BAB 1
Dua puluh tahun lalu
Kampung Seludang Laut
Aiman terintai-intai dari pintu biliknya. Engsel pintu rumah kampung kayu itu sudah mula berkarat. Dia terpaksa membukanya dengan berhati-hati supaya pintu tidak berbunyi.
Setelah pasti tiada sesiapa di situ, dia menutup pintu semula dan mengunci dari dalam. Kemudian dia mengintai ke luar tingkap. Setelah puas hati, dia terjun keluar. Dia mencapai baldi plastik yang tersorok di tiang bawah rumah. Dengan berhati-hati dia berlalu dari situ.
Mat, Ali dan Epul sedang menunggu Aiman di seberang jalan di kawasan semak yang tersembunyi. Setelah Aiman tiba, mereka menyusup denai menuju ke Sungai Perawan Bolong.
Mereka telah merancang untuk menangguk ikan di sungai semasa waktu rehat di sekolah siang tadi.
Pada mulanya Aiman cuak kerana terpaksa ponteng kelas mengaji petang itu. Dia terbayang wajah ayahnya yang garang dengan misai tebal dan rotan di tangan. Rotan yang telah disesah di tubuh entah berapa kali setiap kali dia ponteng sekolah, solat atau mengaji. Dia sudah hilang kiraan berapa banyak kali rotan itu singgah di belakangnya.
Namun setelah mendengar cerita mereka bertiga tentang air sungai yang jernih dan banyak ikan di kawasan tebing yang tenang, dia jadi teruja. Perasaan itu mengatasi rasa takut disesah oleh ayahnya.
Petang itu sinar mentari jingga mula menyimbah ke kawasan dataran kampung yang tenang dengan bunyi desiran air sungai.
Nama jolokan Sungai Perawan Bolong bermula selepas kejadian kepala air paling teruk di Kampung Seludang Laut. Namun Aiman tidak tahu punca nama itu diberikan.
Kawasan di tempat budak-budak itu menangkap ikan begitu indah. Dengan lanskap bongkah-bongkah batu berbagai rupa dan saiz. Seolah-olah ada yang menyusun dan menaburinya secara strategik untuk menghasilkan pemandangan memukau itu. Ditambah dengan aliran air yang deras bersama beberapa kawasan di mana air tenang dan sesuai untuk mandi. Begitu juga udara segar dengan aroma dedaun pokok hutan dan bunga-bungaan yang tumbuh meliar.
Namun ada kawasan sungai di bahagian hulu yang menjadi buah mulut orang kampung. Dengan beberapa pokok besar bersama daun meliputi kawasan itu seperti kanopi menjadikan kawasan itu suram dan mencurigakan.
Di situ ada sebatang pokok beringin yang telah mati tanpa sehelai daun. Anehnya kawasan itu agak lembab dan mustahil pokok boleh mati kekeringan.
Berbagai cerita berpindah dari mulut ke mulut, tetapi tiada satu yang menarik minat Aiman pada usia yang begitu muda.
Apa yang dia tahu adalah pesta air yang berlaku sebelum kejadian kepala air paling buruk dalam sejarah kampung itu.
Pada masa itu ada muda-mudi yang mengambil peluang bercengkerama di bahagian sungai yang suram dan terlindung.
Namun setelah kejadian itu, masih ada amalan khurafat yang berkekalan hingga ke hari ini. Mungkin ada kaitan dengan kenapa nama Perawan Bolong diberikan kepada sungai itu, fikir Aiman.
Aiman girang bukan kepalang. Mahu rasanya dia terjun ke dalam air dan mandi sepuasnya. Namun peristiwa kepala air yang berlaku beberapa hari lepas membantutkan rasa terujanya.
Pada mulanya dia melihat budak bertiga menangguk ikan sungai. Mereka dapat beberapa ekor ikan sepat sebesar telapak tangan lelaki dewasa.
Perhatian Aiman beralih kepada beberapa ekor anak ikan puyu yang bermain di gigi air. Apabila sedar kehadiran Aiman, mereka lari ke hilir di bahagian tebing.
Aiman tersengih ketika mengejar anak-anak ikan puyu itu. Mereka akhirnya berlegar di celah batu di tepi sungai.
Batu itu hanya sebahagian daripada lanskap batuan sungai. Ada yang besar dan ada yang kecil bertaburan di sungai yang dalam beberapa meter itu.
