Bab 24
Eddie menyibukkan diri
semenjak awal pagi lagi. Dia membersihkan rumput yang sudah mula meninggi di
luar rumah. Daun-daun kering dikumpulkan di satu sudut laman. Setelah
menghidupkan api menggunakan ranting-ranting kayu, dia membakar daun-daun
kering sehingga marak sebelum menindihnya dengan rumput-rumput. Asap putih
berkepul-kepul mula keluar dari celah-celah rumput yang masih hijau.
Keringat sudah membasahi
tubuh dan muka Eddie. Setelah diseka dia memerhatikan asap yang naik seperti
kabus tebal bersama bau rumput yang masih segar. Ketika itu segala yang berlaku
mula bermain semula di kepalanya seperti rakaman video.
Pelbagai spekulasi mula hadir
di mindanya tentang apa yang bakal berlaku dalam hidupnya.
Benarkah aku anak Datuk
Hafizudin? Tapi kenapa aku dilarikan semasa masih kecil? Apa kaitan nama Minhad
dengan datuk? Siapa bapa aku sebenarnya?
Soalan-soalan itu hanya
mengembalikan Eddie kepada keadaan asal sebelum dia membersihkan laman. Walau
bagaimana dia berusaha sekalipun, perkara itu tetap mengganggu fikirannya.
"Ruzaidi, masuk dulu.
Sarapan dah siap." Suara Aishah dari tingkap ruang tamu.
"Sekejap mak. Saya nak
habiskan kerja sikit lagi. Badan dah sejuk sikit nanti saya masuk." Jawab
Eddie.
***
"Kerap sangat kamu ambil
cuti," Aishah cuba mencungkil rahsia.
Eddie hanya berdiam diri. Dia
masih memikirkan bagaimana untuk menerangkan penemuan terbaru pada ibu
angkatnya. Aishah seperti memahami dan membiarkan soalannya tidak berjawab.
"Kalau dah susah sangat
hidup di KL tu, duduk saja di kampung. Risau pulak mak tengok kamu selalu
sangat balik ke kampung ni kalau ada masalah." Telah Aishah.
"Eddie ambil cuti mak.
Eddie ikut peraturan syarikat." Jawab Eddie.
"Yalah. Tapi kalau baru
kerja dah ambil cuti, nanti apa pulak kata bos kamu." Nasihat Aishah.
"Dia faham." Eddie
rasa serba salah untuk menerangkan bagaimana dia sudah bersemuka dengan Datuk
Hafizudin untuk menerangkan sebab dia bercuti.
"Cuba kamu terang pada
mak. Mak tahu ada benda yang kamu nak rahsiakan ni." Aishah sudah mula
cuak dengan jawapan Eddie.
Eddie berhenti menyuap.
Setelah berfikir seketika dia bersuara. "Mak percaya tak kalau saya kata
bos saya suruh ambil ujian DNA. Kata dia saya mungkin anak dia."
"Eh, kenapa sampai macam
tu?"
"Itu yang saya tak
faham. Dia pun macam nak mengelak bila saya minta dia terangkan. Katanya ada
kaitan dengan nama ayah dan tarikh lahir saya."
Aisha terdiam. Maklumat yang
baru diterima amat mengemparkan.
"Saya dah serba salah
sekarang. Memang saya nak cari ibu bapa sebenar saya, tapi tak sangka sampai
macam ni. Bos saya tu bukan calang-calang orang. Datuk pulak tu."
"Kalau betul dia ayah
kamu yang sebenar, apa salahnya?" Aisha seperti dapat mengesan ada sesuatu
yang masih belum diberitahu oleh anak angkatnya itu.
"Memang tak salah. Tapi
saya suka dengan anak dia. Kalau kami sebenarnya adik-beradik tak ke haru
nanti." jawab Eddie.
"Oh, jadi itulah sebab
sebenarnya ya?" Aishah mula mengerti.
"Entahlah mak.
Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang saya risaukan. Boleh ke tak saya
sesuaikan diri nanti? Macam mana kalau mereka tak boleh terima mak nanti? Kalau
saya masih ada hati dengan anak dia masa kami tinggal serumah nanti macam
mana?" Jawab Eddie penuh kegusaran.
"Jadi bila keputusannya
nak keluar?" Tanya Aishah.
"Entah. Sebab tu saya
tak mahu ada di KL. Bila saya dah sedia untuk tahu keputusan ujian tu nanti
baru saya balik ke sana. Saya kena betul-betul sedia untuk terima sebarang
perubahan dalam hidup." Jawab Eddie.
