BAHAGIAN 5 : PUCUK DI CITA
Bab 18
Sepanjang perjalanan pulang
ke kampung, pelbagai perkara bermain di benak Eddie. Umpama sebuah tayangan
kisah hidupnya tentang segala peristiwa yang mewarnai hidupnya dengan duka dan
ria.
Bertahun-tahun dia memendam
perasaan kerana tertanya-tanya siapa ibu dan bapanya yang sebenar. Perasaan itu
datang setiap kali dia dihambur dengan kata-kata cemuhan, sama ada oleh ayah
angkatnya di rumah atau oleh murid-murid nakal di sekolah terutamanya Arshad
dan gengnya. Kata-kata dan tawa sinis dan mengejek menjadi makanan harian
sehingga hatinya sudah kematu dengan rasa kecil hati dan sedih.
Jauh di sudut hatinya ada
rasa terkilan apabila melihat anak-anak yang gembira bersama ibu dan bapa
mereka.
Tentu seronok rasanya jika
ada ibu dan ayah sendiri, bisik hati Eddie semasa melihat keluarga seperti itu.
Adakala ada titis yang mengalir tanpa dijemput.
Kepedihan dan kesengsaraan
itu menjadikan dia seorang yang cekal dan bercita-cita tinggi. Adakala dia
menyalahkan takdir kerana dugaan hidup bersama arwah bapa angkatnya menjadikan
dia keciciran dalam pelajaran. Tetapi akhirnya dia pasrah bahawa ini semua
adalah kehendak Tuhan dengan hikmah yang tersirat.
Entah kenapa, satu pelajaran
bersama Dayana masih kekal hingga kini. Pepatah ‘Every cloud has a silver lining’ begitu sinonim dengan hidupnya.
“Cuba awak lihat awan.” Kata Dayana satu masa dahulu ketika
mereka duduk di tepi padang sekolah memerhatikan langit.
“Awan mendung menandakan hari
akan hujan. Tapi di balik awan ada matahari yang bersinar terang. Pada setiap
awan yang mendung dan gelap, ada garis sinar yang terlakar pada lekuk-lekuk
awan.” Terang Dayana.
“Apa maksud awak?” Tanya
Eddie sambil melihat wajah gadis yang berlesung pipit manis di pipi.
“Dalam setiap kepayahan dan
kesukaran hidup, sentiasa ada sinar cahaya yang menanti. Macam matahari. Walau
bagaimana lama sekalipun kita menunggu ia muncul, akhirnya ia tetap akan
muncul.” Jawab Dayana.
Pandangan Eddie kemudian
beralih ke arah kepulan awan.
Ya, memang benar kata Dayana.
Setiap awan ada garis sinar yang menggarisi keluk rupa awan. Fikir Eddie.
“Sebab tu pepatah Inggeris
ada sebut... ”
“Every cloud has a silver lining.” Suara lirih Eddie sambil
menunggang motosikal, seolah-olah menyambung kata-kata Dayana suatu masa
dahulu. Dia tersenyum sendirian dengan memori bersama Dayana dan maksud yang
tersirat di sebalik pepatah Inggeris itu.
Wajah Dayana muncul di mata
Eddie. Gadis itu pernah bertakhta di hatinya, dengan kisah hidup yang menyayat
hati dan wajah manis berlesung pipit. Kini setiap kali wajah itu muncul hati
Eddie diselubungi rasa bersalah. Kekusutan fikiran menyebabkan jiwanya rasa
bercelaru.