BAB 10
“Kenapa kau biar Qiarra tanggalkan topeng tu?” Pandangan
Farouk tajam menusuk mata Eddie yang terpinga-pinga di sofa.
“Macam mana aku nak halang dia? Mati-mati aku ingatkan dia
nak pitam. Kalau aku tahu, awal-awal aku dah elak, sebelum dia sempat capai
topeng tu!” Eddie cuba
membela diri.
Eddie serba-salah. Dia duduk memegang rambut yang telah
kusut, sebagaimana kusutnya fikirannya pada masa itu. Keadaan sepi seketika.
Masing-masing melayan emosi sambil memikirkan perkara yang mungkin akan berlaku
selepas ini, sambil melihat dari perspektif masing-masing.
“Aku akan terus berdiam diri, sampai Qiarra bawa hal ni pada
pengetahuan ibu bapa dia. Bila mak dan ayah aku tahu baru aku akan ceritakan
hal sebenar. Aku pun dah tak tahu macam mana nak tangani masalah ni. Aku tak
sangka langsung boleh jadi macam ni.” Keluh Farouk dengan nada kesal.
“Aku minta maaf Farouk. Aku pun tak sangka cerita dongeng di
majlis tadi boleh berakhir dengan tragedi macam ni.” Suara Eddie sambil
bersandar di sofa.
“Nak buat macam mana. Perkara dah berlaku. Aku pun bersalah
juga sebab cadangkan kau pergi ke majlis tu. Tak apa. Kita tunggu saja apa yang
akan berlaku nanti. Sementara tu kau kena fikirkan apa yang akan kau katakan bila
jumpa Qiarra di kafe nanti. Aku rasa dia tentu akan buat sesuatu. Kau kena
hati-hati. Sekarang ni kau baliklah dulu sebelum mak ayah aku sampai. Lain pula
jadinya nanti.” Pesan Farouk.
Eddie hanya bersandar di sofa buat seketika melayan fikiran
yang sudah bercelaru, sebelum dia menukar pakaian dan meninggalkan rumah
Farouk.
***
“What?!” Suara Mimi separuh menjerit. Sara pula telah
terbuntang matanya mendengar kata-kata Qiarra.
“Susah nak percaya kan? Aku sendiri pun masih rasa tertipu sampai
sekarang. Kau bayangkan aku mengutuk dia macam-macam, rupa-rupanya dialah orang
yang aku hina di balik topeng. Aku hairan macam mana dia boleh ada di majlis
tu. Aku pun dah keliru sekarang ni, sama ada dia menyamar jadi pelayan di kafe
atau dia menyamar jadi orang lain malam tu. Tapi bagi aku, aku tak akan terima
orang macam ni dalam hidup aku. Sekali dia menipu, memang tak ada ruang untuk
dia buat selama-lamanya. Walaupun dipaksa oleh papa dan mama!” Qiarra meluahkan
perasaan yang berbuku semenjak semalam. Semenjak dia lihat wajah Eddie pelayan
kafe di sebalik topeng.
“Habis kalau kau jumpa dia di kafe nanti macam mana?” Sara cuba
membaca perjalanan seterusnya kisah Qiarra dan budak pelayan itu.
“Kau tunggu saja. Kau akan dengar apa yang aku katakan pada
dia nanti.” Suara Qiarra sambil menggetap gigi.
Walaupun zahirnya dia meluahkan perasaan marah terhadap
pelayan bernama Eddie itu, tetapi satu peperangan sedang meletus di dalam diri
Qiarra.
Perasaan yang mula berputik malam itu bukan satu lakonan.
Dia benar-benar sudah mula suka dengan pemuda yang memakai topeng putih malam
tadi. Sepasang mata yang dilihat itu benar-benar telah melepaskan panah tepat
mengena sasaran di hatinya. Perasaan itu benar-benar wujud dan bukan sekadar
mainan perasaan. Tetapi mengapa perasaan itu lenyap apabila wajah Eddie muncul?
Kenapa dia terlalu bencikan wajah itu, sedangkan bukan diri dan perwatakan
Eddie? Alangkah bagusnya jika dia tidak membuka topeng itu dan mengetahui siapa
pemuda pada malam itu. Kenapa dia terlalu mengikut perasaan mahu melihat wajah
sebenar pemuda itu di balik topeng?