Aishah hanya menggeleng
melihat Eddie bersama kekeliruan yang melanda hidupnya. Sememangnya apa yang
telah berlaku benar-benar membebankan pemuda itu.
***
Qiarra menuruni anak tangga
apabila dia terdengar perbualan ibu bapanya di ruang tamu.
"Sampai bila abang nak
rahsiakan perkara ni dari Qiarra?" Tanya Datin Maznah.
"Bila dah tahu
keputusannya nanti kita terangkanlah pada dia." Jawab Datuk Hafizudin.
"Tapi saya risaulah
bang. Kalau keputusan ujian positif nanti macam mana? Kalau betul Qiarra ada
hati dengan budak tu, boleh ke dia terima kenyataannya nanti?" Keluh Datin
Maznah.
"Kenyataan apa mama?
Ujian apa?" Qiarra muncul dari balik dinding. Dia sudah tidak sabar untuk
mendengar rahsia yang disembunyikan daripada dirinya.
Datin Maznah dan Datuk
Hafizudin tergamam seketika.
"Saya dah kata jangan
bincang tentang perkara ni masa Qiarra ada di rumah. Tapi awak tu risau tak
habis-habis. Sekarang macam mana?" Datuk Hafizudin melahirkan kekesalan
kepada isterinya.
"Qiarra duduk dulu.
Nanti papa terangkan." Kata Datuk Hafizudin sambil meletakkan surat khabar
ke atas meja. Cermin mata juga ditanggalkan dan diletak di sebelah surat
khabar.
Qiarra melabuhkan punggung ke
sofa dengan rasa resah yang mula mengganggu.
"Qiarra tahu kenapa papa
mengelak setiap kali Qiarra tanya tentang kubur arwah abang Qiarra?" Datuk
Hafizudin memulakan bicara.
"Sebenarnya papa dan
mama tak tahu di mana kubur anak sulung papa dan mama. Malah kami tak pasti
sama ada dia masih hidup atau tidak. Sepanjang penglibatan papa dalam dunia
usahawan, papa ada ramai kawan dan juga musuh. Ramai yang membantu papa
menaikkan nama syarikat, dan ada juga yang cemburu dan berdendam. Macam-macam
cara dibuat untuk menjatuhkan papa dan empayar yang papa bina. Kerana itu papa
syak apa yang berlaku pada abang kamu adalah satu konspirasi juga."
"Sekejap... maksud papa
dan mama, abang Qiarra mungkin masih hidup. Tapi papa dan mama agak siapa
dia?" Qiarra makin keliru.
"Ujian belum tentu
positif. Tapi berdasarkan maklumat yang kita ada, dia mungkin...," terang
Datuk Hafizudin sambil memandang wajah isterinya dengan rasa serba salah.
"Siapa dia papa?"
"Eddie. Atau nama
sebenar dia Ruzaidi bin Minhad. Minhad adalah nama kawan papa. Eddie lahir pada
tarikh yang sama dengan tarikh mama melahirkan anak sulung kami, abang
Qiarra."
"Tapi papa pasti ke?
Betul ke bapa Eddie adalah Minhad kawan papa? Entah-entah nama saja yang sama.
Tapi kalau tarikh sama pun bukan semestinya dia anak papa." Qiarra cuba
menyangkal. Hakikatnya dia masih belum dapat menerima hakikat sekiranya Eddie
dan dirinya adalah adik-beradik.
"Sebab tu papa kata
semuanya masih belum pasti. semuanya bergantung pada ujian DNA nanti. Buat masa
ini kita hanya boleh bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan
nanti."
Qiarra berdiam diri mendengar
jawapan itu. Walaupun jawapan itu cukup membuatkan dia puas hati, tetapi
kerisauan mula timbul.
Bagaimana kalau ujian itu
nanti positif? Rasa resah mula menghurung Qiarra.
***
Eddie menyusuri jalan kampung
dengan motosikalnya menuju ke rumah pusaka keluarga Dayana. Setibanya di
pekarangan rumah, dia membunyikan hon.
"Assalamualaikum,"
suara nyaring Eddie.
Sejurus itu seorang wanita
yang sudah agak berumur keluar. "Waalaikumsalam."
"Dayana ada, Mak
Tom?"
"Ada dalam bilik. Dah
berapa hari dia tak keluar rumah semenjak dia balik UIA. Masa mula-mula okey,
tapi sekarang lain macamlah. Risau pulak Mak Tom."
"Mak Tom tak tanya kalau
dia ada masalah?"
"Sudah. Tapi dia jawab
tak ada apa-apa. Tapi Mak Tom tahu dia tak nak beritahu." Keresahan jelas
terbayang pada wajah wanita itu.
Eddie hanya mendengar dengan
penuh tanda tanya.
"Mak Tom risaulah. Dah
lama dia tak jadi macam ni. Kali terakhir masa arwah nenek dia meninggal dulu.
Tapi sekarang ni apa pasal pulak?"
Jangan-jangan disebabkan
kata-kata aku masa jumpa dia dulu. Tapi takkanlah sampai macam ni sekali. Eddie
mula rasa bersalah dengan perubahan dengan diri Dayana.
"Kalau macam tu, boleh
tak kalau saya jumpa dia kejap? Manalah tahu kalau saya dapat pujuk dia."
"Nanti Mak Tom cuba
panggil dia. Kamu tunggu sini kejap." Katanya sebelum masuk ke rumah.
Eddie menunggu di motosikal penuh pengharapan.
Tidak lama kemudian wanita
itu keluar semula. "Minta maaf Eddie. Dia tak mahu jumpa kamu. Nanti kamu
datang lagilah ya. Entah apalah masalah Si Dayana ni..." Suaranya jelas
menunjukkan kerisauan yang mengganggu fikirannya.
"Tak apalah Mak Tom.
Nanti saya datang lagi."
"Yalah. Manalah tahu
akan datang terbuka hati dia nak ceritakan apa masalah dia."
"Saya balik dulu Mak
Tom. Assalamualaikum." Kata Eddie sambil menghidupkan enjin motosikal.
"Waalaikumsalam."
Apa yang terjadi pada Dayana
sebenarnya? Apa kaitan semua ini dengan mimpi aku melihat Qiarra dan Dayana di
persimpangan jalan dulu? Hati Eddie terdetik semasa dia meninggalkan pekarangan
rumah itu.
***
Qiarra sudah mula risau.
Berkali-kali dia cuba menghubungi Eddie, tetapi tiada jawapan.
Ke mana Eddie ni? Kenapa dia
tak jawab telefon? Takkanlah dia marah dengan aku? Atau dia risau memikirkan
keputusan ujian DNA tu nanti? Qiarra keresahan.
Qiarra langsung tidak menduga
hidupnya seperti satu perjalanan di gerabak roller coaster yang bergerak dengan
pantas semenjak dia bertemu Eddie, budak pelayan di Kafe Strawberry Fairyland.
Cinta mula berbunga ketika
dia kenal lelaki itu di balik topeng masquerade di rumah Helena. Dia belajar
mengenal hati seseorang bukan berdasarkan rupa atau latar belakangnya, tetapi
melalui rasa halus yang hadir di hati. Rasa itu hadir ketika mata mereka saling
menyelami hati satu sama lain, dan berbicara tanpa kata-kata.
Kerana
rasa itu juga dia sanggup mencari Eddie semasa hubungan mereka dilanda kemelut.
Dua kali dia diburu lelaki bernama Azad dan gengnya semata-mata kerana Eddie,
hingga hampir-hampir dia hilang kehormatannya di tangan Azad. Semuanya
semata-mata kerana Eddie.
Segala
kesusahan dan pengorbanan ini mengukuhkan lagi rasa cinta pada Eddie.
Pengorbanan lelaki itu juga membuktikan cintanya pada Qiarra, semasa dia
menyelamatkan Qiarra daripada cengkaman Azad dan gengnya.
Namun
apa yang baru terjadi ini langsung tidak diduga sama sekali. Bagaimana rasa ini
boleh hadirkan sekiranya mereka sebenarnya berasal daripada darah dan daging
yang sama?
Qiarra
merebahkan diri di katil sambil muzik Waltz dari kotak muzik terus mengisi
ruang biliknya. Dia leka memikirkan segala peristiwa yang mewarnai kanvas
hidupnya dengan tona suram dan ceria. Segala kejadian yang terlalu mengujakan
dan menguji ketahanannya menghadapi cabaran demi cabaran dalam hidup selepas
bertemu jejaka bernama Eddie.
Patung Cinderella dan Prince Charming terus berpusing-pusing dengan
tarian kaku mereka. Jauh di sudut hati Qiarra dia masih menaruh harapan agar
ujian DNA itu akan disahkan sebagai negatif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan