PERINGATAN BERSAMA

Segala hasil karya di sini adalah hak milik penulis. Tiada bahagian yang boleh diciplak (digunakan semula dalam bentuk asal atau telah diubahsuai). Bayangkan kalau itu berlaku pada diri anda. Berkaryalah dengan cara berhemah, bermoral dan kreatif. Jangan ambil jalan mudah hingga menjerat diri sendiri di kemudian hari. Semoga bermanfaat.

~ Salleh Kausari

HASIL TULISAN SALLEH KAUSARI:


A. NOVEL SOLO





1. NOVEL INTERAKTIF THRILLER, MISTERI & SERAM, MISTERI MIMPI YANA (Terfaktab)

Novel interakti ini berjaya meraih hadiah utama dalam pertandingan Writers Unleashed - Pencarian Manuskrip Terbaik 2014 anjuran MyCreative.

Sampel bahagian pertama:



Nota Penulis: Baca ikut susunan dalam Route Map di atas.

[Komen Pembaca] [Sinopsis] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6]


2. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, SUMPAHAN LING CHI (Buku Prima)


3. NOVEL THRILLER, MISTERI & SERAM, OPHELIA (Buku Prima)




B. KOLABORASI PENULIS GBK (BUKU PRIMA & ALAF 21)



1. ANTOLOGI CERPEN JIWA KACAU - GAUN BERDARAH (Karangkraf)

Himpunan 27 Cerpen Seram-Misteri-Thriller

ENTRI JURNAL SHAHNAZ: AKU BENCI PAPA (klik di sini untuk baca sedutan)


2. PROJEK SERAM PULAU – FLOR DE LA MAR (Buku Prima)


3. PROJEK SERAM TOYS – SAYANG SYAQILA (Buku Prima)


4. ANTOLOGI CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT VOL 4 - TEKSI (Karangkraf)


5. PROJEK THRILLER VAPE – ALFIAN DAN DUNIA MISTERIUS (Buku Prima)


6. PROJEK THRILLER UBAT – POTRET SYAPUTRA (Buku Prima)


7. PROJEK CINTA PILOT – TAKDIR CINTA IKHWAN (Alaf 21)




C. KOLABORASI UMUM



1. ANTOLOGI CERPEN LEBIH INDAH (Rizque Publishing)


2. ANTOLOGI CERPEN 1 WANITA 10 LELAKI (SOP)

Kesinambungan cerpen Lafaz Cinta Yang Aku Cari dari antologi Lebih Indah dalam cerpen Kenangan Cinta Ekspres Rakyat.


3. ANTOLOGI CERPEN SUAMIKU (Terfaktab)

Antologi cerpen humor dan parodi novel berjudul Suamiku termasuk Suamiku, Lakinya, Hubby dan .... (klik di sini untuk baca sedutan)


4. ANTOLOGI CERPEN SARKAS (Bebas Press)

Menampilkan lebih 20 cerpen sarkastik humor termasuk Facebook, Sebiji Epal dan Sebuah Novel (klik di sini untuk baca sedutan)


5. ANTOLOGI PUISI RUMAH INI MILIK SIAPA? (Tebuone Press)

Memaparkan tiga puisi oleh Salleh Kausari - Rumah Kau Aku Kita (Rintihan Gelandangan Bumi Merdeka), Pesan Ayah dan Zaman Dulu, Zaman Sekarang.




D. TERBIT SENDIRI



1. ANTOLOGI PUISI SOLO KEMBARA MENCARI PELANGI (Kausar Kreatif)

Sebahagian puisi dalam bentuk asal disiarkan laman Facebook Koleksi Puisi Pena VR


2. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI CINTA (Kausar Kreatif)

Sedutan beberapa cerpen (klik judul cerpen):


3. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI SINAR (Kausar Kreatif)


4. ANTOLOGI CERPEN SOLO KEMBARA MENCARI ENTITI (Kausar Kreatif)




D. E-NOVEL & NOVELET



1. NOVEL CINTA, KELUARGA DAN DRAMA KEHIDUPAN, KASIHKU SESUCI EMBUN, SETEGUH GLADIOLI

Bab-bab preview telah disiarkan di Ilham Karangkraf.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25]


2. NOVEL TRILOGI ROMANTIK THRILLER ROTI BUTTERSCOTCH, SHERBET STRAWBERI

Bahagian kedua dan ketiga novel trilogi ini masih dalam perancangan.

[Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27]


3. NOVEL KOMEDI ROMANTIK, MISI MONA MENCARI MISTER RIGHT

Sebuah kisah yang menyentuh isu jodoh, pilihan dan usia...

[PROLOG] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7] [8] [9] [10] [11] [12] [13] [14] [15][16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24] [25] [26] [27] [28] [29] [30] [31] [32] [33]


4. KISAH FANTASI, FANTASIA IZARA

[1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


5. NOVEL SAIFAI THRILLER APABILA BUMI BERSUARA.

Novel bertema alam sekitar ini masih dalam proses pembaikan


6. KISAH AKSI SAIFAI, MUTASI GEN-X

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham .

[Pengenalan] [Prolog] [1] [2] [3] [4] [5] [6] [7]


7. KISAH SERAM MISTERI, MISTIQ

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di blog ini.


7. KISAH EPIK FANTASI SERAM, HUTAN SEMAMBU KUNING

Bab-bab pertama kisah ini telah disiarkan di Portal Ilham.




E. LAMAN FACEBOOK


1. GRUP PEMBACA LAMAN INSPIRASI PENA VR

Komuniti pembaca karya Salleh Kausari

[Klik untuk berkunjung]




2. Lain-lain:

Apa-apa perubahan atau tambahan akan saya maklumkan di sini.

Selamat membaca ^_^
Cheerio!

~ Salleh Kausari

8 Disember 2019


Rabu, 31 Oktober 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Bab 1


BAHAGIAN 1: EDDIE

BAB 1



20 Tahun Yang Lalu

Malam itu angin bertiup begitu kencang. Atap zink rumah kayu di Kampung Seludang bagaikan menjerit di atas bumbung apabila bahagian yang longgar menghentak-hentak rangka beluti, bersama deru angin yang sayu dan nyaring.

Aishah tidak dapat lena malam itu. Bukan angin ribut yang merisaukannya. Ada yang jauh lebih merisaukannya daripada itu. Dia memikirkan masa depan hidupnya bersama lelaki bernama Jamil. Perbualannya selepas suaminya pulang dari kerja petang tadi benar-benar menghiris kalbu wanitanya.

"Apa salah Esah abang buat Esah macam ni?" Suara Aishah tersedu-sedu selepas nasi dan lauk yang dimasak sedikit pun tidak dijamah. Walhal semasa baru selesai menuruni jinjang pelamin dahulu, masakan itulah yang dipuji bersama kata-kata sayang yang diucapkan.

"Kau tanya aku apa salah kau? Tak ada apa-apa. Bukan salah kau. Tapi salah aku. Salah aku sebab aku kahwin dengan perempuan mandul macam kau ni!" Bentak Jamil.

Hati Aishah begitu luka dengan kata-kata itu. Pedih bagaikan dihiris, dicincang, dilapah kemudian dicampak ke tanah untuk menjadi habuan anjing kurap yang kelaparan. Air matanya sudah berjuraian bersama dada yang sempit menyesakkan nafas.

"Sampai hati abang buat Esah macam ni. Ini semua dah takdir bang. Nak buat macam mana." Suara Aisha yang sebak tersedu-sedu. Sedikit pun dia tidak menyangka mahligai indah yang dibina bersama lelaki bernama Jamil itu boleh goyah kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

"Itu takdir untuk diri kau. Bagi aku masih ada peluang lagi. Aku boleh cari perempuan lain yang tak mandul macam kau!" Suara lantang Jamil yang begitu berlainan jika dibandingkan dengan lelaki yang cuba memenangi hatinya satu masa dahulu.

Isnin, 29 Oktober 2012

Pabila Hud berjumpa Hantu




Kantin Kolej Sains MAJU sudah sesak pada waktu tengah hari apabila semua pelajar dan pensyarah berpusu-pusu bagi mengisi perut masing-masing. Kebanyakan meja telah pun penuh. Antara meja yang masih belum digunakan sepenuhnya adalah meja di penjuru kantin. Meja itu menghadap ke bahagian belakang kolej yang masih bertanah merah. Kawasan yang masih belum dibangunkan sepenuhnya di kolej yang baru beberapa bulan beroperasi.

"Betul ke kau tak mahu pindah bilik lain?" Suara Ikmal dengan nada risau. Dia dan dua rakan lagi sedang duduk di meja hujung itu.

"Apasal aku nak pindah pulak?!" Hud menjawab soalan Ikmal dengan soalan juga.

"Yalah, kau kan mangsa seterusnya." Ikmal menjawab kembali.

"Aku pun setuju dengan Ikmal. Baik kau pindah bilik lain. Kalau tak kekal pun, sampai semua dah selesai." Danny menyampuk.

Hud yang sedang berselera menyuap nasi berlauk ayam kurma terus berhenti makan sambil matanya tertancap kepada dua rakan di seberang meja. Peha ayam yang sedang dijamah telah diletakkan semula ke dalam dulang makan biru muda dengan petak-petak berasingan yang terisi dengan nasi, lauk kurma, sambal belacan dan buah limau.

"Masalahnya aku tak tahu sama ada benda tu nak cari penghuni bilik itu atau pun nak cari aku. Kalau dia nak cari aku, tak kira aku sembunyi kat mana sekalipun, dia mesti jumpa aku punya!" Hud meluahkan pendapat setelah Ikmal dan Danny begitu beriya-iya mahu dia merubah fikiran.

Ikmal dan Danny terdiam. Mungkin mereka sedar Hud sudah nekad dengan keputusannya.

Jumaat, 26 Oktober 2012

Roti Butterscotch, Sherbet Strawberi - Prolog




Sebuah ladang strawberi luas yang sayup mata memandang, bersama bukit-bukau dengan rona merah jambu bertekstur halus seperti sherbet strawberi. Langit pula membiru dengan warna pastel, bersama kepulan awan bagai gula-gula kapas.

Itulah pemandangan di sekeliling pada ketika itu. Kelihatan sebuah menara tinggi bagaikan dibuat daripada kristal dengan warna berkemilau, tersergam indah mencapai langit. Nun sayup di atas menara tinggi kristal itu kelihatan seorang gadis ayu berambut panjang sedang memandang ke bawah dari balkoni.

Di kaki menara itu kelihatan seorang pahlawan perkasa berdiri dengan pakaian satria melayu dengan kain bersulam emas. Segak dan sasa dia berdiri bersama keris tersemat di pinggang. Wajahnya tampan dan pastinya akan memikat siapa saja gadis yang melihat.

Nama pahlawan itu adalah Adi Wira. Dia ke sini untuk menyelamatkan seorang puteri rupawan yang terkurung di atas menara.. Puteri yang bakal menjadi permaisuri istana hatinya, sekiranya dia berjaya.

"Bagaimana harus aku memanjat menara tanpa tangga ini? Bagaimana harus aku meluahkan perasaan apabila bertemu dengan puteri yang cantik bagai bidadari kayangan itu nanti?" Pahlawan itu sedang mencari ikhtiar untuk menyelamatkan puteri tersebut.

Dia tidak dilahirkan dalam keluarga bangsawan atau diraja, tetapi sekiranya dia berjaya menawan hati puteri ini, dia boleh merasa kebahagiaan hidup bersama puteri itu. Dia tahu menyelamatkan puteri ini bukanlah perkara yang mudah, tetapi dia sanggup melakukan apa saja supaya dapat bertemu puteri itu.

"Eddie." Kedengaran sayup suara memanggil. Suara yang diharapkan adalah suara puteri itu.

Tetapi kenapa suaranya garau? Adakah puteri ini ...? Soalan-soalan yang bermain di fikiran Adi Wira.

"Eddie!" Suara itu makin lantang dan makin garau.

Hati Adi Wira semakin goyah. "Kalau itu suara puteri di menara kristal ini, baik aku cabut sebelum terlambat."

"Eddie....!" Suara itu semakin lantang dan kasar, sungguh berlawanan dengan rupa puteri yang cantik menawan itu.

Sabtu, 15 September 2012

Laluan Cinta Ke Lebuhraya Merdeka

Alhamdulillah. Pembakar semangat untuk terus berkarya di bidang penulisan. Langkah pertama di bidang penulisan cerpen. Harap-harap akan berterusan hingga ke penulisan novel pula. :)

Majalah Mingguan Wanita Isu 14-20 september 2012

Cerpen saya yang telah tersiar



Rabu, 12 September 2012

Anabella dan Dongengan 1 Dunia


Nama aku Fatin Nabila. Seperti ramai kawan-kawanku gadis remaja yang lain, aku obses dengan kecantikan dan kehebatan pengembaraan puteri-puteri dalam kisah dongeng.

Ada rakanku yang mahu menjadi seperti Cinderella kerana keajaiban menjadi seorang puteri yang bagai turun dari kayangan dan bertemu putera raja yang kacak. Ada juga yang mahu menjadi seperti Snow White kerana kulitnya yang putih mulus sesuci hatinya dan kebolehan berkomunikasi dengan segala fauna yang ada. Walaupun pelik, tetapi ada juga yang mahu menjadi duyung seperti Little Mermaid dan gadis yang bercinta dengan makhluk hodoh di dalam Beauty and The Beast.

Aku?
Buat apa aku mahu menjadi salah satu daripada mereka sekiranya aku dapat berjumpa dengan semua.

Bagaimana?
Aku telah berjumpa dengan mereka semua di dalam satu kisah yang aku tulis sendiri. Anabella di dalam cerita itu adalah aku. Tentu kalian mahu tahu cerita itu bukan?
Inilah kisahnya...

Ahad, 9 September 2012

Ku Bisik Rindu Di Angin Lalu




"Tak apa! Kalau abang tak mahu belikan pun tak apa! Esok kalau Wan mati, Wan minta abang kebumikan Wan sebelah kubur arwah Muiz. Biar Wan mati! Lagi bagus!" Suara raungan dari tingkat atas bagai bergema di ruang banglo dua tingkat itu.

"Apa kau dah buat dengan adik kau tu Riz? Teruk sangat bunyinya tu!" Suara wanita yang sudah lebih separuh abad di meja makan di tingkat bawah.

"Tak ada apa-apa mak. Alah, mak ni macam tak kenal perangai anak bongsu mak yang manja tu. Kalau merajuk mesti lebih-lebih. Nak matilah. Nak lari rumahlah. Bukannya dia buat betul pun. Saja nak minta perhatian kita." Sahut seorang pemuda dengan kemeja putih kemas bertali leher biru berkilat setelah menghirup secawan kopi yang ada di tangannya.

"Kenapa dia jadi macam tu?" Tanya wanita yang biasa digelar Mak Lijah itu lagi.

"Dia sibuk minta saya belikan telefon Samsung Champ sebab kawan dia pakai telefon macam tu. Saya ingat saya nak beli telefon baru Samsung Galaxy 2. Jadi nanti saya bagilah telefon Samsung Corby2 saya ni kepada dia. Lagipun Champ tak ada wifi. Corby2 ada. Senang nak masuk internet, tak payah guna line."

"Laaa..., sebab telefon meraung macam orang mati bini. Memanglah adik kau ni." Ujar Mak Lijah.

"OK lah mak saya nak pergi kerja. Ada projek nak diselesaikan. Bos keluar negara, dia susah nak dihubungi. Dia minta update guna telefon je. Nanti kalau saya tak hantar berita bising pulak dia nanti."

"Hai... kesian mak tengok kau ni. Ada bini kena tinggal, entah bila dia nak sedar. Tak boleh tau kau biar bini kau buat macam tu. Dah dikira nusyuz." Tiba-tiba Mak Lijah mengubah topik.

Mukhriz terkedu apabila ibunya membangkitkan isu itu dengan tidak semena-mena. Tetapi dia masih mampu mengukirkan senyuman walaupun hatinya terhiris dengan luka yang pedih. "Tak apalah mak, dia perlukan masa untuk berfikir. Biarlah, nanti saya pujuk dia."

"Suka hati kamulah Riz. Rumahtangga kamu. Sementara dia tak ada biarlah mak dan adik kau duduk temankan kau di rumah ni. Hah, terlanjur mak ada ni boleh mak masakkan asam pedas kegemaran kau."

Mukhriz ketawa kecil. "Semenjak saya kahwin dengan Hana, saya dah ada makanan kegemaran baru mak. Masak lemak labu dengan ikan pari bakar cicah asam."


"Astaghfirullahalazim. Kau dah buang tabiat ke Riz? Dulu kau yang beriya-iya tak suka makanan macam tu? Apa yang Hana dah buat dengan kau ni?!" Suara Mak Lijah bagai terkejut.

Mukhriz serba-salah untuk menjawab. Dia tidak sampai hati untuk mendedahkan keburukan Hana. Semasa baru mendirikan mahligai bersama Hana, dia sudah memberitahu isterinya makanan yang dia tidak suka. Tetapi masakan itulah yang dimasaknya. Kerana mahu menjaga hati Hana, dia menjamah juga masakan itu. Setelah berbulan-bulan hidangan itu sudah sebati dengannya, malah sudah mula disukainya.

"Tak tahulah mak, bila Hana masak kena pulak dengan tekak saya." Helah Mukhriz akhirnya. Mak Lijah hanya menggeleng kepala dengan telatah anak sulungnya.

"Riz pergi dulu ya mak. Kalau ada apa-apa hal mak telefon saja Riz di pejabat." Suara Mukhriz sambil bersalam dengan ibunya.

Mukhriz tergesa-gesa sehingga telefon Samsung Corby 2 miliknya tertinggal di atas meja.

Isnin, 13 Ogos 2012

Lafaz Cinta Yang Kucari




Ekspres Rakyat meluncur laju, meredah hutan batu Kota Metropolitan selepas meninggalkan KL Sentral tadi. Matahari yang meninggi tadi sudah berlabuh sedikit, walaupun bahangnya masih terasa. Asyraf masih terasa silau dengan terik matahari walaupun kedinginan sudah mula meresap ke segenap inci tubuhnya di koc berhawa dingin. Kedinginan yang sepatutnya memberikan rasa nyaman itu gagal menghapuskan rasa gelisah yang menular di dalam hatinya. Semua itu bermula setelah dia terlihat seseorang di stesen tadi.

Kata-kata Firdaus rakan sekursus dan juga sahabat karib Asyraf mengungkap segalanya suatu masa dahulu. “Aku hairanlah Asyraf. Kelantangan bicara kau memang tiada tandingan. Kata-kata yang keluar dari mulut kau umpama bayu aspirasi yang boleh mengesankan siapa saja yang mendengar. Karisma kau, Subhanallah! Tapi ...,” Kata-kata Firdaus pada mulanya membuahkan sekuntum senyuman menawan di bibir Asyraf. Namun hilang apabila dia terdengar perkataan ‘tapi’. Seolah-olah ada berita buruk yang ingin disampaikan.

“Tapi apa Daus?” Asyraf tidak sabar. Dahinya berkerut.

“Aku memang dah kenal kau lama. Aku sedikit sebanyak dah boleh baca isi hati kau. Dan kau tak boleh lindung perasaan kau daripada aku ...” Firdaus mengatur ayat umpama teka-teki yang masih belum boleh ditanggap oleh Asyraf.

“Perasaan? Eh, apa yang kau merepek ni?”

“Hehe, merepek ya? Kalau aku sebut nama ni, mesti kau tahu sama ada aku merepek atau tidak. Nurul Mardiah.”

Nama yang disebut oleh Firdaus sudah cukup membuatkan hati Asyraf berbunga, tetapi pada masa yang sama percikan peluh sudah mula mengintai keluar dari rongga-rongga di kulitnya.

Asyraf terdiam. Dia faham apa yang ingin disampaikan oleh Firdaus.

“Asy, dalam hidup kita memang akan ada kawan dan musuh. Itu lumrah kehidupan. Tapi ada satu perkara yang boleh jadi kawan baik atau musuh ketat kita. Benda tu adalah masa. Kalau kita guna ia sebaiknya, ia akan jadi kawan rapat kita. Tapi kalau kita bazirkan, ia akan jadi musuh kita yang paling ketat. Ketika itu kita akan rasa ia terlalu suntuk untuk sesuatu.”

“Apa masalah kau ni? Awal-awal pagi lagi dah nak berceramah!” Asyraf mula terganggu dengan ‘leteran’ Firdaus, kerana dia faham mesej yang ingin disampaikan.

“Masa kita di universiti ni dah semakin tiba ke penghujung. Kita tak tahu bila kita akan ke sini lagi atau berjumpa dengan seseorang yang ...,” kata-kata Firdaus pantas dicantas oleh Asyraf.

“Sudahlah Daus, aku tak ada mood nak bincang pasal ini lagi!” kata-kata Asyraf sebelum dia beredar. Firdaus yang hanya memerhatikan sahabatnya berlalu.

Bukan kata-kata Firdaus yang merungsingkan Asyraf, tetapi kebenaran yang cuba disampaikan itu yang menjengkelkan. Dia lemas dalam dilema yang sedang dihadapi.

Bersambung...


Cerpen ini telah dimuatkan dalam antologi cerpen LEBIH INDAH.
Kesinambungan kisahnya dimuatkan dalam antologi cerpen 1 WANITA 10 LELAKI.





Sabtu, 11 Ogos 2012

Certot: Angpau Wang Kertas Merah Cekudin

Certot (cerita kontot) ini telah mendapat tempat ketiga di dalam Sayembara Certot Humor Idul Fitri anjuran TulisNovel.com.

Kepada yang telah sudi membaca dan mengundi, saya ucapkan jutaan terima kasih.. : )

Klik di sini untuk membaca certot Angpau Wang Kertas Merah Cekudin.


Khamis, 9 Ogos 2012

Trilogi Di Ambang Raya


Pagi-pagi lagi Ringo sudah bersiap. Beg pakaiannya sudah dikemas. Baju selepas latihan ragbi pagi tadi telah dibasuh. Sebaik sahaja selesai menyejukkan badannya, dia terus membasuh pakaiannya sebelum mandi membersihkan badannya yang melekit setelah dibasahi peluh dengan comot tanah dan daun rumput.

Hari ini hari terakhirnya di kolej sebelum pulang bercuti sempena Aidilfitri. Walaupun berpuasa, dia masih sempat menjalani latihan pasukan menjelang kejohanan ragbi antara kolej selepas cuti nanti.

Dia sudah siap mandi dan menyapu pewangi pada tubuhnya. Pipi dan dagunya yang baru dicukur disapu kolon dengan haruman Calvin Klein CK. Dia menyarung baju T putih ke tubuhnya yang berkulit cerah bersama seluar jeans Levi’s berwarna putih juga. Dia melihat wajahnya yang mirip seorang pemuda cina di cermin buat kali terakhir untuk memastikan rambutnya dan misainya tersisir kemas dan rapi. Dia telah sedia untuk meninggalkan bilik asrama kolejnya.

Ringo menutup pintu biliknya. Selamat tinggal bilik, dua minggu lagi aku akan kembali, bisik hatinya.

***

Bidin melompat turun dari trak yang dicoreng dengan corak yang sama seperti celoreng yang dipakainya. Dua bulan telah dihabiskan bersama anggota pasukannya di hutan,  meredah lumpur dan belukar dalam operasi yang ditugaskan kepada skuad mereka. Menjaga keamanan negara adalah tugas yang tidak boleh diambil mudah, walaupun negara dalam keadaan aman ketika ini.

Bidin telah bersiap untuk pulang bertemu isterinya, Zuraidah. Terasa seperti sudah bertahun tidak pulang bertemu dengan isterinya yang amat dirindui. Sudah beberapa minggu dia tidak mandi sehingga aroma tubuh dan peluhnya telah sebati dengan celoreng askar berwarna hijau dengan corak-corak seperti dedaun hutan itu. But hitam paras betisnya hanya dibuka sekali sekala untuk kakinya bernafas. Sehari suntuk dia meredah hutan belantara menjalankan tugas.

Dia membayangkan kerehatan, keselesaan dan keseronokan. Dia tidak sabar untuk menanggalkan uniform tebalnya yang sesak dan melekit dan membiarkan air dingin membasahi tubuh bersama daki dan peluh yang sudah lama bermastautin. Hatinya bagai dijentik-jentik untuk duduk bersantai bersama isteri dan anak-anak yang amat dirindui.
  
***

Dari subuh awal pagi tadi Hafiz telah keluar ke pasar borong untuk meraih ikan dan makanan laut untuk dijaja dengan motosikalnya. Sayur-sayuran juga telah diambil dari pekebun di kampung untuk dijaja bersama hasil tangkapan yang diborong.

Sudah beberapa rumah dia singgah dan jualan ikan nampaknya sungguh baik hari ini. Dia memakai baju lengan panjang biru muda dan berseluar kanvas lusuh. Dengan tenang dia menunggang motor  dari rumah ke rumah, lorong ke lorong. Selesai memborong ikan di pasar pagi tadi, dia terus menjaja ikan dan sayur. Kebanyakannya adalah suri rumah yang tiada masa untuk ke pasar. Harga yang ditawarkan lebih mahal beberapa sen, tetapi jauh lebih murah berbanding dengan kos minyak dan masa yang terbuang untuk ke pasar.

Hafiz memang sudah biasa berniaga. Setelah tamat persekolahan, dia sudah bekerja dengan pakciknya di sebuah kedai runcit. Kemudian dia bekerja sebagai penghantar bermotosikal sebelum mula berniaga sendiri menjual ikan dan sayur. Pemuda jati kampung itu memang tidak percaya dengan lulusan ijazah dari universiti. Baginya itu bukan penentu rezeki. Dia berpendapat ijazah bukan penentu rezeki kerana memang telah terbukti ramai siswa dan siswazah yang menganggur. Baginya pokok pangkal adalah usaha dan kerajinan. Dia berpegang dengan tamsilan bahawa ulat dalam batu pun boleh hidup. Jika ada sesiapa mahu berhujah dengannya, dia akan menghuraikan pendapatnya sambil diselit dengan tamsilan tersebut.

"Kau ni memang pandai bercakaplah Hafiz. Baik kau masuk bertanding jadi wakil rakyat." Perli Pak Long, ketua kampung di situ semasa dia datang berhari raya ke rumah orang tua itu suatu masa dahulu. Hafiz bertubuh sawo matang dan segak tinggi dengan wajah yang berkarisma dan menarik. Mendengar sindiran ketua kampung itu, dia hanya tersipu dengan baju batik dan songkok hitam, memang persis seorang wakil rakyat.

Tetapi Hafiz lebih selesa bekerja dengan baju dan seluar lusuh menjual ikan dan sayur. Yang penting rezeki halal dan tak payah pening kepala, cukup untuk menyambut hari raya bersama keluarga tahun ini. Bisik hati Hafiz setiap kali dia mendengar kata-kata cemuhan dengan usaha yang dibuat.

Hafiz tenang menyusuri jalan tanah merah menuju ke rumah Pak Andak Dolah sambil membunyikan hon motosikal di hadapan rumah orang tua itu.

***

Sabtu, 21 Julai 2012

Akan muncul tidak lama lagi... Misteri Mimpi Yana Bahagian 3


Misteri Mimpi Yana Bahagian Ketiga (MMY3) akan menyusul tidak lama lagi (insya'Allah jika tiada aral yang melintang). Seperti kisah-kisah sebelum ini, ada mesej yang tersirat di dalam setiap 'kes' yang ditangani oleh Yana dengan bantuan rakan-rakan yang lain. Kes yang selama ini menjadi X-File di dalam rekod-rekod jenayah polis, atau mungkin sesuatu yang tidak menjadi pengetahuan masyarakat umum.

Cerita kali ini melibatkan geng berlima bersama rakan-rakan di kolej semasa satu trip mereka ke salah sebuah negeri di Malaysia.

Mungkin anda pernah mendengar pantang larang sama ada dari segi perbuatan atau percakapan semasa kita dalam perjalanan, kerana bersama kita ada makhluk ghaib yang menumpang bumi Tuhan ini. Mahu tidak mahu kita terpaksa terima kehadiran mereka di bumi ini, cuma kita tidak boleh melihat mereka dengan mata kasar.

Walaupun Tuhan jadikan mereka ghaib daripada pandangan mata kita, tetapi mereka tetap berstatus hamba seperti kita dan menjalani kehidupan seperti kita di dunia ini dan di akhirat kelak. Dan seperti kita juga, ada di antara mereka hamba Tuhan yang soleh, dan ada juga yang suka membuat kerosakan di muka bumi ini.

Begitu juga persoalan tentang roh yang telah meninggalkan dunia ini. Adakah benar semua roh tidak akan kembali ke alam zahir ini selepas pemergian mereka ke alam barzakh? Atau mungkin juga ada yang masih berada di sini kerana perhitungan yang belum selesai? Persoalan itu mungkin akan kekal misteri, kerana semuanya di dalam pentadbiran Yang Maha Kuasa. 

MMY3 akan membawa kita mengungkai tiga kes lagi yang melibatkan warga Kolej Putri, meskipun ada penuntut putera dan puteri di kolej itu. Ada beberapa watak baru termasuk "The Mean Girls", "The Heartrob", "The Geek" dan "The Troublemaker'. Juga seorang lelaki berumur yang menyimpan sebuah rahsia di masa silam dan akhirnya ia mengejar dirinya untuk satu perhitungan.

Harap-harap cerita ini dapat menemui anda semua di dalam bulan puasa ini.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat saudara-saudaraku di Gaza, Palestin.

Apa sumbangan kita untuk menunjukkan rasa prihatin kita?