11.00 AM, 29 Jun 3013
Kemuncak Persidangan Para
Saintis dan Pejuang Kemanusiaan
Menara Metropolis (Podium
AZ-104)
Bandar Angkasaraya
Kuala Lumpur
Sidang yang berlangsung selama hampir sebulan itu kini telah
tiba ke kemuncak dengan keputusan yang akan menentukan kewujudan makhluk bergelar
Andromeda di atas muka bumi, selepas hampir sepuluh tahun kewujudannya di
tengah-tengah tamadun manusia. Ucapan akhir pengerusi menggemparkan seluruh dunia yang menyaksikan siaran persidangan itu secara langsung.
"Kewujudan kaum Andromeda adalah ancaman kepada tamadun
manusia. Mereka memiliki tubuh badan dan fizikal yang sama seperti manusia, tetapi
mereka tidak memiliki roh dan hati seperti manusia biasa. Kebijaksanaan mereka
yang jauh lebih baik berbanding dengan manusia adalah merbahaya tanpa naluri
dan nilai-nilai kemanusiaan, walaupun ia boleh disimulasi dengan parameter yang
ditetapkan oleh manusia.
"Mereka memiliki ciri-ciri DNA seperti manusia biasa,
tetapi mereka sukar dijangka kerana memiliki akal yang jauh lebih bijak
berbanding klon. Filem-filem fiksyen sains mungkin adalah rekaan kreatif
manusia tertentu, tetapi mesej yang ingin diterapkan adalah berdasarkan realiti
dan hakikat sebenar kehidupan kita.
"Kewujudan humanoid dengan artificial intelligence, kecerdasan tiruan atau AI boleh menjadi
ancaman kepada manusia sejagat sekiranya mereka bebas menggunakan kuasa yang
direka oleh manusia untuk memastikan kewujudan spesis mereka dan mendominasi
bumi ini. Penciptaan mereka adalah untuk memudahkan kehidupan dan tamadun
manusia. Tetapi tidak mustahil mereka mungkin akan menjadi sebab kemusnahan kita
semua, seperti yang dipaparkan dalam filem Terminator lebih seribu tahun lepas,
ketika teknologi ini masih lagi mentah dalam pemikiran manusia.
"Kita semua bersetuju untuk memberi laluan kepada
projek ini pada asalnya kerana naluri ingin tahu dan keterujaan kita semua.
Tetapi semakin lama kita membiarkan kaum Andromeda terus menjadi sebahagian
daripada hidup kita, risiko kehancuran tamadun manusia semakin besar dan
menakutkan.
"Kejadian yang melanda kita sekarang ini adalah
testimoni kepada bahaya dan ancaman kehadiran mereka. Kebijaksanaan yang luar
biasa dan kesedaran bahawa mereka adalah spesis yang berlainan daripada manusia
menyebabkan timbul keinginan menguasai bumi ini. Mereka boleh berfikir dengan
baik, tetapi tanpa hati dan naluri kemanusiaan, hasilnya adalah sia-sia tanpa
bimbingan manusia. Lebih bahaya lagi apabila manusia menerima mereka dan
bergaul seperti manusia biasa yang lain.
"Dengan ini sidang sebulat suara bersetuju dengan
pemansuhan spesis kaum Andromeda berdasarkan penelitian kepada pelbagai aspek
kewujudan mereka di kalangan kita. Mereka adalah semata-mata mesin dan komputer
yang berselindung di sebalik fizikal tubuh manusia yang sempurna, malah mungkin
lebih sempurna berbanding dengan manusia biasa."
***
6.00 AM, 1 Julai 3013
Genelab Corporation
Proses penyahaktifan
spesis Andromeda bermula.
Awal-awal pagi lagi Doktor Farisha telah ke makmal di podium
yang menjulang tinggi seperti buah catur yang dikelilingi oleh air laut. Podium
itu juga menempatkan beberapa bangunan lagi milik Genelab Corporation, yang bertanggung
jawab membawa spesis humanoid bergelar Andromeda ke dalam tamadun manusia.
