Bab 21
“Kau telefon bapak budak
perempuan ni untuk dapatkan wang tebusan.” Arah Guntor.
“Aku? Kenapa aku pulak?” Azad
seperti tidak setuju.
“Rancangan ini buah fikiran
kau. Aku cuma bantu jadikan ia kenyataan.” Jawab Guntor.
“Itu aku tahu. Tapi aku...”
Azad cuba berdalih. Dia sangka Guntor akan membuat panggilan
itu.
“Dah jangan banyak fikir
lagi. Kau telefon. Pastikan sebut jumlah yang betul. Lima ratus ribu ringgit. Lokasi juga pastikan jelas macam
yang kita rancang. Kalau dia banyak cakap, ugut dia. Beritahu anak dia mungkin
tak akan dapat diselamatkan kalau dia lambat atau cuba libatkan pihak polis. Faham!” Suara Guntor tegas.
Azad mengangguk walaupun
hatinya merungut kerana tidak puas hati.
***
Eddie, Rostam dan Shah
berdiri sambil melihat kertas bersama peta lakaran di atas meja.
“Belakang kawasan kilang tu
ada semak. Guntor dan geng motor tu hanya gunakan kawasan yang ada laluan. Kita
akan intip pergerakan mereka dari semak sebelum serbu pada masa yang sesuai.”
Rancang Rostam. Gayanya seperti seorang komando yang telah bersara.
“Kalau ada yang perasan kita
sedang mengintip macam mana? Saya risau kalau Qiarra diapa-apakan.” Eddie
melahirkan perasaannya.
“Shah dah buat survey dari awal. Berdasarkan peta
lakaran yang dia buat ni, kawasan tu memang sesuai untuk buat intipan. Kamu
jangan risau.” Rostam cuba menyedapkan hati Eddie, tetapi rasa risau masih lagi
bersarang.
“Saya ada contact dalam pasukan polis. Mereka akan
bekerjasama dengan kita untuk buat persiapan awal sebelum penyerahan wang
tebusan.” Rostam cuba meyakinkan Eddie lagi.
Eddie hanya berdiam diri. Dia
cuba meyakinkan dirinya bahawa Qiarra akan dapat
diselamatkan sebelum apa-apa berlaku pada gadis itu.
***
Azad bersandar di dinding
sambil menyedut dan menghembus kepulan asap di luar bangunan kilang yang
terbiar itu. Fikirannya menerawang sebagaimana asap yang merayap di udara
bersama bau maung.
“Mana Guntor bro? Malam ni kan penyerahan wang tebusan? Tak nampak batang hidung pun
lagi.” Suara Modred.
Azad tidak menjawab. Dia
sendiri hairan dengan Guntor yang seperti tidak menganggap penting perkara itu.
“Kalau dia tak datang lagi
bagus. Kita kebas semua duit tu.” Jawab Azad dengan selamba.
“Bahaya bro. Kalau dia cari
kita sampai lubang cacing macam mana?” Modred menjawab.
“Alah. Kau jangan risaulah.
Dia mesti muncul punya malam ni. Lima ratus ribu tu bukan sikit. Siapa yang tak nak?” Jawab
Azad selepas mencampakkan puntung ke tanah dan memijak untuk memadamkannya.
“Aku sebenarnya tengah fikir benda yang lebih besar lagi.”
“Apa tu bro?” Tanya Modred.
“Awek tulah. Guntor tak bagi
kita sentuh dia. Aku tengah cari masa yang sesuai sebelum Guntor sampai. Kalau
dia ada memang melepaslah kita. Kita kena pastikan awek tu tak akan pecahkan
tembelang kita pada Guntor. Aku tengah fikir macam mana kita boleh dapatkan
duit tu sebelum Guntor tahu hal yang sebenar.”
“Senang aje tu bro!” Suara
Modred teruja.
Azad segera memandang tepat
ke muka Modred. “Kau ada idea?”
“Kita kan ramai. Kita letak
sorang dua untuk cek kalau Guntor dah sampai. Yang lain kendurilah kat dalam
gilir-gilir. Bila dia sampai kita berlakonlah. Awek tu kita ikat mulut dia
sampai selesai wang tebusan diserahkan.” Modred memberi cadangan sambil
menyeringai.
Azad tersenyum lebar. “Bijak
juga kau ni ya Modred.”
***
Sara dan Mimi telah pergi ke rumah Qiarra setelah pulang berjumpa ibu
bapa masing-masing. Keresahan jelas terbayang di wajah mereka kerana risau
memikirkan nasib yang sedang menimpa Qiarra. Mereka duduk sambil memerhatikan
gelagat orang tua Qiarra.
“Hati-hati bang,” pesan Datin Maznah sambil menyerahkan beg yang sarat
berisi wang kertas.
“Awak doakan semuanya selamat. Yang penting Qiarra akan kembali ke
pangkuan kita tanpa cacat cela.” Jawab Datuk Hafizudin dengan suara yang
tenang, walaupun jiwanya bergelora mengenangkan nasib anak gadis tunggalnya.
“Insya-Allah bang. Saya doakan abang dan Qiarra akan selamat pulang ke
rumah.”Ada nada cemas dalam suara Datin Maznah.
***
“Macam mana ni bro? Batang
hidung Guntor pun belum nampak lagi ni!” Rungut Modred.
“Baguslah. Kau suruh orang
kita berjaga kat kawasan masuk ke bangunan ni. Kita bergilir-gilir jaga di
depan.” Arah Azad.
“Baik bro.” Jawab Modred
sambil meluru masuk.
“Eh! Yang kau tak sabar-sabar
nak masuk ni apasal?!” Sergah Azad.
“Apa lagi bro... dah kebulur
ni.” Jawab Modred sambil tersengih.
“Jangan nak mengada-ngada.
Biar aku yang rasmikan. Banyak cantik muka kau!” Modred terhegeh-hegeh keluar
semula mendengar kata-kata Azad. Mahu tak mahu dia terpaksa beralah.
Azad menuju ke arah Qiarra.
Jiwanya bergelora mengenangkan saat-saat indah yang tiba juga akhirnya setelah
sekian lama dia menunggu dengan penuh kesabaran.
Azad berdiri sambil
memerhatikan Qiarra yang duduk tersandar dalam keadaan terikat di tangan, kaki
dan mulut. Gayanya persis seseorang yang sedang memerhatikan hidangan lazat
yang terhidang di meja sebelum ia dibaham dengan rakus.
Sambil melutut dia berbisik
pada Qiarra, “Kalau cik adik sayangkan muka cik adik, jangan cuba menjerit atau
buat kecoh. Kalau jadi apa-apa, bapak cik adik yang akan sampai malam ni pun
akan menerima nasib yang sama.” Ugut Azad.
Berderau darah Qiarra
mendengar kata-kata Azad. Lebih mengerikan, bapanya juga mungkin menerima nasib
yang sama.
Azad meleraikan ikatan mulut
Qiarra. Dia merapatkan hidungnya ke leher Qiarra hingga hampir-hampir
bersentuhan.
“Wanginya bau cik adik. Dari
pagi sampai dah malam masih harum lagi. Mesti mahalkan perfume ni?” Usik Azad.
Qiarra cuba mengawal tubuhnya yang sudah mula menggigil. Dia rasa
seperti mahu menjerit tetapi dia tahu perbuatan itu hanya akan mendatangkan
akibat buruk kepada diri dan bapanya.
Azad mula mengelus-elus betis
Qiarra hingga ke buku lalinya. “Lembut betul kulit cik adik. Halus dan gebu.”
Qiarra terasa seperti ingin
menitiskan air mata dalam ketakutan yang sudah tidak mampu digambarkan lagi.
Dia masih tidak percaya ini semua berlaku akibat kedegilannya selama ini.
Jemari Azad yang kasar dan hangat menyentuh tubuhnya menyebabkan bulu romanya
meremang bersama tubuh yang kedinginan.
“Relaks cik adik. Abang akan
lakukan perlahan-lahan supaya tak rasa sakit, okey?” Bisikan lembut Azad di
telinga Qiarra hingga kehangatan nafas lelaki itu terasa berhembus di rongga
telinga Qiarra.
Qiarra tidak mampu berbuat
apa-apa lagi. Dia hanya mampu berharap sesuatu akan berlaku dan menamatkan
penderitaan yang sedang ditanggung ini.
***
Eddie tiba di lokasi dengan
kereta BMW biru bersama Rostam dan Shah. Kereta itu diparkir agak jauh di
kawasan yang tersembunyi. Mereka menunggu pihak polis tiba sebelum memulakan
rancangan. Mereka dibenarkan menyertai operasi itu dengan syarat tidak
mengganggu tugas polis dan berada jauh dari kawasan bahaya.
Semak di belakang kilang yang
agak tebal itu diredah dalam samar-samar cahaya senja yang masih meremang.
