinya yang amat dirindui. Sudah beberapa minggu dia tidak mandi
sehingga aroma tubuh dan peluhnya telah sebati dengan celoreng askar berwarna
hijau dengan corak-corak seperti dedaun hutan itu. But hitam paras betisnya
hanya dibuka sekali sekala untuk kakinya bernafas. Sehari suntuk dia meredah
hutan belantara menjalankan tugas.
Dia membayangkan kerehatan,
keselesaan dan keseronokan. Dia tidak sabar untuk menanggalkan uniform tebalnya
yang sesak dan melekit dan membiarkan air dingin membasahi tubuh bersama daki
dan peluh yang sudah lama bermastautin. Hatinya bagai dijentik-jentik untuk duduk
bersantai bersama isteri dan anak-anak yang amat dirindui.
***
Dari subuh awal pagi tadi Hafiz
telah keluar ke pasar borong untuk meraih ikan dan makanan laut untuk dijaja dengan
motosikalnya. Sayur-sayuran juga telah diambil dari pekebun di kampung untuk
dijaja bersama hasil tangkapan yang diborong.
Sudah beberapa rumah dia singgah
dan jualan ikan nampaknya sungguh baik hari ini. Dia memakai baju lengan panjang biru muda dan berseluar kanvas lusuh. Dengan tenang dia menunggang motor dari rumah ke rumah, lorong ke lorong.
Selesai memborong ikan di pasar pagi tadi, dia terus menjaja ikan dan sayur.
Kebanyakannya adalah suri rumah yang tiada masa untuk ke pasar. Harga yang
ditawarkan lebih mahal beberapa sen, tetapi jauh lebih murah berbanding dengan
kos minyak dan masa yang terbuang untuk ke pasar.
Hafiz memang sudah biasa
berniaga. Setelah tamat persekolahan, dia sudah bekerja dengan pakciknya di sebuah
kedai runcit. Kemudian dia bekerja sebagai penghantar bermotosikal sebelum mula
berniaga sendiri menjual ikan dan sayur. Pemuda jati kampung itu memang tidak percaya dengan
lulusan ijazah dari universiti. Baginya itu bukan penentu rezeki. Dia berpendapat ijazah bukan penentu rezeki kerana memang telah terbukti ramai siswa dan siswazah yang
menganggur. Baginya pokok pangkal adalah usaha dan kerajinan. Dia berpegang
dengan tamsilan bahawa ulat dalam batu pun boleh hidup. Jika ada sesiapa mahu
berhujah dengannya, dia akan menghuraikan pendapatnya sambil diselit dengan
tamsilan tersebut.
"Kau ni memang pandai bercakaplah
Hafiz. Baik kau masuk bertanding jadi wakil rakyat." Perli Pak Long, ketua
kampung di situ semasa dia datang berhari raya ke rumah orang tua itu suatu
masa dahulu. Hafiz bertubuh sawo matang dan segak tinggi dengan wajah yang
berkarisma dan menarik. Mendengar sindiran ketua kampung itu, dia hanya tersipu
dengan baju batik dan songkok hitam, memang persis seorang wakil rakyat.
Tetapi Hafiz lebih selesa bekerja
dengan baju dan seluar lusuh menjual ikan dan sayur. Yang penting rezeki halal
dan tak payah pening kepala, cukup untuk menyambut hari raya bersama keluarga
tahun ini. Bisik hati Hafiz setiap kali dia mendengar kata-kata cemuhan dengan
usaha yang dibuat.
Hafiz tenang menyusuri jalan
tanah merah menuju ke rumah Pak Andak Dolah sambil membunyikan hon motosikal di
hadapan rumah orang tua itu.
***
Ringo sudah sampai ke pekan berhampiran
kampung halamannya hampir setengah jam yang lepas. Dia berkira-kira untuk
membeli sedikit buah tangan untuk ibunya yang tinggal bersama adik perempuannya
yang bongsu. Dia menjinjing beg plastik putih berisi pelbagai jenis kuih raya.
Dengan duit elaun kolej yang berjaya dijimatkan dia dapat membeli beberapa
balang plastik berisi kuih tat dan Almond London bersama kerepek ubi pedas dan
kerepek bawang.
“Kaulah satu-satunya harapan mak
Hazrin. Abang kau semenjak balik London
dan kahwin dengan minah mat salleh tu dah tak reti nak balik kampung. Kakak kau
lepas kahwin dengan anak datuk tu dah tak nampak batang hidung dia. Kalau kau
buat macam mereka juga, tak tahulah mak ...” Keluh ibunya semasa dia pulang
berbuka puasa bersama ibunya. Hanya ibunya sahaja yang suka memanggilnya dengan
nama asalnya, sedangkan orang lain semua sudah biasa dengan panggilan Ringo.
“Tak apalah mak.
Sekurang-kurangnya mereka ada hantar duit belanja untuk mak. Mereka sibuk
agaknya.” Ibunya hanya berdiam, tetapi Ringo dapat menyelami perasaan seorang
ibu yang rindukan kepada anak-anaknya. Mujurlah ada Batrisya untuk meneman ibu,
sekurang-kurangnya terjaga ehwal ibunya di kampung.
Wah, gambar panas Rozita Sharmila
keluar Metron hari ni! Hati Ringo bagai melonjak menatap gambar artis
kesayangannya di muka depan akhbar tabloid kegemarannya. Kisah gambar artis
sensasi itu sebelum dia tiba di mercu kegemilangan didedahkan. Biasanya dia
kesal dengan artis yang mengambil jalan mudah untuk mendaki tangga populariti,
tetapi di dalam kes ini hatinya terselit dengan perasaan gembira.
Dia masih asyik menatap akhbar
tabloid itu sebelum melintas untuk ke seberang jalan menuju ke stesen bas untuk
pulang ke kampung halamannya. Dengan ekor mata dia melihat tiada kenderaan di
kiri dan kanan jalan sampil terus membaca kisah sensasi itu.
Sedang asyik meniti garis-garis
titipan di akhbar itu, telinga Ringo bagai mahu pekak diterjak oleh bunyi hon
yang nyaring menggegarkan gegendang telinganya.
Cerpen ini tidak disiarkan sepenuhnya. Sekadar preview di blog.
Harap maklum...
Sedih! T_T
BalasPadamNasib baik hanya cereka, kan? Semoga kita semua terselamat daripada kejadian begitu. TQ Rahmah sudi singgah dan komen.. :)
Padamaah sedih..tapi kenapa si askar tuh tak mati sama, kalau tak pasti sedih lagi... huhuhuhu
PadamAskar tu menyesal kerana perbuatan dia bawa laju.
PadamKalau dia mati, kurang kesannya... :)
kesiannya... cerpen yang memberikan macam2 rasa dalam hati bila membacanya....
BalasPadamTQ Nur kerana sudi komen... :)
Padampengajaran betul..malang tidak berbau kan?
BalasPadamhope nnt raya ni semua selamat dlm perjalann pulang kg...tak moh dah dengar accdnt ni..
^_^
Sama-samalah kita berhati2 dan berpesan kepada mereka yang bersama kita. Kalau malang berbau kuih tat nenas ke, durian ke, boleh buat persiapan... huhuhu
Padamsungguh,.,.. sangat menarik dan menyentuh hati... sy sudah nak 'hujan; nehhhhh hmmm
BalasPadamTerima kasih atas komennya Ana.. Tersentuh hati saya dengan komen saudari.. :)
Padam