Kenderaan angkasa Mercedez CZX500i berwarna biru metalik itu
meluncur ke puncak podium Genelab Corporation dan mendarat di kawasan parkir
yang dikhaskan.
Langkah Doktor Farisha lebih pantas daripada biasa. Dia
tidak seceria selalu dengan senyuman yang dilemparkan kepada mereka yang ada di
situ.
Dia terus menuju ke Cryolab di mana humanoid Andromeda akan
menjalani proses penyahaktifan, yang akan dilupuskan satu persatu.
Hatinya terasa lapang dan tenang apabila berada di sisi
sekujur tubuh lelaki yang terbaring di balik silinder kaca. Wajah itu kelihatan
tenang dan begitu sempurna. Jumpsuit lycra berwarna perak membaluti tubuh itu
dan mengekalkan kontor susuk tubuh yang begitu ketara.
Fikiran dan hati Doktor Farisha berkecamuk. Akalnya
menyedari kewujudan makhluk humanoid Andromeda yang bernama Aidan di hadapan
matanya, tetapi hatinya tidak mampu menerima hakikat bahawa ia bukan manusia. Nalurinya
telah melahirkan rasa cinta terhadap sisi manusia kejadian yang tidak memiliki
hati atau roh seperti manusia biasa ini.
Dalam lamunannya, kedengaran derap langkah bergema di
Cryolab yang hening dan dingin itu.
"Awal Isha sampai," suara garau lelaki yang
mengenakan kot makmal berwarna putih seperti Doktor Farisha. Lelaki bermisai
dan berkulit hitam manis itu berdiri di sebelah Farisha.
"Herman pun sama." Suara Farisha, masih tiada
senyuman yang dilemparkan seperti yang biasa dia berikan.
"Penghapusan teknologi humanoid seperti Andromeda
adalah bukti kebodohan manusia yang berfikiran singkat. Yang pada mulanya
begitu berbangga dengan ciptaan mereka sendiri, tetapi akhirnya dikuasai oleh
rasa cemburu dan serba kekurangan. Kerana kerakusan dan keangkuhan, golongan
Andromeda menjadi mangsa." Kata Herman sambil berdiri di sebelah Farisha. Dia
sempat menatap raut wajah yang ayu dengan rambut ikal bagai ombak yang menjunam
dan memecah di bahu wanita itu. Pandangan yang dibuat dengan ekor matanya.
"Manusia boleh berbangga dengan tamadun yang mereka
nobatkan sebagai gah dan hebat, tetapi hakikatnya jiwa mereka masih lagi mentah
dan naif dengan sifat-sifat kemanusiaan." Tambah Farisha. Kesal.
Doktor Farisha terus menatap wajah Aidan yang terbaring kaku.
Sehingga hampir dua jam dia berada di Cryolab bersama Aidan, lama setelah
Doktor Herman pergi meninggalkannya.
Wajah Aidan ditatap sepuas-puasnya buat kali terakhir.
***
9.55 AM, 14 Februari 3013
Sesi interaksi Doktor
Farisha bersama humanoid bernama Aidan di awal kewujudannya.
"Doktor Isha, apa itu cinta?" Suara polos Aidan.
Raut wajah dan susuk tubuhnya seperti manusia biasa, tiada cacat cela atau kecanggungan
ciri-ciri mesin atau komputer.
"Cinta? Kenapa Aidan tanya?" Suara Doktor Farisha
ceria dengan senyuman yang telah berjaya memikat ramai kaum Adam di Genelab.
"Saya boleh lihat bagaimana keadaan orang yang sedang kemaruk
bercinta. Saya juga boleh nampak apa yang sanggup dilakukan oleh orang yang
sedang bercinta. Saya juga tahu rupa kegembiraan orang yang sedang bercinta.
Tapi saya tak tahu bagaimana rasanya cinta." Aidan menunggu jawapan, penuh
pengharapan.
"Cinta bukan sesuatu yang boleh dilihat dengan mata,
dirasa dengan lidah, didengar dengan alunan di telinga. Begitu juga cinta tak
boleh disentuh dengan jari atau urat saraf." Doktor Farisha memerhatikan
wajah tulus Aidan yang asyik mendengar penjelasan yang diberikan.