Kekeliruan itulah yang membuatnya diam menyepi malam tadi
selepas tahu identiti sebenar pemuda bertopeng. Hari ini baru dia membuat
keputusan berkongsi kisah itu dengan Sara dan Mimi.
Qiarra terus melayan perasaan yang sedang bergejolak dalam
diri tanpa disedari oleh Sara dan Mimi.
***
“Woi Eddie Butterscotch! Kenapa hari ni kau diam saja? Macam
mana date malam tadi?” Ravi
menepuk bahu Eddie yang sedang termenung di meja menongkat dagu sementara kafe
masih lengang.
“Pandai-pandai kau kata aku pergi date? Mana kau tahu?” Eddie menjawab.
“Yalah. Kau kata kau ada temu janji. Tak kan
kau pergi temuduga kerja. Mana ada orang pergi interview malam-malam. Lainlah kalau mahu jadi bouncer kelab malam atau gigo...” Usik Ravi.
“Oit! Apa kau merepek ni? Selisih! Tak sanggup aku buat
kerja macam tu. Apalah kau ni Ravi!” Tempelak Eddie.
“Kalau macam tu cuba
kau kasi tahu sama aku. Apa sudah jadi malam tadi?” Ravi
mengambil tempat duduk di hadapan Eddie, bersedia untuk mendengar lipur lara
rakan sekerjanya.
“Aku pergi satu majlis malam tadi. Aku jumpa Qiarra.” Suara
Eddie tidak bersemangat
“Qiarra? Siapa tu?” Dahi Ravi berkerut.
“Awek yang aku tumpahkan sherbet hari tu.” Jawab Eddie
ringkas.
“Ayoyo Eddie! Kau sudah hilang akal ke apa?” Ravi
terkejut.
“Aku rasa itulah saja cara aku nak luahkan perasaan sebenar
... maksud aku untuk minta maaf pada dia.” Eddie terbabas. Lekas-lekas dia mengalih
arah perbualan. Dia tidak mahu Ravi tahu dia menyimpan
perasaan kepada gadis itu.
“Aku menyamar jadi orang lain malam tadi semata-mata untuk
serahkan surat pada dia. Tapi entah
macam mana dia tahu identiti sebenar aku. Lepas tu surat
yang aku tulis hilang entah ke mana. Depan sampul ada tulis nama dia. Kalau
orang lain jumpa habislah aku!” Eddie menzahirkan kerisauannya. Dia khuatir ada
orang lain yang membaca surat yang
meluahkan isi hatinya kepada Qiarra, bersama satu kejutan rahsia yang khusus buat
gadis itu.
“Sekejap, sekejap. Kau kata kau tulis nama dia depan sampul
tu. Tapi macam mana kau tahu ejaan nama dia?” Ravi minta
penjelasan.
“Hari tu masa hari jadi dia. Kau dah lupa nama dia ada
terpampang atas kek? Aku hafal siap ada dua R lagi. Aku tahu nama dia Qiarra
masa aku curi dengar perbualan awek bertiga tu.” Eddie menerangkan.
“Oh, jadi sekarang ni kau risaukan surat
tulah ya?” Ravi mula faham. Eddie mengangguk sambil
tunduk dengan wajah yang monyok.
Belum sempat Ravi menjawab untuk menenangkan
Eddie, pintu dibuka dan seorang wanita cina bersama tiga orang anak-anaknya
masuk. Ravi bingkas bangun mengambil pesanan dan Eddie
menuju ke kaunter. Perkara itu terus menghantui fikiran Eddie.
***
“Kau nak buat apa dengan mamat tu Qiarra? Ish.... kau ni!
Risaulah aku! Kau nak malukan dia lagi di kafe? Atau kau nak dia kena buang
kerja lagi?” Sara mula resah duduk di kerusi Volkswagen Beetle kuning, seperti
ada bara yang mengganggu keselesaannya di kerusi tempat duduk.
“Yang kau ambil berat sangat tentang dia tu kenapa? Dia boyfriend kau? Eh, Sara. Dah berapa kali
aku beritahu kau. Orang yang suka dengan mamat tu adalah orang yang tak ada taste. Faham?!” Jawab Qiarra. Angkuh.
Sara terdiam. Dia dan Mimi hanya menunggu saat mereka akan
bertemu dengan Eddie Butterscotch di kafe.