Air sungai mengalir deras selepas beberapa hari hujan turun dengan lebat. Kejadian kepala air beberapa hari yang lalu menyebabkan ibu bapa cuak untuk membenarkan anak-anak mereka mandi di sungai. Namun budak-budak kampung yang telah biasa tetap turun bermain di sungai seperti biasa.
Kepala air adalah fenomena gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Pada kebiasaannya, ia berpunca daripada hujan lebat di hulu sungai.
Air di dalam sungai secara tiba-tiba meningkat dengan cepat, menyebabkan permukaan air melampaui batas normal.
Fenomena ini juga boleh terjadi ketika badai atau banjir di hulu mengakibatkan air yang tinggi mengalir ke arah hilir sungai. Air yang terkumpul ini akan mengakibatkan kepala air yang boleh menyebabkan banjir di kawasan bahagian bawah.
Kepala air juga boleh jadi berbahaya apabila banjir mendadak merosakkan bangunan, tanaman, jalan raya, dan mengancam keselamatan manusia.
Antara tanda-tanda awal kejadian kepala air adalah langit gelap di bahagian hulu sungai atau kawasan lebih tinggi dengan bunyi guruh yang kuat bersama bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai. Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba dengan keladak. Daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air dan siren amaran mungkin berbunyi di kawasan tertentu.
Kejadian paling buruk pernah berlaku adalah tiga puluh tahun lepas di mana banjir kilat berlaku akibat hujan lebat dengan kejadian kepala air yang besar. Beberapa kawasan berdekatan turut terjejas. Kampung yang berada berdekatan kawasan tanah tinggi dinaiki air dan yang paling teruk adalah berdekatan sungai. Kejadian berlaku dengan begitu pantas dan tidak dijangka.
Dari pagi hujan lebat di kawasan gunung tetapi di bahagian bawah hujan tidak begitu lebat. Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati, menyebabkan banjir lambat surut.
Aiman leka bermain di sungai ketika budak-budak kampung yang lain asyik menangguk ikan. Bilangan ikan yang dikumpul semakin memenuhi bekas plastik.
Aiman terus memerhatikan beberapa ekor anak puyu bermain di gigi air. Gelagat ikan-ikan itu menyebabkan dia jadi khayal hingga tidak sedar telah terpisah jauh daripada mereka yang lain.
Mentari senja memancarkan cahaya jingga dari celah daun-daun pokok di seberang sungai. Beberapa minit lagi waktu maghrib akan masuk.
"Eh, mana Aiman?" tanya Epul yang berbadan besar berbanding budak lain.
"Entah. Mana dia pergi?" tanya Mat.
"Jangan-jangan dia dah balik sebab takut dengan bapak dia." Tebak Ali.
"Takkan balik tak beritahu kita. Melampau betul." Kata Epul.
Hakikatnya Aiman hanya beberapa meter jauhnya dari tempat mereka menangguk ikan. Namun seperti ada hijab antara mereka. Atau Aiman seolah-olah telah berada di alam lain.
Budak-budak lain tidak perasan Aiman berseorangan di situ menyebabkan mereka beredar tanpa mengajaknya sekali.
Apabila Aiman tersedar, rakan-rakan yang lain telah hilang dari pandangan.
"Ali! Mat! Epul!" jeritnya, tetapi tiada jawapan. Ketika itu baru dia tersedar dia telah ditinggalkan bersendirian di sungai itu.
Dia melihat ke sekeliling. Cahaya mentari telah mula hilang menjadikan tempat itu kelihatan suram dan menakutkan. Matanya melilau ke sekeliling. Ada rasa curiga yang mula bersarang dalam hatinya. Dia terfikir untuk meninggalkan tempat itu secepat mungkin.
Tiba-tiba dia terdengar suara mengerang tidak jauh dari tempat dia duduk. Angin dingin dengan tidak semena-mena terasa di seluruh tubuhnya. Kakinya terasa lemah. Namun nalurinya menyuruh dia pergi secepat mungkin.
Suara mengerang kedengaran lagi. Kali ini dia tahu ia datang dari sungai.
Mulutnya terasa seperti terkunci apabila dia melihat satu lembaga muncul dari tengah sungai. Rambut makhluk itu panjang hingga menutupi muka. Anehnya tiada tanda ia basah kerana terkena air.