"Cinta adalah sesuatu yang dirasa dalam hati. Dari situ
baru ia akan mengesankan deria-deria yang lain." Doktor Farisha dapat
melihat perubahan pada wajah Aidan dengan kata-kata yang baru dilafazkan itu.
"Bermakna sebab itulah saya tak dapat rasakan cinta.
Sebab saya bukan manusia. Saya tak ada hati." Kata-kata Aidan menyebabkan
Farisha tergamam.
Suasana sepi seketika. Aidan bertanya lagi. "Apakah
perbandingan perasaan cinta untuk humanoid seperti saya?"
"Hmm.. mungkin seperti kejutan akibat terkena arus
letrik yang kecil. Diri akan jadi bukan seperti yang biasa. Fikiran juga tidak
dapat berfungsi seperti dalam keadaan normal. Kerana asyik teringat kepada
orang yang dicintai. Itulah penangan listrik cinta."
"Listrik?" Soalan naif Aidan. Dia gagal mengakses istilah
itu dari sistem pemprosesan data.
"Listrik atau elektrik." Senyuman ayu Farisha
terukir.
"Sayang sekali kerana saya tak dapat tahu bagaimana
rasanya cinta yang sebenar." Wajah Aidan suram dengan rasa kecewa yang menguasai. Emosi
yang disimulasi melalui signal yang dihantar oleh sistem pemprosesan utama AI-nya
berdasarkan data yang disimpan. Signal itu diinterpretasi menjadi mimik wajah
seperti seseorang yang kecewa dan dirundung duka.
Tangan Aidan disentuh dengan lembut oleh Farisha. "Cinta
bukan semestinya berakhir dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Adakala ia
memerlukan pengorbanan dan penderitaan. Cinta menyebabkan tubuh seseorang sanggup
menanggung kepayahan dan keperitan semata-mata untuk insan yang disayangi.
Mungkin ada baiknya jika seseorang itu tidak pernah mengalami cinta. Bak kata
pepatah Inggeris, ignorance is bliss.
Kejahilan tentang sesuatu adakala baik untuk kita."
Aidan hanya memerhatikan tangannya yang digenggam oleh
Farisha. Kemudian dia memerhatikan wajah wanita itu. Sambil tersenyum dia
mengangguk setuju dengan penerangan yang didengar.
***
"Isha, aku tengok kau dengan Aidan tu... Kau..."
Suara Jenni semasa mereka berdua makan tengah hari di kafe Genelab.
"Kau ingat aku bercinta dengan dia?" Sergah
Farisha.
"Hmm... Aku nampak muka kau lebih ceria daripada biasa
bila ada bersama dia. Come on lah
Isha. Ramai lagi lelaki yang kacak, bergaya dan available
dalam dunia ni. Kenapa kau nak cari benda yang nampak macam manusia tapi
sebenarnya mesin macam dia tu?"
"Susah aku nak terangkan Jenni. Aku tahu dia bukan
manusia, tapi aku dapat rasa sesuatu bila berdamping dengan dia. Kau pun tahu
dia punya ciri-ciri lelaki yang lengkap dan sempurna walaupun dia tak punya
hati atau roh. Aku dapat rasakan dia mampu menghayati sifat-sifat kemanusiaan
dengan AI yang dia ada."
"Tapi dia tetap humanoid Isha. Robot yang dicipta oleh
manusia dengan komponen mesin dengan ciri-ciri fizikal seorang manusia. Dia
memiliki tisu dan DNA manusia, tapi dia bukan manusia. Bercinta dengan benda
seperti dia tu adalah salah dan melanggar hukum alam. Tak kita apa juga agama,
semua orang tahu kejadian seperti Aidan itu tidak akan menempuh kehidupan selepas
kematian. Dia sekadar objek, Isha. Lebih baik kau bercinta dengan lelaki yang serba
kekurangan daripada kau pilih dia!" Jenni cuba berhujah.
"Salahkah kalau aku ingin rapat dengan dia? Bagi aku 'benda'
atau objek macam tu lebih baik daripada manusia yang berhati busuk dan jahat.
Walaupun dia tak ada hati, tapi bagi aku itu lebih baik. Hati boleh menyebabkan
manusia dikuasai sifat suka berdendam, suka menipu, curang, tikam belakang,
memandang serong orang lain. Hati ni kalau tidak dikawal boleh menyebabkan
kehancuran. Kemusnahan. Kau faham? Sudahlah! Aku tahu apa yang aku buat dan aku
berterima kasih kerana kau begitu prihatin. Tapi ini hidup aku dan aku berhak
menentukan jalan yang akan aku pilih. Tolong jangan masuk campur lagi."
Tempelak Farisha.
Jenni tergamam. Dia hanya mampu menggeleng dengan pendirian
rakan sekerjanya yang begitu luarbiasa.
***
11.00 PM, 30 Jun 3013
Malam terakhir Doktor Farisha
bersama Aidan sebelum kuarantin humanoid Andromeda bermula.
“Doktor Isha, adakah kejadian saya ini sia-sia?” Soalan
polos Aidan.
“Malam ini awak tak payah panggil saya doktor. Panggil Isha saja.
Apa maksud Aidan? Saya tak faham.”
“Humanoid seperti saya dijadikan untuk memudahkan kehidupan
manusia seperti Isha. Adakah kami dimusnahkan kerana kami membawa kemudaratan
kepada manusia sejagat?”
Soalan Aidan membuat Farisha terdiam seketika.
“Manusia dijadikan bersama akal dan hati. Tetapi itu tidak
menjamin keputusan yang betul, kerana manusia juga dipengaruhi oleh hawa nafsu.
Hawa nafsu apabila sudah mempengaruhi manusia boleh menjadikan dia lebih teruk
daripada syaitan. Tetapi sekiranya berjaya dikawal, manusia boleh menghampiri
sifat-sifat malaikat.”
Aidan mengangguk. Segala istilah yang digunakan Farisha diakses
melalui bank data AI-nya.
“Bermakna kemusnahan humanoid Andromeda adalah satu
kesilapan?” Aidan bertanya lagi dan dibalas dengan gelengan Farisha.
“Kesilapan sebenar adalah keputusan manusia menghasilkan
humanoid tanpa memikirkan implikasi di masa hadapan. Kini mereka terpaksa
menanggung akibatnya, walaupun sebenarnya Andromeda yang menjadi mangsa.”
“Saya sudah mula faham erti cinta bila bersama Isha.”
Kata-kata Aidan membuatkan Farisha terpaku.
“Saya selalu teringatkan Isha semasa kita tidak bersama dan
saya dapat rasakan sistem saya tidak berfungsi dengan normal apabila kita
berjauhan. Semasa kita bersama, segala-galanya berjalan dengan lancar dan rancak.
Tapi benarkah ini cinta? Sebab saya tidak memiliki hati.”
“Mungkin juga.” Jawab Farisha. Kebijaksanaan Aidan
membuatkan hatinya bagai digeletek. Segala maklumat yang diterima cuba
diinterpretasi dan disimulasi oleh tubuhnya yang mirip manusia biasa.
Tetapi perasaan itu lenyap apabila memikirkan itu adalah malam
terakhir bersama humanoid bernama Aidan.
Cerpen ini telah dimuatkan ke dalam antologi cerpen
KEMBARA MENCARI CINTA
Sila kunjungi laman FB Kembara Mencari Cinta
untuk perkembangan terbaru tentang
antologi cerpen solo ini.
KLIK DI SINI
robot yang mempunyai DNA manusia..harap2 x berlakulah kat dunia nie...tp citer ni mmg best ..nasib baik ada kembar aidan, kalau tak menangislah farisha hehehe terbaiklah writer
BalasPadamTQ Nur sudi komen & menghayati kisah ini.
PadamKisah spontan yang ditulis dalam masa yang singkat.
Terkejar-kejar masa yang rasanya macam tak pernah cukup. ^_^