Setibanya di kafe, Eddie sedang mengambil pesanan seorang
pelanggan lelaki. Dia nampak kelibat Qiarra dan rakan-rakannya masuk ke kafe.
Tetapi kali ini dia tidak lari atau bersembunyi di sebalik topi. Hari ini dia
akan berhadapan dengan Qiarra seperti yang sepatutnya semenjak mereka bertemu
dahulu. Rasa gementar dan malu-malu dibuangkan jauh-jauh. Dia akan bersemuka
dengan Qiarra sebagai seorang anak jantan.
“Qiarra... saya minta maaf seb...” Eddie bersuara sambil
berdiri bertentangan dengan Qiarra.
“OK girls. You nak
order apa? Hari ni I nak celebrate sebab I berjaya bongkar
identiti sebenar pelayan di kafe. Dia ada double
life macam Superman, Spiderman, Batman. Cuma I belum tahu apa keistimewaan
dia lagi.” Sindir Qiarra memandang tepat ke wajah Eddie dengan perasaan benci.
“Qiarra, jangan macam tu. Saya betul-betul nak minta maaf
lepas kejadian malam tadi. Saya...” Eddie cuba
mengambil hati Qiarra tetapi kata-katanya dipotong tanpa dipedulikan.
“Nak minta maaf apa lagi? Tak cukup you menipu I dan semua yang datang ke majlis malam tadi? Nak tipu
apa lagi? Kalau dah tahu dirinya mampu jadi pelayan kafe saja, tak payahlah nak
berlagak jadi orang kaya. Ada hati
nak datang majlis kenamaan. Dalam gent’s
tu ada banyak cermin berderet atas sink. Masuk dalam dan cerminkan muka tu. Cuba
sedarkan diri. Ini bukan kisah dongeng Fairy
Tale!” Suara lantang Qiarra menyebabkan semua pelanggan kafe melihatkan
drama mereka berdua. Sara cuba
memegang tangan Qiarra, tapi segera ditepis.
Eddie terkedu dengan hinaan bertubi-tubi ke atas dirinya.
Malam tadi dia masih mampu menahan sabar di sebalik topeng. Tetapi hari ini
kemarahan dengan sikap gadis berada yang tidak tahu menapis kata-katanya semakin
membuak. Seperti lahar gunung berapi yang telah sedia memuntahkan ledakan yang
akan menghanguskan apa sahaja yang disentuh. Bukan sahaja gadis itu tidak mahu
mendengar kata-kata maaf darinya, malah tega memalukannya di khalayak ramai di
kafe.
“Hei Qiarra! Kau dengar sini. Aku tahu kau anak orang kaya
dan hidup dalam keadaan mewah. Tapi aku bersimpati dengan kau. Aku simpati
sebab kekayaan tidak dapat membentuk kau menjadi gadis dengan peribadi yang
mulia. Kau menghina orang lain sesuka hati kau, tapi sebenar kau lebih hina
disebabkan perbuatan kau tu!” Eddie meluahkan perasaannya.
Qiarra memalingkan wajahnya bersama senyum sinis.
“Aku tahu aku anak orang miskin. Orang kampung. Hanya mampu
jadi pelayan kafe. Hidup aku bahagia walaupun keadaan aku macam ni. Tapi kau?
Kata-kata kau tu adalah racun yang akan mematikan hati kau sendiri. Kau akan
jadi manusia pembenci yang tidak akan disukai orang lain. Aku pun hairan macam
mana kawan-kawan kau boleh setia dengan orang macam kau ni. Mereka adalah
kawan-kawan yang baik, kerana bersabar dengan sikap jijik kau tu!” Kata-kata
Eddie sambil menunding jari ke arah Qiarra.
Puan Ainon pemilik kafe sudah menjenguk keluar dari bilik
pejabatnya di bahagian belakang kafe dengan suara lantang Eddie dan Qiarra. Dia
tidak akan bertoleransi dengan pekerja yang bertekak dengan pelanggan di dalam
kafe.
“So? What are you
going to do about it? Ops, sorry
I lupa, orang miskin macam you ni mungkin tak faham apa yang I cakapkan?”
Sindir Qiarra dengan mata yang penuh kebencian.
Eddie ketawa kecil mendengar penghinaan Qiarra sebelum dia bersuara.
“Walaupun aku hanya sekadar roti murahan yang kau beli di
kedai, tetapi bersamaku terkandung manisan luarbiasa butterscotch yang tidak
bisa kau petik dari ladang yang paling hebat di dunia ini. Aku sedar, kau adalah sherbet strawberi yang anggun dan mewah dihidang di dalam
gelas kristal yang berkaki tinggi, pasti memikat mata sesiapa yang memandang.
Namun hakikatnya strawberi sudah boleh dimiliki di negara ini dengan adanya
ladang strawberi di Cameron Highland.”
Sindir Eddie dengan kata-kata puitis yang hadir dalam kemarahan yang memuncak.
“Oh, jadi inilah rupanya keistimewaan pelayan kafe yang ada
double life. Pandai memainkan kata-kata yang indah kononnya. Apa? Kau ingat aku
terkesan dengan kata-kata kau tu?!” Tempelak Qiarra.
Sejurus itu Puan Ainon tiba di tempat perbalahan mereka
berdua. Qiarra tersenyum sinis kerana sudah tahu nasib yang bakal menimpa Eddie
budak pelayan yang tidak sedar diri. Dia menanti babak seterusnya denga rasa
teruja.
“Puan Ainon tak payah risau. Puan tak perlu pecat saya,
sebab saya berhenti kerja dengan rela hati. Saya tak sanggup lihat muka manusia
yang berwajah jelita, tapi hati lebih busuk daripada bangkai!” Kata-kata
terakhir Eddie sebelum ke bahagian belakang kedai untuk menyerahkan unifom dan
kelengkapan kerja lain. Dia sudah nekad dengan keputusan meninggalkan tempat
itu, walau apapun yang akan terjadi.
***
Qiarra tidak dapat menepis apa yang hadir di dalam hatinya.
Dia sedar sikapnya yang tega melepaskan kemarahan dengan kata-kata celupar
sesuka hati itu sudah sampai ke kemuncak. Selama ini dia terlalu mengikut
kehendak hati, kerana tiada siapa di sekelilingnya yang berani menegurnya.
Pemuda bernama Eddie itu adalah yang pertama berani tampil
menyedarkan dia daripada kesilapan itu. Meskipun kata-kata Eddie dibalas ketika
amarah menguasai diri, tetapi hakikatnya kata-kata lelaki itu telah
meninggalkan kesan di dalam hatinya.
Perasaan yang berputik terhadap Eddie telah mula menjauh
selepas apa yang terjadi. Dia terpaksa menerima hakikat bahawa dia mungkin tidak
akan bertemu Eddie selepas melihat kemarahannya memuncak di kafe. Dia terpaksa
menerima kenyataan bahawa Eddie bukan untuk dirinya, walaupun perasaan yang
hadir di balkoni rumah Helena masih
hadir bagai sebiji benih jauh di dasar paling dalam hatinya. Tetapi kini ia
akan terus dalam hibernasi setelah apa yang telah berlaku.
Sedang Qiarra asyik memerhatikan Prince Charming dan
Cinderella berdansa di atas kotak muzik dengan alunan irama yang memukau, dia
terdengar ketukan di pintu bilik bersama suara ibunya. “Qiarra, Helena
sedang tunggu di bawah. Cepat turun.”
Ada apa Helena
ke mari? Tentu ada sebab penting. Detik hati Qiarra sambil dia menuruni anak
tangga.
“Hai Helena!” Ucap Qiarra.
“Hai! Qiarra, pembantu rumah I jumpa surat
ni masa majlis hari tu. Dia terlupa serahkan pada I. Baru pagi tadi I dapat.”
Kata Helena sambil menghulurkan sepucuk sampul merah jambu dengan motif
strawberi.
“Dari siapa?” Tanya Qiarra sambil membelek-belek surat
itu.
“I wish I knew girl.
Open it.” Ujar Helena.
Qiarra mengoyak hujung sampul dengan berhati-hati sambil
tertanya-tanya siapakah pengirim surat
itu. Apabila dia mengeluarkan isi di dalamnya, aroma strawberi menusuk hidung.
Bau yang amat menyenangkan perasaan Qiarra. Helena
hanya melihat gelagat Qiarra bersama surat
misteri itu.
Qiarra mula membaca surat.
Buat gadis yang
bernama Qiarra.
Assalamu’alaikum.
Awak tentu
tertanya-tanya siapakah insan yang menghantar surat ini. Dan awak tentu juga tertanya-tanya
kenapa surat ini dihantar. Sebenarnya penghantar surat
ini selalu awak jumpa, cuma awak tidak tahu apa yang sedang bergelora di dalam
hatinya.
Saya rasa awak mesti sudah kenal siapa saya. Tapi jika awak masih tidak dapat meneka nama saya, jawapannya ada di akhir surat ini.
Kenapa surat ini dihantar?
Sebabnya adalah lelaki
ini tidak mampu meluahkan perasaan semasa bersemuka dengan awak. Saya tak tahu
kenapa, tapi setiap kali saya bersemuka dengan awak, jantung saya akan
berdebar-debar menyebabkan saya menjadi gugup dan kalut. Saya rasa itu adalah
antara sebab mengapa saya tertumpahkan sherbet di atas baju awak.
Malang bukan? Saya langsung tidak berpeluang
mengenal awak dengan lebih rapat selepas itu. Peluang saya tertutup apabila
awak marah pada saya, dan saya pula tak diberi peluang untuk mendapat kemaafan
dari awak.
Pada mulanya saya
fikir kerana saya kurang sihat pada hari itu. Tapi seorang kawan telah
menyedarkan saya bahawa itu adalah cinta. Kawan saya itu adalah pemuda
bertopeng putih yang menyerahkan surat
ini kepada awak.
Mungkin awak sedang
mentertawakan saya sekarang ini. Kita memang tak sepadan. Awak seperti gelas
kristal yang menghiasi meja mewah dan ternama. Sedangkan saya hanya cawan
sompek di tepi jalan menadah hujan.
Saya tahu apa yang
saya buat ini adalah kerja gila, menyatakan perasaan cinta kepada seseorang
yang mungkin tidak akan memandang diri ini walaupun dengan sebelah mata. Tapi
hakikatnya, itulah cinta. Ia boleh menjadikan seorang waras menjadi kurang
siuman.
Mungkin saya boleh
lupakan awak sekiranya kita tidak bertemu lagi. Tapi awak adalah pelanggan
tetap di kafe tempat saya bekerja. Setiap kali melihat wajah awak, perasaan ini
semakin bersemarak. Dan selagi saya pendam perasaan ini, saya akan jadi tak
keruan.
Saya berharap selepas
saya menulis surat ini perasaan yang berbuku akan hilang. Apa
yang awak lakukan selepas ini itu adalah hak awak. Jika awak rasa kehadiran saya
di kafe menyebabkan rasa benci awak tidak boleh padam, saya boleh tinggalkan
kafe itu dan awak tak perlu lihat wajah saya lagi. Tetapi saya masih menaruh
harapan agar dapat merasakan keindahan cinta, dan saya ingin benar berkongsi
keindahan itu bersama awak.
Saya beruntung kerana
berjumpa seorang guru puisi cilik semasa kecil dulu yang telah mengajar saya
keindahan melakarkan perasaan melalui kata-kata. Oleh itu saya nukilkan sebuah
puisi untuk awak.
Strawberi Cinta Buat
Qiarra
Aku tak pandai melakar
cinta
dengan indah bulan dan
bintang
Aku tak pandai
menganyam pelangi
untuk zahirkan warna
cintaku
Aku cuma mampu melarik
rasa
pada ranum
mistik strawberi
Cintaku halus
Bagai sepotong
shortcake strawberi
Cintaku tulus
Bagai masam manis buah
strawberi
Cintaku hangat
Bagai latte perisa
vanila strawberi
Cintaku dingin
Bagai sherbet
strawberi bertatah ceri
Cintaku penuh misteri
Bagai strawberi
bersalut coklat
Cintaku istimewa
Bagai lapis strawberi
aiskrim neapolitan
Cintaku harum
Bagai Body Shop
Perfume Oil aroma strawberi
Cintaku asli
Bagai merah bugar
strawberi Cameron
Qiarra,
Aku persembahkan
cintaku seadanya
Bagai titipan puisi
strawberi ini
Saya harap awak telah
terhibur dengan puisi yang tak seberapa ini.