Kemudian muncul pula tubuh lembaga itu yang berpakaian putih lusuh. Ia juga tidak basah terkena air.
Aiman terasa tubuhnya seperti terlekat di tanah. Dia tidak mampu bergerak hatta mengangkat satu jari sekalipun. Suaranya seperti tersekat di kerongkong.
Makhluk itu timbul seperti terapung di atas air. Tanpa berenang ia bergerak ke tebing sungai dan semakin hampir dengan Aiman.
Fikiran Aiman kosong. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Seperti dipukau, dia menunggu makhluk itu menghampirinya.
"Aiman!" Kedengaran suara memanggilnya tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Makhluk itu semakin hampir dengannya. Muka makhluk itu hanya beberapa inci dari muka Aiman. Suaranya mengerang halus dengan pic yang tinggi.
Aiman dapat rasakan peluh dingin mula membasahi belakangnya. Namun dia masih tidak boleh bergerak lagi.
"Aiman!" suara itu semakin hampir.
Dengan sekelip mata makhluk itu hilang entah ke mana.
"Aiman!" kedengaran suara ayahnya bersama beberapa penduduk kampung.
Ada rasa lega yang tidak terucap dalam hati Aiman hingga air matanya hampir mengalir dalam ketakutan yang tidak tergambar itu.
Seri Delight Cupcakes
Taman Zamrud Harmoni
AIMAN tersentak dengan bunyi hon di belakang keretanya. Dengan segera dia menekan minyak dan meninggalkan bahagian jalan raya dengan lampu trafik itu.
Fikirannya berkecamuk dengan pelbagai perkara yang menujah fikirannya. Semuanya disebabkan oleh mimpi malam tadi. Akibatnya memori tentang peristiwa silam mula menghantuinya kembali.
Dalam mimpinya dia bersantai di dalam tab mandi yang dipenuhi air. Fikirannya menerawang dengan keadaan nyaman dan begitu menenangkan.
Dengan tidak dijangka kedengaran suara mengerang dengan pic tinggi. Suara itu dirasakan seperti biasa didengar suatu masa dulu. Perasaan gundah mula bermain dalam dirinya. Namun dia tidak pasti kenapa. Hanya dapat dirasakan ketika belakangnya terasa dingin seperti berada di dalam air ais. Anehnya rasa itu hanya di belakangnya, tidak pada bahagian lain.
Perasaan curiga mula menyelinap tanpa diketahui kenapa. Hinggalah dia lihat kemunculan sesuatu seperti gelembung hitam di depannya. Apabila gelembung itu semakin besar, barulah dia sedar itu adalah kepala. Akhirnya dia nampak seluruh bahagian kepala dengan rambut meliputi seluruh bahagian muka makhluk itu. Suara mengerang berpic tinggi itu semakin jelas dan bergema dalam kamar mandi. Aiman cuba menjerit tetapi tiada suara yang keluar.
Aiman kemudiannya tersedar dengan seluruh tubuhnya dibasahi peluh pada malam yang dingin itu. Tubuhnya menggigil dengan tangan menggeletar. Jantungnya berdegup kencang seperti baru lepas berlari berbatu jauhnya. Agak lama juga baru perasaan itu hilang hingga merenggut kantuk yang telah hilang entah ke mana.
Aiman memarkir kereta Myvi di pekarangan deretan bangunan kedai. Kemudian dia menuju ke sebuah kedai dengan kaca memenuhi bahagian luar. Gambar cupcake terpampang di satu bahagian tingkap kaca dengan perkataan Seri Delight Cupcakes. Kedai itu dibangunkan oleh Aiman bersama tiga rakan yang lain.
Ketika memasuki kedai, hawa dingin menenangkan tubuhnya setelah dibakar terik mentari di luar tadi. Aroma harum dan manis cupcake yang baru dibakar bersama perisa vanila terawang di udara.
Kelihatan dua orang gadis sedang berbual di meja kaunter, manakala seorang pemuda sedang membaca majalah Kulinari di sofa ruang tetamu.
Kedai itu jauh berlainan daripada rupa asal sebelum mereka mengambil alih daripada penyewa sebelum ini. Sudah beberapa tahun ia dibiarkan kosong semenjak kali terakhir digunakan.
Tidak diketahui sebab sebenar ia ditinggalkan kosong begitu lama. Berdasarkan perbualan dengan pemilik kedai yang dibahasakan sebagai Mister Siew, ia tidak berapa bagus dari segi feng shui menurut kepercayaan orang Cina kerana kedudukannya.
Namun berlainan pula dengan apa yang mereka dengar daripada penyewa-penyewa berdekatan. Ada yang mengatakan kedai itu keras dan berpenunggu. Sebab itulah tiada yang ingin menyewanya.
Namun ada juga yang mengatakan Mister Siew tidak 'ngam 'dengan penyewa-penyewa di situ kerana sombong dan mementingkan diri sendiri.
Pernah dia membuat renovasi kedai hingga mengakibatkan kerosakan pada kedai lain. Ada kejadian paip pecah yang merosakkan dan menjejaskan perniagaan penyewa lain. Lebih teruk lagi dia hanya buat tidak tahu dan enggan membayar pampasan atas kerosakan dengan bermacam alasan.
Namun setelah mereka menyewa kedai itu, rupanya jauh berbeza dengan cat merah jambu yang ceria bersama motif cupcake menghiasi dinding utama. Di dalam kabinet kaca ada cupcake pelbagai warna, rupa dan perisa menghiasi kedai itu. Aroma cupcake yang sedang dibakar dengan pelbagai perisa silih berganti umpama pewangi kedai yang berubah-ubah.
Setelah membuat ubah suai kedai, ia dibahagikan kepada empat ruang. Di bahagian depan kedai adalah ruang tamu. Di satu sudut adalah tempat berbincang dengan beberapa meja dan kerusi. Di bahagian belakang adalah dapur dengan satu sudut dikhaskan sebagai studio rakaman untuk membuat rakaman atau siaran secara live atau langsung.
Ruang menunggu dilengkapi dengan sofa dan rak majalah. Beberapa buah kerusi dan meja berwarna putih diletakkan di satu sudut.
Di bahagian studio ada replika kabinet dapur dan kaunter top, juga merupakan ruang penyimpanan khas. Beberapa peralatan khusus seperti sistem pengcahayaan, peralatan kamera dan penggambaran sudah tersedia untuk digunakan di situ. Bahagian latar dihiasi dengan dekorasi dinding bersama nama dan logo Seri Delight Cupcakes.
"Lambat kau sampai hari ni." Tegur pemuda berkumis nipis yang duduk di sofa. Namanya Faizal.
"Ada hal sikit tadi. Trafik pun jem." Jawab Aiman sekadar memberi alasan.
"Aku baru lalu tadi. Okey je." Balas Faizal.
Aiman berjeda. Sebenarnya dia malas melayan soal jawab dalam keadaannya sekarang. "Ada hal peribadi aku kena selesaikan tadi."
"Bermakna jalan tak jemlah?" Faizal tersengih.
"Kau ni apahal Faizal? Aiman baru masuk kau dah nak kecoh." Kata gadis berambut panjang paras bahu. Namanya Alya.
"Kecoh apanya? Aku seperti biasa. Seorang yang periang, suka buat lawak dan yang penting... kacak." Faizal memegang dagu dengan gaya seorang model.
"Masalahnya kau tanya Aiman soalan macam-macam. Mengalahkan bos." Tegur gadis dengan rambut ala bob hair bersama bang menutupi paras kening yang bernama Natasha.
"Guys, guys... tak payahlah bertekak, okey." Aiman segera meleraikan pertelingkahan rakan bertiga. Entah mengapa kepalanya terasa berdenyut dengan tiba-tiba. Mungkin kerana kekurangan tidur semalam.
"Kau dah sampai ni, bolehlah kita buat mesyuarat." Kata Alya.
"Mesyuarat? Hari ni ya?" Aiman tepuk dahi.
"La... dah lebih seminggu kita plan. Takkan tak ingat." Kata Natasha.
"Sibuk sangat nampak. Sampai meeting pun terlupa." Sindir Faizal, masih membelek majalah di tangan.
"Serious guys! Aku terlupa betul." Aiman bercekak pinggang.
"Dah, jomlah. Nanti lambat pulak habis." Kata Faizal sambil meletakkan majalah yang dibaca tadi ke rak semula.
Mereka menuju ke satu meja kecil di satu ruang bersebelahan dengan dapur. Dapur ala studio itu agak kompak dengan bahagian yang dikhususkan untuk ruang penggambaran mereka ketika mengadakan siaran langsung di media sosial atau untuk membuat rakaman konten mereka.
"Apa agenda hari ni?" tanya Aiman. Denyut di kepalanya masih terasa.
"Aku dah hantar kat Whatsapp." Kata Faizal.
Aiman segera memeriksa telefonnya.
"Okey, agenda pertama tentang konten untuk video kita seterusnya." Kata Natasha. "Memandangkan ramai yang keliru antara cupcake dan muffin, apa kata video seterusnya kita buat pasal topik tu."
"Menarik. Tapi apa yang kita nak bincangkan pasal topik tu?" tanya Aiman.
"Banyak. Kita boleh cerita tentang kandungan gula dan telur, tekstur, ukuran dan kesesuaian." Terang Alya.
"Tapi hati-hati, jangan sampai membosankan. Fokus pada fakta menarik yang mudah ditangkap oleh penonton." Tegur Faizal.
"Itu kau jangan risau. Tahulah aku nak handle nanti." Jawab Natasha.
"Agenda seterusnya?" tanya Aiman.
"Tentang rancangan kita untuk perkenalkan produk baru. Aku dah senaraikan 29 jenis resipi baru untuk kita pilih nanti." Terang Alya.
"29? Banyaknya." Aiman kagum.
"Jangan fokus pada kuantiti. Kita pilih satu atau dua produk baru yang boleh tarik minat pelanggan. Lagipun kalau banyak sangat nanti, takut kita tak menang tangan ." Kata Faizal.
"Okey, nanti aku hantar senarai dan gambar sekali. Korang boleh tengok dulu dan nanti kita shortlist mana yang sesuai." Kata Alya.
"Bagus idea tu." Jawab Aiman. "Next."
"Tentang upgrade kedai kita. Che Anne dah tolong dapatkan sponsor baru untuk kita. Alumni Kolej Komuniti ada kelebihannya." Jelas Faizal.
"Kita banyak terhutang budi dengan Che Anne dan pihak kolej. Lepas kita habis belajar dulu terus buat bisnes ni." Tambah Aiman.
"Kertas kerja yang Tasha buat dulu tu banyak membantu." Kata Alya.
"Betul. Aku setuju." Celah Faizal.
"itu kan memang kelebihan Tasha," Puji Aiman.
"Alah. Itu bukan idea aku sorang. Idea kita semua." Natasha merendah diri.
"Memang. Tapi cara kau olah kertas kerja tu memang menarik." Puji Aiman.
"Hai, tak lena tidurlah aku malam ni sebab kena puji." Faizal tersengih sambil melihat lampu di siling.
"Kau jangan cari pasal dengan aku," Natasha menggetap bibir.
"Relakslah Tasha. Kau ni cepat sangat panas. Faizal bergurau je tu." Pujuk Alya sambil memegang bahu Natasha yang sedang terjegil biji matanya seperti ingin menelan Faizal.
"Biasalah tu. Mula-mula benci, lama-lama sayang." Usik Faizal lagi sambil memandang sekeliling.
"Dia ni kan..." Muka Natasha makin merah menahan marah. Perwatakan garang dan kasarnya mula terserlah.
"Dahlah tu..." pujuk Alya sambil memegang lengan Alya.
Aiman hanya menggeleng. "Okey, next." Katanya.
“Aku dah dapatkan telefon yang kita cari tu." Kata Faizal.
"Dah dapat? Berapa ribu kau spend?" Aiman menunjukkan riak risau dalam keadaan bajet mereka yang agak ketat ketika itu.
"He he… ini Faizal lah. aku ada cara aku sendiri."
"Maksud kau?" Alya teruja ingin tahu.
"Aku dapatkan dari online auction, Barakah Vintage."
"Oh, kau beli yang dah terpakailah ni." Natasha mula faham.
"Bingo! Aku takkan nak membazir duit beli benda macam ni. Harga memang bargain." Jawab Faizal.
"Kameranya beresolusi tinggi, lebih daripada yang biasa dalam pasaran. Cahaya tak ada masalah. Ada fungsi yang boleh menjelaskan gambar dalam cahaya suram." Terang Faizal lagi.
"Kalau dalam gelap boleh?" usik Natasha.
"Boleh, tapi kena bawa lampu suluh." Jawab Faizal.
Natasha mencebik.
"Ada fungsi anti goyang dan anti goncang. Jadi gambar stabil dan tak pening kepala kalau tengok."
"Bro, masa live kita guna stand. Apa yang nak goyangnya?" Natasha mencelah lagi.
Aiman dan Alya hanya memerhati gelagat rakan berdua. Aiman mula terasa denyut di kepalanya makin rancak.
"Aplikasi untuk live streaming semua tak ada masalah, boleh guna. Instagram, Facebook, YouTube,TikTok. Siap ada tambahan app sendiri untuk mencantikkan gambar dan video."
"Kau pasti ke? Bila masa kau cuba?" Natasha agak pesimistik.
"Ini Faizal lah. Aku dah buat research." Faizal gelak kecil.
"Boleh percaya ke research kau tu?" Natasha melirik mata.
"Helo, selama ni semua bahagian teknikal bisnes aku yang handle. IT dan macam-macam benda lagi." Jawab Faizal dengan senyum sinis.
"Bagi aku yang penting bateri." Alya menyampuk dengan harapan dapat meleraikan pertengkaran sengit rakan berdua.
"Baterinya antara terbaik dalam pasaran. Tahan 24 jam walaupun penggunaan berterusan."
"Ya ke? Boleh percaya ke semua tu?" Natasha masih belum dapat diyakinkan.
"Baguslah. Tak payah bergantung pada power bank sangat." Kata Aiman.
"Internet pula macam mana?" tanya Alya.
"Walaupun second hand, ia gunakan jaringan tercanggih di pasaran. Kalau buat live tak ada hang. Tapi bergantung juga pada rangkaian apa yang digunakan. Tapi phone ni memang tip top."
Aiman terfikir tentang pemilik telefon itu sebelum ini. Mungkin dia ada sebab yang kuat untuk melepaskannya walaupun dengan fungsi serba canggih sebegitu.
"Storage pun antara yang terbaik. RAM dan ROM dua-dua besar. Memang berbaloi dengan harga barang terpakai."
"Kau pasti telefon ni tak ada masalah? Yalah, benda terpakai. Mesti ada cacat cela dia." Natasha melahirkan rasa curiga.
"Aku dah cek dan dah uji. Percayalah cakap aku. Mikrofon, speaker, fungsi semua dalam keadaan baik. " Kata Faizal.
Natasha bersandar sambil berpeluk tubuh.
Aiman tersenyum lega. "Okey, lagi."
"Kita ada masalah baru. Ada sorang youtuber ni asyik hentam produk kita. Ni hah." Alya menunjukkan paparan video youtube di laptop.
Kelihatan seorang pemuda sedang berbicara bersama beberapa cupcake keluaran mereka.
Aiman membaca paparan di skrin. "Azroy Betul Kau Salah?"
Alya menjawab. "Hmm… entah apa yang dia dengki sangat dengan produk kita, aku pun tak tahu."
Alya menekan butang play.
"Guys, ada satu bisnes baru jual cupcake ni, aku pun tak tahu mana dia dapat idea. Cuba tengok cupcake coklat ni. Tengok topping dia. Dia buat sebiji macam shit guys!" Suara lelaki itu.
"Kurang ajar! Kenapa biadab sangat mamat ni?" Natasha mula berang.
Aiman berkerut dahi melihat wajah lelaki itu.
"Kita saman je dia sebab buat defamatory produk kita." Cadang Faizal.
"Azroy?" Aiman cuba memunggah kotak memori di mindanya.
"Kau kenal dia?" tanya Alya.
"Entah, aku pun tak sure." Dalih Aiman. Kenangan silam yang cuba dia lupakan mula menghantui semula. “Ada apa-apa lagi?"
Alya, Natasha dan Faizal menyepi.
"Kalau tak ada apa-apa lagi, mensyuarat tamat pada jam 10.08 pagi." Kata Aiman kepada Faizal yang mencatit minit mesyuarat.
Namun Aiman terus dihantui dengan nama Azroy dan kenangan lama yang telah terkubur dulu.
Bersambung
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Nak baca lagi?
Baca cerpen lain di grup Facebook Laman Inspirasi Pena VR
Dapatkan ebook Google Play Books:
Baca novelet interaktif Patung
Baca cerpen dalam ebook antologi
Cinta
Kehidupan
Seram & mistik
Dapatkan buku-buku terbitan Buku Prima:
Novel Trilogi Sumpahan Ling Chi
(Sumpahan Ling Chi, Ophelia, Rose of Orient)
Novelet Gerbang Puaka: Ghost Writer