BAB 9
Panggilan yang
Mona terima adalah daripada seorang wanita.
"Boleh saya
bercakap dengan Cik Mona Rissa Effendi?" Suaranya agak tegas walaupun
masih berhemah.
"Ya, saya.
Ada apa-apa yang saya boleh bantu?" Mona dapat rasakan ada sesuatu yang
tidak kena.
"Saya Datin
Marnila, CEO Mawar Cosmetics. Awak tahu ini kali keberapa saya call syarikat awak? Kali ketiga.
Mula-mula saya bercakap dengan Azli. Lepas tu Amirul. Sekarang dia pass pada awak pulak. Macam mana awak
semua ni buat kerja hah? Kalau saya tak puas hati dengan jawapan awak, lepas ni
saya akan call Dato' Harriz terus. Memalukan kaum sendiri kalau macam ni berniaga!"
Mona jadi tak
tentu arah. Kalau Dato' Harriz menerima panggilan selepas ini daripada Datin
Marnila, pasti akan huru-hara keadaan syarikat.
"Saya akan
cuba sebaik mungkin untuk bantu Datin. Apa masalahnya Datin?" Nada suara
Mona cuba dilembutkan semampu mungkin.
"Memang
masalah besar! Pegawai saya mengadu syarikat awak buat kerja main-main.
Proposal kempen lain, hasilnya lain. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab
dalam kempen ni?"
'Kalau aku kata
Azli dan Amirul, nanti makin menyirap Mak Datin ni. Biarlah aku yang berkorban,
demi nama baik syarikat.'
"Saya,
Datin."
"Sekarang
saya tak kira, saya nak kempen minyak wangi Mawar disiapkan dalam masa tiga
hari sebagaimana dalam proposal. Saya nak exactly
macam yang dibincangkan dengan pegawai saya tempoh hari. Saya tak kisah kalau
awak terpaksa tanggung kos tu. Kalau saya tak puas hati, saya akan saman Master
Creative Media. By hook or by crook
saya nak iklan tu siap dalam masa tiga hari. Faham?"
Mona tersentak
disergah Datin Marnila. Hampir bingit telinga Mona dek suara lantang wanita itu
menjerit.
"Saya faham
Datin." Dada Mona berombak-ombak ketika itu. Nafasnya tersekat-sekat dek
rasa risau dan cemas pada masa yang sama.
Kedengaran
telefon dihempas kuat tanpa sebarang ucapan selamat tinggal atau salam.
Selama dia
bekerja dalam bidang ini, inilah kali pertama Mona mengalami masalah sebegini
besar dengan klien. Biasanya dapat ditangani dengan penuh diplomasi sebelum
mereka meninggikan suara seperti ini.
'Ini semua kerja
Azli dengan Amirul. Dia orang sengaja nak kenakan aku.' Perasaan Mona berubah
menjadi kemarahan yang mula menular.
Reyhan dan
Mahfeez hanya berdiam, menunggu Mona membuka mulut.
"Aku minta
maaf Reyhan. Aku terpaksa balik KL secepat mungkin. Ada masalah kerja."
"Apa
hal?" Mahfeez ingin tahu.
"Aku rasa
ada orang sabotaj kerja aku. Aku terpaksa selesaikan. Kalau tak kerjaya aku ke
laut lepas ni."
"Siapa
punya kerja?" Reyhan mengerutkan dahi.
"Panjang
ceritanya. Lain kali kalau dah settle
aku ceritakan pada kau." Mona mencapai sesuatu dari dalam beg. "Ini
kad aku. Nanti kau call. Kalau aku
tak jawab, kau mesej aje. Aku minta maaf banyak-banyak Reyhan."
"Majlis aku
nanti kau datang tak?"
"Aku tak
berani janji. Kalu dah betul-betul settle
aku akan balik. Kalau tak...," Mona sukar menghabiskan ayat. Kepalanya
sudah berserabut.
"Okey,
Mahfeez. Aku balik dulu. Aku ucapkan selamat bertunang kepada korang
berdua." Mona serba-salah.
Sesuatu
terlintas di fikiran Mona. "Kau kata kau ada buat bisnes online kan? Ada
contact? Manalah tahu kalau ada job
untuk kau." Mona sudah bersedia untuk beredar.
Mahfeez
mengeluarkan sesuatu dari dalam dompet. "Nah! Ini kad aku."
Pada kebiasaannya
Mona akan mengusik Mahfeez. Mungkin dengan kata-kata, "Cayalah! Orang
bisnes kampung pun ada kad."
Tetapi masalah
yang dia hadapi ini membuatkan sense of
humor Mona hilang. Lenyap.
"Okey, aku
balik dulu." Mona mengatur langkah deras dengan pelbagai perkara menujah
benaknya.
'Tiga hari?
Sempat ke? Mana nak cari model. Nak arrange shooting.
Wardrobe. Skrip. Kalau guna subcon
boleh percaya ke? Apa-apapun aku kena bincang dengan Dato'. Kalau kena sembur
pun terima ajelah. Ini semua anak kesayangan dia tu punya kerja!'
Mona berlalu
denga rasa cuak tentang nasib yang bakal menimpanya.
***
"Mona balik
dulu mak," Mona bersalam dengan Mak Lijah. "Mak doakan semuanya
selamat ya."
"Mak memang
sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kau." Suara Mak Lijah tenang.
Walaupun ada rasa risau mengenangkan kehidupan anaknya yang sibuk mengejar
kerjaya. Hingga terlalu sibuk untuk memikirkan tentang perkahwinan.
Peristiwa dia
ternampak Mona bercakap sendirian dengan cermin sedikit-sebanyak menambahkan
rasa risau.
"Jaga diri
baik-baik. Hal agama jangan ambil ringan. Solat. Baca Quran." Pesan Pak
Fendi seperti biasa.
"Insya-Allah.
Abah doakan Mona ya."
"Hmm...,"
gaya Pak Fendi bersahaja. Namun hatinya turut keresahan memikirkan anaknya yang
masih membujang ketika usia sedang meniti.
Honda City Mona
meluncur keluar ke jalan besar. Debu berterbangan semasa kereta itu meluncur,
mengaburkan pandangan. Sebagaimana kaburnya fikiran Mona mencari penyelesaian
dengan masalah yang menimpa.
***
Mona sudah
bersedia dengan apa jua keadaan, bergantung kepada mood Dato' Harriz. Dia ingin
menelefon majikannya terlebih dulu, tetapi hasrat itu dibatalkan. Dia ingin
bersemuka dengan Dato Harriz membincangkan masalah itu.
"Assalamualaikum,
Dato'," suara Mona di muka pintu.
"Eh, Mona.
Awal kamu balik." Bersahaja suara Dato' Harriz.
'Dato' memang
tak tahu ke? Nampak sangat Azli nak kenakan aku. Kalau dia prihatin tentang
syarikat, tentu dia dah beritahu bapak dia sendiri.' Gerutu Mona dalam diam.
"Kita ada major problem dengan Mawar Cosmetics
sekarang ni Dato'.” Mona membuka rahsia.
Dahi Dato'
Harriz jelas berkerut.
"Kenapa
saya tak tahu-menahu tentang hal ni?"
"Datin
Marnila call semalam. Dia ugut nak
call Dato' kalau jawapan saya tak memuaskan hati dia."
"Cuba awak
ceritakan dari A sampai Z tentang projek ni." Dato' Harriz sudah duduk
dengan kedua lengan di atas meja.
"Projek
minyak wangi Mawar Cosmetics adalah projek saya. Saya tak tahu kenapa, tapi
Azli deal directly dengan wakil
Mawar. Masa present proposal dulu pun
saya tak dilibatkan dalam meeting.
Cuma Azli dengan Amirul yang ada." Mona mengadu.
"Tiba-tiba
semalam saya dapat call dari Datin. Dia marah-marah sampai ugut nak saman
Master Creative Media. Dia beri tempoh tiga hari untuk siapkan macam dalam
proposal."
"Tiga
hari." Dato' Harriz tersandar dengan muka fed up. "Kenapa dia tak minta satu hari terus?"
"Itulah
masalahnya sekarang ni. Kita terpaksa mula dari scratch, sebab apa yang Azli buat tu dah tak boleh pakai."
Mona risau.
Dato' Harriz
terdiam. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya.
"Okey,
macam ni. Saya nak awak betulkan keadaan. Tentang kos, jangan risau. Awak boleh
gunakan staff kita, atau ambil subcon.
But you have to closely monitor this
project. Very carefully and very thoroughly. I don't want another screw up!"
Mona sedar,
apabila Dato' Harriz mula 'speaking
London', perkara itu sudah masuk ke tahap 'antara hidup dengan mati'.
"Okey
Dato'. Saya akan buat yang terbaik." Mona cuba meyakinkan majikannya.
Mona beredar
dengan seribu satu perkara mengganggu fikiran.
'Sempat ke aku
siapkan dalam masa tiga hari? Mana nak cari model. Nak casting lagi. Wardrobe,
skrip semua nak fikir. Dah tak ada ruang untuk aku buat silap lagi.'
Rasa resah
semakin mengganggu fikiran hingga menyesakkan kepala Mona.
'Buat permulaan
aku kena jumpa pegawai yang terlibat. Aku nak kumpul maklumat tentang
perbincangan dia dengan Azli dan Amirul.'
***
Sukar untuk
menggambarkan perasaan Mona semasa menunggu ketibaan pegawai Mawar Cosmetics.
Kelibat Azli dan Amirul masih belum kelihatan semenjak dia mula ke pejabat
semula.
'Entah apalah
lagi rancangan dia orang berdua tu.' Mona cuba membuat deduksi sendiri.
Telefon
berdering. Suara Melissa kedengaran, "Cik Mona, wakil dari Mawar Cosmetics
dah sampai."
"Bawa dia
ke bilik mesyuarat." Arah Mona sebelum dia turut beredar ke destinasi yang
sama.
"Saya
Mona," Mona menghulurkan salam.
"Saya
Rushdi." Lelaki itu menyambut salam.
Mona mengamati
perwatakan lelaki itu. Sebelum ini dia hanya melihat dari jauh semasa dia
keluar dari pejabat Azli.
'Orangnya taklah
handsome sangat macam Remy. Tapi muka
manis. Macam senyuman dia. Not bad!'
Mona perasan
sesuatu tentang lelaki ini. Orangnya berketrampilan, walaupun pakaiannya tidak
segak dengan suit.
'Gaya dia ni
lebih daripada sekadar pegawai, bukan macam yang Datin Marnila katakan hari
tu.'
"Awak yang
bertanggungjawab dengan projek minyak wangi Mawar sekarang?" Suara lelaki
itu tenang dan lembut.
"Ya."
Mona fikir ini bukan masanya untuk menyalahkan sesiapa. Yang penting masalah
ini perlu ditangani dengan penuh diplomasi.
"Jadi, apa
yang awak nak tahu dari saya?"
"Saya
nak pastikan maklumat yang saya dapat lengkap sebelum meneruskan proposal asal syarikat kami." Mona
cuba menjelaskan dengan ringkas.
"Macam yang
saya beritahu Azli dulu, kami inginkan yang simple.
Tak terlampau banyak mesej tentang produk kami. Yang penting membuatkan wanita
rasa diri mereka dihargai dengan minyak wangi ini. Bukan nampak sangat seperti
cuba mengeksploitasi wanita dengan innuendo
macam dalam iklan yang kami tengok hari tu. Ini tentang feminity, bukan seksualiti." Jawapan Rushdi telus.
Mona sedar, dia
lebih memahami kehendak kaum sejenisnya. Bukan menerusi interpretasi kaum Adam
seperti Azli dan Amirul berdasarkan proposal yang dibuat.
"Kalau
boleh saya nak libatkan Encik Rushdi dalam proses casting dan shooting
supaya dapat pilih model yang sesuai...," Mona tidak sempat menghabiskan
ayat.
"Tak perlu.
Saya yakin dengan kemampuan Cik Mona. Cuma, err... Datin Marnila beri masa tiga
hari. Itu yang merisaukan saya. Saya harap Cik Mona dapat siapkan seperti yang
kami harapkan."
"Okey, saya
akan cuba." Suara Mona penuh yakin, walaupun bukan itu gambaran
perasaannya.
***
Mona melihat
jam. Sudah hampir sebelas malam. Menyiapkan iklan dalam masa tiga hari
sememangnya satu kerja gila. Tetapi dia terpaksa hadapi tugas ini sebagai satu
cabaran. Sekiranya dia berjaya, itu adalah satu pencapaian yang besar.
Hari pertama
Mona telah gunakan sebaik mungkin. Dia berjaya berbincang dengan Rushdi, wakil
Mawar Cosmetics, Dia juga berjaya dapatkan subcontractor yang sedia mengambil tugas itu walaupun kos
agak tinggi kerana faktor masa. Dia ambil keputusan mengawal sepenuhnya projek
ini termasuk kerja-kerja copywriting
dan skrip. Tiada ruang untuk tergelincir kali ini.
"Eh, Cik
Mona belum balik lagi?" Hampir gugur jantung Mona mendengar suara lelaki
yang memecah kesunyian yang hanya dilatari bunyi aircond.
"Arie! Awak
ni... huh, buat saya terkejut aje. Hadoi...," Mona cuba mengumpul nafas
semula.
"Lambat
balik," tegur Arie.
"Saya nak
siapkan projek urgent ni."
"Mawar
Cosmetics ya?"
Mona angguk.
"Mana Arie tahu? Eh, yang awak ada kat ofis malam buta macam ni apa hal?
Dato' belum balik lagi ke?"
"Dia ada
kat bawah. Dalam kereta. Tadi ada function
kat tempat klien. Dia suruh saya singgah, sebab ada barang dia tertinggal kat
ofis." Jawab Arie tergesa-gesa. "Eh! Dah terlanjur saya jumpa Cik
Mona ni, ada hal saya nak beritahu."
Arie nampaknya
seperti ingin memberitahu rahsia besar, sebab dia tega membiarkan Dato' Harriz
menunggu di luar.
"Saya
terdengar Encik Azli upah orang suruh track
nombor mesej hantu yang Dato' dapat dulu. Tentang skandal syarikat yang
melibatkan diri dia."
"Macam mana
awak tahu?"
"Masa tu
dia tak perasan saya ada kat luar. Saya terdengar masa dia berbual dalam
telefon."
“Dah dapat tahu
siapa yang hantar mesej tu?”
“Entahlah. Saya tak
berani nak sibuk-sibuk.”
Mona cuba
membuat deduksi. 'Agaknya dia dapat trace
nombor tu aku punya. Sebab tu dia sabotaj projek Mawar Cosmetics. Teruk betul!'
"Okey Cik
Mona. Saya balik dulu." Arie pergi meninggalkan Mona.
Apa yang Mona
dengar daripada Arie membuatkan dia termenung sejenak. Kejadian ini benar-benar
menguji kewibawaannya.
'Selagi Azli ada
di syarikat ni, susah untuk aku maju dalam kerjaya. Boleh, bukan mustahil. Tapi
soalannya, mampukah aku hadapi tekanan demi tekanan dari dia? Sampai bila?'
Mona mula
meragui impian yang ingin dia capai.
Topik di
fikirannya bertukar.
'Kenapa semua
benda yang aku kejar nampaknya tak semudah yang aku sangka. Nak bina kerjaya
dalam bidang pengiklanan dah ada peluang, dengan mentor yang bagus macam Dato'
Harriz. Tapi ada pulak anak dia yang tak boleh tengok orang lain lebih daripada
dia. Ada agenda sendiri. Dapat staff macam Amirul yang pilih bulu. Nak bos
sekaum dengan dia aje.'
Mona bersandar.
Otak dan tubuh terasa lenguh setelah sehari suntuk terkejar ke sana sini.
'Misi mencari
Mister Right aku... hmm... nampaknya terpaksa aku teruskan walau apa jua yang
berlaku. Pilihan pertama aku memang ternyata satu kesilapan. One down, I don't know how many more to go,'
Keluh Mona.
Dalam sekelip
mata wajah Rushdi terlintas di kepala.
'Orang macam
Rushdi pun boleh tahan. Tapi... dia tu eligible
bachelor ke? Dan setakat pegawai, sesuai ke dengan eksekutif macam aku?'
Sisi sombong Mona mencuri perhatian buat seketika.
"Ah! Tak
payah beranganlah Mona. Fokus! Fokus!" Mona kembali duduk tegak dan
menyiapkan kerja yang perlu disiapkan sebelum shooting esok.
***
Mona keresahan
setibanya di pejabat pagi itu. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Tentang
perbualan dengan Munira dan Monique awal pagi tadi. Tentang presentation dengan Rushdi, wakil Mawar
Cosmetics sebentar lagi. Tentang iklan yang sudah siap dan akan didedahkan
kepadanya semasa presentation nanti.
"Kau pasti
kau nak teruskan dengan pencarian kau? Kau pasti Remy bukan lelaki pilihan hati
kau?" Monique tega 'membelasah' Mona pagi tadi.
"Ini soal
hidup Mona. Dia berhak tentukan yang terbaik untuk dirinya." Munira
menyokong Mona.
"Remy ada
rupa. Lekuk dagu dia. Cheekbone dia.
Kau sendiri yang akui kan? Hidup dia? Lavish
lifestyle. Sporty BMW. Berjaya
dalam pelbagai bidang perniagaan...'"
Kata-kata
Monique segera dipintas Mona.
"Dia pandai
diversify segala pelaburan dia.
Sampai teman wanita pun dia nak diversify.
Oops, wait. Is that supposed to be a plus
or minus point?" Mona menyindir Monique.
Monique hanya
melirik mata. Munira tersenyum sinis.
Mona memeriksa
bilik mesyuarat sebelum Rushdi tiba. Bilik itu sudah tersedia untuk menerima
tetamu pagi tu.
Wajah Melissa
tercongok di muka pintu dengan tiba-tiba, "Cik Mona, Encik Rushdi dah
sampai."
Rushdi
menghulurkan salam, "Tahniah! Kerana berjaya menyiapkan iklan dalam masa
tiga hari."
Mona
tersipu-sipu, "Jangan ucapkan tahniah lagi Encik Rushdi. Belum tentu
kempen ini menepati citarasa Mawar Cosmetics. Saya rasa baik simpan dulu ucapan
tahniah tu." Mona begitu merendah diri.
Rushdi tidak
menjawab. Dia hanya tersenyum simpul sebelum mengambil tempat.
Setelah memberi
penerangan serba ringkas, Mona mula memainkan DVD iklan yang ingin dipaparkan
sempena kempen minyak wangi Mawar yang bakal dipasarkan.
Gambaran mimpi
Mona seolah-olah direalisasikan oleh iklan itu.
Seorang gadis
berpakaian blaus putih polos kelihatan naif di hadapan cermin. Di atas meja
solek ada tiga botol minyak wangi dengan botol yang sama bentuk tetapi
berlainan warna. Dengan sentuhan kreatif special
effect, botol-botol itu kelihatan berkilauan seperti dipenuhi dengan kuasa
magis.
Gadis itu
mencapai botol berwarna ungu. Kedengaran bisikan suara ketika dia menyemburkan
wangian itu, "Mawar Lestari." Dengan serta-merta dia melihat bayangan
dirinya di dalam cermin bertukar menjadi seorang wanita berkerjaya dengan jeket
dan skirt elegan.
Botol pink pula dicapai. "Mawar
Berduri," kedengaran suara bisikan semasa dia menyembur pewangi itu. Dan
penampilan sensual dan romantik terserlah dengan gaun berwarna peach untuk pergi majlis makan malam.
Akhir sekali dia
menyembur wangian dari dalam botol putih dengan suara halimunan, "Mawar
Suci." Penampilannya berubah menjadi gadis berjubah dan tudung putih
bersama manik labuci yang berkilauan.
Ketiga-tiga
gadis berwajah serupa dengan penampilan berbeza di dalam cermin memberikan pose
yang sesuai dengan watak masing-masing.
Mereka bersuara
serentak, "Minyak wangi Mawar. Serlahkan personaliti anda."
Rushdi bangun
secara tiba-tiba bersama tepukan yang lantang kedengaran di ruang sepi bilik
mesyuarat. "Bravo! Bravo!"
Mona rasa pelik,
teruja dan malu-malu pada masa yang sama.
"Perfect! This is perfect! Good job!"
Hanya itu yang termampu Rushdi ucapkan.
"Besar hati
saya sebab Encik Rushdi terima iklan ni." Rasa lega memenuhi dada Mona.
Seolah-olah hujan yang membasahkan bumi dek kemarau kerisauannya selama
beberapa hari yang lepas.
"Apa kata
kita sambut kejayaan Cik Mona dengan lunch?"
Mona mengangguk.
***
Mona
memerhatikan perwatakan Rushdi semasa mereka keluar bersama tengah hari itu.
'Aku tengok dia
ni macam mysterious sikit. Dia tak
macam lelaki yang biasa aku kenal. Dia tak begitu ghairah nak tunjukkan
kehebatan diri dia. Macam low profile
pun ada.'
"Boleh saya
tanya sikit?" Mona membuka mulut semasa mereka menunggu pesanan tiba.
"Boleh. Nak
tanya apa?"
"Boleh
ceritakan sedikit latar Encik Rushdi?"
"Amboi! Dah
macam wartawan pulak Cik Mona ni. Atau boleh saya panggil Mona aje? Dengan saya
pun tak payah berencik-enciklah. Panggil Rushdi pun boleh. Rush atau Di pun
boleh. Tapi kalau panggil Di, nanti orang terkeliru dengan Lady Di pulak."
Mona tergelak
kecil dengan kata-kata spontan Rushdi.
'Amboi boleh
tahan dia ni. Pandai berseloroh.' Meleret senyum Mona bersama perkara yang
bermain di minda.
"Okey."
Jawab Mona ringkas. Hatinya sudah mula terbuka untuk Rushdi, tetapi masih
berbelah bagi.
"Saya ni
bukanlah berasal dari golongan orang senang. Tapi bila mak saya berjaya sedikit dalam
perniagaan, bolehlah kami tumpang senang."
"Niaga
apa?"
"Adalah
sikit-sikit." Rushdi terlalu merendah diri.
Dia menyambung
lagi. "Tapi saya tak mahu gunakan kejayaan mak saya sebagai jambatan untuk
saya maju dengan mudah. Saya nak mula dari bawah. Saya nak rasa susah. Sebab
dalam kesusahan itu ada pelajaran yang kita boleh ambil."
"Rushdi
belajar kat mana dulu?" Mona mengagak mungkin dia akan menyebut tempat
seperti London, Perth, Michigan atau yang 'sewaktu' dengannya.
"Lepas SPM
saya terus belajar. Belajar dengan bekerja ni lain. Teori dan praktikal elok
jalan seiringan." Jawapan Rushdi selamba.
'SPM aje. Apa
kelas nak digandingkan dengan aku?' Sisi bongkak Mona menguasai lagi.
"Mona...
dah... berpunya?" Rushdi teragak-agak bertanya soalan yang agak sensitif
itu.
"Belum.
Saya single lagi." Mona menguak
rambut ke belakang telinga.
Lebar senyuman
Rushdi.
"Saya
sebenarnya kagum dengan wanita seperti Mona. Bijak. Berkerjaya. Gigih.
Berdiplomasi. Pandai mengawal keadaan tertekan...,"
"Cukup-cukuplah
tu. Takut saya tak boleh berjalan nanti. Kembang sangat kena puji." Mona
tersipu-sipu. Merah pipinya mula muncul, sebagaimana dia dipuji oleh Rahimi dan
Dato' Harriz dulu.
"Pujian
saya ikhlas. Bukan kerana ada maksud tersirat. Kejayaan Mona handle masalah yang orang lain buat ni
adalah testimoni yang paling jelas."
Mona segera
menukar topik. "Tadi Rushdi tanya saya dah berpunya ke belum. Rushdi pula
bagaimana?"
"Saya ni
cerewet sikit. Dah ramai calon mak saya pilih, tapi semua saya tolak."
'Amboi, memilih
juga dia ni. Tak padan lepasan SPM.' Laser kata-kata yang terlintas di fikiran
Mona.
"Apa
ciri-ciri wanita yang Rushdi cari?" Mona sekadar menguji.
"Merendah
diri. Tahan menghadapi tekanan. Kalau ada rupa tu satu kelebihan. Dan
sebenarnya... semua ciri-ciri tu ada pada Mona."
'Ai... lain
macam aje bunyi ayat dia ni.' Mona rasa kurang selesa.
"Kalau
boleh saya inginkan wanita yang terima diri saya seadanya. Bukan kerana
pangkat, darjat atau kebendaan. Kerana semua tu bukan jaminan
kebahagiaan."
'Hmm... kau
cakap macam tu sebab kau memang tak ada semua tu kan?' Mona berceloteh dalam
diam.
"Saya harap
Mona sudi kalau saya ajak keluar lagi lepas ni?" Rushdi
bersungguh-sungguh.
"Boleh. Apa
salahnya?" Mona senyum.
'Tapi hanya
sebab kau klien syarikat Master Creative Media. Tak lebih dari itu.'
menarik tapi mona ni banyak sangat cekadaknya. terlalu tinggi nilai yang diletakanya untuk lelaki idamannya tak padan dengan diri dan latarbelakang keluarga. tak salah mencari mr right tapi biarlah padan dengan diri
BalasPadamTerima kasih sudi singgah dan komen... nanti kita lihat apa yang terjadi pada Mona.. ^_^
Padam