Kota London hari ini sejuk menggigit. Telah beberapa hari salji turun dengan renyai. Baju kot hitam labuh yang aku beli dari Pasar Portobello kukepit erat-erat, tetapi sejuk masih mencucuk menembusi baju kurung sutera teluk belanga yang aku pakai hingga ke tulang belulangku. Jari-jemariku telah putih kemerahan menggigil kering digigit dingin salji.
Hari ini adalah hari yang amat istimewa bagiku. Aku mendapat A dalam tugasan kerja kursus ekonomi. Telah dua bulan aku bertungkus-lumus membuat kajian dan mengarangnya. Akhirnya aku mendapat hasil yang amat memuaskan. Tulisan yang aku sangka biasa-biasa sahaja rupanya telah menambat hati profesorku untuk mendapat markah yang tinggi.
Di hadapan mataku terbayang tofi epal dari Kedai Rose & Candy berhampiran universiti tempat pengajianku untuk menyambut kejayaan ini. Tidak pernah tercatat dalam sejarah universiti seorang pelajar melayu mendapat A dalam tugasan mata pelajaran itu.
Aku masuk ke kedai dan terus menuju ke bahagian yang sudah tidak asing lagi bagi aku.
“Can I have one toffee apple please?” kata-kataku sambil menunding jari ke bahagian deretan epal bersalut gula-gula tofi yang dicucuk dengan batang seperti lolipop gergasi. Wanita inggeris berambut putih itu segera mencapai tofi epal yang aku tunjuk dan memasukkannya ke dalam beg kertas putih. Pipi dan hidungnya jelas kemerahan kerana kulit yang putih melepak kedinginan dek salji Kota London.
“That’s one quid, love,” ujarnya sambil menghulur tofi epal kepadaku. “Cheerio.” Sambungnya sambil menyambut duit dari tanganku. Aku masih belum mengerti lafaz terakhir wanita inggeris itu sama ada maknanya terima kasih atau selamat tinggal. Begitu juga penggunaan “Love” di dalam percakapannya.
Aku sedang memasukkan tofi epal ke dalam beg ketika loceng pintu berbunyi. Aku lihat seorang lelaki dan seorang wanita masuk. Dari kulit sawa matang lelaki itu dan raut wajah mereka berdua aku agak mereka dari
Asia. Mungkin
Malaysia, mungkin
Indonesia, atau mungkin
Thailand. Sempat aku memerhatikan mereka sekilas pandang. Lelaki berkulit sawo matang itu agak tinggi, berbadan tegap berisi, berambut pendek ala rekrut askar, memakai jeket kulit hitam dan seluar jeans biru lusuh. Wanita itu pula berkulit putih mulus, berambut hitam keperangan, dan memakai cermin mata gelap yang diletakkan di atas dahi. Berdasarkan firasatku perempuan ini mungkin seorang model dan lelaki itu pengawal peribadinya. Tetapi daripada cara lengan mereka yang saling berpautan, aku kira mungkin mereka adalah pasangan kekasih. Sempat aku lihat wajah lelaki itu dari jarak agak dekat, agak manis berkumis nipis. Ingin aku tatap lama lagi aku khuatir wanita itu akan salah sangka, lalu aku bergegas keluar dari kedai itu.
“Apa istimewanya tofi epal, Mira?” tanya
Erin, teman sebilikku sambil memerhatikan aku menikmati tofi epal dengan penuh perasaan.
“Cuba kau tengok lapisan gula tofi yang keras di luar ni.
Susah hendak digigit. Tapi bila kau dapat pecahkan lapisan keras gula ni, kau akan dapat rasa nikmat kelembutan epal yang segar.” Aku menerangkan seperti pakar tofi epal, sambil mengunyah penuh selera.
“Macam cinta?” teka
Erin.
“Mungkin juga. Tapi bagi aku lebih seperti subjek Perakaunan Perniagaan Mister Nick Richard.
Susah hendak difaham kerana dialek
Ireland yang pekat, tapi bila sudah faham, seronok dan menarik.” Aku menerangkan, sengaja mengelak daripada subjek cinta yang ditimbulkan oleh
Erin.
'Cinta? Apa maksud cinta? Kalau cinta bermakna tarikan kepada kaum Adam, bagiku cinta adalah untuk lelaki yang aku jumpa di kedai tofi epal tadi.' Hatiku berceloteh sendirian membuat aku tersenyum sendiri. Dengan segera aku menutup senyuman dengan tangan, takut-takut
Erin perasan akan perbuatanku yang seperti dilanda angau.
Selesai kuliah petang itu aku singgah ke kedai Rose & Candy, untuk mendapatkan bekalan tofi epal.
'Adakah aku sudah ketagih dengan tofi epal?' Hatiku berbisik. 'Apa agaknya yang diletak di dalamnya? Aku sudah bertanya kepada wanita inggeris itu, dan dia sudah memastikan kandungannya tiada lemak haiwan dan tiada bahan alkohol. Bagaimana kalau aku dijangkiti karies gigi? Atau berat ku bertambah kerana kalori di dalam gula tofi? Tapi bukankan pepatah inggeris an apple a day keeps the doctor away menekankan khasiat epal dari segi kesihatan?' Pelbagai soalan itu terus bermain di fikiranku sambil aku menuju ke bahagian tofi epal.
“Beli tofi epal lagi?” tiba-tiba suara garau lelaki menerjah telingaku. Daripada nada percakapannya aku pasti dia rakyat senegara denganku. Aku terpinga-pinga. Mataku yang asyik memilih tofi epal untuk menjadi habuanku kini tertumpu ke wajah lelaki yang berdiri dekat di sebelahku. Lelaki sama yang aku jumpa tempoh hari. Kali ini aku dapat melihat wajahnya dengan lebih dekat dan jelas, berkumis nipis sambil tersenyum menampakkan giginya yang putih bersinar. Sungguh menarik hati. Aku senyum kembali.
Tiba-tiba hatiku bergelodak seperti ombak tsunami bergulung menuju ke pantai. Aku kalut, tidak tahu untuk memberi ekspresi yang sesuai dalam keadaan yang tidak pernah aku alami itu.
'Kenapa tiba-tiba aku jadi seperti ini. Ini bukan pertama kali aku berbual dengan lelaki yang tidak aku kenali, tetapi perasaanku hari ini sungguh berlainan.' Apa yang sedang aku fikirkan hanyalah mencapai tofi epal dan keluar dari kedai itu. Sedang aku sibuk mencari duit syiling dalam beg, lelaki itu telahpun meletakkan sekeping duit syiling di atas kaunter.
“Cheerio.” Ucap wanita Inggeris itu sambil mencapai duit syiling di atas kaunter dan mengenyit mata kepadaku. Aku dapat rasa darah menyirap ke wajahku, kerana perasaan malu yang tidak mampu aku bendung lagi.
“Terima kasih.” Ucapanku ringkas kepada lelaki berkumis nipis itu sebelum meluru keluar tanpa menoleh ke belakang. Aku menapak pantas dengan langkah yang deras jauh dari kedai tofi epal.
'Kalau cinta bermakna tarikan kepada kaum Adam, bagiku cinta adalah untuk lelaki yang aku jumpa di kedai tofi epal tadi.' Kata-kata yang pernah aku fikirkan bermain di minda, seakan-akan mengejek setelah apa yang berlaku.
'Kenapa aku jadi seperti ini? Adakah ini namanya cinta? Kalau benar ini cinta, kenapa di sekolah tidak diajar subjek cinta supaya dapat aku memberikan reaksi yang sesuai apabila berhadapan dengannya?' Soalan demi soalan bermain di fikiranku.
Cerpen ini telah dimuatkan ke dalam antologi cerpen
KEMBARA MENCARI CINTA
Sila kunjungi laman FB Kembara Mencari Cinta
untuk perkembangan terbaru tentang
antologi cerpen solo ini.
KLIK DI SINI
nice :)
BalasPadamBest ! Tahniah ya ^___^ Semoga brjaya :')
BalasPadamTerima kasih.. :)
BalasPadambest l erita ni.. hehe hebat !
BalasPadamTerima kasih cik Pensil. Baru nak belajar2 tulis cerpen. hehe.. :)
BalasPadambest lah citer nie abg s. kausari :)
BalasPadamgud luck! (@_@)
Terima kasih Eimma :)
BalasPadam