Sebuah ladang strawberi luas yang sayup mata memandang,
bersama bukit-bukau dengan rona merah jambu bertekstur halus seperti sherbet
strawberi. Langit pula membiru dengan warna pastel, bersama kepulan awan bagai
gula-gula kapas.
Itulah pemandangan di sekeliling pada ketika itu. Kelihatan
sebuah menara tinggi bagaikan dibuat daripada kristal dengan warna berkemilau,
tersergam indah mencapai langit. Nun sayup di atas menara tinggi kristal itu
kelihatan seorang gadis ayu berambut panjang sedang memandang ke bawah dari
balkoni.
Di kaki menara itu kelihatan seorang pahlawan perkasa
berdiri dengan pakaian satria melayu dengan kain bersulam emas. Segak dan sasa
dia berdiri bersama keris tersemat di pinggang. Wajahnya tampan dan pastinya
akan memikat siapa saja gadis yang melihat.
Nama pahlawan itu adalah Adi Wira. Dia ke sini untuk
menyelamatkan seorang puteri rupawan yang terkurung di atas menara.. Puteri
yang bakal menjadi permaisuri istana hatinya, sekiranya dia berjaya.
"Bagaimana harus aku memanjat menara tanpa tangga ini?
Bagaimana harus aku meluahkan perasaan apabila bertemu dengan puteri yang
cantik bagai bidadari kayangan itu nanti?" Pahlawan itu sedang mencari
ikhtiar untuk menyelamatkan puteri tersebut.
Dia tidak dilahirkan dalam keluarga bangsawan atau diraja,
tetapi sekiranya dia berjaya menawan hati puteri ini, dia boleh merasa
kebahagiaan hidup bersama puteri itu. Dia tahu menyelamatkan puteri ini
bukanlah perkara yang mudah, tetapi dia sanggup melakukan apa saja supaya dapat
bertemu puteri itu.
"Eddie." Kedengaran sayup suara memanggil. Suara
yang diharapkan adalah suara puteri itu.
Tetapi kenapa suaranya garau? Adakah puteri ini ...?
Soalan-soalan yang bermain di fikiran Adi Wira.
"Eddie!" Suara itu makin lantang dan makin garau.
Hati Adi Wira semakin goyah. "Kalau itu suara puteri di
menara kristal ini, baik aku cabut sebelum terlambat."
"Eddie....!" Suara itu semakin lantang dan kasar,
sungguh berlawanan dengan rupa puteri yang cantik menawan itu.
Tetapi Adi Wira sudah mengatur langkah meninggalkan puteri
bersuara parau itu. Baru beberapa langkah dia menapak pergi, satu simbahan air
hinggap di kepalanya. Pada masa itu dia menyangka hujan telah tumpah dari
langit dan terus singgah ke mukanya yang sedang terpinga-pinga.
Eddie terduduk di katil bersama muka yang sudah basah kuyup.
Dia bukan lagi pahlawan Adi Wira yang sedang berusaha untuk menyelamatkan
puteri di menara kristal tadi.
"Padan muka kau! Aku kejut elok-elok, engkau baik punya
berdengkur. Dekat berpuluh kali aku memekik sampai serak tekak aku kau tau tak!
Tapi kau buat dek aje. Tidur macam tunggul kayu. Kan dah tak pasal-pasal kena
simbah!" Sindir Mail rakan sebiliknya.
"Kau ni haprak betul lah Mail. Aku tengok syok-syok
mimpi. Potong stim betul!" Eddie merungut sambil mengurut kepala yang
sedang berdenyut. Dia dapat tidur hanya beberapa jam kerana terpaksa mentelaah
untuk ujian semasa kelas petang nanti, disamping menyiapkan tugasan kelas malam
tadi.
"Banyak kau punya mimpi! Dah berapa hari aku asyik dengar
kau merungut kena marah sebab datang kerja lewat. Kau tengok jam sekarang.
Telinga aku dah bernanah asyik dengar kau merungut pasal kena marah. Balik
malam aje merungut. Kena marah kat tempat kerjalah. Kena tidur lewat lagi sebab
banyak assignment lah. Aku rasa Eddie, esok aku nak letak jawatan jadi tukang kejut
kau. Bukan ada apa-apa faedah pun. Kalau ada gaji tak apalah jugak. Esok kau
pandai-pandailah bangun sendiri." Panjang-lebar Mail berleter.
"Mail, kau nak tau tak? Aku ingat bila aku dah tak
duduk dengan mak aku, tak adalah aku kena bebel lagi. Tapi sangkaan aku
meleset... Rupanya kau ni lebih teruk daripada mak aku!" Sindir Eddie dengan
nada seperti sedang menghafal skrip drama pementasan. Sejurus itu bantal
hinggap ke mukanya yang masih lencun dengan air.
Setelah Mail meninggalkan bilik, mata Eddie memandang tepat
ke arah jam dinding Mickey Mouse dengan tangannya menjadi jarum jam dan matanya
bergerak ke kiri ke kanan mengikut setiap saat yang berdetik. Jam yang memang telah
sedia ada semasa dia dan Mail mula menyewa rumah itu.
"Aduh! Lewat lagi! Mengamuklah harimau jadian macam
semalam!" Eddie bingkas bangun dan terus mencapai tuala menuju ke bilik
air sambil memikirkan nasib-nasib malang
yang bakal ditempuh hari itu. Biasanya begitulah, selepas mimpi indah ala
kayangan, pasti membawa petanda buruk untuk dirinya.
"Kita nak pergi mana ni?" Suara gadis
kecil molek berlesung pipit dengan rambut panjang ala model iklan syampu
Pantene. Jam Bonia melilit kemas tangan kirinya.
"Alah... kau
tengok ajelah nanti Qiarra." Suara cina gadis berkulit putih melepak
dengan rambut pendek perang ala Mia Farrow.
"Betul kata Mimi. Kau ikut ajelah kami." Suara seorang
gadis berkulit hitam manis yang sedang memandu.
"Apa ni Mimi, Sara. Kita nak masuk kelab
ke? Kalau kantoi susah kita nanti!" Suara Qiarra di kerusi belakang kereta
Volkswagen Beetle Kuning model terkini kepunyaannya. Sara beria-ia mahu
memandu kereta itu hari ini. Ada surprise katanya sempena hari istimewa
itu.
"Alah.. kau duduk diam sajalah kat belakang tu."
Suara Mimi.
Kereta Volkswagen Beetle kuning itu diparkir di hadapan
sebuah kafe yang telah menjadi tempat bersantai mereka secara kerap.
"La... korang bawak aku ke sini? Apa surprisenya?" Qiarra berpeluk tubuh
sambil mereka berjalan menuju ke kafe dengan banner besar terpampang bertulis "Strawberry Fairyland
Cafe" bersama gambar buah-buah strawberi menjadi hiasan.
"Belum lagilah. Kau tengok saja nanti." Mimi menarik
lengan Qiarra supaya lekas. Sara sudah pun masuk ke dalam.
"Ruzaidi Minhad! Dah berbuih mulut saya suruh awak
datang awal. Tapi hari-hari awak buat perangai yang sama. Ini last warning, okey.
Kalau esok awak buat hal lagi, saya dah tak tahu nak cakap apa lagi dengan bos.
Lepas ni kalau bos tanya, awak jawab sendiri! Saya dah malas mahu back-up awak."
Suara lunak tetapi nyaring milik supervisor Eddie bernama Cecilia.
“Saya minta maaf Cik Cecilia. Saya ...” Eddie cuba
mengambil hati wanita di akhir dua puluhan itu, tapi tidak sempat menghabiskan
ayat kerana segera dicantas.
"Dah, saya malas nak dengar alasan awak lagi. Cepat
siapkan pesanan. Meja 3 ada special
celebration hari ni. Ada birthday surprise. Blueberry cheesecake
dengan tiga Coke, tiga sherbet strawberi. Cepat! Cepat!" Suara Cecilia
sambil Eddie bersegera memakai baju uniform pelayan dan topi bertema
jalur-jalur merah jambu. Kepalanya masih berdenyut-denyut.
Mahu rasanya dia ambil cuti hari itu, tapi rekod prestasinya
semakin buruk akhir-akhir ini. Silap haribulan dia mungkin akan dibuang kerja.
"Kau okey ke Eddie?" Tanya Ravi, juga pelayan di
kafe itu.
"Kepala aku sakitlah Ravi. Tapi
kau jangan risau, aku masih buat kerja lagi." Eddie cuba
memberi alasan agar dia boleh terus menjalankan tugas.
"Kalau kau mahu, aku ada panadol Actifast." Pelawa
Ravi.
"Tak apa, tak apa. Aku larat lagi. Kalau dah teruk
sangat nanti aku mintak." Eddie meneruskan kerja sambil Ravi
melihat dengan curiga.
"... Happy
Birthday to Qiarra Raihanna. Happy Birthday to you." Suara Sara dan Mimi
mengalunkan bait-bait penutup lagu untuk birthday
girl itu tanpa menghiraukan mata yang berpaling melihat mereka. Suara
mereka pastinya akan mendapat kad merah jika ke ujibakat Akademi Fantasia.
Qiarra tersenyum meleret sambil melihat kawan-kawan
rapatnya. "Thank you guys. That's so
sweet."
"Apa lagi. Potonglah cepat. Aku dah kebuloq ni!" Suara
Sara sambil menghulurkan pisau pemotong kepada Qiarra.
"Nanti, nanti!, birthday
girl kena make a wish dulu."
Suara Mimi menahan mereka berdua.
Qiarra hanya melayan kerenah gadis cina itu, walaupun budaya
itu kurang sesuai untuk orang melayu yang beragama Islam sepertinya. "Okey, sudah." Kata Qiarra setelah selesai dia menutup mata sebentar dan meniup
lilin. Dia kemudiannya memotong kek blueberry bertatah ceri yang amat menggamit
rasa itu.
Eddie menahan bisa di kepala yang terasa kuat berdenyut-denyut.
Tetapi dia masih tegar mengambil pesanan dan menghantar hidangan pelanggan
seperti biasa.
"Meja 3 punya order sherbet strawberi tiga mana belum
hantar?! Cepat-cepat, nanti customer bising!" Suara Cecilia nyaring di
bahagian dapur kafe. "Eddie pergi cepat hantar! Apa terhegeh-hegeh lagi
ni?!"
Eddie lekas-lekas menyiapkan pesanan. Dengan scoop dia
mencedok sherbet strawberi yang sama rupanya seperti aiskrim.
"Susah-susah nak guna nama glamour sherbet. Panggil aiskrim aje kan
senang?" Mulutnya sempat mengomel sambil meletakkan hirisan strawberi dan
sebiji ceri ke dalam setiap sherbet strawberi yang molek terletak di dalam tiga
gelas kristal berkaki tinggi.
Melihat gelas kristal dan sherbet strawberi yang berwarna
merah jambu itu mengingatkan dia kepada mimpi malam tadi. Tiba-tiba hatinya
berasa cuak dan risau.
"Entah apalah pulak petanda mimpi aku malam tadi.
Tunggu sajalah.." Suara Eddie sambil meletakkan tiga pesanan sherbet
strawberi di atas dulang untuk dibawa kepada pelanggan. Kepalanya masih terus
berdenyut bagai mencucuk-cucuk kulit kepalanya.
"Mana sherbet kita belum sampai ni?" Tanya Sara
keresahan.
"Kejap lagi sampailah tu." Jawab Mimi.
"Dia orang ni buat kerja slow sangat. Kalau kedai ni bapak aku punya, dah lama aku buang
semuanya." Suara Qiarra angkuh.
"Eh, tapi tadi kau tengok tak muka mamat yang hantar
kek tadi? Handsome kan?"
Suara Sara seperti terpikat dengan pelayan yang dimaksudkan, seperti tidak
mengendahkan kata-kata Qiarra.
"Yalah, memang handsome.
Tapi bukan taste I. I suka yang putih
cerah macam artis Korea.
Tak kiralah pelakon atau penyanyi K-Pop." Jawab Mimi selamba.
"Alah... muka handsome
kalau kerja pelayan kafe saja apa kelas? Zaman ni kalau ada rupa saja tak ke mana.
Aku tak pandanglah lelaki macam tu. Silap haribulan kalau jadi boyfriend, kerja dia asyik mengikis harta bapak aku
saja." Kata-kata Qiarra yang pasti akan menjemput rasa meluat sesiapa yang
mendengar. Sifat angkuhnya menyebabkan dia tega mengeluarkan kata sesuka hati.
Hanya Mimi dan Sara yang sudah lali dengan mulut laser Qiarra.
"Itu dia mamat handsome
dah sampai.." suara Sara teruja berbisik apabila melihat Eddie datang
bersama tiga gelas kristal berisi sherbet merah jambu yang ditatang di atas
dulang.
Eddie sempat memerhatikan ketiga-tiga gadis yang berada di
meja nombor 3 semasa dia menghantar kek keju blueberry tadi. Gadis cina dan
gadis berkulit hitam manis itu memandang dirinya ‘lain macam’ membuatkan dia
rasa gabra. Sikap gadis cilik dengan gaya
orang berada itu pula membuatkannya bertambah gabra, seperti mencari kesalahan
yang dilakukan walaupun sekadar kesilapan kecil.
Dengan tidak semena-mena darahnya menjadi gemuruh ditambah
oleh denyut yang tidak kunjung reda di kepalanya. Ini bukan hari yang baik
untuk aku, hatinya berbisik.
Dia meletakkan gelas kristal berisi shertbet strawberi di
hadapan Mimi dan Sara, sambil empat biji mata mereka memandangnya seperti sedang
terpukau setelah dijampi oleh ahli sihir.
Semasa dia mahu mengangkat sherbet strawberi dari dulang ke
meja Qiarra, dia terlihat kenyitan mata Sara yang nakal. Nafasnya bagai
terhenti seketika dan tangannya menjadi tidak terkawal. Dulang di tangannya
hilang imbangan dan gelas kristal berisi sherbet strawberi itu hinggap
betul-betul di atas baju Qiarra sebelum jatuh terletak di atas kain skirt yang
dipakai.
Sara dan Mimi melihat Qiarra dengan mata yang terbuntang.
Qiarra hanya mampu melihat baju dan skirt yang sudah bersememeh dengan sherbet
strawberi yang semakin mencair. Eddie berdiri bagai Tugu Millenium di Putrajaya,
tegak terpacak dan kaku tanpa bersuara. Suasana hening seketika sambil beberapa
pasang mata memerhatikan kejadian di meja bernombor 3.
“Saya minta maaf cik, saya tak sengaja.” Suara Eddie dengan
rasa bersalah yang sudah tidak mampu digambarkan lagi. Mahu rasanya dia mengambil
kain untuk mengelap sherbet yang tumpah di baju gadis itu, tapi dia khuatir
niatnya akan disalah erti pula.
Cecilia, Ravi dan beberapa pekerja
kafe sedang melihat dari kaunter kafe. Lebih malang
lagi, Puan Ainon, pemilik kafe juga sudah tiba dan sedang melihat mereka semua.
“Nah tisu cik ...” Eddie cuba
mengambil hati gadis yang terkedu tidak bersuara sejak tadi
"You are so
stupid! Macam mana awak boleh kerja di kafe macam ni?!” Qiarra yang terlalu
marah akhirnya mengeluarkan suara, seperti gunung berapi yang baru meledak
memuntahkan lahar. Suaranya begitu lantang bergema di ruang kafe yang
bertemakan rona merah, merah jambu dan putih.
Dia mencapai beberapa helas kertas tisu dengan kasar dan
mengelap pakaiannya yang sudah comot.
“Rupa ada, tapi otak zero! Buat malu aku aje! Iiii....
Geramnya!" Suara lantang Qiarra sebelum berjalan dengan pantas
meninggalkan kafe. Mimi dan Sara serba salah antara mahu menenangkan Qiarra
atau menyelesaikan urusan di kafe. Akhirnya Sara menjelaskan bayaran yang tidak
termasuk sherbet yang belum disentuh dan yang telah tumpah. Mimi sudah meluru
ke kereta untuk menenangkan Qiarra yang sedang menggelegak seperti gizar air
panas di New Zealand.
Eddie sudah tidak tentu arah. Berbagai perasaan menghurung
dirinya. Malu, bersalah, risau, kesal, semua berbaur menjadi satu. Dalam
keadaan buntu dia hanya memegang kepalanya yang sedang berdenyut ‘bagai nak rak’.
Ini rupanya petanda mimpinya malam tadi. Kejadian yang
begitu simbolik bersama gelas kristal, sherbet merah jambu, dan puteri di
menara. Memang malang sungguh nasib
dia hari itu. Tetapi dia dapat rasa ada berita yang lebih buruk lagi selepas
itu.
Puan Ainon datang menghampirinya dengan wajah yang sudah
merah padam, tetapi dia masih mampu mengekalkan ‘kesiuman’ dan profesionalisma
pada dirinya. Kata-kata yang dikeluarkan juga begitu tenang di sebalik wajah
yang menampakkan gelora di dalam hatinya.
“Eddie, you are fired!”
Kata-kata puan Ainon yang menikam jantung Eddie hingga membunuh semangatnya
pada hari itu.
"you are so UNfired..."
BalasPadambest lar crite nie apa...
I like ur style..keep it up..!
BTW..mam PANADOL boleh mengantuk ke..?? kwang4x...kantoi
Terima kasih sudi komen. ^_^
PadamPanadol memang boleh menyebabkan rasa mengantuk.
Cuma panadol actifast yang tak.
Sebab mr/ms Anonymous komen, saya dah ubah part itu.