Tentera nyamuk mula berdesing di telinga dan ada yang sudah melancarkan
serangan di muka, leher dan lengan. Nyanyian cengkerik seperti mengiringi misi
mereka malam itu.
Dalam samar-samar cahaya
senja, kelihatan beberapa tubuh sedang mengawasi kawasan pintu masuk ke
bangunan yang sudah usang. Pasukan polis sedang memastikan keselamatan mangsa
sebelum mereka boleh membuat tindakan selanjutnya.
***
Azad dapat rasakan gejolak
nafsunya yang sudah tidak mampu dibendung lagi. Menyentuh betis gadis yang
mulus dan kedinginan itu menghantar signal ke seluruh tubuhnya untuk bertindak
dengan lebih agresif. Lengan Qiarra mula disentuh oleh jemari jantannya.
“Akhirnya dapat juga aku
jadikan kau cikaro aku. Inilah saat yang paling indah dalam hidup aku.” Suara
Azad yang dalam sambil dia mengusap jemari Qiarra yang lembut dengan tangannya.
Wajahnya menyentuh rambut Qiarra sambil menghidu aroma yang amat membangkitkan
gejolak naluri lelakinya. Dia tidak rakus meratah hidangan yang sedang dihadap,
sebaliknya dia mengambil masa menikmati setiap detik dengan permulaan yang
santai.
Tangannya baru saja ingin
meneruskan tindakan yang selanjutnya apabila rancangannya terbantut.
Kedengaran suara yang bergema
dari hailer atau pelaung suara.
Kawasan itu telah dikepung oleh pihak polis. Azad dapat lihat beberapa anggota
gengnya telah diberkas oleh polis di kawasan pintu masuk ke gudang. Tanpa
membuang masa Azad membuka langkah dan melompat keluar melalui tingkap yang
ternganga tanpa daun tingkap.
Celaka betul! Macam mana
Guntor boleh tahu polis akan serbu tempat ni?! Rungut Azad sambil mengatur
langkah seribu menyusup di celah-celah semak.
***
Rostam, Shah dan Eddie
menunggu di celah-celah semak sambil pihak polis menyerbu tempat itu. Dalam
cahaya suram itu mereka melihat satu tubuh sedang meluru menuju ke kawasan
semak tidak jauh dari tempat mereka duduk. Eddie sudah bersedia untuk mengejar.
“Jangan tinggalkan tempat ni.
Bahaya!” Rostam cuba menghalang Eddie.
Tetapi Eddie tidak
mengendahkan amaran Rostam dia terus berlari mengejar kelibat yang dilihat
tadi.
Eddie menyusup di celah-celah
semak mengekori tubuh yang dilihat tadi. Lelaki itu berjaya menyeberangi
kawasan bersemak dan mula memecut laju. Eddie cuba lari selaju yang mungkin. Apabila semakin hampir
dengan lelaki itu dia terus melompat dan menerpa ke arahnya. Lelaki itu hilang
imbangan dan mereka tertiarap ke tanah.
Eddie sempat melihat wajah
lelaki itu. Ketika itu dia sedar lelaki itu adalah Azad yang mengganggu Qiarra
di jalan gelap tempoh hari. “Kau rupanya yang culik Qiarra. Kali ni aku takkan
biarkan kau terlepas!”
Azad bingkas bangun dan cuba lari. Eddie mengejar Azad dan menerpa ke arah
kakinya. Azad tersungkur.
Mereka bergelut dan Azad
menumbuk muka Eddie bertalu-talu. “Tak payah tunjuk herolah. Tak serik hari tu
kena belasah dengan aku.”
Dalam kesakitan Eddie
melepaskan satu tumbukan padu di perut Azad hingga lelaki itu membongkok
menahan kesakitan. “Hari tu bolehlah kau tunjuk terror sebab ada geng kau. Kali ni baru adil. Satu lawan satu.”
Eddie melepaskan tumbukan kedua ke perut Azad hingga dia mengerang kesakitan
dan tidak mampu bangun lagi.
Sejurus itu seorang anggota
polis tiba dan terus memberkas Azad. Mungkin setelah Rostam memaklumkan kepada
pihak polis. Azad dan semua ahli gengnya berjaya diberkas senja itu.
Eddie segera berlari ke
lokasi semula. Dia bertanya pada Rostam, “Mana Qiarra?” Rostam menunjuk ke arah
kereta polis yang masih terbuka pintunya. Qiarra sedang berselubung jeket salah
seorang anggota polis dengan tubuh yang menggigil kedinginan, sedangkan senja
itu agak hangat.
“Qiarra. Awak okey?” Tanya
Eddie sambil melihat Qiarra yang kelihatan teruk dilanda trauma. Dia cuba menjauhkan diri dari Eddie kerana masih dibayangi
oleh perbuatan Azad tadi.
“Qiarra. Ini Eddie, Qiarra.
Ini Eddie.” Suara lembut Eddie cuba memujuk.
Qiarra menatap wajah Eddie
dengan riak yang cemas. Setelah beberapa ketika dia mula memeluk Eddie dengan
erat bersama esakan tangis yang tidak mampu dibendung lagi. Raungannya begitu
hiba dengan ketibaan malam, “Eddie!...”
“Jangan risau Qiarra. Awak
dah selamat.” Pujuk Eddie sambil merebahkan Qiarra supaya gadis itu bersandar
di tempat duduk. Setelah beberapa lama Qiarra melelapkan mata dalam kelesuan.
Eddie membiarkan Qiarra
terlena di dalam kereta polis. Wajah gadis itu jelas menunjukkan kekeliruan
setelah peristiwa yang menimpanya.
“Ada yang tak kena!” Tiba-tiba Rostam bersuara sambil dia
berdiri berhampiran Eddie dan Shah.
“Kenapa?” Tanya Eddie.
“Guntor tak ada. Ke mana dia
hilang? Macam dia tahu polis nak datang.” Rostam menjawab dengan suara tidak
puas hati.
“Macam mana dia tahu?” Sampuk
Eddie.
“Itu yang menghairankan.
Seolah-olah dia tahu rancangan kita. Siapa yang beritahu dia?” Rostam berpeluk
tubuh sambil melemparkan pandangan jauh dari tempat mereka berdiri.
Eddie terdiam. Dia juga
hairan dengan keadaan Guntor yang hilang secara tiba-tiba.
***
Datuk Hafizudin tiba ke
tempat kejadian selepas setengah jam Geng Azad berjaya diberkas.
“Qiarra? Mana Qiarra?” Suara
lelaki itu dengan tergesa-gesa bertanya kepada pihak polis yang ada di situ.
Dia meluru ke arah kereta polis yang dituding oleh seorang anggota polis.
Rostam dan Shah sudah
menunggu di kereta BMW. Eddie baru saja memulakan langkah untuk meninggalkan
Qiarra apabila dia melihat lelaki yang tergesa-gesa mencari Qiarra.
“Qiarra!” Suara lelaki itu apabila
dia melihat anaknya berada di dalam kereta polis.
“Dia tengah tidur Encik.
Biarlah dia berehat. Lagipun dia tengah trauma.” Suara Eddie kepada lelaki yang
belum pernah dia lihat itu.
“Kamu siapa?” Tanya lelaki
itu.
“Saya Eddie. Kawan Qiarra.”
Suara Eddie sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. “Encik ni ayah Qiarra?”
Tanya Eddie setelah tangannya disambut.
“Saya Datuk Hafizudin. Ya,
saya ayah Qiarra. Dia tak apa-apa?” Suara lelaki itu cemas.
“Alhamdulillah, pihak polis
sempat sampai sebelum dia diapa-apakan.” Jawab Eddie.
“Mana penculik tu! Aku nak
ajar dia!” Datuk Hafizudin tiba-tiba beremosi.
“Sabar Datuk. Semua yang
terlibat dah ditangkap. Cuma dalang kes ni yag masih terlepas. Datuk beruntung
sebab Qiarra sempat diselamatkan.” Jawab Eddie.
“Macam mana kamu ada di
sini?” Datuk Hafizudin merasa hairan dengan kehadiran Eddie di lokasi itu.
“Say risaukan keadaan Qiarra.
Polis pun dah benarkan kami ikut serta. Ketua geng tadi sempat lari ikut semak.
Nasib baik saya sempat kejar dia sebelum dia sempat larikan diri.” Terang
Eddie.
“Terima kasih sebab kamu
ambil berat tentang Qiarra.” Datuk Hafizudin mencapai tangan Eddie untuk
bersalam sekali lagi, sebagai tanda terima kasih.
“Dah tanggungjawab saya
sebagai kawan. Saya pergi dulu Datuk. Nampaknya semuanya dah selesai.” Eddie
meminta diri.
“Baiklah.” Jawab Datuk
Hafizudin.
Bagus budak ni, bisik hati
Datuk Hafizudin sambil melihat Eddie berlalu.
Pergghhh!! Nasib baik polis sampai dulu!
BalasPadamMelepas Azad.. :D
Padam