Secara logik saya
dapat rasa kita tidak akan bersama ke akhir hayat kerana perbezaan darjat kita,
tetapi saya masih berharap takdir Tuhan akan merubah ketentuan itu. Tiada yang
mustahil dalam hidup ini sekiranya Dia kehendaki.
Saya dapat rasakan
beban di dada sudah mula surut selepas saya menulis surat ini. Saya berharap di sebalik sifat awak
yang memandang rendah kepada manusia seperti saya ini, masih ada kelembutan dan
kehalusan yang akan membukakan hati awak untuk orang seperti saya.
Sekian saja luahan
ikhlas dari hati insan hina seperti saya.
Wassalam.
Lelaki yang berserah
pada takdir,
Eddie
Pelayan Kafe Strawberi
Fairyland
Qiarra sudah mula faham. Eddie menyamar sebagai Farouk malam
itu semata-mata untuk menyerahkan surat
ini. Tetapi kerana rahsianya terbongkar, dia tidak sempat menyerahkan surat
ini. Surat ini pula telah tercicir
di rumah Helena semasa dia bergegas
pulang malam itu.
Dia lakukan semua ini semata-mata kerana surat
ini? Tapi mengapa dia sanggup lalui semua ini semata-mata untuk menyatakan
perasaan cinta kepada aku? Adakah ini bermakna kami sudah saling mencintai? Qiarra
berdialog dengan dirinya yang sedang keliru.
Qiarra menyerahkan surat
itu kepada Helena yang setia
menunggu kata-kata dari mulutnya.
“Oh my God! So
sweet... so romantic!” Puji Helena usai dia membaca surat
itu. Dia melipat surat itu dan
menyerahkan kepada Qiarra yang sedang termenung. Aroma strawberi masih halus
memenuhi ruang tempat mereka berdua duduk.
“So, apa you nak buat lepas ini?” Tanya Helena.
“I tak tahu. Kalau you,
apa you buat?” Qiarra cuba
memecahkan kebuntuan.
Helena menghela
nafas dan berdiam diri seketika. Kemudian dia bersuara.
“You tahu lukisan
Mona Lisa?”
Qiarra hanya mengangguk dalam keliru.
Apa kaitan lukisan itu dengan masalah yang sedang dihadapi.
Bisik hatinya.
“Lukisan Mona Lisa hanya ada satu di dunia ni. Tapi bila ia
diletak di dalam muzium, ramai orang boleh datang untuk menikmati keindahan dan
appreciate nilai estetika lukisan
itu, walaupun hanya seorang saja yang boleh miliki lukisan itu.” Kata-kata
tenang yang keluar dari mulut Helena.
Qiarra hanya mendengar dengan teliti.
“Lukisan Mona Lisa itu ibarat cinta. Tidak semua orang dapat
melihat lukisan Mona Lisa. Maksudnya tak semua orang dapat rasa nikmat cinta. Dan
tidak semua orang yang dapat melihat lukisan Mona Lisa akan memilikinya.
Maksudnya tidak semestinya cinta itu akan berakhir dengan perkahwinan. Atau
dalam bahasa melayu, jodoh. Jodoh is destiny,
atau orang melayu kata takdir. Tetapi itu bukan bermaksud kita perlu menolak cinta. Or we try to deny it. Cinta itu
keindahan yang boleh kita nikmati, seperti nilai estetika lukisan Mona Lisa.”
Qiarra terpegun dengan kehebatan gadis Amerika ini
berfalsafah.
“Wait. How come you
know about all this stuff like a pro?” Qiarra melahirkan perasaan hairannya
mendengar kata-kata Helena.
“My grandma told me.
Nenek I seorang artis, pelukis. Satu hari I bertanya pada dia tentang cinta. Her answer was exactly like what I told you just
now.” Jawab Helena sambil tersenyum simpul.
Cinta. Seperti satu misteri yang menjadi pengalaman kepada
mereka yang bertuah merasainya. Hati Qiarra pula berbunga setelah apa yang didengar
dari Helena.
“Apa you nak buat sekarang?” Tanya Helena buat kali yang
kedua.
“I’m not sure. I have
to think.” Jawab Qiarra.
Qiarra mengurung diri di dalam bilik selepas Helena
beredar. Dia perlu membuat keputusan mengikut gerak hatinya.
Cinta. Kau memang sesuatu yang penuh misteri. Bisik hati
Qiarra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan