BAB 22
Mona meneliti
proposal yang dibuat oleh Amanda untuk iklan Chameleon Ultra Vue. Sambil
memeriksa frame demi frame storyboard yang disediakan oleh
Aizat, dia membayangkan hasil akhir di kaca TV dengan Aaron sebagai model
iklan.
Berdasarkan
konsep iklan yang dicadangkan, Aaron akan bermula dari babak bangun tidur dan
mengenakan cernim mata Chameleon. Dengan menggunakan teknik CGI, dia akan
menanggalkan pakaian dan mendedahkan pakaian untuk latar seterusnya. Ini untuk
menggambarkan suasana dan pakaian yang berubah, tetapi Aaron tetap akan
mengenakan cermin mata Chameleon sebagai simbolik unsur versatil cermin mata
itu.
Tagline yang digunakan
adalah "Chameleon. Serasi dengan dunia anda."
'Hmm.. menarik
idea ni. Kreatif juga Amanda.'
Tidak lama kemudian
Amanda tercongok di pintu, seperti mengetahui Mona sedang melihat proposal yang dibuat. "Macam mana
dengan proposal tu? Okey tak?"
Tanya Amanda.
"Very good. I like." Jawab Mona.
Kemudian dia
menulis komen ringkas bersama tandatangan dan menyerahkan dokumen kepada
Amanda. "Boleh proceed."
Amanda ke bilik
Norman untuk berbincang setelah mendapat pengesahan dari Mona.
Setelah itu,
Marsha pula tercongok di pintu Mona. "Cik Mona, boleh kita bincang
kejap."
Mona rasa malas
hendak melayan Marsha, tetapi dia terpaksa melawan perasaan itu. "Ada
apa?"
"Tentang shooting iklan Ultra Vue. Boleh tak
kalau saya hadir ke tapak shooting
nanti?"
"Kenapa
awak nak pergi?"
"Dalam
kertas kerja saya nanti, saya kena tulis tentang persiapan untuk sesebuah
iklan. Jadi saya nak dapatkan pengalaman untuk tulisan saya."
'Nak pengalaman
atau nak menggatal dengan Aaron?' Selar Mona dalam diam.
"Tentang
itu awak jangan risau. Ada banyak lagi shooting
lepas iklan ni. Awak akan dapat peluang tu. Buat masa sekarang saya nak awak
tumpukan pada kerja-kerja grafik dengan Aizad."
"Okeylah. Kalau
macam tu, tak apalah." Marsha masih mampu tersenyum.
Mona cuba sedaya
upaya, tetapi dia gagal membuang rasa meluat kepada pelatih bernama Marsha. Apa
yang dilihat semua serba tak kena.
'Susahlah macam
ni. Aku terpaksa kawal perasaan. Kalau tidak mungkin aku nampak tak
profesional. Emosi tak boleh menguasai dalam kerja.' Keluh Mona sendirian.
"Marsha,
tunggu dulu!" Suara Mona setelah melihat Marsha ingin beredar meninggalkan
pejabatnya.
"Ada apa
Cik Mona?" Gadis berambut lurus panjang itu berpatah balik.
"Duduklah
dulu. Kita berbual." Mona cuba mengawal perasaan apabila melihat Marsha
dengan gaya persis sedang dalam sesi photo
shoot modelling. Tergedik-gedik.
"Apa yang
Cik Mona nak tahu."
"Awak
berasal dari mana?"
"Saya
berasal dari Tamparuli. Tapi saya sekolah di Sandakan. Kemudian saya ikut mak
saya ke KL. Lepas SPM saya bekerja di Singapura sebelum sambung belajar."
Wah, merata awak
pergi. Tentu seronok kan?"
"Seronok?
Entahlah. Saya tak bernasib baik macam ramai orang. Saya tak ada ramai kawan
sejak zaman sekolah, sebab asyik berpindah randah. Masa di kolej baru saya mula
bergaul dan ada ramai kawan."
"Awak
memang minat bidang pengiklanan?"
"Ya. Kenapa
Cik Mona tanya macam tu?"
"Sebab saya
tengok awak ni ada gaya model. Rupa pun ada. Tak berminat cuba bidang modelling?"
Marsha
tersipu-sipu sambil mengelus rambutnya. "Ramai yang cakap macam tu. Tapi
saya tak minat. Kerja model ni kena tahan tekanan. Bahagian pengiklanan pun ada
tekanan, tapi saya bebas berkreativiti. Tak macam model, kena pandai terima dan
gunakan arahan untuk menghasilkan apa yang jurufoto arahkan."
'Hmm... boleh
tahan juga dia ni. Gaya macam bimbo,
tapi ada otak.' Puji Mona dalam diam. Hanya senyuman yang terukir.
"Saya kagum
dengan Cik Mona." Pujian Marsha tanpa disangka Mona.
'Dia ni puji
ikhlas atau ada agenda tersembunyi?' Sindiran sinis Mona dalam diam.
"Kenapa
awak cakap macam tu?"
"Cik Mona
orang perempuan, tapi boleh tahan tekanan dalam bidang macam ni. Saya kagum
bila dengar cerita Cik Mona siapkan iklan TV dalam masa tiga hari. Dengan
tekanan dari bos lelaki di syarikat lama."
"Macam mana
awak tahu semua tu?"
"Adalah. I did my research."
'Hmm... resourceful dia ni. Bagi aku dia ni
banyak plus points. Cuma bagi aku,
gedik dia tu yang merupakan a big big
minus point.'
"Saya
jadikan Cik Mona sebagai idola saya. Saya ingin berjaya sebagai Cik Mona ...
Oh, saya kena pergi dulu. Aizad suruh saya siapkan satu kerja urgent tadi. Saya minta diri Cik Mona."
Mona mengangguk.
Dia hanya tersenyum melihat Marsha beredar.
'Lepas berbual
dengan Marsha, aku rasa dia ni not bad.
Cuma aku kena cari jalan untuk sesuaikan diri dengan gaya dia tu.'
Ketika itu dia
teringat peristiwa Aizad dan Iskandar. 'Aku menasihatkan Is bukan main, tapi
bila terkena batang hidung sendiri baru aku tahu. Hai...'
Mona menggeleng
dengan senyuman sinis. Kemudian dia menyambung tugas.
***
Hari in adalah
permulaan sesi pergambaran untuk iklan Chameleon. Mona turut ke lokasi untuk
melihat kerja-kerja yang dijalankan. Pergambaran tidak dibuat menurut susunan
babak dalam iklan. Sebaliknya ia menurut lokasi yang sesuai dengan keadaan
cuaca dan persekitaran.
Sesi bermula di
Danga Bay, di mana Aaron akan memakai baju Hawaii di atas kapal layar. Babak
bangun tidur di rumah dan bekerja di pejabat akan dibuat kemudian kerana itu
tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak. Hanya cahaya lampu yang perlu
diubah suai.
Mona tidak dapat
menafikan Aaron memang seorang lelaki yang menarik. Wajah kacukan Melayu dan
Latin sememangnya eksotik. Ditambah ketrampilan segak seorang model dengan
tubuh segak dan tegap.
'Apa yang ingin
aku harapkan sangat pada rupa? Itu bukan jaminan kebahagiaan.' Mona memujuk
diri, setelah pengalaman bersama Rahimi dan Zamarul.
Namun perhatian
yang diberikan oleh Aaron membuatkan Mona rasa tercabar.
"Apa khabar
Cik Mona?" Tegur Aaron dengan pakaian Hawai berwarna putih bersama lukisan
pemandangan pantai berwarna biru di bahagian bawah. Bahagian dada yang sengaja
didedahkan untuk kempen Chameleon menambahkan ketampanan lelaki itu.
"Baik."
Mona sengaja membiarkan Rayban meliputi matanya. Peluang nakal untuk meneliti
perincian Aaron dalam terang sinar mentari.
"Besar hati
saya sebab Cik Mona sudi datang tengok sesi
shooting saya."
Mona tersenyum
sinis. "Baik awak simpan rasa besar hati awak tu. Saya ke sini atas maksud
kerja. Untuk memantau sesi pergambaran."
Aaron tergelak
kecil. "Okey, saya faham. Tapi saya yakin, mesti ada terselit sedikit niat
untuk melihat saya juga kan?"
Mona menggeleng
sambil melihat Aaron berlalu. 'Kuat perasan juga mamat ni.'
***
Mona mengeluh
panjang sambil melihat beberapa jambak bunga di atas meja. Dia telah menerima
sejambak bunga setiap hari sejak beberapa hari yang lalu.
"Wah!
Banyaknya bunga. Dari siapa?" Suara Amanda yang baru muncul di muka pintu
pejabat Mona.
"Siapa lagi
kalau bukan model angau tu!"
"Aaron?"
"Yalah.
Siapa lagi?"
"Nampaknya
kau dah ada secret admirer."
Usik Amanda.
"Tak ada
maknanya kalau lelaki playboy macam
tu."
"Mana kau tahu
dia playboy? Entah-entah dia
betul-betul jatuh cinta dengan kau."
Mona bersandar
malas. "Aku dah seriklah dengan permainan cinta ni. Especially kalau lelaki yang
handsome dan berjaya. Everything is too good to be true."
"Apa-apalah
Mona. Jangan sampai kau menyesal nanti."
"Huh, tak
ada makna aku nak menyesal dengan lelaki macam tu."
Amanda beredar
meninggalkan Mona dengan keletihan melihat jambangan bunga yang berlambak.
Sebentar
kemudian Marsha muncul di pintu. "Cik Mona. Wakil Ultra Vue dah sampai."
Mona rasa pelik.
"Kenapa awak yang beritahu? Zarina mana?"
"Saya
tengah berbual dengan Zarina kat lobi tadi. Bila saya nampak wakil tu sampai,
saya beritahu Zarina saya akan beritahu Cik Mona."
'Hai,
macam-macamlah minah ni.' Getus Mona.
"Banyaknya
bunga. Cantik." Marsha teruja.
"Kenapa?
Awak nak?"
"Eh, tak
payahlah. Ini kan Cik Mona punya."
"Saya
serius ni. Kalau awak nak ambillah. Saya dah tak perlukan bunga-bunga ni."
"Ya ke Cik
Mona? Terima kasih." Marsha mencium bunga dalam jambangan itu persis model
iklan minyak wangi di TV.
Mona hanya
menggeleng melihat telatah Marsha ketika beredar meninggalkan bilik pejabatnya.
Zamarul sudah
menunggu di bilik mesyuarat bersama Amanda. Eksekutif itu sedang membuat
persiapan akhir sebelum persembahan dimulakan.
"Hai Encik
Zamarul." Moa menegur bersama wajah yang berseri.
"Hai. Mana
Norman?"
"Dia ada appointment dengan klien di luar. Petang
baru balik."
Sejurus itu,
Amanda memulakan dengan sepatah dua kata sebelum menayangkan klip video iklan
yang sudah siap.
Aaron menjadi
hero dalam video klip itu. Seorang eksekutif berjaya yang memulakan pagi di
rumah kemudian menghabiskan masa di pejabat pada waktu pagi. Pada waktu petang dia
menaiki bot di samping melakukan aktiviti lasak sampingan. Pada waktu malam dia
menghadiri majlis makan malam dan berpesta. Semuanya dilakukan dengan memakai
cermin mata Chameleon yang sama. Setiap babak berubah dengan Aaron menanggalkan
pakaian dan mendedahkan pakaian untuk babak seterusnya. Klip berakhir dengan tagline, "Chameleon. Serasi dengan
dunia anda."
Setelah selesai
persembahan, Amanda dan Mona menunggu respons dari Zamarul dengan penuh
kesabaran. Kali ini lelaki itu berfikir agak lama, seolah-olah sedang menyerap
setiap babak dan mengaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan.
Akhirnya dia
bersuara, "I like it."
Rasa lega
memenuhi dada Mona.
Sebelum mereka
beredar meninggalkan bilik mesyuarat, Zamarul menghampiri Mona. "Awak free malam ni?"
"Ada apa
Encik Zamarul?" Mona cuba mengekalkan gaya profesional.
"Saya nak
ajak awak untuk candle-lit dinner
dengan saya atas yacht. Just the two of
us." Zamarul memerhati rambut Mona seperti yang biasa dia lakukan.
Rambut Mona dielus-elus dengan matanya.
Mona sudah nekad
dengan keputusannya, walaupun rasa cuak dengan akibat perbuatannya masih
menghantui.
"Saya minta
maaf Encik Zamarul. Saya tak dapat pergi. Ada urusan yang perlu
diselesaikan."
"Esok?"
"Esok pun
ada."
"Weekend?"
"Pun tak
boleh. Saya dah janji dengan kawan."
Dahi Zamarul
berkerut, seperti memahami mesej yang ingin disampaikan Mona. "Awak
pasti?"
"Memang
Encik Zamarul. Saya minta maaf banyak-banyak." Mona buat muka bersalah.
Zamarul mengeluh
panjang. "Okeylah. Nak buat macam mana kan? Cuma saya harap, awak tak
menyesal nanti ya?"
Tanpa berkata
apa-apa lagi, Zamarul terus berlalu meninggalkan Mona. Mona tergamam dengan
tanda tanya yang menjengah benak. 'Menyesal? Apa maksud dia?'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan