BAB 12
Qiarra cuba mengumpul sisa keberanian dan tenaga yang ada. Dengan
pantas dia bertindak menuju ke pintu dan meninggalkan bangunan 7 Eleven. Dia
tidak menoleh ke belakang, hanya berjalan dengan laju menuju Volkswagon Beetle
kuning. Tumpuannya hanya untuk masuk ke kereta, mengunci pintu dan memandu pulang
dengan segera. Pelbagai peristiwa yang mengerikan singgah di benak, tetapi
lekas-lekas ditepis. Dia perlu fokus jika mahu keluar dengan selamat dalam situasi yang amat berbahaya ini.
Dia berjaya masuk ke dalam kereta.
Setelah mengunci pintu dia menarik nafas lega, sekurang-kurangnya rancangannya
berjaya setakat ini. Sekarang dia perlu memandu agar dapat pulang secepat
mungkin. Dia menghidupkan enjin kereta.
Qiarra hairan kerana lelaki
itu sudah tidak kelihatan. Dia tidak mengekori Qiarra atau datang mengganggu.
Sebaliknya dia hilang begitu sahaja.
Ke mana dia pergi? Pelik!
Hati Qiarra berdetik.
Rasa cemas mula reda walaupun
tangannya masih menggigil dan seram sejuk selepas pertemuan yang mengejutkan
tadi. Fikirannya masih tertanya-tanya ke mana menghilangnya lelaki itu.
Qiarra mencari papan tanda
yang menunjukkan haluan menuju jalan yang biasa dilalui untuk pulang ke rumah.
Malam ini dia rasa bebas kerana dapat keluar malam tanpa dieskot oleh sesiapa,
walaupun Mimi dan Sara.
Kalau macam ni boleh aku buat
selalu. Tapi kalau papa dan mama tahu nanti macam mana? Kalau aku dihukum tak
boleh ke mana-mana dengan Beetle ni? Silap haribulan ke kolej pun kena dihantar
dan dijemput. Parah kalau macam tu! Qiarra melayan perasaan.
Untuk menuju ke jalan yang
biasa dia lalu, dia terpaksa melalui satu jalan yang lurus dan panjang dengan beberapa selekoh. Tidak banyak kenderaan lalu
di situ. Lampu di kawasan itu juga banyak yang tidak berfungsi, terutamanya di kawasan selekoh yang agak
gelap. Hanya papan tanda kuning menandakan selekoh di hadapan yang akan
bercahaya apabila disuluh dengan lampu hadapan.
Jantung Qiarra dilanda
debaran yang kencang secara tiba-tiba. Hatinya jadi tidak keruan apabila lalu
di situ, seperti ada sesuatu yang buruk menantinya.
Sejurus itu kedengaran
deruman motosikal yang kuat, seperti throttle
minyak pada handle motosikal sengaja
dipulas dengan kuat. Bunyi deruman itu bersahut-sahutan di kiri kanan Beetle
kuning Qiarra. Mereka sengaja menghimpit kereta Qiarra supaya dia menghimpit ke
tepi jalan.
Qiarra cuba menekan minyak tetapi mereka telah pun mengepung
bahagian hadapan Qiarra menyebabkan dia tidak nampak arah yang perlu dituju.
Salah satu motosikal menghimpit Qiarra dengan berani menyebabkan dia terbabas
ke tepi jalan dan hampir-hampir melanggar tiang di tepi jalan.
Qiarra sudah terperangkap.
Dia tidak dapat bergerak ke hadapan lagi kerana dihalang tiang. Dia mahu
berundur, tetapi motosikal sports pelbagai jenis telah menghalang bahagian
hadapan dan belakang kereta.
Qiarra sudah tidak tahu apa
yang harus dibuat. Sekilas itu dia terfikir untuk menghubungi Sara.
“Helo.” Suara Sara di talian.
“Sara, kau kena tolong aku
Sara. Aku dah tak tahu nak buat apa ni...” Suara Qiarra cemas, seperti menahan
tangis dalam ketakutan.
“Bertenang Qiarra. Ada apa hal ni?” Suara Sara.
“Aku kena kepung Sara... Tadi
aku keluar rumah sorang-sorang. Aku terjumpa mamat motor yang aku kutuk dulu.
Tolong Sara. Macam mana ni?” Qiarra menggigil memegang telefon bimbit di
tangan.
“Kau kat mana sekarang?”
Tanya Sara.
“Aku tak tahu... aku dah tak
boleh fikir.”
“Cuba kau ingat apa ada kat tepi jalan masa kau dalam
perjalanan tadi.”
“Aku tak perasan...
sekejap... kat simpang tadi ada tapak binaan, ada tulis projek pembinaan
shopping center baru. Nama aku tak ingat.”
“Kau dari mana tadi?” Qiarra
serba salah untuk menjawab soalan Sara.
“Aku nak ke rumah Eddie.
Aku ke kafe tanya alamat Eddie pada Ravi, kawan dia. ”
“What?! Kenapa kau buat kerja gila macam ni Qiarra?... Sekejap aku
fikir... Okey macam ni. Kau tunggu dalam kereta. Jangan keluar! Walau apapun
terjadi jangan keluar. Aku minta tolong parents
kau...” Dengan segera Qiarra memotong kata-kata Sara.
“Jangan! Tolonglah jangan
libatkan papa dan mama aku. Mati aku nanti Sara!”
“Dah macam ni pun masih kau
nak sembunyikan rahsia dari mereka?”
“Kau tak tahu Sara. Hukuman
mati lebih baik daripada kena hukum kalau mereka tahu nanti. Aku takut aku dah
tak boleh keluar rumah lagi lepas ni.”
“Hmm... Qiarra, Qiarra. Kalau
macam tu aku pergi jumpa Ravi. Aku minta tolong dia. Kau ingat, jangan buka pintu!”
Pesan Qiarra mengakhiri perbualan mereka.
***
Eddie singgah ke stesen
minyak. Dia perlu mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke
kampung. Tambahan pula dia rasa ingin buang air kecil.
Telefon sudah diubah ke mod
senyap kerana malas melayan panggilan dari kafe.
Eddie bimbang memikirkan
reaksi ibunya. Tentu dia akan dileterkan lagi kerana berhenti kerja sekali
lagi. Kali ini bukan diberhentikan, tetapi dia berhenti dengan rela hati.
Masaklah telinga aku kena
leter lagi nanti, keluh Eddie sambil mengunci motosikal dan menuju ke tandas
awam di stesen minyak itu.
***
Sara dan Mimi meluru menuju
pintu Kafe Strawberry Fairyland sehingga beberapa pelanggan menoleh apabila
mendengar pintu dibuka dengan gopoh. Sara meminjam kereta ayahnya malam itu untuk tujuan
kecemasan.
Mata Sara melilau mencari Ravi.
“Ravi.
Ada masalah. Kami nak minta tolong.” Kata Sara.
Mereka mencari sudut di kafe
yang jauh dari pelanggan.
“Apa masalahnya?” Tanya Ravi.
“Qiarra kena kacau. Dia on the way balik dari rumah Eddie, tapi
ada mamat motor kepung dia. Kat mana kami tak tahu, tapi kata Qiarra ada tapak
binaan... shopping center... tapi
nama apa dia tak tahu.” Jawab Sara.
“Saya rasa saya tahu kat
mana.. Saya naik motor, nanti awak follow saya.” Jawab Ravi.
“Tak payah, lambat macam tu.
Awak naik kereta dengan kami.” Pelawa Sara.
***
Qiarra memerosokkan diri di
bahagian tengah antara kerusi pemandu dan penumpang di bahagian hadapan. Dia cuba mengelak daripada memandang kumpulan motosikal
sports dengan anggota hampir sepuluh orang itu. Enjin kereta tidak dimatikan
kerana dia masih menunggu peluang untuk lari sekiranya berkesempatan. Mahu
rasanya dia mengundur dan melanggar motosikal di belakang, tetapi dia khuatir
keadaan akan jadi lebih teruk lagi.
“Mana Sara ni? Cepatlah
sikit!” Qiarra merungut.
Ada anggota kumpulan itu yang mengintai melalui tingkap
untuk mengusik Qiarra. Ada juga yang mengetuk tingkap.
“Keluarlah cik adik. Kami dah
tak sabar nak berkenalan ni.” Antara jeritan mengusik yang di dengar Qiarra
melalui tingkap yang tertutup.
“Jomlah kita jalan-jalan,
ringan-ringan, berat-berat pun boleh.” Usikan yang lain diikuti tawa
berdekah-dekah membuatkan Qiarra rasa kecut perut.
Dalam gigil, air mata Qiarra
sudah tidak boleh dikawal lagi dengan ketakutan yang teramat sangat.
***
Tok! Tok! Tok!
“Eddie!” Suara Ravi sambil mengetuk pintu kayu rumah sewa yang didiami
Eddie.
“Eddie!”
Sejurus kemudian kedengaran engsel pintu dibuka dan seorang lelaki
melayu membuka pintu.
“Eddie tak ada. Dia dah balik kampung. Saya Mail, teman serumah Eddie. Ada apa halnya?”
Ravi
serba salah.
“Sebenarnya kami nak minta tolong. Kawan dia orang berdua ni kena kacau
mat motor. Itu yang kami nak minta tolong Eddie. Telefon pun dia tak jawab.”
“Kalau macam tu saya ikut sekalilah. Tunggu kejap.” Mail menawarkan
diri.
***
Eddie selesai mengisi minyak
selepas keluar dari tandas tadi. Dia baru saja mahu memakai topi keledar
apabila hatinya bagai diusik-usik supaya mengeluarkan telefon bimbit.
Ada satu mesej. Daripada Ravi. Mata dia hampir terbeliak
membaca mesej Ravi. Dengan segera dia menelefon Ravi
***
Buat pertama kali Sara
memandu dengan laju malam itu. Hampir-hampir dia meredah lampu merah kerana
memecut mengejarkan lampu kuning. Mujurlah tiada polis trafik yang bertugas
malam itu. Lebih teruk lagi kalau mereka terlibat dalam kemalangan.
Mereka tiba di kawasan tapak
binaan pusat membeli-belah yang dimaksudkan oleh Qiarra. Sara membelok menuju
ke jalan yang suram dan panjang itu.
“Matikan lampu depan. Bawa
kereta pelan-pelan arah Ravi. Kita tak mahu dia orang perasan.” Arah Ravi. Sara
akur.
Sara memandu perlahan-lahan
sambil menghimpit ke tepi. Akhirnya mereka lihat kumpulan motosikal yang
mengepung sekeliling Beetle kuning Qiarra.
“Apa kita nak buat sekarang?”
Tanya Sara..
“Kita tunggu Eddie. Selagi
Qiarra tak keluar, kita jangan buat apa-apa. Dia orang ramai tu.’ Jawab Ravi.
***
Azad begitu gembira hari itu.
Puas dia merancang pelbagai cara untuk memerangkap gadis berada yang bermulut
celupar. Tetapi akhirnya gadis itu sendiri yang menyerah diri tanpa
disangka-sangka.
“Hehe. Makan besar kita malam ini geng!” Seloroh Azad semasa mereka mula mengepung gadis itu.
Puas dia dan ahli gengnya
mencuba pelbagai cara, tetapi gadis itu masih enggan keluar dari kereta.
Azad sudah hilang sabar. Dia
mencari ikhtiar lain. Akhirnya dia dapat idea. Dia terpaksa membuat tindakan
drastik yang efektif.
“Geng! Pecahkan tingkap
kereta dia!” Arah Azad.
Seorang ahli geng itu
menanggalkan helmet dan bersedia untuk menghayun sekuat-kuat hati bagi
menghentam cermin kereta di bahagian pemandu. Belum sempat dia menghayun ke
hadapan, kedengaran satu laungan dari belakang.
“Hoi bedebah! Dah tak ada
kerja lain ke hah? Asyik nak kacau anak dara orang.” Suara lelaki melayu yang sedang
memegang sebatang paip di tangan. Di belakangnya dua orang rakannya, seorang
melayu dan seorang india yang juga bersenjatakan batang kayu dan besi.
“Kalau kau betul-betul anak
jantan. Mari lawan sama aku Eddie dengan kawan-kawan aku Ravi
dan Mail.” Suara Eddie lantang. Selepas dia tiba tadi mereka mengatur rancangan
dan menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
“Amboi, amboi. Buah keranji
di atas peti. Wah, tunjuk berani korang semua ya?” Jawab Azad.
“Kalau ya pun nak berpantun,
biarlah betul pembayang dan maksudnya. Jangan buat malu orang melayu.” Kutuk
Eddie dengan selamba.
“Peh, pendekar melayu
rupa-rupa pejuang bahasa Melayu juga. Geng, apa lagi. Belasah dia orang
semua!” Arah Azad.
Walaupun bersenjatakan batang
besi dan kayu, geng motor itu terlalu ramai bagi Eddie, Ravi
dan Mail. Akhirnya tangan mereka dipegang kuat oleh anggota kumpulan itu.
“Ish, ish, kesian. Hero-hero
malaya tertewas juga akhirnya.” Sindir Azad.
Dia kemudiannya menumbuk
perut Eddie sekuat-kuat hati sehingga muka Eddie berkerut sambil dia mengerang
kesakitan. Selepas itu mereka bergilir-gilir menumbuk ketiga-tiga lelaki itu
tanpa belas kasihan.
Qiarra masih teragak-agak
untuk keluar. Dia hanya duduk di dalam kereta melihat adegan yang menyayat hati
itu. Dia kasihan melihat Eddie dipukul semata-mata untuk menyelamatkan dirinya.
Tidak lama kemudian
kedengaran bunyi siren bergema kuat memecah kesunyian malam. Di kegelapan malam
kelihatan kilauan lampu biru siren kereta polis yang menyilaukan mata.
Azad dan gengnya segera
meninggalkan Eddie dan rakan-rakan yang lain. Dengan segera mereka menghidupkan
motosikal masing-masing dan beredar. Kereta polis terus mengejar kumpulan
motosikal yang memecut laju meninggalkan kawasan tu.
Eddie, Ravi
dan Mail masih terkapar di jalan menahan keperitan ditumbuk bertalu-talu.
Qiarra segera keluar dari kereta menuju ke arah mereka bertiga. Begitu juga
Mimi dan Sara.
Apabila Qiarra
menghampirinya, Eddie segera menyembunyikan kesakitan yang tergambar pada
wajahnya.
“Awak okey?” Tanya Qiarra
sambil menguak rambut Eddie yang menutupi bahagian yang berlumuran darah. Rasa
sakit Eddie hilang seketika apabila dahinya disentuh oleh Qiarra. Tetapi dia
sengaja mengelak daripada kepalanya terus disentuh oleh Qiarra.
“Saya... saya... minta maaf
sebab saya layan awak dengan kasar. Saya dah sedar sekarang. Hari ni
betul-betul hukuman kepada segala perbuatan saya.” Qiarra bersuara sambil
tunduk, penuh dengan rasa bersalah.
Eddie masih berdiam diri
seolah-olah dia masih marah dengan Qiarra.
“Saya tahu perasaan awak.
Kalau saya jadi awak pun mungkin saya tak akan maafkan perempuan bermulut
celupar macam saya.” Suara Qiarra dengan nada sayu. Rakan-rakan yang lain hanya
melihat adegan drama mereka berdua.
“Apa yang berlaku malam ni
adalah sebab saya nak pergi ke rumah awak untuk minta maaf. Saya sanggup
langgar arahan papa dan mama saya untuk jumpa awak. Tapi mungkin ini semua
adalah balasan kepada saya kerana kata-kata dan perbuatan saya dulu. Saya reda.
Dan kalau awak tak maafkan saya pun saya boleh terima. Saya anggap itu sebagai
hukuman seumur hidup saya. Cuma saya nak ucapkan terima kasih kerana awak
selamatkan saya malam ini. Selamat tinggal Eddie.” Suara Qiarra sambil dia
bangun untuk menuju ke kereta.
Belum sempat dia beredar, Eddie telah menyambar dan memegang erat tangan Qiarra. Qiarra berpaling melihat
Eddie dengan wajah terkejut.
“Saya tak apa-apa. Sikit saja
sakitnya. Saya dah maafkan awak.” Suara Eddie sambil tersenyum melihat wajah
Qiarra. Qiarra kembali duduk di sebelah Eddie. Buat pertama kali dia melihat
wajah Qiarra begitu rapat dan tersenyum padanya. Tiada lagi topeng yang
memisahkan wajah mereka berdua.
“Mengelatlah macam ni. Kau
sorang saja yang ada orang tengokkan. Kami berdua macam mana?” Suara Mail yang
masih terduduk di atas jalan. Mukanya tidak berdarah, cuma lebam di sebelah
mata kanan. Ravi pula luka di bahagian bibir sebelah kanan. Mimi dan
Sara hanya saling berpandangan dan menggeleng.
Eddie dan Qiarra tidak
mengendahkan kata-kata Mail. Mereka seperti berada di alam kayangan mereka sendiri
sambil berpandangan.
Melihat keadaan mereka
berdua, Sara berbisik.
“Jom, saya dan Mimi bawa awak
berdua pergi klinik. Lepas tu kami belanja Mc D. kita biarkan dua orang love bird tu. Kalau dia orang nak join,
terpulang. Kalau tak, biarkanlah. Nak buat macam mana.” Suara Sara sambil
memapah Mail untuk bangun. Mimi pula memapah Ravi.
Eddie dan Qiarra tidak
mengendahkan rakan-rakan yang sudah berlalu.
“Baguslah awak dah berubah.”
Kata Eddie. Sesekali rasa berdenyut di kepala dan perut datang semula.
Tiba-tiba Qiarra menghulur
tangan.
“Kita belum pernah berkenalan
sebagai diri kita sendiri. Selama ini kita masing-masing berlindung dengan
topeng masquerade kita. Saya Qiarra Raihanna binti Hafizudin. Awak boleh
panggil saya Qiarra.”
Eddie melihat seketika tangan
Qiarra sebelum menyambutnya dan menjawab.
“Saya Ruzaidi bin Minhad. Awak
boleh panggil saya Eddie.”
“Panggil Eddie saja? Eddie
Butterscotch tak boleh?” Usik Qiarra.
“Boleh, tapi dengan syarat
saya kena panggil awak Qiarra Sherbet Strawberi.” Jawab Eddie.
“Kalau saya panggil awak
Clumsy?” Qiarra bertanya lagi.
“Saya panggil awak Grumpy.”
“Kalau saya panggil awak Snow
White?” Giliran Eddie pula bertanya.
“Saya panggil awak Huntsman.”
“Huntsman? Kenapa tak panggil
saya Prince Charming?” Eddie mengusik. Nama-nama itu dia hafal semasa sesi
bercerita bersama Dayana semasa kecil dahulu.
“Kalau diberi pilihan antara
Huntsman dan Prince Charming, saya akan pilih Huntsman. Walaupun Huntsman tak
kaya dan hidup mewah seperti Prince Charming, tapi dia ada tarikan yang
tersendiri. Keistimewaan seperti manisan butterscotch yang tak boleh dipetik
dari mana-mana ladang.” Qiarra berkias.
“Tapi sanggupkah sherbet
strawberi yang anggun di dalamgelas kristal berkaki tinggi duduk semeja dengan
roti butterscotch murahan yang bersepah di kedai?” Eddie pula berkias.
“Sherbet strawberi yang
angkuh itu akhirnya sedar, walaupun roti butterscotch boleh didapati di
mana-mana, tetapi manisan butterscotch memang tak akan dijumpa di mana-mana
ladang. Sedangkan strawberi yang disangkakan mewah itulah sebenarnya yang sudah
bersepah di Cameron Highland.” Jawab Qiarra.
Mereka berdua tersenyum
melayan perasaan masing-masing. Sepoi-sepoi angin nyaman malam itu seperti
memahami jiwa mereka, yang juga nyaman dihembus angin cinta yang mula
berkembang.
Agak lama juga sebelum Qiarra
bersuara.
“Eh, mana yang lain?” Qiarra
segera mencapai telefon untuk menghubungi Sara.
<<<Akhir Bahagian 3>>>
kah kah kah sibuk sangat bercinta sampai tak perasan kena tinggal. hahahahah
BalasPadamHaha.. nasib baik ada kereta. Kalau tak menapak le..
PadamTerima kasih sudi singgah & komen..
satu perbandingan yg bt diri ini tergelak sendiri....roti butterscotch & sherbet strawberi...nyummy!
BalasPadamHehe..sedap kan? Buat perut lapar.. Terima kasih sudi singgah & komen..
Padamkata org yg kita tk suka, yg kita benci tu, lama2 nnti blh jd org yg kita suka dan kita sayang...
BalasPadamamboii..Qiarra..dh jth sayang ngn Eddie dh yee.. 15 n3 lagi tinggal tuk marathon baca...
>> Leen<<
Betul tu Leen. TQ sudi singgah menghayati kisah ini.. ^_^
Padam